Showing posts with label Fikrah. Show all posts
Showing posts with label Fikrah. Show all posts

Tuesday, January 03, 2012

Di Sini Kutemukan : 2 : Lapis-Lapis Di Atas Kita

Bila manusia berada di muka bumi, mereka menyangka yang awan, matahari, bulan, bintang itu berada di satu lapisan yang sama. Dia melihat semuanya berada di atasnya, dan tingkatan itu cuma ada dua. Tetapi apabila dia sampai ke awan, dia menyangka, matahari, bulan dan bintang itu berada di satu lapis yang sama, dan ia tidak menyedari sehinggalah dia tiba di matahari, untuk menyaksikan bintang jauh lagi berada di atas. Ketika di matahari pun, dia menyangka semua bintang itu berada di lapis yang sama, hinggalah dia tiba di bintang terdekat untuk menyedari bahawa terdapat lapis-lapis di atasnya.

Manusia, dengan kejahilannya, menyangka semua tingkatan ilmuan itu satu, dan baginya adalah sama. Dia seperti manusia yang melihat awan, matahari, bulan, dan bintang berada di satu lapis yang sama. Tetapi, apabila dia sudah berilmu lebih sedikit hingga sampai ke awan, barulah dia menyedari hakikat bahawa ilmuan itu ada banyak tingkat, dan dengan keilmuan yang dia ada pun, dia masih tidak dapat memastikan kedudukan tingkatan-tingkatan di atasnya.

Kerana itu, belajar itu bukan saja untuk mengilmukan diri, tetapi juga adalah supaya kita boleh mengetahui lapisan dan tingkatan orang yang lebih berilmu. Tetapi dengan secupak yang kita miliki, kita masih menjahili semua lapisan, dan ia seolah-olah kelihatan sama. Kerana, hanya orang yang berilmu saja tahu kedudukan orang yang berilmu di atasnya. Adapun kita, adalah sama seperti manusia yang berada di atas muka bumi.

Apabila kita dikenalkan nama Imam-imam besar, kerana kejahilan kita barulah kita menyangka mereka itu semuanya berada di satu lapisan, padahal setiap satunya mempunyai tingkat lapisan yang berbeza. Tetapi perkara itu adalah tersembunyi dari kita. Dan kita hanya boleh mengetahui apabila seorang ilmuan memuji ilmuan yang lain, dan hanya pujian ilmuan saja mempunyai nilai kepada ilmuan lain. Adapun kita yang memuji bulan, matahari, bintang dengan tingkatan yang sama, pujian kita itu tidak menunjukkan nilai kedudukan mereka, kerana kejahilan kita tidak menyampaikan kita kepada tahap pemahaman kedudukan yang sebenarnya.

Kerana itu, bersifatlah rendah diri, kerana kita tidak tahu siapakah yang berjalan mundar mandir lalu lalang di depan belakang kita. Barangkali dia adalah bintang yang paling jauh, dan kerana kita baru tiba di awan, kita tidak menyedari nilai sebenarnya.

Wednesday, August 03, 2011

Catatan Hujung Persinggahan 2: Fala Tuzakki Nafsaka

Faj-atan, tiba-tiba, saya terkenangkan maksud sebuah firman yang bermaksud (( Maka janganlah kalian menyucikan diri kalian )). Menyucikan dalam ayat ini, atau dalam lafaz arabnya, tuzakku membawa maksud, menganggap diri sebagai baik, bersih, soleh, atau seumpamanya, Apatah lagi kalau bukan sekadar menganggap bahkan mengungkapkan diri sebagai baik, soleh, atau dalam bahasa yang lebih mudah, memuji diri kerana suatu amalan kebaikan yang dilakukan. Apatah lagi kalau bukan sekadar mengungkapkan, menyatakan diri sebagai baik, soleh, memuji diri sendiri bahkan melampaui lagi sehingga menghinakan orang lain yang tidak melakukan amalan kebajikan yang dia lakukan.

Allah. Sungguh. Menganggap diri lebih baik daripada orang lain dan memuji diri sendiri itu sungguh bukan ajaran agama kita. Walaupun semua pujian itu hanya kita tuturkan di dalam hati, apatah lagi kalau kita ungkapkan dengan lidah. Sungguh, kebaikan Tuhan itu adalah amat luas, bukan terbatas hanya pada amalan kebaikan yang kita lakukan, yang kita rasakan sesetengah orang lain tidak lakukan. Amalan kebaikan itu amat banyak, dan apa yang kita lakukan itu, yang tidak dilakukan oleh orang lain itu, cumalah sebahagian kecil daripada seluruh amalan kebaikan yang ada. Lalu, untuk apakah kita melanggar firman ini dan memuji diri, di dalam hati mahupun dengan lidah?

Benar. Mungkin amalan kebaikan yang kita amalkan itu mempunyai ganjaran kebaikan yang tinggi, atau paling tinggi, sehingga kita merasakan kita lebih baik berbanding mereka yang tidak mengamalkan amalan kebajikan yang kita lakukan. Kita merasakan, bahawa ganjaran amalan kebajikan yang dilakukan oleh orang lain adalah kecil berbanding dengan ganjaran amalan kebajikan yang kita lakukan. Tetapi, apakah kita mempunyai jaminan amalan kita akan diterima? Dan apakah jaminan untuk kita mengatakan, ganjaran yang kita terima adalah lebih besar dari ganjaran yang orang lain terima? Apakah jaminan untuk kita mengatakan bahawa kita lebih baik di sisi Allah berbanding orang lain?

Jangan sampai kita lupa bahawa Allah itu Maha Pemurah. Dia boleh memberikan ganjaran yang besar untuk amalan kita, tetapi Dia juga berhak untuk memberikan ganjaran yang jauh lebih besar kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Bukankah selama ini kurniaan Allah juga begitu? Bahawa Dia telah menuliskan kita Islam di alam ruh, sebelum sempat kita menadah tangan untuk menjadikan kita Islam. Dia telah menuliskan untuk kita rezeki sebelum sempat kita mengangkat tangan memohon diberikan rezeki. Lalu, apakah yang menghalang-Nya untuk memberikan ganjaran lebih besar kepada orang lain, lebih besar dari ganjaran yang Dia berikan kepada kita?

Sungguh, sebesar manapun amalan kebaikan yang kita amalkan, panjatkanlah rasa harap agar Dia menerimanya, dan elakkan memuji diri apatah lagi menghinakan yang lain, sama ada dengan lidah ataupun dengan hati, kerana kita tidak tahu, barangkali orang lain itu lebih dekat kepada Allah berbanding kita. Elakkan memandang orang lain hina walaupun dengan hati, kerana seperti mana maksud firmannya, (Dan Dia Maha Mengetahui apa yang ada di dalam dada, hati)) Tetapi, pandanglah orang lain dengan pandangan rahmat dan belas kasih, sungguh, yang membawa manusia kepada Tuhan itu bukanlah kita, tetapi adalah Dia.

Saturday, July 16, 2011

Muzoharot

Sungguh, saya tak menyangka sampai begitu rancak sekali perdebatan mengenai adakah demonstrasi ini dihukumkan sebagai menurut syarak atau pun tidak. Maksud saya, di kalangan sahabat-sahabat saya di Mesir, sahabat-sahabat yang saya kagumi kesungguhan mereka menadah ilmu dari tokoh-tokoh besar ilmuan di sana. Saya sangat gembira mereka mendapat penjelasan yang begitu terus dan tulus bahkan mendengar dan melalui semuanya di sana.

Cuma, dalam rancaknya perdebatan, seperti mana yang saya sendiri pernah lalui, jangan sampai kita berdendam dan bermasam muka. Elakkan debat kalau kita tidak mempunyai kelapangan hati, kerana syaitan itu barulah musuh sebenar kita, yang sentiasa mencari jalan. Sedar hakikat ini, dan lapangkan hati, ingatlah sentiasa bahawa lawan debat kita itu adalah kawan, saudara seagama kita. Saya juga dulu bila debat hingga terlupa hakikat ini, kadang-kadang terbawa-bawa, kemudian menyesal kerana terlanjur kata kerana terlalu mengikutkan hati.

Tetapi sungguh, setelah berbual dengan seorang dua, dan membaca satu dua tulisan, barulah perasan bahawa memang ada yang berdebat mengenai hal ini. Ada yang mengambil pendapat ulamak Mesir, ada yang mengambil pendapat ulamak Syria, dan ada yang menggabungkan kedua-duanya, dan ada yang mentarjihkan setelah menggabungkan kedua-duanya. Sungguh, mereka sudah sampai ke tahap perbincangan yang tinggi hingga tiba ke batasan khilaf. Sungguh, kita juga patut mempunyai sikap yang dipunyai oleh ulamak yang tiba ke perbatasan tersebut, sikap lapang, dan ingat bahawa mereka adalah saudara kita.

Setelah membaca kedua-duanya, saya juga memahami pelbagai perkara. Dan saya masih berpegang pada konsep bahawa saudara seagama, adalah saudara kita, tidak kira di parti apa mereka tersebut, walaupun mereka berdosa besar. Kekasaran sesama saudara seagama adalah tidak betul dan salah, kerana itu saya kesal dengan sikap mencederakan yang berlaku. Namun saya juga sedar saya tidak dapat menghalang perkara tersebut berlaku, itu tambah mengesalkan.

Perhimpunan bersih memang sudah ada tanda-tanda awal ia akan menjadi kekasaran, kerana kerajaan menggelarnya sebagai perhimpunan haram. Bukan itu saja, ia seperti akan dibanteras habis-habis, dengan pengumuman bahawa jalan-jalan masuk ke Kuala Lumpur disekat, hala laluan bas ditukar, individu-individu tertentu sehingga 91 orang dilarang masuk ke sana, kempen besar-besaran di media yang menampakkan kebencian kerajaan terhadap perhimpunan ini. Bahkan, sekatan di tempat-tempat lain yang tiada kaitan dengan jalan ke Kuala Lumpur sebelum perhimpunan tersebut turut menampakkan maksud yang sama.

Saya sebetulnya mengharapkan tiada yang buruk berlaku, walaupun petanda-petanda seperti membayangkan kemungkinan itu ada. Betul, saya dalam hal ini bukan mahu mencari siapa lebih betul dari siapa yang betul, atau bukan mencari siapa lebih bersalah dari siapa yang bersalah. Apa yang saya kesal adalah kehilangan nyawa, kerana nyawa manusia adalah haram, kita dilarang membunuh orang, bahkan kita juga dilarang menjerumuskan diri kepada dibunuh oleh orang. Kita dilarang mencederakan orang, dan kita juga dilarang menyebabkan diri kita dicederakan orang. Apatah lagi mereka itu adalah saudara seislam sama agama dengan kita.

Bercakap tentang menuntut keadilan supaya dengan keadilan itu maka terlaksanakan proses pemilihan pemerintah, lantas mengingatkan saya pada sebuah hadis tatkala seorang Ansar, saya ulangi, seorang Ansar bertemu dengan Baginda Nabi s.a.w. bertanya Baginda, apakah Baginda tidak mahu melantiknya menjadi ketua seperti mana Baginda melantik si fulan (orang Muhajirin) sebagai ketua? Lalu respon Baginda terhadap hal ini, Sesungguhnya Kalian, saya ulang, Sesungguhnya Kalian akan menemui begitu banyak sikap mementingkan diri di zaman selepas aku tiada, maka bersabarlah kalian, sehingga kalian menemuiku di haud (telaga, iaitu di padang mahsyar nanti).

Sungguh, maksud tersirat memahamkan bahawa akan ada pihak yang mementingkan diri, dan kalian akan marah dan cuba menuntut hak, tetapi Baginda meminta kita bersabar, dan bukan sekadar sabar yang biasa, tetapi sabar sehinggalah hari kiamat esok, di hari kebangkitan. Bagi saya, ini adalah antara isyarat paling penting, bagi mereka yang bertanya sampai bilakah kami harus bersabar, dan ia adalah ajaran tindakan yang diajarkan kepada kita. Kepada pihak yang satu lagi, fahamilah bahawa nyawa seorang muslim adalah haram, bahkan lebih dari kehormatan Kaabah. Bahawa kedudukan pemerintah itu datang bersama tanggungjawab, dan semuanya akan dipersoalkan di hari kemudian kelak.

