Tuesday, January 31, 2006

Pindah Makna Dan Wazan

Perpindahan satu makna kepada makna yang lain.

Kalimah yang hendak dibincangkan adalah kalimah استغاث
(istaghasa – daripada wazan istaf 'a la)

Istaghasa pada asalnya membawa maksud (meminta hujan). Istaghasa – Yastaghisu – Istighasah.

Maksud (meminta hujan) telah berpindah kepada makna kedua iaitu (meminta tolong) dengan disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah penggunaannya secara majazi. Dalam bahasa yang mudah difahami, penggunaan secara majazi adalah penggunaan secara (pinjaman).

Sebab lain yang menyebabkan perpindahan makna juga adalah kerana manusia, apabila mereka ketandusan air, mereka akan 'meminta tolong' daripada Allah supaya menurunkan hujan (meminta hujan). Dan, jika kita cukup celik membayangkan masyarakat yang haus, tersangat-sangat haus, lagipula air adalah sumber kehidupan, kita akan sedar bahawa - lafaz yang membawa maksud (meminta hujan) ini juga membawa maksud (meminta tolong yang sangat-sangat).

Jadi, perpindahan makna telah berlaku.

Apa yang lebih menarik, iaitu, bahasa berkembang bersama manusia. Apabila telah tiba satu tahap, (meminta tolong) sudah cukup mustaqil (bebas) untuk berdiri pada dirinya sendiri. Kerana itulah, istaghasa akan membawa dua makna, satu meminta hujan, dan satu lagi meminta tolong (dengan sangat-sangat)

Bahasa terus berkembang, hingga kalau anda sedar, biarlah saya nukilkan satu ayat lagi untuk sama-sama kita kaji.

خدمة الإغاثة

Kalau saya tidak maknakan pun anda tahu maknanya. (Perkhidmatan Meminta Tolong)

Kita dapat perhatikan sedikit perbezaan. (Ighasah) itu asalnya adalah (Istighasah). Telah berlaku pemahzufan (pembuangan) alif, sin dan ta. Alif, Sin dan Ta, sebenarnya berfungsi membawa maksud (minta). Jadi, kalau alif, sin dan ta dibuang, ia bukan lagi membawa makna (meminta)?

Itulah saya kata, ia tetap membawa maksud meminta, dan kalimah ini telah berkembang daripada asalnya (istighasah) kepada lafaz baru (ighasah).

Kalau kurang prihatin, kita akan menakkul kalimah tersebut begini. (Ighasah) berasal daripada (aghasa - Yughisu – Ighasah) yang membawa makna, menghujankan. Atau, kalau setelah dipinjamkan (makna majazi) ia menjadi kepada makna (menolongkan). Daripada kedua-dua makna ini, tidak kelihatan makna (meminta), kerana makna meminta muncul dengan penggunaan (alif, sin dan ta).

Saya sudah membebel panjang sangat. Sebenarnya, saya jumpa ayat itu di lebuhraya. Sebagai panduan kepada pemandu kalau-kalau memerlukan apa-apa khidmat di lebuh raya (yang kosong kanan kirinya daripada rumah-rumah kediaman. Nak minta tolong siapa kalau ada masalah?)

Malhuzat 1: Perpindahan (yang kita bincangkan) melibatkan perpindahan makna, daripada makna (meminta hujan) kepada makna baru (meminta tolong)

Malhuzat 2: Perpindahan (kedua yang berlaku juga) adalah perpindahan wazan daripada wazan asal (istaf'ala – istaghasa) kepada wazan lain (af 'a la – aghasa) sedangkan makna masih sama – meminta tolong.

Dust Is My Bed

Dust is my bed,
Embracing me,
And is my cover,
The sands are around me,
Engulfing me,
From all directions,
And the tomb recounts (the story of)
the darkness of my calamity,
And the light has destined that,
My pleasure is,
In meeting (Allah)
My pleasure is,
In meeting (Allah)

Dust is my bed,
Embracing me,
And is my cover,
The sands are around me,
Engulfing me,
From all directions,
And the tomb recounts (the story of)
the darkness of my calamity,
And the light has destined that,
My pleasure is,
In meeting (Allah)
My pleasure is,
In meeting (Allah)

Where is the kindness of kin?
They relinquished fidelity.

Where are the scores of friends?
They dispensed with my brotherhood.

Where is the bliss of money?
I left it behind.

And where is the glory of fame
And compliments?

That’s my end;
Dust is my bed.

Dust is my bed,
Embracing me,
And is my cover,
The sands are around me,
Engulfing me,
From all directions,
And the tomb recounts (the story)
(of) the darkness of my calamity,
And the light has destined that,
And light and has destined that,
My pleasure is,
In meeting (Allah)

The beloved bade farewell
To his love and cried my elegy.

The tears flow out dried out after crying.

The vast universe shrank
narrowing my space.

The tomb to my corpse became
both my land and my sky.

That’s my end; dust is my bed.

Fear overwhelms my estrangement,
And sadness is my ailment.
Hoping for steadfastness,
Which is – I swear – my remedy.

Sincerely supplicating,
To the Lord,
You are my hope.
Hoping – o Allah – for
A paradise, in which my
Bliss shall be attained.

Sincerely supplicating,
To the Lord,
You are my hope.
Hoping – o Allah – for
A paradise, in which my
Bliss shall be attained.

AL's footnotes:
This song is an english song. I just write (as the translator appears it). Next time I will bring the translation of the Malay one. I left it home.

AL's - Begin!

Monday, January 30, 2006

Najma-'u l-Jumuuk

هيا نجمع الجموع!

الخلص جمع الخالص
العراة جمع العاري
البصراء جمع بصير

هيا بالألفاظ الرائعة

القدام بمعنى أمام
القهقرى بمعنى الرجوع الى الوراء
أحرم (فى الصلاة) أكبر تكبيرة الإحرام
أم (فى الصلاة) تقدم الناس وصلى بهم إماما

Mari kita mengumpulkan kalimah-kalimah jamak!

Al-khullas jamak kepada al-khalis
Al-‘uratu jamak kepada al-a’ri
Al-busorok jamak kepada basir

Mari bersama lafaz-lafaz yang menakjubkan

Al-kuddam bermakna amam
Al-kohkoro bermakna ar-rujuk ilal warak
Ahrama (fis solati) - adalah - akbara takbiratal ihram
Amma (fis solati) – adalah - taqaddaman nasa wa solla bihim imaman.

AL's is Me

Just test if I can write in English. Please help me to improve it.

AL's - new beginner in English

Sunday, January 29, 2006

Waktu Itu Dan Sampai Bila-Bila

Waktu itu dan sampai bila-bila pun, Kau akan mengenang detik ini. Waktu dulu ketika Kau datang dan berseorangan (hingga hampir-hampir Kau kebingungan) bukankah teman-teman tampil dan menjadi sahabatmu? Lalu Kau yang kebingungan separuh diam itu mula mengusir buntu jauh dari benakmu. Kau senyum.

Waktu itu dan sampai bila-bila pun, kalau Kau masih mengenang yang kita sahabat, kadang-kadang serasa macam sukar tetapi hakikatnya itulah, dan sampai bila-bila itulah juga, Kau boleh datang, tampil, hadir dan kita bersua lagi dan lagi. Bukankah dulu rasa buntu dan bosan datang menimpa-nimpa dan sahabat-sahabat yang Cuma punya suara bertanya khabar, dan dengan suara itu jugalah kebosanan dan kebuntuan semacam diangkat Tuhan ke atas langit, kemudian dicampakkan di bumi entah mana. Kau mula girang. Akui. Kau ketawa, senyum, gembira dan…bahagia, bukan?

Waktu itu dan sampai bila-bila pun, tak terkecuali bila keseorangan engkau sendiri tetapi ditemani kesedihan, Kau juga kan ceria dengan insan-insan yang Kau gelar sahabat. Ah! Lupakan yang kurang pada diri mereka, yang serasa capik, cacat, cela atau apa-apa tetapi ambillah kehadiran mereka dengan rasa lapang, menerima, meredha rela dan temani diri. Waktu itu dan sampai bila-bila, Kau patut boleh tersenyum seperti waktu mula-mula Kau tiba ke tanah ini, negeri ini, tempat ini, dan jangan salah sangka, Kau tak boleh lari dari itu semua.

Waktu itu dan sampai bila-bila pun, jika tidak keberatan dan kalau masih ada kelapangan yang boleh dikongsikan, aku juga mahu rasakan apa itu lapang, ceria dan girang dengan kehadiran Kau, kawan.

Bacalah surah Insyirah, saksikanlah tatkala Tuhan berfirman kepada kekasih-Nya yang terutama – Apakah tidak Kami (Allah) lapangkan dadamu (Ya Muhammad)? Dan Kami ringankan bebanmu yang berat? Yang memberati punggungmu (belakangmu)? Dan kami tinggikan namamu? Sesungguhnya bersama-sama kesusahan ada kemudahan. Sesungguhnya, bersama-sama kesusahan ada kemudahan. Apabila engkau telah selesai (mengerjakan sesuatu pekerjaan) maka bersusah-payahlah (mengerjakan perbuatan yang lain) Dan kepada Tuhanmu maka berharaplah.

al_jantanie
manhumi_ilm

Zoohirataanii

Mana-mana bahasa dalam dunia pun akan mengalami perkembangan. Dan di antara perkembangan-perkembangan itu adalah apa yang dipanggil ظاهرة الإشتراك اللفظي (Zohiratul Isytirak Al-Lafzi) iaitu, Kemunculan Perkongsian Makna (yang berkembang menjadi ظاهرة التضاد (Zohiratut Tadoodt) dan yang kedua, apa yang dipanggil sebagai ظاهرة الترادف (Zohiratut Taraduf).

Zohiratul Isytirak al-Lafzi adalah satu kalimah yang mempunyai banyak makna. Sebagai contoh, دقيق adalah tepung, dan dalam masa yang sama, ia bermakna terperinci, mendalam. Ia berkongsi satu persamaan (walau dalam zat yang berbeza) iaitu menyatakan betapa halus biji butirnya sesuatu perkara itu.

Tetapi, apabila Zohiratul Isytirak al-Lafzi berkembang lebih dalam, ia kadangkala menimbulkan makna yang bertentangan antara makna pertama dan makna kedua. Di sinilah berlakunya apa yang disebut Zohiratut Tadoodt. Sebagai contoh, lafaz مولى (maula) yang bermaksud tuan, dan makna kedua, hamba. Antara tuan dan hamba, adalah dua zat (dalam skop yang sama) yang membawa makna yang bertentangan. Tidak seperti contoh sebelum ini, iaitu tepung dan terperinci, ia adalah dua kalimah dengan dua zat yang berbeza dalam skop berbeza.

Zohiratut Taraduf pula adalah berbilang perkataan bagi melambangkan satu benda atau satu perkara. Sebagai contoh, البر, الحنطة, القمح (alkomhu, alhintoh, alburru) dengan ketiga-tiga kalimah ini membawa makna yang sama – gandum.

Contoh-contoh lain.
الأمة (al-ummah) yang membawa maksud seseorang (fardu) dan satu jamaah atau perkumpulan. Ia adalah satu daripada Zohiratut Tadoodt.

العام, السنة, الحول, الحجة (alhujjah, alhaulu, as-sanah, al-‘aam) adalah lafaz-lafaz yang membawa makna tahun. Ia satu bentuk Zohiratut Taraduf.

Malhuzat 1: Saya mengalami kesukaran memaknakan kalimah zohirah. Seperti istilah (Zohiratut Tasakku’) yang bermaksud seolah-olah – budaya (budaya melepak). Tetapi zohirah di sini pula saya maknakan sebagai kemunculan.

Malhuzat 2: Saya merujuk kitab kuliah, meng’ilmam’kan sendiri, berbincang dengan ahli bait, dan membuka kamus. Terima kasih pada semua. Sekiranya sesiapa ada pendapat yang lebih jitu, sila beri komen.

Malhuzat 3: Ada juga contoh yang tidak dapat saya terangkan kerana kurang faham.

Manhumani La Yashba’ani
manhumi_ilm

Saturday, January 28, 2006

Mari Menambah Perkataan

Mari menambah perkataan. Cikgu saya selalu sebut, antaranya bermaksud, kalau mahu menambah pembendaharaan kata, perkataan baru yang kita jumpa perlulah digunakan dalam ayat. (Kalau setakat tahu makna, nanti lama-lama lupa!) Jadi, saya contohkan ayatnya supaya kita sama-sama ingat.

Obituari pemberitahuan kematian seseorang yang biasanya disertai maklumat ringkas tentang masa hayat dan pencapaiannya yang disiarkan di dalam akhbar.

Obrol bercakap mengenai hal-hal yang tidak berfaedah, berbual (bersembang) kosong, berborak-borak, beromong-omong kosong.

Odeli orang suruhan di pejabat

Ogak-ogak berjenaka, berkelakar, melawak.

Oles melumur, melumas, menyapu

Ongok bodoh, dungu.

Oposisi penentangan

Orde sistem, peraturan, susunan

Orgi pesta liar, biasanya disertai dengan minum minuman keras secara berlebihan dan kegiatan seks.

Orisinil asli, tulen

Contoh ayat:
Odeli yang ongok mengoles minyak di kakinya sambil berogak-ogak mahu membuat oposisi terhadap orde pejabat supaya hal-hal seperti mengobrol, curi-curi pergi ke orgi dan membuat obituari palsu (tetapi kelihatan orisinil) tidak menjadi kesalahan.

al_jantanie
manhumi_ilm

Sumber :
Kamus Dewan Edisi Keempat.

Tuesday, January 24, 2006

Kritikan Sastera - Nadien, Amal Hayati

Majalah : SUKEJ
Edisi : 108
Kolum : Kalam Editor
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Kritikan Sastera
Oleh Sidang Editorial

Cerpen 'Nadien, Amal Hayati' karya Noorshibaaiyah Sharipudin menggarap persoalan kafaah dalam Islam. Penulis sebenarnya mahu menceritakan kisah seorang pemuda Islam yang dipujuk oleh seorang perempuan ahli kitab untuk mengahwininya.

