Showing posts with label Psikologi. Show all posts
Showing posts with label Psikologi. Show all posts

Wednesday, November 28, 2012

Di Sini Kutemukan 11: Izaa Tabarromti

Dulu, di awal-awal saya mengenali internet, saya memang kemaruk. Tetapi sekarang, tahap ketagihan itu sudah tidak ada. Sudah kadang-kadang tidak tahu hendak membuka laman apa. Apatah lagi untuk mencari maklumat dari internet. Mungkin kerana saya mempunyai minat yang terhad. Mungkin sebab saya selalu hanyut dalam kerja dan tugas saya, atau kerana sikap saya hanya mengambil tahu perkara yang benar-benar penting, selebihnya saya tangguhkan dahulu. Seperti mana maksud sabda Baginda s.a.w. "Di antara tanda keelokan islam seseorang itu adalah, meninggalkan perkara yang tidak penting baginya." Atau kerana saya tidak punya memori yang cukup untuk menangani semua isu hingga kadang-kadang atau selalu juga, yang penting pun saya terabaikan.


Apatah lagi untuk mencari maklumat. Semacam tidak pernah. Hinggalah tadi, rasanya baru tadi, semacam buat kali pertama saya bingung dan terdesak mencari jawapan dari internet. Memang jawapan ada di sini. Mungkin sikap saya tidak suka bergantung kepada internet untuk mencari jawapan. Mungkin juga kerana saya tidak meyakini tahap kesahihan data yang dipamerkan di internet adalah tinggi. Hinggalah tadi, saya betul-betul bingung untuk mencari jawapan. Dan yang saya cari adalah, cara memujuk wanita.

Sejak kecil hingga besar, saya tidak melatih diri saya memujuk orang lain. Saya kerap bersabar, pasrah, menahan sakit di dalam hati. Memujuk diri sendiri itu ada, tetapi memujuk orang lain tidak. Kalau meminta maaf itu juga boleh dianggap sebagai memujuk, mungkin itulah satu-satunya yang saya lakukan. Mungkin juga kerana sikap saya tidak mahu memaksa orang, saya jadi tidak suka memujuk. Atau kerana saya seorang yang kasar, yang tidak merealisasikan perkaranya dengan pujukan, tetapi gesaan. Atau sebab saya seorang yang teorikal, lalu sentiasa cuba menyelesaikan perkara secara logik, lalu akan berbahas akan benar tidaknya sesuatu, lalu juga akan memberikan peluang kepada pihak lain menimbang perkara secara wajar dan memberikan hujah balas setimpal dalam sesuatu isu.

Saya menemui beberapa jawapan dari pelbagai jenis blog dan web. Syukur Alhamdulillah. Terasa jahil betul akan teknologi maklumat. Ini adalah yang saya temui dari blog cintaimaginasi. Pertama adalah dengan menerangkan perkara yang sebenar dan bercakap benar, berterus terang. Tetapi ia tidak dapat dilakukan sekiranya anda tidak mengetahui sebab mengapa dia merajuk. Apatah lagi sekiranya anda pula tidak dapat mengawal laras bahasa hingga menjadi kasar dan bernada tinggi, bercakap hanya akan memburukkan keadaan. Berdiam dalam keadaan itu adalah lebih baik.

Kedua, bertolak ansur, bijak membuat keputusan, dan mengalah. Ini juga memerlukan anda memahami mengapa dia merajuk. Ketiga, ucapkanlah kata-kata yang manis, panggilan-panggilan sayang, seperti bucuk, comot, manja dan lain-lain. Keempat adalah menyanyikan lagu untuknya. Tetapi janganlah pilih lagu yang tidak membantu seperti lagu rock yang entah apa-apa. Menurut penulis, inilah cara paling ultimate.

Dari web Hazmin pula saya menemukan beberapa jawapan di atas, dan beberapa jawapan tambahan. Pertama, dengan tersenyum tidak kira apa respon yang anda terima. Teruskan tersenyum. Mungkin ia berdasarkan maksud sabda Baginda s.a.w. "Seorang mukmin itu adalah cerminan kepada saudaranya." Mungkin dengan tersenyum, senyuman itu akan menjangkit kepada yang sedang merajuk. Kedua, adalah dengan membuat lawak. Tetapi pastikan mood sesuai, atau ia akan memburukkan keadaan. Pastikan juga ia kelakar dan menggelakkan. Tips ini barangkali sukar sekiranya anda seorang yang serius dan tidak bersikap suka membuat lawak. Seperti pepatah Inggeris, "Laughter is the best medicine."

Ketiga adalah membelikan hadiah. Ia baik, dan perlulah mengeluarkan sedikit kos. Apatah lagi sekiranya ia berupa kejutan, hadiah mengejut, ia akan lebih berkesan. Yang sukarnya jika dia seorang yang materialistik. Tetapi jika dia suka menerima apa saja seadanya, ia lebih mudah. Jangan lupa menulis kata-kata maaf pada hadiah tersebut. Keempat, dengan menghantar sms, mms dan yang seangkatan dengannya. Kelima, iaitu langkah yang tidak dicadangkan, dengan tidak mempedulikan merajuk tersebut dan mengabaikannya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Menurut penulis, ia sama ada berkesan atau hanya akan memburukkan keadaan. Keenam, adalah dengan merajuk semula, dan apabila kedua-dua orang merajuk, salah seorang terpaksa mengalah.

Dari blog Shidarina pula saya menemukan beberapa jawapan di atas dan beberapa lagi cara tambahan. Pertama, adalah memasak untuk dia, dan kalau dah tak reti sangat, mee maggie pun boleh. Tapi cara ini memerlukan anda mengetahui makanan kegemarannya, dan bukannya makanan yang dia tidak suka. Kedua, memberikan ruang dan waktu untuk dia memujuk dirinya sendiri. Tetapi anda perlu bersabar menunggu dan berjarak. Ketiga adalah dengan duduk berbincang dengannya. Tetapi perlu mencari waktu dan mood yang sesuai, bahkan menggunakan ayat yang sopan. Keempat, adalah dengan menghadap Tuhan dan berdoa memohon. Cara ini paling praktikal bagi saya, tetapi perlu kesabaran menunggu dan keyakinan.

Dari blog Tarabassing pula saya menemui beberapa jawapan di atas, dan beberapa jawapan tambahan. Pertama, adalah dengan memohon maaf setelah memberikannya waktu menenangkan diri. Ucapan maaf perlulah ikhlas. Waktu memohon maaf adalah penting, dan bukannya ketika dia dalam keadaan menolak segala cakap anda. Pandai bercakap juga penting, kerana silap bercakap lain padahnya. Berdiam lebih selamat. Kedua, adalah dengan tidak memaksanya menerima penjelasan anda. Berikan penjelasan bila dipinta.

Dari sekelian yang di atas, saya membuat kesimpulan. Pertama, tiada manusia mempunyai dua hati, seperti maksud firman Allah, "tidaklah Allah menjadikan untuk seseorang itu dua hati di dalam dadanya", dan tiada orang boleh mengumpulkan dua perasaan yang bertentangan dalam satu masa. Mungkin marah dan merajuk boleh berkumpul sama, tetapi tidak boleh terhimpun gembira dan merajuk dalam satu masa. Salah satu perasaan akan menang. Kerana itu tips-tips banyak berkaitan menukarkan mood kepada mood terharu, mood gembira ketawa, dan lain-lain. Kedua, kebanyakan tips adalah sekitar memohon maaf dan merendahkan ego. Kalau anda berego tinggi dan enggan mengaku salah atau enggan mengalah, atau tidak mengetahui apakah kesalahan anda, atau enggan memohon maaf selagi tidak mengetahui silap anda, memujuk adalah sukar.

Ketiga, sukar membezakan antara merajuk dan menahan marah. Bagi saya, perempuan selalunya merajuk, dan lelaki selalunya menahan marah. Kedua-dunya seperti sama, iaitu menukarkan seseorang itu menjadi berdiam diri dan hanya memaparkan reaksi kurang senang. Tetapi ramai perempuan menggelar saya merajuk padahal saya menahan marah. Merajuk tidak semestinya kerana sakit hati, kadangkala sekadar untuk mendapatkan perhatian. Keempat, dalam apa-apa takrifan pun, semua ini sangat memenatkan. Kalau tidak sabar ia adalah bahaya. Kerana itu, tidak elok selalu merajuk. Belajarlah redha, menerima, sabar, berlapang dada, berasa cukup dan syukur, akur dengan ketentuan ilahi dan sedarlah bahawa ia adalah ujian Tuhan, bahkan itulah ujaran Tuhan dan menyatakan di manakah sebenarnya letak dirimu.

