Showing posts with label Luahan Rasa. Show all posts
Showing posts with label Luahan Rasa. Show all posts

Friday, May 24, 2013

Di Sini Bermulanya: 2: 'Aqiilatii l-Habiibah

Sungguh lama rasanya tidak ke sini mencoret sesuatu. Sungguh banyak benar isu berlalu berputar di keliling dan tidak sempat disisipkan sesuatu. Bergelar suami bagi saya benar-benar mencabar, dan banyak juga kelam kabutnya. Namun saya bersyukur mendapat teman hidup yang memahami saya, banyak bertimbang rasa, banyak juga berkorban untuk kesejahteraan rumah tangga, bahkan berkongsi panduan dan cerita. Selalu saya berdoa di samping merancang dan berfikir ke hadapan, walaupun kepenatan menggalas pelbagai tugas dan tanggungjawab, namun kewujudan isteri tersayang menyumbangkan dorongan psikologi untuk terus mara. Saya akui, perlahan-lahan, saya cuba membiasakan diri dengan semua perkara, dan membiasakan keazaman yang saya pikul selama ini. Saya berdoa kepada Tuhan agar memberkati saya sekeluarga, dan membimbing semua ke rahmat-Nya. Amin.

Tuesday, February 05, 2013

Di Sini Bermulanya : 1 : Alam Baru

Alhamdulillah, pada 7 April 2012, saya selamat bertunang dan pada 15 Disember, saya selesai diijabkabulkan dengan pasangan tercinta, Nurulain binti Md Noh, seorang lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia. Dia kebetulan bertugas lebih kurang sebulan lebih awal dari saya. Majlis di tempat keluarga perempuan pada 16 Disember dan di tempat keluarga lelaki pada 25 haribulannya. Bersyukur sangat-sangat kerana begitu ramai yang hadir, terutamanya guru-guru yang saya hormati. Semuanya saya pohonkan doa, almaklum ketidakmatangan diri menghadapi pelbagai perkara boleh mengkelamkabutkan, menggundahgelanakan. Alhamdulillah, hajat saya mendapat doa dari sekelian yang saya hubungi tercapai, itu benar-benar menggembirakan.

Alhamdulillah, memang keributan sedikit di awal-awal melalui alam berumahtangga, tetapi itulah, sabar, tenang, berfikir beberapa puluh langkah ke hadapan, belajar memahami perasaan pasangan dan kehendaknya, adalah antara kunci yang perlu ditekuni, diamali. Seperti mana ujaran guru saya, Ustaz Fuad, "pandai saya mencari isteri yang penyabar", banyak menginsafkan saya, terutama terhadap kegopohan saya dalam perkara. Beliau insan yang hebat. Saya bersyukur mengenalinya.

Untuk isteri tercinta, abang doakan Tuhan meliputi kita sentiasa dengan rahmat-Nya. Amiin.

Tuesday, December 11, 2012

Di Sini Kutemukan 14: Debaran

Debaran menamatkan zaman bujang sangat terasa. Tinggal 4 hari lagi. Mampukah saya memikul tanggungjawab ini dengan baik? Aku mohon petunjuk dan pertolongan-Mu ya Allah. 

Wednesday, November 28, 2012

Di Sini Kutemukan 11: Izaa Tabarromti

Dulu, di awal-awal saya mengenali internet, saya memang kemaruk. Tetapi sekarang, tahap ketagihan itu sudah tidak ada. Sudah kadang-kadang tidak tahu hendak membuka laman apa. Apatah lagi untuk mencari maklumat dari internet. Mungkin kerana saya mempunyai minat yang terhad. Mungkin sebab saya selalu hanyut dalam kerja dan tugas saya, atau kerana sikap saya hanya mengambil tahu perkara yang benar-benar penting, selebihnya saya tangguhkan dahulu. Seperti mana maksud sabda Baginda s.a.w. "Di antara tanda keelokan islam seseorang itu adalah, meninggalkan perkara yang tidak penting baginya." Atau kerana saya tidak punya memori yang cukup untuk menangani semua isu hingga kadang-kadang atau selalu juga, yang penting pun saya terabaikan.


Apatah lagi untuk mencari maklumat. Semacam tidak pernah. Hinggalah tadi, rasanya baru tadi, semacam buat kali pertama saya bingung dan terdesak mencari jawapan dari internet. Memang jawapan ada di sini. Mungkin sikap saya tidak suka bergantung kepada internet untuk mencari jawapan. Mungkin juga kerana saya tidak meyakini tahap kesahihan data yang dipamerkan di internet adalah tinggi. Hinggalah tadi, saya betul-betul bingung untuk mencari jawapan. Dan yang saya cari adalah, cara memujuk wanita.

Sejak kecil hingga besar, saya tidak melatih diri saya memujuk orang lain. Saya kerap bersabar, pasrah, menahan sakit di dalam hati. Memujuk diri sendiri itu ada, tetapi memujuk orang lain tidak. Kalau meminta maaf itu juga boleh dianggap sebagai memujuk, mungkin itulah satu-satunya yang saya lakukan. Mungkin juga kerana sikap saya tidak mahu memaksa orang, saya jadi tidak suka memujuk. Atau kerana saya seorang yang kasar, yang tidak merealisasikan perkaranya dengan pujukan, tetapi gesaan. Atau sebab saya seorang yang teorikal, lalu sentiasa cuba menyelesaikan perkara secara logik, lalu akan berbahas akan benar tidaknya sesuatu, lalu juga akan memberikan peluang kepada pihak lain menimbang perkara secara wajar dan memberikan hujah balas setimpal dalam sesuatu isu.

Saya menemui beberapa jawapan dari pelbagai jenis blog dan web. Syukur Alhamdulillah. Terasa jahil betul akan teknologi maklumat. Ini adalah yang saya temui dari blog cintaimaginasi. Pertama adalah dengan menerangkan perkara yang sebenar dan bercakap benar, berterus terang. Tetapi ia tidak dapat dilakukan sekiranya anda tidak mengetahui sebab mengapa dia merajuk. Apatah lagi sekiranya anda pula tidak dapat mengawal laras bahasa hingga menjadi kasar dan bernada tinggi, bercakap hanya akan memburukkan keadaan. Berdiam dalam keadaan itu adalah lebih baik.

Kedua, bertolak ansur, bijak membuat keputusan, dan mengalah. Ini juga memerlukan anda memahami mengapa dia merajuk. Ketiga, ucapkanlah kata-kata yang manis, panggilan-panggilan sayang, seperti bucuk, comot, manja dan lain-lain. Keempat adalah menyanyikan lagu untuknya. Tetapi janganlah pilih lagu yang tidak membantu seperti lagu rock yang entah apa-apa. Menurut penulis, inilah cara paling ultimate.

Dari web Hazmin pula saya menemukan beberapa jawapan di atas, dan beberapa jawapan tambahan. Pertama, dengan tersenyum tidak kira apa respon yang anda terima. Teruskan tersenyum. Mungkin ia berdasarkan maksud sabda Baginda s.a.w. "Seorang mukmin itu adalah cerminan kepada saudaranya." Mungkin dengan tersenyum, senyuman itu akan menjangkit kepada yang sedang merajuk. Kedua, adalah dengan membuat lawak. Tetapi pastikan mood sesuai, atau ia akan memburukkan keadaan. Pastikan juga ia kelakar dan menggelakkan. Tips ini barangkali sukar sekiranya anda seorang yang serius dan tidak bersikap suka membuat lawak. Seperti pepatah Inggeris, "Laughter is the best medicine."