Sungguh, apabila kemarahan manusia memuncak, sudah bertahun bersabar menahan dengan kezaliman orang lain terhadapnya, saya selalu teringat peristiwa yang sama berlaku kepada saya. Mulut sudah tidak boleh dikawal kerana marah. Kerana itu saya faham akan kemarahan rakyat, dan saya berharap pihak yang terbabit juga faham, dan betulkanlah keadaan yang pincang. Untuk pihak yang marah, seraplah kesabaran sedapat-dapatnya, seperti mana kisah Sahabat yang bersabar dan tidak menuntut bela terhadap sahabat yang masuk Islam, padahal mereka dulu adalah orang yang membunuh ahli keluarganya ketika perang Badar dan sebagainya. Mereka memandang orang yang membunuh ahli keluarga mereka, bersabar kerana menyedari mereka itu telah masuk Islam dan menjadi saudara. Itulah besarnya nilai saudara seagama dalam agama kita ini.

Sabarlah, dan ingatlah sabda Baginda yang menyebutkan antaranya bermaksud, Aku sudah memohon kepada Tuhan supaya Dia tidak memusnahkan kita umat Islam dengan kemusnahan seperti umat-umat sebelum kita, lalu Dia menunaikan permintaanku itu, dan aku meminta Tuhan agar kita tidak ditewaskan musuh dari agama selain kita (orang kafir), lalu Dia menunaikan permintaanku itu, dan aku meminta agar Dia agar tidak memakaikan kita pakaian perpecahan (berpecah belah), tapi Dia tidak memperkenankannya.

Bahawa perpecahan ini adalah suatu yang Nabi tidak mahu kita lalui, dan Baginda mahu kita bersatu. Tugas menegur pemerintah yang zalim harus diteruskan, seperti maksud sabda Baginda, sebaik-baik Jihad adalah kalimatul haq (mengatakan kebenaran) di depan sultan yang zalim, dan bukannya memberontak, atau menjatuhkan secara paksa. Kerana itulah saya fikir demonstrasi berlaku kerana mereka juga mengambil kira bahawa demonstrasi adalah satu cara menyatakan kebenaran. Tetapi risiko yang dikandung oleh demonstrasi yang melibatkan nyawa itu perlu diambil kira dalam pertimbangan.

Sungguh, saya berdiri di sebelah hujah bahawa demonstrasi bukanlah cara terbaik untuk berdepan dengan orang yang bertindak kasar. Untuk berdepan dengan pihak yang tidak bertindak kasar mungkin adalah ya. Kemudian, jangan kita lupa hakikat kalimah zalim bukan digunakan untuk satu makna. Bahawa ketika Sahabat-sahabat bersusah hati apabila mereka merasakan merekalah pihak yang digelar zalim, kerana di zaman Jahiliah mereka membunuh anak-anak mereka kerana jahil, lalu Baginda s.a.w. membetulkan pemahaman mereka, bahawa Syirik itulah kezaliman yang dimaksudkan. Bahawa kalimah zalim masih mempunyai pelbagai pertimbangan.

Sungguh, memang seperti tidak logik apabila Baginda Nabi s.a.w. meminta kita bersabar sehinggalah ke hari kiamat esok, hingga tertanya-tanya, apakah cara untuk mengubah manusia yang degil dan zalim ini, tetapi tenunglah firman Allah ini, sesungguhnya engkau tidak memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau mahu, akan tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia mahu. Jadi, pintalah kepada Allah, serulah mereka ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik, dan berdebatlah (cara terakhir) dengan langgam yang lebih baik (dari cara mereka berdebat dengan kamu).

Tuesday, July 12, 2011

Yang Kuncinya Adalah Cinta Dan Takzim

Memang tidak dinafikan bahawa anak Baginda s.a.w. yang pertama adalah al-Qaasim, dan adalah adat orang Arab mengambil nama anak pertama, kemudian menambahkan gelaran ayah (abu) di depan nama anak pertama menjadi kunyah, gelaran yang disebut-sebut. Maka, selogiknya, atas sebab inilah Baginda s.a.w. digelar Abu l-Qaasim.

Tetapi, apabila seseorang Sahabat memanggil sahabat lain dengan gelaran 'Abu l-Qasim', lalu Baginda s.a.w. menoleh, lalu Sahabat tersebut menyatakan - bukan Baginda yang dia maksudkan - lantas Baginda s.a.w. menyatakan sebuah sabda yang maksudnya - namakanlah dengan namaku (Muhammad), dan jangan kalian bergelaran dengan gelaranku (Abu l-Qaasim).

Secara logiknya, sesiapa saja boleh mempunyai anak, dan menamakannya al-Qaasim, lalu melayakkan dirinya digelar Abu l-Qaasim. Tetapi apakah rahsia tersirat di sebalik larangan ini? Secara logiknya juga, kalaulah larangan ini, larangan menggelar seseorang dengan gelaran Abu l-Qaasim, adalah kerana takut tersalah sangka bahawa orang itu adalah ayah kepada anak Nabi, maka lebih patut lagi Baginda melarang orang menamakan dengan namanya, kerana menamakan seseorang dengan nama Baginda boleh menyebabkan orang tersalah sangka bahawa orang itu adalah Nabi.

Tetapi, larangan ini bukan kerana takut tersalah sangka siapa ayah siapa, atau siapa anak siapa, tetapi kerana suatu maksud yang lebih dalam. Kefahaman itu akan jelas sekiranya kita memahami maksud al-Qaasim yang bererti pembahagi, dan Abu l-Qaasim yang bererti Ketua pembahagi. Dan akan lebih jelas lagi kalau kita gabungkan kefahaman itu dengan maksud hadis - Aku cumalah seorang pembahagi, dan Allahlah yang memberi.

Namun, kehalusan perkara ini hanya dapat diserap oleh mereka yang punya rasa hormat pada tingginya kedudukan Nabi, walaupun ia tidak difahami oleh sesetengah orang. Mungkin, dengan ayat sebegini akan memahamkan kita rahsia di sebalik rahsia, dan kuncinya adalah cinta dan takzim.

Monday, July 04, 2011

Yang Maha Kuasa Atas Setiap Sesuatu

Sebetulnya, di zaman fitnah, mengelakkan diri terlibat adalah lebih baik dari terjerumus sama ke dalamnya. Seperti mana dinyatakan dalam sebuah hadis Sohih Bukhari yang sempat saya pelajari menyatakan antaranya bermaksud, hampir boleh dikatakan bahawa sebaik-baik harta bagi seorang mukmin adalah seekor kambing yang dibawa mengikutnya ke puncak gunung dan tempat-tempat yang turun hujan, untuk dia lari (menyelamatkan) agamanya dari fitnah. Atau seperti mana yang diriwayatkan.

Mengenangkan apa yang berlaku di seluruh negara sekarang ini kerap mengingatkan saya terhadap kebimbangan Baginda s.a.w. antaranya bermaksud, aku tidak bimbang tentang kamu menjadi sesat selepas pemergianku (kerana itu tidak akan berlaku), tetapi aku bimbangkan terhadap kamu tentang dunia yang mana kamu berebut-rebutan untuk mendapatkannya, lantas ia memusnahkan agamamu, dan memusnahkan dirimu.

Kemudian teringatkan pengajaran guru saya antaranya menyebut, sekalipun kulliyah khamsah (lima perkara tunjang agama) melogikkan kita mengutamakan kedudukan agama mendahului nyawa, harta, maruah dan akal, tetapi adakah agama akan terbina sekiranya akal sudah gila, dan adakah agama boleh terbina kalau nyawa sudah terkorban, adakah agama akan terlaksana kalau segala harta ternafi, dan adakah agama mudah dilaksana kalau maruah sudah tergadai. Kerana itu, mempertahankan nyawa juga merupakan wasilah supaya agama akan kekal terbina, kerana tiada agama tanpa nyawa, hingga ke akhir kalam beliau.

Walaubagaimanapun, lihatlah kembali diri. Adakah usaha kita itu sebenarnya adalah untuk merebut dunia dari tangan penggila dunia yang lain? Keluarkanlah dunia dari hati kita, dan ketahuilah, agama itu adalah nasihat, dan bukan memaksakan orang menerima nasihat. Perhatikanlah maksud firman ini, sungguh engkau tidak memberi hidayah kepada siapa yang engkau mahu, akan tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada siapa yang dia mahu. Kemudian perhatikan maksud sabda ini, Tunjang ibadah adalah doa.

Kemudian perhatikan maksud firman ini, katakanlah, Wahai Allah yang memiliki kerajaan, Kaulah yang memberikan kerajaan kepada siapa yang Kau mahu, dan Kau mencabut kerajaan dari siapa yang Kau mahu, dan Kau memperkasakan siapa yang Kau mahu, dan Kau membiarkan tanpa pertolongan siapa-siapa yang Kau mahu, Dan kebaikan hanya berada pada penguasaan-Mu, dan sungguh Engkau Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

Friday, May 27, 2011

Ukuran Tahap Tekanan

Mengalami tekanan adalah suatu yang normal dalam kehidupan. Itu saya juga alami. Mungkin memilih reaksi yang sesuai adalah langkah yang patut kita fikirkan. Tetapi bagi saya yang kerap kali gagal menangani tekanan dengan yang reaksi yang sesuai selalu menimbulkan permasalahan lain. Kerana itu, dalam banyak keadaan, langkah terbaik adalah meminimumkan kesan negatif yang mungkin, dan mengelakkan kemelaratan berpanjangan.

Sebetulnya, tekanan itu dalam keadaan yang lain cuma dianggap sebagai masalah biasa. Atau sebagai suatu dugaan. Namun ia berubah nama menjadi tekanan apabila masalah dan dugaan ini gagal ditangani dengan emosi yang stabil. Ketidakstabilan emosi yang barangkali disebabkan oleh perkara-perkara lain menjadi buruk apabila dugaan datang bertandang. Tetapi, sekiranya ia datang dalam keadaan kesediaan mental yang mencukupi, perkara yang menjadi tekanan ini tidak naik tahapnya menjadi tekanan, cuma akan menjadi satu cabaran kematangan yang perlu ditangani. Begitu saja.

Namun, setelah ia bertukar nama menjadi tekanan, menanganinya dengan emosi yang betul adalah sesuatu yang perlu difikirkan. Atau sekurang-kurangnya, berdiam buat seketika memikirkan dan mencari jalan adalah langkah terbaik buat ketika tersebut. Banyak kalinya, saya cuba menghalau pergi tekanan ini dengan cuba untuk melupakannya, tetapi kebanyakan usaha adalah gagal. Memiliki kembali pemikiran yang jernih. Mungkinkah itu solusi yang sesuai?

Berdepan dengan orang yang kita perlu berjaga-jaga, agar tidak mengambil tindakan kurang hormat dan kasar atau canggung budi bahasa, adalah perkara paling sukar yang perlu dihadapi ketika berdepan dengan tekanan. Saya juga sama. Kebanyakan respon saya patut dikategorikan sebagai gagal. Di situlah sebenarnya tahap untuk menguji tahap kematangan. Namun, rasa terima dan redha perlulah ada. Sabar juga adalah perlu. Mencari jalan adalah penting. Walaupun patut dimulakan dengan mengunci mulut terlebih dahulu sebelum berbuat apa-apa.

Wednesday, April 06, 2011

Tidak Dilafazkan Satu Kata-Kata, Melainkan Di Sisinya Ada Raqib Dan 'Atid

Sebetulnya, apabila sesiapa saja cuba-cuba memberi nasihat kedoktoran, yang belum dapat dipastikan entah betul atau tidak, atau mencadangkan deskripsi yang entah ada sumber atau tidak, para doktor akan menyatakan ayat ini berulang-ulang kali - Sila rujuk doktor sebelum menggunakan mana-mana ubatan tradisional, atau pastikan ubat tersebut mendapat pengesahan pertubuhan kesihatan bertanggungjawab. Itulah yang berlaku, apabila semua orang cuba bercakap mengenai perubatan, tanpa rasa berjaga-jaga dan merujuk kepada ahli dalam bidang kedoktoran.

