Monday, June 30, 2008

Tahniah Untuk Hanif

Saya hampir terlupa mengucapkan tahniah kepada adik saya yang ketiga bongsu, Mohd Hanif M.Noor, kerana sudah melangkah ke alam universiti. Enggineer, katanya, di satu tempat yang sama dengan adik saya yang keempat bongsu, Fahmi, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. UIAM, IIUM.

Hanif. Di mana-mana pun kena menghafal. Ia bukan terhad kepada kuliah berkaitan agama saja. Ilmu itu adalah tiga; faham, hafal dan guna. Faham, tetapi tidak menghafalnya adalah kekurangan. Hafal tidak memahamnya adalah separuh jalan. Guna tanpa faham dan hafal, belum bererti sempurna.

Atau sebenarnya ilmu itu lebih lagi dari itu. Terpulang untuk menilai dan membuka mata. Apapun, kita sudah berada di lapangan yang sama; selamat datang untuk bertanding semula. Tahniah ini cuma permulaan kepada usaha yang masih lagi panjang, untuk mereka yang tidak mahu menyerah kalah. Dan ya, harap jangan terpengaruh dengan fahaman yang bukan-bukan.

Thursday, June 19, 2008

Set-Up Windows Menggunakan USB

Sebenarnya, beberapa ketika lepas, seorang datang bertamukan masalahnya kepada saya. CD-ROM laptopnya tidak berfungsi. Bila diperiksa hatta di kedai mengkhabarkan 2 kesimpulan yang sama; dah rosak, dan perlu diganti baru. Saya pun kurang mahir bahagian hardware dan tidak mampu menyelesaikan masalah ini.

Jadi, saya tiba dengan beberapa jalan keluar. Satu; beli CD-ROM baru, buka yang lama, ganti yang baru. Dua; beli External CD-ROM, boleh pasang di USB. Tiga; beli kabel yang membolehkan CD-ROM (IDE) saya dipasang ke USB dia; iaitu berbentuk IDE di satu hujung, dan berbentuk USB di satu hujung yang lain. Ini, idea seorang kawan, tapi saya belum mengusahakannya lagi.

Masalah ini berlaku kerana dia mahu komputer itu di-set-up semula. Dan apabila CD-ROM-nya tidak berfungsi, dan tidak memilih untuk membeli yang baru, maka saya asyik berfikirkan jalan penyelesaiannya. Saya menemukan pilihan-pilihan di atas sebagai penyelesaian utama, dan pilihan-pilihan di bawah sebagai penyelesaian tambahan. Empat; set-up window menggunakan USB. Lima; setup window menggunakan network.

Saya cuba mencari beberapa klu dan hint dalam hal ini. Saya memilih untuk men-set-up window melalui USB. Saya mencuba berkali-kali dan gagal. Mungkin kerana kefahaman saya lemah. Dan tadi, setelah kali ke berapa, dan cara yang ke berapa, ia berjaya. Dan saya rasa puas. Alhamdulillah.

Saturday, June 14, 2008

Dustur Kritikan, Falsafah Dan Teori

Apabila kita memilih untuk mengkritik orang lain, sebenarnya kita telah menjadikan diri kita sebagai seorang hakim, dan yang dikritik sebagai pesalah, atau yang didakwa. Hakikat pengkritikan ini memberi faham beberapa perkara; antaranya, kita perlu memiliki suatu dustur, perlembagaan atau undang-undang, yang mana dustur inilah digunakan sebagai garis panduan dalam menentukan, adakah orang dikritik ini bersalah, atau tidak. Apabila kita mengkiritik, pasti ada satu garis panduan di dalam fikiran kita, yang menjadi sumber penentuan terhadap suatu kes kritikan yang kita ingin bawa.

Hakikat ini memberi faham suatu hakikat yang lain. Iaitu, orang yang dikritik, mestilah menerima dustur yang kita pegang, sebagai dustur yang juga dia pegang. Kerana sekiranya ia memilih dustur lain sebagai kayu ukur, maka mahkamah kritikan ini tidak akan bererti langsung. Sebagai contoh, kita mengkritik seseorang berkaitan agama, lalu kita mengambil syariah sebagai sumber hukum, atau akhlak sebagai dustur, tetapi yang dikritik adalah seorang yang bukan beragama dengan agama tersebut. Lalu kritikan itu akan sia-sia, kerana dasar pegangan tidak sama.

