Wednesday, September 30, 2009

Cinta Yang Bersilsilah Yang Berantai-Rantai

Rasulullah adalah sebaik-baik makhluk Allah. Itu hakikat yang mesti kita sebagai seorang muslim pegang. Zatnya. Jasadnya. Perangainya. Akhlaknya. Sifatnya. Kecantikannya. Zahirnya. Batinnya. Cakapnya. Suaranya. Segala-gala mengenainya adalah yang terbaik dan termulia. Bahkan air liurnya. Bahkan peluhnya.

Bahkan kebaikan itu melimpah mengenai semua di sekitarnya, bahawa Baginda adalah Nabi yang diutuskan kepada seluruh alam. Nabi rahmat. Termasuk alam jin, alam haiwan, alam benda tidak bernyawa dan semua alam selainnya. Kebaikan itu melimpah mengenai semua yang beriman kepadanya dan hidup sezaman dengannya. Samakah kita dengan Sahabat yang menghirup udara yang sama dengan Baginda? Yang menghidu harum bau jasad Baginda. Yang melihat dengan mata kepala, yang mendengar suara Baginda dengan telinga. Yang menyentuh dengan kulit mereka. Yang itu, yang ini dan yang semuanya.

Perbuatan Baginda. Kalam Baginda. Taqrir Baginda. Segala-galanya. Baju yang Baginda pakai. Jubah yang Baginda sarung. Oh kalaulah bermimpi berjumpa Baginda saja sudah menjadi satu kemuliaan, bolehkah kita bayangkan kalau jasad dan jisim Baginda? Darahnya. Darah yang mengalir di tubuh Baginda, kemudian mengalir ke tubuh anak Baginda Fatimah. Kemudian ke tubuh cucu Baginda Hasan dan Husain.

Darah kita? Oh wahai yang tidaklah kami ini sesiapa yang kalaulah bukan bergelar umatmu... Wahai sanjungan. Wahai pujaan. Wahai idaman. Siapakah kami ini wahai yang tiadalah kamu melainkan cinta dan kasih kepadamu itu adalah kebanggaan dan impian tertinggi. Ya Allah, muliakanlah kami dengan dapat melihat Nabi-Mu. Bertemu dengannya. Menemaninya di syurga-Mu.

Lalu tiada yang keturunannya tidak putus hinggalah ke hari kiamat selain keturunan Baginda. Bahawa zuriatnya akan berterusan. Yang di dalam jasad mereka terkandungnya walau secebis darah Baginda. Lalu membentuk daging dan kulit bahkan tulang. Daging kita? Kulit kita? Yang masih terlihat hingga ke hari ini adalah keturunan Baginda. Tidak mahukah kita menyentuh mereka kulit ke kulit. Menatap mereka mata ke mata. Yang di dalam darah mereka terkandung darah Baginda, walau ia sudah bercampur dengan darah yang lain.

Menolak hakikat ini adalah satu kedunguan. Adalah menolak kemuliaan yang bersambung dan bersilsilah. Maka mencintai keturunan Baginda adalah satu fadilat dan kelebihan. Bahkan kewajipan. Oh siapakah yang membenci makhluk termulia dan keturunannya ini? Apakah yang berada dalam hati mereka kalau bukan kekotoran, penyimpangan, kepesongan? Kamu membenci makhluk yang digelar kekasih Allah? Kamu merendah-rendahkan makhluk yang dipuji Tuhan dalam al-Quran? Kamu menjauhi makhluk yang digelar makhluk yang terdekat kedudukannya di sisi Allah?

Oh Tuhan yang Kau menyaksikan kedahsyatan ini, hadapkanlah kami ke arah cinta yang mulia ini. Bersihkan hati kami dari kekotoran, lalu tanam dalam hati kami kasih teragung ini. Janganlah jadikan kami membenci makhluk termulia yang menjadi kekasih-Mu serta keturunannya.

Lalu apa yang paling mengesalkan kita, adalah pihak-pihak yang men-syiah-kan semua orang yang mencintai keturunan Baginda. Oh sejak bilakah ahli Sunnah membenci keturunan makhluk termulia ini? Bahkah mencintainya! Tahukah apakah yang membezakan Syiah dan ahli Sunnah bukanlah pada cinta Rasul tetapi pada akidah! Janganlah kerana kita menyeru kepada hakikat ini kita langsung dicop Syiah! Oh kejahilan apakah ini?

Ahli Sunnah sejak zaman berzaman menuruti pedoman dan hadis Rasulullah yang menyeru supaya mencintai keturunan Baginda. Keturunan yang sudah disucikan di dalam al-Quran. Allahumma habbib ilaina hubbak, wa hubba habiibik, wa hubba habiibi habiibik. Ya Allah. Qad balaghtu hazihi l-haqiiqah, Allahumma -shhad!

Sunday, September 20, 2009

Lebaran Kali Ini

Saya mungkin menghadapi kesukaran mahu selalu menghadap internet, jadi selalu menggunakan peluang yang ada sebaiknya.

Ramadan kali ini, saya tidak menggunakannya dengan sempurna. Masih terlalu banyak cacat dari pihak saya. Walaupun ya, ada juga pembaharuan yang saya berjaya lakukan. Saya berdoa kepada Tuhan agar mengampunkan dosa saya, menerima amal kebaikan saya, memperbaiki akhlak dan pekerti saya, mensentiasakan saya di jalan yang benar dan lurus.

Bagi saya, raya sama seperti tahun-tahun yang sudah. Saya tidaklah sedih bahkan juga tidaklah seronok menyambutnya. Bagi saya ia biasa saja. Apa yang berulang-ulang dalam kepala adalah tiga projek yang saya mesti selesaikan menjelang bulan 12 ini. Doakan saya dimudahkan urusan.

Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. Salah silap harap dimaafkan. Terima kasih untuk ayah ibu kerana banyak memberikan sokongan. Taqabbalallahuminnawaminkum.

Allahumma anzil 'alaina l-barakaati wa l-khairaati wa l-hasanaati min kulli l-jihaat.
Allahumma habbib ilaina hubbak, wa hubba habiibik, wa hubba habiibi habiibik.
Allahumma -j-'alna fusohaa-ika l-arabiyah. Allahu qauwi haafizotana wa zaakiratana li hifzi l-qur-aan wa ahaadiisi nabiiyik. Allahumma -j-'alnaa musyaarikiina li nashri diinik. Allahumma -rzuqnaa mujaalasata s-soolihiin, wa l-muttaqiin, wa l-'ulamaak, wa s-soodiqiin, bal anbiyaa-i wa l-mursaliin.
Allahumma -'simnaa mina s-saiyi-aati wa l-asyroori.
Allahumma -rgfirlana zunuubana wa li waalidiina, warhamhum kama robbauna si-ghoora.
Allahumma jannibna sh-syaitoon wa n-naar. Allahumma -rhamnaa wa waalidiina.

Kad raya dari Hanri.