Sunday, August 31, 2008

Overwhelming

Perut manusia adalah elastik. Makin banyak kita makan, makin besar saiz perut, dan makin tinggi seksa lapar. Makanlah sedikit, kurangkan makan, supaya elastik perut mengecil dan seksa lapar berkurangan.

Bertekadlah untuk mengurangkan tana'-'um (bersenang-senang) dengan kesenangan dan nikmat dunia. Nanti bila sekali diuji keputusan, kekurangan, kelaparan, kesempitan, kita akan terasa sangat derita kerana tana'-'um yang berlebih-lebihan. Konsepnya sama dengan elastik perut tadi. Semakin kurang tana'-'um, semakin kurang derita bila diuji.

Kenikmatan bagi perut adalah makanan yang bersederhana, kenikmatan bagi tekak adalah lamanya ia di atas lidah, kenikmatan bagi akal adalah ilmu dan kenikmatan bagi hati adalah apa? Fikir-fikirkan. Selamat berpuasa dan menikmatinya.

Monday, August 25, 2008

Allahumma Balligh-naa Roma-dhoon

Sempena Syaaban, dan Ramadan yang bakal tiba; saya memohon kepada Tuhan agar dikurniakan hati yang lapang untuk mendepani sikap manusia yang meradangkan, membencikan; dikurniakan fikiran yang luas untuk mempositifkan maksud dan makna yang memarahkan, menjengkelkan; juga dikurniakan rasional yang tinggi dan akal yang tajam, agar dapat menafsir semula kecanggungan fikrah dan tindakan, dan memetik hikmah dan penyelesaian. Kerana saya tahu, mereka manusia yang baik dan beriman.

Saya memohon agar lidah dan tangan kaki ini salim dari menyakiti Muslimiin, dapat menahan diri dari meliar dan melukakan; diberikan sifat percaya dan menawarkannya, diberikan fikiran yang optimis kepada orang yang bersungguh-sungguh, tetapi fikiran yang jernih kepada orang yang sebaliknya. Saya memohon dikurniakan sifat pengasih yang dapat mencuci kerak-kerak dendam di dalam hati; lalu disuburkan jiwa tasamuh dan mujahadah, hati yang lembut dan tekad yang kental.

Allahumma balligh-naa Roma-dhoon

Friday, August 22, 2008

Aku Yang Belum Berjiwa Pejuang

Sajak ini adalah antara sajak yang saya paling terkesan ketika menulisnya. Demi memperingat jasa kawan yang membantu, saya ucapkan terima kasih.

Aku Yang Belum Berjiwa Pejuang
Oleh : Mohd Zaki M Noor

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila diuji susah lantas lemah.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila di persimpangan jalan lantas bingung.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila ditimpa bencana lantas sedih.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila dicabar sesuatu lantas ragu.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila diberi nikmat lantas lupa.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila digoda kesenangan lantas hanyut.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila diherdik cerca lantas pilu.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bilakah mahu menafikan semua itu?

Wednesday, August 20, 2008

Ana Rajulun Jauwaab, Jauwaal

Berpindah rumah bagi saya bererti; berpindah dengan kitab dan pakaian, serta menjadikan tempat itu sebagai penginapan tidur dan makan. Tiga ciri ini, adalah asas takrifan saya dalam erti kata berpindah. Dengan tiga asas ini, saya kira sudah dikira tujuh kali pindah, dan barangkali sekejap lagi masuk kali yang kelapan.

Dengan pengalaman sebanyak ini dalam tempoh lima tahun berada di Mesir, saya memahami beberapa hakikat. Pertama; beban mengangkat barang terutamanya kitab yang beratus kilo jumlahnya, adalah sebab pertama mengapa orang enggan berpindah. Kedua, berpindah bererti menukar cara hidup, kebiasaan hidup, dan semua penyesuaian perlu dilakukan semula. Ketiga, rantai, pengongkong, pembatas seorang pengembara adalah perkahwinan, dan juga barang-barang berharga yang tidak mampu dibawa setiap masa ke mana-mana; dan dalam konteks saya, kitab-kitab saya.