Begitu juga apabila kita mengkritik sikap, maka tahap dan perlembagaan sikap yang digunapakai sebagai kayu ukur pengkritikan, mestilah dipegang sama oleh yang dikritik, barulah kritikan ini akan dikira berjaya. Contoh, sikap malas. Sekiranya yang dikritik tidak mengambil pakai sikap ini sebagai suatu yang patut dijauhi, kerana mungkin baginya sikap bermalas adalah satu sikap yang ada kebaikan; kerana mengurangkan kadar tekanan jiwa, stress, sakit pening barangkali, maka kritikan yang kita sampaikan hanya menjadi satu kata-kata yang sia-sia pada pandangan mereka, atau barangkali mereka merasa pelik dengan kritikan tersebut.

Seperti, adakah sikap meminjam demi kerana belajar ini baik, atau buruk, lalu kita memegang bahawa ia baik, kemudian mengkritik sesiapa saja yang tidak menyebelahi sistem ini. Kerana barangkali kita merasakan belajar adalah baik, dan usaha-usaha yang membantu kepadanya juga adalah baik. Tetapi kritikan ini akan menjadi pelik, dan sia-sia, bagi mereka yang memegang falsafah dan dustur bahawa meminjam itu sentiasa tidak baik, kerana barangkali bagi mereka ia ada risiko, atau walaupun tiada risiko, tetapi si pemiutang akan memikul beban peminjam, dan memberikan kesan negatif pada pihak penolong. Lalu, mereka yang berpegangan seperti ini akan merasa kelakar dengan kritikan kita, kerana sistem dan dustur pegangan dalam kayu ukur kritikan tidak sama.

Lalu, apabila kita tidak dapat menyamakan dustur, maka kritikan tidak dapat dibina. Ini hakikat di sebalik hakikat yang saya sebutkan tadi. Barangkali, ia tidak wajar digelar kritikan, tetapi pandangan, atau penghujahan, dan dalam pandangan dan penghujahan, pihak yang satu lagi bukan terhukum. Qodiah dan kes ini tidak sama. Kalau mereka memakai dustur yang sama, lalu ia dinamakan kritikan, dan pihak yang dikritik akan terhukum dengan sendirinya. Memahami hakikat ini sebenarnya memberi faham hakikat yang baru, iaitu, dalam mencari satu dustur (bukan agama yang hukumnya telah sabit) seperti dustur psikologi dan kejiwaan, kadangkala akan menemui satu kesusahan.

Dalam psikologi, atau dalam ruang yang lebih kecil; tanggapan; kita mungkin akan menemukan ketidakserasian pegangan dan tanggapan yang dijadikan dustur dan kayu ukur. Sebagai contoh, adakah kita merasakan kejayaan dalam peperiksaan itu suatu yang penting, atau tidak? Atau, adakah mengharapkan kejayaan dalam peperiksaan itu suatu yang agung atau tidak? Lalu, neraca dan kayu ukur yang sama membolehkan orang itu dikritik, dan mereka yang menggunakan kayu ukur yang lain, apabila mendengar kritikan ini akan berasa kelakar dan menggelikan hati, atau barangkali pelik.

Memahami hakikat ini akan mengilhamkan kita suatu hakikat di sebaliknya. Bahawa pensempadanan kita dalam dunia tanggapan akan terbentuk, dan laluan akan menjadi tidak sama. Kerana itu, kadangkala, untuk mengkritik mereka yang memegang tanggapan yang berbeza adalah sukar, kerana ia tidak mempunya titik temu. Bahkan, laluan yang berlainan akan membawa kita ke lain jihat dan sudut, dan barangkali, ke lain matlamat. Adakah kita merasakan kritikan kita itu akan diterima atau akan dibakulsampahkan sahaja?

Maka, dengan hakikat ini, kita memahami satu hakikat lain. Iaitu, kita terpaksa mewujudkan satu dustur, perlembagaan yang merangkumi apa saja jalan dan laluan, supaya mereka yang mempunyai perbezaan tanggapan masih boleh dikritik, dan dihukum. Lantas, kita dalam keterpaksaan, kita mewujudkan garis panduan, dustur, undang-undang yang jauh lebih umum dari perlembagaan kritikan yang kita pegang tadi. Supaya dengan keumuman itu, mereka semua akan termasuk dalam satu ruang yang boleh dkritik.

Apakah kita percaya, dengan kerana supaya kita dapat mengkritik, dan kritikan itu benar-benar kena dan dikira layak dinamakan kritikan, maka ia terpaksa melalui beberapa syarat; kita mempunyai suatu dustur kritikan, kita mengkritik kepada orang yang memegang dustur neraca yang sama; dan sekiranya tidak sama, kita terpaksa meluaskan kayu ukur, barangkali terpaksa bertasamuh dengan beberapa perkara yang bukan menjadi pegangan kita.