Sebetulnya, mana-mana bidang juga sama. Termasuk bidang agama. Sebetulnya saya selalu tidak setuju dengan sistem bahawa semua orang boleh bercakap tentang agama, daripada ideanya sendiri. Apabila kalam yang bersumber entah dari mana dicampur dengan kefahamannya, dia masuk campur dalam perkara agama, dan ada berlaku ketika tidak dia sedari, bahawa apa yang dia tuturkan itu menyimpang dari hakikat sebenar perkara tersebut. Seperti mana kita akan meminta mana-mana orang yang ingin menggunakan ubatan nasional untuk merujuk doktor, begitu juga kita menasihatkan mana-mana orang yang ingin bercakap tentang agama untuk merujuk kepada ahlinya.

Mereka sangka agama ini perkara yang semuanya boleh diteka dengan akal. Mereka sangka kalau tersilap, semuanya boleh dimaafkan dengan mudah, dan mereka sangka, kalau salahpun, ia adalah salah yang kecil. Bagi saya, bercakap dalam perkara agama perlu kepada ilmu yang betul dan pasti dari sumber yang yakin, kerana ia bukan bidang yang semberono siapa saja mahu cakap, sila cakap. Kerana itu saya sebetulnya tidak setuju apabila semua orang diminta bercakap tentang agama, tak kira apa bidang kemahirannya. Sebetulnya saya tidak setuju dengan sistem tabligh Malaysia yang kerana terlalu ingin sangat ahlinya mahir bercakap, dia disuruh cakap apa saja atas nama agama. Oh, bagaimana kalau silap? Kalau salah? Apakah dia tak pernah menyedari firman Allah yang menyatakan, membawa maksud: tidak dilafazkan satu kata-kata, melainkan di sisinya ada Raqib dan Atid (yang mencatat apa yang dia cakapkan)?

Adakah dia sangat berani untuk menyatakan apa-apa saja, bercakap apa-apa saja, tanpa menyedari hakikat ini? Ini bukanlah bererti kita perlu berhenti berkata mengenai agama. Tetapi kita perlu merasakan satu tanggungjawab terhadap apa yang kita mahu ucapkan, lalu bertanya kepada ahlinya, adakah ia benar, atau tidak. Semoga tulisan ini bermanfaat untuk saya dan kita semua. Wallahu a'-lam

Saturday, April 02, 2011

Kata-Katamu

Sesetengah orang selalu memandang rendah pada kata-kata. Barangkali dia lupa kata-kata boleh dianggap satu pertiga daripada perbuatan manusia, selain perbuatan hati dan perbuatan anggota. Apakah kita perlu menunggu sehingga sains membuktikan bahawa lafaz tertentu yang diucapkan di depan air menyebabkan bentuk molekul berubah barulah kita mempercayai kesan lafaz dan perkataan kepada segala di sekeliling kita, pada yang hissi (boleh dicapai deria) dan pada yang maknawi? Apakah kita tidak pernah terdetik bahawa jenayah zina yang dan perhubungan suami isteri yang halal dibezakan dengan satu ucapan akad penghalal, iaitu akad nikah. Bahawa dengan ucapan, pelbagai akad menukarkan hak dan milik, dan tanpanya perbuatan itu akan menjadi salah dan pelanggaran.

Mungkin sesetengah mengatakan, ia hanya pada perkataan yang ada kaitan dengan hukum dan muamalat sesama manusia sahaja, tetapi bagaimana dengan sebuah hadis yang melarang kita membuang air besar atau kecil di tiga tempat (sebagai permisalan), kerana perbuatan itu akan menyebabkan orang yang datang ke tempat itu akan mencaci maki kita kerana mereka terkena najis, berasa tidak selesa dan sebagainya. Apakah kita memandang ringan kata-kata tersebut dan kesan kata-katanya terhadap kita, saya ulang, kesan kata-kata yang diucapkan oleh mulut, dan ia adalah kata-kata laknat dari mereka yang terkena najis tadi. Seperti mana lafaznya, ittaquu mala-'in as-salasah, awasi dirimu dari 3 tempat laknat.

Kerana, ucapan bukan bererti sekadar bererti gelombang suara yang bergetar melalui medium udara, menuju ke telinga semata-mata, tetapi ucapan mengandungi sesuatu yang lebih dari itu. Doa kita juga adalah ucapan kata-kata. Bahkan kita tidak disuruh bersolat ketika mengantuk, kerana seperti yang dinyatakan, siapa tahu dia mahu meminta ampun tetapi (kerana mengantuknya) dia mencaci dirinya sendiri. Bahkan ucapan sebetulnya perlu dijaga, apatah lagi kalimah yang muncul dari mulut seorang Islam.

Tidak semestinya kalam itu adalah doa barulah kita berjaga-jaga. Seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis  menceritakan tentang kisah seorang badwi yang membuang air di dalam masjid, lalu sebahagian sahabat mencacinya, lalu Baginda menegur dan menyatakan antaranya bermaksud, bukanlah kamu diutuskan untuk melaknat. Kerana kata-kata laknat, dari mulut seorang Islam, bukan seperti tiada nilai. Bahkan sabit di dalam hadis bahawa setiap kali Baginda melaknat sesuatu kaum, maka itu dijadikan kafarah dan penebus dosa, supaya mereka tidak diazab di akhirat kelak. Cukuplah hebatnya kesan laknat di dunia, sehingga menggantikan dengan hukuman di akhirat. Begitu besarnya nilai sebuah kalam, dan ia adalah suatu yang kita lakukan setiap hari.

Kita disuruh berfikir sebelum mengucapkan sesuatu. Pepatah Melayu seperti perahu terlajak sudah cukup menyedarkan perihal penting kalam. Seorang kafir yang mengucapkan syahadah di medan perang, ucapannya itu saja sudah cukup menyelamatkan nyawanya, hartanya, maruahnya dan lain-lain. Supaya kita sedar, bahawa kata-kata, apatah lagi dari mulut seorang muslim, bukanlah bererti tiada apa-apa. Dan bahawa, kata-kata yang keji itu sebenarnya menggambarkan kekerasan hati manusia. Kerana itu, elakkan melaknat orang lain, apatah lagi jika dia seorang Islam. Kita bukanlah sebuah umat pelaknat, apatah lagi sesama kita muslim. Kerana kita adalah sebuah jasad yang satu. Kerana kita berada pada tubuh yang sama. Kerana kita adalah bersaudara.

Mungkin, kita berasa marah, geram, sakit hati, dan betul kita berhak menuntut hak untuk membalas, tetapi sesama muslim, yang lebih baik adalah memaafkan, kerana luka di tubuhnya adalah luka di tubuh kita sendiri, dan kudis yang bersarang di tubuhnya itu sebetulnya berada di tubuh kita. Kalau terus membalas luka dengan luka, kudis itu tidak akan sembuh sampai bila-bila. Kalam, lidah dan perkataan, bukan untuk melaknat, tetapi untuk mendoakan supaya berlaku perubahan.

Tidak kira siapa, selagi muslim, elakkan kata-kata laknat. Walau apa dasar dan politik, kefahaman dan tanggapan, ketahuilah bahawa syahadahnya itu sudah menukarnya menjadi kebal, bahawa nyawanya adalah haram, maruahnya adalah haram, hartanya adalah haram, dan tidak boleh dirabikkan sesuka hati. Kalaupun dia bersalah, biarlah hakim yang menghukumnya, bukannya kita. Dan kalaupun ia tidak dihukum di dunia, dan masih hidup, peluang taubat masih terbuka. Keadilan di akhirat kelak adalah mutlak, yang mana semua nikmat dunia sudah tidak berasa apa-apa bila dicelup sesaat di neraka. 

Sunday, December 05, 2010

Al-Khairu Kulluhu Biyadih | Kebaikan Itu Seluruhnya Adalah Di Dalam Percaturan-Nya

Kebaikan itu semuanya di dalam genggaman Tuhan, bukan di dalam genggaman kita. Kita tidak pernah menguasai suatu apa pun, melainkan apa yang Tuhan perkenankan untuk kita. Lalu kita akur bahawa kita adalah manusia paling lemah, yang bukan saja tidak punya apa-apa, bahkan tidak mampu apa-apa, kerana apabila kita melakukan sesuatu, walau sekecil-kecil perkara, adalah dengan perkenan Tuhan.

Kita selalu menyangka bahawa kekayaan itu adalah kebaikan, tetapi berapa banyak sudah kita perhatikan orang yang binasa kerana kekayaan. Kita kemudian menyangka bahawa kegembiraan itu adalah kebaikan, tetapi kedapatan banyak mereka yang hanyut dengan kegembiraan yang lalai. Kita menyangka bahawa kebijaksanaan itu adalah kebaikan, tetapi betapa banyak yang membuat bencana dengan ilmu yang mereka ada. Kita menyangka itu dan ini adalah kebaikan, tetapi betapa banyak yang kita sangkakan itu diterbalikkan menjadi bencana kepada mereka.

Sebetulnya, kebaikan itu seluruhnya di genggaman Tuhan. Tidak satu pun di capaian kita, melainkan apa yang Dia capaikan untuk kita. Lalu mintalah kepada Maha Pemurah untuk mencapaikannya kepada kita, kerana Dia adalah Maha Pemurah, bukan seperti kita yang maha kedekut. Pintalah apa saja, dan ketahuilah bahawa Dia pasti menunaikan permintaan, atau menunaikan maksud pintaan.

Bukan bererti apabila kita masih dalam kemiskinan walaupun setelah meminta menjadi kaya itu bererti Dia kedekut dan menolak doa, bahkan itulah sebenarnya tanda pemberian, kerana Dia Maha Tahu. Sesetengah kita tidak elok keadaannya setelah kaya, kerana kekayaan membuatkannya sombong dan dosa, takbur dan besar diri, menghinakan orang, lalu dengan rahmat-Nya, Dia menjadikan sesetengah kita itu miskin, hatinya luluh dan penuh rendah diri, menjadi hamba-Nya yang selalu meletakkan harap kepada Pencipta, hingga kemiskinan itu merupakan rahmat dan berkat kerana kekayaan itu tidak membawanya kepada kebaikan.

Kerana kebaikan itu adalah di tangan Tuhan, bukan di tangan kita.

Pernahkah kita berjumpa dengan orang yang belum belajar bercakap, lalu dia banyak terdiam. Tidak pandai bergaul dengan orang. Tetapi setelah belajar bercakap, menjadi seorang yang fasih, lidahnya dia gunakan untuk mencaci orang, bahkan dengan cara yang seni dan indah, menghasut dan menimbulkan permusuhan sesama manusia dengan kesenian lidah dan tutur, lalu apakah kebaikan lebih dari dia mendiamkan diri, dan apakah manfaat lebih dari dia menjadi seorang yang tidak terjebak kepada semua itu?

Kerana kebaikan itu di dalam kekuasaan Tuhan, bukan di dalam capaian kita.

Akuilah kejahilan diri, bahawa kita bukan saja tidak mengetahui dunia apa lagi akhirat, bahkan jahil dengan kebaikan diri dan keburukannya. Lalu kita menjadi seorang yang tahu mengharap kepada Tuhan, meletakkan baik sangka terhadap apa saja yang Dia tetapkan untuk kita, supaya sifat kehambaan itu terpakai kepada diri bahawa kita adalah hamba-Nya yang jahil dan lemah, tidak mampu menguasai sesuatu walau sekecil apa-apa pun hinggalah diperkenankan-Nya. Semakin banyak yang mampu kita lakukan, semakin itulah menjadi tanda kemurahan Tuhan, belas ihsan-Nya, dan kasih sayang-Nya.