Cerita berjalan dengan sebahagian besar cerita ditulis secara imbas balik, sebelum latar 'hari ini' berada di bahagian akhir cerpen. (Aku punya enam hari lagi untuk mengumpul hujah), muka surat 31. (Tiga hari lalu, usai pengajian di kuliah, aku terus melejit ke warung siber.), muka surat 31. (Hari ini hanya ada satu kelas sahaja di kuliah), muka surat 33.

Maka kita boleh untuk mengatakan; latar masa adalah hari ini (muka surat 33) dan latar tempat pula adalah makmal (muka surat 33), kemudian bergerak rumah gadis (muka surat 34). Latar-latar tempat yang mendominasi cerpen di awal penceritaan adalah imbas balik.

Cerita dipersembahkan dengan tempo yang sederhana, tidak terlalu laju mahupun pantas. Tempo menjadi perlahan apabila penulis meletakkan ilmu bantu yang kurang sebati dengan penceritaan. Penulis memasukkan ilmu bantu mengenai Syabab Tayyar, (muka surat 30) sesuatu yang bukan bersifat membantu persoalan kafaah, tetapi lebih kepada menjelaskan latar dan suasana.

Begitu juga apabila penulis menceritakan perjalanan pulang ke rumah menaiki van (muka surat 32) dan suasana alam sekitar, ia sememangnya ilmu bantu tetapi bukan menyokong tema kafaah yang hendak dibawa. Sebaliknya hanya menjelaskan latar dan suasana. Menjelaskan latar dan suasana tidak salah, tetapi harus dilakukan secara ekonomik, supaya tidak berlaku pembaziran kata. Ini perlu dilakukan kerana ekonomik adalah satu keistimewaan yang patut ada dalam cerpen.

Apa yang boleh dibanggakan adalah temanya. Tema yang berat ini adalah tema agama. Ia persoalan mengenai kafaah dalam Islam. Ia persoalan mengenai; adakah seorang lelaki Islam boleh mengahwini seorang perempuan ahli kitab zaman ini? Sekiranya boleh, apakah pula syarat-syaratnya?

Cerpen ini juga sangat istimewa kerana cerita dimulakan tanpa tangguh, tanpa mukaddimah yang panjang dan meleret-leret. Ayat pertama sudah membawa pembaca meneroka situasi seorang lelaki yang sedang dalam dilema, adakah dia patut menerima pujukan seorang wanita ahli kitab untuk menikahinya?

Malangnya, penceritaan menjadi kabur dan di sinilah kesilapan terbesar penulis. Ketika mahu membawa tema kafaah yang besar dan berat, penulis tidak menyatakan tema ini bahkan menyembunyikannya sejak awal penceritaan lagi, menyebabkan pembaca kebingungan. Tema hanya dijelaskan setelah cerita berlangsung separuh penceritaan. Keadaan tambah buruk apabila ilmu-ilmu bantu yang tidak menyokong cerita diletakkan di antara keduanya. Ketika pembaca belum betul dapat menangkap ia adalah tema kafaah, penulis meletakkan ilmu bantu mengenai Syabab Tayyar dan Sami Yusuf. Perhatian pembaca semakin lari jauh dari tema kafaah.


Cerita yang bermula dengan perdebatan ini terang-terang menyembunyikan tema kafaah di awal penceritaan. (Bukankah Islam mengizinkannya Akram?) Akan mercup dalam pemikiran pembaca; apakah perkara yang Islam izinkan? (Saya mohon dipertimbangkan, Akram) Apakah perkara yang diminta untuk dipertimbangkan? Penulis tidak menjelaskan tema sebaliknya melompat kepada cerita 'tepi', Syabab Tayyar, poster Sami Yusuf, hiburan yang merosakkan...

Perhatikan pula perenggan yang bermula dengan (Aku punya enam hari lagi untuk mengumpul hujah buat bekalan pertemuan kedua) (mukasurat 31) Pertemuan itu adalah lanjutan pertemuan pertama, bukan? Dan pertemuan itu juga untuk melangsungkan perdebatan juga? Tetapi, mengenai apa? Tema belum dijelaskan sejak awal penceritaan. Yang ada hanyalah gambaran yang belum jelas.

Perhatikan pula apabila watak meminta bantuan Abang Faruq, tetapi atas tujuan apa? Ia ada menyebut mengenai kitab ‘Ahwal Syahsiah’, tetapi mengenai tajuk apa?

Bahkan jika penulis sedar, watak ‘aku’ juga kurang jelas identitinya. Perhatikan rangkap-rangkap pertama penceritaan, dan lihat adakah ‘aku’ seorang lelaki atau perempuan? Tidak jelas, bukan? Hampir-hampir pembaca sendiri pening dengan jantina aku, kerana boleh sahaja aku itu lelaki, dan barangkali juga seorang perempuan. Perlu diketahui, pembaca majhul segalanya, dan penulis perlu melukis watak dengan jelas, dan jangan memeningkan pembaca yang tidak tahu apa-apa.

Apa yang boleh dilakukan adalah menjelaskan watak utama sejak mula, dan angkat tema atau beri pembayang yang menjelas sejak awal penceritaan. Elakkan juga meletakkan sebarang ilmu bantu yang tiada kaitan hingga menyebabkan tumpuan pembaca beralih daripada tema kepada sesuatu yang lain. Binalah tema yang jelas. Ia memang suatu gagasan yang baik apabila bermatlamat menyampaikan ilmu, tetapi kekaburan bikin ia menempuh jalan sukar sebelum dapat sampai terus ke akal pembaca. Apapun, tahniah!

Monday, January 23, 2006

Kalam Editor

Majalah : SUKEJ
Edisi : 108
Kolum : Kalam Editor
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Kalam Pemangku Ketua Editor

Kebelakangan ini, banyak yang SUKEJ cuba lakukan untuk anda. Antaranya, menjayakan pertandingan menulis artikel, cerpen dan sajak; dan sebagai penghargaan, karya beberapa pemenang disiarkan dalam edisi 108 ini beserta beberapa ulasan daripada para pengadil. SUKEJ mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para pengadil; A Ubaidillah Alias, Syarifah Salha Syed Ahmad, Faezatul Herda Mohd Azaman dan Noor Suriana Abd Razak.

Barangkali siapa tahu, salah seorang peserta yang menyertai pertandingan reka kulit SUKEJ mendapat penghargaan tertinggi apabila pihak SUKEJ bersetuju kali ini untuk menjadikan hasil penyertaan sebagai kulit rasmi edisi 108 ini. Tahniah kepada Muslim bin...juga Omar Md Rasib kerana menyertai pertandingan ini.

Kembali kepada fokus SUKEJ kali ini. SUKEJ 108 membincangkan mengenai satu tajuk yang selalu kita dengar, tetapi tidak selalunya kita hadamkan – Israeliyat. Ia bukan rentetan boikot Yahudi dan Israel (SUKEJ 107) tetapi adalah suatu kupasan ilmiah kepada satu perkara yang sudah lama diperbincang oleh ulama-ulama Islam. Jangan salah duga. Israeliyat belum mati dan perbincangannya masih belum tamat, kerana akhir-akhir ini, musuh Islam khususnya dari barat makin galak melakukan serangan informasi dan maklumat, berbentuk tahrif (pemesongan) daripada hakikat sebenar agama Islam.

Walaupun pada asalnya, Israeliyat adalah khabaran palsu daripada Bani Israel, tetapi sesetengah ulama' juga memasukkan (perkara-perkara palsu daripada mana-mana musuh Islam) sebagai Israeliyat. Ini bermakna, serangan dan peperangan maklumat bukan sahaja telah lama bermula, bahkan ia belum tamat!

Persoalannya, adakah Israeliyat ini mengancam umat Islam, atau ia hanya satu usikan yang tidak harus kita pedulikan? Adakah ia perlu ditangani? Jika benar ia mengancam, sejauh mana? Adakah terlalu bahaya hingga mempercayainya mengakibatkan akidah kita boleh sesat?

Israeliyat telah memasuki sebahagian besar kitab-kitab tafsir hingga menerbitkan persoalan; jika benar ia bahaya, mengapa ia tetap dimasukkan oleh ilmuan yang tidak harus kita ragukan ilmunya? Ulama' dahulu bahkan lebih tahu tetapi mengapa? Persoalan ini bercantum dan berbaur hingga menerbitkan persoalan baru; adakah hanya kitab tafsir atau sebenarnya, serangan musuh sudah melebar hingga ke seluruh ilmu dan kitab-kitab kita?

Menyedari peri pentingnya tajuk ini untuk dikupas, SUKEJ memberi pengiktirafan tertinggi kepada Ustaz Ahmad bin Yusof untuk membongkar Israeiliyat dari perspektif ilmu yang perlbagai. Ustaz Ahmad, sekarang giliran kita pula!

Kalam Pemangku Ketua Editor

Bahasa M

Majalah : SUKEJ
Edisi : 108
Kolum : Kosa Kata
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Bahasa M

Macan – harimau
Macet – tidak lancer, sendat, sarat.
Mahing – bau yang sangat busuk.
Mahna – telekung
Majir – tidak dapat beranak, mandul
Majuh – gelojoh, lahap, rakus.
Makdan – lombong
Maksila – rahang atas
Mala fide – tidak jujur, curang
Mamlakat – kerajaan, kedaulatan
Mampir – berhenti sebentar,singgah.
Mancanegara – negara-negara asing
Mancit – tikus
Mandom – lembab, tidak cergas, bodoh.
Manggak – sombong, biadap, tidak sopan
Mangli – kalis, kebiasaan
Mangut – termenung, bingung
Mapan – sudah kukuh, mantap.
Marabahaya – bermacam-macam bencana atau bahaya
Maras – cemas, ketakutan, sangat khuatir.

Saturday, January 21, 2006

Mewujudkan Kepemimpinan Islam Yang Berkesan dan Berpengaruh

Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Ulasan Buku
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Judul Buku : Al-Qiyadah Al-Muassirah
Judul Terjemahan : Mewujudkan Kepemimpinan Islam Yang Berkesan dan Berpengaruh.
Penulis : Jamal Hasan Sa’ad Madhi
Penterjemah : Muhammad Masnur Hamzah
Diulas oleh : P.E

Buku ini bukanlah suatu buku yang asing bagi kita, kerana ia acapkali didiskusikan demi menyatakan; ia salah satu buku yang sangat diminati dan popular. Malah sewajarnya untuk dikatakan, ia mengandungi faedah yang sangat besar kepada pembaca dalam kupasannya mengenai ‘kepimpinan dan kepemimpinan’.

Buku ini secara umumnya ditujukan kepada dua golongan, iaitu kepada pemimpin, dan kepada mereka yang mahu melahirkan pelapis kepimpinan. Sepanjang pembacaan, anda akan menyedari bahawa, ia ‘mendidik’ secara berselang-seli; mendidik anda menjadi seorang pemimpin, dan mendidik anda supaya melahirkan seorang lagi pemimpin.

Buku yang diterjemah daripada bahasa Arab ini mempunyai beberapa keistimewaan selain harganya yang berpatutan. Ia mendapat izin terbit daripada Kerajaan Mesir dan boleh di pasarkan di seluruh dunia. Jamie Hukuk Thab’ie Mahfuzah Lil Muallifah dan mempunyai nombor ISBN-nya yang tersendiri. Apa yang lebih penting, beberapa aplikasi penterjemahan yang standard dipamerkan secara praktikal. Tidak keterlaluan untuk dikatakan, ia satu bahan contoh penterjemahan.

Penterjemah yang merupakan seorang bangsa Indonesia telah sedaya upaya melakukan pemindahan bahasa, daripada Bahasa Arab kepada Bahasa Indonesia, sebelum menjadikan terjemahan baku Bahasa Indonesia itu kepada uslub ayat Bahasa Melayu. Pemindahan ini berjaya hampir kepada 80% kesempurnaan, menyebabkan ia masih mudah difahami oleh pembaca Melayu.

Buku ini adalah sebuah buku motivasi. Apa yang istimewa, pengarang telah memasukkan ayat Al-Quran, Hadis, sejarah Nabi dan perlakuan Sahabat sebagai penyokong kepada teknik motivasi yang berkesan. Atau lebih tepat, ia adalah motivasi kepimpinan cara Islam.

Membaca buku ini banyak menyedarkan, bahawa terlalu banyak sifat-sifat kepemimpinan yang hilang daripada kita. Ia sangat baik dibaca oleh semua yang bergelar pemimpin; tetapi apa yang lebih penting adalah meneladani isi kandungannya kerana ia ditulis berdasarkan kepemimpinan Rasulullah s.a.w dan Sahabat r.a. Ia satu petunjuk kepada kepemimpinan Islam.

Namun bukan bererti, ia hanya sesuai dibaca oleh pemimpin semata-mata. Di dalamnya juga menghuraikan, bagaimana ciri-ciri seorang pengikut, cara berkomunikasi sesama mereka; dan lebih penting lagi, ia adalah satu latihan mengenali diri – Siapa kita di sisi pemimpin. Anda patut membacanya, kerana ia menjelaskan perjalanan suatu kepemimpinan dan mengajar kita wasilah-wasilah berkesan dalam hubungan dua hala; pemimpin dan pengikut.

Barangkali, pembacaan yang berkesan dapat diperoleh dengan pembacaan bayangan. Dengan kata lain, membayangkan diri seperti terlibat dalam situasi seperti yang digambarkan oleh pengarang, sama ada anda membayangkan diri anda sebagai pemimpian atau sebagai pengikut. Lalu kaji dan teliti, apakah sikap yang sepatutnya kita ambil ketika berhadapan dengan hal-hal yang sebegitu rupa. Ia juga satu latihan membuat keputusan yang bijak dan menepati cara kepemimpinan Islam.