Ketiga adalah membelikan hadiah. Ia baik, dan perlulah mengeluarkan sedikit kos. Apatah lagi sekiranya ia berupa kejutan, hadiah mengejut, ia akan lebih berkesan. Yang sukarnya jika dia seorang yang materialistik. Tetapi jika dia suka menerima apa saja seadanya, ia lebih mudah. Jangan lupa menulis kata-kata maaf pada hadiah tersebut. Keempat, dengan menghantar sms, mms dan yang seangkatan dengannya. Kelima, iaitu langkah yang tidak dicadangkan, dengan tidak mempedulikan merajuk tersebut dan mengabaikannya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Menurut penulis, ia sama ada berkesan atau hanya akan memburukkan keadaan. Keenam, adalah dengan merajuk semula, dan apabila kedua-dua orang merajuk, salah seorang terpaksa mengalah.

Dari blog Shidarina pula saya menemukan beberapa jawapan di atas dan beberapa lagi cara tambahan. Pertama, adalah memasak untuk dia, dan kalau dah tak reti sangat, mee maggie pun boleh. Tapi cara ini memerlukan anda mengetahui makanan kegemarannya, dan bukannya makanan yang dia tidak suka. Kedua, memberikan ruang dan waktu untuk dia memujuk dirinya sendiri. Tetapi anda perlu bersabar menunggu dan berjarak. Ketiga adalah dengan duduk berbincang dengannya. Tetapi perlu mencari waktu dan mood yang sesuai, bahkan menggunakan ayat yang sopan. Keempat, adalah dengan menghadap Tuhan dan berdoa memohon. Cara ini paling praktikal bagi saya, tetapi perlu kesabaran menunggu dan keyakinan.

Dari blog Tarabassing pula saya menemui beberapa jawapan di atas, dan beberapa jawapan tambahan. Pertama, adalah dengan memohon maaf setelah memberikannya waktu menenangkan diri. Ucapan maaf perlulah ikhlas. Waktu memohon maaf adalah penting, dan bukannya ketika dia dalam keadaan menolak segala cakap anda. Pandai bercakap juga penting, kerana silap bercakap lain padahnya. Berdiam lebih selamat. Kedua, adalah dengan tidak memaksanya menerima penjelasan anda. Berikan penjelasan bila dipinta.

Dari sekelian yang di atas, saya membuat kesimpulan. Pertama, tiada manusia mempunyai dua hati, seperti maksud firman Allah, "tidaklah Allah menjadikan untuk seseorang itu dua hati di dalam dadanya", dan tiada orang boleh mengumpulkan dua perasaan yang bertentangan dalam satu masa. Mungkin marah dan merajuk boleh berkumpul sama, tetapi tidak boleh terhimpun gembira dan merajuk dalam satu masa. Salah satu perasaan akan menang. Kerana itu tips-tips banyak berkaitan menukarkan mood kepada mood terharu, mood gembira ketawa, dan lain-lain. Kedua, kebanyakan tips adalah sekitar memohon maaf dan merendahkan ego. Kalau anda berego tinggi dan enggan mengaku salah atau enggan mengalah, atau tidak mengetahui apakah kesalahan anda, atau enggan memohon maaf selagi tidak mengetahui silap anda, memujuk adalah sukar.

Ketiga, sukar membezakan antara merajuk dan menahan marah. Bagi saya, perempuan selalunya merajuk, dan lelaki selalunya menahan marah. Kedua-dunya seperti sama, iaitu menukarkan seseorang itu menjadi berdiam diri dan hanya memaparkan reaksi kurang senang. Tetapi ramai perempuan menggelar saya merajuk padahal saya menahan marah. Merajuk tidak semestinya kerana sakit hati, kadangkala sekadar untuk mendapatkan perhatian. Keempat, dalam apa-apa takrifan pun, semua ini sangat memenatkan. Kalau tidak sabar ia adalah bahaya. Kerana itu, tidak elok selalu merajuk. Belajarlah redha, menerima, sabar, berlapang dada, berasa cukup dan syukur, akur dengan ketentuan ilahi dan sedarlah bahawa ia adalah ujian Tuhan, bahkan itulah ujaran Tuhan dan menyatakan di manakah sebenarnya letak dirimu.

Baginda s.a.w. tidak pernah merajuk, dan tidak pernah mengambil hati. Tidak pernah melenting apabila hak diri Baginda digugat, dirampas, dinafikan. Baginda hanya marah kerana Allah, dan apabila ia berkaitan dengan hak Allah. Bahkan Baginda boleh ketawa bila menghadapi perkara yang memarahkan, tanda lapangnya hati Baginda, dan matangnya fikiran Baginda. Sollu 'ala n-Nabiy.

Monday, July 23, 2012

Di Sini Kutemukan 7: Rahmah, Mahabbah Dan Mawaddah

Sejak akhir-akhir ini saya selalu berfikir untuk menjadi seorang suami yang baik, seorang bapa yang baik. Yalah, setelah berkahwin nanti. Tetapi selalu juga bermain di fikiran saya persoalan ini, kerana saya sedar, saya bukanlah seorang anak yang baik, bukan seorang anggota masyarakat yang baik, bukan seorang guru yang baik, bukan seorang murid yang baik. Bukan membuka keaiban diri, tetapi sebagai muhasabah dan peringatan.

Sungguh saya tidak ingin memperlakukan orang lain dengan buruk. Teringin hati menjadi bersih dan luka menjadi sembuh, bahkan lebih lagi hingga mampu menyayangi semua orang. Kerana kunci kepada banyak perkara adalah sifat belas kasihan yang umum untuk semua manusia dan makhluk, dan sifat sayang yang khusus kepada yang muslim. Kalau diperincikan, ada satu lagi, iaitu sifat wudd, iaitu cinta tak berbelah bagi kepada orang-orang terdekat, sahabat handai, yang mana cinta itu bukan saja tumpah pada orang tersebut, bahkan melimpah juga mengenai semua sahabat handainya.

Ilmu saja tidak cukup. Itu yang saya rasa sejak dulu. Hendak mempraktikkan sifat belas kasihan saja sudah begitu berat. Bila teringat yang Rasul itu seorang yang sangat belas kasihan, sehingga digelar arrohim, terus jadi malu sendiri bila begitu garang memarahi anak murid. Bila teringat bahawa saya juga pernah nakal cabut kelas, cikgu saya tahu tetapi tidak sepatah marah dia hamburkan kerana faham, tetapi bila saya dibalas Tuhan anak murid cabut kelas, marah terus menjadi gunung berapi (burkan) yang meletus.

Itu sudah agak lama dulu. Bila teringat satu kelas satu masa dulu yang saya sangat berang kerana telatah muridnya yang meledakkan, tetapi tertampal di dinding depan kelas - we love Rasulullah - oh! Patutkah aku bersikap begini berang pada mereka yang menampal tulisan ini, yang mereka tatap hari-hari. Sejak itu mula terfikir, ilmu tidak membawa kita jauh, kalau perangai kita sangat cetek, akhlak kita sangat pipih. Siapakah yang akan mendengar cakap orang yang dia tidak ingin pandang?

Betul. Niat untuk memperbaiki diri itu banyak kali muncul. Dugaan dan cabaran juga sangat banyak. Mudah untuk dirumuskan bahawa banyak kali gagal, dan yang berjaya itu entah iya, entah tidak. Tetapi saya memahami sesuatu. Sifat belas kasihan adalah kunci pertama. Semoga Tuhan bukakan hati saya dan kita semua untuk menyerapnya, juga kunci-kunci yang seterusnya.