Baginda s.a.w. tidak pernah merajuk, dan tidak pernah mengambil hati. Tidak pernah melenting apabila hak diri Baginda digugat, dirampas, dinafikan. Baginda hanya marah kerana Allah, dan apabila ia berkaitan dengan hak Allah. Bahkan Baginda boleh ketawa bila menghadapi perkara yang memarahkan, tanda lapangnya hati Baginda, dan matangnya fikiran Baginda. Sollu 'ala n-Nabiy.

Saturday, October 16, 2010

Catatan Hujung Kembara 51 | Yang Menjadi Sanjungan Setiap Masa

Sebetulnya, saya ada dua perangai yang selalu saya kesalkan setelah terlajak laku. Pertama adalah suka bergurau, hingga apabila tidak berhati-hati, saya kerap menyesali. Walaupun sebetulnya bergurau bukan tabiat asal saya. Ia dibentuk bermula tingkatan empat di sekolah menengah dahulu oleh kawan baik saya, Abdu r-Rahman. Tetapi beliau cekap berhati-hati, itu yang saya tidak sempat belajar darinya.

Namun, dia mengajarkan sikap ini bukan kerana saja-saja, tetapi kerana saya mempunyai sikap yang kedua, iaitu terlalu serius, dan apabila tidak dikawal, ia dituruti bertukar kepada panas baran. Itu barulah sifat sebenarnya saya. Dan kini, saya memiliki kedua-duanya, dan orang yang selalu cuba mendidik sikap panas baran saya adalah ibu, sehingga ketika dia membelikan saya motor dia berkata, supaya saya boleh belajar bersabar.

Kerana itu, saya ingin memohon maaf kepada sesiapa saja kalau-kalau ada laku yang melukakan timbul dari dua kekesalan saya, bahawa saya juga masih dalam peringkat belajar. Kalau dapat, saya tidak mahu memikul rasa bersalah kepada sesiapa ketika pulang ke tanah air kelak. Dan, doakan sama kita akan berjaya menjejaki akhlak kekasih terutama, yang menjadi sanjungan setiap masa.

Saturday, October 31, 2009

Hikmah Robbaaniiyah

Saya selalu berfikir begini sejak akhir-akhir ini. Bahawa - kita boleh belajar dan menyerapkan ilmu ke akal, tetapi kita memerlukan hikmah robbaniyah sebelum kita boleh menyerapkan ilmu itu ke darah dan hati lalu terjelmalah ke seluruh kita.

Hikmah robbaniyah ini terlalu mahal, bahawa kita boleh saja mencarikan ilmu dan pemiliknya. Tetapi menyerapkannya ke dalam hati perlu kepada hikmah robbaniyah ini. Mungkin ia seperti menjiwai, tetapi jiwa itu perlu pada ruh, dan ruh itu adalah rahsia Tuhan.

Ia seperti hidayah Tuhan. Robbanaa, waffiqna li ma tuhibbu wa tar-dhoohu.

Wednesday, December 31, 2008

Dirosakkan, Merosakkan, Dan Menjadi Rosak; Selangkah Memahami Hakikat Kemakhlukan Diri

Saya melalui iklim yang berbeza dalam tempoh 5 bulan terakhir ini, lantas menukar pelbagai keadaan yang selalu saya rutini dahulu. Iklim tersebut adalah merujuk kepada penginapan, atau jumlah pakaian, atau barang-barang keperluan harian. Termasuk komputer yang dahulunya menjadi antara barang yang kerap digunakan, kini turun ke tahap ‘bila perlu’. Saya masih juga berasa sedih kerana kecelaruan ini kadang kala. Intaha.Noktah.

Jiwa manusia, adalah sama hakikatnya dengan kejadiannya. Ia bersifat baharu, dan benda yang baharu boleh rosak, walau tanpa dirosakkan. Hakikat ini mengajari kita bahawa kita dan jiwa kita boleh rosak dengan pelbagai cara; sama ada dirosakkan oleh sesuatu, kita merosakkannya sendiri, atau ia menjadi rosak secara semula jadi.

Kerana itu kita berdepan dengan hakikat penjagaan. Seperti mana tubuh kita boleh sakit sekiranya disakiti oleh sesuatu, atau kita menyakitkan diri kita sendiri, atau secara semulajadi ia akan sakit, apabila ia berubah semakin tua dan buruk. Dalam konteks yang sama, hati dan jiwa kita juga mengalami proses yang sama, kerana berkongsi hakikat kejadian yang sama, iaitu baharu.

Hakikat penjagaan sangat penting, bukan kerana ia dapat mengelakkan daripada berlaku kerosakan secara mutlak dan sampai bila-bila, tetapi kerana penjagaan adalah pengimbang kepada keberhajatan kita kepadanya. Penjagaan itu perlu juga kepada tiga; dari dirosakkan, dari merosakkan, dan dari menjadi rosak secara semula jadi.

Ketika turun ke bumi Mesir di awal kedatangan ini dahulu, dalam satu liqa’ bersama dengan beberapa orang kawan, nasihat ini diperdengarkan. Untuk membaca al-Quran satu juzuk satu hari, dan bagi hafiz pula sekurang-kurangnya tiga juzuk satu hari. Lalu untuk orang awam, saya kira satu maqrak satu hari, lebih kurang dua hingga tiga muka. Hakikat ini adalah penjagaan ketiga; iaitu dari menjadi rosak secara semula jadi. Penjagaan pertama dan kedua, iaitu dari dirosakkan dan dari merosakkan, adalah dengan menghindari maksiat dan dosa. Dari didedahkan, dan dari mendedahkan diri sendiri kepadanya.

Hakikat dirosakkan, merosakkan dan menjadi rosak, kemudian hakikat penjagaan yang tiga ini; semuanya, mengajarkan hakikat kemakhlukan yang ada dalam hakikat kejadian kita. Kerana kita bukan maksum, penjagaan adalah usaha, dan usaha akan diganjari. Bahkan, kerosakan yang berlaku hatta pada jiwa perlu diperbaiki dengan usaha-usaha ini, bukan kerana ketidaktahanan tanggungan derita dengan kerosakan semata-mata, tetapi kerana pengimbang kepada hakikat kemakhlukan yang kita sifati. Intaha. Noktah.

Thursday, November 27, 2008

Jenis-Jenis Manusia; Empat Yang Saya Kenal

Saya pernah berjumpa dengan bermacam-macam jenis orang, walaupun saya percaya, masih banyak lagi jenis orang yang saya belum jumpa. Dalam sekelian banyak jenis orang, mereka yang saya jumpa (termasuk diri saya sendiri) boleh dibahagikan kepada beberapa jenis.

Pertama, mereka yang digerakkan oleh harta. Bermaksud, perlakuan mereka adalah didasarkan harta. Harta akan menyebabkan mereka bergerak untuk melakukan sesuatu. Contohnya, dia mempunyai sebuah rumah, dan kerana sayang pada rumah, dia menjaganya dengan baik, kerana rasa sayang mereka pada harta. Atau mereka dijanjikan upah apabila melakukan suatu kerja, maka kerja yang dilaksanakan, adalah digerakkan kerana harta.

Kedua, mereka digerakkan oleh maruah. Bermaksud, perlakuan mereka adalah didasarkan kepada maruah. Maruah akan menyebabkan mereka bergerak melakukan sesuatu. Kerana mempertahankan maruah, mereka sanggup bersusah payah dan menyempurnakan suatu kerja, kerana bagi mereka, tidak melakukannya bererti mencemarkan maruah. Walaupun dia tidak dibayar dengan sesen pun. Contohnya, dia diberi kepercayaan untuk melakukan satu tanggungjawab, dan tanggungjawab itu mereka selesaikan, kerana mereka ingin mempertahankan maruah mereka dari tercemar.

Ketiga, mereka yang digerakkan oleh niat. Bermaksud, perlakuan mereka adalah didasarkan kepada niat mereka di dalam hati. Niat mereka inilah yang akan menggerakkan mereka melakukan kerja. Ini bermakna, kalau niat mereka berubah, maka perbuatan mereka berubah. Kalau mereka jenis mudah berubah niat, perlakuan mereka juga akan berubah berdasarkan niat, kerana niatlah yang menjadi penyangga perlakuan mereka. Contohnya, dia berniat untuk pergi ke pasar, lalu dia bertolak ke pasar, kemudian kalau di tengah jalan dia berubah niat untuk pergi ke pasar raya, membatalkan perlakuan pergi ke pasar, dan menukarkan kepada pergi ke pasar raya ini.

