Sunday, November 25, 2007

Malaysia Yang Disifatkan Dari Tanah Seberang Jauh

Tentulah bila kembali ke tanah air 4 bulan dulu, dan kembali ke Mesir sebulan lepas, saya sempat meneliti beberapa perkara yang menarik. Di UIA melihat sendiri khutbah dua bahasa yang dibanggakan adik saya Fahmi, walaupun terasa lain bila melihat cara mereka bersurai. Tentulah lain, bisik kecil hati saya. Ini bukan tanah Arab.

Sempat juga memerhatikan khutbah jumaat di tempat sendiri, dengan baca Imam yang terlompat-lompat dari suku kata ke suku kata yang lain. Tentu juga kecewa bila bukan bahasa Melayu saja yang terlompat-lompat, tapi pada ayat al-Quran, hingga terdetik dalam diri, apa kurang sangatkah rasa hormat pada al-Quran hingga tak mahu diawasi benar-benar. Bukan soal orang lain atau siapa saja yang baca khutbah, tapi kalau di rumah, kalau di mana saja, adakah al-Quran akan dibaca terlompat-lompat juga?

Bila sebut tentang kelainan, saya sebetulnya rasa janggal sangat dengan biah Malaysia. Saya perlukan masa menyesuaikan diri. Masih ingat ketika baru turun dari Kuala Lumpur balik semula ke Johor, saya turun di stesen bas Batu Pahat. Entah apa biah yang membuatkan saya rasa lain hingga saya rasa sukar mahu bertanya siapa - di mana tempat solat. Sebetulnya saya sedang berfikir mahu bertanya siapa. Nak tanya Cina, segan. Nak tanya India, segan. Nak tanya Melayu, tapi bila yang perempuan campur dengan yang lelaki campur segala macam kesesakan, saya fikir balik. Last-last tertanya pada seorang Cina yang tak dapat dipastikan apa agamanya.

Tapi yang paling menarik sempat saya perhatikan tentulah keluarga sendiri. Ibu saya seperti dalam usaha mengenali anak nombor duanya, lalu mengisahkan dirinya bertanya kawan saya. Dia bercerita sendiri bagaimana respon kawan-kawan terhadap saya. Beberapa respon yang menarik apabila mereka meng-i'rob saya dengan kata-kata seperti, pelik, sukar difahami, kalau tak setuju akan diam, dan lain-lain.

Sebetulnya saya juga memakai 'muka' tertentu di depan keluarga. Memetik kata seorang yang berpangkat adik, saya belum reti (tahu) bagaimana nak membawa diri di dalam keluarga. Sempat juga saya meneliti dan mengkaji sedikit sebanyak tentang ayah dan mak, melihat dari mana datang sikap-sikap saya. Kalau sikap jimat saya ambil dari ayah, sikap mempercayai dan tegas dari ibu, sikap berahsia dan mengkritik dari ayah. Terasa kagum juga bila ternampak adik saya yang perempuan mengambil sikap 'bercakap tak toleh keliling' dari nenek sebelah mak. Saya tak jumpa sifat itu dalam ayah atau ibu, tapi ternampak dalam nenek.

Ketika di Bengkel DBP di Kuala Lumpur, sewaktu berjumpa Faisal, apabila saya memberitahu tentang diri bahawa saya kuliah lughah dan beliau spontan berkata 'salah tempat tu', saya terasa kagum. Mungkin Mesir biahnya bukanlah fushah, tetapi nilai ilmu yang dikandung oleh tanah seribu menara adalah kebenaran tak tertolak. Saya tahu saya jahil dan bodoh, dan barangkali komen spontan itu adalah untuk saya, bukan untuk Mesir ini.

Tentunya, antara yang menarik untuk diperhatikan adalah diri sendiri. Sebetulnya saya masih meneliti diri dan menyesuaikan diri. Melihat kelemahan dan mencuba mengubahnya, juga berusaha kepada matlamat yang dicitakan. Memang, kepulangan ke Malaysia kali itu memang menarik untuk diperhatikan.

