Wednesday, April 28, 2010

Catatan Hujung Kembara 19 | Luka Dan Ubat

Saya menyeru kepada semua sahabat untuk menghentikan perbuatan mengherdik dan menghina saudara seislam kita, tidak kira sesiapa sahaja. Baik orang itu benar-benar melakukan kesalahan mahupun hampir pasti bahawa mereka melakukan kesalahan. Baik mereka menyebelahi parti apa sekalipun. Saya menyeru kita menghentikan tulisan-tulisan yang melukakan maruah saudara-saudara seislam kita. Sejauh yang saya belajar, bukan itu caranya kita berta-'amul dengan mereka. Sejauh yang saya tahu, bukan begitu cara kita melayan mereka.

Saya fikir, kita boleh menyuarakan pendapat mengenai ketidakbenaran perbuatan mereka, tetapi dengan ayat yang selembut mungkin. Saya fikir, ayat-ayat maki tidak hanya memburukkan hati si pendengar, tetapi juga memburukkan hati kita. Saya sedar kemaharahan selalunya membuatkan kita terlepas cakap, terlepas tulis, dan ketidawajaran perbuatan orang tertentu membuatkan kita geram. Tetapi selagi mana mereka adalah saudara seislam kita, kita juga diajar supaya berlembut melayani mereka.

Saya juga pernah melalui perasaan marah yang sama. Perasaan marah yang apabila kalau saya lafaz sepatah saja, tidak ada yang keluar melainkan perkataan maki dan cela, kerana terlalu marahnya. Tetapi kita sesama saudara bukan berperang. Betul. Perbuatan mereka adalah tidak betul. Benar. Perbuatan mereka adalah melampau. Tetapi mengherdik tidak mendatangkan kebaikan melainkan keburukan juga. Kita harus sedar, betapa perbuatan menghina dan memperlekeh hanya akan membuatkan saudara seislam kita lari, atau lebih teruk lagi, mereka juga melancarkan perang terhadap kita. Sikap tanfiir, iaitu membuatkan orang lari, bukanlah matlamat kita.

Dari seluruh yang saya pelajari dari guru-guru saya, bahawa Rasulullah itu sangat 'memejamkan mata' segan untuk menegur kesalahan orang secara peribadi. Apabila Baginda tidak senang dengan sesuatu perbuatan, Baginda akan menyebut secara am; orang yang berbuat salah akan terasa secara sendiri, tanpa namanya disebut secara jelas. Itulah yang saya pelajari dari Syeikh Yusri yang mengajari kita hadis dan bagaimana berta-'amul dalam keadaan ini. Kalau kita dapat mengelakkan menyebut nama, elakkan. Kalau tidak dapat, tegurlah seberapa lembut yang mungkin.

Sesiapa saja akan terasa hati dengan teguran yang terus kena ke hidungnya, walaupun benar mereka melakukan kesalahan. Tetapi mengherdik dan mencaci mereka bukan saja menyebabkan mereka tidak menerima teguran, bahkan membuatkan mereka bertambah benci dengan kita hingga setiap kalam kita di masa akan datang, sekalipun benar, akan ditolak mentah-mentah. Akan menyebabkan setiap kalam kita di masa akan datang, sekalipun benar, akan disia-siakan bahkan dilaksanakan yang bertentangan dengannya.

Sahabat-sahabat. Saya fikir saya pernah melalui kemarahan yang sama dengan ketidakwajaran perbuatan orang tertentu yang akhirnya membuat saya marah dan benci. Tetapi memaki mereka hanya akan menghitamkan hati sendiri. Sehingga sekarang, saya masih merasakan perbuatan-perbuatan itu adalah tidak wajar, dan kalau mengikutkan hati pasti kalam-kalam yang tidak elok akan terlepas juga di lidah. Tetapi janganlah diturutkan kemarahan itu. Kita berta-'amul, bergaul dengan saudara kita yang sama-sama Islam. Dan kesempurnaan Islam itu adalah saudara seislam kita selamat dari lidah dan tangan kita.