Keempat, mereka yang digerakkan oleh kenamaan dan kemasyhuran yang terhasil kerananya. Bermaksud, perlakuan mereka adalah didasarkan kepada kemasyhuran yang terhasil sekiranya mereka menyelesaikan kerja ini. Kemasyhuran inilah yang menjadi tenaga penggerak kepada perlakuan mereka. Contohnya, dia diminta menyelesaikan suatu projek mega, dan projek ini akan menyebabkan namanya menjulang naik, lalu ia menjadi penyangga kepada perlakuannya untuk menyelesaikan projek ini.

Inilah empat jenis orang yang saya jumpa. Dan barangkali terdapat jenis-jenis yang lain, atau mempunyai jenis bercampur, tetapi salah satu akan mendominasi jenis yang lain. Mengapa perkara ini ditimbulkan? Kerana penyangga setiap orang selalu saja tidak sama. Apabila kita menyangka bahawa kalau kita memberikan mereka duit dan harta, kerja akan selesai, tetapi kedapatan ia masih juga tidak selesai. Kerana penyangga mereka, atau penyangga utama mereka bukan duit. Kadangkala kita menyangka mereka akan berasa malu kalau tanggungjawab dan kerja mereka tidak selesai, lalu mereka akan bersungguh-sungguh melaksanakan semua tanggungjawab, tetapi masih juga kedapatan mereka yang tebal muka dan seolah-olah tidak berasa malu walaupun tanggungjawab mereka tidak selesai. Kerana penyangga mereka, atau penyangga utama mereka bukanlah maruah, kerana itu mereka boleh berasa senang dan rehat, walau kerja mereka tidak selesai.

Kadangkala kita menyangka, bahawa mereka akan menyelesaikan suatu tugas, yang pada mulanya mereka lakukan, tetapi kedapatan mereka yang separuh jalan, atau berubah fikiran, atau sukar dibaca, kerana tindakan mereka adalah disangga oleh niat, dan kalau mereka berubah niat, mereka berubah tindakan. Dan kadangkala kita menyangka, mereka akan menyempurnakan rancangan dan pelan yang dirasakan begitu lengkap dan sempurna, tetapi rancangan itu tidak selesai, kerana nama mereka tidak akan harum walaupun rancangan itu berhasil, jadi untuk apa mereka menyelesaikan rancangan.

Kadangkala kita menyangka juga tiada apa yang bermasalah, tetapi kerja menjadi terbengkalai juga, kerana kedapatan mereka yang bencikan kenamaan, kedapatan mereka yang bencikan materialis dan bencikan sikap kebendaan, mereka bencikan dikawal niat dan kehendak mereka, maka keterhasilan kebendaan, keterhasilan kemasyhuran, keterhasilan kawalan niat untuk menyelesaikan kerja telah menyebabkan mereka membatalkan usaha dan perlakuan. Kerana keterhasilan perkara tersebut dari perlakuan tersebut. Ada orang yang tidak mahu mereka itu digelar materialis, ada orang tidak mahu kemasyhuran dan mahukan low profile, dan ada orang yang benci dikawal apa yang hendak dia lakukan, dan mahu berbuat sesuka hati.

Saya fikir, saya adalah jenis kedua, tetapi saya suka kalau saya disangga oleh niat yang kukuh dan tetap. Soalnya, dari jenis yang manakah kita ini?

Wednesday, October 22, 2008

Tiga Kalam Yang Mu-tsiir

Saya mahu menulis kalam-kalam yang mu-tsiir (mengesankan) dari sahabat-sahabat saya, yang selalu saya teringatkan kerana maksud yang tinggi di sebalik zahir lafaznya.

Faizul Hadi Montalib berkata; "..mengapa orang boleh beranggapan ilmu itu boleh tanpa adab"; ketika mempersoalkan sikap kita di hadapan ilmu.

Qistaz Mikraj @ Saja berkata; "..makan itu mesti kenyangkah" ketika menegur supaya jangan menurutkan nafsu makan dan mengurangkan tana'-'um dengan kesedapan dunia.

Ellyeen Amineen Mohd Salleh berkata; "..perempuan-perempuan yang cantik itu takkan belum berpunya" ketika mengingatkan kepentingan untuk menundukkan pandangan dan melupakan sebentar niat 'bercinta' bagi yang belum masanya.

Ketiga-tiga mutiara kalam ini adalah sinaran dan teguran yang bernilai, hingga selalu saya teringatkannya. Kalam yang benar, lahir dari kefahaman yang benar.

Dan sempena memperingati FKAMC; kalaulah saya mempunyai kuasa sebesar itu untuk mempromosi sebuah kamus, tentulah saya akan mempromosi Mukjam Asasi atau Wasit, dan mempergalak pembacaannya. Wallahu a'-lam.

Sunday, October 05, 2008

Dalam Dan Tulen

Selamat Hari Raya.

Pernah tak kita memikirkan walaupun sekali dalam kehidupan; sejauh manakah kasih dan sayang kita sebenarnya? Dalam manakah, dan tulen manakah sebenarnya kasih sayang kita kepada ibu bapa, kepada adik beradik kita, kepada kaum keluarga kita, kepada sahabat dan rakan kita, kepada guru-guru kita, atau sehinggalah kepada kekasih kita?

Adakah kita memang mengasihi dan menyayangi ibu bapa kita kerana merekalah yang akan memperkenankan belanja wang saku, memberikan keinginan dan memenuhi kehendak; kerana mereka memberikan perhatian dan tumpuan, lalu kerana itu kita mengaku kasih dan sayang; tetapi bagaimana pula kalau mereka mengabaikan kita, menafikan semua kemahuan kita, menganggap kewujudan kita sebagai menyusahkan, lalu adakah pula kerana itu kita menarik balik kasih sayang yang kita akui tadi? Adakah yang pertama itu kasih sayang kebendaan, kasih sayang bersebab dan kasih sayang bersyarat, dan kedua itu kebencian yang setaranya?

Adakah kita mengaku sayang pada sahabat dan kawan rapat kerana merekalah yang akan menemani kita, membenarkan kalam dan kehendak kita; kerana mereka peka dengan keinginan dan minat kita, lalu apakah kita masih boleh mengaku dengan pengakuan yang sama apabila mereka meninggalkan kita, membiarkan kita sendirian, tidak memperdulikan kalau-kalau kita dalam kesusahan, mengabaikan kewujudan lalu akhirnya kita menuturkan kata putus yang memutuskan gelaran? Lalu jenis apakah kasih sayang dari pengakuan yang tadi; kasih sayang minta berbalas, atau kasih sayang minta sepadan usaha dan tindakan?

Adakah benar kita mengaku kasih pada guru-guru kita, kerana mereka sentiasa memberikan tunjuk ajar, menuturkan kalam-kalam nasihat; kerana mereka bermuka senyum dan menambahkan semangat ke dalam hati; lalu apakah kalau mereka membatalkan kehendak mencurahkan ilmu, memasamkan muka, memarahi dan berkata kasar, menghancurkan keyakinan dan semangat kita lantas kita membenci dan menarik kembali rasa kasih sayang yang awal-awal tadi kita sangka, dan kemudian kita gantikan dengan kebencian? Jenis kasih sayang apakah yang kita kalungkan tadi untuk mereka; kasih sayang sama rata, atau kasih sayang ‘hanya yang baik-baik sahaja’?

Benarkah kasih sayang tadi, juga kasih sayang kita kepada semua; hingga pada adik beradik dan kekasih sekalipun; adakah kerana mereka berbudi kita berbahasa dan itulah dasar kasih, kemudian apabila mereka sudah kurang mesra dan jauh hubungan lalu kita tarik semula hati dan sayang kita? Lalu akan jadi apakah dengan nama kasih sayang yang kita namakan di awal tadi; kasih sayang ‘yang manis-manis sahaja’ atau kasih sayang ‘memberilah kalau hendak merasa’?

Kerapkah kita memikirkan, atas dasar apakah kasih sayang itu kita bina, dan atas sebab apakah ia akan runtuh tanpanya? Adakah kerana harta benda, kerana budi baik dan jasa; adakah kerana untung yang kita kecapi kerananya, kerana nilai tambah yang kita raih bersamanya; adakah kerana kegembiraan yang kita nikmati bersama, kerana hak sama rata yang kita peroleh dengannya? Lalu apabila ternafi semua alasan dan sebab, kita menarik semula kasih sayang yang kita namakan, lalu kita gantikan dengan kebencian dan dendam pula?