Tuesday, May 08, 2012

Di Sini Kutemukan 6: Meluaskannya Kepada Semua

Saya masih teringat di saat-saat hujung saya berada di Mesir, di tempoh-tempoh kami pelajar-pelajar yang bakal pulang berbincang dan berkongsi mengenai apa yang akan kami lakukan setelah pulang. Walaupun kesimpulan umumnya adalah sama, untuk mengongsikan apa yang telah ditimba, tetapi kami juga tiba kepada kesimpulan-kesimpulan lain, pecahan daripada kesimpulan umum pertama tadi.

Walaupun kesedihan dan penuh dengan rasa berat hati dan hati berat untuk menerima hakikat waktu untuk pulang sudah tiba, apatah lagi membayangkan kemungkinan tidak dapat lagi ke Mesir dalam tempoh masa terdekat, tetapi akur juga bahawa hendak atau tidak, lambat atau cepat, saya akan pulang juga ke tanahair. Kerana erti menimba adalah untuk menyampaikan.

Ia tidak semestinya dipindahkan bulat-bulat, dan dalam gaya (uslub) asal; kata seorang kawan saya. Isi boleh dipindahkan melalui inti kefahaman, dan gaya pengungkapan (uslub) boleh diolah semula menjadi sesuatu yang serasi dengan jiwa kita orang Melayu. Saya membidas, tetapi sekiranya itu adalah caranya, maka kita akan membuat sesuatu yang baru, dan ia akan menjadi sesuatu yang skunder dan bukan primer lagi. Ia akan menjadi sebuah intipati yang dipetik dari sumber pertama, dan disampai semula, dan tidak boleh dinisbah lagi kepada penyampai asal.

Saya fikir, isi perlu disampaikan bulat-bulat, dalam gaya bahasa asal, cuma diciptakan suatu teknik dan kaedah supaya membantu orang memahami isi penyampaian. Bilang kawan saya, kalau begitu, ia akan menjadi sukar difahami dan tidak dapat menarik minat orang kepadanya. Bahkan, akan menghilangkan faedah yang dikejar, iaitu menyampaikan isi dan hasil. Walau berat, tetapi saya juga akur bahawa apa yang dituturkan itu benar, dan mungkin cara saya hanya sesuai kepada pelajar dalam bidangnya sahaja, dan tidak melebar kepada orang awam.

Di Malaysia, segala-galanya adalah berbeza. Suasana, keperluan, tuntutan, dorongan. Hampir-hampir saja menghayutkan sesiapa saja. Tujuan mudah berpindah dan berpinda, dan melarikan orang jauh dari sasaran asal mereka. Realiti Malaysia memang mengajarkan itu kepada saya. Tetapi saya menyedari kemudiannya, apabila ditemukan dengan tiga orang kawan yang lain, yang bersama-sama saya menubuhkan Al-Husna, bahawa kesesuaian isi perlu dibahagi semula, dinilai dan ditahapkan, supaya kita menyampaikan yang sesuai dengan tahapnya.

Kerana itu, saya banyak memikirkan teori tersebut untuk diaplikasikan kepada banyak perkara, melalui banyak percubaan, menilai hasil dan melihatkan kesan. Semua itu, setelah melalui pelbagai perkara lain sampingan yang perlu dipersiapkan. Tetapi betul, setelah boleh membahagikan kesesuaian isi, kemampuan teknik penyampaian perlu juga difikirkan. Kerana saya ingin meluaskan pendidikan Bahasa Arab itu kepada semua.

Tuesday, January 24, 2012

Di Sini Kutemukan : 3 : Awal 2012

Awal tahun 2012:
Syukur untuk Tuhan yang membukakan jalan, yang menemukan langkah, yang mengirimkan kekuatan, yang merestukan urusan, yang memperkenan harapan. Syukur untuk Tuhan yang mengilhamkan, melorongkan, membangunkan, mengukuhkan, menyampaikan. Alhamdulillah, wa waffiqna 'ala khairin fi d-ddin wa d-dunya wa l-aakhirah.

Friday, September 30, 2011

Di Sini Kutemukan: 1 : Langkah Pertama

Gara-gara nak menukarkan segala-gala tabiat dan kebiasaan kepada Bahasa Arab, blog ini menjadi sepi seketika. Mana taknya, setiap kali terdetik di hati suatu lintasan, saya paksakan diri mengungkapkannya menjadi Bahasa Arab. Akhirnya dalam kepayahan, tak panjang hasilnya, cuma sebaris dua dalam ketidakmatangan idea, lalu membantutkan ulasan ayat tambahan, mulhaqat, tempelan, ternafi kerana keterburuan, dan meletakkannya dalam laman sosial demi mengharapkan respon segera.

Alhamdulillah, sudah hampir sebulan saya memulakan tugas sebagai guru di Maahad Jawahir Ulum yang selalu disebut dengan nama Sekolah Menengah Agama Jawahir Ulum. Mengajar dalam ruang yang baru sebetulnya mengujakan dan mencemaskan, kerana dalam gopoh saya mencari kesesuaian rentak dan memadankan irama dengan guru-guru yang lain, sebelum boleh mencipta melodi yang serasi dengan diri sendiri. Pun begitu, saya masih memakai prinsip yang sama, untuk mengurangkan menonjolkan diri pada perkara selain Bahasa Arab, dan mencari langkah untuk terus mengusahakan sesuatu.

Alhamdulillah sekali lagi dan berkali-kali, saya diberi keberanian untuk meminta izin pengetua supaya saya boleh membuat kelas tambahan untuk anak-anak buah saya. Beliau tidak membantah, cuma mungkin saya perlu memikirkan waktu sebab sudah agak hampir dengan akhir tahun. Ustaz Muhaimin tidak membantah, kerana kelas bahasanya memfokuskan kemahiran lain. Juga syukur, kerana saya yang selalu terbang rendah ini berani juga terbang sedikit tinggi mempelawa anak-anak buah saya untuk ikut serta, dan bolak balik hati ditenteramkan kali ini.

Dan idea ini, adalah untuk menyambung semula usaha yang pernah saya buat dulu di bumi kerinduan - Mesir, membacakan mukjam asasi untuk direnungkan maknanya, supaya diserapkan intipati dan fawaidnya, dengan cita-cita ia akan meresap menjadi gerak hati dan intiusi ketika meneka-neka makna kalimah, lalu menzahirkan zauk dan rasa Arab seberapa tulen yang dapat. Cita-cita ini sudah menampakkan jalannya, semoga Tuhan memudahkan, dan halangan dialihjauhkan, pintu-pintu kefahaman dibukakan, dan kepada-Nya kita disampaikan.

Pun begitu, saya terpaksa fotostat dulu beberapa bahagian, kerana mahukan yang asli perlukan setengah tahun atau lebih, juga kos yang tinggi, apatah lagi kalau mahu diposlaju, kos akan semakin berganda. Semoga impian akan menjadi realiti yang menyenyumkan. Aamiin.

Saturday, August 27, 2011

Catatan Akhir Persinggahan 5 | Syukran Jazilan Wa Ila l-Liqaak

Akhirnya, tiba hari terakhir saya berkhidmat di Sekolah Menengah Islam Hidayah. Iaitu semalam. Saya mahu sebutkan yang manis-manis sahaja di sini, walaupun yang pahit itu ada. Biarlah saya pergi dengan sesuatu yang manis untuk diingat-ingatkan.

