Saturday, May 26, 2007

Pertemuan Dengan Penulis Baru Dan Pelukis Kartun

Pertemuan dengan penulis baru pada 12 Jun 2007 ini adalah pertemuan tidak rasmi atau ziarah. Atau sembang-sembang. Atau borak-borak. Ia bukan program kerana kita sedang tempoh imtihan. Ia juga bukan wajib tapi saja-saja, bak kata orang putih, release tension.

Kerana itu, ia tidak ada tentatif seperti tentatif majlis, tidak ada pengerusi majlis, apatah lagi catatan kedatangan atau wang pendaftaran. Tapi, bukanlah bermakna kita tak memilih tempat dan masa. Mula lepas asar di Rumah Kelantan Baru, di Hayyu Sabie'.

Istimewanya kerana Ust Ubaidillah kata mahu datang sama. Mungkin kita boleh duduk dalam bulatan dan berbual (atau beramah mesra) dengan penulis dan pelukis prolifik ini. Dia kelihatan mahu berkongsi pengalaman dengan penulis-penulis baru, juga mahu beramah mesra dengan pelukis-pelukis kartun.

Sekali lagi ditegaskan ini bukan program, sebab kita dalam fatrah imtihan. Fatrah imtihan tidak ada program yang berjalan. Tapi ziarah-ziarah dan sembang-sembang tiada siapa yang larang, betul tak? Kalau terasa nak bawa buah tangan, ahlan wa sahlan. Kata Hisyam, kalau dapat makan aiskrim pun sedap juga.

Saya pelawa sahabat-sahabat datang sebab kalau berbual ramai-ramai kongsi pandangan lebih meriah. Insya-Allah tak lama, mula asar, sebelum maghrib dah habis. Dan ya, ini bukan program KELAP, ini bukan bengkel dan ini bukan perbentangan mengenai penulisan kreatif. Saya menjemput rakan-rakan penulis kreatif yang berkarya sejak dulu, juga penulis-penulis baru yang pernah menghasilkan karya. Kata seorang kawan (bukan saya), kita ibarat adik beradik.

Itulah. Nak tanya-tanya khabar. Apa berita? Ada perkembangan baru? Ada hasilkan karya baru? Kalau nak kongsi cerita, kita alu-alukan. Kalau nak tanya pendapat, silakan. Dan kalau nak tandatangan Ubaidillah, bawalah sama KKF ke, CDRK ke, tak pun belikan koperasi rumah Kelantan.

Pelukis kartun juga dijemput sama. Mungkin ada manfaat untuk kita bersama.

Saturday, May 19, 2007

29 - Mari Menuntut Ilmu

Dikarang di tahun keempat atau kelima keberadaan di Mesir.

Sajak: Mari Menuntut Ilmu
Oleh: Mohd Zaki.

Marilah belajar dengan penuh kesungguhan
dengan segala cara yang kau terfikirkan
semoga hatimu puas tidak tersesalkan
walau yang lain kecewa tidak bersetujuan.

Marilah usahakan segala kaedah dan jalan
redahi onak, duri, ranjau dan cabaran
biar luka parah dan sakit bertahankan
sekalipun yang lain rasa tak berkeperluan.

Marilah menujunya dengan segala kelapangan
dalam hatimu, agar kau menerimanya dengan
segala jiwamu, bahawa inilah rupanya jalan
ditunjukkan dirimu, dengan inti keikhlasan
pada Tuhanmu.

Marilah buangkan ragu-ragu dan dzan
pada diri, bimbang akan tumpas kekecewaan
di akhir nanti, bahawa yakinkan percayakan
tak berbelah bagi, walau yang lain bertanyaan;
apa yang kaubuat ini?

Marilah lupakan kebimbangan tanamkan
keyakinan, buangkan sifat segan
tanyakan segala kekeliruan, hindarkan
bangga diri, tolak pendek ketamakan
kejar dalam kepuasan.

Marilah belajar cantum hubungkan
hujung buaian dengan pangkal kuburan.

Wednesday, May 16, 2007

Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru. Untuk semua yang mengajar saya walau secebis ilmu. Untuk yang mencarikan masa memberikan tumpuan dan perhatian, ucapan ini untuk kalian.

Air kalau dihidang
tanpa gula tiada rasa
alim walau terbilang
tanpa guru tiada bangga.

Untuk yang menjadi cikgu saya walau dengan hanya sebaris ilmu, gelar itu kekal dan dawam.

Antara jahil dengan tahu,
ada bingung di tengah-tengah,
antara ilmu dengan buku,
ada guru di tengah-tengah.