Lalu, kerana hal yang hilang dan ternafi, kita membenci ibu bapa yang pernah kita akukan kasih dan sayang; disebabkan manfaat yang terpadam dan lenyap, kita membenci sahabat yang selalu kita sabitkan kasih dan sayang kepadanya; kerana nilai-nilai positif hilang dan berganti yang ketidaksenangan, kita membenci guru dan mereka yang pernah kita kasihi kerananya? Bolehkah kita kekal dan tetap dengan kasih sayang yang sama, walau bagaimana mereka membalas kepada kita akhirnya?

Kemarahan dan rasa tidak senang adalah rasa yang benar. Semua manusia merasainya. Lalu, adakah kasih dan sayang kita juga benar, tulen, permata, atau dengan sebab-sebab tertentu boleh bertukar palsu, tiruan dan kaca? Kerana kita selalu akan teringatkan Tuhan tatkala Dia menguji dan mendatangkan bala atau bencana, lalu kasih sayang dan cinta yang kita pernah akukan di depan-Nya tidak harus ternafi, tidak harus bertukar hingga kita mempersoalkan qadar dan qadar-Nya, meragukan kasih sayang-Nya, tetapi terus dan terus mempertahankan rasa kasih dan sayang tadi dan menggandanya walau apa jawapan-Nya.

Saturday, August 16, 2008

Berfikiran Besar

Saya memiliki cita-cita yang besar, tetapi selalu berasa susah dengan orang yang berpemikiran kecil, sempit dan terkurung ini. Berjumpa dengan orang seperti ini selalu membuatkan saya berasa enggan berurusan lagi, atau memanjangkan kalam bicara bincang dan sebagainya. Saya kerap merasa benci dan meluat, dan apakah yang lebih malang lagi kalau ia cuma boleh tersimpan di dalam hati.

Menang debat pun tidak bererti banyak, kalau menang pun. Ia ibarat terima telinga kanan, angguk dan idea itu gugur semula ke bumi. Apatah lagi kalau tak menang debat, ia memang kerja sia-sia. Itu kerana orang yang berpemikiran kecil dan sempit ini memang susah mahu dilentur, atau sekurang-kurangnya membukakan fikiran untuk mencuba dulu, lihat hasil kemudian.

Apa yang lebih menyedihkan lagi, mereka bukan saja berfikiran kecil untuk diri, tetapi memaksakan pemikiran kecil untuk orang lain. Ini paling saya benci. Sama juga seperti perangai orang yang tidak membuat kerja diri, tetapi menghalang orang lain membuat kerjanya. Sikap dan pemikiran begini memang saya tentang, dan kalau tentangan itu disia-siakan, saya akan membuat dengan cara saya sendiri.

Memilih untuk berfikiran besar selalu akan membiarkan anda bersendirian barangkali, tetapi ia memberikan pilihan yang besar. Terpulang untuk anda bersungguh melaluinya, atau kembali dan cabut lari.

Friday, August 08, 2008

Keazaman Yang Menghasilkan Iltizam

'Keazaman yang menghasilkan iltizam' itu bukan terhasil hanya dengan memiliki persepsi yang betul sahaja. Keazaman yang menghasilkan iltizam itu memerlukan lebih dari sekadar persepsi yang betul, kerana ia juga memerlukan kepada kepaksaan dan kesungguhan. Kerana itulah kita akan mudah melihat, berapa ramai orang memiliki persepsi dan tanggapan yang betul, tetapi masih tidak berbuat apa-apa, tidak berhasil merealisasikan tanggapan yang mereka pegang.

'Keazaman yang menghasilkan iltizam' ini perlu kepada sikap 'bukan memanjakan diri', sebaliknya memaksa diri. Kerana itulah, keazaman ini akan memenatkan, menyakitkan, menyeksakan; dan kalau tidak kerana sikap paksa ini, maka ia tidak menjadi. Sebagai bangsa yang sudah dibiasakan tradisi memanjakan diri ini, 'keazaman yang menghasilkan iltizam' susah wujud. Kita menjadi pemanja diri yang mahu bersenang-senang, dan menolak semua kesusahan kepada orang lain.

Sikap memaksa diri, yang merupakan asas kepada azam dan iltizam, adalah sikap yang berperaturan. Dan lebih lagi, mematuhinya. Bolehkah kita memaksa diri, memakai keazaman yang menghasilkan iltizam ini?

Monday, July 28, 2008

Keras Dan Lembut

Sesuatu perkara berkaitan manusia dapat dipinda melalui dua cara. Sama ada dengan mengubahkan fikrahnya, atau mengubahkan perlakuannya. Mengubah fikrah, adalah jalan yang paling selalu digunakan oleh kita. Kita berusaha mengubah sesuatu berkaitan manusia, dengan mengubah cara dia berfikir, dan cara dia menanggapi sesuatu. Kita bercakap, kita menulis, kita menerangkan, agar cara berfikir dan cara dia menanggapi sesuatu akan berubah. Apabila perubahan dalam cara dia berfikir berhasil, maka secara tidak langsung, cepat atau lambat, kita akan dapat mengubah perlakuannya.

Cara kedua untuk mengubah sesuatu berkaitan manusia, adalah dengan mengubah perlakuannya. Cara ini agak sukar, kerana manusia itu akan dipaksakan melakukan suatu perlakuan yang bertentangan dengan fikrahnya. Cara ini agak keras, dan dengan paksaan seumpama ini, kita cuba mengubah sesuatu berkaitan manusia, dan ia diterima melalui anggotanya. Apabila anggota, tubuh, badan ini menerima perubahan perlakuan ini, secara tidak langsung, perubahan perlakuan ini akan menyerap masuk ke fikrahnya, lalu mengubah cara dia berfikir dan menganggapi.

Hakikatnya, kedua-dua cara mengubah sesuatu berkaitan manusia ini ada dalam dunia yang kita hidup, bahkan, kita lalui hari-hari tanpa kita sedari. Sama ada kita menyerap pindaan-pindaan ini melalui fikrah yang kita terima, baca, dengar, atau menyerap pindaan-pindaan ini melalui perbuatan, walaupun asalnya fikrah dan hati kita menentang. Walaupun ya, tidak semua usaha ini berjaya. Kedapatan fikrah-fikrah yang cuba disampaikan tidak mampu diterima, sama ada dengan cara mengubah fikrah, atau dengan cara mengubah perlakuannya.

Sebagai contoh mudah, seperti seorang pemandu jalan raya yang diajarkan fikrah bahawa memandu terlebih laju itu merbahaya, lalu menerimanya. Dan seorang pemandu lain yang melawan fikrah ini, menerimanya dengan cara paksaan terhadap perlakuannya, iaitu memandu lebih dari had laju akan dikenakan saman. Contoh ini, dan banyak lagi contoh ada dalam kehidupan kita. Soalnya, kalau anda di pihak pengubah, cara mana satukah yang anda akan pilih? Yang biasa, atau yang keras?

Kalau esok-esok anda menjadi guru, perkara ini akan selalu anda fikirkan. Anak-anak murid yang anda, mahu diserapkan apa dan bagaimana? Mengubah fikrahnya, atau ia perlu diserap melalui mengubahkan perlakuannya? Bahkan, tanpa menjadi guru pun anda berpeluang menemui keadaan ini berkali-kali. Dan, cara yang anda pilih, akan menunjukkan, adakah anda seorang yang lembut atau seorang yang keras.

Saturday, June 14, 2008

Dustur Kritikan, Falsafah Dan Teori

Apabila kita memilih untuk mengkritik orang lain, sebenarnya kita telah menjadikan diri kita sebagai seorang hakim, dan yang dikritik sebagai pesalah, atau yang didakwa. Hakikat pengkritikan ini memberi faham beberapa perkara; antaranya, kita perlu memiliki suatu dustur, perlembagaan atau undang-undang, yang mana dustur inilah digunakan sebagai garis panduan dalam menentukan, adakah orang dikritik ini bersalah, atau tidak. Apabila kita mengkiritik, pasti ada satu garis panduan di dalam fikiran kita, yang menjadi sumber penentuan terhadap suatu kes kritikan yang kita ingin bawa.

