Saturday, March 29, 2008

Satu Nasihat Yang Tertinggal

Sebelum saya menulis kali ini, saya ingin menyebutkan dahulu satu nasihat yang asyik tertinggal atau terlupa saya sampaikan pada semua yang menghadiri pembentangan saya mengenai penulisan kreatif, bahkan sejak KELAP tahun 2007 yang lepas. Iaitu, jangan abaikan pelajaran anda, sekalipun anda bercita-cita menjadi penulis. Saya tahu saya tak layak memberi nasihat kepada sesiapa pun. Tetapi perkara ini sangat penting, demi tidak menimbulkan fitnah kepada penulisan itu sendiri.

Masuk ke dalam tajuk.

Sesebuah cerita itu mempunyai targetnya sendiri. Secara puratanya, cerita itu adalah untuk menjelaskan tema yang kita pilih. Kerana itu saya merasakan, segala-galanya, daripada pemilihan latar tempat, latar masa, babakan, peristiwa, sebab musabbab, watak, adalah untuk menjelaskan tema. Jadi tidak timbul persoalan, adakah tema itu patut bermula sejak ayat pertama, atau tema itu bermula di tengah-tengah.

Ia jelas. Kalau demi untuk menjelaskan tema tersebut anda perlu menjelaskan latar terlebih dahulu, maka jelaskanlah. Jangan menyingkatkan penjelasan tema kepada tema itu sendiri. Kukuhkan kedudukan tema dengan segala komponen cerpen bertindak membantu penjelasannya. Dari pemilihan watak, penjelasan latar masa, latar tempat, peristiwa dan babakan, juga yang lain-lain.

Dan saya selalu menjelaskan pegangan saya mengenai takrifan sebuah cerpen sebagai - sebuah cerita yang bergerak, dan pergerakan itu berpaksikan babakan yang kita letak dalam cerita. Babakan inilah yang membawa cerita itu dari mula, menuju ke akhirnya. Fahami, insya-Allah, cerita akan lebih berkesan.

Bahasa Arab dan Penulisan

Sejak saya kembali semula ke Mesir, selain belajar, saya menetapkan untuk cuma menyibukkan diri saya pada dua perkara, iaitu Bahasa Arab dan penulisan. Dan tak dinafikan, dugaan dan ujian memang sangat banyak, yang bisa memarahkan dan menghilangkan sabar. Tapi apa yang boleh saya buat.

Dalam persatuan yang saya dokongi, bahkan sejak ketibaan ke Mesir kali pertama dulu, teori bahkan usaha untuk memartabatkan lughah sangat lemah. Barangkali kerana persatuan ini sudah terlalu lama dikuasai oleh orang-orang Syariah, ataupun fikrah kesyariahan menguasai persatuan ini. Kerana itu, kurang usaha pemartabatan Bahasa Arab di dalamnya.

Usaha maksud saya, bukan teori. Saya memang menyampahkan saja teori kalau tiada usaha. Bak kata masal Arab - Asma-'u Ja'-ja-'atan Wa La Aro Thihnan. Tetapi saya juga sedar, ia sama ada tiada idea yang sesuai untuk dilaksanakan, atau tiada kemampuan untuk melaksanakan, atau tiada kecenderungan untuk melaksanakan. Kalau adalah yang ketiga, saya kira fikrah ini harus dihapuskan.

Kerana angin perubahan daripada kepimpinan itu tidak ada, maka ahli perlu ambil tindakan, bagi saya. Apabila sahabat saya, Syafiq Elias memulakan langkah, ia memang satu yang patut sangat-sangat dipuji. Bagi saya, lebih banyak itu lebih bagus. Fikrah menghadkan, atau fikrah bahawa usaha ini mesti ditumpukan pada satu penganjur saja, adalah fikrah yang salah, keliru dan tidak memahami.

Kalau memetik kata guru saya, apa peduli dengan orang lain. Bukankah yang mesti itu diri sendiri dulu. Kata ini banyak betulnya, bila berdepan dengan orang yang tak mahu, enggan; apa mesti kita berasa susah payah pula. Hanya untuk yang mahulah.

Kerana itu saya melancarkan kempen membaca mukjam secara tidak rasmi. Itulah yang saya mampu, dan menetapkan liqa' lughah mingguan untuk sesiapa yang nak ikut. Malam Sabtu (2 jam) dan pagi Sabtu (1 jam). Dan ya, ini bukan rasmi. Saya buat non-formal saja.

Dan baru-baru ini, ada pengumuman sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi anjuran bersama UTM dan Kumpulan Utusan. Bahkan ada bengkel, kalau ada yang mahu dapatkan gambaran. Boleh diteliti dalam link ini. Atau ini. Atau ini.