Kemudian janganlah menjadi takbur, kerana kita tidak mengetahui di manakah letaknya kebaikan, di mana letaknya keburukan. Kerana kita tidak mampu memutuskan sesuatu. Tetapi pohonlah, supaya Dia menghalakan kita kepada kebaikan, menyabarkan kita di atas ujian, kerana mukmin itu segala-gala mengenainya adalah kebaikan, apabila dia diberi dia bersyukur, apabila dia diuji dia bersabar. Pohonlah agar kita dijauhkan dari istidraj, zahirnya adalah kebaikan, namun intinya adalah bencana.

Tuhan, pandulah kami kepada kebaikan, dan tetapkan kami dalam kebaikan.

Sunday, September 19, 2010

Catatan Hujung Kembara 44 | Ketidakserasian Menjadi Bukti Ada Sesuatu Yang Hilang

Antara perkara yang berlegar-legar di kepala saya di sepuluh hari terakhir Ramadan lepas adalah mengenai huruf jar. Barangkali terkesan dengan muhadarah Syeikh Muhammad Ibrahim yang kerap membahaskan mengenai bahasa, dan antaranya mengenai huruf jar, barulah saya terfikirkan mengenainya.

Pertama adalah, huruf jar itu sentiasa berkait dengan fe-'el, adalah sesuatu yang maklum diketahui. Ia kalaupun berkait dengan isim, maka isim itu adalah isim yang membawa makna fe-'el. Atau ditaqdirkan membawa makna fe-'el. Kerana itu hubung kait huruf jar dan fe-'el sangat kuat. Perkara ini kebetulan berlegar di kepala saya lama dulu, tapi baru-baru ini saya dengar sendiri dari pengajian Syeikh Said.

Lanjutan kepada perkara pertama inilah yang saya fikirkan di akhir Ramadan baru ini. Iaitu mengenai huruf jar yang tidak sesuai dengan fe-'el. Kita menyedari bahawa setiap fe-'el mempunyai huruf jar yang sesuai dengannya. Kalau kita kata a-syaa-ra (menunjuk), maka kita padankan dengan huruf jar ila (kepada). Kalau kita kata af-ro-gho (mengosongkan), kita akan sesuaikan dengan min (daripada), dan kalau kita kata khola-'a (mencabut) kita akan kenakan dengan min (daripada). Mengapa kita kata tidak sesuai? Kerana pabila kita berkata mengosongkan, kita akan mengatakan, mengosongkan daripada, bukannya mengosongkan ke atas, atau mengosongkan pada.

Persoalannya, apabila fe-'el itu dipadankan dengan huruf jar yang tidak sesuai dengannya, apakah yang akan berlaku? Inilah yang kerap saya fikirkan dari muhadarah as-syeikh. Lalu saya dibukakan kefahaman ini. Bahawa apabila ia dipadankan dengan huruf jar yang tidak sesuai dengannya, maka sebetulnya, ada fe-'el yang mahzuf (dihilangkan) di antara keduanya.

Kerana itu, apabila kalimah afro-gho (mengosongkan) dipadankan dengan huruf jar 'ala (ke atas), maka setelah ditakdirkan mahzuf (kalimah yang dihilangkan) ia menjadi, afro-gho mina l-inaak, wa sobba 'alaihi (dikosongkan daripada bekas, dan dituangkan ke atasnya). Lafaz dikosongkan dikekalkan, dan dibuangkan kalimah daripada, bekas, dituangkan, dan dikekalkan kalimah ke atasnya. Jadilah afro-gho ala. Maka, af-ro-gho 'ala yang asalnya bermakna (mengosongkan ke atas) bertukar menjadi dituangkan ke atas. Bagaimana boleh berpindah dari makna mengosongkan kepada makna menuang, kalau bukan dengan takdir seperti di atas.

Fe-'el khola-'a (mencabut/melucut) ini apabila dipasangkan bersama huruf jar 'ala (ke atas), sefahamnya  bahawa asal ayat ini adalah, khola-'a minhu, wa kasa alaika (dicabut daripadanya, dan dipakaikan kepadamu), lalu kalimah daripada dibuang, begitu juga kalimah dipakaikan, dan yang tinggal adalah khola-'a 'ala. Khola-'a 'ala yang asalnya bermakna mencabutkan/melucutkan ke atas, bertukar kepada maksud memakaikan ke atasnya (baju dll.) Kalimah melucutkan di dalam ayat ini bertukar menjadi memakaikan, kerana takdir ini.

Kalimah Naala (mencapai) contohnya tidak memerlukan huruf jar, kerana ia adalah ia fe-'el muta-'addiy, namun apabila ia dipasangkan dengan min dan masih dikekalkan fungsinya sebagai muta-'addiy, maka naala ini bererti mencerca. Lalu dengan takdir ini, ia berbunyi, naala 'irda fulaan, wa hattohu minhu (mencapai maruah seseorang, dan menjatuhkan/menggugurkan maruah itu daripadanya). Lafaz mencapai dan daripadanya dikekalkan, manakala baki lafaz di antara keduanya dibuangkan.

Keringkasan ini bererti dua ayat yang digabungkan, lalu dikerat lafaz di antara keduanya, iaitu hujung ayat pertama, dan pangkal ayat kedua, dan hazaf dan buang dalam kalam Arab boleh berlaku dengan syarat ada sesuatu yang menunjukkan bahawa berlaku pembuangan, dan dalil yang menunjukkan sesuatu telah dibuang adalah ketidakserasian huruf jar dengan fe-'el. Begitulah saya menelaahnya.

Semua kefahaman dan percubaan untuk meletakkan takwil ini sebetulnya supaya memudahkan kita sebagai 'ajam memahami bahasa Arab. Apabila kamus dibuka dan maksud dijelaskan pun, masih kedapatan maksud yang tidak difahami, seperti mengapa makna mengosongkan boleh menjadi makna menuang? Seperti mengapa makna melucutkan boleh menjadi makna memakaikan? Dan bagaimana pula kalau kamus belum pernah meletakkan makna bagi pasangan fe-'el dan huruf jar yang tidak sesuai, bagaimana mahu kita memahaminya, tetapi kedapatan dalam kalam Arab.

Begitu juga, apabila semua kefahaman ini hanya berlegar di kepala, tanpa menyampaikannya, terasa sayang kalau ia hilang, setelah dibukakan, setelah dicarikan dalilnya, dan menepati maksudnya. Wallahu a'-lam.

Monday, August 02, 2010

Catatan Hujung Kembara 38 | Kerana Kau Manusia Yang Punya Jiwa

Perkara yang selalu dilupakan orang adalah, al-Quran itu penuh dengan mukjizat, dan di antara mukjizatnya adalah ketinggian bahasa dan keindahannya yang tidak mampu diungkapkan oleh mana-mana manusia, melainkan kita meniru uslubnya, cara pengungkapannya, itupun masih tidak mampu menghampirinya, atau menandinginya. Bahasa al-Quran itu bahkan lebih tinggi daripada mana-mana sastera, sehingga kaum musyrikin tidak mampu menyahut cabaran ini, padahal mereka adalah jaguh sastera dan bahasa ketika itu. Cabaran itu berterusan bahkan sehinggalah hari kiamat. Kerana itu, tidak ada di dalam al-Quran ayat yang tidak indah, atau tidak mencapai kecantikan sastera tertentu, bahkan ia melampauinya.

Kerana itu, terdapat sekian banyak ayat yang mutasyaabihaat, bukan untuk membuatkan manusia menjadi keliru dan selisih, apatah lagi untuk menyifatkan Tuhan dengan sesuatu yang tidak sepatutnya, tidak selayaknya, tetapi untuk memahamkan dan mengilhamkan keindahan makna yang terkandung di sebaliknya. Inilah masalahnya apabila sastera diabaikan dan disisihkan, bahkan dianggap oleh sesetengah orang sebagai sia-sia, padahal ia banyak membantu kita menjiwai keindahan al-Quran. Padahal al-Quran itu adalah contoh sastera tertinggi, dan mengatasinya.

Mari kita bacakan contoh yang mudah, supaya maksud menjadi jelas. Ayat seperti lautan api akan kurenangi bukan bermaksud bahawa lautan api itu sesuatu yang wujud. Itu pertama. Bahkan, ia tidak bermaksud bahawa penutur ini tahu berenang. Boleh jadi ia boleh berenang, boleh jadi dia tidak reti berenang, dan boleh jadi dia tidak boleh berjalan sekalipun. Kerana ada saja orang cuma terlantar tetapi masih jatuh cinta. Itu kedua. Kalimah 'akan' bukan bermaksud ia hanya berlaku di waktu akan datang, kerana sekalipun di waktu akan datang, dia tidak akan berenang merentasi lautan api.

Kerana itu, ayat ini, yang mengandungi beberapa unsur seni tidak boleh sama sekali untuk difahami dari makna zahir, tidak pada kalimah laut, tidak juga pada kalimah api, tidak juga pada kalimah renang, tidak juga pada kalimah akan, dan tidak harus difahami bermakna zahir baik pada satu kalimah, atau pada mana-mana kalimah, kecuali pada kalimah aku (kurenangi). Ia sebetulnya adalah bermaksud sastera yang harus difahami secara keseluruhannya sekaligus.

Katakan kita mentakwil satu kalimah sahaja iaitu lautan api kepada kalimah kesukaran, maka ia akan menjadi, kesukaran itu akan kurenangi, dan maksudnya masih tidak mengena. Kecuali ia ditakwilkan keseluruhannya menjadi kesukaran itu akan kutempuhi. Barulah kefahaman akan jelas dan teratur. Soalannya, kenapa tidak diungkapkan sejak mula ayat kesusahan itu akan kutempuhi, tetapi memilih ayat yang mempunyai maksud di sebalik maksud?

Di situlah nilai keindahan memainkan peranan. Adakah si dia akan merasa perasaan terharu apabila mendengar ayat yang lurus saja maknanya, atau si dia akan lebih terharu apabila mendengar ayat yang mempunyai nilai sastera yang tinggi? Belahlah dadaku, lihatlah hatiku, juga tidak boleh difahami dengan maksud yang sama. Kerana sekalipun setelah bedah dan lihat, hasilnya masih sama, dan cinta yang mahu dicari di dalam hati itu tidak kelihatan setelah dada dibedah, kerana ia maknawi. Jadi, baik kalimah bedah, baik kalimah dada, baik kalimah lihat, baik kalimah hati, semuanya tidak harus difahami satu persatu secara zahir, kecuali kalimah aku.

Al-Quran itu indah. Ia bukan suatu nas yang picis. Ia mengandungi keindahan sastera yang tinggi. Bahkan lebih tinggi dari sastera itu sendiri. Tetapi ungkapan ayat-ayat mutasyabiihat itu tidak seharusnya difahami secara zahir, kerana memahami secara zahir itu akan menjatuhkan nilai makna yang tinggi di sebaliknya, bahkan menyebabkan tasybih dan menyerupakan Tuhan dengan makhluk sedangkan ia suatu yang dilarang dalam agama, sesuai dengan larangan-Nya yang bermaksud, ((Tiada yang serupa dengan-Nya)).

Oleh itu, kembalilah memahami hakikat ini, bahawa ia harus difahami dengan nilai sastera yang tinggi. Sekiranya orang memahami ayat mutasyabihat dengan makna zahir contohnya ayat yang bermaksud (tangan-Nya berada di atas tangan-tangan mereka), bagaimana kalau musuh-musuh Allah itu tidak bertangan, kudung misalnya, adakah pengungkapan ini benar? Adakah ia perlu ditukar kepada tangan Allah itu berada di atas kepala mereka, atau di atas bahu mereka? Tetapi ayat ini tidak boleh difahami secara zahir, bahkan lebih elok tidak ditakwil satu persatu, tidak pada kalimah tangan, tidak pada kalimah atas. Tetapi harus difahami secara keseluruhannya, iaitu kekuasaan Allah itu melampaui mana-mana kekuatan sekalipun, capaian-Nya mengatasi mana-mana capaian pun, kemampuan-Nya mengatasi mana-mana kemampuan pun.