Hakikat ini memberi faham suatu hakikat yang lain. Iaitu, orang yang dikritik, mestilah menerima dustur yang kita pegang, sebagai dustur yang juga dia pegang. Kerana sekiranya ia memilih dustur lain sebagai kayu ukur, maka mahkamah kritikan ini tidak akan bererti langsung. Sebagai contoh, kita mengkritik seseorang berkaitan agama, lalu kita mengambil syariah sebagai sumber hukum, atau akhlak sebagai dustur, tetapi yang dikritik adalah seorang yang bukan beragama dengan agama tersebut. Lalu kritikan itu akan sia-sia, kerana dasar pegangan tidak sama.

Begitu juga apabila kita mengkritik sikap, maka tahap dan perlembagaan sikap yang digunapakai sebagai kayu ukur pengkritikan, mestilah dipegang sama oleh yang dikritik, barulah kritikan ini akan dikira berjaya. Contoh, sikap malas. Sekiranya yang dikritik tidak mengambil pakai sikap ini sebagai suatu yang patut dijauhi, kerana mungkin baginya sikap bermalas adalah satu sikap yang ada kebaikan; kerana mengurangkan kadar tekanan jiwa, stress, sakit pening barangkali, maka kritikan yang kita sampaikan hanya menjadi satu kata-kata yang sia-sia pada pandangan mereka, atau barangkali mereka merasa pelik dengan kritikan tersebut.

Seperti, adakah sikap meminjam demi kerana belajar ini baik, atau buruk, lalu kita memegang bahawa ia baik, kemudian mengkritik sesiapa saja yang tidak menyebelahi sistem ini. Kerana barangkali kita merasakan belajar adalah baik, dan usaha-usaha yang membantu kepadanya juga adalah baik. Tetapi kritikan ini akan menjadi pelik, dan sia-sia, bagi mereka yang memegang falsafah dan dustur bahawa meminjam itu sentiasa tidak baik, kerana barangkali bagi mereka ia ada risiko, atau walaupun tiada risiko, tetapi si pemiutang akan memikul beban peminjam, dan memberikan kesan negatif pada pihak penolong. Lalu, mereka yang berpegangan seperti ini akan merasa kelakar dengan kritikan kita, kerana sistem dan dustur pegangan dalam kayu ukur kritikan tidak sama.

Lalu, apabila kita tidak dapat menyamakan dustur, maka kritikan tidak dapat dibina. Ini hakikat di sebalik hakikat yang saya sebutkan tadi. Barangkali, ia tidak wajar digelar kritikan, tetapi pandangan, atau penghujahan, dan dalam pandangan dan penghujahan, pihak yang satu lagi bukan terhukum. Qodiah dan kes ini tidak sama. Kalau mereka memakai dustur yang sama, lalu ia dinamakan kritikan, dan pihak yang dikritik akan terhukum dengan sendirinya. Memahami hakikat ini sebenarnya memberi faham hakikat yang baru, iaitu, dalam mencari satu dustur (bukan agama yang hukumnya telah sabit) seperti dustur psikologi dan kejiwaan, kadangkala akan menemui satu kesusahan.

Dalam psikologi, atau dalam ruang yang lebih kecil; tanggapan; kita mungkin akan menemukan ketidakserasian pegangan dan tanggapan yang dijadikan dustur dan kayu ukur. Sebagai contoh, adakah kita merasakan kejayaan dalam peperiksaan itu suatu yang penting, atau tidak? Atau, adakah mengharapkan kejayaan dalam peperiksaan itu suatu yang agung atau tidak? Lalu, neraca dan kayu ukur yang sama membolehkan orang itu dikritik, dan mereka yang menggunakan kayu ukur yang lain, apabila mendengar kritikan ini akan berasa kelakar dan menggelikan hati, atau barangkali pelik.

Memahami hakikat ini akan mengilhamkan kita suatu hakikat di sebaliknya. Bahawa pensempadanan kita dalam dunia tanggapan akan terbentuk, dan laluan akan menjadi tidak sama. Kerana itu, kadangkala, untuk mengkritik mereka yang memegang tanggapan yang berbeza adalah sukar, kerana ia tidak mempunya titik temu. Bahkan, laluan yang berlainan akan membawa kita ke lain jihat dan sudut, dan barangkali, ke lain matlamat. Adakah kita merasakan kritikan kita itu akan diterima atau akan dibakulsampahkan sahaja?

Maka, dengan hakikat ini, kita memahami satu hakikat lain. Iaitu, kita terpaksa mewujudkan satu dustur, perlembagaan yang merangkumi apa saja jalan dan laluan, supaya mereka yang mempunyai perbezaan tanggapan masih boleh dikritik, dan dihukum. Lantas, kita dalam keterpaksaan, kita mewujudkan garis panduan, dustur, undang-undang yang jauh lebih umum dari perlembagaan kritikan yang kita pegang tadi. Supaya dengan keumuman itu, mereka semua akan termasuk dalam satu ruang yang boleh dkritik.

Apakah kita percaya, dengan kerana supaya kita dapat mengkritik, dan kritikan itu benar-benar kena dan dikira layak dinamakan kritikan, maka ia terpaksa melalui beberapa syarat; kita mempunyai suatu dustur kritikan, kita mengkritik kepada orang yang memegang dustur neraca yang sama; dan sekiranya tidak sama, kita terpaksa meluaskan kayu ukur, barangkali terpaksa bertasamuh dengan beberapa perkara yang bukan menjadi pegangan kita.

Kerana kita cuba menjadi hakim dalam mengkritik pihak lain. Dan, undang-undang kritikan yang kita pakai mestilah sama, atau kritikan itu akan jadi sia-sia, menggelikan hati, atau memelikkan, atau tidak layak dinamakan kritikan, dan harus ditukar kepada nama 'pandangan', 'idea lain', 'ittijah mu-'aakis; atau kita terpaksa melebarkan kayu ukur dan luas neraca timbang, membina semula dustur yang lebih umum dan lebih terbuka. Mewujudkan lebih banyak tasamuh dan timbang rasa.

Jadi, setelah semua ini, apakah pandangan anda terhadap kritikan yang anda berikan pada seseorang, akan ia diterima dan menyedarkan, atau ditolak dan diketawakan, atau didengar dan dipertimbangkan barangkali, kerana ia dianggap sebagai cadangan semata-mata?

Sunday, June 08, 2008

Subaa-'ie-nya Manusia; Dalam Konteks Tujuh-Tujuh

Manusia secara semulajadinya mempunyai tahap-tahap perwatakan yang disimbolkan oleh perubahan usianya. Bayinya, kanak-kanaknya, remajanya, belianya, dewasanya, tuanya, akan mengubah perwatakan dalaman, walau ia diselindungi oleh perwatakan luaran. Kerana itu, adalah tidak wajar kita melupakan hakikat ini, lantas menggauli mereka tidak sesuai dengan kondisi dalaman mereka.

Kefahaman ini, atau lebih tepat lagi, bertindak selari dengan kefahaman ini, adalah sangat penting, agar kita tidak tersalah mendarjatkan mereka dan bergaul dalam level tidak sepatutnya. Maksud saya apabila mencadangkan kita menguasai kefahaman ini adalah, memahami 'status dan tahap asas' perwatakan manusia. Pemahaman yang lebih dalam walaubagaimanapun tentulah lebih baik lagi.

Adalah tidak betul, apabila kita merasakan, kemampuan memahami 'status dan tahap asas' perwatakan manusia hanya perlu ketika kita sudah bergelar ayah, atau ibu, lantas perlu berdepan dengan kerenah anak-anak. Saya merasakan, apabila kita sudah mampu berfikir, maka sewajarnya kita berusaha memahami hakikat ini, dan mencapainya. Kerana, dalam kehidupan sehari-hari, kita akan berhadapan dengan sekian ramai manusia, termasuk keluarga dan kerabat saudara.

Dalam zaman yang didakwa bersifat mempunyai jaringan perhubungan terpantas dan terhebat ini sekalipun, kita masih lagi hidup dalam keterbatasan mengenali perwatakan manusia dalam levelnya yang paling asas. Dalam zaman hadarah dan tamadun yang cemerlang ini sekalipun, kita masih gagal menggauli manusia dalam tahapnya yang paling dasar.