Kerana kita cuba menjadi hakim dalam mengkritik pihak lain. Dan, undang-undang kritikan yang kita pakai mestilah sama, atau kritikan itu akan jadi sia-sia, menggelikan hati, atau memelikkan, atau tidak layak dinamakan kritikan, dan harus ditukar kepada nama 'pandangan', 'idea lain', 'ittijah mu-'aakis; atau kita terpaksa melebarkan kayu ukur dan luas neraca timbang, membina semula dustur yang lebih umum dan lebih terbuka. Mewujudkan lebih banyak tasamuh dan timbang rasa.

Jadi, setelah semua ini, apakah pandangan anda terhadap kritikan yang anda berikan pada seseorang, akan ia diterima dan menyedarkan, atau ditolak dan diketawakan, atau didengar dan dipertimbangkan barangkali, kerana ia dianggap sebagai cadangan semata-mata?

Sunday, June 08, 2008

32 - Hilang Di Depan Mata

Murah
mana saja jumpa
terlepas sini
depan sana ada.

Tak perasan
tak berharga?
tutup dua mata
capai dapat juga.

Ibarat
jatuh sebutir dari suap
kutip, buang.

Bertukar menjadi?
Lalu
hilang, dilupa.

31 - Jambatan Sudah Roboh

Sajak ini dikarang di tahun kelima atau keenam di perantauan, ketika saya sangat marah, kecewa dan terkilan.

Sajak: Jambatan Sudah Roboh
Oleh: Mohd Zaki.

Jambatan telah runtuh
setelah kalian merentasinya.

Laut kemudian menjadi petrol
di tangan kalian sumbunya.

Asap hitam menjelma awan
lalu turun hujan palsu.

Bukankah sini dan sana
telah jadi dua benua?

Lautan api kalau direnangi
rentung tak dikenal lagi.

Kibrit

Ishrabu l-Haliib

Faslu l-Hariif



تتساقط أوراق الشجر
فى كل طريق ورصيف
قد أتى فصل الخريف
والجو فيه لطيف

Dukki Ya Tubul

Maryam Muqaddasah

Subaa-'ie-nya Manusia; Dalam Konteks Tujuh-Tujuh

Manusia secara semulajadinya mempunyai tahap-tahap perwatakan yang disimbolkan oleh perubahan usianya. Bayinya, kanak-kanaknya, remajanya, belianya, dewasanya, tuanya, akan mengubah perwatakan dalaman, walau ia diselindungi oleh perwatakan luaran. Kerana itu, adalah tidak wajar kita melupakan hakikat ini, lantas menggauli mereka tidak sesuai dengan kondisi dalaman mereka.

Kefahaman ini, atau lebih tepat lagi, bertindak selari dengan kefahaman ini, adalah sangat penting, agar kita tidak tersalah mendarjatkan mereka dan bergaul dalam level tidak sepatutnya. Maksud saya apabila mencadangkan kita menguasai kefahaman ini adalah, memahami 'status dan tahap asas' perwatakan manusia. Pemahaman yang lebih dalam walaubagaimanapun tentulah lebih baik lagi.

Adalah tidak betul, apabila kita merasakan, kemampuan memahami 'status dan tahap asas' perwatakan manusia hanya perlu ketika kita sudah bergelar ayah, atau ibu, lantas perlu berdepan dengan kerenah anak-anak. Saya merasakan, apabila kita sudah mampu berfikir, maka sewajarnya kita berusaha memahami hakikat ini, dan mencapainya. Kerana, dalam kehidupan sehari-hari, kita akan berhadapan dengan sekian ramai manusia, termasuk keluarga dan kerabat saudara.

Dalam zaman yang didakwa bersifat mempunyai jaringan perhubungan terpantas dan terhebat ini sekalipun, kita masih lagi hidup dalam keterbatasan mengenali perwatakan manusia dalam levelnya yang paling asas. Dalam zaman hadarah dan tamadun yang cemerlang ini sekalipun, kita masih gagal menggauli manusia dalam tahapnya yang paling dasar.

Manusia seperti yang dibahagikan menurut pendapat ini adalah berdasarkan konsep umur subaa-ie, iaitu konsep umur tujuh-tujuh. Dalam bahasa yang lebih mudah, pembahagian tahap dan perwatakan manusia kepada setiap tujuh tahun. Demi kerana pembahagian ini berdasarkan konsep tujuh-tujuh, maka pergaulan harus diselaraskan semula setiap tujuh tahun. Anda punya anak umurnya tujuh tahun dan lapan tahun, maka pergaulan harus diselaraskan mengikut tahapnya. Anda punya adik berusia 14 tahun atau abang berusia 21 tahun, maka selaraskan pergaulan anda mengikut umur mereka.