Barangkali kita berasa jemu menegur secara lembut, kerana ia tidak menampakkan kesan. Tetapi menegur secara kasar juga tidak menimbulkan kesan yang baik, bahkan menimbulkan sengketa tambahan. Bahkan menyebabkan keburukan mereka makin tersebar. Bahkan menyebabkan mereka menambah api sengketa dan dendam. Bahkan menyebabkan mereka memerangi kita lagi. Bahkan membuatkan mereka semakin jauh dari mendengar kalam dan teguran kita. Bahkan menyebabkan kita dianggap sebagai musuh dan wajar diperangi. Bahkan menyebabkan kita hanya akan dilayan dengan buruk dan semakin teruk.

Kita katakan, bahawa mereka tidak menerima teguran kita secara lembut, maka kita gunakan cara yang kasar. Tetapi kita juga pasti, bahawa ayat yang kasar, cela dan maki hanya akan membuatkan mereka menolak dan tidak akan diterima. Tetapi kita sedar, bahawa kalam-kalam cerca hanya membuatkan mereka semakin marah, dan menjadikan mereka lebih terjebak lagi dalam kesilapan mereka. Oh, adakah kita juga punya saham yang mendorong mereka melakukan kesalahan dan kesalahan lagi.

Saya akui, bahawa perbuatan mereka memang tidak dapat diterima dan melukakan hati kita. Saya akui, bahawa tindakan mereka adalah tidak wajar. Tetapi mereka masih saudara seislam kita dan mereka berada di tubuh yang sama dengan kita. Barangkali anggota itu sakit, dan apabila kita cuba letakkan ubat, ia sedikit melawan dan tidak menerimanya. Barangkali apabila kita cuba memulihkannya, ubat itu tidak berkesan secara terus. Tetapi adakah ia akan pulih kalau kita semakin melukakannya? Adakah ia akan pulih kalau kita semakin menorehnya? Barangkali kita lupa, bahawa kita tidak ada kuasa memulihkan mana-mana anggota, baik dengan ubat atau apa sekalipun, sebaliknya taksir dan kesan itu hanyalah di tangan Tuhan semata-mata.

Ya, sesiapa saja akan tergelincir dan melakukan kesilapan. Saya sendiri sama. Bila terlalu marah, kalam-kalam yang lama saya pendam dulu kadangkala terkeluar juga. Tetapi kita harus menyedari bahawa ia adalah tidak patut.Kita harus faham bahawa orang yang kita lukakan itu adalah saudara seislam kita, tidak kira betapa teruk dan dosa perbuatan itu. Tegurlah secara lembut. Simpanlah semua kemarahan kita. Sesungguhnya menahan kemarahan itu dapat pahala. Itulah yang disebut dalam al-Quran sebagai al-Kaazimiina l-Ghaiz. Bahkan memaafkan itu dapat pahala. Itulah yang disebut dalam al-Quran sebagai al-'Aafiina 'Ani n-Naas. Menegur itu perlu, tetapi berlembutlah supaya mereka menerimanya.

Kemudian, berdoalah. Kerana kita memang tidak mempunyai apa-apa taksir kepada mana-mana manusia dan makhluk Allah yang lain, walau dengan apa cara sekalipun. Taksir dan kesan itu cuma di tangan Tuhan. Tidak kira betapa tepat tindakan kita, tidak kita betapa hebat perancangan kita, tidak kira betapa sempurnanya plan kita dan cukupnya kelengkapan kita, namun taksir itu di bawah kehendak-Nya juga. Sedarilah ketidakmampuan diri.

Catatan Hujung Kembara 18 | Ya Allah, Palingkan Jauh Daripada Kami Segala Keburukan, Bantulah Kami Mengatasi Segala Ujian

Subhanallah. Saya baru membaca pelbagai khabar mengenai pelbagai dugaan yang menimpa pelajar-pelajar di sini. Bermula dari masalah pelajar qiraat yang masih belum muqaiyad kerana masalah borang yang belum tiba, khabar semua pelajar wafidin dipindahkan ke Kaherah dengan tujuan yang saya sendiri kurang pasti apa, juga masalah-masalah lain di ARMA. Saya fikir, ada baik terus menyatakan semua pendapat dan bantahan berkaitan kepada pihak al-Azhar, seperti mana yang dicadangkan oleh Amid Kuliah Dumyat. Juga berdoa agar semua kesusahan dan keburukan dialihkan daripada kita semua.