Tiga hakikat ini adalah hasil pemerhatian saya. Tiga hakikat ini seterusnya memberi tiga hakikat tambahan. Pertama; langkah pengembara ilmu yang luas akan terbatas, sebaik saja dia berkahwin. Ia ada orang yang harus dijaga, dinafkahkah, dan tidak harus ditinggal lama atau diabaikan. Kedua; walaupun ia belum berkahwin, langkahnya akan terbatas kerana 'barang berharga yang tidak mampu dibawa setiap masa dan ke mana-mana saja' akan berhajat kepada satu tempat dan dijaga, dipelihara dari kecurian dan kehilangan. (Sindir: itulah siapa suruh tak hafal semua kita itu.) Ketiga; keperluan tempat seperti rehat, makan, tidur, adalah di kedudukan sampingan (walaupun masih penting) dan boleh dipinda dari masa ke semasa, tanpa perlu berpindah randah.

Semua hakikat ini selalu mengingatkan saya kepada pengembaraan Imam Syafi-'ii dalam menuntut ilmu. Pergantungan kepada keluarga sudah putus sejak awal, berbeza dengan kita yang masih bergantung, bahkan masih diharap pulang ke tanah air setelah tamat belajar. Lewat balik setahun dua sudah dikecohkan. Bahkan, keberadaannya yang sudah menyimpan ilmu ke dalam hati memberikan langkah yang lebih luas, sedang kita disekat keperluan menjaga harta dan berhajat kepada tempat simpan kitab yang selamat. Juga, memetik kalam sahabat saya Faiz; kalau tawakkal kita cukup dan tinggi, kita tak perlu merisaukan rezeki makan minum; kita akan masih dapat makan minum, sedikit atau banyak, sesuai dengan qadar yang Tuhan telah tulis.

Dengan tiga asas yang mentakrifkan, saya fikir saya mahu mencuba sesuatu yang baru, mengerat yang tiga kepada dua.

Monday, August 18, 2008

Perubahan

Saya mempunyai banyak idea perubahan. Tetapi saya selalu mendapati bahawa idea saya sukar diterima. Jadi saya jadi kurang suka bersuara. Seperti kepimpinan di sini masih mengekalkan sistem pilihanraya yang setiap jawatan ditentukan oleh YDP selepas keputusan pilihanraya keluar. Kenapa tidak menukar sistem supaya setiap jawatan dipertandingkan, supaya yang bertanding memang bertanding jawatan yang mereka memang mampu dan minat?

Bahkan ini membolehkan petanding bersedia dengan target dan perancangan masing-masing, sebelum dari keputusan diumumkan. Menjadi manusia berobjektif dan bermatlamat, dalam bidang dicenderungi dan kemampuan bukankah satu petanda kepimpinan yang berkesan? Atau kalau mahu lebih hebat, jadikan sistem parti dengan ketua sudah siap-siap memilih senarai calon bagi jawatan yang difikirkan layak.

Tetapi idea-idea seperti ini susah diterima orang. Seperti mengurangkan masa mesyuarat agung, dan menukarkan kepada pembentangan sidang kepimpinan yang baru berkenaan rancangan akan datang. Bukankah kita mahu mengetahui rancangan kepimpinan baru, lebih dari berdebat dan bergaduh tapi tak berhasil apa-apa dari kepimpinan lama? Seperti ucap tema yang membahaskan tema, pada saya baik ditukar terus dengan rancangan setiap kepimpinan dengan bidang tugas masing-masing.

Saya dalam keadaan ini suka untuk mendiamkan diri dari bersuara. Kerana saya juga sedar, perubahan tidak semesti menjamin sesuatu kebaikan, walaupun saya juga sedar, mengekalkan di tahap lama juga tidak semestinya menjamin suatu kebaikan. Tapi tajarrub, usaha untuk menguji, tak ramai berani mencubanya. Atau lebih tepat, enggan. Jadi, apa ertinya saya melebihkan masa memikirkan idea-idea perubahan dalam kepimpinan ini?