Saya akui, saya bukan guru yang terbaik, yang punya kelemahan dalam pelbagai aspek. Himmah saya, komitmen saya, sebahagian besarnya pada mempertingkatkan penguasaan Bahasa Arab, dan yang bakinya, mungkin pada tanbih, memberi peringatan pada perkara yang sensitif sahaja, seperti hak Tuhan dan hak Baginda s.a.w. Adapun bakinya, saya lebih banyak mendiamkan diri, walaupun saya punya banyak pendapat.

Walaupun begitu, jauh di hati kecil saya, saya masih belum begitu berjaya mendidik dan mengajar. Sebetulnya saya segan dengan guru-guru berpengalaman yang bijak menangani teknik mengajar dengan berkesan. Dengan keterbatasan sekalipun, mereka berjaya mencapai maksimum. Mungkin yang dikesalkan adalah, anak-anak buah yang menjadi mangsa percubaan saya, untuk menyampaikan sedikit pengetahuan.

Untuk anak-anak murid yang diingati, terutamanya kelas yang saya ajar, 5 Iftikhar, Mursyid, Taufiq, Zahier, Mujaddid, Farhan, Aris, Imran, Abu Hanifah, Luqman, Anas, Muhaimin, Nabilah, Zainursyazwana, Khadijah, Asma Hamizah, Fitriyah, Aqilah, Hakimah, Asma Nadzirah, Azzah, Nuha, Iman, Najibah, Syifa', Anis, Liyana, Nasyeetah. 4 Ittihad, Aiman, Hadri, Afiq, Irsyad, Muaz, Farid, Asyraf, Adib, Siddiq, Aziz, Husna, Alia, Asma', Wan Liyana, Shazreen, Nadhirah, Farhan Hidayah, Radhiah, Syahirah, Raihana, Raudhah, Puteri Amalina.

3 Mujahadah, Farid, Razali, Aminuddin, Luqman Azami, Luqman Anuar, Amin, Syafiq, Naim, Asyraf, Hisyamuddin, Hafiz, Luqman Amran, Firdaus, Azamuddin, Atiqah, Fatihah, Diana Mastura, Ummairah, Nabihah, Faiqah, Siddiqah, Nageeha, Sarah Syahirah, Sabrina, Fatin Aqilah, Liyana Amirah. 3 Ittifaq, Afiq Asyraf, Zuhair, Abdul Khaliq, Zhafir, Aiman, Amrin, Afiq Farid, Farhan Huzaimi, Izzuddin, Syafiq, Taufiq, Syed Wafiq, Usamah, Puteri Adilah, Atiqah Zin, Nadarul, Amalina, Fatihah, Taqiah, Ummu, Nailah, Afiqah, Fatin Hanani.

1 Ihsan, Aiman Albakir, Amir, Badrul, Hafizuddin, Fahmi Salmi, Fezuan, Akmal Zainuddin, Syahmi, Afiq, Akmal Sugeng, Alif, Amin Syukri, Andika, Alimuddin, Daniel, Wafi, Ridwan, Aliyah, Hafizah Jamilah, Hurun, Latifah, Munirah, Naurah, Aisyah, Abidah, Aqilah, Kauthar, Syafiqah, Syuhadah,  Untuk anak buah KP, Izz, Ibrahim, Hariz, Yasin, Ammar, Ameer, Razin, Hazim, Zulhilmi. Rasanya tiada yang tertinggal.

Untuk rakan-rakan sekerja, Syukri, Iswan, Syafiq, Taufiq, Anuar, Azri, Mazdi, Qamarulkalam, Hariz, Mohd Nur, Baihaqi, Kasmuri, Azmeen, Muslim, Ezaidin dan Omar. Juga untuk yang perempuan banyak dan tak tersebutkan. Semua staff dan kakitangan. Terima kasih, dan jumpa lagi.

Saturday, August 13, 2011

Catatan Hujung Persinggahan 4: Namamu

Kalau ditanya nama yang saya sukai tentu ada banyak, dan rasa suka itu akan kembali kepada rahsia dan makna yang terkandung di dalamnya. Seperti nama Husna wa ziyadah kerana maksud yang terdetik menggambarkan nikmat agung dan teragung. Seperti nama Muridallah, yang mengilhamkan maksud unggul kepada mereka yang faham akan tujuan kehidupan. Seperti nama Saalikiin dan nama Waasiliin, yang membawa kepada kefahaman tentang mereka yang berjalan menuju dan mereka yang sudah tiba dan sampai. Semua nama-nama ini, adalah bererti apabila kita faham maksud dan rahsianya.

Kerana itu, nama Abdullah dan Abdurrahman mempunyai nilai yang tinggi kerana memahamkan keubudiyahan kepada Tuhan, suatu maksud yang sangat mengesankan mereka yang faham. Seperti nama Muhammad, yang memberikan maksud ketinggian anugerah Tuhan kepada makhluknya, maksud pilihan dan martabat yang agung.   Sungguh ia mengesankan, bila kita memahaminya. Wabillahittaufiiq.

Friday, August 05, 2011

Catatan Hujung Persinggahan 3: Selamat Dan Jalan-Jalan Kepada-Nya

Terlupa untuk mengucapkan selamat berniat, bersahur, berbuka, berqiam, beribadah, berhari raya, kepada semua, harap ucapan yang tak seberapa ini membekalkan sesuatu yang berfaedah ke dalam diri. Sungguh, jalan kepada Tuhan itu ada banyak, namun yang paling masyhur ada dua. Jalan Mujahadah, dan jalan Mahabbah. Tentunya, bila dalam persoalan dan bab ini, orang selalu menceritakan mengenai jalan Mujahadah, di mana kita memaksa diri dan menentang nafsu. Tetapi jalan Mahabbah itu jauh lebih baik, iaitu cinta kita yang mendorongkan kita kepada Tuhan. Cukuplah kalau kita tahu, jalan itu ada banyak, dan bukan setakat dua.

Wednesday, August 03, 2011

Catatan Hujung Persinggahan 2: Fala Tuzakki Nafsaka

Faj-atan, tiba-tiba, saya terkenangkan maksud sebuah firman yang bermaksud (( Maka janganlah kalian menyucikan diri kalian )). Menyucikan dalam ayat ini, atau dalam lafaz arabnya, tuzakku membawa maksud, menganggap diri sebagai baik, bersih, soleh, atau seumpamanya, Apatah lagi kalau bukan sekadar menganggap bahkan mengungkapkan diri sebagai baik, soleh, atau dalam bahasa yang lebih mudah, memuji diri kerana suatu amalan kebaikan yang dilakukan. Apatah lagi kalau bukan sekadar mengungkapkan, menyatakan diri sebagai baik, soleh, memuji diri sendiri bahkan melampaui lagi sehingga menghinakan orang lain yang tidak melakukan amalan kebajikan yang dia lakukan.

Allah. Sungguh. Menganggap diri lebih baik daripada orang lain dan memuji diri sendiri itu sungguh bukan ajaran agama kita. Walaupun semua pujian itu hanya kita tuturkan di dalam hati, apatah lagi kalau kita ungkapkan dengan lidah. Sungguh, kebaikan Tuhan itu adalah amat luas, bukan terbatas hanya pada amalan kebaikan yang kita lakukan, yang kita rasakan sesetengah orang lain tidak lakukan. Amalan kebaikan itu amat banyak, dan apa yang kita lakukan itu, yang tidak dilakukan oleh orang lain itu, cumalah sebahagian kecil daripada seluruh amalan kebaikan yang ada. Lalu, untuk apakah kita melanggar firman ini dan memuji diri, di dalam hati mahupun dengan lidah?