Bacaan bayangan perlu mematuhi satu kaedah; iaitu belajar menerima ia sebagai satu koreksi dan bersedia untuk mempraktikkannya. Anda akan dapati ia adalah satu buku yang hebat dan mengkagumkan, dan lebih penting lagi, ia mengambil ciri dan teknik kepemimpinan Islam dari Rasul dan para sahabat.

Ganda istimewa, penterjemahan dilakukan dengan tidak mengabaikan beberapa aspek penting termasuk mentakhrij hadis dan matan daripada kitab-kitab turath, penyusunan bab dan pembikinan rajah-rajah penjelas. Ia secara umumnya dibahagi kepada dua bahagian; Kepemimpinan Islam Yang Berkesan Dan Berpengaruh, dan Pemimpin Eksekutif Yang Berkesan Dan Berpengaruh. Buku setebal 112 muka surat ini dijual dengan harga LE 12 dan diedarkan di semua koperasi BKAN dan DPM di seluruh Mesir.

Sekiranya anda seorang pemimpin, anda dididik untuk menjadi seorang kepemimpinan Islam. Dan sekiranya anda seorang pengikut, anda dididik menjadi seorang pengikut yang baik. Anda seorang penasihat dan anda akan mendapati cara terbaik membina pelapis kepemimpinan. Penulis gemar memetik kata-kata penterjemah.

“Di Mesir buku ini menjadi panduan orang-orang yang hebat. Dan sekiranya anda adalah seorang pengarah, pengetua, pemimpin persatuan, ketua jabatan, pengawas tugas, ketua kelompok atau mereka yang bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara, maka and sangat perlu membaca buku ini. Kerana buku ini banyak menghuraikan wasilah-wasilah untuk menimbulkan kesan dan pengaruh dalam sesebuah kepemimpinan yang berjaya dan cemerlang. Meskipun demikian, sesiapapun dapat mengambil manfaat daripada buku ini. Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab kepada apa yang dipimpinnya”

Ingat, ia menghuraikan wasilah @ cara untuk menjadikan sesebuah kepemimpinan itu sangat berkesan dengan cara Islam.

Friday, January 20, 2006

Boikot, Satu Simbol Kesedaran

Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Tumpuan
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Penutup : Boikot, satu simbol kesedaran

Jangan terlalu pesimis dengan boikot, walaupun ia bukan perkara baru bagi kita. Barangkali ia perkara lama, tetapi hakikat sebenarnya, ia masih dijahili sebahagian besar mahasiswa baru. Bukan omongan, bahkan dijahili oleh segelintir senior yang sudah bermukim lama. Pernahkah kita fikirkan, berapa negarakah setakat ini telah melaksanakan boikot? Barangkali, negara kita sendiri belum begitu mengerti dengan istilah seperti ini.

Boikot satu simbol kesedaran. Mereka yang tidak sedar, tidak mahu sedar, pura-pura tidak sedar, akan terus menyumbang kepada Yahudi, Israel, Amerika dan sekutu-sekutunya. Barangkali sebahagian daripada kita, tanpa rasa bersalah masuk ke KFC demi menikmati ayam goreng. Apa masalahnya, kata mereka. Sesekali, bukan?

Itulah nilai kesedaran, dan ia perlu dibayar dengan harga yang mahal. Barangkali semahal sebutir peluru dalam setiap suapan, atau lebih lagi. Boleh sahaja kita memekakkan telinga, membutakan mata, menyahaja langkah masuk dan membayarnya. Di Malaysia saya makan di KFC juga, tegas Si keras kepala. Bapa saya tak marah pun. Dulu kami sambut hari jadi adik di sanalah. Alahai, ustaz saya pun makan kat sana!

Itulah, dan kadang-kadang boleh kebingungan juga untuk memberi kesedaran dalam hal- hal agama.

Boikot dihujahi dengan ilmu, maka kita boleh pastikan, ilmuan patut lebih daripada setuju apabila boikot diutarakan. Ilmuan seperti kita patut lebih sudu dari kuah apabila bertindak – laksanakan boikot tanpa sebarang kecuali. Dan ilmuan, kerana keilmuan itulah nilai yang membezakan umum dan jahil dengan si cendiakawan.

Boikot bukan benda lapuk, kerana setiap kali barangan baru keluar, kita yang bergelar mahasiswa patut kaji asal usulnya. Pengeluarnya. Pemodalnya. Penaungnya. Seterusnya, memaklumkan rakan dan sahabat dengan infomasi terkini. Kadang-kadang barangan boikot bukan benda yang terang-terang haram, tetapi akibat daripada pengeluar yang berpihak kepada kebatilan, ia diboikot juga. Barangkali barang itu hasil tangan orang Islam, tetapi malangnya mereka menyumbang kepada si laknat jahanam.

Boikot tugas kita. Kalau menyandang senjata belum tentu persiapan cukup dan jiwa bersedia, tetapi kerja seperti ini tidak wajar disambut dengan dolak-dalih yang bermacam-macam pula. Terima sahaja dan buktikan kesediaan anda seratus-peratus. Kalau benar kurang mampu, sembilan puluh peratus sebagai permulaan itu sudah dianggap permulaan yang baik. Kalau benar tidak tahu, sekarang anda sudah tahu, bukan?

Begitulah boikot menjadi satu simbol kesedaran. Barangkali, si pekak dan si buta yang memboikot Yahudi dan sekutunya itu, jauh lebih celik dan dengar daripada si jahil dari kalangan kita. Kerana, kesedaran itu mahal harganya.

Thursday, January 19, 2006

Seruan Penubuhan Daulah Abbasiyah

Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Pendapat
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Thaqafah : Seruan Penubuhan Daulah Abbasiyah
Oleh : al_jantanie

Daulah Abbasiyyah boleh dianggap sebagai pemerintahan berkhalifah ketiga bagi umat Islam selepas zaman Khilafah Ar-Rasyidin dan Khilafah Umaiyah. Daulah Abbasiyah ditubuhkan bukan semudah yang disangka. Ide dan usaha penubuhannya telah bermula lebih awal sebelum sejarah memperlihat hasilnya. Memetik pepatah Inggeris : Rom tidak dibina dalam sehari.

Usaha untuk menubuhkan Khilafah Abbasiyah bermula dengan gerakan seruan kepada penubuhan khalifah baru yang disebut sebagai 'Ad-Dakwah Al-Abbasiyah'. Namun seruan ini bukan dijalankan secara terang-terangan kerana memikirkan risiko tindakan yang diambil pemerintah Umaiyah. Risiko ditangkap hinggalah dihukum bunuh.

Seruan ini menjadikan Khurasan tapak sebelum berkembang ke kawasan yang lain. Oleh kerana seruan ini adalah secara rahsia, maka para penyeru @ daie terpaksa menyamar sebagai peniaga dan tokoh korporat yang menjelajahi bandar-bandar dan kampung-kampung. Mereka menjalankan tugas ini dengan memikul amanat yang diberikan oleh pucuk pimpinan.

Pucuk pimpinan dalam seruan secara rahsia ini dipelopori oleh seorang yang diberi gelaran Imam. Imam pertama adalah Ali bin Abdullah bin Abbas, dan imam kedua adalah anak beliau, Muhammad bin Ali. Usaha kepada penubuhan ini tentunya mempunyai beberapa manhaj supaya tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Imam Muhammad bin Ali dalam taujihatnya kepada para daie seperti dalam kitab "Akhbar Al-Abbas wa Waladihi" menyatakan beberapa amanat tersebut.

Pertama : Kamu perlu mengusahakan perniagaanmu dan memperlihatkan kesungguhan padanya sehingga tidak kelihatan siapa kamu sebenarnya di hadapan orang sekiranya kamu berlaku sebaliknya ( menyeru kepada daulah baru )

Kedua : Hendaklah dakwahmu dan apa juga yang kamu sampaikan kepada manusia umumnya adalah satu seruan supaya mereka mencari keredhaan Ahli Bait Rasul (mencintai keluarga Nabi Muhammad) dan kamu sebutkan betapa melampaunya Bani Umaiyah (pemerintah) dan sesungguhnya Keluarga Nabi ( Ali Bait) lebih layak memerintah daripada mereka.

Ketiga : Hendaklah namaku disembunyikan (daripada pengetahuan) semua orang melainkan orang yang jujur kepada dirimu dan kamu mempercayainya…Apabila kamu ditanya tentang namaku maka katakana : Kami takiyyah (berahsia) dan dia memerintahkan kami supaya merahsiakan nama Imam kami.

Keempat : Perintah sahabat-sahabatmu (orang yang menerima seruan tersebut) bertahan…(tidak bertindak). Kamu dilarang menghunus pedang kepada musuhmu dan menahan tanganmu sehingga kamu diizinkan (berbuat begitu).

Kelima : Ingatkan pengikut kita bahaya (jangan) terlibat dalam gerakan oleh keluarga bapa saudara kita, Keluiarga Abi Talib.((iaitu Pengikut Ali).

Keenam : Kurangkan mengutusiku (surat)…Dan kurangkan bertemu denganku melainkan pada hari-hari musim haji, atau datang kepadamu satu perkara yang berhajatkan kepada pendapatku, kamu sampaikan kepadaku bersama-sama seorang yang dipercayai daripada sahabatmu, atau orang yang menanggungmu daripada kalangan pengikut tertentu kita.

Ketujuh : Berhati-hati (berjaga-jaga) dengan jamaah Kufah, dan jangan kamu terima daripada mereka melainkan orang-orang yang cerdik.

Kelapan : Jadikanlah Khurasan rumah tempatkamu berhijrah dan tempat kamu berehat daripada tugas dakwah.

Kesembilan : Apabila kamu pergi ke Mar'wu, maka menetaplah bersama kabilah Yaman, dampingi kabilah Rabi'ah dan berwaspada dengan kabilah Madhar, ambillah peluang kamu daripada orang yang boleh dipercayai dari kalangan mereka. Perbanyakkan mendampingi bangsa bukan Arab, kerana mereka adalah ahli dakwah kita, dan dengan mereka dakwah ini dibantu oleh Allah.

Sesungguhnya, dalam mana-mana gerakan penubuhan, sekiranya ia bermula daripada gerakan secara rahsia, ia tetap berhajat kepada gerakan secara terang-terangan. Usaha dakwah kepada penubuhan Daulah Abbasiyah juga melalui dua marhalah ini; secara rahsia dan secara terang-terangan.

Gerakan secara rahsia bermula semenjak pengutusan beberapa orang daie oleh Imam Muhammad bin Ali ke Kufah dan Khurasan sekitar tahun 100 hijrah. Pengutusan ini tidak dilakukan dalam satu masa, seperti mana yang didakwa oleh kebanyakan ahli sejarah. Pengutusan daie ke Kufah mendahului pengutusan ke Khurasan lebih daripada dua tahun.

Adapun gerakan secara terang-terangan bermula di Khurasan di bawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasani. Namun berlaku perselisihan yang besar di kalangan ahli sejarah tentang sahsiah sebenar Abu Muslim ini. Akan tetapi dapat dipastikan bahawa Abu Muslim bukanlah seorang yang baru di bumi Khurasan, kerana beliau telah berziarah ke Khurasan lebih daripada sekali dalam tempoh Imam Muhammad bin Ali masih hidup.

Ada tiga orang Imam yang mengepalai dakwah ini. Seperti yang disebutkan sebelum ini, Imam pertama adalah Ali bin Abdullah; Imam kedua adalah Muhammad bin Ali, dan Imam ketiga adalah Ibrahim bin Muhammad. Usaha seruan ini bukanlah suatu yang mudah kerana ia berlangsung dalam tiga generasi imam, dan merupakan satu proses yang sangat panjang.

Imam Ali bin Abdullah mengetuai gerakan bermula 98 hijrah sebelum disambung oleh anaknya, Imam Muhammad pada 118 hijrah. Kira-kira pada tahun 125 hijrah, generasi ketiga, Imam Ibrahim pula mengetuai gerakan secara rahsia ini.

Tiga tahun selepas Imam Ibrahim mengetuai gerakan secara rahsia, tahun 128 hijrah menjadi saksi pengutusan orang yang bertanggungjawab kepada gerakan secara terang-terangan, iaitu Abu Muslim, yang diutuskan ke bumi Khurasan untuk mengetuai gerakan di sana.

Mungkin ini adalah satu kupasan yang sangat ringkas berkenaan seruan penubuhan daulah baru Abbasiyah. Apa yang menarik berkenaan dakwah Abbasiyah ini, ia terselamat daripada serangan pemerintah khilafah Umaiyah, kerana pemerintah tidak dapat mengenalpasti siapakah sebenarnya ketua gerakan ini. Walaupun begitu, tidak sedikit daie yang terkorban semasa menjalankan gerakan kerana mereka dilihat menentang kerajaan.

Faktor lain adalah syiar ataupun slogan yang digunakan oleh daie Abbasiyah ini mirip dan menyerupai syiar atau slogan yang dibawa oleh penyokong Ali (Alawiyyin) menyebabkan sebarang tindakbalas kerajaan tertumpu kepada penyokong Ali dan tidak mengenai gerakan Abbasiyah. Lebih-lebih lagi, gerakan penyokong Ali adalah secara terbuka, dan gerakan Abbasiyah ini secara tertutup dan tersembunyi.

Kita dapat lihat, apabila gerakan Abbasiyah ini menggunakan slogan ke arah mendapatkan keredhaan Ali Bait Rasul dan mencintai Baginda, pihak pemerintah menyangka bahawa gerakan itu adalah gerakan dari penyokong Ali padahal ia adalah sebaliknya. Lebih menguntungkan, penyokong kuat Saidina Ali turut memberikan respon dan sokongan kepada gerakan Abbassiyah kerana tersalah sangka dengan slogan yang dibawa. Suatu taktik yang sangat berkesan.

Rujukan : Fi Tarikh Daulah Bani Abbas, karangan Dr. Muhammad Ahmad Mahmud Hasbullah, Professor Bahagian Sejarah Islam dan Tamadun, Universiti Al-Azhar, Kuliah Bahasa Arab, Kaherah.

