Wednesday, December 27, 2006

Syukran Jazilan

Tulisan ini adalah khas untuk sahabat saya, Luqmanul Hakim Ab Rahman yang telah banyak berjasa pada saya selama ini. Terima kasih. Banyak-banyak. Segala pertolongan beliau tidak dapat saya lupakan. Daripada kesudian mengganti saya mengajar madah, meminjamkan beberapa barang dan keperluan, menumpangkan saya tidur di rumahnya ketika saya ke muhafazah tempat dia tinggal, hingga kepada kesanggupannya menolong saya dalam perkara-perkara kesusahan yang menimpa saya.

Tidak lupa juga kerana sikap sabar dan tasamuh beliau, timbang rasa dan pemaafnya. Minta maaf banyak-banyak atas salah silap dan ketelanjuran saya. Sampaikan salam pada Khalid @ Akhfash, saya di Cairo kala ini. Musim imtihan sudah menjelang dan tiba. Selamat berjaya untuk Abu Akhfash dan Ummu Akhfash.

Friday, December 22, 2006

Cara Berfikir Manusia Tidak Semuanya Sama, Tasamuhlah

Tidak semua manusia itu berfikir dengan cara yang sama; barangkali kerana berbeza latar belakangnya, pendidikannya, kecenderungannya, minatnya, pengaruh sekitarnya. Apabila berbeza cara berfikir, maka keupayaan memahami juga akan berbeza. Maksud saya, keupayaan kita memahami mereka.

Kerana itu, dalam hidup ini, barangkali kita akan bertemu dengan mereka yang tidak kita fahami; tingkah lakunya, caranya membuat keputusan, sikapnya dalam situasi tertentu; barangkali seperti yang saya kata, kerana perbezaan cara berfikir. Mereka itu tidak dapat kita fahami.

Jangan emosi dan terburu-buru. Jangan cepat menghukum, dan memaksa. Jangan segera meletakkan mereka di tahap yang sama dengan kita, lalu menterjemah ketidakfahaman kita sebagai kegagalan mereka.

Sekalipun cara manusia berfikir itu berbeza, tetapi manusia semuanya masih akan bersetuju bahawa kebaikan itu benar, dan kebenaran itu benar. Dan kerana kesepakatan ini - sekalipun dalam perbezaan cara berfikir - manusia seluruhnya patut cenderung dan akur kepada teori asas seperti kewujudan Tuhan dan lain-lain, kecuali kalau kedegilan dan keras kepala menguasai diri.

Saya tidak membincangkan tentang topik-topik asas ini, kerana kita semua akan sepakat dan bersamaan. Saya membincangkan tentang selain itu. Bagaimana cara kita berfikir dalam menghadapi sesuatu, dan bagaimana kita menanggapi sesuatu.

Sekiranya kita bersikap jumud dan tidak berfikiran terbuka, kita mudah memaksa orang mengikut hanya cara kita, dan kejumudan ini akan menjadikan mereka yang lain itu salah, kita saja yang benar. Kerana kita tidak memahami mereka, cara berfikir mereka, kita memaksa mereka untuk tunduk kepada penghakiman kita, bahawa mereka itu salah, dan kita yang benar.

Saya bukan berbicara pasal hukum seperti yang tertulis dalam kitab feqah mahupun mana-mana kitab yang lain. Saya bercerita tentang cara kita bereaksi kepada orang dalam urusan am. Kejumudan dalam interaksi, hanya kerana kegagalan kita memahami mereka yang berbeza cara berfikir.

Manusia itu ketika menganggapi perkara bukan satu cara. Manusia bila memikirkan suatu perkara bukan dengan hanya suatu langkah.

Sebaik-baik cara, adalah dengan mengambil masa untuk memahami mereka. Tetapi kalau kita kekurangan masa, ataupun tidak mampu memahami mereka, bersikaplah tasamuh dan timbang rasa. Lapanglah dada dan bersopanlah. Jangan jumud dan menghukum dengan semata-mata satu cara.

Kejumudan kita akan menjadikan jurang perbezaan yang ada semakin dalam. Kita akan menukarkan parit kepada gaung, longkang kepada sungai, bukit kepada gunung, kerana sikap jumud ini. Timbanglah rasa. Bersikaplah terbuka. Saya bukan meminta kita menghalalkan yang haram, atau mengharamkan yang halal. Tetapi bersikap lebih celik dalam perkara-perkara am dan harus. Bagaimana membuat pertimbangan, dan keputusan.

Kita tidak memahami mereka. Mungkin cara berfikir kita berbeza. Ambillah masa untuk memahami, atau lapanglah dada dengan tasamuh dan timbang rasa. Manusia ini bukan hanya satu cara.

Tukar topik. Waktu ini, sekarang ini, entah kenapa saya kekok mahu menulis. Tajuk asyik bertukar-tukar. Idea bertembung dalam kepala, dan rentak berubah dalam bermacam-macam ritma.

