Thursday, March 31, 2005

Istiqamah

Istiqamah

Saya membaca antologi cerpen ‘Istiqamah’ susunan Azizi Hj Abdullah. Kesemua 14 cerpennya adalah cerpen yang tersiar di Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera. Bagai menyalin gaya bahasa S.N Shahnon Ahmad, beliau bangkit dengan karya yang segar walaupun ia telah lama dicipta. Bagi saya, walaupun cerpen beliau (yang dimuatkan di antologi ini) lebih tua daripada usia diri, tetapi ia terus-terusan hebat dan mengagumkan.

Kekuatan gambaran dengan penceritaan bentuk babakan membayangkan latar dengan sangat jelas dan rapi. Kekuatan ilmu bantu seiring dengan tempo yang kejap lantaran penggunaan ayat yang puratanya pendek. Beliau gemar memilih pengakhiran bentuk tragedi, dan ia benar-benar membuatkan saya berasa sangat gerun. Tidak mustahil, ia satu rujukan yang paling bermutu bagi pencari cerpen.

Penulis sangat memahami latar, dan menguasai pemikiran pembaca dengan menimbulkan ransangan yang berkesan. Ransangan yang muncul antara babakan saling berkait, sama ada dalam agakan pembaca ataupun sebaliknya. Nyata, beliau gemar meletak babak yang sebenarnya memesongkan perjalanan cerita, namun ia adalah bayangan kepada kesudahan cerita tersebut. Bahasanya? Tentu kaya dengan perbendaharaan yang masih dianggap baru bagi saya.

al_jantanie
manhumi_ilm

Tuesday, March 29, 2005

Untukmu Antologi – KKF

Untukmu Antologi – KKF

Setiap kali saya membaca buku tentunya terbit perasaan mahu mengulasnya pula. Tetapi kali ini, saya berdepan dengan antologi yang saya sendiri adalah antara penyumbangnya. Apa patut saya buat? Maaf, saya terpaksa berlaku tidak adil dan hanya akan mengulas karya orang lain sahaja.

Antologi Khali Kota Fustat memuatkan 16 cerpen terpilih termasuk dua cerpen milik saya. 14 cerpen yang saya akan ulas ini (setelah mengenepikan cerpen peribadi) mempunyai kelebihan tersendiri dari pelbagai sudut, tentunya mengundang semacam satu perasaan kagum yang berbeza-beza di kalangan pembaca.

Saudara Ubaidillah dengan “Kiriman Terakhir” memaparkan satu penulisan yang bersifat mendekati pembaca, sekaligus berjaya memberi kesan yang sangat mendalam. Saya kira ia adalah antara karya terbaik beliau, kerana sekalipun menggunakan ayat yang mudah tetapi mesra pembaca. Mungkin ada kelebihan dengan penggunaan sudut pandangan pertama.

Cerpen beliau yang bergelar ‘Autentik’, ‘Lambaian Akhir Ramadhan’ dan ‘Bawalah Cintaku ke Syurga’ kaya dengan penggunaan ayat-ayat yang cantik kerana kekuatan bahasa yang beliau miliki, terutamanya pada ‘ Bawalah Cintaku ke Syurga’ di mana gaya penceritaan amat selari dengan tema yang dibawa.

Saudari Syarifah Salha dalam dua cerpen pertamanya (Kisah di Sebalik Teratak Itu dan Di Bawah Runtuhan Itu) patut dikagumi kerana kebersahajaannya. Begitu berani menaratifkan kisah ‘luar’ yang sememangnya agak sukar digarap tanpa keinginan benar-benar mahu mencuba. Saya kira beliau harus menekuni karya Zaharah Nawawi yang kaya dengan satu keistimewaan – tema luar duga, disamping mendampingi karya Faisal Tehrani yang gemar menimbulkan rangsangan tiba-tiba, lebih-lebih lagi di pengakhiran cerita. Saudari Salha juga amat kaya dengan bahasa indah dan berbunga-bunga, terutamanya dalam dua cerpen terakhir beliau.

