Showing posts with label Sastera. Show all posts
Showing posts with label Sastera. Show all posts

Thursday, May 26, 2011

Kebun Kamu

Rumusan selalu adalah jawapan kepada kebun-tuan
yang tidak mengeluarkan hasil.

Bila sebuah kisah dirumus menjadi ayat
dan ayat dirumus menjadi hikmah
lalu terkunci tanpa lerai
dilupa menjadi manfaat ambilan

Terlalu banyak suara dari dalam
bila keluar lantas dirumuskan
menjadi kata tak terfahamkan
di persada kebun-tuan

Monday, August 02, 2010

Catatan Hujung Kembara 38 | Kerana Kau Manusia Yang Punya Jiwa

Perkara yang selalu dilupakan orang adalah, al-Quran itu penuh dengan mukjizat, dan di antara mukjizatnya adalah ketinggian bahasa dan keindahannya yang tidak mampu diungkapkan oleh mana-mana manusia, melainkan kita meniru uslubnya, cara pengungkapannya, itupun masih tidak mampu menghampirinya, atau menandinginya. Bahasa al-Quran itu bahkan lebih tinggi daripada mana-mana sastera, sehingga kaum musyrikin tidak mampu menyahut cabaran ini, padahal mereka adalah jaguh sastera dan bahasa ketika itu. Cabaran itu berterusan bahkan sehinggalah hari kiamat. Kerana itu, tidak ada di dalam al-Quran ayat yang tidak indah, atau tidak mencapai kecantikan sastera tertentu, bahkan ia melampauinya.

Kerana itu, terdapat sekian banyak ayat yang mutasyaabihaat, bukan untuk membuatkan manusia menjadi keliru dan selisih, apatah lagi untuk menyifatkan Tuhan dengan sesuatu yang tidak sepatutnya, tidak selayaknya, tetapi untuk memahamkan dan mengilhamkan keindahan makna yang terkandung di sebaliknya. Inilah masalahnya apabila sastera diabaikan dan disisihkan, bahkan dianggap oleh sesetengah orang sebagai sia-sia, padahal ia banyak membantu kita menjiwai keindahan al-Quran. Padahal al-Quran itu adalah contoh sastera tertinggi, dan mengatasinya.

Mari kita bacakan contoh yang mudah, supaya maksud menjadi jelas. Ayat seperti lautan api akan kurenangi bukan bermaksud bahawa lautan api itu sesuatu yang wujud. Itu pertama. Bahkan, ia tidak bermaksud bahawa penutur ini tahu berenang. Boleh jadi ia boleh berenang, boleh jadi dia tidak reti berenang, dan boleh jadi dia tidak boleh berjalan sekalipun. Kerana ada saja orang cuma terlantar tetapi masih jatuh cinta. Itu kedua. Kalimah 'akan' bukan bermaksud ia hanya berlaku di waktu akan datang, kerana sekalipun di waktu akan datang, dia tidak akan berenang merentasi lautan api.

Kerana itu, ayat ini, yang mengandungi beberapa unsur seni tidak boleh sama sekali untuk difahami dari makna zahir, tidak pada kalimah laut, tidak juga pada kalimah api, tidak juga pada kalimah renang, tidak juga pada kalimah akan, dan tidak harus difahami bermakna zahir baik pada satu kalimah, atau pada mana-mana kalimah, kecuali pada kalimah aku (kurenangi). Ia sebetulnya adalah bermaksud sastera yang harus difahami secara keseluruhannya sekaligus.

Katakan kita mentakwil satu kalimah sahaja iaitu lautan api kepada kalimah kesukaran, maka ia akan menjadi, kesukaran itu akan kurenangi, dan maksudnya masih tidak mengena. Kecuali ia ditakwilkan keseluruhannya menjadi kesukaran itu akan kutempuhi. Barulah kefahaman akan jelas dan teratur. Soalannya, kenapa tidak diungkapkan sejak mula ayat kesusahan itu akan kutempuhi, tetapi memilih ayat yang mempunyai maksud di sebalik maksud?

Di situlah nilai keindahan memainkan peranan. Adakah si dia akan merasa perasaan terharu apabila mendengar ayat yang lurus saja maknanya, atau si dia akan lebih terharu apabila mendengar ayat yang mempunyai nilai sastera yang tinggi? Belahlah dadaku, lihatlah hatiku, juga tidak boleh difahami dengan maksud yang sama. Kerana sekalipun setelah bedah dan lihat, hasilnya masih sama, dan cinta yang mahu dicari di dalam hati itu tidak kelihatan setelah dada dibedah, kerana ia maknawi. Jadi, baik kalimah bedah, baik kalimah dada, baik kalimah lihat, baik kalimah hati, semuanya tidak harus difahami satu persatu secara zahir, kecuali kalimah aku.

Al-Quran itu indah. Ia bukan suatu nas yang picis. Ia mengandungi keindahan sastera yang tinggi. Bahkan lebih tinggi dari sastera itu sendiri. Tetapi ungkapan ayat-ayat mutasyabiihat itu tidak seharusnya difahami secara zahir, kerana memahami secara zahir itu akan menjatuhkan nilai makna yang tinggi di sebaliknya, bahkan menyebabkan tasybih dan menyerupakan Tuhan dengan makhluk sedangkan ia suatu yang dilarang dalam agama, sesuai dengan larangan-Nya yang bermaksud, ((Tiada yang serupa dengan-Nya)).

Oleh itu, kembalilah memahami hakikat ini, bahawa ia harus difahami dengan nilai sastera yang tinggi. Sekiranya orang memahami ayat mutasyabihat dengan makna zahir contohnya ayat yang bermaksud (tangan-Nya berada di atas tangan-tangan mereka), bagaimana kalau musuh-musuh Allah itu tidak bertangan, kudung misalnya, adakah pengungkapan ini benar? Adakah ia perlu ditukar kepada tangan Allah itu berada di atas kepala mereka, atau di atas bahu mereka? Tetapi ayat ini tidak boleh difahami secara zahir, bahkan lebih elok tidak ditakwil satu persatu, tidak pada kalimah tangan, tidak pada kalimah atas. Tetapi harus difahami secara keseluruhannya, iaitu kekuasaan Allah itu melampaui mana-mana kekuatan sekalipun, capaian-Nya mengatasi mana-mana capaian pun, kemampuan-Nya mengatasi mana-mana kemampuan pun.