Monday, December 11, 2006

11 Disember 2006

Saya tidaklah pandai mahu bermujamalah dengan Arab, memujinya, mengambil hatinya, supaya kalau-kalau kena cara dan gayanya ada peluang dapat beli barang dengan harga yang murah. Saya juga tak pandai nak 'bergaduh' demi mendesaknya menurunkan harga, saya tidak tahu. Tetapi, bagi saya, memadai dan patut untuk dimulakan dengan salam, bertanya khabar yang biasa-biasa seperti eh-zaiyak, 'aamil eyh, kaifa hal, kemudian bertanya harga. Kemudian minta kurang, minta tasamuh, minta tahfidh, cadangkan harga yang kita mahu, dan kalau dia tak mahu turunkan, ucaplah terima kasih dan berlalu dengan hormat.

Mungkin tradisi senyum sebelum berlalu itu patut, mengangkah tapak tangan dan diletakkan di dada tanda kita menolak dengan cara baik, kemudian berlalu terus dengan langkah yang lapang. Entahlah. Cuma kadangkala, bila emosi saya turut sama naik dan masuk campur dalam laku, semua sopan dan tertib itu boleh hilang juga. Hem. Masih banyak yang perlu dipelajari.

O ya. 11 Disember 2006. Ia sesuatu yang penting untuk diingati, tetapi biarlah saya saja yang mengerti. Saya ucapkan selamat untuk diri sendiri.

Nandeymonai. Sagashimono. Ney?

Tuesday, December 05, 2006

Sempena Yang Tiga

Sabar sajalah, kata kawan saya. Berdiam, akur tidak bererti saya setuju. Tapi bila memikirkan maruah orang lain terbabit sama, saya terpaksa tunduk, dan tunduk di atas perkara yang saya tidak setuju sebenarnya membuatkan saya sangat marah. Kawan saya bilang, fikirkan juga mengenai orang-orang yang lain. Maruah pihak ketiga. Nasib pihak keempat. Jadi, berdiam diri dan menurut sajalah yang dia tinggalkan untuk saya.

Tak apalah. Lupakan. Buka cerita baru.

Insya-Allah, selasa malam rabu, lepas Isya', ada majlis khatam Quran. Juga sempena meraikan semua 'anak-anak saudara' saya yang telah selamat lahir semuanya. Dan sebenarnya ada satu sempena yang lain, tapi tak disebutkan. Mereka yang saya dah jemput, harap dapat hadir.

Tiba-tiba teringat sebuah kalam yang disampaikan oleh seorang kawan, "jangan lupa sekarang dah ada mufti Wahabi, itu ancaman juga pada negara kita, selain krisis murtad dan macam-macam lagi sekarang ni."

Friday, December 01, 2006

Di Mana-Mana Saja Ada + Selamat Pengantin Baru

Sebenarnya, tidak susah untuk mencari orang yang lebih hebat daripada kita. Orang yang lebih hebat ada di mana-mana. Di sekeliling kita. Yang susah bukannya mencari orang yang lebih hebat, tetapi susah mencari erti tawaduk dan kerendahan hati dalam diri.

Bila kita menganggap kita paling hebat, kita sangat pandai, kita lebih betul, kita amat tepat, kita mudah terpelecok dalam membuat penilaian yang betul. Kita senang menganggap kita saja yang betul, orang lain salah. Kita mudah tersangka kita saja yang arif, orang lain tidak. Kemudian, mula menyalahkan orang, mula membid-aahkan orang, mula memarahi orang.

Bukanlah bermakna kalau kita faham erti tawaduk dan kerendahan hati kita tidak langsung memarahi orang dan menyalahkan mereka, tetapi bukan sembarangan. Jangan salah faham pula. Nabi pun pernah memarahi sahabat, dan pernah menegur mereka.

Marah dan tegur pun ada banyak peringkat dan tahapnya. Ada teguran yang menunjukkan yang betul dari yang salah. Ada teguran yang menunjukkan yang baik dari yang kurang baik. Ada teguran yang menunjukkan yang tepat dari yang kurang tepat. Ada teguran yang menunjukkan yang aula dari yang sekadar betul sahaja.

Bila kita buka mata, dengan kerendahan hati dan ketinggian budi, kita akan nampak begitu banyak orang yang lebih hebat dari kita. Kita belajar untuk tidak berasa sombong atau takabbur, tetapi kita juga belajar untuk tidak kehilangan keyakinan diri. Kemudian belajarlah menghormati, menghargai, tidak terlalu keras, tidak terlalu lembut.

O ya. Sebelum terlupa, tahniah untuk abang Long saya untuk majlis akadnya pada 26 haribulan November lepas, dengan pasangannya Noradilah Suleiman. Semoga diberkati Tuhan sepanjang zaman. Untuk adik-adik saya pula, kalau nak langkah bendul tak mahal, RM 1234 dan 56 sen sahaja. Ha ha ha. Gurau. Saya silakan saja adik-adik saya kalau nak langkah, kahwin ni mudah, jangan disusah-susahkan!

[Ops, e-voiz habis, tu yang terlambat telefon]