Tanpa kalian, tiadalah saya seperti yang ada di hari ini.

Lekuk batu titisan air,
Limpah sungai muntahan hujan,
Kurang ilmu rusuhlah amir,
Tiada mursyid hancurlah buldan.

Tuesday, May 15, 2007

Selamat Datang Ke Dunia Kreatif

Alhamdulillah. Tak sia-sia juga rupanya saya berpergian sana sini untuk mengisi slot penulisan kreatif. Seingat saya saya pernah ke Shibin, Rumah Negeri Sembilan, Rumah Kelantan, Mansurah dan Zaqaziq. Rasa penat dan sibuk bertukar lega, apabila saya sudah nampak bayang-bayang pelapis-pelapis baru penulisan kreatif.

Tentulah, yang mengkagumkan pastinya bukan kerana semata-mata bakat dan asas, tetapi kehendak dan usaha. Semoga kebangkitan penulis-penulis kreatif Timur Tengah (khasnya Mesir) menjadi realiti, menggubal semula pandangan sempit dan cetek yang menghantui penulisan kreatif selama ini. Selamat datang ke pentas yang mana anda adalah pelakonnya!

Sunday, May 13, 2007

Lapis-Lapis Makna Dalam Sebuah Kalam

Sememangnya, apabila seseorang mengatakan - saya berjumpa harimau, kita boleh mengandaikan ayatnya itu dengan dua lapis makna, imma dengan jalan hakikat atau jalan majaz. Kerana ayat itu mempunyai dua dilalah, petunjuk dan arah. Keharusan ayat itu, atau mana-mana ayat yang sepertinya untuk diandaikan dengan dua lapis makna adalah boleh, sekiranya tidak ada karenah (dalil, bukti) yang menghalang ia untuk dimaknakan dengan dua lapis makna.

Dalam hal ini, kita boleh membahagikan kalam kepada beberapa jenis. Pertama, kalam yang hanya mempunyai satu lapis makna. Kalam jenis ini tidak perlu diandaikan dengan makna lain kerana kehakikian yang wujud dalam ayat itu, dan ia tidak mempunyai makna lain. Seperti ayat, nama saya Zaki. Kemudian, kalam yang memungkinkan kewujudan dua lapis makna, tetapi ada karenah (bukti) yang menghalang makna pertama dan mewajibkan makna kedua atau sebaliknya. Seperti ayat, singa yang garang itu suka memaki orang. Ketiga, kalam yang mempunyai dua lapis makna, dengan kedua-dua makna adalah mungkin, dan boleh di dalam ayat. Seperti ayat, si kaki perempuan itu tidak berjaya memancing hari ini. Dalam apa-apa hal sekalipun, kewujudan karenah adalah penting dan bersifat menentu dalam ayat-ayat yang mempunyai dua lapis makna ini.

Secara ringkas, karenah itu ada dua; karenah lafziah dan karenah haaliyah. Karenah Lafziah adalah bukti berbentuk lafaz, di mana kewujudan lafaz ini telah memandu maksud ayat kepada makna pertama dan memalingkannya daripada makna kedua. Manakala karenah haaliyah pula adalah bukti berdasarkan suasana dan keadaan, tidak ada lafaz yang memandu kepada makna murad, tetapi keadaan dan hal sudah memadai untuk membantu pelorongan makna kepada yang sepatutnya.

Kerana itu, apabila seseorang berkata A kepada anda, maka ayat itu hanya boleh berpindah kepada makna B sekiranya ada karenah (dalil atau bukti) di dalam ayat, ataupun hal. Tetapi, sekiranya karenah itu tidak wujud, maka pemindahan maksud dari A kepada B dikira sebagai penipuan. Inilah takrif tipu dari sudut bahasa. Ia berbeza dengan kalam dua lapis makna. Kerana dalam kalam dua lapis makna, melorongkan makna ayat dari A kepada B dengan karenah itu tidak dikira tipu. Karenah itu wujud, dan kewujudannya memandu makna ayat kepada makna murad. Kerana itu, sekiranya anda menemukan jurucakap dua lapis, maka akal perlulah celik dan meneliti lapis-lapis makna dan mengambilnya berdasarkan murad, tentunya berdalilkan karenah.