Allahumma -srif 'anna s-suu-a wa l-balaak.Ya Allah, palingkan jauh daripada kami segala keburukan, bantulah kami mengatasi segala ujian.

Tuesday, April 20, 2010

Catatan Hujung Kembara 17 | Seperti Tidak Pernah Bererti Apa-Apa

Bila ditunjukkan Tuhan betapa jahilnya diri, seperti terduduk dan tidak pernah bererti apa-apa. Ya Allah, kurniakanlah ilmu yang bermanfaat, yang mendekatkan diri kepada-Mu. Sungguh aku tidak berani mengaku tahu.

Thursday, April 15, 2010

Catatan Hujung Kembara 16 | Kitabu l-Arba-'iin An-Nawawiiyah Dan Al-Hirzu l-Akbar Wa l-Kanzu l-Afkhor

Alhamdulillah. Syeikh Muhammad Ibrahim Abdu l-Baa-'its al-Kittaanii sekali lagi mengijazahkan kepada kami. Sempat tadi Syeikh memperdengarkan Arba-'iin Imam Nawawi dan kami mendengarnya, ditemani juga Syeikh Jamal Farouk dan Syeikh Usamah Said al-Azhariy. Bagi saya secara peribadi, ini ijazah ketiga saya dari syeikh, yang pertama adalah ijazah 'ammah serta ijazah al-hirzu l-akbar wa l-kanzu l-afkhor. Atau keempat. Saya hadir mendengar dan membacanya ketika kebetulan saya hadir ke majlis zikir beliau. Tapi al-hirzu l-akbar itu tak sempat saya dhobitkan barisnya. Dan tadi, saya dapat membeli rakaman bacaan tersebut. Oh, lama sudah saya mahukannya. Dan ia adalah sanad tertinggi, terus kepada pengarangnya. Subhanallah. Alhamdulillah. La Ilaaha Illallah. Allahu Akbar.

Wednesday, April 14, 2010

Catatan Hujung Kembara 15 | Kalau Kita Merasainya

Semalam sungguh letih letai, saya berdoa agar tidak pengsan ketika berdiri di dalam bas. Tidak pernah saya pulang jam hampir sepuluh malam dengan bas sesesak itu. Jalan banjir manusia. Saya rasa lima ribu manusia lebih di sepanjang jalan Darrasah-Husain. Itu belum lagi yang sedang berzikir, mahupun bermadih atau berkhutbah di dalam khemah atau di masjid. Baik yang hadir ke Kaherah dengan menyambut ulangtahun maulid Saidina Husain r.a., mahupun orang awam yang bersuka ria memenuhkan jalan, bersiar-siar.

Cuma sedih sebab saya perlu pulang awal sebelum majlis di Mudhoiyafah tamat. Saya sudah tertidur-terjaga hampir 10 kali. Dari Asar saya berada hingga ke jam 9 lebih. Selisih ketika pulang dengan al-'Allamah al-Muhaddits Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kittaniy dipimpin oleh Fadhilatu s-Syeikh Jamal Farouk. Tapi saya terpaksa pulang, meninggalkan majlis yang diserikan dengan beberapa syeikh juga merupakan ahli bait Rasulullah s.a.w., termasuk Syeikh Yusri Jabr dan Syeikh Toha Hibisyi.