Dakwaan ayat ini harus difahami secara zahir, adalah dakwaan yang tidak didakwa oleh mana-mana orang yang mempunyai kefahaman bahasa yang tepat, baik salaf mahupun khalaf, baik umat terdahulu, mahupun terkemudian. Mahu mengambil jalan selamat, maka golongan salafuna soleh (golongan terdahulu) menyerahkannya kepada Tuhan dengan kata-kata, kami tidak tahu, dan kami pasti bahawa ia bukan bermakna zahir. Itulah makna tafwidh, iaitu menyerahkannya kepada Tuhan. Bagaimana sesetengah orang yang tersilap faham maksud tafwidh ini boleh mengatakan kami menyerahkannya kepada Tuhan, dan dalam masa yang sama tidak menyerahkannya kepada Tuhan apabila memaksakan ia dimaknakan secara zahir. Oh, itu bukan tafwidh cik adik sayang. Itu bukan. Itu keliru.

Dan ya, ungkapan 'cik adik sayang' bukan bermakna anda seorang perempuan. Dan ia bukan bermakna kalam ini ditujukan kepada orang perempuan semata-mata. Dan bukan juga bermakna, ia ditujukan hanya kepada si dara yang disayangi. Semua kalimah itu, baik cik, baik adik, dan baik sayang, semuanya harus difahami secara keseluruhan, kerana kita adalah pemaham bahasa yang baik, memahami keindahan kerana jiwa kita adalah jiwa yang menyerap keindahan bahasa dan sastera juga kerana hati kita hati yang hidup. Akal kita akal yang lurus. Fahamilah bahawa sastera itu indah, dan ayat al-Quran itu bahkan lebih indah dari sastera.

Kita lupa bahawa kita adalah makhluk yang penuh dengan kekurangan. Bukan saja pada jasad, bahkan pada bahasa. Bahasa kita juga penuh dengan kekurangan. Kita bahkan tidak mampu mengungkapkan makna yang terkandung di dalam hati, setelah gagal mengungkapkan makna yang kita dapat lihat dengan mata kepala kita sendiri. Apabila kita tanyakan, apa itu manis, kita tidak boleh menerangkannya, melainkan kita terpaksa menyamakannya dengan gula. Kalau ditanya apa itu masin, kita tidak mampu menerangkannya, melainkan kita terpaksa menyamakannya dengan garam. Oh, bagaimana kalau orang yang bertanya itu tidak pernah merasa gula dan garam, adakah dia boleh memahaminya?

Padahal gula dan garam itu adalah benda yang kita saksikan hari-hari. Tetapi tetap tidak mampu kita terangkan. Ia wujud di depan mata bahkan. Bagaimana pula kalau maksud yang tidak kelihatan di depan mata, dan hanya wujud di kepala dan di dalam hati? Bukankah kita juga akan gagal mengungkapkannya melainkan terpaksa menyamakan dengan sesuatu yang lain? Dari situlah timbulnya idea menyamakan sesuatu dengan sesuatu.

Contohnya kita berasa gembira, tetapi kita tidak mampu menerangkan maksud gembira, melainkan dengan menyamakannya dengan sesuatu, bahkan kita juga dalam banyak keadaan menyamakannya dengan sesuatu yang tidak wujud atau tidak berlaku, dan ia tidak harus difahami secara zahir. Katakan kita gembira, lalu mengatakan, aku gembira seperti gembiranya ibu mendapat anak. Atau gembiranya seperti kalau aku dicampak ke gunung berapi 17 kali pun aku sanggup. Atau gembira sehingga hati aku terbuka sebesar langit, yang kalau diisi dengan segala duka pun ia akan muat, dan gembiraku takkan hilang.

Kerana itu, kita menanggapi ayat mutasyaabihaat, ayat yang penuh dengan perumpamaan, adalah sebagai ayat yang mengandungi nilai sastera yang tinggi, dan tidak seharusnya difahami secara zahir. Memahami secara zahir akan menjadikan kita seperti orang yang tidak faham bahasa, tidak punya akal yang tepat, dan jiwa yang hidup. Tetapi itu bukan bermakna tidak wujud ayat yang zahir di dalam al-Quran. Ayat yang zahir juga punya keindahan yang tersendiri. Tetapi apabila ayat yang mutasyaabihaat ini difahami secara zahir, dan menyebabkan kita melanggar larangan Tuhan bahawa tidak ada yang serupa dengan-Nya, baik sifat, baik zat, baik perlakuan, baik perbuatan, maka memahami secara zahir bukan saja menjatuhkan nilai ayat, bahkan menyalahi perintah Tuhan.

Kita sendiri, apabila mahu menjadikan ayat itu lebih mengesankan, akan memilih jalan tasybih dan menyamakan sesuatu dengan sesuatu. Apabila apabila kita mahu menjadikannya lebih lebih mengesankan lagi, kita akan sembunyikan perkataan yang berbunyi seperti, seakan, dan menyamakannya secara langsung. Kau seperti lilin, tentu tidak setanding dengan ayat kau adalah lilin. Mahu lebih mengesankan, gunakan lakukannya pada kata kerja. Katakan, aku silau dengan terang cahayamu wahai guru. Atau aku hanyut dalam sungai cintamu wahai sayang.

Tidak cukup dengan itu bahkan boleh tinggikan lagi dengan melakukan perumpamaan di dalam perumpamaan di dalam perumpamaan. Telah kuturun singgah ke lautmu untuk mengutip permata yang kau hamburkan dari perutmu. Bila kukutip sebesar depa, masih berbaki seluas padang. Bila kusuluh permata itu dengan cahaya, pantulannya menjadikan matahari itu gerhana, yang silaunya menjadikan mata ini buta, walau setelah bercermin gelap.

Tuhan tidak berada di langit, apatah lagi sehingga perlu turun. Tetapi Tuhan itu mengalu-alukan taubat hambanya, sehingga perumpamaan yang mengandungi maksud ini diungkapkan. Bukankah kita juga mengatakan apabila mengalu-alukan sumbangan, aku akan turun berjumpa kamu untuk mengambilnya, dan aku akan tiba sampai ke depan pintu rumahmu mengetuknya untuk mengutipnya. Walaupun kita tidak ada rumah, dan tidak ada pintu. Terlalu mengalu-alukan sehingga kita sendiri yang akan turun, dan bukan pembantu, pekerja, atau wakil kita. Tetapi hakikatnya sebagai ketua, sekalipun kita sangat mengalu-alukan sumbangan, kita akan menyuruh wakil kita mengutipnya.Sama seperti ketua kita mengatakan, saya akan membina jambatan untuk kemudahan semua, bukan bermaksud ketua kita yang akan mengangkat simen dan besi, tetapi memerintahkannya pekerjanya sahaja.

Apabila kita tampil kepada Allah kadar sejengkal, Tuhan hampir kepada kita kadar sehasta. Apabila kita mendatangi-Nya secara berjalan, Dia akan mendatangi kita dengan berlari-lari anak. Oh, ke arah manakah kita harus berjalan menghampiri Tuhan, ke langitkah? Siapakah yang berjalan ke langit? Begitulah yang akan terjadi apabila kita menjadi robot yang tidak berjiwa dan ber-rasa sehingga mengabaikan keindahan makna di sebaliknya, lalu memahami secara zahir. Sebaliknya maknanya memberi faham bahawa Tuhan itu sangat mengalu-alukan hambanya berusaha melakukan ketaatan, kerana ketaatan itu adalah jalan kita semakin hampir kepada Tuhan, bukan hampir berdasarkan tempat, tetapi kedudukan. Bukankah kita juga menyebutkan, keputusan periksa hampir keluar? Dan hampir itu tidak difahami bermaksud tempat.

Saya menulis panjang kerana tidak tahan dengan kenyataan orang tertentu. Tetapi saya yakin, sekiranya kita belajar, kita akan sedar hakikat sejelas ini. Kita barangkali kerana masih memiliki tahap bahasa yang rendah lalu tidak menyedari keindahannya, walaupun al-Quran itu berkali-kali kita khatamkan, namun kita tidak terpegun membacanya atau terkaku memahaminya atau menusuk jiwa mendengarnya kerana tahap kita bukan saja terlalu jauh dari faham, bahkan terlalu jauh dari memiliki keindahan sasteranya. Kita tidak merasa seperti mana orang Arab zaman jahiliah merasanya saat mendengarnya. Belajarlah kembali, dan pastikanlah daripada ahlinya, dan bukan daripada sesiapa saja.

Wahai Tuhan yang sangat hampir kepada kami, lebih dari hampirnya urat vena ke leher kami, sehingga tidak perlu sehingga kami menjerit-jerit memanggil-Mu, hampir sehingga kami tidak mampu menyembunyikan apa-apa dari-Mu, dekatkanlah kami kepada-Mu kerana kami berada sangat jauh dari-Mu lantaran dosa, ampunilah kami dan terimalah kami. Kau berada bersama-sama kami di mana saja kami berada sehingga kami seharusnya takut bila mengerti pengawasaan-Mu, atau berasa berani berdepan musuh-Mu, kerana keberadaan-Mu seharusnya di dalam hati kami, di dalam cinta kami, di dalam harapan kami, di dalam ingatan kami, sehingga Kau tidak lenyap walau sedetik dari kami. Wahai Tuhan yang Maha Agung, bagaimanakah mereka memahami hampir-Mu itu adalah hampir tempat, sedangkan tempat itu kotor, kami ini kotor dan Kau Maha Suci, tempat itu makhluk dan Engkau itu Tuhan. Wahai Tuhan yang tidak berada pada tempat, saksikanlah bahawa aku sudah menyampaikan pengajaran Nabi-Mu.

Wednesday, April 28, 2010

Catatan Hujung Kembara 19 | Luka Dan Ubat

Saya menyeru kepada semua sahabat untuk menghentikan perbuatan mengherdik dan menghina saudara seislam kita, tidak kira sesiapa sahaja. Baik orang itu benar-benar melakukan kesalahan mahupun hampir pasti bahawa mereka melakukan kesalahan. Baik mereka menyebelahi parti apa sekalipun. Saya menyeru kita menghentikan tulisan-tulisan yang melukakan maruah saudara-saudara seislam kita. Sejauh yang saya belajar, bukan itu caranya kita berta-'amul dengan mereka. Sejauh yang saya tahu, bukan begitu cara kita melayan mereka.

Saya fikir, kita boleh menyuarakan pendapat mengenai ketidakbenaran perbuatan mereka, tetapi dengan ayat yang selembut mungkin. Saya fikir, ayat-ayat maki tidak hanya memburukkan hati si pendengar, tetapi juga memburukkan hati kita. Saya sedar kemaharahan selalunya membuatkan kita terlepas cakap, terlepas tulis, dan ketidawajaran perbuatan orang tertentu membuatkan kita geram. Tetapi selagi mana mereka adalah saudara seislam kita, kita juga diajar supaya berlembut melayani mereka.

Saya juga pernah melalui perasaan marah yang sama. Perasaan marah yang apabila kalau saya lafaz sepatah saja, tidak ada yang keluar melainkan perkataan maki dan cela, kerana terlalu marahnya. Tetapi kita sesama saudara bukan berperang. Betul. Perbuatan mereka adalah tidak betul. Benar. Perbuatan mereka adalah melampau. Tetapi mengherdik tidak mendatangkan kebaikan melainkan keburukan juga. Kita harus sedar, betapa perbuatan menghina dan memperlekeh hanya akan membuatkan saudara seislam kita lari, atau lebih teruk lagi, mereka juga melancarkan perang terhadap kita. Sikap tanfiir, iaitu membuatkan orang lari, bukanlah matlamat kita.