Cinta Chiang Mai karya guru saya – Saudari Faezatul Herda, kaya dengan penggunaan ilmu bantu yang mengagumkan. Saya benar-benar tidak menyangka beliau mampu sampai ke tahap itu. Penceritaannya jelas dan mesra latar. Garapan suasana luar negara yang jelas dan dapat dihidupkan. Tentunya ia bukan satu luahan perasaan semata-mata tetapi didasari kajian yang amat dalam berdasarkan plot yang dibina.

Saya tidak mengenali Saudari Masrati walaupun amat berharap dapat mengenalinya. Wanita kelahiran Johor ini muncul dengan karya ‘November’ dan ‘Pulang’ - menzahirkan kemampuan penulis wanita dengan penggunaan bahasa bombastik yang kaya pembendaharaan kata; saya kira jauh ketinggalan dari sudut ini.

Guru saya juga, Saudara Amiza Khusyri dengan ‘Madrasah Iman’ benar-benar membuktikan keunggulan dengan kelancaran bahasa dan sastera yang kemas. Tema yang disampaikan sejajar dengan gaya bahasa yang tidak tersekat-sekat, tambah istimewa dengan gaya bahasa yang cantik. Nampaknya penceritaan beliau jelas hidup dan berjaya.

Penulis wanita Jordan, Anizah Abu Samah muncul dengan kelebihan bahasa tersendiri. Dengan gaya penceritaan yang ringkas tetapi jelas, babak dilatari adegan yang juga menarik. Tempo berjalan sederhana laju, namun dapat memikat pembaca.

Cerpen yang dipilih menjadi penama antologi, Khali Kota Fustat wajar diulas sebagai cerpen yang kaya ilmu bantu dan mempunyai latar yang menarik. Latar masa sejajar dengan latar tempat dengan kelajuan tempo yang berpadanan dengan tema cerita. Mungkin kerana tajuknya agak kompleks ia dipilih menjadi penama antologi ini.

Anda pembaca. Bukan mudah bagi saya memberikan kritikan seperti ini. Padat dengan pelbagai gaya penulisan dan kekuatan dari pelbagai sudut. Namun saya juga menyedari beberapa kekurangan yang juga harus diutarakan walaupun bukan di sini. Ia tentunya perlu diperbaiki dan dianalisis oleh penulis itu sendiri. Saya pasti anda dapat mengenalnya selepas membacanya.

al_jantanie
manhumi_ilm

Sunday, March 27, 2005

Benarkah Engkau Pernah Bercinta?

Benarkah Engkau Pernah Bercinta

Engkau tidak berbuat apa-apa. Hanya lapangkan hatimu dan menerima sahaja. Cinta, dan Engkau bukakan hatimu dengan seluas-luasnya. Biar cinta itu masuk dan tidak ditahan ia.
Sungguh Engkau pernah bercinta, dan sungguh juga Engkau pernah merasa lukanya tatkala ia pergi dan hatimu terhiris. Engkau juga, lapangkan hatimu, seluas-luasnya juga, membiarkan apa yang dipanggil cinta itu pergi.

Kini Engkau tidak tahu, andai cinta itu datang, adakah Engkau akan menerimanya juga. Adakah dengan selapang-lapangnya, dan adakah Engkau benar-benar menerimanya.

Sungguh, tatkala Engkau mula tertarik dengan seorang WANITA, Engkau biarkan sahaja hatimu terbuka dan menerima perasaan itu dengan seluas-luasnya. Dan setelah itu jika Engkau tertarik juga dengan seorang lagi WANITA, Engkau bukakan lagi hatimu dengan seluas-luasnya menerima perasaan itu juga. Entah berapa ramai aku juga tidak tahu.

Teringin aku bertanya kepadamu, benarkah Engkau pernah bercinta?

al_jantanie
manhumi_ilm

ps: sekiranya anda seorang perempuan, gantikan perkataan ‘wanita’ kepada perkataan ‘lelaki’. Saya berharap anda puas membacanya.

Friday, March 25, 2005

Bangkit

Bangkit

Kalian tidak tahu betapa seronoknya saya apabila melihat orang yang selama ini jatuh tersungkur dapat bangun balik. Apabila bangun saya lihat jelas-jelas, dalam-dalam, dan saya buat macam tak tahu sahaja. Buat-buat tidak tahu, tetapi dalam hati ini melonjak bagai mahu mencecah langit. Kalau mampu mahu sangkut tangan di bingkai bulan. Mahu peluk awan di dada malam. Mahu sahaja saya bertempik kemudian lari keliling dan kemudian ambil sejadah kemudian bentang kemudian sujud syukur. Semua saya mahu lakukan lantaran gembira berkepuk-kepuk, bertongkol-tongkol dalam dada.

