Bagi saya, madah yang paling diingati dalam Kuliah Lughah adalah ilmu dilalah, yang mengkaji tentang pengarahan makna. Mempelajari madah (subjek) ini sebetulnya memahamkan bahawa bahasa Arab itu sangatlah tinggi, bahkan kajian dan perbahasan mengenai bahasa ini sangatlah dalam dan jitu, mendapat perhatian yang sungguh-sungguh dan benar-benar dari sejumlah ramai cendikiawan Islam yang memahirinya.
Sebelum itu saya suka membawakan istilah yang masyhur tersebar di kalangan penuntut syariah yang juga ada kaitan dengan pemaknaan ini, iaitu mafhum muwaafaqah dan mafhum mukhoolafah. Ia barangkali lebih umum dari sudut pemaknaan, apabila cuma meneliti adakah mafhum (makna yang difahami) itu, menyamai atau menyalahi mahiyah dan hakikat. Sekiranya ia menepati dan bersamaan, kita panggil muwaafaqah, sekiranya ia menyalahi maka kita gelar mukhoolafah.
Begitu juga penuntut Usuluddin juga mempunyai istilah yang terkenal dalam pemaknaan ini, apa yang kita senang faham sebagai dilalah mutoobaqah, dilalah ta-dhommuniiyah dan dilalah iltizamiyah. Iaitu apabila suatu makna menepati secara tepat dengan hakikat, kita menggelarnya mutoobaqah, atau mengenainya secara sipi, atau secara sebahagian daripada hakikat, maka kita menggelarnya ta-dhommuniiyah, atau menyalahi hakikat asal makna, tetapi menjadi makna yang dimaksudkan dengan cara paksa, maka kita menggelarnya iltizaamiyah.
Tetapi dalam kuliah Lughah, perbahasan mengenai pemaknaan juga sangat dalam. Iaitu boleh dibahagikan kepada dilalah sorfiyah, dilalah mukjamiah, dilalah nahwiyah dan dilalah sautiiyah. Sekiranya kita memahami sesuatu kalimah berdasarkan wazan (timbangan/skema pembetukan) kalimah, maka kita mengikuti dilalah sorfiyah, antaranya mengajarkan bahawa fa'-'ala atau af-'ala itu membawa maksud ta-'addiy, iaitu me-meng-kan kalimah yang bersifat lazim (iaitu bersifat ber), Seperti duduk yang bersifat lazim, dimuta-'addikan menjadi mendudukkan.
Tetapi apabila kita meneliti dilalah sautiiyah (bunyian/suara), kita mendapati kalimah ghoiz yang bererti kemarahan yang bersangatan, melebihi kadar marah yang dimiliki oleh kalimah ghodob" yang juga bererti marah. Dan maksud bersangatan ini timbul kesan dari pengaruh bunyi iaitu huruf zo (pada kalimah ghoiz) yang mempunyai bunyi yang lebih tebal berbanding dhod (pada kalimah ghodob). Seperti kalimah "mengamuk" difahami lebih dahsyat daripada kalimah "marah", kerana huruf k mempunyai ketajaman bunyi berbanding huruf h yang lebih lembut bunyinya.
Begitu juga apabila kita menimbang-nimbang dilalah mukjamiah (ke-kamus-an), iaitu mengambil kira asas makna yang diletakkan oleh para lughawi (ahli bahasa) terhadap suatu kalimah. Cara inilah yang selalu digunakan oleh kebanyakan kita untuk memahami bahasa, iaitu dengan meneliti apakah makna yang didaftarkan oleh ahli bahasa. Bahasa Arab dalam bidang mukjam dan kamus ini, telah mencapai tamadun yang sangat tinggi, apabila dibahaskan secara rancak terutamanya di kurun ketiga dengan lambakan mukjam-mukjam, bahkan berterusan hingga ke zaman ini dengan pengeluaran pelbagai jenis mukjam menyaksikan kekukuhan bahasa Arab.
Namun, apabila kita memerhatikan dilalah nahwiiyah (susunan ayat), maka kita mendapati pembentukan ayat juga punya kesan kepada makna sesebuah kalimah. Seperti ayat, saya mengheretnya ke muka pengadilan, maka kalau dari sudut dilalah mukjamiah ia membawa maksud, orang yang diheret itu kakinya tidak melangkah lalu diheret keterpaksaan, tetapi pemaknaan secara dilalah nahwiiyah pula menjelaskan maksud yang berbeza, iaitu diheret di sini bukanlah bererti tidak boleh berjalan, sebaliknya diheret di sini bererti 'dibawa', iaitu dibawa ke muka pengadilan. Barangkali apabila kita menggabungjalinkan kedua-dua dilalah nahwiyah dan mukjamiah, timbullah makna bahawa orang yang kita heret itu terdesak, atau terpaksa, kerana ketidakinginannya mendepati kebenaran di muka pengadilan, sehinggakan kakinya seolah-olah tidak dapat melangkah kerana tidak mahu, lalu lafaz diheret digunakan.
Memahami hakikat dilalah (pengarahan makna) dan hakikat ini akan menjelaskan kepada kita nilai yang terkandung dalam sesebuah kalimah dari semua sisi, baik sama ada kita melihat bagaimana keadaan kalimah tersebut dari sudut wazan (timbangan/skema pembetukan) atau melihat bagaimana kalimah itu didaftarkan di dalam kamus, atau bagaimana bunyi lafaz tersebut apabila telinga kita mendengarnya, otak kita memahaminya, hati kita merasainya, atau bagaimana kedudukan kalimah tersebut di dalam ayat sehingga kalimah-kalimah di sampingnya itu juga memberi kesan kepada maknanya.
Semua yang dibahaskan ini adalah mengenai dilalah (pengarahan makna) yang berbentuk lafziah (berbentuk lafaz). Perbahasan akan semakin panjang sekiranya kita juga meneliti dilalah haaliyah (keadaan) atau dilalah-dilalah yang non lafziah yang lain.
No comments:
Post a Comment