Dari seluruh yang saya pelajari dari guru-guru saya, bahawa Rasulullah itu sangat 'memejamkan mata' segan untuk menegur kesalahan orang secara peribadi. Apabila Baginda tidak senang dengan sesuatu perbuatan, Baginda akan menyebut secara am; orang yang berbuat salah akan terasa secara sendiri, tanpa namanya disebut secara jelas. Itulah yang saya pelajari dari Syeikh Yusri yang mengajari kita hadis dan bagaimana berta-'amul dalam keadaan ini. Kalau kita dapat mengelakkan menyebut nama, elakkan. Kalau tidak dapat, tegurlah seberapa lembut yang mungkin.

Sesiapa saja akan terasa hati dengan teguran yang terus kena ke hidungnya, walaupun benar mereka melakukan kesalahan. Tetapi mengherdik dan mencaci mereka bukan saja menyebabkan mereka tidak menerima teguran, bahkan membuatkan mereka bertambah benci dengan kita hingga setiap kalam kita di masa akan datang, sekalipun benar, akan ditolak mentah-mentah. Akan menyebabkan setiap kalam kita di masa akan datang, sekalipun benar, akan disia-siakan bahkan dilaksanakan yang bertentangan dengannya.

Sahabat-sahabat. Saya fikir saya pernah melalui kemarahan yang sama dengan ketidakwajaran perbuatan orang tertentu yang akhirnya membuat saya marah dan benci. Tetapi memaki mereka hanya akan menghitamkan hati sendiri. Sehingga sekarang, saya masih merasakan perbuatan-perbuatan itu adalah tidak wajar, dan kalau mengikutkan hati pasti kalam-kalam yang tidak elok akan terlepas juga di lidah. Tetapi janganlah diturutkan kemarahan itu. Kita berta-'amul, bergaul dengan saudara kita yang sama-sama Islam. Dan kesempurnaan Islam itu adalah saudara seislam kita selamat dari lidah dan tangan kita.

Barangkali kita berasa jemu menegur secara lembut, kerana ia tidak menampakkan kesan. Tetapi menegur secara kasar juga tidak menimbulkan kesan yang baik, bahkan menimbulkan sengketa tambahan. Bahkan menyebabkan keburukan mereka makin tersebar. Bahkan menyebabkan mereka menambah api sengketa dan dendam. Bahkan menyebabkan mereka memerangi kita lagi. Bahkan membuatkan mereka semakin jauh dari mendengar kalam dan teguran kita. Bahkan menyebabkan kita dianggap sebagai musuh dan wajar diperangi. Bahkan menyebabkan kita hanya akan dilayan dengan buruk dan semakin teruk.

Kita katakan, bahawa mereka tidak menerima teguran kita secara lembut, maka kita gunakan cara yang kasar. Tetapi kita juga pasti, bahawa ayat yang kasar, cela dan maki hanya akan membuatkan mereka menolak dan tidak akan diterima. Tetapi kita sedar, bahawa kalam-kalam cerca hanya membuatkan mereka semakin marah, dan menjadikan mereka lebih terjebak lagi dalam kesilapan mereka. Oh, adakah kita juga punya saham yang mendorong mereka melakukan kesalahan dan kesalahan lagi.

Saya akui, bahawa perbuatan mereka memang tidak dapat diterima dan melukakan hati kita. Saya akui, bahawa tindakan mereka adalah tidak wajar. Tetapi mereka masih saudara seislam kita dan mereka berada di tubuh yang sama dengan kita. Barangkali anggota itu sakit, dan apabila kita cuba letakkan ubat, ia sedikit melawan dan tidak menerimanya. Barangkali apabila kita cuba memulihkannya, ubat itu tidak berkesan secara terus. Tetapi adakah ia akan pulih kalau kita semakin melukakannya? Adakah ia akan pulih kalau kita semakin menorehnya? Barangkali kita lupa, bahawa kita tidak ada kuasa memulihkan mana-mana anggota, baik dengan ubat atau apa sekalipun, sebaliknya taksir dan kesan itu hanyalah di tangan Tuhan semata-mata.

Ya, sesiapa saja akan tergelincir dan melakukan kesilapan. Saya sendiri sama. Bila terlalu marah, kalam-kalam yang lama saya pendam dulu kadangkala terkeluar juga. Tetapi kita harus menyedari bahawa ia adalah tidak patut.Kita harus faham bahawa orang yang kita lukakan itu adalah saudara seislam kita, tidak kira betapa teruk dan dosa perbuatan itu. Tegurlah secara lembut. Simpanlah semua kemarahan kita. Sesungguhnya menahan kemarahan itu dapat pahala. Itulah yang disebut dalam al-Quran sebagai al-Kaazimiina l-Ghaiz. Bahkan memaafkan itu dapat pahala. Itulah yang disebut dalam al-Quran sebagai al-'Aafiina 'Ani n-Naas. Menegur itu perlu, tetapi berlembutlah supaya mereka menerimanya.

Kemudian, berdoalah. Kerana kita memang tidak mempunyai apa-apa taksir kepada mana-mana manusia dan makhluk Allah yang lain, walau dengan apa cara sekalipun. Taksir dan kesan itu cuma di tangan Tuhan. Tidak kira betapa tepat tindakan kita, tidak kita betapa hebat perancangan kita, tidak kira betapa sempurnanya plan kita dan cukupnya kelengkapan kita, namun taksir itu di bawah kehendak-Nya juga. Sedarilah ketidakmampuan diri.

Sunday, November 08, 2009

Isu Yang Melambak-Lambak

Terlalu banyak isu yang muncul kebelakangan ini, dari isu persatuan, kedutaan, negeri dan negara. Saya kerap juga berasa serba salah tidak mengulasnya, tetapi saya perasan sudah ada pihak yang menjelaskan kekeruhan, menegakkan yang bengkok, bahkan sudah terjun membasahkan diri dengan maklumat jauh lebih lengkap daripada apa yang saya timba.

Tetapi, saya ingin juga mencelah dengan satu ayat. Bahawa akidah islamiah itu adalah tunggak, jangan serahkan urusan sepenting itu kepada si jahil yang mengaku alim, yang kemudiannya bermodalkan kemasyhuran untuk mendapatkan tempat. Saya teringat pernah membaca mukaddimah Imam Abu Ishaq Asy-Shiiroozii dalam kitab Luma' ketika mentakrifkan jahil; bahawa bukanlah jahil itu kosong ilmu dan maklumat, tetapi jahil itu adalah "mendapat gambaran tentang suatu dengan cara yang bertentangan dengan hakikat sebenarnya". Bahawa yang tergambar di kepalanya, berbeza dengan hakikat ilmu yang sebenarnya.

Kerana itu, Syeikh Usamah Said al-Azhari pernah menyebut antaranya bermaksud, bahawa ilmu itu bukanlah dalil semata-mata, tetapi lebih daripada itu.

Saturday, October 31, 2009

Hikmah Robbaaniiyah

Saya selalu berfikir begini sejak akhir-akhir ini. Bahawa - kita boleh belajar dan menyerapkan ilmu ke akal, tetapi kita memerlukan hikmah robbaniyah sebelum kita boleh menyerapkan ilmu itu ke darah dan hati lalu terjelmalah ke seluruh kita.

Hikmah robbaniyah ini terlalu mahal, bahawa kita boleh saja mencarikan ilmu dan pemiliknya. Tetapi menyerapkannya ke dalam hati perlu kepada hikmah robbaniyah ini. Mungkin ia seperti menjiwai, tetapi jiwa itu perlu pada ruh, dan ruh itu adalah rahsia Tuhan.

Ia seperti hidayah Tuhan. Robbanaa, waffiqna li ma tuhibbu wa tar-dhoohu.

Sunday, August 30, 2009

Al-'Irqu Dassaas Vs Rebung Dan Kain Putih

Apabila terbaca beberapa kalimah untuk me-mengerti-kan maknanya, dan setelah beberapa kawan juga abang saya meminta cadangan nama untuk anak mereka, maka saya terfikirkan bahawa betapa penting ibu bapa mewujudkan suasana yang menterjemahkan makna nama tersebut. Seperti menamakan anak Mukhlis, yang bersifat ikhlas, tetapi membudayakan sikap mementingkan kenamaan dan materi, kemudian suasana itu terserap kepada anak yang hidup dalam suasana tersebut, lalu kontralah antara nama dan makna nama itu.

Anak yang dinamakan ‘Afiif, yang menjaga kesopanan dan kehormatan serta kesucian diri, perlu diasuh dalam suasana yang mempraktikkan maknanya, supaya nama itu terserap secara praktikal dalam kehidupan keluarga, bukan hanya diteorikan, atau dipelajari sesudahnya di kelas dan sekolah. Memangkan cantik menamakan anak perempuan dengan nama Husna Wa Ziyadah, kebaikan dan lebih lagi; namun berhajatkan sikap dan tindak tanduk ibu bapa yang berlaku baik dan bahkan lebih lagi.

Apakah yang boleh menerapkan perangai suka kepada kebaikan, bahkan menjadi pemula kepadanya dan kuncinya, lebih daripada sikap itu didahulukan oleh ibu dan bapa yang menamakan anak mereka Miftaahulkhair; kunci kebaikan. Nama itu boleh menjadi doa, tetapi usaha juga adalah penting, untuk disertakan setelahnya dengan tawakkal. Apabila sikap pembelas, dan tahu mengasihani orang lain dipraktikkan, lalu anak yang diberi nama Syafiiqah Rahiimah akan mengerti, bahawa sikap belas itu sesuai dengan namanya.

Baru-baru ini saya mencadangkan nama ‘Afiifah Toohirah untuk seorang sahabat, mencadangkan Hasanul Husaini untuk abang saya yang baru mendapat cahaya mata sulung, (tapi abang pilih nama Muhammad Arif ‘Akasyah) lalu terfikir, kalaulah ada orang meminta nama, saya fikir Ummul Hasanaat yang bererti punca kebaikan itu, atau Taqiiyun Naqii yang bermakna, yang bertakwa dan yang jernih bersih, atau Habiibah ‘Aziizah yang bermakna kekasih, adalah antara nama yang elok dan menyenangkan.

Tapi fahami, mewujudkan suasana yang selari dengan makna nama, adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Kalau menamakan anak Sodiiqin Hamiim yang bermaksud kawan karib, kemudian memaparkan sikap kawan makan kawan, atau menamakan Wafii yang bermaksud penunai (segala janji dan kata-kata) kemudian mempersembahkan sikap langgar janji, mungkir kata-kata, bagaimanakah kita mengharapkan makna nama itu terserap dengan mudah kepada mereka. Mungkin, dalam keadaan ini, mereka mempelajari keadaan sebaliknya, atau mereka akan melalui jalan sukar untuk mempelajari maksud yang bertentangan dengan apa yang mereka saksi.

Walaupun ya, seperti pepatah Arab; al-‘Irqu Dassaas, pembuluh darah itu akan sangat menyelinapkan masuk, atau seperti pepatah Melayu, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi; bahawa perangai yang membuluh dan mendarah daging dalam ibu bapa akan menyusup masuk ke anak, namun, usaha membentuk anak yang masih rebung mengikut falsafah Melayu, atau yang masih kain putih mengikut falsafah Arab, adalah perlu, supaya nilai makna itu mencair di dalam jiwa mereka. Setiap kali anda memanggil mereka, niatkan untuk memberi contoh dan perlaksanaan makna itu kepada mereka.

Monday, January 05, 2009

Siasah Adamu l-Inhiyaz : Tidak Berpihak Yang Berpihak

Siasah Adamu l-Inhiyaz, politik tidak berpihak, sekalipun secara kulit dan luarannya adalah satu keadaan tidak bermusuh dengan mana-mana satu pihak yang bersengketa, atau seperti berdiri di atas pagar dan tidak mempunyai arah dan kecenderungan, adalah satu realiti yang terpusing atas ke bawah , terbalik depan ke belakang,terputar kanan ke kiri.

Hakikat konsep ini sebenarnya bukan mengajarkan begitu, tetapi sebaliknya. Apatah lagi apabila persengketaan yang terjadi adalah antara dua pihak, yang mana salah satunya adalah bernisbah kawan kepada kita, dan satu lagi bernisbah musuh kepada kita. Konsep ini yang mengajarkan kita sebagai pihak ketiga supaya tidak berpihak, sama ada kepada pihak yang bernisbah kawan, atau kepada yang bernisbah musuh; yang menempatkan kita di atas pagar, adalah secara hakikinya mengajarkan maksud yang sebaliknya.

