Monday, January 31, 2005

Maarad Lagi

Ma’rad Lagi

Ma’rad Kutub datang lagi dan saya kali ini dalam keseronokan juga – melihat sahabat-sahabat ( baru terutamanya ) berhabis duit di sana. Sekurang-kurangnya, membeli sesuatu yang baik tidak merugikan daripada membeli yang bukan-bukan. Sungguh, walaupun ramai yang akan berkata ( tentunya mempertikai sambil mengutuk-ngutuk ) : Buat apa beli kitab tapi tak dibaca? Benar pendapat itu, tetapi masih banyak silapnya.

Pertama, mereka membeli sesuatu yang baik, kenapa perlu pertikai? Kedua, membeli dengan niat hendak membaca ( suatu hari nanti ) – Bukankah niat sesuatu yang baik sudah diganjari. Ketiga, faedah berkekalan, dapat kepada semua yang membaca – tuan punya ataupun yang meminjam. Keempat, kata sibuk melaung sana sini hendak belajar (siap tinggi suara bilang datang mesir jangan buat benda lain – belajar je ) Kalau tak beli kitab macam mana hendak belajar? Kelima, kalau serasa tak nak baca, boleh jual. (menjual benda yang baik juga patut jadi amalan – daripada jual yang bukan-bukan )

Saya rakamkan suara diri – terasa mahu juga menyertai keseronokan yang bercampurgaul dalam lenguh sendi mengangkat kitab berpikul-pikul; anda tentu mahu tanya berapa saya berhabis dalam ma’rad kali ini?

al_jantanie
manhumi_ilm

Friday, January 28, 2005

Engkau Belum Melaluinya

27 Januari 2005
Tarbiah Al-Azhar, Engkau Belum Melaluinya.

Percayakah, kalau aku bilang, bahawa Engkau yang kini Azhari, belum melalui Tarbiah itu, Tarbiah Al-Azhar yang ulung – Sekiranya cintamu pada dunia lebih dalam dari cintamu pada Tuhan. Atau inginmu pada dunia lebih tebal dari harapmu pada Tuhan. Engkau belum melaluinya. Pasti.

Hari ini Engkau solat, dan lakumu dalam rukun – tetapi fikirmu tercicir, tergelincir keluar dari kekhusyukan. Engkau dan cintamu menebal pada dunia, dan rasa inginmu pada Tuhan adakah semakin menipis? Waktu itu, kau yakin, dan tahu, Engkau belum melalui tarbiah itu.

Tuhan beri kamu masa yang lapang, Engkau ambil masa itu untuk duniamu, dan curi masa yang seharusnya untuk Tuhanmu – Engkau laburkan pada kelalaian. Bahawa Tarbiah Yang Ulung itu, pastinya Engkau belum melepasinya. Dan bahawa cinta yang Unggul itu, pasti Engkau belum memiliki. Tanpa ragu lagi.

Percayakah sekarang wahai azhariku, Engkau, belum melalui tarbiah itu.

manhumi_ilm

Monday, January 24, 2005

Kata Paling Kagum

Kata singkatan yang paling mengkagumkam ialah Ustaz dan Ustazah.

Kenapa?

1. Bila Ustaz guna ( Us.), Ustazah guna ( Ust.)
2. Bila Ustaz guna ( Ust ), Ustazah guna ( Ustz )
3. Bila Ustaz guna ( Ustz ), Ustazah guna ( Ustzh )

Agak-agak, kalau anda menerima surat dari seorang tanpa bin atau binti, bagaimana anda menghukum jantina pada nama - Ustz Nur Aiman ?

al_jantanie
manhumi_ilm

Saturday, January 22, 2005

Campur Baur

22 Januari 2005

Dalam bercampur baur, adakah saya suka melaksanakan kerja sendirian atau mahu dibantu.

Kenapa saya suka buat kerja sendirian?
1. Tidak perlu sakit tekak dan sakit hati menyuruh orang yang liat buat kerja
2. Waktu yang pada saya lapang walaupun orang lain tidak.
3. Cuma perlu fikir apa yang patut saya buat, dan tak payah fikir apa yang patut orang lain buat. 4. Tak banyak cakap dan mengampu-ngampu.
5. Keputusan di tangan saya.
6. Nama seorang lebih gah.
7. Alasan kalau gagal – “ Buat kerja sorang, penat tau!”
8. Orang banyak kerenah yang melecehkan.