Kalian tidak tahu betapa peritnya tersungkur. Dan kalau kalian tahu dan mengerti semua itu, kalian tidak menyalahkan takdir, sebaliknya bersyukur masih terus diberi izin berdiri. Kalian tentu rasa gembira sama seperti yang saya rasa, apabila saya dapat menyambut kembali rakan yang jatuh tersungkur dan dapat bangkit semula. Kalian tentu akan rasa gembira.

al_jantanie
manhumi_ilm

Wednesday, March 23, 2005

Salah Siapa?

Salah siapa?

Engkau tidak bermaksud Engkau bersalah lalu Engkau mahu mengubah diri. Bukan semua perubahan menandakan kita bersalah sebelumnya. Dan Engkau pun ( walaupun dengan sedikit ragu ) lakukan juga sambil perubahan itu dan ia sedikit membekas di hatimu.

Engkau mula pakai telefon bimbit. Kata rakanmu, Engkau perlu memakainya. Engkau orang penting. Itu mereka kata. Tetapi Engkau pakai juga kerana Engkau tahu Engkau memerlukannya.Tetapi di saat Engkau mula berkeputusan begitu, Engkau sedikit berubah. Engkau kerap memberi pesanan ringkas dan menukar gaya rambutmu. Apa Engkau sudah berubah?

Sungguh, Engkau tidak bersalah, dan Engkau tidak perlu berpatah balik saat Engkau merasa sedikit perubahan itu. Tetapi yakini, Engkau masih perlu menyemak diri saban waktu agar Engkau tidak lupa, bahawa perubahan itu kadangkala boleh melalaikan. Walaupun ia tidak bersalahan.

al_jantanie
manhumi_ilm

Monday, March 21, 2005

Selamat Bermuktamar!

Selamat bermuktamar!

Saya bermuktamar hari ini. Muktamar PMRAM kali ke 72. Muktamar tahun ini mendesak saya memberi respon kepada beberapa perkara.

1. Mana sama dalam muktamar dengan luar muktamar! Kerana ada perkara yang hanya kita sedari ketika muktamar, ketika perkara itu dibangkitkan oleh orang lain, dan kita mendapat idea untuk bertanya. Oleh itu, tidak mungkin kita dapat tanyakannya di luar muktamar.

2. Maafkan saya. Saya telah melanggar azam saya tahun ini – tidak mahu bercakap di depan pembesar suara. Adalah tiga atau empat kali rasanya azam itu dilanggari. Pada asalnya, saya mahu berdiam dan kalau mahu meluahkannya hanya melalui tulisan. ( Puasa setahun bercakap – Tidak haram bukan?)

3. Soalan saya bukan sia-sia, dan saya meyakini ia bermanfaat. Mungkin ada yang pesimis pada saya ketika saya bercakap sambil menyangka yang bukan-bukan. Kononnya saya membazir waktu bertanya yang sia-sia. Mungkin benar pada satu ketika dahulu, ketika saya terlalu ghairah untuk mencari seberapa banyak soalan walaupun saya terfikir setelah itu ia soalan yang agak remeh. Saya rasa begitu, dan kali ini pula, saya sudah ambil ibrah demi mempraktikkannya pula. ( Bukan membela diri sendiri.)

4. Tidak, sungguh tidak begitu. Niat saya memang hendak membantu dengan seberapa banyak yang saya mampu. Ide, dan saya harap ia diterima. Walaupun setelah tamat bermuktamar ( mungkin ) syaitan datang dan menggoda saya supaya berasa ujub dan riak pada diri; saya berdoa mampu mengatasinya. Saya yakini niat diri sejak mula – walaupun setelah itu merasa dengan perasaan yang bukan-bukan. Sungguh saya tidak begitu.

