Wednesday, November 29, 2006

Ada Awal Mula, Ada Titik Akhirnya

Kita ini, ada awal mula, ada penamatnya. Kembara paling jauh hingga dunia paling hujung, ada titik mula, dan ada noktah akhir. Kerana itu, belajarlah lapang dada, berfikiran terbuka, dan amat penting juga, belajar untuk berusaha sampai bila-bila.

Dan, bila sampai waktunya untuk menunaikan permintaan mak ayah yang ditangguh sejak dulu, barangkali kalau dibahas tentu banyak pro dan kontranya, banyak dalil dan hujahnya, namun bila kita faham ada awal mula dan ada noktah tamatnya, kita juga perlu belajar berlapang dada, berfikiran terbuka, usaha sampai bila-bila, dengan tidak memikirkan hujah siapa menang, dalil siapa kalah.

Dan sudah tentu, bila ada langkah mula, akan ada jejak, dan bila ada titik penyudah, ada tanda akhir; jauh mana langkah, luas mana memandang, tinggi mana mencapai, dalam mana menjejak; kita mengumpul segala yang di sisi, mengheret semua yang di belakang, menggapai apa yang di atas, mengukuh sekelian yang di bawah, menuju apa yang terbentang di depan.

Barangkali, dengan lapang dada, bila kita faham ini semua, belajarlah pula untuk memaafi. Inikan ada titik mula, dan di akhirnya, ada noktah penyudahnya .

Thursday, November 23, 2006

25 - Aku Ingin

Dikarang di tahun ketiga atau keempat di perantauan.

Sajak: Aku Ingin
Oleh: Mohd Zaki

Aku ingin menjadi unggun di atas bukit,
di waktu malam,
tetapi apiku selalu padam.

Aku ingin menjadi rumah api di tepi laut,
di waktu malam,
tetapi cahaya selalu kabur.

Aku ingin menjadi bintang di tengah langit,
di waktu malam,
tetapi langitku selalu tebal.

Akhirnya,
aku cuma menjadi angin musim kemarau,
yang menggantikan kepanasan dengan kehampaan.

Saturday, November 18, 2006

Baru Empat Suku

Cerpen saya, Baru Empat Suku, dimaklumkan seorang kawan terbit di Majalah Remaja. Bulan berapa, saya tak pasti, cuma logiknya, macam bulan 10 yang lepas. Nantilah saya paparkan di blog cerpen.

Saturday, November 11, 2006

Jumaat Tadi

Jumaat tadi macam-macam berlaku. Dari solat Jumaat, saya terlanjur menghantar jenazah ke kuburan (maqbarah mandarah), cuma kelakarnya bila saya tersalah jawab pada seorang Arabiy yang bertanya - di mana mayat dikebumikan. Nak tunjuk hala Mandarah, tertunjuk hala Asofirah. Oleh kerana terlambat sampai ketika azan baru dikumandangkan, saya memilih solat di luar beralaskan tikar, tetapi rasa tersilap sebab lupa pakai baju sejuk, sangka tak sejuk mana, padahal! Arab pun pakai baju dua tiga lapis dan berbaju sejuk, saya berlapis sehelai saja.

Oh ya. Saya solat di masjid yang berhampiran dauran, sebab khutbahnya sedap, bahasa khatib bersih dan kaya dengan uslub, tetapi kurang bernasib baik kerana saya solat di luar, maka pembesar suara bergema dan akhirnya, susah mahu menangkap bunyi kalimah dan semuanya kedengaran kabur plus masalah pendengaran.

Asalnya, mahu beli kibdah sebaik saja pulang dari solat, saya tangguhkan lepas hantar ke dorih. Itulah. Dari maqbarah saya menuju ke mahattah Mandarah, mahu angkat kibdah, tetapi tersangkut di persimpangan jalan antara jalan ke Abu Qir, jalan ke kuliah, jalan ke Asofirah, betul-betul berhadapan kubri, kerana ada muzoharat. Inilah kali pertama ikut sama muzoharat alias tunjuk perasaan aka demonstrasi tentang isu pencerobohan 2 setan dunia; Israel dan Amerika terhadap Palestin.

