Friday, August 23, 2013

Telah-Telahku

Telah kukumpulkan
Kenamaan yang mengenal-arifkan
Si bawah tempurung
Dari negara paling hujung
Akan diri
Untuk kujadikan modal
Bergelar hamba-Mu yang tidak bernama
Apa apa

Telah kutabungkan
Hujah dalil yang mendiambisukan
Pemidato pendebat pemilik hujah
Dari puncak kebijaksana-ilmuan
Untuk kulaburkan
Menjadi hamba-Mu
Yang paling jahil

Telah kuhimpunkan
Kemewahkayaan
Dari langit paling tinggi
Ke bumi paling dalam
Dari timur paling utara
Ke barat paling selatan
Supaya boleh kuasetkan
Bergelar hamba-Mu
Paling kedana-papa

Telah-Telahku
Namun
Laku mampukah aku

Wednesday, August 21, 2013

Di Sini Bermulanya 3 : Sebuah Perjalanan Dengan Seribu Cerita Panjang Yang Diringkaskan

Terlalu banyak yang berlaku akhir-akhir ini. Daripada yang paling rutin hinggalah yang mendadak dan mentiba-tiba. Daripada pemergian seorang anak murid ke hadrat ilahi yang mengejuthibakan hinggalah perkara tanggungjawab yang menuntut peluh dan cungap nafas. Daripada pernikahan adik yang mengujakan hinggalah ke isu semasa yang menuntut hujah dan dalil perdebatan. Akhirnya semua akan kembali kepada yang paling basis yang menerasi perkara, muhasabah diri yang dhaif jahil dan memalingkan segala kekurangan pada diri sambil menghalakan pengharapan dan pergantungan pada pencipta. Bahawa kita ini hamba-Nya.