5. Insya Allah, amanah pada muktamar sudah saya tunaikan – mewakili rakan-rakan saya di luar sana; dengan memberi konsisten tertinggi ( tetapi adakah ia berlebih-lebihan, saya tidak tahu ). Dan saya teringat juga amanah pada kitab-kitab yang seharusnya dilangsaikan juga. Oh Tuhan, banyaknya lagi yang belum dibaca!

al_jantanie
manhumi_ilm

Saturday, March 19, 2005

Antologi KKF

Dua cerpen saya dipilih untuk dimasukkan ke dalam antologi susunan Saudara Ubaidillah. Alhamdulillah. Antologi itu diberi nama – Khali Kota Fustat, diambil daripada nama sebuah cerpen milik penyusun merangkap perancang utama projek kali ini. Ia dijangka akan diterbitkan menjelang muktamar ini dengan dana ditaja oleh Keluarga Penuntut Kelantan Mesir ( KPKM ).

Jumlah penulis yang turut serta seramai tujuh orang termasuk saya, terdiri daripada Saudara Ubaidillah Alias, Saudara Amiza Khusyri Yusof, (kedua-duanya guru saya), Saudari Faezatul Herda ( juga guru saya ), Saudari Masrati Mohammad, Saudari Syarifah Salha dan Saudari Anizah Abu Samah ( satu-satunya wakil Jordan). Setiap orang menyumbangkan sekurang-kurangnya satu cerpen, dan terdapat beberapa orang menyumbangkan lebih daripada itu. Antaranya, Saudara Ubaidillah ( 5 cerpen ), Saudari Salha ( 4 cerpen), Saudari Faezatul Herda dan Saudari Masrati ( masing-masing 2 cerpen ).

Cerpen saya sebanyak dua dengan tajuk “Adakah Engkau Menyedarinya” dan “Cinta Nafsu.” Sebuah cerpen lagi yang tidak berjaya menembusi antologi bertajuk “Permata Taubat.” Sebenarnya tahap saya masih terlalu lemah kerana beberapa faktor, antaranya fakta yang kurang jitu dan ilmu bantu yang sangat lemah. Saya patut berterima kasih kerana diberi peluang menyertai walaupun tentunya masih jauh dan ketinggalan.

Namun, dalam pada masa yang sama, emosi saya banyak terganggu. Entah kenapa ya, saya rasa amat tidak senang. Mungkin kerana baru-baru ini nama saya banyak menjulang dan menonjol. Terasa diri amat hebat, dan itu membuat saya rasa bersalah yang amat sangat. Lebih-lebih lagi dalam situasi BKPJM yang kekurangan tenaga penulis senior, dan saya yang baru setahun jagung sudah dipaksa matang. Dalam keadaan diri membuat beberapa perubahan dan anjakan.

Sungguh, dalam gembira itu juga saya merasa tidak senang. Dan sesungguhnya, ujub adalah penyakit saya yang paling serius. Mungkin anda tidak mengetahuinya.

Ps: gembira ke sedih?
al_jantanie
manhumi_ilm

Thursday, March 17, 2005

Kegemilangan

Kegemilangan

Saya tidak pasti di manakah kegemilangan. Suara Kampus, dan saya masih tercari manakah kegemilangan. Saya bukan takut dan bukan segan, tetapi mungkin kegemilangan itu adalah kerana jamaah, dan bukan individu. Kalau seorang itu lebih gemilang, sudah lama Ubaidillah terbit antologi bersendiri.

Saya berasa ada tanggungjawab memulih keadaan. Keadaan benar-benar mengharapkan sesuatu jawapan yang pasti. Hari ini kalau Suara Kampus mahu keluar, dalam maksud ada dan pakai tangkap muat, ia boleh keluar dengan sedikit usaha. Tetapi itu bukan gemilang juga.

Jamaah dan kualiti, satu jawapan yang menuntut usaha yang bukan sedikit. Hari makin datang dan yang lama sudah menghilang pulang. Meninggalkan tugas warisan zaman berzaman. Dalam jamaah baru, usaha akan dibentuk, tentunya dalam kemampuan nilai kualiti yang masih kurang.