Tersangkut sekitar 15 hingga 30 minit, saya sendiri kurang pasti, memerhatikan lepas satu satu orang naik ke pentas dan menyampaikan ucapan, kemudian berpuluh-puluh kanak-kanak membawa sepanduk kecil dan mengikat bermacam-macam bantahan di kepala. Ada juga yang naik ke atas kubri membentangkan sepanduk; keretapi melintas berkali-kali; di persimpangan tiga jalan itu juga kenderaan lalu, sesekali menghadang pandangan mata saya. Saya kurang pasti siapa yang menganjurkan, barangkali IM, sebab mereka menang pilihanraya lepas, tetapi yang pastinya sekurang-kurangnya ada 500 hingga 1000 orang berkumpul barangkali juga lebih. Bila jam sudah hampir ke jam dua, saya beransur ke kedai membeli keperluan sebelum pulang ke rumah.

Jumaat tadi juga, saya baru perasan harga telur sudah turun. Dari harga setinggi 80 sen dan kalau murah-murah pun dapat 70 sen menurun hingga ke paras 40 hingga 50 sen sebiji. Daging ayam pun mulai murah. Kemudian, bila sampai rumah, datang mesej dari Lokman via GT katanya kawan saya sudah hampir mahu tiba meminta saya menyambutnya di mahattah berhampiran.

Jumaat tadi, bila berkeliaran berjam lamanya di luar dengan sehelai lapis, saya rasa kantuk amat dan tidur di hujung hari bila malam sudah hampir menetas. Lepas solat maghrib pun sambung tidur juga.

Hm. Bila dah lama tak menulis bahasa sudah agak kaku.

Tuesday, November 07, 2006

Mari Mengenali Diri Sendiri

Mari menulis sedikit hari ini.

Kawan saya pernah bilang, bahawa saya sangat expert dalam bab berkaitan perempuan (saya no komen), lantas saya teringatkan Mak ketika dia memberikan komen tentang cara memilih pasangan, dia menyebut, "orang-orang tua pernah pesan, kalau lelaki dan perempuan itu sama perangainya, ia adalah tidak elok. Lebih baik kalau lain sedikit. Baru padan."

Kemudian, setelah bertahun-tahun, maksud saya, setelah memikirkannya, saya tiba kepada satu konklusi baru. Bagaimana kita nak mengetahui 'ketidaksamaan' itu, sekiranya kita tidak mengenali diri kita sendiri? Maka, langkah pertama dalam memilih pasangan adalah - mengenali diri sendiri terlebih dahulu.

Apabila kita telah mengenali diri sendiri, maka dari situ, barulah kita boleh mendapati apakah yang membuatkan kita berbeza dengan orang yang hendak kita pilih. Tetapi, dalam mengenali diri, apakah kita pernah memikirkan, bagaimanakah caranya? Bagaimanakah cara untuk mengenali diri sendiri?

Secara majoritinya, kebanyakan sikap, sifat dan perangai kita adalah diambil ceduk dari sikap ayah dan emak kita. Kita akan dapati, sebahagian sikap dan perangai diambil dari ayah, dan sebahagiannya lagi ditiru dari ibu. Maka, langkah kedua adalah - mengenali ayah dan ibu terlebih dahulu. Kajilah perangai ayah dan ibu kita dulu.

Kemudian, sebahagian sikap dan perangai, barangkali dalam peratusan yang agak kecil, diambil pula daripada faktor luaran seperti kawan-kawan, persekitaran dan lain-lain.

Begitulah. Langkah yang perlu untuk mengenali diri adalah dengan mengenali ibu bapa, membandingkan dan mengira, di mana kita ambil sikap ini, dan dari mana kita tiru sikap itu. Soalnya, berapa peratus kita mengenal diri, setelah mengenal kedua orang tua kita?