Tuesday, May 08, 2012

Di Sini Kutemukan 6: Meluaskannya Kepada Semua

Saya masih teringat di saat-saat hujung saya berada di Mesir, di tempoh-tempoh kami pelajar-pelajar yang bakal pulang berbincang dan berkongsi mengenai apa yang akan kami lakukan setelah pulang. Walaupun kesimpulan umumnya adalah sama, untuk mengongsikan apa yang telah ditimba, tetapi kami juga tiba kepada kesimpulan-kesimpulan lain, pecahan daripada kesimpulan umum pertama tadi.

Walaupun kesedihan dan penuh dengan rasa berat hati dan hati berat untuk menerima hakikat waktu untuk pulang sudah tiba, apatah lagi membayangkan kemungkinan tidak dapat lagi ke Mesir dalam tempoh masa terdekat, tetapi akur juga bahawa hendak atau tidak, lambat atau cepat, saya akan pulang juga ke tanahair. Kerana erti menimba adalah untuk menyampaikan.

Ia tidak semestinya dipindahkan bulat-bulat, dan dalam gaya (uslub) asal; kata seorang kawan saya. Isi boleh dipindahkan melalui inti kefahaman, dan gaya pengungkapan (uslub) boleh diolah semula menjadi sesuatu yang serasi dengan jiwa kita orang Melayu. Saya membidas, tetapi sekiranya itu adalah caranya, maka kita akan membuat sesuatu yang baru, dan ia akan menjadi sesuatu yang skunder dan bukan primer lagi. Ia akan menjadi sebuah intipati yang dipetik dari sumber pertama, dan disampai semula, dan tidak boleh dinisbah lagi kepada penyampai asal.

Saya fikir, isi perlu disampaikan bulat-bulat, dalam gaya bahasa asal, cuma diciptakan suatu teknik dan kaedah supaya membantu orang memahami isi penyampaian. Bilang kawan saya, kalau begitu, ia akan menjadi sukar difahami dan tidak dapat menarik minat orang kepadanya. Bahkan, akan menghilangkan faedah yang dikejar, iaitu menyampaikan isi dan hasil. Walau berat, tetapi saya juga akur bahawa apa yang dituturkan itu benar, dan mungkin cara saya hanya sesuai kepada pelajar dalam bidangnya sahaja, dan tidak melebar kepada orang awam.

Di Malaysia, segala-galanya adalah berbeza. Suasana, keperluan, tuntutan, dorongan. Hampir-hampir saja menghayutkan sesiapa saja. Tujuan mudah berpindah dan berpinda, dan melarikan orang jauh dari sasaran asal mereka. Realiti Malaysia memang mengajarkan itu kepada saya. Tetapi saya menyedari kemudiannya, apabila ditemukan dengan tiga orang kawan yang lain, yang bersama-sama saya menubuhkan Al-Husna, bahawa kesesuaian isi perlu dibahagi semula, dinilai dan ditahapkan, supaya kita menyampaikan yang sesuai dengan tahapnya.

Kerana itu, saya banyak memikirkan teori tersebut untuk diaplikasikan kepada banyak perkara, melalui banyak percubaan, menilai hasil dan melihatkan kesan. Semua itu, setelah melalui pelbagai perkara lain sampingan yang perlu dipersiapkan. Tetapi betul, setelah boleh membahagikan kesesuaian isi, kemampuan teknik penyampaian perlu juga difikirkan. Kerana saya ingin meluaskan pendidikan Bahasa Arab itu kepada semua.