Mengapa? Kerana dalam satu masal, perumpaan Arab, atau dalam satu hikmahnya ada menyebut; Khozlaanuka li akhii-ka harbun alaihim. Ketidakbantuanmu kepada saudaramu (kawanmu) adalah sebenarnya satu peperangan kamu terhadap mereka.

Kalam ini mengajarkan bahawa, siasah adamu l-inhiyaz atau politik tidak berpihak – dalam kontek kawan dan musuh – adalah sebenarnya politik berpihak, dan lebih malang lagi, adalah berpihak kepada musuh. Sengketa dari pihak pertama yang bergelar musuh kepada pihak kedua yang setahap kawan, telah menempatkan kita sebagai pihak ketiga memihak kepada musuh kerana tidak membantu kawan, sekaligus bersama-sama musuh memerangi kawan.

Dengan tidak membantu. Apatah kalau membantu, membukakan jalan, membenarkan lalu, dan yang lain-lain, ia adalah sebenarnya menukarkan hakikat kawan kepada musuh, dan musuh kepada sahabat. Inilah maksud politik tidak berpihak dalam keadaan ini. Lain kalau kedua-dua pihak adalah kawan kepada kita, atau kedua-dua pihak adalah musuh kepada kita. Ketidakbantuan tidak bererti sedalam itu. Atau bererti berlainan.

Konsep politik ini bukan kedapatan secara praktikal dalam hubungan antara negara sahaja, bahkan melarat dan merentet serta mengawam (meng-awam) hingga menyeliputi segala jenis perhubungan yang dapat difahami dengan makna setaraf. Apatah lagi dalam medan dan majal asal istilah ini dilahirkan, pemerintah selalu beralasankan keselamatan rakyat, masa depan negara untuk memilih konsep siasah ini.

Sebagai bukan siasi atau orang politik, hanya sebagai muttoli’ dan pemerhati, saya merasakan bahawa politik tidak berpihak yang sebenarnya berpihak ini, perlu ditangani dengan jelas. Adakah mahu mengekalkan kawan, atau mahu menjadi musuh? Istisyar (meminta pandangan) dengan ilmuan, ulamak dan cendikiawan perlu dibuat untuk mencapai keputusan. Adalah tidak betul membuat keputusan sendiri atas nama ketua. Kemudian, sekiranya sepakat membantu demi mengekalkan nama kawan, mintalah bai-ah dan taat setia rakyat agar sepakat, dan tawakkallah kepada Allah atas baik dan buruknya qadar dan qadak, dengan disertai rancangan dan usaha.

Apabila ini tidak boleh berlaku, kerap kali difikirkan, di manakah sebenarnya masalah ini berlaku?

Pertama, mereka yang bertahap kawan adalah bukan benar-benar kawan, atau sebenarnya musuh dalam beberapa keadaan. Atau kedua, mereka yang bertahap musuh adalah bukan benar-benar musuh, atau sebenarnya adalah kawan dalam beberapa hal. Atau ketiga, pemikiran ini tidak pernah terlintas di kepala mereka, dan itu adalah mustahil.

Siasah Adamu l-Inhiyaz yang sebenarnya inhiyaz, tidak berpihak yang sebenarnya berpihak, punya hakikat ini.

Dalam dunia yang aku berada ini wahai Tuhan, Engkau lebih jelas duduk letaknya!

Sunday, October 05, 2008

Dalam Dan Tulen

Selamat Hari Raya.

Pernah tak kita memikirkan walaupun sekali dalam kehidupan; sejauh manakah kasih dan sayang kita sebenarnya? Dalam manakah, dan tulen manakah sebenarnya kasih sayang kita kepada ibu bapa, kepada adik beradik kita, kepada kaum keluarga kita, kepada sahabat dan rakan kita, kepada guru-guru kita, atau sehinggalah kepada kekasih kita?

Adakah kita memang mengasihi dan menyayangi ibu bapa kita kerana merekalah yang akan memperkenankan belanja wang saku, memberikan keinginan dan memenuhi kehendak; kerana mereka memberikan perhatian dan tumpuan, lalu kerana itu kita mengaku kasih dan sayang; tetapi bagaimana pula kalau mereka mengabaikan kita, menafikan semua kemahuan kita, menganggap kewujudan kita sebagai menyusahkan, lalu adakah pula kerana itu kita menarik balik kasih sayang yang kita akui tadi? Adakah yang pertama itu kasih sayang kebendaan, kasih sayang bersebab dan kasih sayang bersyarat, dan kedua itu kebencian yang setaranya?

Adakah kita mengaku sayang pada sahabat dan kawan rapat kerana merekalah yang akan menemani kita, membenarkan kalam dan kehendak kita; kerana mereka peka dengan keinginan dan minat kita, lalu apakah kita masih boleh mengaku dengan pengakuan yang sama apabila mereka meninggalkan kita, membiarkan kita sendirian, tidak memperdulikan kalau-kalau kita dalam kesusahan, mengabaikan kewujudan lalu akhirnya kita menuturkan kata putus yang memutuskan gelaran? Lalu jenis apakah kasih sayang dari pengakuan yang tadi; kasih sayang minta berbalas, atau kasih sayang minta sepadan usaha dan tindakan?

Adakah benar kita mengaku kasih pada guru-guru kita, kerana mereka sentiasa memberikan tunjuk ajar, menuturkan kalam-kalam nasihat; kerana mereka bermuka senyum dan menambahkan semangat ke dalam hati; lalu apakah kalau mereka membatalkan kehendak mencurahkan ilmu, memasamkan muka, memarahi dan berkata kasar, menghancurkan keyakinan dan semangat kita lantas kita membenci dan menarik kembali rasa kasih sayang yang awal-awal tadi kita sangka, dan kemudian kita gantikan dengan kebencian? Jenis kasih sayang apakah yang kita kalungkan tadi untuk mereka; kasih sayang sama rata, atau kasih sayang ‘hanya yang baik-baik sahaja’?

Benarkah kasih sayang tadi, juga kasih sayang kita kepada semua; hingga pada adik beradik dan kekasih sekalipun; adakah kerana mereka berbudi kita berbahasa dan itulah dasar kasih, kemudian apabila mereka sudah kurang mesra dan jauh hubungan lalu kita tarik semula hati dan sayang kita? Lalu akan jadi apakah dengan nama kasih sayang yang kita namakan di awal tadi; kasih sayang ‘yang manis-manis sahaja’ atau kasih sayang ‘memberilah kalau hendak merasa’?

Kerapkah kita memikirkan, atas dasar apakah kasih sayang itu kita bina, dan atas sebab apakah ia akan runtuh tanpanya? Adakah kerana harta benda, kerana budi baik dan jasa; adakah kerana untung yang kita kecapi kerananya, kerana nilai tambah yang kita raih bersamanya; adakah kerana kegembiraan yang kita nikmati bersama, kerana hak sama rata yang kita peroleh dengannya? Lalu apabila ternafi semua alasan dan sebab, kita menarik semula kasih sayang yang kita namakan, lalu kita gantikan dengan kebencian dan dendam pula?

Lalu, kerana hal yang hilang dan ternafi, kita membenci ibu bapa yang pernah kita akukan kasih dan sayang; disebabkan manfaat yang terpadam dan lenyap, kita membenci sahabat yang selalu kita sabitkan kasih dan sayang kepadanya; kerana nilai-nilai positif hilang dan berganti yang ketidaksenangan, kita membenci guru dan mereka yang pernah kita kasihi kerananya? Bolehkah kita kekal dan tetap dengan kasih sayang yang sama, walau bagaimana mereka membalas kepada kita akhirnya?

Kemarahan dan rasa tidak senang adalah rasa yang benar. Semua manusia merasainya. Lalu, adakah kasih dan sayang kita juga benar, tulen, permata, atau dengan sebab-sebab tertentu boleh bertukar palsu, tiruan dan kaca? Kerana kita selalu akan teringatkan Tuhan tatkala Dia menguji dan mendatangkan bala atau bencana, lalu kasih sayang dan cinta yang kita pernah akukan di depan-Nya tidak harus ternafi, tidak harus bertukar hingga kita mempersoalkan qadar dan qadar-Nya, meragukan kasih sayang-Nya, tetapi terus dan terus mempertahankan rasa kasih dan sayang tadi dan menggandanya walau apa jawapan-Nya.

Sunday, September 28, 2008

Ramadan Kali Ini

Ada beberapa macam perkara yang saya cuba ketika Ramadan ini, walaupun ia usaha-usaha yang kecil, dan tidak sebanding mana. Namun bila mengenangkan betapa banyak juga cacat dan lompong yang kedapatan pada puasa dan Ramadan saya, saya jadi malu pada diri sendiri. Saya berdoa kepada Tuhan untuk mengampunkan dosa saya, memperbaiki akhlak saya, dan menerima amal kebaikan saya walau sekecil mana pun.

Satu hakikat yang kerap saya terfikirkan sejak kecil dulu adalah mengenai salah satu tujuan puasa yang selalu diulang-ulang ke pendengaran – adalah untuk menjadikan diri kita merasa susah payah perit lapar dahaga fakir miskin. Tetapi lama kelamaan, saya dapati sebenarnya kita tidak melalui pengalaman kelaparan, kedahagaan, keperitan mereka dalam nisbah yang sebenar. Kita cuma menderitai barangkali satu persepuluh, atau mungkin kurang lagi dari itu.

Imsak dan penahanan diri kita dari makan dan minum adalah penahanan bertempoh, dengan di hujungnya di waktu berbuka kita sudah membayangkan makanan, minuman yang bakal kita jamah. Tetapi kesusahan orang fakir adalah sampai ke tahap mereka sendiri tidak boleh memastikan adalah hari mereka akan berakhir dengan sepinggan nasi, atau sepinggan angin. Derita mereka sudah melali hingga mereka bukan menahan lapar untuk tempoh sehari, barangkali dua hari berturut. Atau barangkali lebih lagi.

Atau sebetulnya Ramadan bagi mereka yang miskin adalah syurga kerana kedermawanan orang, hingga mereka dapat makan sehari sekali di hujung hari ketika berbuka, tatkala kita menanggapi Ramadan adalah perjuangan dan kelaparan yang menguji kesabaran. Kerana itu saya kerap terfikir, bagaimanakah rasanya menahan lapar dua hari berturut, atau bagaimanakah deritanya kaum fakir itu bila mendepani hari tanpa kepastian sepinggan nasi di hujung harinya?

Kemudian, mengenai kelebihan memberi makan dan minum kepada orang yang berpuasa, adalah antara perkara yang patut dicontohi dan direbut. Seperti menyediakan air untuk mereka minum, atau mengajak kawan-kawan berbuka di rumah kita, atau memberikan makanan pengisi perut sekadar yang mampu, walau sedikit. Tidaklah perlu meragukan kebijaksanaan Tuhan untuk mengganjari pahala kepada hambanya.

Saya teringat kalam seorang mufti yang memperbodohkan kita dan mempersendakan Tuhan apabila mengatakan; kalaulah harta si kaya itu dapat menyelamatkannya dengan pengaruh duit itu menggalakkan orang menghadiahi amalan, maka pastilah semua orang kaya itu di dalam syurga dan semua orang miskin di dalam neraka. Apakah Tuhan itu terlalu jahil sehingga tidak tahu mengganjari hamba-Nya, sedangkan Dia Maha Mengetahui betapa banyak rezeki yang Dia agihkan kepada setiap makhluk. Apakah Tuhan itu terlalu bodoh di pandangannya sehingga tidak mampu mengganjari makhluk dengan adil, sesuai dengan tahap kemampuan mereka yang berbeza?

