Thursday, March 08, 2012

Di Sini Kutemukan 5: Ahbaar Dan Rabbaniy

Bismillah. Lama sungguh rasanya saya tidak menulis di sini. Mungkin sebab internet tidak ada di hujung jari sejak saya pulang dahulu. Apabila mula bekerja, sempat pakai untuk tiga bulan kemudian seperti rasa membazirkan duit, jadi saya tutup. Sudah setahun tiga bulan rasanya berada di Malaysia, tetapi terasa seperti sudah lima enam tahun. Semangat dan usaha yang bila melonjak naik, saya jadi lupa segala yang lain kerana terlalu fokus dengan apa yang saya lakukan, dan apabila semangat menurun dan tumpuan terganggu, saya akan berehat dan menenangkan diri. Begitulah yang berlaku berulang-ulang kali. Tulisan kebanyakannya adalah tulis curi-curi dan tidak lancar.

Sejak bekerja menjadi guru, banyak juga yang saya fikirkan. Daripada plan mengajar, menurunkan level pengajaran sesuai dengan tahap murid, memudahkan pengajaran, perancangan berfokuskan peperiksaan, dan bermacam-macam perkara berkaitan isi pelajaran, sehinggalah saya berpindah ke sekolah baru, sekolah menengah arab. Tetapi bukan itu saja. Setelah sampai di sini, saya terfikirkan juga mengenai sikap dan perangai yang harus saya pakai dan terap, termasuk inti pendidikan berteraskan ketuhanan atau rabbani hingga mengingatkan saya pada Syeikh Yusri, oh, rasa seperti sudah 10 tahun lamanya saya meninggalkan sana.

Sungguh, baik dalam lapangan ajar mengajar dan membentukkan keilmuan, atau lebih mesra disebut sebagai melahirkan ahbaar (cendikiawan) mahupun dalam lapangan pembentukan sikap dan syahsiah, atau lebih senang disebut sebagai menjadi rabbaniyiin, saya fikir, saya tidak lulus kedua-duanya. Tidak dalam teori, dan tidak dalam praktikal. Tiada rasanya yang boleh saya banggakan setakat ini. Saya masih lagi terperangkap dalam banyak jaring, dan tercari-cari jalan melepaskan diri.

Sungguh, bila terkenangkan kalam ustaz saya, Ustaz Fuad, sungguh jauh ketinggalan rupanya saya dalam apa-apa juga benda. Terasa saya memang tidak memahami psikologi pelajar, terutamanya pelajar menengah rendah yang jiwanya masih mahu bermain, bahkan tidak memahami keutamaan pengajaran, apatah lagi teknik. Kalaulah saya diujiankan, entah apa keputusan saya sebagai seorang guru. Namun, saya mula memahami sedikit demi sedikit perkara yang saya langsung tiada maklumat mengenainya. Bahawa psikologi pelajar perlu difahami, mungkin ada atau kebanyakannya tidak membawa hatinya ke sekolah. Hatinya mungkin tercicir di luar pagar ketika jasadnya didaftarkan masuk sebagai pelajar. Atau jiwanya yang masih muda mentah remaja yang masih mahu bermain dan keanak-anakan.

Saya belajar bahawa antara ahbaar dan rabbanii, walaupun kedua-duanya penting, tetapi saya terlalu berfokus pada yang pertama sehingga terabai yang kedua. Saya lupa pesan guru saya mengenai hal ini, dan banyak hal lain. Oh, kalaulah diujiankan sebagai seorang murid pun mungkin saya tidak lulus juga. Hingga kini, barulah saya nampak kelebihan orang-orang tertentu di sekeliling saya. Banyak rupanya Tuhan mengirimkan contoh untuk diteladani, atau dijadikan sumber rujukan pertanyaan. Banyak rupanya Tuhan mengirimkan orang berpengalaman dan berpandangan jauh di sekitar. Cuma, bila agaknya saya akan boleh menyerap semua kelebihan itu.

Saya selalu memikirkan bahawa kunci kepada semua ini adalah perasaan belas kasihan, atau disebut sebagai rahmah. Kerana bagi saya, itulah kunci pertama kepada pergaulan sesama manusia. Tetapi, teori sangat mudah berbanding praktikal yang banyak kali menggelincirkan hingga termasuk ke lorong lain. Emosi selalu saja tidak dikawal baik, atau tidak diselia kemas sehingga mengganggu perlaksanaan, atau tidak dibalut kemas sehingga kelihatan pada riak dan wajah. Terutama sifat pemarah saya. Hingga kadang-kadang, saya terasa bahawa kepada sayalah ditujukan sabda Nabi yang bermaksud " Janganlah kau marah".

Syukur pada Tuhan yang membukakan jalan, menerangkan laluan, mengirimkan cahaya, dan meletakkan petunjuk arah. Masih banyak pintu belum saya buka, dan masih tercari-cari jalan penyelesaian masalah yang saya hadapi.