Thursday, March 20, 2008

Muktamar 2008

Muktamar Sanawi PMRAM kali 75 memberikan beberapa kesimpulan tersendiri kepada diri saya khususnya. Apatah lagi, saya datang muktamar kerana hendak bertanyakan satu soalan yang sudah dihadamkan sekian lama, 2 tahun, tetapi kehendak Tuhan, saya tertanyakan soalan lain, kemudian mood saya hilang.

Saya amat terkesan dengan komen seorang BP kepada saya, dan saya terus terang, saya takutkan firasat orang mukmin. Bukankah firasat orang mukmin itu terang, kerana mereka melihat dengan cahaya Allah? Komen itu merumuskan bahawa kata-kata saya 'bahaya', dan saya tiba-tiba berasa takut kalau ia menjadi benar. Barangkali kerana saya begitu keras dalam menyatakan sesuatu, dan kurang mempertimbangkan hal-hal yang lain. Walaupun niat saya ikhlas.

Barangkali saya harus belajar mengawal cakap, atau patut berhenti bercakap buat sementara waktu. Maksud saya, kepada khalayak seperti muktamar begini. Mempunyakan sudut pandang yang berbeza memang baik untuk mencari kelemahan, tetapi ia boleh jadi membahayakan kalau diambil serius dan dipegang jadi ikutan. Memang saya selalu berada di pihak membangkang, agar sudut-sudut yang selalu terlupakan menjadi suntikan dan peringatan, tetapi untuk memecahbelahkan kesatuan ini, saya enggan.

Saya juga belajar bahawa, beberapa kesimpulan yang saya dapati sejak beberapa ketika dahulu, adalah berpadanan dengan hasil muktamar kali ini. Melihat belakang Ustaz Ahmad Yusuf, kemudian melihat tepi Ustaz Hairul Nizam, dan paling penting, adalah melihat dalam ke luar, luar ke dalam, ada pelbagai makna yang saya faham dari keseluruhan muktamar ini.

Walaubagaimanapun, tahniah kepada semua yang hadir dan melibatkan diri. Muktamar ini memang suatu yang bermakna, tak kira apa tanggapan dan kesimpulan kita.

Sunday, March 16, 2008

Tahniah Untuk Hanif

Tahniah. Itu mestilah ucapan paling pertama untuk adik saya, Mohd Hanif, atas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini, dengan 9 A dan 3 B. Mestilah saya rasa bangga dan gembira, dan kerana rekod yang dah pecah. Semoga ia menjadi batu tangga naik untuk terus berusaha, dan batu tangga turun untuk lebih rendah diri dengan ilmu diri. Bak kata orang tua-tua, ikutlah resmi padi, masih tunduk makin berisi.

Saturday, March 01, 2008

Rusuum Musii-ah Li n-Nabiiyy

Rusuum Musii-ah Li n-Nabiyy (Gambar Penghinaan Terhadap Baginda SAW) mendapat kecaman terus-terusan daripada banyak pihak. Sudah terlalu jelas, mereka mengulangsiar penghinaan terhadap Nabi Junjungan ini ada sebab dan tujuan. Hadaf dan ghoyah kata orang Arab. Hurriyatu t-ta'-biir cuma alasan. Kebebasan bersuara cuma helah.

Dulu sekali siar gambar yang menghina ini. Kemudian ulangsiar. Sekarang siar lagi. Dan sekali lagi, boikot yang pernah dibuat dulu memang patut kita buat. Soalnya kenapa boikot dan tak yang lain-lain? Sebab boikot kuasa kita, kuasa rakyat. Tentulah kuasa yang kerajaan ada atas nama kerajaan ada kuasa yang lebih besar lagi. Bila boikot, nampaknya cuma rakyat yang mengambil tindakan drastik. Kerajaan pula? Masih berlembut-lembut. Yalah. Lembut itu pun ada peringkatnya. Kenapa tak naik ke peringkat berikutnya?

Muzooharoot (Tunjuk perasaan) dibuat juga tanda kemarahan kita. Pernah saya terfikir, kalau kita juga membalas kepada mereka. Soalnya, siapa yang hendak kita balas? Bahkan tidak harus juga membalas rusum musi-ah ini dengan penghinaan juga. Penghinaan zaman dulu, dengan perkataan maksud saya, melalui penyair musyrik kepada Rasulullah dibalas juga dengan syair daripada penyair Islam, tetapi tidak secara melampau seperti yang kafiriin buat. Hasan bin Tsabit, penyair ulung zaman Jahiliah dikatakan telah merosot kekuatan syairnya setelah masuk Islam. Kerana keperibadian Islam mengajarkan akan kelembutan budi, walaupun ketika menjawab cercaan musuh.

Jadi, dengan ketinggian Islam, bukan membalas dengan rusum musii-ah juga.

Menaip kali ini tak lancar kerana beberapa sebab, Allahu a'-lam.