Di sinilah kita membezakan antara cakap dua lapisan dengan cakap bohong atau dusta. Walaupun kedapatan pendapat yang mengatakan bahawa ayat-ayat majaz adalah ayat yang bertujuan menipu, atau sekurang-kurangnya mengelirukan orang, tetapi pendapat ini sangat lemah, kerana cakap-cakap majaz ada dalam semua bahasa manusia. Hatta bahasa Melayu sendiri. Cakap majaz sekalipun agak mengelirukan kerana pemesongan makna dari makna pertama kepada makna kedua, tetapi dengan memahiri karenah, seteruk mana pun pemahaman ia, dia tidak dikira ditipu, sebaliknya dikelirukan. Keliru dan tipu adalah dua perkara yang berbeza.

Sebagai contoh, seseorang datang dan berkata, sekiranya anda boleh mencarikan saya seseorang, saya akan izinkan anda mengambil kereta saya. Kemudian, apabila anda datang membawakannya orang yang dia ingin cari, kemudian anda menuntutnya kereta, dia berkata, saya maksudkan, saya beri kereta itu setelah anda tamat belajar, bekerja, dan mengumpul wang yang cukup. Nah, antara ayat pertama dengan ayat kedua, adakah ia layak dikira sebagai ayat dengan dua lapis makna, atau ayat yang semata-mata dusta?

Saya tidak menemukan sebarang karenah dalam ayat pertama yang memberi petunjuk tentang kewujudan makna yang wujud dalam ayat kedua. Ini bukan majaz, bukan ayat dengan dua lapis makna, kerana tiada sebarang karenah, sebaliknya penipuan dan pembohongan. Baik karenah lafziah mahupun haaliyah, kedua-duanya tidak ada. Maka, ia diputuskan sebagai kalam dusta.

Tetapi, sebagai seorang manusia yang mempunyai bukan sahaja dua lapis makna dalam pertuturan, tetapi juga harus mempunyai dua lapis fikir, haruslah cuba merenung dua kali lebih dalam daripada biasa. Kemampuan merenung juga ada banyak lapis, dan bertahap-tahap. Kalau anda perasan, ada juga bentuk-bentuk penipuan yang berlaku, dan ia tidak lebih daripada ‘mahu mengalaskan kata supaya tak pedih’, atau ‘tidak mahu memberitahu sebab sebenar lalu mereka-reka sebab lain’. Dalam hal ini, saya tak punya banyak komen. Wallahu a’lam.

Friday, May 11, 2007

Isim Tas-Ghiir ms 73

Mentas-ghirkan (kalimah-kalimah) yang menunjukkan kepada makna jamak.

Jika isim yang hendak ditas-ghirkan menunjukkan kepada makna jamak, maka ia tidak akan keluar daripada salah satu yang berikut:

Pertama: Ismu l-Jinsi l-Ifraadii1, iaitu: (kalimah) yang menunjukkan kepada makna sedikit ataupun banyak, seperti: zahab (emas) dan fiddoh (perak) dan maak (air) dan turoob (tanah), dan pentas-ghirannya adalah ke atas lafaznya sendiri, maka kau katakan untuk tas-ghirnya : zuhaib, dan fudoidah, dan muwaiyah, dan turoiyib.

Sesungguhnya ia (kalimah jenis ini) ditas-ghirkan ke atas lafaznya sendiri, kerana lafaznya mufrod.

Kedua: Ismu l-Jinsi l-Jam-'ii2, iaitu: (kalimah) yang mempunyai mufradnya daripada lafaznya sendiri, dan dibezakan di antaranya dengan mufradnya dengan taa kebiasaannya, dan dengan yaa musyaddadah jarang-jarang, seperti: tamr (tamar), syajar (pokok), baqar (lembu), ruum (rom) dan 'ajam ('ajam), sesungguhnya lafaz mufradnya: tamrah, syajarah, baqarah, ruumiyy, 'ajamiy, dan pentas-ghirannya berlangsung ke atas lafaznya, kerana ianya mufrad, maka kau katakan pada pentas-ghirannya: tumair, syujair, buqair, ruwaim, 'ujaim

Ketiga: Ismu l-Jam-' 3 (Isim Jamak) iaitu: (kalimah) yang tidak mempunyai mufradnya, dan ia bukan dari mana-mana wazan daripada wazan-wazan jamak taksiir yang terpelihara (ditetapkan), seperti qaum (kaum), ibil (unta), rah-t (sekumpulan). Dan pentas-ghirannya berlaku ke atas lafaznya, kerana ia mufrad, maka kau katakan pada pentas-ghirannya: quwaim, ubail, ruhait.

Saturday, May 05, 2007

Pemasukan Kalimah Arab Ke Dalam Bahasa Melayu, Panduan Dan Cara.