Wednesday, January 18, 2006

PMRAM, Satu Nama Yang Bernilai.

Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Untukmu PMRAM
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Untukmu PMRAM : PMRAM, satu nama yang bernilai.
Oleh : al_jantanie

Bercakap mengenai PMRAM dan kewujudannya adalah satu perkara yang sudah diketahui umum. Majoriti tahu nilai dan kepentingan PMRAM dalam menaungi mahasiswa-mahasiswi Al-Azhar. Kita layak berbangga dan bersyukur, kerana PMRAM bukan sahaja dikenali oleh mahasiswa kita juga rakyat Malaysia, bahkan dikenali oleh mahasiswa-mahasiswa negara lain.

Tetapi, mengapa tidak kita jadikan nama ‘PMRAM’, suatu nama yang bernilai?

Biar saya jelaskan maksud saya. PMRAM dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini mengalami tekanan yang amat berat. PMRAM mengalami tempoh duka lara yang amat perit. Walaupun akhir-akhir ini ranjau dan liku semakin menyisih jauh, tetapi kekuatan PMRAM belum ‘pulih’ sepenuhnya. Mengapa? Kerana ahli semacam enggan menjadikan nama PMRAM, satu nama yang bernilai.

Barangkali, ayat yang sebegitu belum menjelaskan segala.

Sebagai contoh apabila pertandingan dibuat, mengapa tidak kita syaratkan sahaja - semua peserta mestilah ahli PMRAM! Akandatang, Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan akan menjelang tiba. Ayuh letakkan sahaja syarat - pemain mestilah ahli PMRAM. Itulah syarat pertama dan terutama. Ayuh kita ingatkan ahli, tentang nilai sebenar nama ‘PMRAM’, walaupun pada satu pertandingan biasa.

Nama PMRAM tidak dinaiktarafkan. Nama PMRAM hanya disimpan di dalam kad, dan akan dikeluarkan apabila dipinta pihak polis. Nama PMRAM tidak dijadikan satu ingatan penting dalam kotak pemikiran ahli, bahawa persatuan yang menaungi mereka adalah PMRAM. PMRAM hilang taring, kerana kelekaan ahli. Barangkali, PMRAM hilang kekuatan, kerana ahli-ahlinya sendiri tidak sedar – Saya adalah ahli PMRAM.

Ini bukan satu tulisan mengampu atau satu fikrah sia-sia. Demi memperkasa kekuatan yang hilang, kita perlu mempopularkan nama PMRAM, hingga ia mampu meniti dari bibir ke bibir, dari kertas ke kertas, dari lembar ke lembar; dan apabila PMRAM diulik cabaran sekali lagi, kita boleh melihat, berapa sebenarnya bilangan ahli PMRAM dari sejumlah lima enam ribu ini.

Barangkali ada segelintir ahli yang tahu tapi lupa, bahawa dia adalah ahli PMRAM. Apabila dalam krisis ditahan polis dia mengaku ahli, tetapi apabila persatuan dilanda krisis, masing-masing jadi alpa, bahawa sebenarnya, dia adalah ahli PMRAM! Akhirnya, dalam keadaan yang sebegitu, PMRAM kurang jari tangan dan kaki untuk beraksi. Akhirnya, dalam krisis sedemikian itu, PMRAM kurang nafas mahu berlari.

Biar saya kecilkan skop saya. Kerana bermula dari sesuatu yang kecil, ia membawa kesan kepada sesuatu yang besar. Andai dalam perkara yang sekecil ini nama PMRAM jadi penting dalam pemikiran ahli kita, tidak mustahil nama itu menjadi penting dalam hal-hal yang lebih besar. Persoalannya, bagaimana mahu menjadikan nama PMRAM penting dalam pemikiran ahli kita?

Kekuatan PMRAM adalah kerana kesatuan. Membentuk kesatuan tidak lari dari kesatuan fikrah. Kesatuan fikrah terhasil daripada wujudnya titik temu antara dua perkara penting; kewujudan PMRAM dan kewujudan ahli. Wujudkan nama PMRAM di dalam pemikiran ahli-ahli kita!

Anda mahu main bola, anda mestilah ahli PMRAM. Serta merta mercup dalam pemikiran ahli – Ya, saya ahli PMRAM. Anda mahu mengikuti rehlah ke Sinai, anda mestilah ahli PMRAM. Sekali lagi ahli akan ingat dengan jelas – Ya, saya ahli PMRAM. Anda mahu menerokai Port Said, anda mestilah ahli PMRAM. Ahli akan terbiasa menjawab dalam hatinya; Ya, saya ahli PMRAM. Hingga apabila nama itu lekat dalam pemikiran ahli barulah mereka akan sedar – Tak kenal maka tak cinta.

Menanam rasa cinta kepada persatuan yang selama ini menyumbang jasa untuk ahli, perlu kepada usaha kita menjadikan nama PMRAM, satu nama yang bernilai. Tidak kira BKAN, DPM mahupun PMRAM sendiri, perlu menggunakan ilmu psikologi ini demi mengembalikan kekuatan yang memudar. Kalau usaha kita dalam persepakatan ini berjaya, tidak mustahil lagi meraih keizzahan daripada kesatuan dan keselarasan fikrah.

Mahasiswa kita adalah cerdik pandai. Barangkali, (atau lebih tepat dikatakan sudah pasti) kekuatan yang terbit dalam perhimpunan super raksasa (perhimpunan solat hajat sebelum imtihan dan pengumpulan tanda tangan membantu anak-anak Selangor) bisa menyedarkan kita; apabila nama PMRAM berada dalam hati ahli-ahli kita, kekuatan yang luar biasa mampu terbit dan menggoncangkan suasana. Itulah nilai cendiakawan. Suaranya didengari dan diamati.

Demi bijak pandai yang dihargai, satu usaha perlu dilaksana segera. Jadikan nama PMRAM, satu nama yang bernilai. Ia tidak sia-sia, sampai bila-bila.

Hikmah

Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Pendapat
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Pendapat : Hikmah.
Oleh : al_jantanie

Seringkali apabila kita menyebut perkataan dakwah, kita sering mengaitkannya dengan perkataan hikmah. Berdakwah dengan berhikmah. Namun mungkin kita lupa, bahawa dakwah dengan berhikmah bukanlah satu-satunya cara, kerana ada manusia yang tidak dapat menerima hikmah tersebut ( mungkin atas sebab kejahilan atau keras kepala dan sebagainya). Lebih-lebih lagi, dakwah perlu disesuaikan berdasarkan tahap pemikiran manusia. Memang benar, dakwah dengan berhikmah adalah jalan pertama yang perlu kita gunakan, namun jangan abaikan juga wasilah dakwah yang lain. Kita sangat terkesan dengan firman Tuhan dalam Surah Al-Nahl ayat 125:

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين

Mafhumnya : Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan pengajaran yang baik, dan berbantahlah ( berdebatlah ) dengan mereka dengan ( jalan ) yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui orang-orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk (1)

Takrif Hikmah.

Berkata Ibn Jurir, hikmah adalah segala yang diturunkan oleh Allah s.w.t dalam kitabNya, sunnah-sunnah Nabinya, juga peringatan-peringatan yang baik, kerana ia mengandungi tegahan-tegahan, juga mengandungi peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam umat manusia, mengingatkan kepada mereka supaya mereka berhati-hati dengan azab Allah. (2) (Ibn Jurair dalam ulasannya menggabungkan antara hikmah dan mau’izoh hazanah sebagai satu jalan dakwah.)

Pendapat yang sama diberikan oleh Professor Mohd Ali As-Sobuni yang menyatakan bahawa seruan dakwah ke jalan Tuhan perlulah dijalankan dengan ( uslub yang bijaksanana, lemah lembut, dengan sesuatu yang dapat memberi kesan kepada mad’u juga memberi faedah, dan bukannya dengan tengkingan, celaan, atau dengan cara yang keras.)(3) Ini adalah ulasan beliau ketika menerangkan perkataan hikmah yang digabungkan dengan mau’izoh sebagai satu konsep dakwah.

Penulis tertarik untuk mengambil pendapat kedua, di antara lainnya membezakan antara cara berhikmah dan mau’izoh hasanah sebagai dua cara dakwah yang berlainan. Menurut Professor Wahabah Al-Zuhaili, proses dakwah ke jalan agama adalah dengan melalui ( salah satu daripada tiga jalan : cara berhikmah, mau’izoh hasanah ( peringatan yang baik ) dan perdebatan dengan cara yang lebih baik.) (4)

Hikmah menurut beliau adalah ( kata-kata yang benar yang mesra mad’u, mengesan dalam diri dengan sebaik-baik kesan.) Adapun mau’izoh hasanah adalah ( peringatan dan tegahan yang memberi kesan dalam diri mereka, mengingatkan mereka supaya berjaga-jaga dengan azab Allah)(4)


Pendapat yang serupa diberikan oleh Imam Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi yang menyatakan bahawa hikmah adalah ( kata-kata yang jelas dan benar, iaitu dalil yang menjelaskan kebenaran, dan mengenepikan perkara yang ragu-ragu.) Mau’izoh hasanah pula diertikan sebagai ( peringatan yang lembut dan pemberitahuan peristiwa-peristiwa yang menakutkan, supaya mereka berjaga-jaga daripada azab Allah.)(5)

Perbezaan pendapat ini berlaku kerana ulama’ berbeza pendapat tentang maksud hikmah. Dipetik daripada kitab Tafsir Al-Jalalain antaranya menyebut ( Hikmah adalah ayat-ayat Al-Quran) dan (maui’zoh hasanah adalah peringatan-peringatan di dalam Al-Quran atau kata-kata yang lembut.)(6) Oleh kerana sebahagian mereka menakrifkan hikmah sebagai Al-Quran itu sendiri dan mau’izoh hasanah sebagai peringatan yang baik, maka ia sememangnya wajar dianggap sebagai satu wasilah dakwah, dan bukannya dua wasilah yang berbeza.

Lebih jelas lagi apabil kita memerhatikan kata-kata Imam Az-Zamakhsyari yang menyatakan ( hikmah adalah kata-kata yang jelas dan sahih, iaitu dalil yang menjelaskan kebenaran dan menghilangkan keraguan. Adapun mau’izoh hasanah pula, bahawa engkau secara tidak bersembunyi menasihati mereka dan engkau menyampaikan apa yang memberi manfaat kepada mereka. Dan boleh dianggap (bahawa mau’izoh ini) adalah bermaksud : Al-Quran; iaitu serulah mereka dengan kitab Al-Quran yang mengandungi hikmah dan mauizoh hasanah.)(7)

Perbezaan ini jelas apabila kita meneliti pendapat Imam Al-Baidhawi, cara dakwah yang ( pertama iaitu hikmah adalah untuk golongan khusus dari umat pelajar dan pencari kebenaran, adapun cara yang kedua, iaitu mauizoh adalah untuk menyeru masyarakat umumnya.)(4)

Doktor Muhammad Syed Al-Tantawi menyatakan ( firman Allah Ta’ala : walmau’izotul hasanah adalah wasilah kedua dalam berdakwah kepada Allah.)(8)

Setelah meneliti segala pendapat ini dapatlah disimpulkan bahawa wasilah atau jalan dakwah terbahagi kepada tiga; secara hikmah, peringatan yang baik dan berdebat dengan cara yang baik. Perbezaan ini menjelaskan bahawa adakalanya manusia tidak dapat menerima suatu usaha dakwah secara hikmah dan semata-mata, tetapi perlu dan berhajatkan kepada peringatan yang baik atau berdebat dengan cara yang baik.

Perbezaan ini juga menjelaskan peringkat akal mad’u, dan peringkat kepercayaan mereka. Imam Fakhrur Razi menyatakan dalam kitabnya At-Tafsir Al-Kabir bahawa ( ahli ilmu itu tiga golongan. Pertama Cendekiawan pencari kebenaran yang sebenar dan ilmu-ilmu yang diyakini. Berinteraksi bersama mereka tidak akan terlaksana melainkan dengan dalil qat’ie yang diyakini iaitu : hikmah. Adapun golongan kedua, orang yang mana tabiat mereka dikuasai sikap huru hara, suka bergaduh dan bermusuh-musuh, interaksi dengan ilmu pengetahuan adalah tidak berguna. Interaksi yang sesuai bersama mereka adalah dengan perjidalan @ perdebatan yang boleh mendiamkan mereka secara hujahan dan boleh memaksa mereka menerima dengan keras.)

Beliau menyambung dengan golongan ketiga iaitu ( satu kaum yang masih kekal dalam fitrah yang asli dan akhlak yang baik, mereka tidak sampai ke tahap mampu memahami dalil-dalil yang diyakini dan ilmu pengetahuan secara hikmah. Interaksi bersama mereka tidak terjadi melainkan dengan memberi peringatan yang baik.)(9)

Sebagai satu taujihat, sama-sama renungi kalam dari Said Qutub yang mengakhiri artikel ini. Moga satu pengajaran dapat diambil dan dimanfaatkan.

( Sesungguhnya dakwah itu adalah dakwah ke jalan Allah. Bukan untuk orang tertentu, dan bukan untuk kaum tertentu. Tidak ada tugas bagi seorang pendakwah dalam dakwahnya melainkan dia menunaikan kewajipannya kepada Allah, tiada kelebihan @ ganjaran baginya untuk dicari, tidak ada atas nama dakwah, dan tidak ada atas orang yang dipandu. Pahalanya adalah kepada Allah.