Dari sudut pendidikan dan keilmuan, perubahan-perubahan perlu diusahakan. Kerana itu, tindakan pertama saya kepada anak buah saya yang belajar, adalah menghancurkan keyakinannya dahulu. Maksud saya, rasa percaya pada diri yang keterlaluan. Saya sendiri mengalami hal ini, dan ia adalah penyakit sikap bangga diri dan yakin dengan kemampuan diri. Keyakinan yang dibina di atas asas yang palsu, adalah hakikat yang palsu yang menipu. Penipuan terhadap diri sendiri adalah bahaya kepada status penuntut ilmu.

Mereka yang berasa pandai, berasa yakin dengan kemampuan diri, berasa cukup ilmu dan hebat, atau berasa mampu mencapai kefahaman dengan mudah, bagi saya, belum mendapat tarbiah al-Azhar lagi, atau mereka ini barangkali abqari, genius yang sukar ditemui. Tarbiyah pertama tentu adalah sikap merendah diri, dan membuka mata kepada alam ilmu yang sangat luas.

Keyakinan palsu yang saya bina semasa di Malaysia melalui kejayaan-kejayaan berdasarkan sijil sudah saya hancurkan di tahun ketiga saya di Mesir. Ia memang lambat, kerana saya terlambat sedar, dan tenggelam dalam keyakinan yang palsu. Kerana itu, berjaya dalam peperiksaan bukan penilai sebenar keyakinan, walaupun lulus periksa sesuatu yang penting juga. Keyakinan palsu kalau diteruskan hanya akan membuahkan kekesalan dan rasa tidak yakin pada diri yang berterusan, berlanjut dan menjangkit ke generasi akan datang.

Walaupun benar, keyakinan palsu di atas kemampuan palsu bukanlah bererti langsung tiada ilmu. Banyak ilmu juga yang saya dapat timba, tetapi ia belum cukup untuk tiba ke tahap yakin dan merasa cukup, lalu mengangkat dada dan meninggi diri. Oh, kalaulah itu keyakinan yang dibina hanya dengan bertapakkan kejayaan periksa dalam sistem peperiksaan Malaysia, lupakanlah, mari cari keyakinan sebenar dalam ilmu ini.

Perubahan ini, kalaupun disekat oleh sistem peperiksaan negara, kalaupun dihadang kemahuan sekolah mempertahankan peratus kelulusan, kalaupun dihadang oleh sistem pelajaran yang mengutamakan nota hafalan dan bukan fahaman yang inti, bukankah kita juga bakal pengisi tempat-tempat itu suatu hari nanti. Apakah yang lebih malang daripada kita, generasi perungut ini, sendiri tidak membentuk perubahan pada generasi akan datang, supaya mereka akan menjadi generasi yang lebih hebat dari generasi kita.

Kalaulah perubahan tidak dilakukan kepada sikap dan cara mencapai jauhar dan inti ilmu, dan mengekalkan kulit dan solek, tidak mustahil, kemampuan generasi ke generasi akan datang akan menurun dan merundum. Dan sejarah bahawa kewujudan anak murid lebih hebat dari guru akan hancur, yang ada cuma guru yang lebih hebat dari anak murid sahaja.

Sunday, August 17, 2008

Hukum Kulliy Dan Hukum Juz-ii

Beza orang Sastera dan Sains dari sudut cara mereka menanggapi sesuatu adalah; orang Sains ihtimam (tumpuan/ambil berat) dia adalah pada hukum kulliy (hukum seluruh/rumusan), dan orang Sastera ihtimam dia pada hukum juz-ii (hukum pecahan, setiap unit). Kerana itu, orang Sains bagi saya selalu dan suka membuat kesimpulan, manakala orang Sastera mengambil setiap unit dan hukumnya secara berasingan, lalu suka menghafal.

