Sunday, January 25, 2009

Ar-Rahiil : Sekalung Ingatan Dan Dukacita Bersalut Doa

Saya berasa dukacita dengan pemergian seorang doktor yang amat saya sanjungi; Dr. Abdul 'Aziz Muhammad Faa-khir; ke sisi Tuhan yang Maha Pengasih; pada 23 Januari semalam. Kalaulah tidak kerana beliau; orang yang bertanggungjawab mensyarahkan kitab Nahu -Syarah Ibnu 'Aqil- untuk silibus Sanawi dan I'dadi semasa saya di sekolah menengah dulu; siapa tahu bagaimanakah saya boleh jatuh cinta pada Nahu dan mengelulikan tekad ke Mesir walau demikian banyak halangannya.

Saya berdoa agar Tuhan menyucikan beliau dari sebarang kesilapan, salah silap juga cacat dan kurang; menggandakan pahala dan amalan kebajikan, menerima terus-terusan amalan jariah dari waris juga dari sunnah hasanah yang beliau curahkan, ditempatkan di kedudukan yang istimewa dalam syurga setelah melalui ketenangan alam kubur; serta dilimpahkan rahmat dan rahim Tuhan dengan seluas-luas kasih-sayang-Nya.

Mari hadiahkan Almarhum dengan al-Faatihah dari hati yang penuh haru tetapi kasih bahkan ikhlas; tanda sedih tetapi cinta bahkan penuh penghormatan, kepada tetamu Allah - semoga kekal dalam lindungan-Nya - ini; kembali ke sisi-Nya dengan jiwa yang diredhai dan meredhai Tuhannya.

Friday, January 23, 2009

Kitab Dan Maarad | Betul Dan Salah

Pameran Buku Antarabangsa Kaherah (Maarad Kutub) sudah bermula, dari 21 Januari 2009 hingga 5 Februarinya. Tetapi imtihan masih belum berakhir, dan bagi saya sendiri, 27 Januari ini.

Teringatkan maarad, saya teringin sangat - bahkan sebelumnya lagi - untuk memiliki beberapa kitab (walaupun duitnya belum ada lagi) seperti Mukjamu l-'Ain, Al-Kitab Li Sibawaih, Ruuhu l-Ma-'aanii, Al-Jana d-Daanii Fi Huruufi l-Ma-'aanii, Al-Ijmaa', Tanaaqudooth Waadihaat, Diwan-Diwan dari Fuhul (Penyair Mapan) dari pelbagai zaman, semua kitab hadis sahih dan sunnan berserta syarahnya, dan pelbagai kitab yang boleh membantu saya memantapkan penguasaan Bahasa Arab dan ilmu yang lainnya.

Rupa-rupanya, perbahasan maarad dan maarid masih bersambung hingga ke tahun ini, apabila masih kedapatan pihak yang masih menyalahkan penggunaan maarad dan mentaqdiskan maarid. Sepenelitian saya, saya menemui satu kesimpulan yang boleh memuaskan akal kedua-duanya, dan dalam masa yang sama, adalah hujah menyebelahi saya.

Pertama, lafaz maarad dan maarid diperakukan hatta dalam Mukjam Asasi, yang disusun oleh sekumpulan pakar-pakar Bahasa Arab yang merupakan orang Arab, di bawah Munazzomah Arabiah Li t-tarbiah Wa Thaqafah wa Ulum. Dari yang berdarah Arab dan ihtimam (ambil berat) mengenai bahasa Arab. Kalau thiqqah (kepercayaan) kita pada mereka itu tinggi, maka tamatkan rasa sangsi.

Kedua, apabila kita berkata, bilakah 'masa pameran', maka kita akan katakan, di manakah 'tempat' pameran, juga akan mengatakan, 'pameran' kitab sudah bermula. Tiga lafaz ini - masa pameran, tempat pameran, dan 'pameran' - diwakili oleh lafaznya masing-masing.

Sekalipun maarid adalah tempat pameran, tetapi apabila saya ingin menyatakan 'pameran' yang merupakan masdar, saya memilih masdar mimi lalu jadilah maarad. Kita tak akan membentuk ayat seperti ini; bilakah 'tempat pameran', sebaliknya bilakah 'pameran', atau bilakah 'masa' pameran. Atau boleh saja kita katakan; saya ingin pergi ke 'pameran' buku, seperti mana harus kita katakan; saya ingin pergi ke 'tempat pameran'. Lalu mengapa bertegas dan menafikan maarad dan menyatakan ia salah, padahal ia adalah penggunaan yang betul.

Aturan penentuan betul dan salah, adalah merujuk kepada selagi mana ia termasuk di dalam lingkungan betul, sekalipun lemah. Jangan terburu-buru menghukum salah, kalau belum dipastikan semua sudut hatta yang paling lemah. Apatah lagi pendapat yang ada sudut benarnya. Jangan sampai kita tertiru mereka yang menyatakan - 'huwwa huwwa' - adalah bahasa pasar (aammii) kerana menyatakan yang fasih adalah huwa (tanpa sabdu), padahal huwwa disaksikan wujud hingga dalam mukjam sebesar Lisaanu l-Arab.

Saya tidak layak menghukum, apatah lagi menjadi rujukan, dengan ilmu yang terlalu cetek, anda boleh menemukan mereka yang jauh hebat daripada saya yang sekadar tahu celup-celup, namun masih berdoa akan cinta saya pada bahasa ini akan semakin kukuh, dan maqduur (kemampuan) ilmu saya bertambah, serta diberi seluas-luas peluang untuk menyumbang untuk Bahasa Arab. Laqad nazartu nafsi li khidmati haazihi l-lughati wa haaza d-diin, allahhumma ajib, allahumma waffiq.