( Dakwah adalah dengan hikmah, dengan memerhatikan keadaan mad’u dan suasana mereka, juga menjelaskan kadar yang perlu bagi mereka pada setiap kali (dakwah dibuat) sehingga tidak memberati mereka, dan tidak membebankan dengan taklifan @ tanggungjawab sebelum jiwa mereka bersedia menerimanya. Perhatikan cara berhubungan dengan mereka, dan mempelbagaikan cara ini berdasarkan perlaksanaan yang sesuai. )

1. Tafsiran Al-Quran Al-Karim – Prof. Dr Mahmud Yunus
2. Tafsir Al-Quran Al-A’zim – Tafsir karangan Ibn Kathir.
3. Sofwatu Al-Tafasir – karangan Professor Mohd Ali As-Sobuni.
4. At-Tafsir Al-Munir Fi Al-Aqidah wa As-Syariah wa Al-Manhaj – karangan Professor Wahabah Az-Zuhaili
5. Tafsir Al-Qasimi – Imam Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi
6. Tafsir Al-Jalalain – karangan Imam Al-Mahalli dan Imam As-Sayuti.
7. Tafsir Al-Kassyaf – karangan Imam Az-Zamakhsyari.
8. Al-Tafsir Al-Wasit – karangan Dr. Mohd Syaid Al-Tantawi.
9. Al-Tafsir Al-kabir – karangan Imam Fakhrul Razi
10.Fi Zilal Al-Quran – karangan Said Qutub

19 - Ini Yang Terakhir

(Sempena malam raya Aidil Fitri 2006, ketika saya berada jauh dari keluarga bahkan kawan.)

Sajak : Ini Yang Terakhir
Oleh : al_jantanie

Ini Terawih yang terakhir,
Kenapa tidak sedih?

Ini Ramadhan yang terakhir,
Kenapa tidak duka?

Ini detik terakhir,
Doa yang termustajab,
Kenapa tidak minta?

Ini masa terakhir,
Dosa diampunkan,
Kenapa tidak pohon?

Ini malam yang terakhir,
Kenapa tidak berasa apa-apa?

Ini tahajjud yang terakhir,
Kenapa tidak berubah apa-apa?

Inilah Ramadhan terakhir,
Kenapa tidak pilu,
Meninggalkannya?

al_jantanie
manhumi_ilm

Tuesday, January 17, 2006

Detektif Indigo

Detektif Indigo

Biarlah saya mengulas karya ini dalam satu ayat – Saudara Faisal patut menulisnya dengan lebih panjang lagi.

Saya mencadangkan satu perkara juga – Saudara Faisal patut menjadikan idea (yang bagi sebahagian kita masih terlalu) asing ini lebih pelik, kemudian menafikan segala kepelikan itu dan menjadikannya sesuatu yang patut dan layak diterima (hattakan oleh orang yang menganggapnya asing.)

Saya mendapati beberapa kelemahan dan kekurangan dalam karya ini, tetapi demi beradab, biarlah saya simpankan sahaja. Itu patut jadi alasan mengapa ia menduduki tempat kedua, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004. Tahniah untuk Faisal Tehrani.

Advencer Si Peniup Ney

Advencer Si Peniup Ney

Saya menjumpai beberapa kesilapan fakta yang dilakukan oleh Faisal dalam karya ini, dengan meyakini ia adalah kesilapan tidak sengaja, namun ia perlu diperbetulkan.

1. "Tuhan kami Allah, dan kami hanya memperakukan Muhammad sebagai pesuruh Allah…" (muka surat empat.)

Semua orang Islam wajib beriman dengan semua Nabi (rukun Iman ketiga) dan menerima bahawa nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain juga adalah pesuruh Allah. Tetapi apabila berkaitan syariat, kita mengikut syariat Nabi Muhammad sahaja, kerana ia sudah memansuhkan syariat nabi-nabi sebelumnya.

2. "…, Dia (Allah) juga mengingatkan kenyataan bahawa manusia serta jin itu hanya mukawwin – yang dibuat, bukan yang membuat…." (muka surat 204)

Mukawwin adalah isim fael yang bermaksud – yang membuat. Kalau - yang dibuat – maka perlu gunakan isim maf'ul – mukawwan.

Tulisan ini tidak bermaksud mencari salah orang, tetapi kesilapan itu perlu dibetulkan.

Baru saya mulakan ulasan saya.

Ia adalah teks ilmu (tasauf) yang berat, dan saya sendiri perlu mempelajarinya sebelum dapat memastikan apa-apa. Namun, seseorang yang mahu mempelajari ilmu tasauf perlu mendalami ilmu Tauhid dahulu, kerana ia adalah ilmu yang mendahului segala ilmu, termasuk ilmu Feqah.

Ilmu tasauf memang wujud dalam Islam, dan usaha Faisal dilihat menentang kesalahfahaman orang tertentu mengenai tasauf (hattakan orang yang mempuyai ilmu yang banyak) kerana tasauf adalah proses menghalusi budi pekerti memperkemas akhlak.

Tetapi fahami, ada juga mereka yang terpesong ketika mendalami tasauf (kerana tidak menguasai ilmu Tauhid), tetapi ini bukan bererti Tasauf itu keseluruhannya salah. Memandu kereta sekalipun, ada juga yang betul, ada juga yang salah.

al_jantanie
manhumi_ilm

Catatan di Celah-Celah Peperiksaan (7)

Catatan di celah-celah peperiksaan (7)

Saya buat rumah terbuka. Saya jemput 7 pasang Pakdam dan Makdam. (Gelaran bagi pasangan yang sudah berkahwin) Apa lagi – Pakdam dan Makdam jadi hakim masakan orang bujang.

Apa kata mereka?

Suara 1: Kalau masin, itu tandanya dah dekat nak kahwin.

Suara 2: Kalau manis?

Suara 3: Carikan saya yang manis-manis.

Suara 4:Masak sedap-sedap. Nanti tak lulus.

Suara 5: Kalau sedap, maknanya boleh kahwin!

Suara 6: Kalau tak sedap?

Suara 7: Maknanya kena kahwin juga, supaya bini boleh sedapkan apa yang kurang sedap.

Suara 8: Sedapnya orang bujang masak. Kalah orang kahwin.

Suara 9: Eh jangan! Nanti orang kata – lebih baik tak kahwin.

Suara 10: Ni apasal dapur tak bersih ni?

Suara 11: Nak beraya ke nak jadi penyiasat ni?

Suara 12: Kemasnya bilik orang bujang!

Suara 13: Iya je…Ke berlakon?

Suara 14: Ni gambar anak dara mana lah pulak yang ditampal ni?

Suara 15: Gambar Makcik saya masa dia belajar di Mesir 10 tahun lepas. Sekarang dia dah balik kahwin.

Suara 16: Makcik?

Suara 17: Oi! Tak pernah dibuat orang bujang panggil Pakdam Makdam datang beraya kat rumah!

Suara 18: Apasal jemput orang Johor je?

Suara 19: Bajet kecil-kecilan.

Suara 20: Anta jemput anak-anak ana sekali, kan? Anak ana memang tiga, tetapi anak buah…Satu bangunan Rumah Johor. Nasib baik ana tak panggil sekali.

Suara 21: La, melepas.

Suara 22: Ni mee bandung apa ni?

Suara 23: Mee Bandung Alexandaricairo.

al_jantanie
manhumi_ilm

Malhuzat 1: Terima kasih kepada semua Pakdam dan Makdam yang datang.

Malhuzat 2: Tuan Rumah jadi kenyang tengok tetamu selera makan. Alhamdulillah, semua jemputan hadir. Datanglah lagi.

Batta, Batara, Bataka Dan Batala

Seorang pelawat datang dan bertanyakan entri baru.

Baru-baru ini, ketika pulang dari peperiksaan, saya ada membelek Mu'jam Tullab sekaligus menemui sesuatu untuk dikongsikan dengan semua. Mengenai 4 perkataan ini.

( بَـتّ – بَـتـَر – بَـتـك – بَـتـل )

Perbezaan di antara setiap kalimah ini adalah pada 'lam al-fe'li' di mana lam fe'el dalam kalimah pertama adalah ta, lam fe'el bagi kelimah kedua adalah ra, lam fe'el kalimah ketiga adalah kaf dan lam fe'el bagi kalimah keempat adalah lam.

Dari sinilah kita mendapati bahawa, keempat-empat kalimah ini mempunyai kaitan yang sangat dekat sekali iaitu – hanya berbeza lam fe'el. Kaitan ini sekaligus mempunyai kaitan baru iaitu – mempunyai makna yang hampir sama atau dekat.

Mari lihat satu persatu.

بــت
Batta, yabittu atau yabuttu, battan - bermaknaقطع iaitu bermaksud potong.

بتر
Batara, yabturu, batran - bermakna قطع iaitu juga bermakna potong.

بتك
Bataka, yabtiku atau yabtuku, batkan - bermakna قطع iaitu bermakna potong juga.

بتل
Batala, yabtilu atau yabtulu, batlan – bermakna قطع iaitu bermakna potong juga.

Daripada sinilah, timbul satu teori yang mengatakan, bahawa terdapat satu perhubungan yang kuat antara satu kalimah dengan satu kalimah yang lain, kerana kalimah ini berkembang dan membiak, dan asalnya daripada satu asas yang sama. Untuk melihat aplikasinya dalam Bahasa Melayu (supaya lebih jelas) lihat perkataan catat dan catit, bukankah kedua-duanya mempunyai kaitan makna yang sangat kuat dan dekat, dan perbezaannya Cuma huruf a diganti i.

Harap catatan @ catitan saya untuk blog ini hidup kembali.

al_jantanie
manhumi_ilm

Nota Malhuzat
1) Kalau tak salah, teori ini pernah diulas dalam Mu'jam Maqayis Lughah, silap saya belum baca lagi.

2) Tidak biasa menaip jawi alias Arab menyebabkan saya kekok semasa menaip. (Moral : belajar-belajarlah taip Arab)

Ulasan Cerpen Adi

Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Kritikan Sastera
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Ulasan Cerpen Adi
Oleh Sidang Editorial

Ruangan Khas untuk peminat sastera bukan baru dalam SUKEJ. Zaman Zaid Akhtar menulis untuk SUKEJ adalah antara zaman keemasan bagi penggiat sastera bumi anbia’ ini. Kini ia menemui anda sekali lagi.

Karya yang bakal diulas adalah sebuah cerpen karya al_jantanie (cerpen yang terbit dalam keluaran 106) dengan bertajuk “Adi”. Cerpen ini hanya menggunakan dua watak iaitu Adi dan ayahnya, digarap dengan latar belakang persekitaran kampung yang cuba digambarkan sebagai damai dan tenteram. Pengarang masih mengekalkan unsur semulajadi dan persekitaran. Ia juga merakamkan kesusahan masyarakat kampung masa dahulu dalam perenggan-perenggan pertama penceritaan.

Apa yang menarik adalah gaya bahasa. Pengarang gemar menggunakan ayat yang pendek dengan laras bahasa kepada seorang kanak-kanak. Ternyata gaya bahasa yang berbentuk pemujukan ini menepati logik pertuturan di antara seorang ayah dan anak yang masih kecil. Ia tidak berat, dan tiada kalimah yang sukar difahami.

Namun perhatikan ilmu bantu yang cuba diselitkan. Pertama adalah nama ubat. Pengarang hanya menyebutkan warna ubat, dan tidak menyatakan namanya dan kegunaannya. Sekiranya nama ubat dapat dinyatakan, ia akan memberikan kesan yang lebih kepada pembaca. Barangkali pengarang tidak tahu, atau mahu mempamerkan situasi masyarakat kampung yang masih janggal dengan nama ubatan moden.

Kedua, sedikit tidak logik apabila pengarang menyatakan jumlah upah yang diterima oleh ‘ayah’ iaitu hanya RM 50 sebulan. Ia sama ada jumlah upah itu adalah sangat tidak berpatutan (kerana Tok Penghulu seorang yang baik hati) atau zaman peristiwa ini berlaku adalah satu zaman yang jauh dari zaman kita. Barangkali juga pengarang meletakkan nilai RM 50 demi memadankan dengan bayaran ubat RM 48, sekaligus menghabiskan jumlah duit simpanan bulan sebelumnya.

Pengarang cuba membawa latar masa seminggu dari awal penceritaan (Seminggu yang lepas atap rumah kita bocor). Cerita berjalan dengan sangat mudah secara aturan peristiwa yang berlaku dari seminggu yang lepas hingga ke hari ini. (Demam ayah berlanjutan hingga ke hari ini) Ia adalah kronologi yang tersusun dalam satu imbas balik yang mudah difahami.

Nampaknya pengarang cuba mengelak daripada penggunaan ganti nama diri pertama dan kedua, dengan menggunakan lafaz ‘ayah’ dan ‘Adi’. Penggunaan nama memberi kesan penegasan dalam penceritaan apabila kedua-dua nama ini diulang sebut. Ia juga memberi kebebasan kepada pengarang untuk memilih sama ada mahu lebih kepada cenderung kepada Adi mahupun ayah sepanjang penceritaan. Nampaknya, pengarang memilih ayah seperti mana yang berlaku.

Sekiranya diperhatikan, cerpen ini agak pendek daripada cerpen-cerpen yang disiarkan sebelum ini. Barangkali sekitar tiga muka word sahaja. Panjang sebuah cerpen bukanlah suatu yang mesti dibincangkan, dibahaskan atau ditolak, kerana cerpen mempunyai tiga jenis. Pertama cerpendek, iatu cerpen pendek. Kedua cerpen, iaitu cerpen yang sederhana, dan ketiga adalah cerjang, iaitu cerpen panjang.

Anda bebas menulis panjang cerpen, namun cerpen yang panjang (cerjang) atau cerpen yang pendek (cerpendek) sukar mendapat tempat di media kerana terlalu panjang dan terlalu pendek. Lazimi penulisan sekitar 4 hingga 5 muka word dengan single space, barangkali akan menjadi 8 hingga 9 muka word dengan double space. Gunakan font biasa dengan saiz 12.

Perhatikan juga plot ceritanya. Pengarang dilihat memahami dengan baik plot cerita dalam cerpen dengan tidak meletakkan terlalu banyak plot. Satu plot lebih baik. Cerpen adalah penulisan dengan latar masa dan latar tempat yang sangat terhad, maka latar masa yang terlalu panjang adalah bersalahan dengan cerpen. Bermakna, latar masa dalam satu plot perlulah pendek, atau dipendekkan.