Dakwaan ayat ini harus difahami secara zahir, adalah dakwaan yang tidak didakwa oleh mana-mana orang yang mempunyai kefahaman bahasa yang tepat, baik salaf mahupun khalaf, baik umat terdahulu, mahupun terkemudian. Mahu mengambil jalan selamat, maka golongan salafuna soleh (golongan terdahulu) menyerahkannya kepada Tuhan dengan kata-kata, kami tidak tahu, dan kami pasti bahawa ia bukan bermakna zahir. Itulah makna tafwidh, iaitu menyerahkannya kepada Tuhan. Bagaimana sesetengah orang yang tersilap faham maksud tafwidh ini boleh mengatakan kami menyerahkannya kepada Tuhan, dan dalam masa yang sama tidak menyerahkannya kepada Tuhan apabila memaksakan ia dimaknakan secara zahir. Oh, itu bukan tafwidh cik adik sayang. Itu bukan. Itu keliru.

Dan ya, ungkapan 'cik adik sayang' bukan bermakna anda seorang perempuan. Dan ia bukan bermakna kalam ini ditujukan kepada orang perempuan semata-mata. Dan bukan juga bermakna, ia ditujukan hanya kepada si dara yang disayangi. Semua kalimah itu, baik cik, baik adik, dan baik sayang, semuanya harus difahami secara keseluruhan, kerana kita adalah pemaham bahasa yang baik, memahami keindahan kerana jiwa kita adalah jiwa yang menyerap keindahan bahasa dan sastera juga kerana hati kita hati yang hidup. Akal kita akal yang lurus. Fahamilah bahawa sastera itu indah, dan ayat al-Quran itu bahkan lebih indah dari sastera.

Kita lupa bahawa kita adalah makhluk yang penuh dengan kekurangan. Bukan saja pada jasad, bahkan pada bahasa. Bahasa kita juga penuh dengan kekurangan. Kita bahkan tidak mampu mengungkapkan makna yang terkandung di dalam hati, setelah gagal mengungkapkan makna yang kita dapat lihat dengan mata kepala kita sendiri. Apabila kita tanyakan, apa itu manis, kita tidak boleh menerangkannya, melainkan kita terpaksa menyamakannya dengan gula. Kalau ditanya apa itu masin, kita tidak mampu menerangkannya, melainkan kita terpaksa menyamakannya dengan garam. Oh, bagaimana kalau orang yang bertanya itu tidak pernah merasa gula dan garam, adakah dia boleh memahaminya?

Padahal gula dan garam itu adalah benda yang kita saksikan hari-hari. Tetapi tetap tidak mampu kita terangkan. Ia wujud di depan mata bahkan. Bagaimana pula kalau maksud yang tidak kelihatan di depan mata, dan hanya wujud di kepala dan di dalam hati? Bukankah kita juga akan gagal mengungkapkannya melainkan terpaksa menyamakan dengan sesuatu yang lain? Dari situlah timbulnya idea menyamakan sesuatu dengan sesuatu.

Contohnya kita berasa gembira, tetapi kita tidak mampu menerangkan maksud gembira, melainkan dengan menyamakannya dengan sesuatu, bahkan kita juga dalam banyak keadaan menyamakannya dengan sesuatu yang tidak wujud atau tidak berlaku, dan ia tidak harus difahami secara zahir. Katakan kita gembira, lalu mengatakan, aku gembira seperti gembiranya ibu mendapat anak. Atau gembiranya seperti kalau aku dicampak ke gunung berapi 17 kali pun aku sanggup. Atau gembira sehingga hati aku terbuka sebesar langit, yang kalau diisi dengan segala duka pun ia akan muat, dan gembiraku takkan hilang.

Kerana itu, kita menanggapi ayat mutasyaabihaat, ayat yang penuh dengan perumpamaan, adalah sebagai ayat yang mengandungi nilai sastera yang tinggi, dan tidak seharusnya difahami secara zahir. Memahami secara zahir akan menjadikan kita seperti orang yang tidak faham bahasa, tidak punya akal yang tepat, dan jiwa yang hidup. Tetapi itu bukan bermakna tidak wujud ayat yang zahir di dalam al-Quran. Ayat yang zahir juga punya keindahan yang tersendiri. Tetapi apabila ayat yang mutasyaabihaat ini difahami secara zahir, dan menyebabkan kita melanggar larangan Tuhan bahawa tidak ada yang serupa dengan-Nya, baik sifat, baik zat, baik perlakuan, baik perbuatan, maka memahami secara zahir bukan saja menjatuhkan nilai ayat, bahkan menyalahi perintah Tuhan.

Kita sendiri, apabila mahu menjadikan ayat itu lebih mengesankan, akan memilih jalan tasybih dan menyamakan sesuatu dengan sesuatu. Apabila apabila kita mahu menjadikannya lebih lebih mengesankan lagi, kita akan sembunyikan perkataan yang berbunyi seperti, seakan, dan menyamakannya secara langsung. Kau seperti lilin, tentu tidak setanding dengan ayat kau adalah lilin. Mahu lebih mengesankan, gunakan lakukannya pada kata kerja. Katakan, aku silau dengan terang cahayamu wahai guru. Atau aku hanyut dalam sungai cintamu wahai sayang.

Tidak cukup dengan itu bahkan boleh tinggikan lagi dengan melakukan perumpamaan di dalam perumpamaan di dalam perumpamaan. Telah kuturun singgah ke lautmu untuk mengutip permata yang kau hamburkan dari perutmu. Bila kukutip sebesar depa, masih berbaki seluas padang. Bila kusuluh permata itu dengan cahaya, pantulannya menjadikan matahari itu gerhana, yang silaunya menjadikan mata ini buta, walau setelah bercermin gelap.

Tuhan tidak berada di langit, apatah lagi sehingga perlu turun. Tetapi Tuhan itu mengalu-alukan taubat hambanya, sehingga perumpamaan yang mengandungi maksud ini diungkapkan. Bukankah kita juga mengatakan apabila mengalu-alukan sumbangan, aku akan turun berjumpa kamu untuk mengambilnya, dan aku akan tiba sampai ke depan pintu rumahmu mengetuknya untuk mengutipnya. Walaupun kita tidak ada rumah, dan tidak ada pintu. Terlalu mengalu-alukan sehingga kita sendiri yang akan turun, dan bukan pembantu, pekerja, atau wakil kita. Tetapi hakikatnya sebagai ketua, sekalipun kita sangat mengalu-alukan sumbangan, kita akan menyuruh wakil kita mengutipnya.Sama seperti ketua kita mengatakan, saya akan membina jambatan untuk kemudahan semua, bukan bermaksud ketua kita yang akan mengangkat simen dan besi, tetapi memerintahkannya pekerjanya sahaja.