Peribadi, saya masih cemburu dengan Suara Kampus Kelantan, tentunya kerana kualiti yang mengesan. Lihat sahaja siapa yang menulis, tenaga pakar dari Master dan senior-senior yang mantap. Saya tahu SUKEJ ada nama, tetapi ia perlu berseri dengan penuh makna. (Walaupun saya tahu adalah salah melihat siapa yang menulis. Saidina Ali mengajar kita melihat apa yang ditulis itu lebih penting – diaplikasi dari makna perkataan cakap)

Itu bukti, kalau ada ilmu, tentu ada martabat yang tinggi. Tentunya kalau dibuat perbandingan antara tenaga saya ( dan tenaga penulis-penulis baru ) dengan mereka yang sudah menjejak ke alam master, ibarat bersilat murid lawan guru. Tetapi bukan itu yang saya mahu. Belajar menulis bukan kerana pangkat saya lebih tinggi, dan tentunya bukan menggunakan nama saya supaya laku.

Saya menulis kerana itulah ilmu. Siapa juga, tentunya mahu memberi persembahan terbaik tidak kira pangkat dan kedudukannya; penulis muda, penulis kawakan, penulis tahap diploma, ijazah, master mahupun PhD; tidak kira saya kata; mahukan sesuatu yang dia tulis ketika jejari itu bergerak, mahu menulis hanya yang terbaik dengan persembahan terbaik.

Belum timbul soal master atau PhDnya dia, tetapi pada hasil dan pada usaha. Dia PhD dan saya cuma mahasiswa biasa – pasti mahu apa yang kami tulis benar-benar berkualiti. Itu barulah kegemilangan namanya. Baru mengesan pada jiwa. ( Tambahan dari Ustaz Arif Fadhilah yang saya yakini nasihatnya : Dengan ikhlas dan bukan mencari nama.)

Saya tidak bermaksud kegemilangan dan itulah semua. Tetapi memberi yang terbaik dan bernilai itulah cita-cita. Dan pada cita-cita itulah letaknya kegemilangan, tentunya buat yang bukan mencari nama. Kegemilangan, usaha yang bersungguh demi mencapainya.

al_jantanie
manhumi_ilm

Tuesday, March 15, 2005

Orang Soleh

Sungguh, kata-kata orang soleh banyak mengesankan pada jiwa. Dan sungguh, saya turut merasainya. Kata-kata orang soleh semacam kalam yang penuh hikmah, walaupun ayatnya cuma biasa. Tiada yang berbunga-bunga. Tiada yang bermadah-madah. Semuanya biasa dan ia tetap memberi kesan juga pada jiwa.

Saya mengambil masa untuk merasai semua itu, tentunya dalam kesedaran tatkala ucapan itu santak mengejut akal. Terpisat-pisat dalam kial. Kala itu juga, segalanya tegar; raut mukanya di tekuni mata, sambil kelopaknya hanya berkelip kala perlu sahaja. Saya memerhatikan ke setiap patah perkataan, mencari kesan-kesan dalam kata-kata orang yang soleh itu. Mencari dan mengenakannya lebih pada jiwa. Supaya lebih mengesankan dan lebih menyedarkan.
Manusia itu pelupa di saat Tuhan memberinya nama Insan. Tidak mahukah Engkau mengakuinya? Tuhan itu Maha Ingat dan tiada tidur.

al_jantanie
manhumi_ilm

Monday, March 14, 2005

Adabuna

Saya tidak menyangka, saya akan mengambil masa yang terlalu lama sebelum membaca tulisan Faezah Azaman yang dikirimkan 6 Disember 2004 yang lalu. Dan saya tidak pasti adakah (walaupun kepada penulisnya sendiri) masih ingat apa yang ditulis. Bagi saya, ia satu catatan perjalanan yang sangat berharga.

Memang, saya lazimi menyimpan dahulu mana-mana tulisan yang panjang dalam adabuna ke dalam disket mahupun pendrive, tentunya untuk dibaca suatu hari nanti. Dan baru hari ini, 13 mac 2005 saya membacanya.

Penakik pisau seraut,
Ambil galah batang lintabung,
Seludang dijadikan nyiru,
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terbentang dijadikan guru.

Tentu anda mengaguminya, bukan?

Saya menulis kerana sesungguhnya saya rindu pada suara yang dulu kerap bertandang ke adabuna. Mungkin juga rindu pada tulisan Al-Marjan, Amiza, Nazmi, Shiba’, dan mereka yang pernah saya ‘maki’, perli dan ‘herdik’. Sungguh, sebenarnya saya amat mudah terkesan dengan pengajaran tok guru – bahawa sastera itu amat keras dan tajam. Tetapi saya juga meyakini – ukhuwwah itu amat lembut dan menawan.