Sekiranya anda prihatin, di manakah sebenarnya latar tempat dan latar masa? Latar masa adalah hari ini, dan cerita-cerita sebelumnya adalah imbas balik. Latar tempat adalah rumah tempat orang kampung berkumpul, di sebelah jenazah ayah.

Sedikit kekeliruan timbul, apabila pengarang menceritakan hal ayah. Ayah kelihatan seperti seorang yang koma, tidak sedar diri tetapi rohnya masih mampu menyaksi. Tetapi pengarang mengungkapkan ayah sebagai seorang yang telah meninggal dunia, tetapi janggalnya apabila seorang yang telah mati tidak mengetahui bahawa dia telah mati. Malah dia masih tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.

Umum mengetahui bahawa kematian sangat menyakitkan, bagaimana si mati tidak mengetahui kematiannya sedangkan dia merasai sakitnya? Ia perlu dibincangkan semula, kerana gambaran ini semacam tidak menepati keadaan yang sebenar. Ataupun, Timah janda dan semua orang kampung tersalah tafsir, bahawa ayah Adi cuma koma, dan bukannya meninggal dunia.

Namun, tidak dinafikan nasihat-nasihat yang baik cuba disampaikan oleh pengarang melalui cerita ini. Di antaranya menyebut kekuasaan Tuhan dalam urusan hidup mati, tawakkal, berusaha dengan seberapa upaya, membalas jasa dengan jasa, kasih sayang tiada terhingga seorang ayah dan tidak menyusahkan orang lain.

Pengarang juga cuba sedaya upaya memberikan gambaran berkenaan hujan yang lebat, kekayaan Tok Penghulu, bersin Adi yang dahsyat, sakit kepala ayah yang teruk, kasih seorang ayah, pergantungan kepada Tuhan dan kemiskinan warga kampung.

Tempo penceritaan juga tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan, malah ia dapat berjalan dengan lancar, kecuali kelihatan sedikit terhenti di perenggan “Adi, ayah Cuma bekerja memetik buah kelapa.” Ia seakan terhenti daripada cerita sebelumnya yang mengisahkan kesan hujan terhadap sakit Adi.

Adi adalah sebuah cerpen bertitik tolak daripada penggunaan kesan dan akibat. Lihat kesan kemiskinan kepada keluarga Adi sehingga ayah dan begitu ramai penduduk kampung bekerja dengan Tok Penghulu. Lebih jelas lagi, kesan hujan kepada sakit Adi, kemudian demam berpindah kepada ayah sebelum ayah jatuh dari pokok akibat demam yang ditanggungnya. Memilih ayah dengan kerja pemetik kelapa dilihat berpadanan dengan sebab jatuh dari pokok akibat habuk kelapa yang menerjah mata.

Istimewa juga, hampir tiada dialog yang digunakan sepanjang penceritaan, kecuali di penghujung cerita. Apapun tahniah untuk Adi dan pengarang!

Monday, January 16, 2006

sms

توسيعا عليك, ترغيبا بك – لم تنأيين عني؟

حان ما حان, دان ما دان, ذهب ما ذهب, غاب ما غاب.

ذكرك ما فتئ, فالله أولى.

(Tausi'an alaiki, targhiban biki – lima tan-ayi-na 'anni?)
(Hana ma han, dana ma dan, zahaba ma zahab, ghaba ma ghab.)
(Zikruki ma fati-a, faLlahu aula.)

Seorang kawan (perempuan) beri sms dan mengucap salam. Antaranya ucapan tasyjik (beri semangat) untuk imtihan, dan doa-doa yang baik. Apa yang lebih? Ia dalam bahasa Arab. Saya pantang, jadi saya balas juga (sekadar yang saya mampu) seperti di atas.

Maknanya:

1. Tausi'an – wassa'a – yuwassi'u – meluaskan, melapangkan, memberi kelapangan.
2. Targhiban – (ragh-gha-ba) – (yuragh-ghi-bu) – menyukakan, menjadikan suka, menyenangkan.
3. (Tan-ayi-na) – (na-a) – (yan-a) – jauh, menjauh. (dengan dhomir anti)
4. Hana – yahinu – hainan – dekat.
5. Dana – yadunu – tunduk, akur.
6. Zahaba – yazhabu - pergi, berlalu, telah lepas.
7. Ghaba – yaghibu – ghaiban – ghiyaban – lenyap, hilang, ghaib, telah berlalu.
8. Zikruki – mengingatimu (p)
9. Ma (fati-a) – sentiasa, selalu, berterusan.
10. Aula – lebih utama, lebih aula.

Ayat pertama adalah soalan – Dengan segala kelapangan yang aku beri, dan dengan segala kegembiraan aku terhadapmu, mengapa engkau menjauhiku?

Ayat kedua adalah rencam.( konsep fe'el fa'el ) Telah dekat apa yang telah dekat (peperiksaan), telah akur apa yang telah akur (terhadap peperiksaan), telah berlalu apa yang telah berlalu (madah-madah imtihan), telah lenyap apa yang telah lenyap (masa, peluang).

Ayat ketiga (konsep mubtada' khabar) Mengingatimu sentiasa, maka (mengingati) Allah adalah lebih utama.

manhumi_ilm

Malhuzat 1: Saya tersilap bila meletak (tanfiran laki) dalam sms. Abaikan ia. Ataupun, kalau mahu ditakdirkan, takdirkan ia begini.

نفرت لك تنفيرا ليوسعك توسيعا عليك و ليرغبك ترغيبا بك

(Naffartu laki tanfiran, liyuwassi'uki tausi'an, wa liyuragh-ghi-buki targhiban biki)

Malhuzat 2: Kawan saya kata - bukan (tan-ayi-na) tetapi (tan-ai-na). Saya kena semak lagi

Bahasa L

Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Kosa Kata
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Bahasa L

Laik : layak.
Lalam : hujan panas.
Lalar : merayau ke merata-rata tempat.
Lamban : tidak cepat (bekerja dll), tidak cergas, kelesa, lambat, lemah.
Lampang : pukul dengan tapak tangan, tampar, tepuk.
Lampuh : gemuk (pendek)
Langgas : tidak terikat pada sesuatu atau pada orang, bebas.
Langgeng : selama-lamanya, kekal, abadi.
Langkat : tiga hari daripada sekarang, tulat.
Langking : hitam
Lantan : jaga, pelihara.
Larung : keranda, long, peti mayat.
Lasar : luas (kawasan), lapang, lebar.
Lasat : teruk (sakit), berat, tenat.
Lasykar : askar, serdadu.
Latlau : tidak selalu, kadang-kadang.
Lebas : menyebat (dengan rotan dll), membelasah, memukul.
Lebun : tipu, penipuan.
Lecap : kuyup (basah)

Boikot, Ia Tugas Bersama

Majalah : SUKEJ

Edisi : 107
Kolum : Kalam Editor
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Boikot, Ia Tugas Bersama.

Saya masih ingat satu ketika dahulu, ketika saya berdiri berhadapan dengan kira-kira 35 orang murid darjah 4 di dalam kelas, sempat saya tanyakan satu soalan mudah yang bermotifkan boikot juga, tetapi memilih tujuan mengajar secara amali dalam satu soal jawab. Saya berdiri tinggi di hadapan.


Jika satu hari esok, awak terpaksa membeli ubat gigi yang harganya RM40, tetapi awak pasti ia halal, adakah awak sanggup, atau awak akan membeli ubat gigi yang ada campuran lemak khinzir dengan harga RM2?

Sepakat mereka menjawab kuat, beli yang RM 40 lah, cikgu!

Saya tersenyum mahu menguji lagi. Tetapi ia mahal. Awak sanggup keluarkan duit banyak itu untuk ubat gigi?

Ya. Mereka nampak sepakat lagi.

Tetapi lemak khinzir itu cuma sedikit sahaja. Tak banyak. Cuma setitik sahaja. Boleh tak kalau kita beli sahaja ubat gigi yang berharga RM 2 itu?

Tak boleh, cikgu.

Barangkali, saya ketika itu terkesan amat dengan demam Direct Selling yang menular hingga meratai hampir semua guru yang mengajar di situ. DS tidak salah, tetapi apabila merujuk kepada syarikat yang menaunginya, terang nyata tambah suluhan mentari siang hari, syarikat yang berpangkalan di Amerika dengan ketuanya adalah orang yang berbeza agama dengan saya, saya pasti ia salah.

Terbawa-bawa ke kelas, hingga soalan yang bertujuan mendidik praktikal beragama terbit dari bibir saya. Tidak keberatan saya masukkan dalam bab najis dan cara membersihkannya. Barangkali juga, dalam masa yang sama, DS lain yang ditubuhkan oleh anak watan beragama sama dengan kita juga kedapatan di sekolah itu juga. Mengapa membantu ekonomi bukan Islam? Adakah Islam tiada alternatif?

Saya ke Mesir tahun berikutnya, dan merenung pula realiti Azhari di sini. Rakan sebilik membuat konklusi. Sebotol air gas berharga segenih dan sebotol Mecca Cola berharga berkali ganda daripada itu. Mengapa bukan Islam boleh menurunkan harga hingga ke tahap murah, dan kita kekal di harga lama?

Soalan tentang harga kerap mengingatkan saya kepada anak murid tahun 4. Mungkin tahap akal mereka jauh beza dengan mahasiswa sebijak kita, tetapi saya boleh berbangga dengan jawapan mereka itu. Mereka barangkali lebih bijak daripada kita untuk membuat keputusan seperti ini.

Kempen boikot yang berpunca daripada kezaliman Yahudi terhadap umat Islam mencetus rasa keinsafan – Jangan bantu mereka walaupun dengan satu qirsh. Ya, membeli barangan bukan Islam tidak salah pada mulanya, tetapi apabila sebahagian mereka (Yahudi) menindas orang Islam, kita perlu tergesa-gesa melaksanakan perang ekonomi; boikot barangan mereka.

Ia adalah satu kempen besar, dan perlu dilakukan bersama. Barangkali kita selama ini sudah terlajak langkah, apa salahnya kembali memartabat tugas ini sekali lagi – boikot barangan mereka!

Pemangku Ketua Editor

Tuesday, January 10, 2006

18 - Biar Lagi

Sajak ini dikarang di akhir tahun kedua, atau di awal tahun ketiga saya berada di bumi orang. Dibukukan dalam antologi Cinta dan Rona Kinanah bersama 15 penulis yang lain.

Sajak : Biar Lagi
Oleh : al_jantanie

Mengapa asyik mengaduh sakit,
Kemudian terlantar membiarkan.

Mengapa asyik berserah hingga,
Malam pergi siang pun datang.

Adakah kalau terpinga kaku,
Kau lega kemudian menyesal lagi.

Kalau benar masamu kurang,
Mengapa biarkan habis berlalu?

Dan,
Engkau masih begitu juga.

Monday, January 09, 2006

Sastera Kita

Majalah : SUKEJ
Edisi : 106
Kolum : Pendapat
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Pendapat : Sastera Kita
Oleh : al_jantanie

Saya mengikuti seminar penulisan seliaan Kem Latihan Penulis (KELAP) di Rumah Johor pada 27 Mac yang lalu, dan berpeluang melihat pelbagai reaksi dari pelbagai lapisan mahasiswa dan mahasiswi kita. Tentunya banyak perkara yang boleh dan mampu disentuh, tetapi ingin mengulas kepada beberapa perkara tertentu sahaja.

Sastera kita, di manakah dia?

Saya tidak pasti sejauh manakah kita faham dengan sastera, dan saya sendiri tidak mengatakan bahawa saya sangat arif dalam bidang sastera. Tetapi bagi yang mengikuti perkembangan seminar tersebut mungkin boleh membayangkan serba sedikit tentang sastera, lebih-lebih lagi apabila ia difokuskan secara lumat kepada pembikinan cerpen. Adakah mereka boleh membikin sebuah cerpen atau meminatinya, saya tidak tahu.

Saya tertarik untuk mengulas perkara ini, lantaran menyedari betapa jahilnya sebahagian kita tentang hakikat cerpen. Cerpen bukanlah lapangan untuk melepaskan perasaan sepertimana yang dimajhuli sebahagian kita, dan cerpen bukanlah semata-mata kisah cinta. Mungkin ia satu komponen daripada cerpen, tetapi bukan segala-galanya.

Cerpen yang baik sama seperti artikel ilmiah yang baik. Cerpen yang baik mempunyai sokongan ilmu bantu yang digarap bersama-sama cerita. Cerpen yang baik mengandungi mesej yang berkesan kepada khalayak pembaca, dan dapat menimbulkan kesedaran. Cerpen yang baik menyampaikan perkataan-perkataan baru kepada pembaca, juga menambah thaqafah dalam pembendaharaan dan penguasaan bahasa ibunda.

Bacalah karya-karya agung milik penulis dan sasterawan kita di Malaysia, dan anda akan menyedari bahawa seorang cerpenis juga mempunyai kekuatan sebagai agen penyedar kepada anak bangsa. Cerpen yang bermutu menjadi medan penyampaian ilmu dan thaqafah dalam bentuk yang kreatif – ada watak, ada latar masa, ada latar tempat, ada jalinan plot, ada rangsangan, ada konflik, ada peleraian, dan ada kesudahan.

Sesiapa juga gemar membaca cerita, dan cerita yang baik perlu kepada mesej yang baik. Agamawan @ azhari @ daie tidak perlu lari dari mengetahui sedikit sebanyak kisah sejarah supaya dapat dihikayatkan kepada mad’u ( orang yang diseru. ) Kenapa? Khalayak pembaca meminati cerita, dan cerita juga mempunyai khalayak dan penggemarnya. Mengapa tidak cerpen?

Cerpen kita adalah cerpen berunsur agama. Cerpen berunsur Islam. Garapan ilmu bantu berbentuk thaqafah Islam amat kurang lantaran agamawan kurang arif menulis cerpen. Hamka seorang ulama terkenal kelahiran Indonesia juga menulis cerpen malahan novel. Ia berpunca dari kefahaman dan keyakinan bahawa cerpen ada khalayaknya yang tersendiri, dan khalayak ini perlu diraikan.