Apabila kita tampil kepada Allah kadar sejengkal, Tuhan hampir kepada kita kadar sehasta. Apabila kita mendatangi-Nya secara berjalan, Dia akan mendatangi kita dengan berlari-lari anak. Oh, ke arah manakah kita harus berjalan menghampiri Tuhan, ke langitkah? Siapakah yang berjalan ke langit? Begitulah yang akan terjadi apabila kita menjadi robot yang tidak berjiwa dan ber-rasa sehingga mengabaikan keindahan makna di sebaliknya, lalu memahami secara zahir. Sebaliknya maknanya memberi faham bahawa Tuhan itu sangat mengalu-alukan hambanya berusaha melakukan ketaatan, kerana ketaatan itu adalah jalan kita semakin hampir kepada Tuhan, bukan hampir berdasarkan tempat, tetapi kedudukan. Bukankah kita juga menyebutkan, keputusan periksa hampir keluar? Dan hampir itu tidak difahami bermaksud tempat.

Saya menulis panjang kerana tidak tahan dengan kenyataan orang tertentu. Tetapi saya yakin, sekiranya kita belajar, kita akan sedar hakikat sejelas ini. Kita barangkali kerana masih memiliki tahap bahasa yang rendah lalu tidak menyedari keindahannya, walaupun al-Quran itu berkali-kali kita khatamkan, namun kita tidak terpegun membacanya atau terkaku memahaminya atau menusuk jiwa mendengarnya kerana tahap kita bukan saja terlalu jauh dari faham, bahkan terlalu jauh dari memiliki keindahan sasteranya. Kita tidak merasa seperti mana orang Arab zaman jahiliah merasanya saat mendengarnya. Belajarlah kembali, dan pastikanlah daripada ahlinya, dan bukan daripada sesiapa saja.

Wahai Tuhan yang sangat hampir kepada kami, lebih dari hampirnya urat vena ke leher kami, sehingga tidak perlu sehingga kami menjerit-jerit memanggil-Mu, hampir sehingga kami tidak mampu menyembunyikan apa-apa dari-Mu, dekatkanlah kami kepada-Mu kerana kami berada sangat jauh dari-Mu lantaran dosa, ampunilah kami dan terimalah kami. Kau berada bersama-sama kami di mana saja kami berada sehingga kami seharusnya takut bila mengerti pengawasaan-Mu, atau berasa berani berdepan musuh-Mu, kerana keberadaan-Mu seharusnya di dalam hati kami, di dalam cinta kami, di dalam harapan kami, di dalam ingatan kami, sehingga Kau tidak lenyap walau sedetik dari kami. Wahai Tuhan yang Maha Agung, bagaimanakah mereka memahami hampir-Mu itu adalah hampir tempat, sedangkan tempat itu kotor, kami ini kotor dan Kau Maha Suci, tempat itu makhluk dan Engkau itu Tuhan. Wahai Tuhan yang tidak berada pada tempat, saksikanlah bahawa aku sudah menyampaikan pengajaran Nabi-Mu.

Wednesday, July 21, 2010

Catatan Hujung Kembara 32 | Pantun

Beberapa pantun setelah lama tidak mengideakan pantun.

Pantun seorang ayah.

Kamu "cempedak di luar pagar",
Kenalah "berakit-rakit ke hulu",
Ayah kan "pisang emas belayar",
Kenapa "keranjimu" masih "di perahu"?

Pantun kekasih.

"Antara masak" - "menuai padi",
"di tapak tangan" - "anak sembilang",
Dia "tiga kucing berlari",
tawakkalmu masih "sumur di ladang"?

Tuesday, May 18, 2010

Catatan Hujung Kembara 23 | Rumah

Rumah yang besar itu dindingnya lubang. Mana taknya. Simennya tipis. Batu batanya gugur. Bila dipanasi matahari dan dihujani lebat, berulang-ulang, rapuh meratai seluruh permukaan hingga ke celah dalam. Akhirnya, tolakan sepoi-sepoi saja sudah menyamai landaan ribut dan taufan, dan yang seharusnya kebal dari terjahan ribut bolong seperti tisu tipis yang ditujah jari.

Rumah itu tidak kuat. Asasnya lemah. Tapaknya dulu adalah tanah gambut. Kemudian cuba-cuba dikorek buang diganti tanah laterit. Barulah yang peroi itu sedikit kukuh dan padu. Tapi tidak jauh di dalam bumi, goyang-goyang itu ada. Gegar itu wujud. Syukurlah bukan di kawasan gempa dan lingkaran berapi, lalu masih lagi dapat berdiri tegak sedikit condong tapi tidaklah sampai runtuh.

Rumah batu kerana itu tiada tiang. Dinding-dinding yang retak itulah tiangnya. Dinding-dinding yang bolos itulah tiangnya. Kerana tiada rumah tanpa tiang. Rumah tanpa tiang akan runtuh gugur ranap luruh rata. Tapi ini rumah batu. Rumah batu yang tiangnya adalah dinding rekah retak bolos polos bertampal-tampal sana sini.

Kerana itu, kalau terintai dari luar cepat-cepatlah pejam mata atau toleh arah lain. Tolehlah ke langit menduga kukuhnya binaan tujuh petala, atau tolehlah ke bumi meneka tekalnya paduan tujuh lapisan. Kemudian serkaplah seberapa tebal keagungan Tuhan itu ke dalam jurnal fikir, dan seraplah seberapa pekat kekaguman itu ke sungai darah biar masuk terus ke daerah hati. Bila tertoleh ke rumah ini ketahuilah ia binaan manusia yang lemah, berlubang-lubang, bertampal-tampal.

Pejam dan keburukannya lupakanlah. Aib di dalamnya diam-diamkanlah. Kemudian doalah agar yang bolos itu akan ditampal, simennya dibancuh dengan putih telur. Atau kalau dipadukan tapaknya simen itu digaul sama pasir cuci kasar, diisi dengan batu baur kasar dan kelikir supaya menyatu menjadi konkrit yang padu. Atau tanahnya diganti tanah liat. Kemudian terjahan-terjahan hujan itu dialirkan ke longkang batu dibawa jauh dari penempatan. Tanah-tanah sekitar diseluruhi dengan rumput dan pokok akar cengkam bumi.