Sebagai seorang pelajar, saya merasakan tajuk ini penting. Tetapi ia bukan timbul dari pendapat orang lain, tetapi lebih kepada pendapat saya setelah membuat sedikit penilaian dan pengkajain. Ia bererti, ini bukanlah panduan yang bersifat lengkap bahkan mungkin ada banyak kurang dan cacat cela di mana-mana saja. Kerana saya menilai dan mengkaji semua ini berdasarkan pemahaman saya yang sebenarnya cetek, ilmu yang tak seberapa, namun ruang ini seharusnya terbuka dan dinilai bagi dimanfaatkan kepada bangsa Melayu amnya dan perkembangan ilmu khasnya.

Sebagai seorang yang sedar bahawa saya bukanlah seorang yang mempunyai kelayakan menentukan proses pemasukan kalimah daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu, maka ia barangkali sekadar panduan, dan bukanlah ketetapan. Kalau sudah ada tulisan orang lain yang terdahulu mengenai tajuk ini, anggaplah ia sebagai cadangan peribadi saya.

Memasukkan kalimah bahasa Arab ke bahasa Melayu selalunya berlaku di pihak penterjemah yang sentiasa berusaha dan cuba memberikan terjemahan paling tepat dan adil, tanpa bersikap menambah atau mengurang, atau mengubah, kecuali menjelas. Seorang kawan berkata, kerana bahasa Arab terlalu kompleks dari segala sudut menyebabkan, penterjemahan kalimah seringkali dilihat sama ada tidak tepat, atau semakin memeningkan, atau tidak memadai dengan maksud sebenar yang wujud dalam bahasa Arab itu sendiri.

Pada saya, kerana kekompleksan makna yang wujud dalam sesuatu kalimah bahasa Arab menyebabkan ketidakpadanan antara satu kalimah bahasa Arab apabila mahu dicarikan gandingan setaranya dalam bahasa Melayu. Kebiasaannya, makna yang dibawa itu hanya dapat ditawarkan dengan beberapa potong kalimah lagi atau hingga perlu kepada penjelasan berbentuk ayat. Maksud saya, apabila penulis itu cuba memberikan terjemahan paling adil dan tepat, berbeza kalau berbeza pendirian.

Kerana itu, saya mencadangkan pemindahan kalimah. Namun setelah saya teliti, tidak semua kalimah dalam bahasa Arab itu boleh dipindahkan ke bahasa Melayu. Bagi saya, hanya perkataan-perkataan tertentu saja layak dipindahkan, seterusnya ia perlu juga kepada penilaian semula berkenaan cara penggunaan agar penggunaan sambil lewa dan sewenang-wenangnya tidak berlaku.

Apabila memindahkan kalimah, kita bukan semata-mata memindahkan bunyi dan menawarkan huruf baru yang sepadan dengan bunyi kalimah, tetapi kita juga memindahkan ilmu dan makna yang terkandung dalam kalimah. Kerana itu, saya fikir, pemindahan boleh berlaku apabila kita berada di posisi memahami kalimah dengan benar dan betul.

Pertama, isim ( kata nama ) adalah bentuk kalimah bahasa Arab yang bersifat mudah serap ke bahasa Melayu. Pemindahan isim atau kata nama ini bagi saya adalah lebih terbuka dan boleh dimasukkan terus ke bahasa Melayu, namun saya berpendapat ada wajarnya beberapa hal lain turut diambil kira. Iaitu, hanya isim dan bukan lain-lain yang bermuta’allik (bergantung, berkait) dengan isim tersebut seperti dhomir dan adat. Kerana itu saya merasa layak untuk isim itu ditogelkan daripada adat takrif seperti al dan dhomir seperti domir muttasil. Lagipula kita mempunyai dhomir yang sebandingan dengannya, iaitu kata ganti diri.

Kemudian, pemasukan isim perlulah bersifat mufrad atau jamak, tetapi bukannya musanna. Pemasukkan isim yang mufrad dan jamak lebih sesuai kerana boleh mengikut rentak ayat dalam bahasa Melayu apabila ayat dalam bahasa Melayu turut menggunakan bilangan dalam masa yang sama. Maka, muhammadaini boleh ditulis sebagai dua muhammad, dan bukan memindahkan lafaz musanna itu sendiri.

Kemudian, kerana sifat bahasa Melayu itu sendiri kelihatan mesra dengan bunyi majrur yang ada pada kalimah arab, maka pemindahan isim kurang sesuai dipindahkan dalam bunyi marfuk atau mansub. Sekalipun kedudukan marfuk berada di kedudukan asal hukum sesuatu kalimah dalam bahasa Arab, namun penilaian bunyi memilih majrur lebih mesra kepada bahasa Melayu. Kecuali jika kalimah itu tidak mempunyai bunyi yang majrur dan terpaksa dipindahkan seperti mana halnya ia. Contoh yang paling mesra seperti muslimin, hadirin dan lain-lain.