Saya adalah basis Sains. Cara berfikir maksud saya. Suka merumus dan memberikan hukum kulliy, setelah menyelidik setiap afrad (unit)-nya. Tapi bidang bahasa Arab yang saya ceburi bukan mengajarkan itu kepada saya, tetapi mendorong supaya saya menuruti jalan Sastera yang ihtimam dia adalah pada hukum juz-ii. Mengubah ini saja, sudah menyesakkan saya; dan hakikat ini siapakah yang faham, hatta keluarga.

Saya mempunyai seorang kawan dengan basis Sastera. Ayahnya juga orang dengan basis Sastera. Cara menanggapi maksud saya. Kerana itu, saya cuba mencontohi ihtimam dia dalam perkara juz-ii, memberikan setiap unit/afrad hukumnya masing-masing. Tapi itulah, kadang-kadang terbawa-bawa juga basis Sains ini (basis Matematik) dalam pemikiran saya, lalu timbullah idea 'perumusan makna' yang dibentuk dari kehampirsamaan lafaz, madah kata dan bunyi. Dan idea-idea lain.

Saya sebetulnya rasa bertuah juga, kerana dengan sikap seperti inilah timbul idea-idea kajian dalam bahasa menurut manhaj yang saya reka, lalu kalau berkesempatan, saya cuba mencari-banding-sepadan dengan pendapat ulamak Bahasa yang lain, kalau teori ini sudah pernah dibuat orang. Apa yang saya tidak setuju dengan pendapat adik saya bahawa, belajar ini kenapa perlu berlama-lama. Imam Syafi-'ii sendiri dalam enam syarat belajar mengatakan perlu pada panjang masa. Bukankah kalau mahu capai hingga ke kunhu sesuatu ilmu, terasnya, mauduknya, intinya, perlukan masa yang panjang.

Dalam usaha untuk meng-istikhlas (mengekstrak) sesuatu kefahaman yang inti, perlu kepada juhdu dan kesungguhan yang dalam. Saya yang masih lemah, tentulah memerlukan masa yang lama. Tetapi betul, dalam bidang Sastera ini, merasa itu lebih kuat dari berfikir, menjiwai itu lebih dalam dari menakkul, kerana bahasa itu diserap ke dalam darah dulu, baru ia dibawa ke dalam otak, lebih banyak dari ia diterima oleh otak dan diserap ke dalam darah. Rasa sayalah. Wallahu a'lam. Tapi saya masih terbawa-bawa dengan dua basis, sekejap condong sini, sekejap condong sana.

Ah, setelah hampir 30 entri saya karang cuma menjadi draft, baru ini menjadi paparan. Allahumma balligrhna Roma-dhoon.

Saturday, August 16, 2008

Berfikiran Besar

Saya memiliki cita-cita yang besar, tetapi selalu berasa susah dengan orang yang berpemikiran kecil, sempit dan terkurung ini. Berjumpa dengan orang seperti ini selalu membuatkan saya berasa enggan berurusan lagi, atau memanjangkan kalam bicara bincang dan sebagainya. Saya kerap merasa benci dan meluat, dan apakah yang lebih malang lagi kalau ia cuma boleh tersimpan di dalam hati.

Menang debat pun tidak bererti banyak, kalau menang pun. Ia ibarat terima telinga kanan, angguk dan idea itu gugur semula ke bumi. Apatah lagi kalau tak menang debat, ia memang kerja sia-sia. Itu kerana orang yang berpemikiran kecil dan sempit ini memang susah mahu dilentur, atau sekurang-kurangnya membukakan fikiran untuk mencuba dulu, lihat hasil kemudian.

Apa yang lebih menyedihkan lagi, mereka bukan saja berfikiran kecil untuk diri, tetapi memaksakan pemikiran kecil untuk orang lain. Ini paling saya benci. Sama juga seperti perangai orang yang tidak membuat kerja diri, tetapi menghalang orang lain membuat kerjanya. Sikap dan pemikiran begini memang saya tentang, dan kalau tentangan itu disia-siakan, saya akan membuat dengan cara saya sendiri.