Manusia seperti yang dibahagikan menurut pendapat ini adalah berdasarkan konsep umur subaa-ie, iaitu konsep umur tujuh-tujuh. Dalam bahasa yang lebih mudah, pembahagian tahap dan perwatakan manusia kepada setiap tujuh tahun. Demi kerana pembahagian ini berdasarkan konsep tujuh-tujuh, maka pergaulan harus diselaraskan semula setiap tujuh tahun. Anda punya anak umurnya tujuh tahun dan lapan tahun, maka pergaulan harus diselaraskan mengikut tahapnya. Anda punya adik berusia 14 tahun atau abang berusia 21 tahun, maka selaraskan pergaulan anda mengikut umur mereka.

Saya membentuk pendapat ini berdasarkan sebuah kalam, gholib zan saya ia adalah hadis, atau paling tidak kalam ulamak; yang hingga kini saya masih belum menemukan sumbernya yang paling sah. Tetapi, kalau kita boleh beramal dengan nasihat orang tua-tua, seperti biar lambat asal selamat, atau kalam hikmah seperti masa itu emas; kenapa terlalu prejudis terhadap hadis yang diiktibar sebagai dhoif kerana sanadnya, hingga dicampak buang sepak dan pijak, dalam masa yang sama kita masih lagi boleh pula beramal dengan kalam orang tua-tua, atau kata-kata hikmah? Bukankah pada hadis itu masih ada kemungkinan ia memang kalam Nabi, atau sekurang-kurangnya barangkali ada pengajaran dan hikmah yang memang boleh diambil pakai, seperti pengajaran dan hikmah yang diambil pakai dalam kata-kata orang tua yang entah siapa?

Kembali kepada tajuk. Sekalipun belum dapat memastikan kedudukan kalam ini, tetapi penelitian, tatabbu', mulahazah dan ta-'aqqub saya mendapati bahawa ia mengandungi hikmah yang tinggi, dan wajar diambil iktibar bahkan diamalkan. Iaitu, "bermainlah dengan mereka selama tujuh tahun, adabkanlah mereka selama tujuh tahun, dampingi mereka selama tujuh tahun, sahabati mereka selama tujuh tahun, dan jadikan diri contoh yang baik kepada mereka (untuk tahun-tahun berikutnya)."*

Peringkat pertama, peringkat bermain, selama tujuh tahun. Peringkat kedua, peringkat mengajar mereka adab, akhlak, selama tujuh tahun. Peringkat ketiga, peringkat mendampingi mereka, selama tujuh tahun. Peringkat keempat, peringkat bersahabat dengan mereka selama tujuh tahun. Dan peringkat kelima, peringkat menjadikan diri sebagai contoh yang baik dan tauladan.

Keseluruhan peringkat ini sebenarnya menjelaskan satu perkara tersirat, iaitu perbezaan kadar keterkesanan manusia, atau lebih tepat, perbezaan kadar penerimaan manusia terhadap taujihat luaran. Dalam tujuh tahun pertama, manusia berada dalam peringkat kosong, lalu disarankan bermain-main, dalam erti kata, berkasih sayang. Atau pada tahap ini, taujihat secara langsung sukar dipastikan kadar ke-terserap-annya dalam jiwa mereka.

Tujuh tahun kedua adalah tarbiah langsung, atau pendidikan direct. Ketika umur tujuh tahun inilah kanak-kanak diajar solat, dan kalau degil, dirotan ketika sudah berumur sepuluh. Tahap kedua ini sangat penting dalam marhalah tarbiah akhlak, di peringkat ini, mereka harus diadabkan dan kalau perlu, dirotan dan dimarahi dengan kadar yang mampu dan sesuai. Kerana apabila mereka masuk ke tahap tujuh tahun ketiga, pada umur 14 hingga 21, kadar serapan mereka terhadap taujihat akan berlaku secara tidak langsung, seperti lagaknya keterkesanan seorang junior kepada senior dalam masa mereka berdamping.

Kerana dalam umur ini, mereka sudah mula mampu berfikir dan menimbang untuk menerima taujihat luaran atau tidak. Kerana itu, umur 14 hingga 21 haruslah berlangsung banyak perdampingan, di mana keterkesanan secara tidak langsung terhasil dalam perdampingan ini. Peringkat keempat, bererti 22 tahun kepada 28 tahun adalah peringkat sahabat kepada sahabat, bukan lagi peringkat senior kepada junior, tetapi pergaulan adalah seperti orang yang sama tahap. Hubungan persahabatan, lain dengan hubungan perdampingan. Kedua-dua pihak akan layak saling menegur, walau berbeza umur.

Peringkat ini, bahkan peringkat di atasnya cukup menggambarkan betapa manusia apabila semakin meningkat dewasa, barangkali kerana ego yang makin tebal, keterserapan mereka berlaku secara tidak langsung, atau secara uswah hasanah, iaitu contoh yang baik. Semoga tulisan ini membawa kebaikan kepada kita, lalu kita mula mengira usia orang di sekeliling kita, kawan, sahabat, orang tua, hinggalah ke usia keluarga, abang adik, dan menilai semula perwatakan dalaman mereka, di tahap paling asas.

Nota: *: Wallahu a'-lam.

Thursday, May 08, 2008

Sangka

Sangkaan yang buruk itu terbit daripada dua asas yang utama, iaitu ketiadaan pembuktian, dan nilai negatif di dalamnya. Kerana, yang dinamakan sangka, adalah dzan, iaitu sesuatu yang belum dipastikan secara yakin. Kedua, kerana yang dinamakan sangka buruk, adalah apabila kenegatifan yang wujud mendominasi perasaan sangka-sangka itu.

Kerana itu, saya merasakan, bukanlah ia dinamakan sangka buruk, kalau kita sudah mempunyai bukti terhadap apa yang kita sangka, dengan keadaan di mana sangkaan itu bertukar menjadi yakin. Walaupun benar, sifat negatif yang wujud dalam sangkaan itu layak digelar pesimis, dan kalau kita memakai sikap positif ia boleh menjadi optimis.

Dan memang benar, sikap optimis dan pesimis bukan terhad kepada semata-mata sangkaan yang belum dibuktikan, bahkan pada sangkaan yang telah dibuktikan. Seperti contoh, sikap berat sebelah pertubuhan, penyelewengan dan ketidakamanahan persatuan, ketidaksedardirian pemimpin, atau kelembapan pengurusan kepimpinan, semua ini adalah sangkaan, dibuktikan atau tidak dibuktikan, akan menuju kepada satu daripada dua tanggapan, optimis atau pesimis.

Dalam banyak keadaan, sebahagian kita lebih mudah untuk pesimis dan sangka buruk yang menghala kepada kemungkinan seperti, 'ini gagal', atau 'tidak berjaya', atau 'lemah', atau yang seerti dengannya, daripada bersikap optimis dan berfikiran positif yang menuju kepada kemungkinan seperti 'ada harapan lagi', atau 'masih sempat', atau 'masih boleh', dan yang sepertinya.

Kerana itu, kita mudah rasa kagum kepada orang yang sangat optimis, barangkali setelah sebahagian kita putus asa untuk berfikiran positif kepada kesegalanegatifan ini, atau kalaupun bukan putus asa, kita barangkali sudah penat berhadapan dengan pe-negatif ini, atau pun kalau bukan penat, kita barangkali enggan lagi mahu mendengar ucapan-ucapan penyelamat diri atau kemintamaafan.

Terpulang pada anda untuk memilih.

Monday, April 28, 2008

Sombong Itukah Ego?

Sejak akhir-akhir ini, saya telah merasakan saya sudah menjadi terlalu sombong. Saya menjadi seorang yang keras kepala. Maksud saya, pada pendapat dan pegangan saya. Saya susah mahu mendengar pendapat orang lain, lagi-lagi pada perkara yang saya tahu benar. Pada urusan yang saya cam sangat. Pada pengalaman yang saya sendiri telah lalui.

Dan di saat-saat seperti ini, saya selalu terfikirkan. Adakah menjadi seorang yang semakin tua, atau semakin berusia, atau kesedaran bahawa umur saya makin lanjut telah menyebabkan saya menanam pemahaman sedemikian rupa. Atau adakah ia boleh digelarkan sebagai ego seorang lelaki yang umurnya makin meningkat dewasa, atau sebetulnya ego seorang yang berpengalaman dalam suatu urusan dalam hidupnya.

Kita hidup dalam keadaan mengenderai jalan tutur susun langkah kita. Kitalah pemandunya. Kemudian, apabila kesombongan ini merajai saya akhir-akhir ini, saya selalu terfikir, apakah dengan hujah akan mematahkan kesombongan ini, atau dengan pujukan, atau dengan sesuatu yang lain. Atau adakah kesombongan saya ini takkan patah, atau adakah kalau ia patah, ia akan merubah saya menjadi seorang yang berlainan seluruhnya?