Benar. Mungkin amalan kebaikan yang kita amalkan itu mempunyai ganjaran kebaikan yang tinggi, atau paling tinggi, sehingga kita merasakan kita lebih baik berbanding mereka yang tidak mengamalkan amalan kebajikan yang kita lakukan. Kita merasakan, bahawa ganjaran amalan kebajikan yang dilakukan oleh orang lain adalah kecil berbanding dengan ganjaran amalan kebajikan yang kita lakukan. Tetapi, apakah kita mempunyai jaminan amalan kita akan diterima? Dan apakah jaminan untuk kita mengatakan, ganjaran yang kita terima adalah lebih besar dari ganjaran yang orang lain terima? Apakah jaminan untuk kita mengatakan bahawa kita lebih baik di sisi Allah berbanding orang lain?

Jangan sampai kita lupa bahawa Allah itu Maha Pemurah. Dia boleh memberikan ganjaran yang besar untuk amalan kita, tetapi Dia juga berhak untuk memberikan ganjaran yang jauh lebih besar kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Bukankah selama ini kurniaan Allah juga begitu? Bahawa Dia telah menuliskan kita Islam di alam ruh, sebelum sempat kita menadah tangan untuk menjadikan kita Islam. Dia telah menuliskan untuk kita rezeki sebelum sempat kita mengangkat tangan memohon diberikan rezeki. Lalu, apakah yang menghalang-Nya untuk memberikan ganjaran lebih besar kepada orang lain, lebih besar dari ganjaran yang Dia berikan kepada kita?

Sungguh, sebesar manapun amalan kebaikan yang kita amalkan, panjatkanlah rasa harap agar Dia menerimanya, dan elakkan memuji diri apatah lagi menghinakan yang lain, sama ada dengan lidah ataupun dengan hati, kerana kita tidak tahu, barangkali orang lain itu lebih dekat kepada Allah berbanding kita. Elakkan memandang orang lain hina walaupun dengan hati, kerana seperti mana maksud firmannya, (Dan Dia Maha Mengetahui apa yang ada di dalam dada, hati)) Tetapi, pandanglah orang lain dengan pandangan rahmat dan belas kasih, sungguh, yang membawa manusia kepada Tuhan itu bukanlah kita, tetapi adalah Dia.

Sunday, July 24, 2011

Catatan Hujung Persinggahan 1 : Toreh Dan Luka

Sebetulnya, saya sedih kerana terpaksa mengucapkan kata-kata yang kasar. Sebahagiannya adalah kerana marah, dan setiap kali saya menoreh mereka, saya terasa seperti menoreh diri sendiri. Sebahagiannya pula adalah untuk mengelakkan salah faham, kerana singkatnya mereka memahami erti rahmat yang bererti belas, dan sifat belas seorang muslim adalah seluas lautan, sifat belas inilah menjadi simbol Baginda s.a.w.

Itulah yang akan berlaku apabila kita tidak habis-habis mahu mengukur iman orang lain. Pandangan kita penuh dengan buruk sangka, dan selalu mencari aib orang lain. Lebih malang lagi, kita sudah memberi hukuman kepada mereka di dunia, padahal Tuhan masih lagi memberi peluang untuk mereka bertaubat. Bahkan sifat belas Tuhan meluas sehingga akhirat dan sebahagian kesalahan masih lagi ditutup dan diampunkan.

Sungguh, selalu saya terfikirkan, saya berada di sistem yang saya tidak menyetujuinya, dan untuk mengubahnya adalah seperti mengubah segala-galanya, dan membuatkannya seperti tidak mungkin dengan kudrat diri. Saya berdoa kepada Tuhan, membukakan hati kita kepada kebenaran, dan menjelmakan kita kepada serupa Junjungan Pilihan.

Saturday, July 16, 2011

Muzoharot

Sungguh, saya tak menyangka sampai begitu rancak sekali perdebatan mengenai adakah demonstrasi ini dihukumkan sebagai menurut syarak atau pun tidak. Maksud saya, di kalangan sahabat-sahabat saya di Mesir, sahabat-sahabat yang saya kagumi kesungguhan mereka menadah ilmu dari tokoh-tokoh besar ilmuan di sana. Saya sangat gembira mereka mendapat penjelasan yang begitu terus dan tulus bahkan mendengar dan melalui semuanya di sana.

Cuma, dalam rancaknya perdebatan, seperti mana yang saya sendiri pernah lalui, jangan sampai kita berdendam dan bermasam muka. Elakkan debat kalau kita tidak mempunyai kelapangan hati, kerana syaitan itu barulah musuh sebenar kita, yang sentiasa mencari jalan. Sedar hakikat ini, dan lapangkan hati, ingatlah sentiasa bahawa lawan debat kita itu adalah kawan, saudara seagama kita. Saya juga dulu bila debat hingga terlupa hakikat ini, kadang-kadang terbawa-bawa, kemudian menyesal kerana terlanjur kata kerana terlalu mengikutkan hati.

Tetapi sungguh, setelah berbual dengan seorang dua, dan membaca satu dua tulisan, barulah perasan bahawa memang ada yang berdebat mengenai hal ini. Ada yang mengambil pendapat ulamak Mesir, ada yang mengambil pendapat ulamak Syria, dan ada yang menggabungkan kedua-duanya, dan ada yang mentarjihkan setelah menggabungkan kedua-duanya. Sungguh, mereka sudah sampai ke tahap perbincangan yang tinggi hingga tiba ke batasan khilaf. Sungguh, kita juga patut mempunyai sikap yang dipunyai oleh ulamak yang tiba ke perbatasan tersebut, sikap lapang, dan ingat bahawa mereka adalah saudara kita.

Setelah membaca kedua-duanya, saya juga memahami pelbagai perkara. Dan saya masih berpegang pada konsep bahawa saudara seagama, adalah saudara kita, tidak kira di parti apa mereka tersebut, walaupun mereka berdosa besar. Kekasaran sesama saudara seagama adalah tidak betul dan salah, kerana itu saya kesal dengan sikap mencederakan yang berlaku. Namun saya juga sedar saya tidak dapat menghalang perkara tersebut berlaku, itu tambah mengesalkan.

Perhimpunan bersih memang sudah ada tanda-tanda awal ia akan menjadi kekasaran, kerana kerajaan menggelarnya sebagai perhimpunan haram. Bukan itu saja, ia seperti akan dibanteras habis-habis, dengan pengumuman bahawa jalan-jalan masuk ke Kuala Lumpur disekat, hala laluan bas ditukar, individu-individu tertentu sehingga 91 orang dilarang masuk ke sana, kempen besar-besaran di media yang menampakkan kebencian kerajaan terhadap perhimpunan ini. Bahkan, sekatan di tempat-tempat lain yang tiada kaitan dengan jalan ke Kuala Lumpur sebelum perhimpunan tersebut turut menampakkan maksud yang sama.

Saya sebetulnya mengharapkan tiada yang buruk berlaku, walaupun petanda-petanda seperti membayangkan kemungkinan itu ada. Betul, saya dalam hal ini bukan mahu mencari siapa lebih betul dari siapa yang betul, atau bukan mencari siapa lebih bersalah dari siapa yang bersalah. Apa yang saya kesal adalah kehilangan nyawa, kerana nyawa manusia adalah haram, kita dilarang membunuh orang, bahkan kita juga dilarang menjerumuskan diri kepada dibunuh oleh orang. Kita dilarang mencederakan orang, dan kita juga dilarang menyebabkan diri kita dicederakan orang. Apatah lagi mereka itu adalah saudara seislam sama agama dengan kita.