Memilih untuk berfikiran besar selalu akan membiarkan anda bersendirian barangkali, tetapi ia memberikan pilihan yang besar. Terpulang untuk anda bersungguh melaluinya, atau kembali dan cabut lari.

Friday, August 08, 2008

Keazaman Yang Menghasilkan Iltizam

'Keazaman yang menghasilkan iltizam' itu bukan terhasil hanya dengan memiliki persepsi yang betul sahaja. Keazaman yang menghasilkan iltizam itu memerlukan lebih dari sekadar persepsi yang betul, kerana ia juga memerlukan kepada kepaksaan dan kesungguhan. Kerana itulah kita akan mudah melihat, berapa ramai orang memiliki persepsi dan tanggapan yang betul, tetapi masih tidak berbuat apa-apa, tidak berhasil merealisasikan tanggapan yang mereka pegang.

'Keazaman yang menghasilkan iltizam' ini perlu kepada sikap 'bukan memanjakan diri', sebaliknya memaksa diri. Kerana itulah, keazaman ini akan memenatkan, menyakitkan, menyeksakan; dan kalau tidak kerana sikap paksa ini, maka ia tidak menjadi. Sebagai bangsa yang sudah dibiasakan tradisi memanjakan diri ini, 'keazaman yang menghasilkan iltizam' susah wujud. Kita menjadi pemanja diri yang mahu bersenang-senang, dan menolak semua kesusahan kepada orang lain.

Sikap memaksa diri, yang merupakan asas kepada azam dan iltizam, adalah sikap yang berperaturan. Dan lebih lagi, mematuhinya. Bolehkah kita memaksa diri, memakai keazaman yang menghasilkan iltizam ini?

Wednesday, August 06, 2008

Untuk Adabuna

Ini adalah cadangan projek saya untuk Adabuna.

1- Konferens Karya - menulis, berkongsi dalam konferens.
2- Konferens Karya - membaca karya yang dicadangkan, meneliti nilai contoh.
3- Konferens Karya - menembusi media perdana.

Detail-nya nanti saya jelaskan kemudian, berserta tarikh dan cara pengisiannya.

Tuesday, August 05, 2008

Kelap, Suatu Amanat

Akhirnya saya berjaya mengumpul keberanian mempamerkan tulisan. Rasa sudah sepuluh atau lebih entri saya taip dan kekal menjadi draft.

Saya bangga dapat berkenalan dengan beberapa pelapis generasi penulisan Mesir yang baru. Saya percaya mereka boleh membawa angin baru, menukar biah kepada suasana yang lebih segar. Nama-nama seperti Ishaq Hanis, Lailati, Mior Hanri, Zuhaida, Azlina, Dhia', Fadhilah, Asri, Hanif, dan banyak lagi yang saya tak sebutkan. Walaupun saya percaya, jalan masih lagi jauh dan panjang.

Untuk penulis-penulis Mesir, dan calon-calon penulis.

Kepada yang baru hendak mengenali penulisan.

Kalau anda bersungguh-sungguh, atau berasa berminat mahu menulis, ada baiknya anda mengetahui level-level yang akan anda temui satu masa nanti. Level paling mula adalah dunia Suara Kampus, buletin, dan yang seumpamanya. Peringkat ini adalah kepersatuan. Kepersatuan bererti, majalah dan buku yang anda hasilkan adalah idea persatuan yang mencadangkan. Anda boleh menemui pelbagai pengalaman berharga di dalamnya. Tetapi, jangan pupuskan niat untuk mencabar ke peringkat seterusnya.

Level berikutnya, adalah lebih kecil, iaitu peringkat antologi dan buku. Peringkat ini adalah keperibadian. Keperibadian bererti, majalah, antologi, buku yang anda ingin hasilkan, adalah idea anda sendiri, atau idea anda dan beberapa orang kawan. Saya memisahkan dua level ini kerana tahap kesusahannya, bahkan pengisiannya. Yang mencadangkan isinya adalah anda sendiri.