Kemudian, pemasukan isim zat perlu dibezakan sedikit dengan isim sifat, atau sekurang-kurangnya perlu ditanda bagi tidak disalahkenal antara keduanya. Isim-isim sifat akan berada di tempat yang sama padan dengannya dalam bahasa Melayu, begitu juga dengan isim zat. Ini kerana, kedudukan isim sifat dalam bahasa Arab bersesuaian dengan pemakaian imbuhan dalam bahasa Melayu, demi menyelaraskan bunyi dan makna. Seperti lafaz bermuta’allik. Adapun isim zat seperti waziir tidak memerlukan imbuhan apabila ia digunakan sebagai isim zat sendiri. Seperti saya melantik 3 orang waziir. Kemudian, lafaz imbuhan ber yang memasuki isi zat akan membawa erti mempunyai, dan bukan bermakna sifat.

Adapun fe-‘el, saya tidak menjumpakan satu cara pemasukan yang baik melainkan dengan menukarkannya kepada bentuk masdar. Ini kerana masdar tidak mempunyai awalan dan akhiran yang melentur mengikut fa-‘el seperti yang berlaku dalam fe-‘el. Lagipula, masdar dalam bahasa Arab mempunyai makna fe-el, maka penukaran fe-‘el kepada masdar apabila mahu memindahkannya ke bahasa Melayu adalah satu tindakan yang betul, sesuai dan mesra dengan bahasa Melayu.

Barangkali kerana fe-‘el itu sendiri mempunyai awalan dan akhiran yang sangat banyak, maka ia sukar dipadankan dengan bahasa Melayu yang juga punya awalan dan akhiran dengan setiap awalan dan akhiran punya makna tersendiri. Lantas, penukarannya kepada bentuk masdar adalah sesuai sebelum dipindahkan ke bahasa Melayu.

Seterusnya mengenai sistem ejaan. Sekalipun sudah ada format tertentu dalam pemindahan sebarang kalimah dalam apa juga bahasa pun ke bahasa Melayu, namun saya secara peribadi merasakan sistem pindahan berdasarkan bunyi makhraj yang keluar adalah sistem ejaan tertepat sekali. Walaupun benar, ada huruf tertentu seperti ha bulat dan ha nipis, atau seperti sin dengan sod, atau beberapa huruf lain; dengan keadaan setiap dua huruf dalam pasangan tersebut memakai huruf yang sama ketika ejaan dijalankan. Kerana persamaan ini, kita tidak dapat memindahkan kalimah sebenar kerana kemiripan bunyi.

Saya sendiri sering menguji ejaan ini dan merasakan penggunaan tanda sengkang akan banyak digunakan demi memisahkan bunyi yang boleh disalahbaca apabila tanda sengkang tidak diletakkan. Begitu juga dengan tanda dhommah dan baris-baris lain yang berada di akhir setiap perkataan. Ia juga suatu hal yang harus difikirkan.

Namun, saya juga terkesan dengan pendapat seorang kawan, katanya, bahasa Arab itu dengan lafaznya yang paling asal adalah dalam posisi terbaik yang tak terbanding dengan mana-mana kalimah sekalipun dalam bahasa Melayu, apatah lagi kerana kedapatan kalimah yang ulamak sendiri berselisih pendapat dalam memaknakannya. Maka, pemindahan kalimah bagi saya adalah sesuai dalam kes ini (kerana perselisihan memaknakan, kemudian jangan lupa letakkan syarahnya di bawah) tetapi menjadi tidak sesuai apabila merujuk hal kesempurnaan nilai dalam bahasa asal, kerana zauk Arab tidak terpindah bersama.

Walaubagaimanapun, bagi saya, dengan cara ini banyak juga faedah yang boleh diraih bersama.

Thursday, May 03, 2007

32 Ke 23 Ya?

Untuk adik saya, Intan Faizah, selamat ulangtahun yang ke 32 semalam. Eh! Silap. Yang ke 23. Selamat panjang umur, murah rezeki, dimudahkan urusan, dan cepat-cepat kahwin. Ini tak kira langkah bendul, sebab kau seorang saja bunga, adik-beradik yang lain kumbang.

Tuesday, May 01, 2007

Tunggu.

Bila CDRK keluar, saya bukan menunggu perkataan tahniah, tetapi terima kasih. Anda mungkin tak memahami cara saya berfikir, jadi entri ini boleh diabaikan.