Bercakap tentang menuntut keadilan supaya dengan keadilan itu maka terlaksanakan proses pemilihan pemerintah, lantas mengingatkan saya pada sebuah hadis tatkala seorang Ansar, saya ulangi, seorang Ansar bertemu dengan Baginda Nabi s.a.w. bertanya Baginda, apakah Baginda tidak mahu melantiknya menjadi ketua seperti mana Baginda melantik si fulan (orang Muhajirin) sebagai ketua? Lalu respon Baginda terhadap hal ini, Sesungguhnya Kalian, saya ulang, Sesungguhnya Kalian akan menemui begitu banyak sikap mementingkan diri di zaman selepas aku tiada, maka bersabarlah kalian, sehingga kalian menemuiku di haud (telaga, iaitu di padang mahsyar nanti).

Sungguh, maksud tersirat memahamkan bahawa akan ada pihak yang mementingkan diri, dan kalian akan marah dan cuba menuntut hak, tetapi Baginda meminta kita bersabar, dan bukan sekadar sabar yang biasa, tetapi sabar sehinggalah hari kiamat esok, di hari kebangkitan. Bagi saya, ini adalah antara isyarat paling penting, bagi mereka yang bertanya sampai bilakah kami harus bersabar, dan ia adalah ajaran tindakan yang diajarkan kepada kita. Kepada pihak yang satu lagi, fahamilah bahawa nyawa seorang muslim adalah haram, bahkan lebih dari kehormatan Kaabah. Bahawa kedudukan pemerintah itu datang bersama tanggungjawab, dan semuanya akan dipersoalkan di hari kemudian kelak.

Sungguh, apabila kemarahan manusia memuncak, sudah bertahun bersabar menahan dengan kezaliman orang lain terhadapnya, saya selalu teringat peristiwa yang sama berlaku kepada saya. Mulut sudah tidak boleh dikawal kerana marah. Kerana itu saya faham akan kemarahan rakyat, dan saya berharap pihak yang terbabit juga faham, dan betulkanlah keadaan yang pincang. Untuk pihak yang marah, seraplah kesabaran sedapat-dapatnya, seperti mana kisah Sahabat yang bersabar dan tidak menuntut bela terhadap sahabat yang masuk Islam, padahal mereka dulu adalah orang yang membunuh ahli keluarganya ketika perang Badar dan sebagainya. Mereka memandang orang yang membunuh ahli keluarga mereka, bersabar kerana menyedari mereka itu telah masuk Islam dan menjadi saudara. Itulah besarnya nilai saudara seagama dalam agama kita ini.

Sabarlah, dan ingatlah sabda Baginda yang menyebutkan antaranya bermaksud, Aku sudah memohon kepada Tuhan supaya Dia tidak memusnahkan kita umat Islam dengan kemusnahan seperti umat-umat sebelum kita, lalu Dia menunaikan permintaanku itu, dan aku meminta Tuhan agar kita tidak ditewaskan musuh dari agama selain kita (orang kafir), lalu Dia menunaikan permintaanku itu, dan aku meminta agar Dia agar tidak memakaikan kita pakaian perpecahan (berpecah belah), tapi Dia tidak memperkenankannya.

Bahawa perpecahan ini adalah suatu yang Nabi tidak mahu kita lalui, dan Baginda mahu kita bersatu. Tugas menegur pemerintah yang zalim harus diteruskan, seperti maksud sabda Baginda, sebaik-baik Jihad adalah kalimatul haq (mengatakan kebenaran) di depan sultan yang zalim, dan bukannya memberontak, atau menjatuhkan secara paksa. Kerana itulah saya fikir demonstrasi berlaku kerana mereka juga mengambil kira bahawa demonstrasi adalah satu cara menyatakan kebenaran. Tetapi risiko yang dikandung oleh demonstrasi yang melibatkan nyawa itu perlu diambil kira dalam pertimbangan.

Sungguh, saya berdiri di sebelah hujah bahawa demonstrasi bukanlah cara terbaik untuk berdepan dengan orang yang bertindak kasar. Untuk berdepan dengan pihak yang tidak bertindak kasar mungkin adalah ya. Kemudian, jangan kita lupa hakikat kalimah zalim bukan digunakan untuk satu makna. Bahawa ketika Sahabat-sahabat bersusah hati apabila mereka merasakan merekalah pihak yang digelar zalim, kerana di zaman Jahiliah mereka membunuh anak-anak mereka kerana jahil, lalu Baginda s.a.w. membetulkan pemahaman mereka, bahawa Syirik itulah kezaliman yang dimaksudkan. Bahawa kalimah zalim masih mempunyai pelbagai pertimbangan.

Sungguh, memang seperti tidak logik apabila Baginda Nabi s.a.w. meminta kita bersabar sehinggalah ke hari kiamat esok, hingga tertanya-tanya, apakah cara untuk mengubah manusia yang degil dan zalim ini, tetapi tenunglah firman Allah ini, sesungguhnya engkau tidak memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau mahu, akan tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia mahu. Jadi, pintalah kepada Allah, serulah mereka ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik, dan berdebatlah (cara terakhir) dengan langgam yang lebih baik (dari cara mereka berdebat dengan kamu).

Wednesday, July 13, 2011

Turun Naik

Subhanallah. Motivasi kerja saya kerap turun naik akhir-akhir ini. Inilah sukarnya seorang hassaas. Lebih-lebih lagi saya kerap berasa penat, dan terlupa mengambil rehat yang berkualiti. Lebih mengecewakan, banyak masa tidak dimanfaatkan semaksimumnya. Itu yang membuatkan saya sedih, kerana waktu berharga saya tidak dimanipulasi sebaiknya. Apabila menyalahkan, saya tidak jumpa melainkan ia adalah salah diri. Masa terus berdetik, dan saya harap boleh menghasilkan sesuatu. Semoga Allah membantu saya, dan membantu kita semua.

Sunday, July 10, 2011

Menuang Garam Ke Mata Luka


Di akhir zaman ini terutamanya, kita tidak boleh lari dari berasa sakit hati apabila disakiti sama ada dengan lidah mahupun dengan tangan. Dan dalam banyak keadaan, apabila disakiti, kita akan cenderung untuk membalasnya. Bagi kita, itu adalah keadilan kita. Bagi kita, itu adalah hak kita. Apabila kita disakiti, maka kita berhak untuk membalasnya. Dan ia adalah betul, tetapi ia amat sukar untuk diukur. Membalas itu merupakan hak, tetapi mengkadarkannya adalah bukan kita yang mengukurnya.

Adalah amat malang lagi, apabila kita membalas, kita menjadikan perasaan kita sebagai hakim. Atau lebih tepat lagi, mengikutkan sekehendak hati. Kita balas sehingga kita rasa puas, tanpa memperdulikan, adakah kita membalas dengan nisbah yang sama apabila kita disakiti, atau siapa tahu, kita menyakiti orang tersebut lebih dari kadar dia menyakiti kita, kerana kita telah merajakan kehendak hati.

Kerana itu, dalam ajaran agama kita, memaafkan adalah cara terbaik, walaupun menuntut balasan itu adalah cara yang adil. Mungkin kerana kita terlupa sejenak hakikat bahawa sesungguhnya, walau bagaimana tidak adil sekalipun dunia ini, Tuhan akan mengadilinya dengan pengadilan yang seadil-adilnya. Seraplah maksud firman Allah, Allahlah yang memberikan hukum kata putus antara kalian pada hari kiamat pada perkara yang kalian perselisihkan.