Banyak cerpen yang tersiar di tanahair kurang berkisar dengan tema agama. Ini berpunca kerana kebanyakan mereka kurang thaqafah dalam bidang itu, dan seharusnya kita yang meladeni thaqafah Islamiahlah yang merebut peluang ini. Menulis kerana Islam, bukankah itu satu tujuan yang mulia?

Sastera kita, di manakah dia?

Walaupun cerpen cuma berputar dalam satu tema, malah perlu digabungjalin dengan babakan peristiwa, digerakkan dengan rangsangan, namun ia cukup padu kerana berjaya memberi kesan. Lihat bagaimana seorang pemuda yang memilih untuk mempertahankan iman daripada memilih untuk mempertahankan cinta dalam cerpen ‘Cinta Sufiah’ karya Akhi Masrawy. Lihat ulasan Nazmi Yaakob tentang qarin dalam cerpen ‘Sufiyyah dan Ruhiyyah Dalam Ramadhan’. Atau kaji ‘Perjalanan 1 Merpati Baqi’ karya Faisal Tehrani.

Cerpenis-cerpenis kita kebanyakannya tidak menekankan soal babakan. Ada di antara mereka lebih leka dan khayal dengan suara hati sendiri hingga tidak dapat membezakan di antara cerpen dan bingkisan. Cerpen mewajibkan kewujudan watak yang bergerak di satu latar tempat dan di satu latar masa, malangnya dicanai menjadi lolongan suara hati semata-mata. Itu bukanlah cerpen, dan itulah yang kunci silap faham kita selama ini.

Lumati ‘Nenek negro di kota mekah’ karya Faisal Tehrani, dan anda akan melihat sendiri bagaimana cerita itu bergerak dan berjalan di atas latar yang dilakarkan. Saya tidak menafikan berlaku monolog dalaman berbentuk luahan dan suara hati, namun ia tidak mendominasi hingga ke 70 peratus penceritaan, sebagaimana dilakukan oleh segelintir cerpenis kita. Andai ia digarap dalam bentuk monolog dalaman sekalipun, monolog itu masih menekankan perihal watak dan babakan peristiwa.

Saudara Amiza Khusyri juga pernah menggunakan teknik monolog dalaman dalam ceritanya. Perhatikan ‘Sukma Seorang Ibu’ – ia adalah penceritaan secara monolog dalaman. Tetapi apa yang membezakannya ( daripada di salah anggap menjadi bingkisan) adalah penekanan kewujudan watak dan memperkemas babakan peristiwa. Bukan monolog dan itulah segalanya!

Sastera kita, di manakah dia?

Sastera bukan suatu yang sia-sia, seperti dakwaan segelintir kita. Junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W juga amat menggemari sastera zaman Baginda, dan Baginda pernah meminta supaya ia diperdengarkan. Saidina Umar Al-Khattab pernah menyebut : Syair itu ilmu suatu kaum, tidak ada suatu ilmu yang lebih benar daripadanya. Taatkala Umar menasihati anaknya, Abd Rahman beliau berkata : Peliharalah kecantikan syair, maka ia akan memperbanyak peradabanmu.

Sastera, mahukah anda mempelajarinya?

Iz Dan Iza

Majalah : SUKEJ
Edisi : 106
Kolum : Pendapat
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Thaqafah : Iz dan Iza
Oleh : al_jantanie

قال تعالى : وإذ قال ربك للملائكة إني جاعل فى الأرض خليفة قالوا أتجعل فيها من يفسد فيها ويسفك الدماء ونحن نسبح بحمدك ونقدس لك قال إني أعلم ما لا تعلمون

Maksudnya : ( Ingatlah ) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi ( Adam ). Maka jawab mereka ( malaikat ) itu : Adakah patut Engkau jadikan di atas bumi orang yang akan berbuat bencana dan menumpahkan darah, sedangkan kami bertasbih memuji Engkau dan menyucikan Engkau? Allah berfirman : Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tiada kamu ketahui.

Firman Allah Taala
: ( وإذ قال ربك للملائكة إني جاعل فى الأرض خليفة )

Pertama : (إذ ) dan ( إذا ) adalah dua huruf taukit ( huruf berkaitan masa ), ‘iz’ digunakan untuk perkara lepas ( madhi ) dan ‘iza’ digunakan untuk perkara akandatang ( mustakbal ) . Terkadang digunakan juga iz dan iza pada sebaliknya. Berkata Mubarrad : Apabila digunakan iz untuk perkara akandatang (seperti penggunaan fe’el mudharik), maka ia tetap membawa maksud madhi, seperti firman Allah S.W.T

( وإذ يمكر بك ) , ( وإذ تقول للذى أنعم الله عليه )

Ia sebenarnya membawa maksud

( إذ مكروا ), ( وإذ قلت ) - dengan maksud madhi.

Adapun sekiranya iza digunakan bersama madhi, maka maknanya sebenarnya adalah mustakbal ( akandatang ), seperti firman Allah:

( فإذا جاءت الطامة ) , ( فإذا جاءت الصاخة ) , ( إذا جاء نصر الله )

Ia sebenarnya membawa maksud mudharik iaitu

( يجيء )

2.

Menurut Makmar Ibn Musanna Abu Ubaidah, iza tersebut adalah zaidah (tambahan – tanpa ada fungsi makna tambahan), dan maka ayat tersebut

( وإذ قال ربك )

ditakdirkan sebagai membawa maksud

( وقال ربك ) (kerana iz dikira sebagai tambahan sahaja.)

Beliau mengambil pendapat ini dengan berdalilkan kata-kata yang dipetik daripada Aswad bin Ya’far dalam syairnya:

( فإذ وذلك لا مهاة لذكره والدهر يعقب صالحا بفساد )

3.
Zujaj, Nuhas dan sekelian ahli tafsir menolak pendapat ini, berkata Nuhas : Ini adalah satu pendapat yang salah, kerana iz adalah kata nama (isim) dan ia juga adalah zaraf zaman ( kata masa ) yang bukannya ditambah ( semata-mata ). Berkata Zujaj : Ini adalah satu kesalahan daripada Abu Ubaidah, (dalam ayat ini) Allah menyebut berkenaan penciptaan manusia dan selainnya, maka ia sepatutnya ditakdirkan kepada:

(وابتدأ خلقكم إذ قال ) – ( dan iz dalam pendapat ini bukanlah zaidah )

Dan takdir ini adalah daripada bab mahzuf ( dibuang ) yang mana ada petunjuk menyatakan kewujudannya daripada ayat, ( lihat contoh lain) seperti kata-kata:

( فإن المنية من يخشها فسوف تصادفه أينما )

Dan maksud sebenar ( daripada syair itu ) ialah:

( أينما ذهب )

Dan ( daripada ayat quran di atas juga, kita ) boleh menganggarkan bahawa ia sebenarnya berkait dengan fe’el muqaddar takdirnya:

( واذكر إذ قال )

Dan pendapat lain ( berkenaan ayat quran di atas ) pula menyatakan ia adalah dihubungkan dengan ayat sebelum ini dalam firman Tuhan:

( اعبدوا ربكم الذي خلقكم )

Maka takdir sepatutnya adalah

( الذي خلقكم إذ قال ربك للملائكة )

dengan firman Allah ini dan khitobnya kepada malaikat telah disabitkan sejak azali, dalam keadaan wujudnya mereka (malaikat) dan mereka memahaminya. Begitulah tajuk yang semunya adalah adalah berkenaan perintah-perintah Allah, laranganNya dan kalamNYa. Ini adalah pendapat Syeikh Abi Hasan Al-Ash’ari, dan ia disepakati Abu Ma’ali, dan kami telah jelaskan tentangnya dalam kitab

( الأسنى فى شرح أسماء الله الحسنى ) dan ( وصفات الله العلى)

Diterjemah daripada Kitab Al-Jamie Li Ahkam Al-Quran – Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad Al-Ansari Al-Qurtubi, Jilid satu, ayat 30 surah Al-Baqarah.

Sunday, January 08, 2006

17 - Tolong

Sajak ini dikarang di awal-awal ketika saya berada di Mesir. Kalau tak salah, di akhir tahun pertama.

Sajak: Tolong
Oleh : al_jantanie

Tolong,
Jangan matikan langkah kerna,
Kepimpinan bertukar,
Jangan hentikan pena kerna,
Mandat berpindah,
Jangan matikan cita kerna,
Wajah berganti,
Dan Engkau,
Mengapa?
Kaku sendiri-sendiri.

Tolong,
Jangan sekati langkah sebab,
Penulis melangkau batas masa,
Melepas had ketetapan bahawadia ketua,
dia pembantu,
dia pengikut,
Tetapi,
Batas dicantas saat pena berlari,
Had dikerat saat mandiri berpaksi,
Mengapa harus melemah dan memundur diri?

Tolong,
Jangan meletak wajar di paksi rasa,
Engkau rebah kelak,
Tetapi kukuhkan ia di pentas akal,
Wajarmu terus utuh,
Memegang cita penulis,
Meraja di akli,
Membentuk nubari.

Tolong,
Bukan kerana aku tetapi Dia,
Langkahmu persis langkah pahlawan,
Bila maju pantang undur kembali,
Dan tolong,
Bila berlari sekencang angin,
Bila berpaksi sekukuh gunung.

Tolong,
Andai sendirian jangan futur terus ke hadapan,
Andai lemah jangan kaku terus bertahan,
Andai salah jangan malu terus betulkan,
Andai dan andaian,
Pilihlah yang terbaik kerana Tuhan.

Tolong,
Engkau carikan benar di ladang keazaman.

Jumaat,
9 September,
Cairo.10.20 pagi.

Saturday, January 07, 2006

16 - Sudu Dan Kuah

Sajak ini dikarang di tahun ketiga saya di luar negara.

Sajak : Sudu Dan Kuah
Oleh : al_jantanie

Percayakah anda,
Si Tutur jadi bisu,
Bila tidak berkata,
Si Alim jadi jahil,
Bila sombong membata.

Orang kata,
Si Kaya jadi miskin,
Bila suka meminjam,
Si cerdik jadi bodoh,
Bila benci bertanya.

Dan hasilnya,
Bila kuah tidak disudu,
Dan sudu tidak dikuahi,
Orang kata,
Apa ertinya itu semua?

27 Julai 2005,
Kaherah.
01 : 47

Wednesday, January 04, 2006

Tahniah

Tahniah untuk Abang Long (Mohd Faiz M.Noor) atas pertunangannya dengan Noradilah Suleiman pada 31/12 yang lalu.

Abang Long dapat orang Tangkak rupanya.

al_jantanie
manhumi_ilm

14 - Aku Cuma Si Kecil

Sajak ini di tulis setelah setahun berada di Mesir, di awal-awal tahun kedua pengajian.

Sajak : Aku cuma Si Kecil
Oleh : al_jantanie

Aku cuma Si Kecil,
Yang entah bila akan besar.

Aku cuma Si Kecil,
Berdiri tidak kukuh,
Melangkah tidak jauh,
Terbang tidak tinggi,
Tetapi kecilku,
Kecil tapak tangan,
Nyiru aku tadahkan.

Aku cuma Si Kecil,
Tidak perlu hingga dijulang,
Semakin tinggi,
semakin jauh
Dari orang,
Semakin tinggi,
semakin hilang
Dari pandangan.

Aku cuma Si Kecil,
Dikutip tidak menambah,
Dibuang tidak mengurang,
Tetapi yang bertambah berkurang,
Itulah kemanusiaan.

Aku cuma Si Kecil,
Tetapi lebih besar,
Daripada Si Besar yang berjiwa kecil.

Aku cuma Si Kecil,
Yang mempersoalkan,
Mengapa kita terlalu mengisahkan,
Kecil besar,
Bukankah yang kecil itu kita,
Yang besar itu Tuhan,
Menyatakan,
Engkau juga kecil di sisi Tuhan.

Aku cuma Si Kecil.

1 Ramadhan 142515 Oktober 2004
6.55 malam – Kaherah.

al-Yakin

Majalah : SUKEJ
Edisi : 105
Kolum : Thaqafah
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Thaqafah : al-Yakin
Oleh : al_jantanie

Perkataan 'yakin' seringkali kita gunakan dalam kehidupan kita seharian, satu kalimah yang diambil cedok daripada bahasa arab, seringkali dapat kita lihat penggunaannya sama ada dalam kitab, buku-buku ilmiah, penulisan kreatif, hinggalah ke sumber asal pengistilahannya, iaitu di dalam al-quran al-karim.

Al-quran merakamkan beberapa ayat yang menggunakan perkataan ini dengan pelbagai maksud, dan akan cuba dikupas oleh Thaqafah pada kali ini. Dapat kita lihat, beberapa ayat yang menggunakan masdar (al-yakin), ada juga beberapa ayat yang menggunakannya dalam isim fa'el ( muuqinun / muuqinin / mustaiqinin), juga beberapa ayat yang menggunakannya dalam bentuk fe'el (yuuqinun / tuuqinun).

Beberapa kisah yang dirakamkan dalam al-quran turut menggunakan kalimah ini. Perhatikan surah an-Namlu ayat 22 yang mafhumnya: (Maka tidak berapa lama kemudian datanglah hud-hud lalu berkata: Saya mengetahui apa yang belum kamu ketahui, dan saya bawakan dari Saba' satu perkhabaran yang diyakini). Juga daripada surah An-Nisa' ayat 157 yang mafhumnya : ( Dan kerana perkataan mereka: Sesengguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa anak Maryam, seorang rasul Allah. Padahal bukanlah mereka membunuhnya dan bukan pula menyalibnya, melainkan orang yang serupa dia. Sesungguhnya orang yang berselisih pendapat tentang Isa itu dalam keraguan, bukanlah dengan pengetahuan, melainkan menurut dugaan sahaja, dan tidaklah mereka membunuh Isa dengan yakin).

