Thursday, June 16, 2005

Fragment Novel

Engkau pandang sahaja air mata yang gugur. Jangan menangis ibu. Saya cuma pergi belajar. Engkau menerangkan. Ibu mengangkat kepala, mengesat air mata yang gugur, kemudian dengan tersekat-sekat, dia menarik nafas. Ibu bimbang kamu merajuk. Jangan kerana pinangan ditolak engkau putus asa, membawa diri, dan tiba-tiba engkau pergi tidak mahu kembali lagi. Ibu menangis lagi.

Engkau tersenyum, dalam tawar, kemudian membongkok sedikit memegang kerusi roda ibu. Saya cuma sambung pengajian Sarjana. Sekarang di Al-Azhar sudah ada biasiswa bagi pelajar sarjana dan doktor. Bukankah saya ditolak kerana itu. Cuma ada sarjana muda. Berilah saya kebenaran untuk sambung lagi. Mata engkau pula mula berkaca.

Ibu mengesat matanya lagi. Abang Long datang dan memegang bahu Ibu, menggosok-gosok dan kemudian memandang engkau. Ibu cuma sedih kerana bimbang, kalau-kalau engkau merajuk dan tidak mahu pulang lagi. Jangan kerana perempuan engkau lari dari keluarga. Jangan kerana perempuan engkau lenyap tidak terlihat lagi. Abang Long memandang lantai. Ibu pula mengangkat kepala.

Ibu tidak marah dan tidak halang. Cuma Ibu terkejut apabila Engkau tiba-tiba mengemas beg dan terus bilang mahu ke Mesir. Bagaimana Ibu boleh tidak merasa bimbang? Ibu takut Engkau buat yang bukan-bukan, sedangkan ketika itu Ibu seharusnya berada di sampingmu, tetapi Ibu tiada. Ibu rasa bersalah juga. Engkau rasa malu ditolak. Tetapi Ibu rasa sedih Engkau pula buat begini.

Engkau angkat tangan dari kerusi roda. Leher terasa lenguh. Engkau usap perlahan dan kemudian mengelip-ngelipkan kelopak mata. Adik bongsu menolak troli berisi beg besar dan sebuah kotak bersampul coklat, terus ke sisi Engkau. Ibu memandangnya, memandang Abang Long, kemudian memulangkan pandang kepada Engkau. Engkau senyum dan minta Ibu bertenang.

Mungkin Ibu lupa. Saya sudah maklumkan sebelum saya pulang dari Mesir dahulu. Masa saya habis sarjana muda. Waktu itu ayah baru meninggal dan Ibu sambil menangis dan teresak-esak menggesa saya pulang. Saya memang terkejut, memang sedih, tetapi harapan menyambung hingga ke peringkat sarjana adalah cita-cita saya. Harapan ayah. Kebanggaan Ibu. Saya pulang juga, pulang tetapi tidak pernah menafikan cita-cita ini. Kalaupun Ibu lupa, apa salahnya saya menunaikan harapan dan wasiat bapa.

Engkau memandang ke sekeliling. Mula menyedari kekecohan balai berlepas itu langsung diabaikan. Dua puluh lima mahasiswa baru dan tiga belas mahasiswi baru, juga akan ke Universiti al-Azhar, bersekali Engkau, bersekali harapan dan cita-cita yang menggunung. Adik bongsu mula meninggalkan Engkau untuk ke kerusi duduk. Abang Long pula dipanggil isteri kerana anak menangis dan merengek-rengek. Kemudian, setelah semua beredar meninggalkan Engkau dan Ibu berdua-duaan, Engkau menyambung kalam.

Ibu tahu Raihana dan saya sudah bercinta lama. Sejak dari sekolah rendah. Sejak dari sebelum ayah mengusahakan restoran lagi, dan sekarang diambil alih oleh Abang Long pula. Ibu tahu kasih kami gagal bersatu di akad hanya kerana semata-mata tiada izin Hj Idris; mungkin persaingan perniagaan arwah ayah dengannya membenih rasa tidak senang yang bercucu-cicit. Hingga pada dua tahun yang dulu restorannya lingkup akibat hutang dan dia tidak mahu dibantu, dia terus menyendiri.

Tetapi Ibu juga perlu tahu. Bukan kerana cinta saya pergi. Saya memang sudah lama mahu ke peringkat yang lebih tinggi. Abang Long sudah berkeluarga, mengusahakan perniagaan peninggalan arwah ayah, menjaga Ibu dan membiaya Fauzan hingga ke tingkatan tiga waktu ini, sungguh-sungguh membuat saya rasa bangga. Lebih-lebih lagi apabila restoran kita sudah maju dan berkembang hingga membuka cawangan di Kluang, Fauzan pula memasuki ke sekolah agama. Ibu faham maksud saya, bukan?

Ibu menggeleng kepala. Sudah tidak menangis lagi. Kali ini terdesak untuk berfikir pula. Dia mengerutkan kedut di muka, kedut seribu berganda tiga. Engkau pula tertawa kecil, sambil menunduk dan kemudian menjerit tiba-tiba. Ibu terkejut dan melatah-latah; beruk, kucing, tikus, sate ayam, sate lembu, tomyam...

(novel baru main-main rangka je)

al_jantanie
manhumi_ilm

1 comment:

MZP said...

terima kasih atas komen anda. Itu barangkali satu cerita mudah. Saya akan cuba tambah sampai anda tak dapat mengagak apa cerita sebenar. Emm, siapa anda?

Dan saya belum membaca buku kartun itu selumatnya. Belum ada komen barangkali.