Tetapi betul, kita sangat berasa sakit hati dan ingin membalasnya, agar luka di hati kita akan bertampal. Akan tetapi. alangkah malangnya kalau pihak yang kita balas itu adalah sama agama dengan kita, seorang muslim, kerana sepertimana ajaran Baginda s.a.w., seorang Muslim (yang sempurna agamanya) adalah seorang muslim yang mana kaum muslimin lain boleh berasa selamat dari (disakiti oleh) lidah dan tangannya. Ya betul, kita berhak membalas, tetapi balasan itu akan mengenai seorang muslim, dan ajaran Baginda ini tidak menyebelahi kita.

Kita bukan setakat mahu menjadi seorang Muslim, tetapi juga sebagai seorang Muslim yang sempurna agamanya. Tetapi barangkali yang silapnya adalah, kita hidup di zaman yang mana orang Islam sendiri yang menyakiti kita. Kita hidup di zaman yang mana orang Islam yang kita temui itu adalah pelaku dosa besar, apatah lagi dosa kecil. Kita hidup di zaman yang mana yang menganiaya kita adalah orang Islam sendiri. Sungguh, kita membenci hakikat kita dizalimi. Kita benci. Tetapi sebutlah selalu maksud sabda ini ke dalam hati kita, tidak (sempurna) beriman seseorang dari kalangan kalian, sehinggalah dia sukakan sesuatu itu untuk saudaranya sepertimana dia sukakannya untuk dirinya sendiri.

Sungguh. Bila kita terkenangkan maksud firman Tuhan bahawa orang beriman itu bersaudara, bersaudara dalam erti kata adik beradik, mungkin mengenangkan itu boleh menyejukkan sedikit amarah hati kita. Atau mengenangkan bahawa umat Islam itu adalah di jasad yang satu, dan tidak patut kita menambah luka ke atas luka. Luka yang dibuat oleh orang lain perlu masa untuk sembuh, dan kalau kita menambah lagi luka, ia juga akan semakin memburukkan keadaan.

Tak mengapalah kalau bahagian kita di dunia ini terlepas kepada saudara seagama kita, ia masih lebih baik, kerana dunia ini adalah manisan yang mempersonakan. Lagipun kita diseru untuk mengeluarkan dunia ini dari hati kita. Tak mengapalah kalau bahagian dunia ini terlepas kepada saudara seagama walaupun mereka mendapatkannya dengan cara kotor, haram, keji. Kerana saudara seagama adalah saudara kita, tidak kira betapa besarnya dosa mereka.

Jangan sampai kita terlupa bahawa ucapan syahadat mereka sudah menjadikan maruah mereka adalah haram dari diceroboh. Jangan sampai mereka terlupa, bahawa mereka adalah saudara, dan bukannya musuh. Kita Ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang kukuh bahawa pelaku dosa besar tidak menukarkan muslim kepada kafir, tetapi menukarkannya kepada fasiq. Dan jangan sampai kita terlupa, cuma dosa syirik saja yang tidak diampunkan, dan bahawa pintu taubat masih terbuka, walaupun orang itu berdosa besar.

Hakikat bersaudara ini sebetulnya mengajarkan kita untuk bersabar menghadapi saudara kita, kerana mereka adalah saudara, dan bukannya musuh. Musuh kita seperti mana yang dikhabarkan al-Quran adalah syaitan, dialah musuh kita yang nyata. Dan musuh kita yang tersembunyi adalah nafsu yang sentiasa menyuruh kepada keburukan. Kerana itu, maafkanlah saudara kita, dan doakanlah mereka berubah, bukan kita memeranginya.

Sungguh, dunia ini bukanlah tempat kita menerima balasan atas setiap amalan kita. Tempat menerima balasan amalan kita adalah di dunia akhirat sana. Kerana itu, apabila kita tidak mendapat ganjaran kebaikan yang sepatutnya di dunia ini, bahkan dizalimi oleh saudara seagama, ketahuilah seperti mana yang dikhabarkan bahawa, setiap kezaliman itu akan dibalas di akhirat sana, kebaikan mereka ditarik ke pihak kita, dan kalau tiada berbaki, kesalahan kita pula diserahkan kepadanya. Sungguh, dunia bukan tempat untuk kita mendapatkan segala-gala yang merupakan hak kita. Apa yang patut kita lakukan adalah memberikan nasihat, dan mendoakan agar mereka menerimanya.

Kita sebetulnya layak membalas. Tetapi bagaimana kita mahu pastikan bahawa balasan itu sama atau pun kurang daripada kadar mereka mengenakan kita? Bagaimana kalau kita membalas dengan balasan yang lebih tinggi kadarnya berbanding kadar mereka mengenakan kita? Tidak risaukah kalau kita membalas, lalu ia dari sudut hakikat adalah lebih dari kadar mereka menyakiti kita, perkara ini akan menjadikan dia sebagai pihak dizalimi, dan menjadikan kita sebagai pihak yang menzalimi.

Sabarlah. Yakinlah hakikat akhirat itu adalah benar. Dan keadilan Tuhan itu adalah benar. Keadilan itu kita akan peroleh. Dan kalau kita mengaji dan belajar, bukan keadilan yang kita harapkan di akhirat esok. Kerana kita setiap inci kita ditimbang dengan keadilan Tuhan, maka tiada pintu syurga yang akan dibuka untuk kita. Tetapi di hari yang mana itu, keadilan yang kita perjuangkan untuk mendapatkannya dengan sepenuh raga, tetap bukan pilihan utama kita. Sebaliknya kita mengharapkan rahmat belas kasihan Tuhan pula ketika itu.

Di akhir tulisan, teringat saya pada maksud sebuah hadis yang menceritakan bagaimana seorang muslim di hari kiamat, ia dizalimi saudara seislamnya ketika di dunia, lalu enggan memaafkan saudaranya. Ia mahu menuntut haknya di depan Tuhan. Lalu Tuhan menunjukkan syurga dan kesenangannya, lalu bertanya adakah dia mahukan yang tersebut sebagai ganjaran, kerana ganjaran itu akan diperoleh jika ia memaafkan saudaranya, memikirkan itu, lalu dia memilih gandaan ganjaran berbanding menuntut keadilan.

Sunday, July 03, 2011

Kaci

Saya sebetulnya rasa kecewa dengan orang-orang yang mengetahui cita-cita saya, tetapi mereka tetap melawannya. Mereka tahu dan berulang-ulang kali saya menyebutkannya, tetapi mereka tetap terus menerus menolaknya. Mereka tahu apa yang saya benci, dan  mereka berterusan memaksa saya melakukannya. Mereka tahu apa yang saya suka, dan mereka akan berusaha sedaya upaya dan berkali-kali untuk menyekatnya. Terus terang saya rasa kecewa yang amat dengan orang yang sengaja menyakiti hati saya.

Dan semua ini sebenarnya membuatkan saya malas untuk menyatakan apa-apa pandangan saya, persepsi saya, perasaan saya, buah fikiran saya, kerana ia sebenarnya seperti suatu yang sia-sia, bahkan melukakan. Tetapi membalas luka dengan luka pula bukanlah sesuatu yang dipuji, kerana semua luka itu berada di jasad yang sama, dan luka mereka adalah luka saya juga. Saya mengetahui bahawa kebaikan itu adalah akhlak yang baik, tetapi ia seperti sangat susah dalam keadaan ini. Semoga Allah membantu kita mencapainya.