Level ketiga, adalah media perdana di Malaysia, dan dunia penerbitannya. Peringkat ini adalah ketanahairan. Ketanahairan bererti, karya, tulisan yang anda ingin hasilkan, perlu disesuaikan dengan standard Malaysia.Tulisan-tulisan, karya-karya yang dihantar ke tanah air, ke surat khabar-surat khabar, majalah-majalah, adalah selaras dengan standard perdana. Kerana itu ia dinamakan arus perdana. Menembusi media perdana bererti karya anda mencapai standard selayaknya, juga bererti mencipta nama.

Level keempat, adalah peringkat sayembara dan pertandingan. Peringkat ini adalah peringkat kekualitian. Kekualitian bererti, karya dan tulisan anda akan dipertandingkan bersama-sama dengan penulis-penulis yang hebat-hebat dan mapan, demi menentukan status kualiti karya tersebut. Apabila anda cuba-cuba untuk masuk ke peringkat ini, pasti anda akan banyak memikirkan kualiti karya anda.

Level kelima, akan anda ketahui sendiri satu hari nanti. Ini adalah amanat pertama. Level dan peringkat.

Amanah kedua saya, jangan abaikan pelajaran anda. Kerana mengabaikan pelajaran, akan menimbulkan fitnah kepada dunia penulisan itu sendiri. Mereka akan salah faham bahawa, penulisan telah melalaikan anda dari pelajaran anda, padahal tidak. Amanah ketiga, setiap level dan peringkat yang saya beritahu mempunyai keistimewaan tersendiri. Terutama level pertama. Kalau suara kampus atau buletin persatuan anda hidup, bernyawa dan bernafas, cubalah ikut serta, walaupun untuk tempoh setahun. Dapatkan sebanyak-banyak pengalaman daripadanya, sebelum mencuba level-level yang lain.

Kepada yang telah berada dalam dunia penulisan

Maksud saya, mereka yang masih tidak melepaskan azam penulisan. Ada baiknya anda mendengar beberapa taujihat. Pertama, jangan menunggu dilantik menjadi moderator baru anda mahu bergerak dalam dunia penulisan. Hasilkan karya. Mari langkah ke level-level yang saya khabarkan. Kalau anda dipanggil jadi moderator, maka itu panggilan anda. Kedua, cuba bergerak dalam kumpulan, kalau mampu. Pakat-pakatlah dengan rakan-rakan penulis untuk menghasilkan antologi dan buku, atau menganjurkan aktiviti penulisan. Anggaplah projek-projek ini sebagai sumbangan anda kepada generasi akan datang.

Ketiga, kalau anda menemui masyaqqah dan kesukaran di tengah jalan, buat sementara waktu, bergeraklah secara peribadi, dan cuba level-level yang lain. Kalau ditakdirkan dunia penulisan ini roboh sekalipun kerana siswa siswinya sudah tidak mahu menulis, ia bukan salah anda. Jangan membuang masa dan menambah kerisauan hati, sebaliknya tingkatkan hasil karya anda sendiri. Lupakan orang-orang yang tidak mahu kepada penulisan ini. Keempat, anda adalah generasi pelapis yang saya banggakan.

Kelima, selama bertahun-tahun, saya melalui pelbagai persepsi yang negatif kepada pelbagai persatuan dan orang perseorangan. Ia adalah pengalaman yang memenatkan. Saya berharap mereka yang membaca amanat ini akan dapat terelak dari persepsi ini, bahkan dengan jiwa yang segar dan pandangan yang bercahaya mencabar dunia penulisan yang masih jauh perjalanannya. Jangan harapkan orang untuk memberi semangat kepada anda. Anda patut bermula dengan menanam niat dalam diri sendiri - untuk menulis dengan lebih bersungguh-sungguh.