Kerana rumah itu adalah kita. Dan runtuhnya akan menimpa kita.

Monday, January 25, 2010

Di Depan-Mu Tuhan

Di depan-Mu Tuhan
apakah yang menggigilkan?
Longgokan noda dosakah
atau sejuk musim dingin

Di depan-Mu Tuhan
apakah yang mengesalkan?
Kurang amal dan taubatkah
atau lupa berbaju tebal

Di depan-Mu Tuhan
apakah yang kupintakan?
Mohon diampun-maafkankah
atau segera memanaskan badan

Di depan-Mu Tuhan
apakah yang mencurikan perhatian?
Aluan ayat suci-Mu kah
atau dunia yang takkan habis
kukejarkan

Monday, July 13, 2009

Yang Kuadukan

O Tuhan yang kuadukan
luluh hati
pada segunung emas di tangan orang
dan segenggam pasir di tangan diri
tapi bila kupandang agung nikmat-Mu
pada nafas, pandang dan dengar
baru kusedar pembendaharaan-Mu
teranugerah sudah.

O Tuhan yang kuadukan
pilu diri
pada ceteknya tahuan diri
dan lautnya arifan si lain
lalu gugurlah segala kenamaan
ketinggian dan kebanggaan
tapi bila kupandang tulus makrifah-Mu
baru kusedar tiada hujung capaian
dan setitis kurniaan ilmu
sudah terhingga syukurku.

O Tuhan yang kuadukan
sengsara diri
pada terbatasnya capaian
sempitnya laluan
sedikitnya kegembiraan
tapi bila terkenangkan Pengasih-Mu
kembalilah besar harapanku
dan dalam doaku.

Friday, July 10, 2009

YKC | Antara Yang Penghabisan

Ini entri pendek. Alhamdulillah. Saya kira, dari bulan 10 tahun lepas hingga ke bulan 7 tahun ini tidak sampai setahun, tetapi duit modal YKC telah kembali. Bahkan sebahagian besar untung telah dikutip. Saya bersyukur kerana banyak perkara berjalan lancar, walaupun sebahagian perkara sangat leceh dan lembab. Dalam hal ini, banyak perkara boleh dimuhasabahkan, tetapi yang paling penting bagi saya, adalah mengambil iktibar.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, juga membantu dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya. Hingga kini, baki belum terjual, atau belum dipastikan sama ada terjual sekitar 200 unit daripada 970 unit lebih kurang. Masih boleh didapati di Pejabat PMRAM dan Hewi PMRAM, pada Mior @ Hanri, dan di DPMI (Iskandariah). Manakala Di DPM Dumyat, BKAN Kelantan dan Shoubra, juga di Markaz Tibb Saidina Zainab saya tak belum pastikan baki terkini berapa. Atau pada wakil saya di Malaysia.

Dapatkan segera sebelum kehabisan.

Thursday, April 30, 2009

AKAD

Saya diminta untuk mewar-warkan mengenai projek Antologi AKAD. Intipati dari e-mel Abang Nazmi, saya paparkan di sini. Masih berwaktu.

Antologi Karya Adabuna (Akad) I: Cerpen

Nama projek: Antologi Karya Adabuna (Akad) I: Cerpen

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Peserta: Cerpenis yang sedang atau telah mendapat pendidikan sama ada peringkat menengah, diploma, sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah serta pendidikan madrasah di negara Arab atau Timur Tengah.

Genre: Cerpen

Jumlah: Dua (setiap cerpenis dibenarkan menghantar maksimum dua buah cerpen)

Butir lanjut:-
1. Cerpen tidak terkeluar daripada sastera Islam dalam pengertian yang luas serta tidak lari daripada syariat Islam.

2. Cerpen sebaik-baiknya menggunakan latar negara di Timur Tengah tetapi watak utama hendaklah watak orang Malaysia. Sekiranya menggunakan watak utama sebagai bangsa asing seperti masyarakat Arab, watak sampingan hendaklah watak orang Malaysia dengan syarat kewujudan watak itu turut mendominasi plot dan penceritaan. Hal ini supaya cerpen tidak terkeluar daripada konteks sastera kebangsaan.

3. Panjang cerpen antara 1,800 hingga 3,000 patah perkataan.

4. Hak cipta kekal di tangan pengarang dan urusan membabitkan kontrak dengan penerbit hanya akan dibuat selepas cerpen diterima dan penerimaan itu dimaklumkan kepada pengarang.

5. Cerpen yang dihantar sama ada karya yang baru atau yang sudah tersiar di media tetapi bukan karya yang dihantar untuk hadiah dan peraduan penulisan yang belum diumumkan keputusannya. Cerpen yang dihantar untuk hadiah atau peraduan tetapi tidak tersenarai sebagai pemenang dan tidak dibukukan oleh penganjur, boleh dikirimkan untuk Akad I: Cerpen.

6. Naskhah dikirim kepada Mohd Nazmi Yaakub melalui e-mel bukunotakaki@ yahoo.com bersama-sama surat akuan penyerahan manuskrip.

Jadual gerak kerja
Tarikh tutup: 15 Mei 2009
Selesai edit: 31 Mei 2009
Naskhah dikirim kembali kepada pengarang untuk persetujuan edit: 5 Jun 2009
Naskhah dikirim kepada penyelenggara: 10 Jun 2009
Serahan manuskrip kepada DBP: 15 Jun 2009

Pastikan anda menyertai Adabuna sebelum menghantar bahan. Hubungi Abang Nazmi [bukunotakaki].

Tuesday, February 24, 2009

Lorong Seorang Penulis : Dari Ma'-din Yang Kugali

Ia sungguh mengembalikan memori. Yang lebih penting lagi adalah, maksud dan tujuannya sampai. Itu lebih utama. Yang kita kutip dari mana-mana sumber yang kita temukan. Dari orang yang kita kenal berpengalaman, lebih awal makan garam, dan sudi berkongsi. Yang kita cedok dari hati, agar boleh sampai ke hati, atau yang kita timba dengan akal, agar lebih kukuh di akal. Sebuah catatan perkongsian bersama semua penulis Mesir, baik yang masih bertatih atau yang telah berasa letih, untuk yang kontang punca atau kabur jalan; sebuah catatan dari A Ubaidillah Alias, seorang yang kita panggil guru atau kawan atau sahabat atau abang, atau apa saja. [Klik untuk besarkan]








Friday, December 05, 2008

Menggeledah Nurani ; Nuuraanii

Saya baru menerima Kumpulan Puisi Fahd Razy yang bertajuk 'Menggeledah Nurani'. Ia adalah terima kasih kepada Lailati yang membeli dan membawakannya dari tanah air.