Apakah terlalu pelik sekiranya kita katakan, sepuluh sen dari seorang miskin yang dia sedekahkan barangkali lebih tinggi nilainya dari sepuluh ribu ringgit milik seorang kaya yang dia sedekahkan? Oh, demi kebesaran Tuhan yang Maha Bijaksana, saya tidak redha persendaan terhadap kebijaksanaan Tuhan ini dituturkan. Apakah Tuhan tidak pernah menyatakan bahawa setiap kebaikan itu dibalas sepuluh, dan boleh diganda sehingga 700 ratus bahkan lebih lagi, mengikut iradah dan kehendak-Nya?

Kalaupun si miskin dan si kaya yang bersedekah itu sama saja tahap keikhlasannya sekalipun, adakah patut kita meragukan kemampuan Tuhan untuk memberikan balasan pahala yang sama adil kepada kedua-duanya, dengan nilaian adil yang tidak boleh kita bayangkan kerana kecetekan ilmu kita yang tidak dapat menandingi ketinggian ilmu Tuhan yang Maha Mengetahui? Tidak kira apa hujah kita, panjang mana alasan kita, tapi bukankah Tuhan itu Maha Bijaksana memberi keputusan?

Juga, dalam Ramadan ini saya lalui dengan tiga helai baju dan dua helai seluar, serta beberapa buah kitab, manakala baki baju dan yang lainnya saya simpan di rumah kawan. Saya belum terlalu zuhud sehingga membasuh baju di badan, dan menjemurnya di badan. Saya masih dapat bertukar baju walau dapat kuantiti yang sedikit. Mungkin Ramadan kali ini di musim panas, jadi tiada masalah kalau terpaksa membuka baju seketika untuk dibasuh.

Di akhir tulisan, mari pohonkan keampunan bagi diri dan kepada ibu bapa, kepada anak-anak, kepada kaum keluarga, kepada sahabat handai, kepada semua yang mempunyaikan kasih sayang kepada kita, kepada jiran-jiran kita, kepada kawan-kawan kita, kepada seluruh muslimin; perkenankanlah Tuhan. Kerana ibu bapa itu bersambung hubung kaitnya kepada kita, anak itu bersambung kaitnya dengan kita, kaum keluarga juga bersambung kait dengan kita; orang-orang yang mengasihi kita, mendampingi kita juga kawan-kawan serta jiran juga bersambung kait dengan kita dalam muamalah dan sehari-hari, juga kaum muslimin yang kita punya tanggungjawab dan hak kepada mereka dan mereka juga sama kepada kita; seluruhnya, semuanya, bersambung dan berkait, lalu apakah kalau Tuhan mahu memberikan hukum kepada mereka, maka kita boleh berasa aman dan terlepas diri?

Maka pohonkanlah keselamatan kepada semua, agar rahmat yang turun kepada mereka juga dapat melimpah kepada kita sedikit atau banyak, lalu kalau semua orang yang kita berkaitan dan bersambung itu dicurahi rahmat dan keampunan, maka kita dikelilingi dari setiap sudut orang-orang yang terampun dan terahmat. Kerana itu, adakah pelik untuk mengatakan, mendoakan orang lain turut bererti mendoakan diri?

Sunday, September 07, 2008

Kempen Tanpa Langkah Basis Adalah Menanti Gagal | Failing To Prepare Is Prepairing To Fail

Saya sebetulnya tidak bersetuju apabila semua mempergalak kempen bertutur Bahasa Arab - sejak dahulu lagi - tetapi tidak membuat langkah-langkah asas, menyebabkan kempen ini bukan saja tidak berkesan, bahkan dijauhi oleh sesetengah yang bimbang malu diketawakan.

Mari perhatikan satu analogi mudah, sebelum saya menjelaskan maksud saya dengan langkah-langkah asas. Seorang pemuda kampung yang pemalu dan tidak banyak cakap pergi ke bandar, lalu duduk menunggu bas di perhentian. Di sebelahnya ada seorang pemuda, dan dia tidak bercakap langsung kerana malu. Bila ditegur, dia cuma tersenyum. Adakah pemuda ini kita anggap tidak pandai berbahasa Melayu kerana ketidakcakapannya?

Apabila berdepan dengan orang yang tidak kita kenali, apatah lagi berbangsa asing, apatah lagi kalau pemalu, apatah lagi kalau tiada urusan, adakah kita akan bersuara dan berbual, mahupun bercakap? Dan adakah ketidaklatihcakapan dikira sebagai enggan bercakap, dan adakah ketidakbolehcakapan bererti tidak boleh bercakap?

Begitulah kedudukan psikologi yang sangat penting sebelum kita boleh bercakap. Maka, sebelum kempen bercakap dalam Bahasa Arab, kempen membuang sikap malu, dan kempen berbicara perlu ditanamkan dulu. Kalau perlu dijadikan program, jadikan program, kalau perlu jadikan taklimat, jadikan taklimat. Orang yang peramah tentu tidak bermasalah dalam level dan tahap ini, kerana mereka memang akan mudah bercakap.

Kedua, yang menjadi basis paling penting adalah, menanam kalimah. Maksud saya, ke dalam hati dan jiwa juga akal. Apakah kita mahu bercakap tanpa kewujudan kalimah dalam dada, dan apakah yang lebih mengarut lagi dari usaha ini tanpa usaha basis kedua ini? Yang saya maksudkan dengan menanam kalimah, adalah kalimah yang kita fahami maknanya dengan betul, bukan dengan rasa-rasa, agak-agak. Bahkan menanam kalimah dengan mengetahui bukan saja ejaan, bahkan sebutan. Bahkan, sedapat-dapatnya, ia pernah dicubajadikan ayat yang betul maknanya. Kerana itu, kursus dan bimbingan penanaman kata perlu diadakan dulu sebelum kempen bercakap dalam Bahasa Arab ini. Contoh, membaca kamus.

Ketiga, barulah praktikal bercakap. Barulah susur galur sebab dan musabbab bersambung dan membuahkan hasil. Kemudian barulah dikaji sekali lagi, sekiranya masih juga gagal bercakap dalam bahasa Arab dan mengapa.

Ada beberapa perkara penting lagi yang akan turut memberi kesan kepada kempen bercakap Bahasa Arab ini. Pertama, keinginan untuk mendengar kalam Arab, sama ada dari mulut Arab, atau dari mana-mana sumber seperti televisyen dan kaset. Masalah utama, apabila bukan saja enggan bercakap, bahkan enggan mendengar, dan tiada langsung keinginan untuk berbuat demikian.

Kedua, adalah sikap menguji kalimah yang kita rasa kita tahu, dan melihat reaksi dari Arab itu sendiri. Melihat sudut adakah ia betul digunakan, adakah kalimah itu mesra telinga mereka, adakah betul sebutannya, dan adakah ia difahami seperti yang kita fahami. Ketiga, adalah sikap cinta kepada bahasa Arab, dan punya keinginan mempertingkatkan kekualitian penguasaan masa ke semasa.

Itulah pandangan saya mengenai hal ini. Semoga ia memberi faedah kepada semua.

Monday, August 18, 2008

Perubahan

Saya mempunyai banyak idea perubahan. Tetapi saya selalu mendapati bahawa idea saya sukar diterima. Jadi saya jadi kurang suka bersuara. Seperti kepimpinan di sini masih mengekalkan sistem pilihanraya yang setiap jawatan ditentukan oleh YDP selepas keputusan pilihanraya keluar. Kenapa tidak menukar sistem supaya setiap jawatan dipertandingkan, supaya yang bertanding memang bertanding jawatan yang mereka memang mampu dan minat?

Bahkan ini membolehkan petanding bersedia dengan target dan perancangan masing-masing, sebelum dari keputusan diumumkan. Menjadi manusia berobjektif dan bermatlamat, dalam bidang dicenderungi dan kemampuan bukankah satu petanda kepimpinan yang berkesan? Atau kalau mahu lebih hebat, jadikan sistem parti dengan ketua sudah siap-siap memilih senarai calon bagi jawatan yang difikirkan layak.

Tetapi idea-idea seperti ini susah diterima orang. Seperti mengurangkan masa mesyuarat agung, dan menukarkan kepada pembentangan sidang kepimpinan yang baru berkenaan rancangan akan datang. Bukankah kita mahu mengetahui rancangan kepimpinan baru, lebih dari berdebat dan bergaduh tapi tak berhasil apa-apa dari kepimpinan lama? Seperti ucap tema yang membahaskan tema, pada saya baik ditukar terus dengan rancangan setiap kepimpinan dengan bidang tugas masing-masing.

Saya dalam keadaan ini suka untuk mendiamkan diri dari bersuara. Kerana saya juga sedar, perubahan tidak semesti menjamin sesuatu kebaikan, walaupun saya juga sedar, mengekalkan di tahap lama juga tidak semestinya menjamin suatu kebaikan. Tapi tajarrub, usaha untuk menguji, tak ramai berani mencubanya. Atau lebih tepat, enggan. Jadi, apa ertinya saya melebihkan masa memikirkan idea-idea perubahan dalam kepimpinan ini?

Dari sudut pendidikan dan keilmuan, perubahan-perubahan perlu diusahakan. Kerana itu, tindakan pertama saya kepada anak buah saya yang belajar, adalah menghancurkan keyakinannya dahulu. Maksud saya, rasa percaya pada diri yang keterlaluan. Saya sendiri mengalami hal ini, dan ia adalah penyakit sikap bangga diri dan yakin dengan kemampuan diri. Keyakinan yang dibina di atas asas yang palsu, adalah hakikat yang palsu yang menipu. Penipuan terhadap diri sendiri adalah bahaya kepada status penuntut ilmu.

Mereka yang berasa pandai, berasa yakin dengan kemampuan diri, berasa cukup ilmu dan hebat, atau berasa mampu mencapai kefahaman dengan mudah, bagi saya, belum mendapat tarbiah al-Azhar lagi, atau mereka ini barangkali abqari, genius yang sukar ditemui. Tarbiyah pertama tentu adalah sikap merendah diri, dan membuka mata kepada alam ilmu yang sangat luas.

Keyakinan palsu yang saya bina semasa di Malaysia melalui kejayaan-kejayaan berdasarkan sijil sudah saya hancurkan di tahun ketiga saya di Mesir. Ia memang lambat, kerana saya terlambat sedar, dan tenggelam dalam keyakinan yang palsu. Kerana itu, berjaya dalam peperiksaan bukan penilai sebenar keyakinan, walaupun lulus periksa sesuatu yang penting juga. Keyakinan palsu kalau diteruskan hanya akan membuahkan kekesalan dan rasa tidak yakin pada diri yang berterusan, berlanjut dan menjangkit ke generasi akan datang.

Walaupun benar, keyakinan palsu di atas kemampuan palsu bukanlah bererti langsung tiada ilmu. Banyak ilmu juga yang saya dapat timba, tetapi ia belum cukup untuk tiba ke tahap yakin dan merasa cukup, lalu mengangkat dada dan meninggi diri. Oh, kalaulah itu keyakinan yang dibina hanya dengan bertapakkan kejayaan periksa dalam sistem peperiksaan Malaysia, lupakanlah, mari cari keyakinan sebenar dalam ilmu ini.

Perubahan ini, kalaupun disekat oleh sistem peperiksaan negara, kalaupun dihadang kemahuan sekolah mempertahankan peratus kelulusan, kalaupun dihadang oleh sistem pelajaran yang mengutamakan nota hafalan dan bukan fahaman yang inti, bukankah kita juga bakal pengisi tempat-tempat itu suatu hari nanti. Apakah yang lebih malang daripada kita, generasi perungut ini, sendiri tidak membentuk perubahan pada generasi akan datang, supaya mereka akan menjadi generasi yang lebih hebat dari generasi kita.

Kalaulah perubahan tidak dilakukan kepada sikap dan cara mencapai jauhar dan inti ilmu, dan mengekalkan kulit dan solek, tidak mustahil, kemampuan generasi ke generasi akan datang akan menurun dan merundum. Dan sejarah bahawa kewujudan anak murid lebih hebat dari guru akan hancur, yang ada cuma guru yang lebih hebat dari anak murid sahaja.