Monday, January 05, 2009

Siasah Adamu l-Inhiyaz : Tidak Berpihak Yang Berpihak

Siasah Adamu l-Inhiyaz, politik tidak berpihak, sekalipun secara kulit dan luarannya adalah satu keadaan tidak bermusuh dengan mana-mana satu pihak yang bersengketa, atau seperti berdiri di atas pagar dan tidak mempunyai arah dan kecenderungan, adalah satu realiti yang terpusing atas ke bawah , terbalik depan ke belakang,terputar kanan ke kiri.

Hakikat konsep ini sebenarnya bukan mengajarkan begitu, tetapi sebaliknya. Apatah lagi apabila persengketaan yang terjadi adalah antara dua pihak, yang mana salah satunya adalah bernisbah kawan kepada kita, dan satu lagi bernisbah musuh kepada kita. Konsep ini yang mengajarkan kita sebagai pihak ketiga supaya tidak berpihak, sama ada kepada pihak yang bernisbah kawan, atau kepada yang bernisbah musuh; yang menempatkan kita di atas pagar, adalah secara hakikinya mengajarkan maksud yang sebaliknya.

Mengapa? Kerana dalam satu masal, perumpaan Arab, atau dalam satu hikmahnya ada menyebut; Khozlaanuka li akhii-ka harbun alaihim. Ketidakbantuanmu kepada saudaramu (kawanmu) adalah sebenarnya satu peperangan kamu terhadap mereka.

Kalam ini mengajarkan bahawa, siasah adamu l-inhiyaz atau politik tidak berpihak – dalam kontek kawan dan musuh – adalah sebenarnya politik berpihak, dan lebih malang lagi, adalah berpihak kepada musuh. Sengketa dari pihak pertama yang bergelar musuh kepada pihak kedua yang setahap kawan, telah menempatkan kita sebagai pihak ketiga memihak kepada musuh kerana tidak membantu kawan, sekaligus bersama-sama musuh memerangi kawan.

Dengan tidak membantu. Apatah kalau membantu, membukakan jalan, membenarkan lalu, dan yang lain-lain, ia adalah sebenarnya menukarkan hakikat kawan kepada musuh, dan musuh kepada sahabat. Inilah maksud politik tidak berpihak dalam keadaan ini. Lain kalau kedua-dua pihak adalah kawan kepada kita, atau kedua-dua pihak adalah musuh kepada kita. Ketidakbantuan tidak bererti sedalam itu. Atau bererti berlainan.

Konsep politik ini bukan kedapatan secara praktikal dalam hubungan antara negara sahaja, bahkan melarat dan merentet serta mengawam (meng-awam) hingga menyeliputi segala jenis perhubungan yang dapat difahami dengan makna setaraf. Apatah lagi dalam medan dan majal asal istilah ini dilahirkan, pemerintah selalu beralasankan keselamatan rakyat, masa depan negara untuk memilih konsep siasah ini.

Sebagai bukan siasi atau orang politik, hanya sebagai muttoli’ dan pemerhati, saya merasakan bahawa politik tidak berpihak yang sebenarnya berpihak ini, perlu ditangani dengan jelas. Adakah mahu mengekalkan kawan, atau mahu menjadi musuh? Istisyar (meminta pandangan) dengan ilmuan, ulamak dan cendikiawan perlu dibuat untuk mencapai keputusan. Adalah tidak betul membuat keputusan sendiri atas nama ketua. Kemudian, sekiranya sepakat membantu demi mengekalkan nama kawan, mintalah bai-ah dan taat setia rakyat agar sepakat, dan tawakkallah kepada Allah atas baik dan buruknya qadar dan qadak, dengan disertai rancangan dan usaha.

Apabila ini tidak boleh berlaku, kerap kali difikirkan, di manakah sebenarnya masalah ini berlaku?

Pertama, mereka yang bertahap kawan adalah bukan benar-benar kawan, atau sebenarnya musuh dalam beberapa keadaan. Atau kedua, mereka yang bertahap musuh adalah bukan benar-benar musuh, atau sebenarnya adalah kawan dalam beberapa hal. Atau ketiga, pemikiran ini tidak pernah terlintas di kepala mereka, dan itu adalah mustahil.

Siasah Adamu l-Inhiyaz yang sebenarnya inhiyaz, tidak berpihak yang sebenarnya berpihak, punya hakikat ini.

Dalam dunia yang aku berada ini wahai Tuhan, Engkau lebih jelas duduk letaknya!

2 comments:

tun izyan dalila said...

umm.. tak pernah terfikir yang bila tak berpihak, kita sebenarnya berpihak.. theory nih juga boleh dipakai untuk isu panas -Gaza- saudara2 yang tidak menghiraukan saudaranyer di Gaza. tidak berpihak kepada israel mahupun palestine. menjalani kehidupan seharian seperti biasa. tidak kluar dari zon selesa nya. http://iniceritakita.wordpress.com/2009/01/04/from-japan-to-palestine/

Anonymous said...

aiwah, betullah tidak ada sebenar-benar istilah atas pagar spt yg difahami oleh kebanyakan orang.