Ia adalah kumpulan puisi yang berharga untuk dibaca, dan dinikmati. Boleh saja katakan, saya pengagum beliau dalam puisi, seperti mana saya mengagumi Puan Zurinah Hassan. Tetapi entah, saya memang suka mengagumi dari luar, kemudian lebih suka membentuk jatidiri sendiri.

Bagi saya, ciri istimewa Fahd Razy dalam puisi-puisinya adalah pada teori ke-adalah-an-nya. Ia adalah pengkhabaran mengenai hakikat. Seperti kalau kita katakan, air adalah kehidupan, kita menggunakan 'adalah' sebagai pengantara. Itu yang saya selalu kagumi.

Izinkan sedikit masa untuk saya menelaah hasil karya yang kagum ini.

Wednesday, November 12, 2008

YKC, Sejambak Pengenalan

Rupa-rupanya, setelah Antologi YKC dicetak bulan Oktober lepas, masih ramai yang tidak mengetahui mengenai kewujudannya. Barangkali, blog penerbitan saya tidak makluuf, tidak cenderung untuk dilawati, kerana alamatnya url-nya yang kurang mesra didengari.

Antologi YKC, adalah singkatan daripada Antologi "Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta". Menampilkan 15 cerpen daripada 5 penulis; saya sendiri, Ishaq Hanis, Sammaituha Najwa, Mior Khabir Zikri dan Syafiq Zulakifli; masing-masing tiga cerpen. Kemudian dituruti 8 sajak, salah satunya dipilih menjadi tema antologi ini - Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta - dan merupakan hasil tangan saya.

Terdapat pelbagai nama cadangan pada asalnya untuk antologi ini. Secara peribadi, saya yang mencadangkan nama ini, dan beberapa nama lain seperti 4:15, Bumi Hati, Iman Yang Sebahagian Lagi dan lain-lain. Akhirnya, nama YKC yang terpilih (walaupun ada yang menyangka YKC adalah nama cerpen, rupanya sajak). Ada juga yang menyangka YKC menghimpunkan sepuluh cerpen dengan tema Cinta padahal bukan. Kata seorang kawan pula, bila pula nak keluar yang nombor sebelas?

Pada asalnya, bilangan sajak bukan 8, tetapi 10. Bahkan sebelum itu, mungkin lebih. Memandangkan terdapat beberapa cerpen yang agak panjang berbanding cerpen biasa, maka muka surat cepat habis, dan kami terpaksa membatasinya kepada bilangan 192; berdasarkan formula gandaan empat; 4 x 48 = 192; demi memaksimumkan muka dan meminimumkan kos. Apatah lagi kenaikan kos percetakan berpuluh-puluh peratus menyebabkan keputusan ini dibuat. Namun, kami masih menjual dengan harga yang paling berpatutan dan kualiti tertinggi yang mampu - LE 10. Kerana itu, beberapa sajak saya disingkir keluar. Bahkan, sehari sebelum cetak, dua sajak saya disingkir lagi. Maka tinggallah 8 sahaja.

Sekalipun YKC bagi saya memiliki beberapa kelemahan dari pelbagai sudut, terutama warna kulit yang menyimpang dari rekaan asal dan beberapa kelemahan lain, namun saya berbangga kerana ia dapat diterbitkan. Kerana saya memberikan cerpen terbaik saya untuk menjadi tatapan bakal penulis genre kreatif sebagai contoh dan panduan, juga sebagai demonstrasi dan contoh praktikal terhadap kaedah dan formula penulisan kreatif yang saya selalu ulang-ulangi lewat pembentangan. Saya yakin, ia bermanfaat dan banyak membantu. Apatah lagi, penulis bukan lahir dari bengkel, sebaliknya dari usaha dan keinginan diri sendiri.

Juga kerana ada segelintir yang selalu memandang serong terhadap penulisan kreatif kononnya tidak ilmiah, selalu merapu dan berbual soal hati semata-mata; lalu inilah jawapan saya kepada mereka. Kalaulah saya yang cuma memiliki ilmu yang terlalu sedikit boleh menulis IYSL, saya percaya banyak lagi karya yang lebih berkualiti boleh dihasilkan oleh tuan-tuan yang memiliki sebeban ilmu. Saya percaya ruang masih terlalu lebar, cuma perlu mengubah genre, mengubah laras bahasa, dan menyusun idea agar isi tidak kelihatan seperti artikel, atau kurang puitis, atau menampal-nampal. Penulisan kreatif adalah seperti namanya. Ia perlu kepada kekretifan berfikir, bukan semata-mata penceritaan, pengisahan dan perasaan.

Sehingga kini, cerpen saya boleh ditemui di tiga antologi - KKF, CDRK dan YKC. Mungkin ini antologi terakhir saya di bumi Mesir - siapa tahu! - memandangkan saya sudah di tahun akhir pengajian. Bukan kerana tahun akhir itu bererti mesti setahun, tetapi menghabiskan penjualan seribu naskhah kebiasaannya perlu setahun setengah, atau paling cepat setahun. Bahkan menyusun antologi baru perlu masa yang agak lama juga. Saya fikir, tiga antologi itu boleh menjadi wakil dan pengganti diri saya terhadap teori-teori penulisan kreatif yang banyak saya kemukakan.

Dapatkan antologi YKC segera. Untuk simpanan diri. Hadiahkan untuk yang tersayang. Cukuplah entri ini untuk memperkenalkan YKC.

Friday, October 10, 2008

Antologi YKC Sudah Siap Dicetak, Dapatkan Segera

Antologi ketiga; "Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta" (YKC) boleh didapati mulai Sabtu ini, atau terus kepada wakil penjual. Dapatkan segera, jadikan koleksi bahan bacaan atau hadiahkan kepada yang tersayang.

Lawati blog ini untuk makluman lanjut.

Tuesday, September 09, 2008

Konferens Karya V.02 Di Pertengahan Ramadan

Konferens Karya V.02 (nama yang saya bagi) adalah konferens dengan tujuan membaca karya-karya yang baik, supaya dapat dijadikan teladan. Konferens jenis ini tidak meletakkan syarat - menghantar karya baru boleh ikut serta - seperti mana yang saya syaratkan dalam konferens jenis pertama.