Saya teringat kalam seorang kawan yang juga merupakan seorang yang saya anggap guru, yang menceritakan kepada saya dan saya mendengarnya, ketika beliau berkelana ke Tanta berguru beberapa hari, tetapi tidak boleh berlama-lama kerana rindu pada Saidina Husain r.a. langsung berasa ditarik-tarik untuk pulang ke Kaherah. Setiap kali beliau ke Darrasah, beliau akan ke Masjid Husain melahirkan kerinduan kemudian menyatakan dan saya mendengarnya, keinginannya untuk menemui Rasulullah s.a.w., dan semoga jerih perih beliau belajar hadis akan dikurniahkan cinta pada Baginda s.a.w.

Sungguh, betapa saya masih terlalu jauh dari murni dan cahaya. Teringat hadis yang dikisahkan oleh Syeikh Toha malam semalam, mengenai Saidina Husain mengemukakan kepada Ummi Salamah Ummul Mukminiin yang bermaksud - apakah yang melarang aku menemui datukku (Rasulullah) - kerana Ummul Mukminin sudah dilarang oleh Rasulullah dari membenarkan sesiapa saja masuk berjumpa Baginda malam itu. Lalu, dengan ijtihadnya, beliau membenarkan Saidina Husain masuk, lalu Saidina Husain naik ke pangkuan Baginda sedang Jibril dan seorang malaikat lain bersamanya ada di situ. Kegembiraan Nabi s.a.w. menemui salah seorang Raihanatain Baginda s.a.w. Saidina Husain, tiba-tiba perasaan itu bercampur dengan kedukaan apabila Baginda disingkapkan khabar ghaib mengenai pembunuhan cucu Baginda s.a.w.

Oh, apakah rasa seperti itu boleh diungkapkan oleh kita kalau kita merasainya?

Saya terlupa untuk menulis entri khas untuk ar-Rahiil, al-'Aarif Billah, Saiyidi al-Habiib, Allaamah Abdu l-Qaadir as-Saqqaaf r.a. Nanti saya cuba masukkan dalam entri akan datang, semoga diperkenankan.

Sunday, April 11, 2010

Catatan Hujung Kembara 14 | Yang Bukan Kedua-Duanya

Kita akan terasa hati jika dilabel jahil, bodoh, tidak berilmu dan sebagainya. Bahkan sesetengah kita pun boleh terasa berkecil hati apabila seseorang lain dipuji di sisinya. Tetapi kita juga mahu mengelak dari digelar tahu, alim, pandai, bijaksana dan seumpamanya, kerana kesedaran diri tentang maksud kalimah tersebut. Sekurang-kurangnya kita bukanlah si jahil yang menjahili kejahilan diri.

Tetapi dalam keadaan ini, kita enggan digelar kedua-duanya. Pertamanya kerana kita akan berasa marah atau malu, atau gugur keegoan, dan keduanya kerana kita adalah manusia yang diajar mengenali hakikat kekurangan diri. Kerana mengetahui hakikat kejahilan diri itu adalah suatu kealiman. Kerana mengetahui hakikat kejahilan diri itu mengeluarkan diri dari kelompok kejahilan yang paling dahsyat; si jahil yang tidak tahu dia jahil.

Tetapi mengenggani kedua-duanya - sekalipun boleh diterima secara fitrah - tetapi tertolak secara akli yang cetek. Bagaimana kita menjadi seorang yang bukan jahil, dan bukan alim; bukan bodoh dan bukan pandai? Namun secara aklinya, ia adalah hakikat sebenar manusia, yang kewujudannya adalah kekurangan.

Tuesday, April 06, 2010

Catatan Hujung Kembara 13 | Ke Pangkal

Apalah erti terbilang, kalau engkau cuma terbuang. Akhirnya setelah sesat, kau kembali ke pangkal jalan.

Sunday, April 04, 2010

Catatan Hujung Kembara 12 | Nahu Dan Saya

Saya masih ingat dulu, beberapa kali orang bertanya; apakah kitab Nahu yang patut mereka baca sebagai orang yang bukan takhassus. Tidak mahu yang terlalu susah. Tidak mahu yang terlalu rumit. Dan saya menjadi bingung entah apa yang harus saya jawab.