Saya membentuk pendapat ini berdasarkan sebuah kalam, gholib zan saya ia adalah hadis, atau paling tidak kalam ulamak; yang hingga kini saya masih belum menemukan sumbernya yang paling sah. Tetapi, kalau kita boleh beramal dengan nasihat orang tua-tua, seperti biar lambat asal selamat, atau kalam hikmah seperti masa itu emas; kenapa terlalu prejudis terhadap hadis yang diiktibar sebagai dhoif kerana sanadnya, hingga dicampak buang sepak dan pijak, dalam masa yang sama kita masih lagi boleh pula beramal dengan kalam orang tua-tua, atau kata-kata hikmah? Bukankah pada hadis itu masih ada kemungkinan ia memang kalam Nabi, atau sekurang-kurangnya barangkali ada pengajaran dan hikmah yang memang boleh diambil pakai, seperti pengajaran dan hikmah yang diambil pakai dalam kata-kata orang tua yang entah siapa?

Kembali kepada tajuk. Sekalipun belum dapat memastikan kedudukan kalam ini, tetapi penelitian, tatabbu', mulahazah dan ta-'aqqub saya mendapati bahawa ia mengandungi hikmah yang tinggi, dan wajar diambil iktibar bahkan diamalkan. Iaitu, "bermainlah dengan mereka selama tujuh tahun, adabkanlah mereka selama tujuh tahun, dampingi mereka selama tujuh tahun, sahabati mereka selama tujuh tahun, dan jadikan diri contoh yang baik kepada mereka (untuk tahun-tahun berikutnya)."*

Peringkat pertama, peringkat bermain, selama tujuh tahun. Peringkat kedua, peringkat mengajar mereka adab, akhlak, selama tujuh tahun. Peringkat ketiga, peringkat mendampingi mereka, selama tujuh tahun. Peringkat keempat, peringkat bersahabat dengan mereka selama tujuh tahun. Dan peringkat kelima, peringkat menjadikan diri sebagai contoh yang baik dan tauladan.

Keseluruhan peringkat ini sebenarnya menjelaskan satu perkara tersirat, iaitu perbezaan kadar keterkesanan manusia, atau lebih tepat, perbezaan kadar penerimaan manusia terhadap taujihat luaran. Dalam tujuh tahun pertama, manusia berada dalam peringkat kosong, lalu disarankan bermain-main, dalam erti kata, berkasih sayang. Atau pada tahap ini, taujihat secara langsung sukar dipastikan kadar ke-terserap-annya dalam jiwa mereka.

Tujuh tahun kedua adalah tarbiah langsung, atau pendidikan direct. Ketika umur tujuh tahun inilah kanak-kanak diajar solat, dan kalau degil, dirotan ketika sudah berumur sepuluh. Tahap kedua ini sangat penting dalam marhalah tarbiah akhlak, di peringkat ini, mereka harus diadabkan dan kalau perlu, dirotan dan dimarahi dengan kadar yang mampu dan sesuai. Kerana apabila mereka masuk ke tahap tujuh tahun ketiga, pada umur 14 hingga 21, kadar serapan mereka terhadap taujihat akan berlaku secara tidak langsung, seperti lagaknya keterkesanan seorang junior kepada senior dalam masa mereka berdamping.

Kerana dalam umur ini, mereka sudah mula mampu berfikir dan menimbang untuk menerima taujihat luaran atau tidak. Kerana itu, umur 14 hingga 21 haruslah berlangsung banyak perdampingan, di mana keterkesanan secara tidak langsung terhasil dalam perdampingan ini. Peringkat keempat, bererti 22 tahun kepada 28 tahun adalah peringkat sahabat kepada sahabat, bukan lagi peringkat senior kepada junior, tetapi pergaulan adalah seperti orang yang sama tahap. Hubungan persahabatan, lain dengan hubungan perdampingan. Kedua-dua pihak akan layak saling menegur, walau berbeza umur.

Peringkat ini, bahkan peringkat di atasnya cukup menggambarkan betapa manusia apabila semakin meningkat dewasa, barangkali kerana ego yang makin tebal, keterserapan mereka berlaku secara tidak langsung, atau secara uswah hasanah, iaitu contoh yang baik. Semoga tulisan ini membawa kebaikan kepada kita, lalu kita mula mengira usia orang di sekeliling kita, kawan, sahabat, orang tua, hinggalah ke usia keluarga, abang adik, dan menilai semula perwatakan dalaman mereka, di tahap paling asas.