Tarikhnya, 15 September 2008, jam 9-12 pagi waktu Mesir, bersamaan 3-5 petang waktu Malaysia. Konferens maya ini adalah melalui Yahoo Messenger. Anda perlu menyatakan keinginan anda untuk turut serta. Ini adalah manhaj saya, cara saya, yang saya kira pertengahan, tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut; semoga usaha ini dapat menyumbang kebaikan kepada calon-calon penulis kita.

Ketika awal menulis cerpen dahulu, saya menulis cerita mengenai diri dan kawan-kawan. Setelah mendapat pendedahan, saya ingin menulis sesuatu yang besar, untuk agama. Tetapi memahami hakikat ini saja tidak cukup. Kita perlu bukan saja pengalaman menulis, tetapi memahami bagaimana 'sesuatu kesan atau ilmu boleh dipindahkan kepada pembaca', dengan melalui cara penulisan cerita yang berkesan.

Cerpen yang terpilih untuk konferens ini adalah, Sufiyyah dan Ruhiyyah dalam Ramadan, karya Mohd Nazmi Yaakub. Sila hubungi id ym [ibnuahmad_13] untuk maklumat lanjut. Demi Ramadan yang makin dekat, berkatilah kami Tuhan.

Wednesday, August 06, 2008

Untuk Adabuna

Ini adalah cadangan projek saya untuk Adabuna.

1- Konferens Karya - menulis, berkongsi dalam konferens.
2- Konferens Karya - membaca karya yang dicadangkan, meneliti nilai contoh.
3- Konferens Karya - menembusi media perdana.

Detail-nya nanti saya jelaskan kemudian, berserta tarikh dan cara pengisiannya.

Tuesday, August 05, 2008

Kelap, Suatu Amanat

Akhirnya saya berjaya mengumpul keberanian mempamerkan tulisan. Rasa sudah sepuluh atau lebih entri saya taip dan kekal menjadi draft.

Saya bangga dapat berkenalan dengan beberapa pelapis generasi penulisan Mesir yang baru. Saya percaya mereka boleh membawa angin baru, menukar biah kepada suasana yang lebih segar. Nama-nama seperti Ishaq Hanis, Lailati, Mior Hanri, Zuhaida, Azlina, Dhia', Fadhilah, Asri, Hanif, dan banyak lagi yang saya tak sebutkan. Walaupun saya percaya, jalan masih lagi jauh dan panjang.

Untuk penulis-penulis Mesir, dan calon-calon penulis.

Kepada yang baru hendak mengenali penulisan.

Kalau anda bersungguh-sungguh, atau berasa berminat mahu menulis, ada baiknya anda mengetahui level-level yang akan anda temui satu masa nanti. Level paling mula adalah dunia Suara Kampus, buletin, dan yang seumpamanya. Peringkat ini adalah kepersatuan. Kepersatuan bererti, majalah dan buku yang anda hasilkan adalah idea persatuan yang mencadangkan. Anda boleh menemui pelbagai pengalaman berharga di dalamnya. Tetapi, jangan pupuskan niat untuk mencabar ke peringkat seterusnya.

Level berikutnya, adalah lebih kecil, iaitu peringkat antologi dan buku. Peringkat ini adalah keperibadian. Keperibadian bererti, majalah, antologi, buku yang anda ingin hasilkan, adalah idea anda sendiri, atau idea anda dan beberapa orang kawan. Saya memisahkan dua level ini kerana tahap kesusahannya, bahkan pengisiannya. Yang mencadangkan isinya adalah anda sendiri.

Level ketiga, adalah media perdana di Malaysia, dan dunia penerbitannya. Peringkat ini adalah ketanahairan. Ketanahairan bererti, karya, tulisan yang anda ingin hasilkan, perlu disesuaikan dengan standard Malaysia.Tulisan-tulisan, karya-karya yang dihantar ke tanah air, ke surat khabar-surat khabar, majalah-majalah, adalah selaras dengan standard perdana. Kerana itu ia dinamakan arus perdana. Menembusi media perdana bererti karya anda mencapai standard selayaknya, juga bererti mencipta nama.

Level keempat, adalah peringkat sayembara dan pertandingan. Peringkat ini adalah peringkat kekualitian. Kekualitian bererti, karya dan tulisan anda akan dipertandingkan bersama-sama dengan penulis-penulis yang hebat-hebat dan mapan, demi menentukan status kualiti karya tersebut. Apabila anda cuba-cuba untuk masuk ke peringkat ini, pasti anda akan banyak memikirkan kualiti karya anda.

Level kelima, akan anda ketahui sendiri satu hari nanti. Ini adalah amanat pertama. Level dan peringkat.

Amanah kedua saya, jangan abaikan pelajaran anda. Kerana mengabaikan pelajaran, akan menimbulkan fitnah kepada dunia penulisan itu sendiri. Mereka akan salah faham bahawa, penulisan telah melalaikan anda dari pelajaran anda, padahal tidak. Amanah ketiga, setiap level dan peringkat yang saya beritahu mempunyai keistimewaan tersendiri. Terutama level pertama. Kalau suara kampus atau buletin persatuan anda hidup, bernyawa dan bernafas, cubalah ikut serta, walaupun untuk tempoh setahun. Dapatkan sebanyak-banyak pengalaman daripadanya, sebelum mencuba level-level yang lain.

Kepada yang telah berada dalam dunia penulisan

Maksud saya, mereka yang masih tidak melepaskan azam penulisan. Ada baiknya anda mendengar beberapa taujihat. Pertama, jangan menunggu dilantik menjadi moderator baru anda mahu bergerak dalam dunia penulisan. Hasilkan karya. Mari langkah ke level-level yang saya khabarkan. Kalau anda dipanggil jadi moderator, maka itu panggilan anda. Kedua, cuba bergerak dalam kumpulan, kalau mampu. Pakat-pakatlah dengan rakan-rakan penulis untuk menghasilkan antologi dan buku, atau menganjurkan aktiviti penulisan. Anggaplah projek-projek ini sebagai sumbangan anda kepada generasi akan datang.