Bukan saya tak kenal kitab Aajurrumiiyah, dan syarahnya seperti Tuhfatu s-Saniiyah. Tetapi entah kenapa, saya kurang minat dengan kitab Aajurruumiiyah. Mungkin kerana mustalahnya sedikit berbeza dengan mustalah yang saya biasa dengar. Tetapi barangkali, sebab yang sebenar adalah, kerana tiada siapa yang menunjukkan kepada saya ketika itu apakah kitab yang saya patut pelajari dahulu, dari bawah ke atasnya.

Saya sendiri ketika di kuliah, silibus kami adalah Au-dhohu l-Masalik. Dan itulah kitab pertama yang saya beli di Mesir ini. Dicadangkan oleh salah seorang senior saya dalam Kuliah Lughah. Saya cuma ada dua orang senior. Dan senior seorang lagi mencadangkan Tuhfatu s-Saniyah.

Kerana itu, saya mempelajari Nahu dari Au-dhohu l-Masaalik. Dan saya bagai tidak kenal yang lain. Sudah tentu dengan susah payah. Apabila saya ternampak kitab Syarah Ibnu 'Akiil, saya terfikir yang saya macam pernah mempelajarinya dahulu di Malaysia. Tetapi, rupa-rupanya, yang dipelajari di Malaysia dahulu adalah petikan daripada kitab tersebut, bukan sebiji kitab yang sama.

Tetapi Au-dhohu l-Masalik adalah sebuah kitab yang tersangat ringkas. Atau lebih kepada perdebatan tokoh-tokoh Nahu. Sungguh, ia bukanlah di tahap saya membacanya dengan lancar. Jadi ia tidak sepatutnya dicadangkan kepada yang bertanya tadi. Barangkali, mereka lebih sesuai membaca Qatru n-Nada, atau Syuzuruzzahab, atau Syarah Ibnu 'Akil berbanding membaca Au-dhohu l-Masalik.

Pun begitu, saya tidak dapat nak mencadangkan kitab moden, kerana saya tidak menggemarinya. Kerana saya lebih kepada yang turats. Sehingga bila terdengar berita kononnya akhawat Lughah mempelajari Ha-syiah Soban, saya langsung membelinya. Dan harganya ketika itu 200 junaih. Subhanallah. Mahal, tetapi kerana sangking kagumnya saya, saya paksakan diri memilikinya.

Bila semakin dicelikkan mengenai kitab-kitab Nahu, barulah saya menyedari banyak lagi kitab turats dalam bidang ini yang tak pernah walau sedikit saya membacanya. Sungguh, walaupun saya adalah seorang pengkagum Ibnu Hisyam sehingga saya benar-benar mengagumi kitab Murghni l-Labiib beliau, tetapi saya juga percaya, masih banyak kitab lain yang saya belum menatapnya.

Ketika di tahun satu saya, saya teringin membuat kajian mengenai Mubtadak, kerana saya sudah mula memikirkan mengenainya sejak di tingkatan lima lagi. Saya berangan-angan ingin mengkaji bab mahzuf di dalam kalam. Tetapi bila membaca dalamnya dan detailnya kitab di sini, barulah saya sedar ilmu terlalu cetek. Alangkah indahnya impian, tetapi demi mencapainya, perlu kepada langkah yang lebih panjang.

Tuhan. Di depanku ada laut, yang tak pernah surut. Sungguh, di depanku ada laut. Dan aku menghadapnya.

Thursday, April 01, 2010

Catatan Hujung Kembara 11 | Teknologi Dan Perkembangan

Seingat saya, enam tahun lepas, ketika blogspot ini saya mencubanya masih terlalu sukar untuk digubah. Setahun selepas itu, barulah saya tahu sedikit-sedikit menambah dan membuat perubahan pada paparan blog. Kemudian beberapa tahun lepas, blog semakin mudah dengan kemunculan page element. Namun masih tidak menafikan keinginan orang untuk mencipta paparan muka yang baru. Dan sekarang, sudah ada template designer dalam blogger yang memudahkan amatur untuk mencuba pelbagai paparan muka yang baru mengikut citarasa. Entah apa lagi yang akan ada di masa depan kelak.