Perhatikan pula surah al-An'am ayat 75 yang bermaksud: (Demikianlah kami perlihatkan kepada Ibrahim kerajaan langit dan bumi, supaya ia termasuk daripada kalangan orang-orang yang yakin). Lihat juga surah as-Sajadah ayat 12 yang mafhumnya: (Kalau sekiranya engkau lihat, ketika orang-orang yang berdosa menundukkan kepalanya di sisi Tuhannya, lalu berkata : Ya Tuhan Kami, Kami telah lihat dan kami telah dengar siksa yang kami mungkiri masa dulu, sebab itu kembalikanlah kami ke atas dunia, supaya kami beramal salih, sesungguhnya kami telah yakin)

Maksud Yakin

Kalimah yakin ini telah membawa beberapa maksud. Merujuk kepada Kamus Mu'jam Asasi, yakin membawa maksud: 1.suatu ilmu yang diketahui oleh insan tanpa syak padanya. 2.mati. Al-Quran merakamkan beberapa ayat yang merujuk kepada maknanya yang pertama, antaranya daripada surah al-Waqi'ah ayat 95 (Sesungguhnya ini adalah sebenar-benar yakin). Juga daripada surah al-Haqqah ayat 51 (Dan sesungguhnya quran itu kebenaran yang seyakin-yakinnya).

Beberapa contoh penggunaan dalam maknanya yang kedua, daripada surah al-Hijru ayat 99 : Dan sembahlah Tuhanmu sehingga sampai kepadamu yakin (mati). Juga lihat daripada surah al-Muddasir ayat 47 : Sehingga datang kepada kami keyakinan (mati).

Yakin adalah mati
Daripada terjemahan surah al-Hijru ayat 99 dan surah al-Muddasir ayat 47 di atas, kita dapat mengetahui bahawa yakin juga membawa maksud mati.

Kalimah yakin yang membawa maksud mati dalam surah al-Hijr ayat 99 itu telah di sabitkan maknanya berdasarkan satu riwayat oleh Imam Bukhari, berkata Salim ibn Abdullah ibn Umar: yakin adalah mati. Diriwayatkan juga oleh Ibn Jarir daripada Muhammad ibn Basyar, daripada Yahya ibn Sa'eid, daripada Sufian, daripada Thariq ibn Abdurrahman, daripada Salim ibn Abdullah: yakin adalah mati.

Daripada Surah al-Muddasir ayat 42 hingga 47, Allah menceritakan tentang ahli neraka dalam firmanNya (Apakah sebabnya kamu masuk neraka?. Sahut mereka itu: Kami tidak sembahyang. Dan tidak pula memberi makan orang miskin. Dan kami telah masuk ke dalam kebatilan, bersama-sama orang yang masuk ke dalamnya. Dan Kami telah mendustakan hari pembalasan. Sehingga datang kepada kami yakin (mati). Sebagai bukti terakhir daripada penulis bahawa yakin membawa maksud mati, sila rujuk hadis ke 1243 daripada Sahih Bukhari.

Silap Tafsiran kepada yakin

Terdapat golongan yang menafikan bahawa kalimah yakin membawa maksud mati, menyebabkan salah tafsiran kepada ayat daripada surah al-Hijru ayat 99 : Dan sembahlah Tuhanmu sehingga sampai kepadamu yakin (mati).Apabila golongan ini cuba memaknakan yakin dengan makna 'pengetahuan yang diyakini' (makrifah), mereka telah mengeluarkan hukum bahawa solat adalah tidak wajib setelah seseorang itu mencapai peringkat makrifah.

Lihat ayat di atas yang mana perkataan yakin di maknakan dengan makna makrifah. (Dan sembahlah Tuhanmu sehingga sampai kepadamu yakin- makrifah). Mereka mentafsirkan bahawa Allah menyuruh mereka menyembahNya (solat) hanya dalam tempoh mereka cuba sampai ke peringkat makrifatullah. Apabila mereka telah sampai ke peringkat makrifah ini, maka ibadat tidak lagi wajib ke atas mereka, kerana telah gugur taklif daripada mereka.

Imam Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quranul A'zim menyatakan 'bahawa pendapat ini kufur dan sesat, kerana Nabi-Nabi terdahulu adalah orang yang paling tahu di sisi Allah, orang yang paling faham dengan hak-hak tuhan, malah mereka adalah manusia yang paling taabbud dan banyak ibadahnya, serta sentiasa melazimi amal kebaikan', (tetapi tidak meninggalkan solat).

Dalil wajibnya solat, seterusnya membatalkan takrifan mereka itu, : daripada kitab Sahih Bukhari, r.a. sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda yang maknanya: (Sembahyanglah dalam keadaan berdiri, jika engkau tidak mampu, maka dalam keadaan duduk, jika engkau tidak mampu, maka dalam keadaan baring. )

Doktor Wahbah Zuhaili dalam kitabnya Tafsir al-Munir menyatakan " seseorang muslim dituntut secara wajib untuk beribadat iaitu solat secara berterusan sehingga mati, selama mana dia tidak berada dalam keadaan pengsan atau hilang kesedaran, dan Islam itu bertimbang rasa lagi mudah, diwajibkan solat ke atas setiap individu dengan mana-mana keadaan yang dia mampu, tidak gugur kewajipan kecuali pada yang koma, malah akan dihisab atas tiap-tiap solat fardu yang ditinggalkan atau dicuaikan secara senghaja, seperti mana sabda Nabi Isa a.s. : (diwasiatkanNya kepadaku mengerjakan sembahyang dan membayar zakat selama mana aku masih hidup………surah maryam, ayat 31)

Sheikh Mohd Ali As-Shobuni dalam kitabnya Sofwatut Tafasir menyatakan sebab dinamakan maut dengan yakin, kerana maut itu diyakini berlakunya (oleh semua orang yang beriman mahupun tidak).

Rujukan
Tafsir Quran Karim oleh Professor Dr. Hj. Mahmud Yunus
Kitab Fathul Bari Syarah Shahih Bukhari.
Tafsir al-Quran al-A'zim Lil Imam Ibn Kathir
Tafsirul Munir oleh Doktor Wahbah Zuhaili
Sofwatut Tafasir oleh Sheikh Mohd Ali As-Shobuni

Tiga

Majalah : SUKEJ
Edisi : 105
Kolum : Pendapat
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Pendapat : Tiga
Oleh : al_jantanie

Segala puji bagi Allah yang melimpahkan ide, moga ada yang terus menadahnya. Salam atas junjungan mulia, beserta selawat untuk mu Baginda. Menyimpan, memproses dan meluahkan, ‘tiga’ yang penulis maksudkan.


Setiap kita mampu untuk mengingat. Ada yang ingatannya kuat, ada juga yang lemah. Penulis tidak bercadang membincangkan sebab-sebabnya pada kali ini. Kebolehan kita mengingat ada disebut di dalam al-Quran, contohnya dalam surah al-Baqarah ayat 235:

(علم الله أنكم ستذكرونهن)

Mafhumnya:….Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan-perempuan itu…

Namun, kebolehan mengingat itu boleh hilang. Perhatikan ayat daripada surah Yasin ayat 68:


( ومن نعمره ننكسه فى الخلق أفلا تعقلون )

Mafhumnya: Dan sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, maka akan Kami kembalikannya kepada kejadiannya (seperti kecil dahulu, menjadi lupa dan kebudak-budakan) apakah kamu tidak memikirkannya.

Dalam ayat tersebut menyatakan bahawa manusia boleh kehilangan kebolehan mengingat ini. Inilah kebolehan pertama yang penulis cuba kupas dalam Pendapat kali ini.

Keduanya, berfikir. Semua orang mampu berfikir dengan kurniaan akal yang dianugerahkan kepada kita. Kebolehan kita berfikir ada dinyatakan dalam surah Al-Qasas, ayat 60:

( ...وما عند الله خير وأبقى افلا تعقلون)

Mafhumnya: Dan barang yang di sisi Allah itu lebih baik dan lebih kekal. Apakah kamu tidak memikirkannya?.

Perlu difahami, Allah sentiasa menggalakkan hambaNya berfikir. Perkara ini ada dinyatakan dalam surah Yusuf ayat 2:

( إنا أنزلناه قرأنا عربيا لعلكم تعقلون )

Mafhumnya: Sesungguhnya Kami turunkan Quran itu dalam bahasa Arab, moga-moga kamu memikirkannya.

Ketiganya, kebolehan menyampaikan. Manusia diberi kebolehan menyampaikan apa-apa yang ada difikirannya dengan suara, tulisan mahupun dengan perbuatan. Kebolehan manusia menyampaikan sesuatu maksud dengan tulisan ada dinyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 282:

( وليكتب بينكم كاتب بالعدل... ...)

Mafhumnya: …dan hendaklah ada antara kamu menulis ( hutang ) dengan adil…

Kebolehan manusia menyampaikan sesuatu maksud dengan suara juga ada dinyatakan dalam al-Quran, sebagaimana dalam surah An-Nur ayat 54:

(... قل أطيعوا الله وأطيعوا الرسول… )

Mafhumnya: Katakanlah wahai Muhammad (kepada mereka): Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada RasulNya…

Sekali lagi, kebolehan manusia menyampaikan sesuatu maksud dengan perbuatan turut dinyatakan dalam al-Quran, sepertimana dalam surah An-Nahlu ayat 125:


( ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة... )

Mafhumnya: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik…

Kita memiliki ketiga-tiganya


Boleh disebut di sini bahawa setiap kita mempunyai tiga kebolehan ini. Boleh mengingat, boleh berfikir, boleh menyampaikan, walaupun setiap daya kebolehan ini berbeza di antara satu individu dengan yang lain. Di antara tiga kebolehan ini, yang manakah paling kita suka? Suka mengingat? Suka berfikir? Ataupun suka menyampaikan?

Mengapa soalan ini ditanyakan? Pertama, terkadang kita cenderung meniru orang lain, padahal dia adalah dia, dan kita adalah kita. Mungkin dia hebat dalam sesuatu perkara, tetapi itu bukanlah satu kehebatan di pihak kita pula. Apa yang penulis cuba sampaikan ialah satu latihan mengenali diri sendiri, ada kebolehan yang kita punyai, tetapi malangnya ia tidak digilap, akhirnya tidak bersinar.

Sekali lagi, sesuatu yang bukan kebolehan kita, digilap, terasa sukar, ibarat mengasah belakang parang, walaupun boleh tajam, tetapi amat mengambil masa. Begitu juga kita. Bukankah lebih baik kita asah depan parang terlebih dahulu, kerana ia lebih berpotensi untuk menjadi lebih tajam! Tidak lama, sinarnya akan lebih cerah dan menyilaukan mata.

Sekiranya anda minat untuk mengingat, anda berpotensi untuk menghafaz. Gunakan ia untuk menghafaz al-Quran sehingga tamam 30 juzu’, gunakan ia untuk menghafaz hadis beserta dengan rawinya sekali. Umat Islam amat dahaga orang seperti Imam Hanbali ini. Begitu juga sekiranya anda minat berfikir, zaman ini sudah begitu banyak isu yang boleh dikupas, begitu banyak masalah yang perlu diselesaikan. Minat menyampaikan? Pilihlah sama ada dengan tulisan atau dengan pertuturan. Kemungkinan anda boleh menguasai kedua-duanya, walaupun ia agak sukar.

Mungkin orang yang anda lihat berbakat dalam pertuturan, sedangkan kelebihan anda adalah dalam hafazan. Kenapa perlu menipu diri dan menjadi orang lain?. Kenali kelebihan diri, bintang anda akan terus bersinar dan cerah. Kebolehan yang menanti diasah perlukan usaha anda menggilapnya. Setelah kebolehan itu cukup jitu, kita dapat melihat kesannya.

Tidak salah memahirkan diri dalam bidang yang kurang potensi, kerana kita dapat lihat ulama-ulama terdahulu, masing-masing tersohor dalam pelbagai bidang. Imam Syafie contohnya, bukan sahaja mahir bertutur, malah mahir menulis. Bukan sahaja mahir dalam feqh, tetapi juga mahir dalam bahasa dan syair. Beliau bukan sahaja hebat hafazannya malah hebat cara berfikir dan menyampaikannya juga. Menggilap kelebihan sehingga bersinar, cahayanya dapat kita lihat sehingga ke hari ini.

Akan tetapi, jangan risau sekiranya anda kurang dalam satu bidang, kerana anda sebenarnya mempunyai satu kelebihan dalam bidang yang lain. Dan juga, teruskan memahirkan diri walaupun dalam bidang yang kurang menyerlah. Asahlah juga belakang parang, tidak mustahil ia boleh jadi setajam depan parang. Mungkinkah akan lahir seorang lagi Imam Syafie di zaman ini?

Tiga kebolehan ini, ada dinyatakan di dalam al-Quran. Perhatikan sebuah kisah yang mengakhiri artikel ini, perhatikan proses berfikir, mengingat dan menyampaikan berlaku dalam sebuah kisah yang dipetik daripada surah Al-Baqarah ayat 259, mafhumnya : atau (apakah kamu tidak memperhatikan) orang yang melalui satu negeri yang (temboknya) telah roboh menutupi atapnya. Dia berkata: Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?-( BERFIKIR ) Maka Allah mematikan orang itu seratus tahun, kemudian menghidupkannya kembali. Allah bertanya: Berapa lama kamu tinggal di sini? Ia menjawab: Saya telah tinggal di sini sehari atau setengah hari.-( MENGINGAT) Allah berfirman: sebenarnya kamu telah tinggal di sini seratus tahun lamanya; lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum lagi berubah, dan lihatlah kepada keldaimu (yang telah menjadi belulang) Kami akan jadikan kamu tanda kekuasaan Kami bagi manusia, dan lihatlah kepada belulang keldai itu, kemudian Kami menyusunnya kembali, kemudian Kami membalutnya dengan daging. Maka tatkala telah nyata kepadanya (bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati) dia pun berkata: Saya yakin bahwa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. --(MENYAMPAIKAN )