Ketiga, kalau anda menemui masyaqqah dan kesukaran di tengah jalan, buat sementara waktu, bergeraklah secara peribadi, dan cuba level-level yang lain. Kalau ditakdirkan dunia penulisan ini roboh sekalipun kerana siswa siswinya sudah tidak mahu menulis, ia bukan salah anda. Jangan membuang masa dan menambah kerisauan hati, sebaliknya tingkatkan hasil karya anda sendiri. Lupakan orang-orang yang tidak mahu kepada penulisan ini. Keempat, anda adalah generasi pelapis yang saya banggakan.

Kelima, selama bertahun-tahun, saya melalui pelbagai persepsi yang negatif kepada pelbagai persatuan dan orang perseorangan. Ia adalah pengalaman yang memenatkan. Saya berharap mereka yang membaca amanat ini akan dapat terelak dari persepsi ini, bahkan dengan jiwa yang segar dan pandangan yang bercahaya mencabar dunia penulisan yang masih jauh perjalanannya. Jangan harapkan orang untuk memberi semangat kepada anda. Anda patut bermula dengan menanam niat dalam diri sendiri - untuk menulis dengan lebih bersungguh-sungguh.

Tuesday, July 15, 2008

Media Perdana Dan Pelapis

Rasanya sudah setahun juga saya tidak menghantar karya ke mana-mana penerbitan dalam negara. Mungkin kerana berasa sedikit marah kerana ada karya saya diterbitkan tanpa pengetahuan saya. Walaupun perkara ini pernah dibangkitkan oleh Kak Nisah mengenai sikap sebahagian editor yang tidak memaklumkan kepada penulis berkenaan karyanya diterbitkan.

Penulis-penulis muda sebenarnya sangat-sangat berharap dapat mengetahui jika karya mereka tersiar. Terutama dari editor. Bahkan sekiranya dapat, mahu melihat sendiri helaian terbitan itu di depan matanya. Tetapi saya masih terkilan sehingga sekarang, kerana ada karya saya yang terbit tetapi saya masih tidak pernah melihatnya. Saya cuma boleh ternganga bila orang-orang bercerita mengenainya di depan saya. Mungkin helaian itu sudah jadi sejarah yang entah di mana saya mungkin dapat menatapnya di atas tangan sendiri.

Sebetulnya bukanlah menjadi rungutan sekiranya sasaran terbit bertukar ke majalah lain. Saya boleh terima, cuma rasa terkilan apabila tidak dimaklumkan, bahkan terlepas untuk mengetahui hakikat perkara ini. Apakah yang mengejutkan daripada ia terbit di tempat yang saya tidak pernah hantar, dan tidak dimaklumkan? Bahkan tiada peluang untuk berkirim beli, apatah lagi untuk menatapnya sendiri.

Itu memang membuatkan saya terkilan. Mungkin itulah dugaan menghantar dari luar negara. Dalam masa setahun ini juga saya asyik berfikir, bahawa saya juga mahu meredakan ketegangan salah faham keluarga berkenaan penulisan. Tiada eloknya saya bertengkar dan berdebat. Tetapi itu tidak bermakna saya menukar pendirian saya terhadap penulisan ini. Saya bukan budak kecil yang tidak tahu berfikir, walaupun saya sedar saya kurang pengalaman dalam hidup. Dan saya tidak mahu melepaskan azam penulisan ini, walaupun tanpa sokongan dari sesiapa.

Bercakap mengenai menembusi media arus perdana, selalunya menimbulkan beberapa persepsi dalam minda saya. Terutama mengenai tujuan karya itu sendiri. Juga kualitinya. Bahkan, sejauh mana ia memenuhi objektif saya. Kalau saya yang dulu, menembusi media bererti mencipta nama. Tetapi bagi saya yang sekarang, menembusi media bermakna mencipta imej. Atau menilai keberkesanan objektif.

Apabila bercakap mengenai media juga, saya teringat kepada beberapa calon penulis yang sudah mula menempah nama di zaman saya. Nama-nama seperti Sammaituha Najwa, Zainab Haron, Ishaq Hanis, Syafiq Zulakifli, Lailati Mahat membuatkan saya rasa usaha saya banyak berjaya. Walaupun sebenarnya sumbangan saya juga tidak banyak sebenarnya. Tetapi saya juga berbangga dengan beberapa penulis yang menunjukkan kesungguhan beberapa kali dan berterusan; itu saya dapat kesani melalui penyertaan mereka dalam program-program yang dianjurkan dalam pelbagai medan dan peluang. Malangnya saya tidak kenal, dan mudah lupa, kerana mereka bukan senegeri.

Saya percaya, mereka yang bersungguh-sungguh ini akan berjaya. Walaupun ia bukan kejayaan segera, tetapi langkah-langkah itu tetap ada. Saya percaya mereka akan menjadi pelapis dan penggerak yang boleh diharapkan. Saya ada kesani beberapa orang dari pelbagai negeri, tetapi kebanyakannya malu dan suka untuk tidak dikenali. Atau sebahagiannya tidak menerima pelawaan ke adabuna, lalu hilang tanpa dikesan, hanya muncul kembali apabila program diadakan. Begitu juga dengan beberapa bkan dan dpm yang mula menunjukkan kesungguhan yang boleh dibanggakan.

Untuk dunia yang kalian lalui, saya doakan selamat dan diberkati.

Monday, July 14, 2008

Konferens Karya, Plan Dan Perlaksanaan - Editted 110708

Saya merancang untuk mengadakan 'Konferens Karya' pada 15 Julai ini. Iaitu pada pukul 9.00 pagi waktu Mesir, 2 petang waktu Malaysia. Maksud saya, menumpukan karya sajak dan cerpen. Terbuka untuk semua yang berada di Mesir dan berminat untuk turut serta. Berikut ada intipati, plan dan rancangan:

Objektif:
1- Merancakkan penghasilan karya di kalangan siswa dan siswi al-Azhar.

2- Bertemu (secara maya), berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai penulisan sajak dan cerpen.

3- Meneliti sudut berkualiti dan sudut bermasalah dalam karya yang dihasilkan.

Plan Perlaksanaan:
1- Mestilah menghantar sekurang-kurangnya satu karya, sama ada cerpen, atau sajak. Hanya yang menghantar saja boleh turut serta dalam konferens ini.

2- Karya tersebut (sajak atau cerpen) mestilah dihantar selewat-lewatnya 7 Julai 2008 ke e-mel mohd.zaki.m.noor [at] gmail.com dan karya tersebut belum pernah dihantar kepada mana-mana penerbitan dan belum pernah dibengkelkan (karya baru).

3- Mempunyai id ym dan dinyatakan sekali dalam e-mel bersama karya.