Tuesday, January 20, 2009

Pulangkan | An Turadda Li Zawii Haqqiha

Saya masih berdoa dan berdoa, agar negara-negara Islam terutamanya yang menjirani Palestin membantu saudara seagama kita menafikan pendudukan dan kezaliman Bani Israel; kalau pun tidak dapat secara terang-terangan kerana faktor negara dan sebagainya, dapatlah secara sembunyi dan tidak diketahuan oleh musuh atau sekutunya, atau dengan secara berhelah dan muslihat. Dalam urusan perang, helah dan muslihat terhadap musuh tidak pernah haram, bahkan dibenarkan.

Apakah lagi dapat saya tulis, kerana kebuntuan dalam konflik ini cuma berpintu keluar satu - yang mengambil tanpa hak, memulangkan kepada tuan yang berhak.

Monday, January 05, 2009

Siasah Adamu l-Inhiyaz : Tidak Berpihak Yang Berpihak

Siasah Adamu l-Inhiyaz, politik tidak berpihak, sekalipun secara kulit dan luarannya adalah satu keadaan tidak bermusuh dengan mana-mana satu pihak yang bersengketa, atau seperti berdiri di atas pagar dan tidak mempunyai arah dan kecenderungan, adalah satu realiti yang terpusing atas ke bawah , terbalik depan ke belakang,terputar kanan ke kiri.

Hakikat konsep ini sebenarnya bukan mengajarkan begitu, tetapi sebaliknya. Apatah lagi apabila persengketaan yang terjadi adalah antara dua pihak, yang mana salah satunya adalah bernisbah kawan kepada kita, dan satu lagi bernisbah musuh kepada kita. Konsep ini yang mengajarkan kita sebagai pihak ketiga supaya tidak berpihak, sama ada kepada pihak yang bernisbah kawan, atau kepada yang bernisbah musuh; yang menempatkan kita di atas pagar, adalah secara hakikinya mengajarkan maksud yang sebaliknya.

Mengapa? Kerana dalam satu masal, perumpaan Arab, atau dalam satu hikmahnya ada menyebut; Khozlaanuka li akhii-ka harbun alaihim. Ketidakbantuanmu kepada saudaramu (kawanmu) adalah sebenarnya satu peperangan kamu terhadap mereka.

Kalam ini mengajarkan bahawa, siasah adamu l-inhiyaz atau politik tidak berpihak – dalam kontek kawan dan musuh – adalah sebenarnya politik berpihak, dan lebih malang lagi, adalah berpihak kepada musuh. Sengketa dari pihak pertama yang bergelar musuh kepada pihak kedua yang setahap kawan, telah menempatkan kita sebagai pihak ketiga memihak kepada musuh kerana tidak membantu kawan, sekaligus bersama-sama musuh memerangi kawan.

Dengan tidak membantu. Apatah kalau membantu, membukakan jalan, membenarkan lalu, dan yang lain-lain, ia adalah sebenarnya menukarkan hakikat kawan kepada musuh, dan musuh kepada sahabat. Inilah maksud politik tidak berpihak dalam keadaan ini. Lain kalau kedua-dua pihak adalah kawan kepada kita, atau kedua-dua pihak adalah musuh kepada kita. Ketidakbantuan tidak bererti sedalam itu. Atau bererti berlainan.

Konsep politik ini bukan kedapatan secara praktikal dalam hubungan antara negara sahaja, bahkan melarat dan merentet serta mengawam (meng-awam) hingga menyeliputi segala jenis perhubungan yang dapat difahami dengan makna setaraf. Apatah lagi dalam medan dan majal asal istilah ini dilahirkan, pemerintah selalu beralasankan keselamatan rakyat, masa depan negara untuk memilih konsep siasah ini.

Sebagai bukan siasi atau orang politik, hanya sebagai muttoli’ dan pemerhati, saya merasakan bahawa politik tidak berpihak yang sebenarnya berpihak ini, perlu ditangani dengan jelas. Adakah mahu mengekalkan kawan, atau mahu menjadi musuh? Istisyar (meminta pandangan) dengan ilmuan, ulamak dan cendikiawan perlu dibuat untuk mencapai keputusan. Adalah tidak betul membuat keputusan sendiri atas nama ketua. Kemudian, sekiranya sepakat membantu demi mengekalkan nama kawan, mintalah bai-ah dan taat setia rakyat agar sepakat, dan tawakkallah kepada Allah atas baik dan buruknya qadar dan qadak, dengan disertai rancangan dan usaha.

Apabila ini tidak boleh berlaku, kerap kali difikirkan, di manakah sebenarnya masalah ini berlaku?

Pertama, mereka yang bertahap kawan adalah bukan benar-benar kawan, atau sebenarnya musuh dalam beberapa keadaan. Atau kedua, mereka yang bertahap musuh adalah bukan benar-benar musuh, atau sebenarnya adalah kawan dalam beberapa hal. Atau ketiga, pemikiran ini tidak pernah terlintas di kepala mereka, dan itu adalah mustahil.

Siasah Adamu l-Inhiyaz yang sebenarnya inhiyaz, tidak berpihak yang sebenarnya berpihak, punya hakikat ini.

Dalam dunia yang aku berada ini wahai Tuhan, Engkau lebih jelas duduk letaknya!