Dalam sikap yang semakin sombong dan keras kepala ini saya selalu memikirkan, adakah saya secara tiba-tiba kehilangan sifat tasamuh dan rendah diri. Adakah saya secara faj-ah menjadi seorang yang terlalu jumud hingga enggan bertasamuh dengan perubahan yang berlaku di depan saya. Atau adakah sebenarnya saya masih memiliki semua tasamuh dan rendah diri, cuma tak boleh menerima hakikat kelainan yang saya tatapi di depan mata.

Atau adakah kekerasan kepala dan kesombongan saya ini adalah satu tanda saya sudah membentuk peribadi saya yang tersendiri, atau satu maziyyah saya sendiri? Bahkan soalan yang lebih utama, adakah kekerasan dan kesombongan sekarang inilah yang dinamakan ego seorang lelaki yang mana semua lelaki memilikinya?

Tentulah. Kerana saya tak ingin menjadi seorang yang sombong, keras kepala, apatah lagi keras hati, tiada tasamuh dan hilang rendah diri. Tetapi adakah kesombongan dan kekerasan kepala yang saya pegang sekarang ini salah, atau adakah ia sebenarnya adalah rumusan daripada pengalaman dan pegangan hidup saya selama ini? Atau mungkin intipati daripada ilmu milik diri atau rumus menghadapi ranjau hidup dan onak duri?

Itulah yang saya fikirkan. Dan saya suka mengambil kesimpulan pertama. Bahawa saya memang sudah menjadi seorang yang sombong dan keras kepala. Mungkin itu boleh menjelaskan mengapa sesetengah orang kurang senang dengan sikap saya.

Friday, December 21, 2007

Duit Modal CDRK

Duit modal CDRK telah kembali. Alhamdulillah. Dalam jumlah yang bersih. Setelah ditolakkan segala jenis belanja terdahulu, belanja-belanja tepi, upah dan bayaran.

Walaupun saya bertekad menjualnya dalam harga yang murah dan berpatutan, dan bagi sesetengah orang terlalu murah, saya masih tidak mengabaikan sifat mencari untung. Tetapi untung yang sedang-sedang. Bukan juga menjadikannya murah dengan sifat tak kisah rugi, tetapi dengan sifat mahu memudahkan orang beli. Atau sekurang-kurangnya, mereka boleh memperuntukkan duit yang selebihnya untuk tujuan yang lain. Bukankah kita sama-sama pelajar? Kita hidup dalam situasi bergantung pada bantuan ibu bapa keluarga, dan sama-sama bersifat memerlukan?

Barangkali kalau dalam dunia korporat, kita boleh mensasarkan keuntungan lebih, atau mengkadarkan harga menurut jenis pembeli sesuai dengan status, atau boleh saja menjadikannya beberapa harga. Untuk pelajar harga lain, untuk pekerja harga lain. Atau sebetulnya apakah hadaf kita yang asma dan arko bila kita cuba menerbitkan sebuah buku?

Kalau keuntungan, apakah keuntungan itu tidak boleh dicapai dengan harga yang berpatutan? Kalau nama, apakah tidak boleh ia dimurahkan? Dan kalau kerana ingin menyampaikan tulisan, adakah ia tidak wajar dengan harga yang bersesuaian? Apakah kita ingin menjadi orang-orang yang kita kutuk sebagai - penjual yang tak berperikemanusiaan, cekik darah - tetapi apabila berada di tempat mereka, kita melakukan perkara yang sama dan serupa?

Tidakkah itu menjadikan kita berada di kasut yang kita ludah, lalu ia mengering di tapak kaki kita?

Sebetulnya, saya tidak ada hak untuk berkata begini. Bahkan bukankah dengan izin Tuhan juga modal itu kembali, dan dengan izinnya juga saya boleh merasa lega dan syukur. Akan tetapi, saya kerap memikirkan – siapakah yang kita ingin jadi sebenarnya?

Pernah adik saya membangkitkan, betapa ‘jangan meletakkan harga yang murah sekalipun ia murah’, kerana manusia akan memandang rendah barang jualan kita. Lalu memandang sebelah mata. Lalu diabaikan begitu saja. Ketinggian mutu barang kita akan menjadi rendah kerana kerendahan harga. Walaupun kita berniat membantu, dan memudahkan. Memurahkan.

Tetapi juga bermain dalam fikiran saya, siapakah yang mengajarkan fikrah seperti ini kepada kita? Saya? Awak? Mereka? Si majhul yang tidak kita ketahui namanya? Atau kita diajar oleh ketinggian tamadun untuk bersikap dengan kerendahan budi? Atau lebih tepat lagi, untuk bersikap dan berpandangan bahawa, harga itu penentu tinggi rendah mutu dan kualiti?

Sejak bila fikrah seperti ini mendominasi kita? Tinggi rendah kualiti barang bukan ditandai dengan harga. Mereka yang mempunyai akal yang celik akan mengatakan, kerana jauharnya, zatnya, hakikatnya, isinya. Harga bukan menandakan tinggi rendah kualiti, tetapi menandakan tinggi rendahnya kemampuan beli. Ataupun sebetulnya kita menganggap para pembeli buta kualiti dan jahil nilai zat. Atau kita membutakan mereka, mentakmimkan kepada semua, jamiknya.

Pernah seorang kawan membangkitkan hal yang sama. Kalau mereka akan membeli juga sekalipun mahal, mengapa perlu menjual murah? Logiknya ya, tetapi saya tidak mampu untuk berpandangan seperti itu. Kerana saya juga sedar kemampuan belian sendiri, dan menyedari kemampuan belian orang. Bahkan saya tidak mahu menjadi tembok penghalang di antara pembeli dan barang jualan. Alangkah sayang kalau mereka bercita-cita mahu membacanya, dan kita menjadi satu dari sebab penghalangnya. Tidakkah itu dianggap kerugian dalam jalan mencari untung? Lainlah kalau mereka sendiri tidak mahu membelinya.

Saya tidak pandai membetulkan. Terpulang fikiran anda bagaimana.

Alhamdulillah juga. Setelah 600 unit terjual dan duitnya di tangan saya, modal telah kembali. Kos pengurusan juga telah dijelaskan. Belanja terdahulu telah dibayar. Upah telah diserahkan. Izin terbit telah disempurnakan. Ada 400 unit lagi yang belum dikutip, dan belum dipastikan jumlah jualan. Doakan ia habis. Aamiin.

Tuesday, December 18, 2007

Mencari Angin Yang Tak Berderu, Tenang Air Yang Tak Berkocak

Hati kita berpenyakit. Barangkali berasa gelisah lalu menafsirkan diri banyak salah dan dosa. Atau berasa sesak dan sempit lalu terfikir betapa kita jauhnya dari Tuhan. Atau berasa lemah dan tak berdaya lalu merasakan kita kurang amal dan lemah pergantungan pada Tuhan. Atau berasa susah dan asyik bermasalah lalu menafsirkan diri kurang taubat.

Dalam apa hal dan keadaan pun, keadaan seperti ini adalah tidak menyenangkan. Akal dan fikiran banyak terganggu, hati dan perasaan menjadi gusar. Jiwa dan tumpuan menjadi air di tepi pantai, tidak pernah berhenti geloranya dilanda ombak. Diri dan rasa selalu berharap menjadi air di dalam kolam, tenang tak berkocak, reda tak bergelombang.

Tetapi rasa gelisah, rasa sempit dan sesak, rasa lemah dan tak berdaya, rasa susah dan bermasalah, adalah gelora-gelora yang melanda pantai hati. Entah apa sebab sebenar, ia tetap adalah penyakit. Lalu dalam kerunsingan, kita teringat firman Tuhan, ibarat pengembara yang terdengarkan azan ((Ketahuilah, bahawa dengan mengingati/menzikiri Allah akan tenanglah hati))

Ketenangan yang diimpi ibarat hujan di musim kemarau, menjadi hujan di musim tengkujuh, andai kita faham erti ayat ini. Dengan pengertian yang dalam, dan dalam erti yang benar. Taubat dan istighfar, memperbanyak amalan kebajikan, fardu dan mandubah, berzikir dan melazimi kalamullah, berjalan dan berlari kepada Allah. Kerana ketenangan adalah bersama mengingati Allah.

Lalu dengan apa lagi kita merasa gelisah?