Saturday, November 24, 2007

Untuk Mereka Yang Futur

Manusia, bukan saja berkembang tetapi mengecut. Menyusut. Lemah tenaga si kecil akan menjadi gagah bila dewasa, dan akan menyusut tidak berdaya apabila tua. Itulah putaran tabii yang bersemulajadi dalam liku kehidupan kita sehari-hari.

Tetapi, kita sentiasa mengidam menjadi gagah perkasa, kukuh, tsabat, tidak bergoyang atau goncang, mampu berdiri padu dan jitu, hingga impian yang seperti itu terbawa-bawa ke dalam hidup dan tercampur aduk dalam doa - mohon ditetapkan dalam agama Islam yang tercinta. Namun, ada juga yang terasa futur dan lemah, mandum dan mundur; tegak kaki berdiri terasa sudah condong dan jatuh.

Bahkan sesetengah kita kerap menyalahkan diri, terasa kekerdilan diri apabila berdepan hakikat sebenar. Kita ingin menjadi garuda satu masa dulu, tetapi kefuturan membikin rasa semacam putus asa walaupun bukan, tetapi cukup membuat langkah tidak bergerak satu lagi ke hadapan. Menjadikan kita sebesar pipit. Kita selalu memikirkan untuk melangkah tetapi entah apa yang membatu dalam diri hingga kita tak berbuat apa-apa.

Itulah mandum, futur, rasa lemah dan tak bermaya, ihsas bi l-hubut, ketidakmampuan. Dan ini, adalah untuk mereka yang futur.

Mungkin kita ada banyak sebab untuk terasa begitu. Namun ini juga adalah simbol cinta. Kerana cinta kita merasa kukuh dan tsabat, dan kerana cinta juga kita merundum dan mengundur. Cinta yang memasak dalam hati ini wujud dalam liang-liang rasa, bergetar hingga ke setiap denyut. Kerana cinta juga kita teringat akan keindahan dulu, dan penyesalan waktu kini. Kerana cinta juga yang membawa kita ke kamar hakim jiwa lalu diputuskan bersalah.

Sikap memundurkan diri terbit dan kita kian terbenam di bawah kekesalan diri.

Masih ingatkah kita pada cinta itu kala mekarnya? Kita tampil dengan kekukuhan pada diri dan kekuatan untuk mencapainya, kita melangkah dan berdiri betul-betul pada jalannya. Tetapi kemudian kita futur entah apa sebab sebenarnya. Kita melemah di tepi jalan, kurang upaya menapak ke hadapan.

Setelah semua itu, apa lagi yang kita tunggu, selain bangkit semula dan melangkah ke depan!

Sunday, November 18, 2007

Ucapan Tahniah Untuk Adik Yang Bungsu.

Untuk adik saya yang bongsu, Mohd Fauzan, abang ucapkan tahniah untuk keputusan UPSR baru-baru ini. Tahniah untuk 3 A dan 2 B. Jangan sedih walaupun tak penuh. Itu bukan ukuran pandai atau tidak dalam erti kata sebenar. Itu bukan sukatan cemerlang dalam erti kata yang betul. Kepandaian dan kecemerlangan ada banyak ukuran. Jangan singkatkannya dengan nilaian keputusan peperiksaan.

Walaupun berusaha mendapat yang terbaik dalam peperiksaan adalah bagus dan betul, tetapi berusaha lebih dari batasan peperiksaan adalah hakikat belajar yang benar. Jangan jadi si sempit fikiran lantas kecewa dengan perkara seremeh ini. Betul. Berbangga dengan keputusan peperiksaan adalah betul, tetapi berbangga dengan usaha 'belajar' dengan sungguh-sungguh adalah kebanggaan sebenar.

Kalaupun Fauzan berjaya dalam peperiksaan dengan keputusan yang penuh, tapi dengan usaha yang sikit dan tanpa sungguh-sungguh, ia langsung tidak membanggakan. Itu abang pernah rasa. Kejayaan yang semacam itu kerap pula ditakwil dengan macam-macam. Skema markah direndahkanlah, soalan tahun ini terlalu mudahlah, nak mengurangkan jurang antara dalam bandar dan luar bandarlah, nak meninggikan keputusan orang-orang Melayulah, soalan-soalan ramalan keluarlah.