Mengapa saya mahu dibantu?
1. Tak adillah buat kerja sorang-sorang.
2. Kata semangat ukhuwah ( baca dengan nada lenggang-lenggok)
3. Kerja Jamaah lebih afdhal.
4. Boleh lepas tangan kalau uzur.
5. Bukan saya seorang yang boleh dipersalah.
6. Tak mahu dosa mengumpat campur buat kerja tak ikhlas.

Lapan balas enam, nampaknya saya lebih suka buat sendiri, tetapi masih suka kalau dibantu!.

manhumi_ilm
al_jantanie

Tuesday, January 18, 2005

Lama Sudah

Lama sudah saya tidak menulis. ( Oh ya abah, kalau ada kesempatan, nanti tulis arab pula. Tak mesti terjemah.)

Ripuh dalam peperiksaan, saya ambil masa mengkhatamkan kitab yang berbilang. Rasa kurang wajar kalau saya abaikan.

Saya dalam perancangan untuk cuti musim sejuk pula.

Jumpa lagi.
manhumi_ilm

Sunday, January 16, 2005

Seorang kanak-kanak

Seorang kanak-kanak membawa cawan yang dijumpainya di dalam bilik air lalu ditunjukkan kepada ahli keluarganya.

Ajib : Emak, cawan ni kat bilik air.
Emak : Mak kata jangan minum mentah. Nanti sakit perut.

Ajib : Ayah, cawan ni kat bilik air.
Ayah : Letak semula kat dapur!

Ajib : Abang, cawan ni kat bilik air.
Abang : Biarlah kat bilik air. Abang yang letak tadi. Kawasan kita putus bekalan air besok.

Ajib : Pakcik, cawan ni kat bilik air.
Pakcik : Pakcik hauslah. Ambilkan air kat dapur

Ajib : Kakak, cawan ni kat bilik air.
Kakak : Siapa suruh kau ambil cawan akak? Akak nak hadiahkan pada kawan.

Ajib : Angah, cawan ni kat bilik air.
Angah : Bagus betul kau dating. Jangka lukis ni dah patah. Bagi angah cawan tu.

Ajib : Ude, cawan ni kat bilik air.
Ude : Kau tengok bilik air ada orang tak? Ude nak mandi.

Ajib : Makcik, cawan ni kat bilik air.
Makcik: Kenapa tak basuh cawan kat singki je?

Ajib : Adik, cawan ni kat bilik air.
Adik : Adik nak gula-gula dengan patung doraemon.

Ajib : Paksu, cawan ni kat bilik air.
Paksu : Jangan main kaca! Nanti pecah.

salam sastera ilmu

manhumi_ilm

Tuesday, January 11, 2005

Curi Bukan Semuanya Dosa

Saya terpanggil mencatat dalam keripuhan masa yang rencam. Pendek dan terbatas. Imtihan fasa awal semacam mencengkam kaki saya daripada melangkah setapak ke cc, tetapi hati sudah ditarik melangkah masuk pada malam ini.

Usai periksa pagi tadi, saya kesejukan tambah tiada rakan yang masak tengahari. Perut yang lapar campur kepenatan berhempas pulas memerah ide dalam dewan peperiksaan buat saya nekad malam ini, saya akan berbuat sesuatu untuk melegakan perasaan.

Saya rasa terpanggil apabila Amli mengkhabarkan Ubai masih ternanti karya terbaru untuk disumbangkn ke dalam antologi, saya benar-benar berminat ( dan ide telah datang ) cuma masa belum begitu sesuai. Masakan saya patut abaikan kitab yang masih berbaki beberapa puluh (mungkin menjejak seratus dua) sedangkan imtihan cuma tinggal seminggu sahaja lagi. Insya Allah, saya akan lakukan sesuatu untuk memenuhi hajat beliau dan sebenarnya adalah harapan dan impian saya juga.

Sahabat-sahabat penulis. Saya percaya anda ada perancangan seperti saya juga. Kerana itulah saya 'mencuri' masa malam ini dan saya tahu," mencuri bukan semuanya dosa"
(Saya cuma mencuri masa) ---(Bukankah masa anda juga dicuri dengan membaca catatan ini?)
manhumi_ilm