Friday, October 26, 2007

Perubahan Dan Makhluk Manusia

Selamat Hari Raya

Perubahan adalah sifat makhluk. Kerana itu ia adalah fitrah. Ia adalah tabii. Tidak perlu ditegah atau dihalang. Apa yang perlu diperhatikan adalah sama ada berubah kepada kebaikan, atau keburukan. Perubahan yang saya sebutkan ini lebih umum. Kita berubah daripada muda kepada tua, daripada bayi kepada kanak-kanak, kepada remaja, kepada belia, kepada dewasa, kepada tua. Kita berubah daripada ingat kepada lupa kepada nyanyuk (tertentu), dan semua perubahan-perubahan ini adalah sifat makhluk.

Oleh kerana perubahan adalah sifat makhluk, yang tabii, dan fitrah, maka apabila kita melihat perubahan berlaku pada seseorang, maka jangan pantas mengeji, selagi ia bukan kejahatan. Walaupun ia bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Selagi bukan dosa, maka lapanglah dada. Bersikaplah positif dan jangan cepat marah-marah.

Perubahan itu termasuk fizikal, mental, sikap dan perangai. Manakan boleh sama fizikal seorang bayi dengan seorang kanak-kanak. Masakan boleh sama mental remaja dengan dewasa. Apakah boleh sama sikap belia dengan orang tua. Dan tak sama juga perangai muda dengan tua. Kita berkembang dan berubah secara fitrah dan tabii, dan janganlah melenting kalau anda dapati anak anda berubah, kawan anda berubah, suami anda berubah, isteri anda berubah, ayah anda berubah, sesiapa saja berubah. Pandanglah dengan mata yang celik dan hati yang terbuka.

Lagipula manusia adalah makhluk yang berkembang dan menyurut. Bertambah dan berkurang. Berat badannya boleh bertambah dan berkurang. Semangatnya boleh marak dan padam. Hasratnya boleh bertokok dan gugur. Bahkan daripada yang surut boleh pasang dan pasang boleh surut. Dari tambah boleh kurang dan dari kurang boleh tambah. Iman juga boleh bertambah dan berkurang.

Perubahan yang berlaku boleh terjadi secara semulajadi, dan boleh diusahakan, sekadar kemampuan manusia. Kerana itulah sifat makhluk, haadis, baharu, maka dia berubah.

Thursday, October 25, 2007

Malas Jenis Perasaan

Malas itu ertinya kehilangan kemampuan untuk memberikan tumpuan. Sebagai contoh, kita membuat perkara A, tetapi tumpuan lari kepada perkara B, C, D dan E, menyebabkan kita berasa malas untuk membuat perkara A. Itulah takrif malas menurut psikologi.

Oleh kerana malas itu adalah perasaan yang terbit dalam hati, (yang kalau dah dibiasakan akan digelar pula tabiat), maka memaknakan perasaan adalah sukar. Tetapi secara pukul ratanya, inilah makna malas dalam erti kata umum.

Malas bukan berpunca pada asalnya pada sikap, tetapi kepada psikologi. Akan tetapi, sekiranya kita menyukai 'bermalas-malas', dan tidak menanamkan rasa benci dan susah hati, maka ia boleh melekat dalam sikap, dan ini akan semakin sukar diubati.

Mengubati malas jenis perasaan adalah mudah berbanding mengubati malas jenis sikap. Sikap adalah kebiasaan, dan kebiasaan perlu kepada perubahan yang mungkin banyak. Termasuk suasana. Akan tetapi, mengubati malas jenis perasaan adalah terus kepada mauduk masalah, iaitu dengan belajar memberikan tumpuan.

Ada bermacam-macam teknik boleh digunakan untuk mengubati malas jenis perasaan ini, maksud saya, teknik dalam berlatih memberikan tumpuan. Setiap orang perlu mencari caranya. Semakin banyak tumpuan boleh dihasilkan, semakin mudah malas ini boleh dielakkan. Seperti yang saya sebut tadi, ia adalah masalah psikologi-perasaan. Pergilah ke mana-mana pun, tetapi cuba ingati dalam benak akan perkara A. Sebutlah dalam hati. Berjumpa kawan, sebut pada kawan.

Fikirlah lebih banyak untuk mengingati perkara A. Insya-Allah, anda akan merasa rajin apabila tiba waktunya mahu membuat perkara A. Berikan tumpuan juga ketika membuat perkara A. Mungkin akan sedikit penat, tetapi itulah dia ubat.

Tuesday, September 04, 2007

Nilai Kepercayaan.

Salam Ramadan.

Sejak dulu, sejak kecil, cerita seorang budak pengembala kambing menipu seluruh isi kampung bahawa gembalaannya diserang serigala seringkali kita dengar. Ia cerita benar atau cerita yang direka-reka bukanlah soal utama. Yang penting, pengajaran yang kita timba daripada sebuah cerita lama ini – jangan menipu, penipu tidak akan dipercayai, pembohong akan diabaikan. Itu semua teladan yang kita timba sejak dulu.

Tapi bagi saya, cerita ini punya teladan yang lebih dalam. Teladan yang harus digali bukan sekadar di permukaan, bukan terhad kepada mauduk nasihat. Tetapi lebih dalam lagi. Betul. Bohong adalah satu sikap yang harus dijauhi. Akibatnya buruk – cakapnya tidak diguna pakai, tidak dipercayai. Lalu mengakibatkan kesan seburuk kehilangan seluruh gembalaan.

Daripada cerita ini, budak ini telah kehilangan kepercayaan orang kampung kepadanya. Kehilangan kepercayaan adalah sesuatu yang serius. Diabaikan cakapnya. Pantas ditakwilkan kata-katanya. Bila dia berkata ada, orang menyangka ia tidak ada. Kerana, kata-katanya tidak boleh dipercayai. Cakapnya difahami sebaliknya. Orang hilang kepercayaan kepadanya.

Tetapi, hilang kepercayaan orang kepada kita bukan hanya kerana bohong. Yang menyebabkan orang tidak percaya kepada kita bukan saja satu sebab, tetapi lebih. Mungkir janji juga boleh menyebabkan orang hilang percaya kepada kita. Lalu, di masa kelak, janji kita – oleh kerana sikap kita yang mungkir janji – akan diabaikan. Janji kita akan sama seperti cakap kosong, berdengung sekuat ting kosong bila diketuk, berisi tiada bila dilihat.

Dalam konteks ini, bercakap bohong dan mungkir janji membawa kesan yang sama – hilang kepercayaan orang kepadanya. Kata-kata keduanya dibiar macam sampah, ditolak ketepi, ditakwil kepada sesuatu yang lain. Kerana ia tidak boleh dipercayai.

Bukan saja janji. Kerana orang menilai cakap kita, baik cakap benar atau bohong, baik janji atau mungkir janji, bahkan cakap kita sehari-hari.

Friday, June 22, 2007

Malam Yang Tak Berpergian

Malam ini sebenarnya saya diajak untuk makan-makan di Restoran Rumah Perlis kalau tak salah saya. Orang nak belanja, saya sendiri kurang pasti atas tujuan apa, imma meraikan berlalunya kursus blog yang dengannya ramai yang berpenat lelah hingga terlantar lepak sehari semalam, (saya sendiri terlantar kepenatan dua hari lamanya), ataupun semata-mata kerana tanda terima kasih untuk ajk-ajk BCC yang selama ini membantu menyelia BCC. Dan sempat makanan ditempah dahulu (katanya) untuk makan-makan malam ini.

Dan sebenarnya, saya rasa tak mahu pergi, dan saya sendiri tidak tahu kenapa. Saya hargai kalau itulah tanda terima kasih dan penghargaan, tapi saya sendiri keliru kenapa saya tak berkeinginan pergi. Mungkin sebab baki penat belum habis lagi, atau sebenarnya kerana ia agak jauh (kalau di Mendi kan lebih dekat, tak pun Asiil) atau kerana saya rasa makanan di sana mahal berbanding kepuasan makan nus firah atau farhah wahidah di kedai Arab dengan harga yang lebih murah. Mungkin juga kerana saya tiba-tiba terasa malas malam ini, atau mungkin kerana mood saya tak berapa baik, atau mungkin kerana sebab-sebab itu semuanya bercampur menjadi satu, atau terkerat sebahagiannya dan bercantum dengan sebahagian yang lain.

Apa yang saya tahu, saya sendiri tak tahu kenapa saya enggan pergi, padahal orang belanja makan. Biasanya saya tak lepaskan peluang ini. Tapi entah, saya sendiri kurang faham dengan diri sendiri. Maafkan saya. Allahu A'lam.