Tapi bukan itu kesedihan yang sebenarnya. Kesedihan sebenar adalah apabila kita menyangka kita pandai, padahal tidak. Kita menjadi si jahil yang mengaku alim. Kita rasa kita tahu, tapi hakikatnya kita tidak. Kita merasa bangga danlupa diri dengan kejayaan yang kecil. Tentu bukan jenis ini kejayaan yang kita kejar, bukan? Tentu bukan ini kecemerlangan yang kita kejar, bukan?

Angah harap Fauzan dalam mencelikkan mata dengan akal yang terbuka. Jangan padamkan sikap mahu mencabar. Mencabar ke tahap yang lebih tinggi. Mendahului yang lain. Mendahului diri sendiri. Jangan padamkan walau sudah berjaya, apatah lagi kalaupun gagal. Kehilangan sikap mahu mencabar selalu mengingatkan pada orang-orang yang sudah mengaku kalah. Padahal belajar itu tak pernah berhenti sehingga mati.

Apapun, tahniah untuk kejayaan, dan untuk selamat belajar ke tahap yang lebih tinggi.

Thursday, November 15, 2007

Ketiga Yang Benar-Benar Habis

Alhamdulillah. Setelah beberapa ketika, saya telah berjaya menyiapkan semakan sebuah novel terjemahan seorang rakan. Seberapa yang saya mampu tolong, saya dah tolong.

Setakat ini, ia adalah buku ketiga setelah dua buku Ustaz Masnur.

Wednesday, November 07, 2007

Hari Baca Novel

Sebetulnya saya tidak mahu perasaan yang bercampur-campur ini mengganggu apa yang saya rancang. Apatah lagi saya tiba-tiba tidak begitu sihat. Walaubagaimanapun, ia rancangan untuk program yang berjarak jauh dari sekarang, dan perlu dimaklum awal, saya taipkan saja.

Hari Baca Novel. Begitu ia dinamakan. Selepas imtihan fasal awal, begitu ia dikirakan. Terbuka kepada semua penulis, pembaca, peminat sastera Melayu, begitu ia disasarkan. Tempat dan tarikh yang tepat akan dimaklum kemudian, begitu ia diputuskan. Buat masa ini.

Pengisian program tidak rasmi ini sebenarnya sangat mudah. Walaupun tiada perasmian tapi ada ummu l-kitab, walaupun tanpa pengerusi majlis tapi ada penyelaras, perhimpunan ini sebenarnya memberi peluang semua bertukar-tukar novel untuk sekurang-kurangnya tiga jam. Insya-Allah, selepas meminjam satu buku masing-masing boleh mencari sudut selesa masing-masing untuk melangsaikan bacaan dalam tiga jam.

Kerana jumlah buku yang terhad, maka perhimpunan ini dapat memberi peluang pecinta buku membaca melangkaui bahan milikan peribadi, menelaah buku melampaui sempadan muhafazah yang pelbagai, kerana yang berhimpun juga berkongsi niat dan keinginan yang sama - membaca novel orang lain, juga memberi pinjam bagi yang ada.

Dan, seperti yang ada saya bangkitkan dalam Kelap sebelum ini, novel sasaran kita tentulah bukan novel pop dan picisan. Saya ada senarai novel yang insya-Allah akan boleh dikongsi oleh beberapa orang sahabat kita. Anda juga kalau ada, boleh maklumkan pada saya juga. Dan, tolong sebar-sebarkan pada semua. Ikhwah akhawat. Yang berminat.

Dan ya, Faisal Tehrani ada berkata keinginannya berziarah ke sini, tapi entah bila tarikh belum pasti.

Tuesday, November 06, 2007

Imam Dengan Mata Yang Celik

Saya tahu saya tidak layak memberi komen kepada karya orang lain apatah lagi seorang sasterawan negara, tetapi ada hal yang memancing keinginan saya memberi komen sekalipun mengakui sebab di atas.

Biarlah komen ini menjadi pendek, sekadar menyatakan.

Saya membaca Imam, karya Abdullah Husin, dan mendapati ada fahaman yang celaru dan kucar (dalam bahasa yang lembut dan sopan) sekalipun terdapat juga fahaman yang betul. Membacanya tidak harus menerimanya bulat-bulat tetapi dengan akal yang celik dan asas kefahaman yang betul dan benar.