Salam penulis

al_jantanie

manhumi_ilm

Wednesday, March 09, 2005

Ketua

Ketua

Satu Mac berlalu dan seperti biasa ia terus berlalu tanpa siapa pun peduli. Dan waktu untuk pencalonan badan pengurus PMRAM yang baru sudah tentu menemui tempoh hujungnya hingga saya terfikir juga beberapa kali, siapa bakal BP kali ini?

Sebelum ini, ketika perlantikan exco dan kepimpinan di peringkat Badan, agak ramai mereka yang bergelar ‘senior’ dalam kepimpinan turun dan turut serta berbincang, memujuk, memuji dan tidak kurang mempengaruhi mereka yang masih baru untuk menjadi kepimpinan. Tetapi apabila tiba saat dan detik untuk memilih Badan Pengurus PMRAM, satu jawatan yang tinggi di atas Badan, suasana kembali senyap tidak berbunyi.

Dalam pada itu saya cuba menelaah hakikat kejadian ini. Mungkin semasa perlantikan exco Badan, mereka yang ‘berisiko’ dilantik tentulah orang-orang yang belum pernah menjadi kepimpinan, ataupun mereka yang pernah menyandang jawatan itu sebelum ini. Kerana itulah, ketua dan pemimpin sedia ada turun padang mencari pengisi kerusi yang sebahagiannya ditinggal kosong.

Namun apabila perlantikan Badan Pengurus pula dibuat, (mereka biasanya dicalonkan dari kalangan mereka yang telah menjadi kepimpinan, dan perlantikan menjadi Badan Pengurus adalah satu mata tangga lebih ke atas dalam kepimpinan), mereka ini dilihat senyap tidak bersuara. Mereka yang dahulu turun padang kini lebih gemar diam dan bersembunyi.

Tetapi adakah hakikat suatu perlantikan adalah begitu sifatnya? Begitukah yang Islam ajarkan kepada kita?

al_jantanie
manhumi_ilm

ps: maafkan saya kerana meninggalkan persoalan tanpa jawapan. Anda intelek tentu mampu memikirkan?

Tuesday, March 08, 2005

muhafazah oh muhafazah

Saya hampir-hampir tidak percaya, bahawa dalam masa sebulan tidak lebih, saya sudah turun ke muhafazah ( negeri luar kaherah ) hampir 4 kali.

Kali pertama ketika YAB Menteri Besar Johor datang melawat mahasiswa/i Johor di sini, saya yang bertugas sebagai adhock Unit Perhubungan turun ke muhafazahn untuk menghantar iklan bermula Tanta, kemudian damanhur, terus ke mansurah sebelum ke zaqaziq dan akhirnya singgah di Shoubra. ( kemudian ikut menemani YAB ke Iskandariah buat merasmikan Rumah Johor di sana)

Kali kedua ( mungkin juga kali ketiga ) ketika membantu sahabat angkat barang ke Iskandariah. Beliau telah berkahwin dan menetap di sana.

Kali ketiga saya turun ke muhafazah damanhur sebelum mansurah demi menziarahi sahabat yang berhajat menanti kehadiran saya di sana. Saya sebenarnya lebih kepada menemani kawan yang belum pernah tiba di muhafazah tersebut.

Menakjubkan, buat kali keempat saya turun ke muhafazah bermula damanhur, kemudian tanta sebelum ke syibin. Berpatah kembali ke tanta kerana tiada kenderaaan dari syibin ke mansurah. Bermalam di Mansurah saya kemudiannya ke zaqaziq sebelum pulang ke kaherah. Ada mesyuarat dan muhasabah pada keesokan harinya. Saya ke muhafazah kali itu adalah demi menyampaikan iklan tentang bazaria sri johor.

Tidak mustahil saya kata, dapat mengelilingi semua muhafazah dalam satu hari, tetapi mungkin satakat singgah letak punggung dan sarung kasut semula. tapi, itu bukan namanya ukhuwwah, bukan?

al_jantanie
manhumi_ilm