Monday, July 22, 2019

Di Sini Bermulanya 11: Tanpa-Mu Siapalah Aku

Kadangkala, sudah berasa bergerak sangat laju, tetapi rupanya masih sangat perlahan. Di saat ribut untuk hanya menyelesaikan tanggungjawab dan sasaran, masih banyak yang keciciran. Kadangkala rasa kasihan pada anak isteri yang tidak sempat untuk saya bawa berjalan, sesekali cuba juga diusahakan, namun dalam fikiran masih ribut dengan 1001 tugasan. Mungkin pada sesetengah orang, saya terlalu berusaha, tetapi hakikatnya saya hanya ingin menyelesaikan tanggungjawab dan kewajipan. Sungguh dalam kelajuan ini masih rasa jauh di belakang sasaran kerana masih terlalu banyak yang lewat dilangsaikan.

Banyak kali terdetik untuk berehat seketika, namun terasa setiap detik sangat berharga untuk disia-sia. Formula saya sangat senang, selesaikan segera, kemudian nikmati hasilnya, itulah rehat yang saya kejar sebenarnya. Dalam masa 3 tahun sahaja, 8 buah buku sudah saya siapkan, dan itu pun masih belum cukup menyelesaikan tugas. Tahun ini sepatutnya ada tiga buah lagi yang patut saya langsaikan, tetapi masih belum. Ya Allah, bantulah hamba-Mu, tanpa-Mu siapalah aku.