4- Program berlangsung secara maya, ta-'arruf ringkas, dan perbincangan mengenai karya yang dihantar dilakukan.

5- Lain-lain yang berkaitan.

Seperti yang saya nyatakan, hanya yang menghantar boleh ikut serta dalam konferens. Yang tidak, maafkan saya. Pastikan anda menyediakan mikrofon dan speaker, atau yang setara dengannya.

Saturday, April 12, 2008

MP3 Bengkel CDRK

Ketika Adabuna menganjurkan Bengkal CDRK yang dulu semasa Kem Latihan Penulis 2, ada seorang adabunis yang tolong merakam. Jadi, bagi mereka yang terlepas mengikuti, atau mahu mendengar ulang rakaman bengkel CDRK itu, bolehlah muat turun MP3 daripada alamat ini dengan cara mengklik kanan link tersebut dan memilih save as.

Diskusi Puisi Oleh Cikgu Samsudin Othman

Soal Jawab Semasa Bengkel
Taujihat Penulis - Mohd Lutfi Ishaq
Taujihat Penulis - Mohd Nazmi Yaakub
Taujihat Penulis - Rahimiddin Zahari

Susunannya mungkin bukan seperti di atas. Sekalung penghargaan kepada Asyraffdini (adabunis Jordan) yang merakamkan, juga kepada Fahd Razy (GKLN) yang turut meng-upload-kan mp3 rakaman ini, yang boleh juga didapati di alamat ini. Tidak lupa mengucapkan ribuan bahkan jutaan terima kasih kepada semua tenaga dari Malaysia yang membantu perjalanan bengkel, semoga Allah membalasnya dengan kebaikan berlipat-lipat kali ganda, kemudian diganda dan ditambahkannya lagi dengan kasih sayang dan pemurah-Nya.

Saturday, March 29, 2008

Satu Nasihat Yang Tertinggal

Sebelum saya menulis kali ini, saya ingin menyebutkan dahulu satu nasihat yang asyik tertinggal atau terlupa saya sampaikan pada semua yang menghadiri pembentangan saya mengenai penulisan kreatif, bahkan sejak KELAP tahun 2007 yang lepas. Iaitu, jangan abaikan pelajaran anda, sekalipun anda bercita-cita menjadi penulis. Saya tahu saya tak layak memberi nasihat kepada sesiapa pun. Tetapi perkara ini sangat penting, demi tidak menimbulkan fitnah kepada penulisan itu sendiri.

Masuk ke dalam tajuk.

Sesebuah cerita itu mempunyai targetnya sendiri. Secara puratanya, cerita itu adalah untuk menjelaskan tema yang kita pilih. Kerana itu saya merasakan, segala-galanya, daripada pemilihan latar tempat, latar masa, babakan, peristiwa, sebab musabbab, watak, adalah untuk menjelaskan tema. Jadi tidak timbul persoalan, adakah tema itu patut bermula sejak ayat pertama, atau tema itu bermula di tengah-tengah.

Ia jelas. Kalau demi untuk menjelaskan tema tersebut anda perlu menjelaskan latar terlebih dahulu, maka jelaskanlah. Jangan menyingkatkan penjelasan tema kepada tema itu sendiri. Kukuhkan kedudukan tema dengan segala komponen cerpen bertindak membantu penjelasannya. Dari pemilihan watak, penjelasan latar masa, latar tempat, peristiwa dan babakan, juga yang lain-lain.

Dan saya selalu menjelaskan pegangan saya mengenai takrifan sebuah cerpen sebagai - sebuah cerita yang bergerak, dan pergerakan itu berpaksikan babakan yang kita letak dalam cerita. Babakan inilah yang membawa cerita itu dari mula, menuju ke akhirnya. Fahami, insya-Allah, cerita akan lebih berkesan.

Bahasa Arab dan Penulisan

Sejak saya kembali semula ke Mesir, selain belajar, saya menetapkan untuk cuma menyibukkan diri saya pada dua perkara, iaitu Bahasa Arab dan penulisan. Dan tak dinafikan, dugaan dan ujian memang sangat banyak, yang bisa memarahkan dan menghilangkan sabar. Tapi apa yang boleh saya buat.

Dalam persatuan yang saya dokongi, bahkan sejak ketibaan ke Mesir kali pertama dulu, teori bahkan usaha untuk memartabatkan lughah sangat lemah. Barangkali kerana persatuan ini sudah terlalu lama dikuasai oleh orang-orang Syariah, ataupun fikrah kesyariahan menguasai persatuan ini. Kerana itu, kurang usaha pemartabatan Bahasa Arab di dalamnya.

Usaha maksud saya, bukan teori. Saya memang menyampahkan saja teori kalau tiada usaha. Bak kata masal Arab - Asma-'u Ja'-ja-'atan Wa La Aro Thihnan. Tetapi saya juga sedar, ia sama ada tiada idea yang sesuai untuk dilaksanakan, atau tiada kemampuan untuk melaksanakan, atau tiada kecenderungan untuk melaksanakan. Kalau adalah yang ketiga, saya kira fikrah ini harus dihapuskan.

Kerana angin perubahan daripada kepimpinan itu tidak ada, maka ahli perlu ambil tindakan, bagi saya. Apabila sahabat saya, Syafiq Elias memulakan langkah, ia memang satu yang patut sangat-sangat dipuji. Bagi saya, lebih banyak itu lebih bagus. Fikrah menghadkan, atau fikrah bahawa usaha ini mesti ditumpukan pada satu penganjur saja, adalah fikrah yang salah, keliru dan tidak memahami.

Kalau memetik kata guru saya, apa peduli dengan orang lain. Bukankah yang mesti itu diri sendiri dulu. Kata ini banyak betulnya, bila berdepan dengan orang yang tak mahu, enggan; apa mesti kita berasa susah payah pula. Hanya untuk yang mahulah.

Kerana itu saya melancarkan kempen membaca mukjam secara tidak rasmi. Itulah yang saya mampu, dan menetapkan liqa' lughah mingguan untuk sesiapa yang nak ikut. Malam Sabtu (2 jam) dan pagi Sabtu (1 jam). Dan ya, ini bukan rasmi. Saya buat non-formal saja.

Dan baru-baru ini, ada pengumuman sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi anjuran bersama UTM dan Kumpulan Utusan. Bahkan ada bengkel, kalau ada yang mahu dapatkan gambaran. Boleh diteliti dalam link ini. Atau ini. Atau ini.