Nota: *: Wallahu a'-lam.

Ilaika Ilaaha l-Holqi

Saturday, June 07, 2008

Asnani

Sunday, June 01, 2008

Bendul Dan Dua Sayap

Banyak kali orang bertanya kepada saya tentang kahwin, tetapi penanya yang paling saya terkenang adalah nenek saya sebelah emak. Tentulah, saya tak berahsia hajat saya hatta kepada nenek, dan didengari ayah dan mak, mengenai keinginan saya beristeri lebih daripada satu. Juga, tak berahsia dengan kawan-kawan, dan rata-rata yang pernah berbual dengan saya tentang hal ini akan saya khabarkan mengenai cita-cita ini.

Dan tak perlulah mempersoalkan respon mereka; mak terpinga, nenek mengata jangan, abah tersenyum, dan kawan-kawan majoriti kata, yakah? Berkahwin lebih daripada satu adalah cita-cita saya sejak saya di menengah lagi, dan saya tak menyatakan majoriti perempuan akan bersetuju, dan tentulah, mereka dengan pelbagai hujah dan pendapat. Memperdebatkan hal ini adalah panjang dan berpanjangan.

Bila bercerita mengenai kahwin, tentulah di dalam kepala saya muncul wajah mak dan ayah. Kerana, saya tak kira boleh berkahwin dalam tempoh belajar, walaupun dulu pernah memikirkannya. Abang saya pada umur sebaya saya ini sudah melepaskan diri dari ditanggung keluarga, jadi saya mula memikirkan, apa layak saya meminta lebih sedangkan sudah ditanggung belajar. Saya kira, saya sudah cukup bertuah kerana kesanggupan keluarga sebesar ini.

Kerana saya belum mungkin boleh kahwin, maka saya tak bercadang mencari setakat ini. Lagipun, belum tentu saya mudah menjumpakan dua orang sekaligus. Saya memang serius dalam hal ini, dan saya pernah membuktikan keseriusan saya mengenai cita-cita ini, hatta pada orang yang pernah saya suka. Tetapi biasalah, perempuan akan menolaknya. Itu pilihan mereka, dan ini pilihan saya. End story.

Walaupun saya tak faham kenapa orang mengatakan berkahwin dua susah, kerana dalam logik fikiran saya, mana lebih mudah, ada dua penolong atau satu? Yang menjadikan susah adalah apabila kedua-dua isteri mengambil pendirian bermusuh dan membenci. Kalaulah digantikan dengan mawaddah dan wi-aam, hormat dan murah hati, saya percaya kesusahan sukar wujud. Memanglah dalam hidup, susah itu lazim, tetapi ia berlaku pada yang satu juga pada yang dua. Itu logik saya, dan mungkin pada orang tertentu ia tidak logik dan sebagainya.

Saya berharap, dengan kadar yang tinggi, tidak dijadikan alasan atau bendul yang mesti dilangkahi adik-adik yang sudah habis belajar bahkan bekerja. Kalau mahu mendahului saya membina rumah dan tangga, silakan, saya sangat-sangat alukan. Buat masa ini, prioriti saya adalah pelajaran yang masih belum tamat. Memikirkan hal kahwin akan menyebabkan saya serba salah pada mak dan ayah yang menanggung, dan saya akan berusaha untuk mengurangkan bebanan mereka dengan berjimat semampunya.

Itulah fikiran saya sekarang ini. Kerana itu saya pernah berasa susah hati ditanya soalan-soalan begini; bila nak kahwin, dah ada calon ke belum, kenapa tak mencari; kerana semua soalan ini akan memunculkan wajah mak ayah saya dan mengulang-ngulang kata-kata mereka berkali-kali. Tetapi kerana memahami soalan ini adalah dalam kelompok soalan 'manis-manis mulut', atau jenis soalan 'senda-gurau-usik', maka saya memahaminya sebagai soalan 'suka-suka' yang tak perlu diambil serius.

Apatah lagi saya masih kebudak-budakan. Masih suka bermain-main, dan tak yakin lagi boleh memimpin keluarga. Nantilah. Bila tiba masanya, saya sudah matang, sudah boleh hidup berdikari dan tidak menyusahkan keluarga, bolehlah memikirkan hal ini dengan lebih dalam lagi. Tetapi, ini untuk saya. Mungkin orang lain, lain pula kiranya. Dan untuk perempuan, terutama adik saya, sangat-sangat patut segeralah kahwin dalam usia muda.