Monday, June 13, 2011

Antara Yang Menjadi Mutiara Dan Mentari Suatu Masa Nanti

Sebelum menulis isi entri ini, saya mahu meluahkan rasa terkejut dengan paparan Blogger Draft yang baru. Saya memang sudah lama mencuba blogger draft sejak ia diperkenalkan. Terkejut sebab ketika menaip, seperti menaip di microsoft word. Rasa puas sebab paparan yang luas, atau sebab selesa seolah-olah menaip di word.

Perjalanan ke Kajang, Jumaat 3 Jun yang lepas sebetulnya dirancang beberapa jam sebelumnya. Maghrib 2 Jun, saya menerima panggilan dari Jamshid, kawan saya dari Mesir, seorang berbangsa Uzbek, menyatakan Syeikh Mohd Awadh turun ke Malaysia. Kuala Lumpur katanya. Alhamdulillah, mencari di internet menemukan jawapan lokasi sebenar.

Walaupun tidak dapat mengikuti sehingga habis kerana musim persekolahan sudah bermula, tetapi Alhamdulillah, kerana dapat berjumpa beliau sepanjang 8 hari, dan menghabiskan sama' dan tahammul separuh Sohih Bukhari, kosong-kosong di dada seperti padang pasir yang menerima hujan lebat, dan luka-luka di dalam hati banyak terubat, dan rasa indahnya hidup.

Terima kasih pada semua yang membantu, Faiz terutamanya kerana membenarkan saya tumpang bermalam sehingga mengamanahkan kunci semasa dia ke kenduri kahwin. Terima kasih juga pada mak ayah yang memahami dan walaupun separuh menghalang akhirnya berjaya dipujuk. Syukur pada Tuhan perjalanan yang selamat, walaupun di permulaan ketika balik saya disapa hujan.

Seperti erti sebuah lagu yang saya dah tak ingat lagu yang mana satu menyatakan, semua air mata akan menjadi mutiara-mutiara yang bernilai untuk dijadikan kenangan, apatah lagi kegembiraan yang barangkali menjadi mentari pula ketika itu.

Friday, May 27, 2011

Ukuran Tahap Tekanan

Mengalami tekanan adalah suatu yang normal dalam kehidupan. Itu saya juga alami. Mungkin memilih reaksi yang sesuai adalah langkah yang patut kita fikirkan. Tetapi bagi saya yang kerap kali gagal menangani tekanan dengan yang reaksi yang sesuai selalu menimbulkan permasalahan lain. Kerana itu, dalam banyak keadaan, langkah terbaik adalah meminimumkan kesan negatif yang mungkin, dan mengelakkan kemelaratan berpanjangan.

Sebetulnya, tekanan itu dalam keadaan yang lain cuma dianggap sebagai masalah biasa. Atau sebagai suatu dugaan. Namun ia berubah nama menjadi tekanan apabila masalah dan dugaan ini gagal ditangani dengan emosi yang stabil. Ketidakstabilan emosi yang barangkali disebabkan oleh perkara-perkara lain menjadi buruk apabila dugaan datang bertandang. Tetapi, sekiranya ia datang dalam keadaan kesediaan mental yang mencukupi, perkara yang menjadi tekanan ini tidak naik tahapnya menjadi tekanan, cuma akan menjadi satu cabaran kematangan yang perlu ditangani. Begitu saja.

Namun, setelah ia bertukar nama menjadi tekanan, menanganinya dengan emosi yang betul adalah sesuatu yang perlu difikirkan. Atau sekurang-kurangnya, berdiam buat seketika memikirkan dan mencari jalan adalah langkah terbaik buat ketika tersebut. Banyak kalinya, saya cuba menghalau pergi tekanan ini dengan cuba untuk melupakannya, tetapi kebanyakan usaha adalah gagal. Memiliki kembali pemikiran yang jernih. Mungkinkah itu solusi yang sesuai?

Berdepan dengan orang yang kita perlu berjaga-jaga, agar tidak mengambil tindakan kurang hormat dan kasar atau canggung budi bahasa, adalah perkara paling sukar yang perlu dihadapi ketika berdepan dengan tekanan. Saya juga sama. Kebanyakan respon saya patut dikategorikan sebagai gagal. Di situlah sebenarnya tahap untuk menguji tahap kematangan. Namun, rasa terima dan redha perlulah ada. Sabar juga adalah perlu. Mencari jalan adalah penting. Walaupun patut dimulakan dengan mengunci mulut terlebih dahulu sebelum berbuat apa-apa.

Monday, March 28, 2011

Macet, Kesibukan Dan Komitmen

Sebetulnya, masa yang tidak sempat-sempat dan halangan-halangan maknawi yang saya redahi dalam tempoh beberapa bulan sedikit menyukarkan saya aktif membuat pos ke blog ini. 9 Januari 2011, setelah dua bulan merancang, akhirnya Al-Husna Arabic Centre selamat dilancarkan, walaupun pada hari bersejarah itu saya tidak dapat datang. Pada pertengahan Februari, kelas kedua dilancarkan. Kedua-dua kelas yang merupakan kelas bahasa Arab untuk orang awam. Kemudian kelas untuk kanak-kanak dirancang, namun sedikit masalah teknikal berlaku. Kini, kelas ketiga untuk orang awam dibuka untuk ambilan Mei, dengan kuantiti terhad, 20 orang sahaja.

Aktiviti Al-Husna separuh rancak secara puratanya. Adakalanya saya hampir tiada rehat dan kepala sentiasa penuh dengan pelbagai tugas untuk dilaksanakan, dan adakalanya saya boleh mengambil nafas dan tidak terkejar-kejar. Yang macet benar, adalah apabila ada projek yang perlu ditunaikan segera. Mungkin kadang-kala sedikit tekanan itu wujud dan ketenangan sudah retak dan berkecai.

Saya cuba untuk memberikan tumpuan tidak berbelah bagi kepada semua komitmen, dan cuba untuk tidak membazirkan walau sepuluh saat. Tetapi minggu yang sudah, apabila menolak diri sendiri sampai ke batasan dan melebihi batasan, saya hampir-hampir tumbang jatuh tergolek sakit. Berselang-seli saya lakukan, antara bersungguh-sungguh, dan bersantai-santai. Pun begitu, tugas yang meminta diselesai segera juga semakin memundak di bahu.

Saya sudah bertugas di Sekolah Menengah Islam Hidayah, mengajar bahasa Arab. Tugas sebagai guru saja sudah menuntut komitmen yang tinggi dan persiapan yang berkesan, supaya saya sendiri boleh berpuas hati dengan pengajaran hari ke hari. Berkali-kali juga saya mengkaji sebab kegagalan pengajaran di dalam kelas dengan kejayaan-kejayaan dalam kelas yang lain, di samping tidak henti-henti merancang sesuatu untuk melakukan pengajaran yang berkesan.

Kini, sebuah projek di bawah Al-Husna menanti untuk dilaksanakan. Targetnya adalah 31 Mac, dan kerjanya pun agak boleh tahan mencabar. Saya berdoa kepada Tuhan, membantu saya melaksanakan, di samping dapat mempersiapkan diri mendepani tugas-tugas dan komitmen lain dengan berkesan dan berkualiti. Walaupun waktu suntuk, saya cuba juga untuk pulang ke kampung halaman, di Ayer Hitam seminggu sekali, walaupun untuk sekejap. Semoga Allah memberkati kita semua.