Tuesday, December 17, 2019

Catatan Kembara Bermula 1 : Lari Dari Mana Ke Mana, Akhirnya Sampai Ke Mana

Lebih kurang sepuluh hari lepas, saya ditimpa sakit. Bell's Palsy. Bahasa cakap mudahnya hilang kawalan muka sebelah kira dengan sempurna. Macam strok tapi bukan sebab pada muka sahaja. Dahi tak sama kerut, kening tak sama naik, kelopak mata tak sama pejam, pipi tak sama tembam, bibir tak sama senyum. Maksud saya antara kanan dengan kiri muka. Bila minum air keluar dari tepi bibir kiri, kadang-kadang memancut sebab bibir tak tutup penuh. Ambil wuduk kadang-kadang pedih bila membasuh muka kerana kelopak tak tutup penuh lalu air masuk. Makan jadi tak selesa sebab bibir tak cukup berfungsi menggerakkan makanan dalam mulut, juga kunyah rasa tak bermaya. Sebelah kiri maksud saya. Bercakap ada huruf yang tak normal sebab bibir tak berfungsi sepenuhnya. Meludah keluar dari kiri mulut kerana bibir tak mampu muncung. Minum cawan bawa ke kiri biar air yang keluar masuk semula ke cawan tapi kadang-kadang atau sebetulnya tumpah juga ke baju. Basah.

Secara perasaannya pula, baru saya sedar senyum saya senget bila bersungguh-sungguh, ternampak joker cerita batman sekejap, dan tidak kelihatan senyum kalau biasa-biasa. Mungkin semua riak wajah akan jadi senget, sebab tak stabil kanan dan kiri. Saya tidaklah bersedih kerana Tuhan berhak menimpakan dan atas alasan apa sekalipun, cuma sedih kerana banyak tugas tergendala atau digendalakan kerana ketidakseratusperatusperfomenkan. Isteri dan keluarga bahkan kawan mengingatkan rehat-rehat, cuti-cuti. Bila terbaca di internet bahawa ia adalah sementara saya bersyukur, tetapi tiada tempoh jelas berapa lama harus berehat. Serangan kuman pada saraf belakang telinga yang mengganggu arahan otak kepada saraf muka dikatakan puncanya masuk melalui telinga barangkali, lalu saya dinasihati untuk bekam, akupuntur, dan rawatan pemulihan saraf. Saya sudah mula melalui nasihat ini.

Puncanya mungkin juga kerana stress. Tetapi stress itu saya, dan sayalah stress itu. Hidup memang sentiasa dalam tekanan, dan merasionalisasinya. Ada yang prihatin dan menasihat untuk berehat demi mengurangkan stress, tetapi saya merasai stress ketika rehat. Rehat tanpa melakukan urusan yang seharusnya saya lakukan adalah satu tekanan pada saya. Masa yang berlalu tanpa dapat saya lakukan kerja dan tanggungjawab ini adalah mimpi yang menghantui saya. Bukan tidak pernah saya tinggalkan tugas kononnya meredakan tugasan, tetapi bila mengenang masa yang dibazirkan menambah tekanan pada saya. Bercuti dan jalan-jalan tanpa perlu memikirkan tugasan bukanlah meredakan tekanan sebaliknya menambahnya. Adakah logika pemikiran saya ini boleh difahami.

Ada masanya, yang kurang sempurna adalah pada kelopak mata sahaja. Jika berterusan boleh jadi penat, sebab selalu tak tutup rapat. Tetapi jika ada rehat, mungkin saya boleh berfungsi seperti hampir biasa. Mungkin ada sikit sakit kepala atau denyut belakang telinga, tapi saya suka membayangkan saya masih baik dan sihat. Dan terasa mahu terus meneruskan tugasan. Tetapi saya juga sedar, tiada  habuan yang dapat menggantikan kesihatan. Bukan habuan pun yang saya kejar. Ia semata-mata mengejar cita-cita, minat, impian, menunaikan tanggungjawab. Ada juga yang prihatin menasihati agar mengejar minat yang tidak sampai tekanan, tetapi minat ini memang tidak lari dari tekanan.

No comments: