Saturday, December 31, 2005

10 - Mana Hatiku?

Sajak ini ditulis ketika saya di tahun kedua, atau ketiga pengajian di Mesir, ketika sahabat saya A. Ubaidillah Alias kembali ke tanah air bercuti.

Sajak : Mana Hatiku?
Oleh : pembaris_kecil

Hatiku kembara pulang,
Dikendong kapal terbang.

Badanku makin susut kurang,
Kerna hatiku sudah hilang.

Jiwaku tambah walang,
Bikin ribut tidak tenang.

Tanpa hatiku diriku kurang,
Resah tersadai seorang.

Longlai langkahku tempang,
Akibat hatiku – jiwaku, renggang.

Batinku sunyi lapang,
Mana hatiku belum pulang.

Friday, December 30, 2005

9 - Sang Awan

Saya pernah mengatakan bahawa inilah sajak terbaik saya ketika mula-mula mengarang dulu, sejak sebelum ke Mesir.

Sajak : Sang Awan
Oleh : Mohd Zaki

Ada kepulan,
Terzahir dalam gumpalan,
Dengan warna kedamaian.

Terapung megah,
Berarak dengan gagah,
Sesekali berlari,
Sesekali berhenti,
Sesekali tersenyum gembira,
Sesekali menangis duka.

Ada waktunya,
Aku cuba menduga,
Pada kebiruan wajahnya,
Memandang pada riaknya,
Merenung dalam tawanya,
Teringat tergambar,
Hariku yang pudar,
Sedang menanti sinar.

Dan kadangkala,
Dalam tawanya ia menangis,
Berjuraian air mata,
Pipinya basah hatinya gersang,
Bagaikan jiwa yang kontang,
Tangisannya sekejap lebat,
Terhenti menjadi gerimis,
Sedihnya seketika dahsyat,
Akhirnya terlerai jua.

Adakah itu kita,
Dalam senyuman,
Tidak sunyi dengan tangisan,
Dalam kegembiraan,
Ada detiknya kehibaan,
Teringat aku pada Sang Awan,
Senyuman tangisan,
Mengisahkan perihal alam,
Membayangkan,
Jiwa hamba tuhan.

Catatan Di Celah-Celah Peperiksaan (5)

Catatan di celah-celah peperiksaan (5)

Tulisan ini tidak bermaksud mencela mana-mana individu sebaliknya membuka ruang muhasabah.

Mengapa 'penuntut-penuntut Bahasa Arab' tidak menguasai Bahasa Arab dengan baik?

Sebab itu banyak, tetapi saya mahu membangkitkan beberapa sebab. Antaranya, tabiat mengejar kecemerlangan yang bersifat 'semata-mata' menyebabkan penuntut-penuntut Bahasa Arab digasakkan untuk menghafaz nota yang disediakan oleh tenaga pengajar. Sikap menghafaz nota adalah satu cara yang baik juga, tetapi berlebih-lebihan 'mahu membantu' menyebabkan penuntut-penuntut tidak menguasai kemahiran 'membaca kitab sendiri'.

Menghafaz boleh digolongkan sebagai 'satu langkah ajaib' menyerapkan sejumlah kalimah ke dalam dada penuntut-penuntut Bahasa Arab, tetapi, tindakan 'menyediakan nota' menyebabkan kebanyakan penuntut 'melarikan diri sepenuhnya' daripada 'membaca kitab'. Apabila 'kebergantungan kepada nota' menyebabkan 'ketidak pengusaaan pembacaan kitab berlaku', kita patut menganggap, langkah tenaga pengajar menyediakan nota adalah satu yang patut dihindari.

Barangkali, menyediakan nota adalah baik dan mudah, bahkan membantu meningkatkan pencapaian akademik di kalangan pelajar, (itulah yang saya katakan – semata-mata mengejar kecemerlangan) tetapi penyediaan nota secara berleluasa ini telah menyebabkan satu – hilang sikap kebergantungan pelajar terhadap kitab, dua – pelajar tidak memiliki kemahiran membaca kitab sendiri, tiga – menanti pengajar memberikan nota sekaligus meminggirkan kitab sepenuhnya dan empat – ketidak penguasaan pelajar-pelajar Bahasa Arab terhadap bahasa ini.

Di sini kita dapat lihat, tabiat mengejar kecemerlangan telah menyebabkan ketidak penguasaan yang dahsyat ini.

Dua, sistem pengajaran yang tidak menyumbang kepada pembentukan sikap 'membuka kamus' dan 'memahiri wazan'. Ia berlaku apabila satu – tenaga pengajar tidak menggesa pelajar membuka kamus mencari makna, dua – tenaga pengajar terus-terusan memberikan makna bagi kalimah-kalimah yang tidak diketahui oleh pelajar menyebabkan kebergantungan yang tinggi oleh pelajar kepada tenaga pengajar.

Tiga, ketidak fahaman tentang teknik pembacaan kitab bahawa ayat di dalam bahasa Arab kebanyakannya dibina dengan teknik satu – mubtadak, khabar dan muta'allik bil khabar, dua – fe'el, fa'el, maf'ul, jar dan majrur serta zaraf mazruf, tiga – syarat dan jawab syarat, dengan kedua-duanya (syarat dan jawab syarat) adalah sebuah ayat yang lengkap dan empat – kewujudan mafzuf dalam ayat.

Empat, ketidak fahaman pihak tertentu bahawa, penguasaan Bahasa Arab terbahagi kepada empat bahagian utama. Mereka merasakan bahawa, seseorang yang menguasai Bahasa Arab mestilah 'seseorang yang pandai bercakap' dalam Bahasa Arab, padahal ia adalah satu pertimbangan yang 'senget, keliru, tidak adil'. Empat kemahiran utama dalam menguasai Bahasa Arab adalah, kemahiran membaca, kemahiran mendengar, kemahiran bercakap dan kemahiran menulis.

Apabila kemahiran yang dititikberatkan dalam 'menentukan seseorang itu' tahu atau tidak bahasa Arab adalah kemahiran bercakap dan semata-mata, maka ia adalah sistem yang lompong, 'cacat, lemah, dan perlu diperbaiki'.

Kemahiran mendengar harus dilatih, sebaik-baiknya dengan kaset di mana ia 'mempersembahkan sebutan Arab yang fasih, lahjah Arab yang sebenar, memiliki uslub yang cantik' dan sebaik-baiknya, adalah orang Arab sendiri. (Saya boleh cadangkan kasetnya kalau mahu)

Kemahiran bertutur harus dibentuk dengan cara satu – tenaga pengajar mulakan dahulu, dua – mencampurkan antara Bahasa Arab dan Bahasa Melayu apabila bercakap, kerana ramai yang jadi takut bila sepenuhnya Bahasa Arab, tiga – memfokuskan satu demi satu uslub-uslub yang biasa digunakan dalam penulisan seperti maf'ul mutlak, hal, menggunakan isim fael dan bukan semata-mata fe'el dan fa'el, mempraktikkan idofah dan lain-lain lagi.

Kemahiran menulis adalah kemahiran yang diabaikan sejak dahulu lagi. Menulis boleh menjadi sangat sukar kerana menulis memerlukan kepada 'zuk arabi' yang 'salim'. Melatih menulis perlu juga kepada pelatihan zuk arabi yang salim ini. Zuk Arabi perlu kepada 'pembacaan yang berterusan, penghayatan kepada uslub, pemerhatian bentuk ayat' dan proses mendegar ucapan-ucapan yang fasih dan baligh.

Kemahiran membaca, seperti yang saya sebutkan tadi.

Maafkan saya kerana kekurangan masa. Saya mencuri masa membuat catatan ini. Saya sambung lain kali kalau ada peluang.

al_jantanie
manhumi_ilm

Thursday, December 29, 2005

8 - Aku Lebih Hebat

Sajak ini ketika di tahun kedua pengajian, ketika menyertai pertandingan mengarang dan mendeklamasikan sajak. Tetapi penyampaian yang bersahaja, mungkin kerana itu susah menang. :D

Sajak : Aku Lebih Hebat
Oleh : pembaris_kecil

Mungkin engkau sangat hebat,
berdiri megah sebagai pemerintah,
tetapi aku lebih hebat,
aku bertahta sebagai penjajah.

Mungkin engkau sangat hebat,
hingga seratus orang tunduk,
patuh pada perintah,
akur pada arahan,
tetapi aku lebih hebat,
mereka sujud padaku,
penuh kerelaan.

Mungkin engkau sangat hebat,
Engkaulah ketua engkaulah kerajaan,
Menguasai mereka terang-terangan,
Tetapi aku lebih hebat,
akulah idola dalam diam.

Mungkin engkau sangat hebat,
Andai sepuluh yang lari,
sebelas dapat engkau tangkap,
tetapi aku lebih hebat,
andai sepuluh yang lari,
seribu pula yang datang menghadap.

Mungkin engkau sangat hebat,
musuhmu habis engkau hancurkan,
tiada berbaki bersisa jangan,
tetapi aku lebih hebat,
musuhku beribu tanpa bilangan,
semuanya senyap tak mampu melawan.

Mungkin engkau sangat hebat,
mereka gembira bertuankan dirimu,
tidak ragu menerima perintahmu,
tetapi aku lebih hebat,
sedar atau tidak,
mereka semua berkiblatkan aku.

Mungkin engkau sangat hebat,
engkau merdeka dengan aman,
tetapi aku lebih hebat,
aku menjajah dengan sopan.

Mungkin engkau sangat hebat,
merdekanya engkau satu kebebasan,
tetapi aku lebih hebat,
merdekamu kusuntik jarum kemaksiatan.

Hebatkah engkau?,
tiada bantahan,
tetapi hebatkan aku?,
tiada keraguan.

Sebenarnya,
Engkau lebih hebat,
dengan Islam yang engkau pegang,
tetapi apabila dihadapanku,
Islammu cuma barang hiasan.

Catatan Di Celah-Celah Peperiksaan (4)

Catatan di celah-celah peperiksaan (4)

Membuang Fikrah Muqarrar Dari Minda Siswa dan Siswi Kita

Sependek yang mungkin, sepadat yang perlu, sefaham yang patut.

Perlu dijelaskan terlebih dahulu maksud muqarrar. Muqarrar (dalam bahasa 'kita-kita', supaya lebih mudah dan jelas selari dengan maksud saya) adalah tahdid atau penetapan sukatan tertentu. Muqarrar yang bererti – ada tajuk dalam kitab yang boleh diabaikan (dengan nasihat atau kata-kata doktor) sekaligus membawa makna – kemungkinan besar ia tidak disoal di dalam kertas soalan peperiksaan.

(Ya lah. Pasal peperiksaan lah. Kan kita tengah bincang pasal periksa)

Saya mahu mencadangkan anda supaya membuang fikrah ini daripada minda dengan beberapa sebab.

Satu – ilmu yang ada dalam kitab (kuliah maksud saya) masih sangat sedikit daripada hakikat ilmu yang perlu kita kuasai. Apa akan jadi kalau ada lagi muqarrar (sekaligus men'sedikit'kan apa yang memang sedikit)

Dua – keterburuan kita menganggap sebahagian ilmu itu penting, dan sebahagian lagi 'kurang penting' (?)

Tiga – melatih sikap belajar apa jua, dan kerana ilmu, bukan kerana 'berjaya' atau 'periksa'.

Empat – mencari jambatan penghubung antara satu ilmu (yang dikatakan sebagai muqarrar) dengan satu ilmu yang lain (yang dikatakan tidak muqarrar). Setiap ilmu ada kait dan saling tindaknya.

Lima – musim periksa memberi semangat dan kekuatan yang tinggi untuk membaca. (Anda ingat kalau 'yang tak muqarrar' itu ditangguh lepas periksa baru nak baca, anda ingat anda 'pasti' boleh baca? Silap-silap, sampai bila-bila pun tak baca.)

Bahaya yang mungkin berlaku sekiranya fikrah ini anda ikuti.

Satu – anda barangkali tidak menguasai dengan lumat tajuk-tajuk tertentu (yang disebut-sebut sebagai muqarrar) semata-mata kerana anda membaca juga tajuk-tajuk lain (yang dikatakan tidak masuk muqarrar.)

Dua – anda barangkali tidak sempat menghafaz (kerana yang muqarrar sahaja sudah banyak, akan berganda menjadi 'sangat banyak' sekiranya anda mahu menghafaz yang tidak muqarrar)

Tiga – dan barangkali, sekiranya anda tidak sempat menghafaz, jadi bagaimana anda mahu menjawab? Tulis apa yang ingat?

Empat – anda barangkali akan membazirkan (atau lebih tepat – menggunakan) lebih banyak masa mengulangkaji tajuk yang terang-terang dikatakan tidak muqarrar, sekaligus mengurangkan tumpuan pada tajuk-tajuk yang dilaung-laung sebagai muqarrar.

Lima – dan barangkali (kerana kitab juga keluar lambat, masa juga sangat singkat) anda berisiko menempuh bahaya yang lebih besar, besar sehingga saya juga tak berani untuk sebutkan di sini. (tidak cemerlang atau tidak berapa berjaya)

Tetapi, saya mahu sebutkan satu sahaja faedah (daripada banyak-banyak faedah) iaitu, melatih rasa ikhlas menuntut ilmu kerana Tuhan.

al_jantanie
manhumi_ilm

Malhuzat 1: Sekalipun saya membuang fikrah muqarrar ini daripada kepala saya, masih ada perkara-perkara lain yang patut saya betulkan juga.

Malhuzat 2: Buanglah sikap mengejar kecemerlangan yang bersikap 'pura-pura'. Sekalipun, itulah kecemerlangan yang dilaung-laungkan oleh semua (dunia).

Wednesday, December 28, 2005

7 - Pejuang

Sajak ini saya karang ketika saya di tahun kedua di Mesir. Kalau tidak salah, ketika musim sejuk dan tiada tempat tidur.

Sajak : Pejuang
Oleh : al_jantanie

Kalau ditanya siapa pejuang,
Pasti tiada lain yakini,
Engkaulah orangnya,
Toleh belakang hanya ketemu lagi,
Batang hidung sendiri.

Pejuang yang takut berjuang,
Mengejarmu tiada lain cuma mati,
Gentar apa mara hadapan capai syahid?,
Berjuang seorang rasa ribuan,
Dalam redha Tuhan,Andai murkaNya,
Juta bilangan habis KUN pasti,
FAYAKUN dengan lenyap binasa.

Jangan lari pejuang!,
Yang penting bukan menang,
Tetapi tidak kalah,
Tanpa keluh berkali-kali lagi,
Korban terus korban untuk Dia.

Berapa banyak pejuang syahid,
Lebih ramai andai kira cuma,
Mati dan terpedaya,
Kerana,
Syahid itu mahal harganya.

Sabar wahai pejuang,
Ketenangan ada bersama Tuhan,
Kalau engkau pentingkan diri,
Sudah lama perjuangan ini sepi,
Tetapi terus kalau mampu mahu,
Hembus nafas jadi taufan,
Hentak kaki jadi gempa,
Andai sehelai rambutmu,
Bisa jadi panah,
Akan kau korbankan setiap inci belulangmu,
Jadi tembok kubu.

Redha manusia walau kecil tanpa capai,
Masih mahu mendakapnya,
Redha Tuhan biar besar,
Kita masih mencari redha yang lain.

Pejuang,
Sajak ini untukmu pejuang,
Berjuang membetul diri.

Kaherah, 2.36 am

Tuesday, December 27, 2005

6 - Kenapa

Antara sajak-sajak terawal ditulis ketika saya masih belum ke Mesir lagi.

Sajak : Kenapa
Oleh : Mohd Zaki

Kenapa,
apabila hari ini engkau sakit,
Aku belikan ubat,
Tapi esok aku sakit,
Engkau pura-pura tak sihat.

Kenapa,
Apabila hari ini engkau pening,
Aku picitkan,
Tapi esok kepalaku pusing,
Engkau langsung tak hirau.

Kenapa,
Apabila hari ini engkau lapar,
Aku suapkan,
Tapi esok aku kebuluran,
Engkau langsung tak tinggalkan makanan.

Kenapa,
Apabila hari ini engkau masih kecil,
Aku jagakan,
Tetapi esok aku terpencil,
Kerana aku engkau tinggalkan.

Kenapa,
Apabila hari ini engkau menangis,
Aku pujukkan,
Tetapi esok aku terhiris,
Kerana telah kehilangan teman.

Kenapa,
Apabila hari ini engkau meminta,
Aku tunaikan,
Tetapi esok aku berkehendak,
Pantasnya engkau katakan tidak.

Kenapa,
Apabila hari ini engkau kesunyian,
Aku temankan,
Tetapi esok aku keseorangan,
Kau hantar sunyi sebagai teman.

Kenapa,
Apabila hari ini engkau perlukan wang,
Tanpa ragu aku hulurkan,
Tetapi esok aku kesempitan,
'Minta maaf' yang engkau ucapkan.

Kenapa,
Apabila hari ini engkau lahir,
Aku bersihkan,
Tetapi esok hariku yang terakhir,
masih sempat namaku engkau kotorkan.

Kenapa,
Apabila hari ini aku tanyakan,
Sampai esok tiada jawapan.

Kenapa,
Kerana kasihku wahai anakku,
Tidak pernah meminta bayaran,
Walaupun rinduku tak pernah kesampaian.

Kerana sayangku wahai anakku,
Mencari keikhlasan,
Cukuplah dengan redha tuhan.

Kenapa,
Apabila hari ini dan esok,
Lusa dan tulat,
Sekarang dan akan datang,
Soalan terus ditanyakan,
Engkau masih bisu memberikan jawapan.

Membentuk kelancaran Sastera dengan penulisan lazim.

Majalah : Buletin Keris
Edisi : -
Kolum : Kritikan Sastera
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Membentuk kelancaran Sastera dengan penulisan lazim.
Oleh Mohd Zaki M.Noor

Biar saya mulakan dengan mengabaikan sementara suasana seperti Ramadhan, Syawal dan hari raya Aidilfitri.

Kelancaran dalam penulisan adalah suatu yang sangat penting kerana bahasa yang tidak lancar akan mengganggu tumpuan pembaca kepada isi, sekaligus menghalau minat pembaca untuk meneruskan pembacaan. Barangkali anda memiliki suatu isi yang 'menarik perhatian', tetapi malangnya garapan dipersembahkan dengan bahasa yang tersekat-sekat menyebabkan pembaca enggan meneruskan pembacaan kepada baris-baris berikutnya, perenggan-perenggan di bawahnya, muka-muka seterusnya.

Di sinilah punca kelemahan terutama, dan sebagai penulis baru, ketidaklancaran ini perlu diperangi habis-habisan. Sebelum meneliti cara memerangi 'ketidaklancaran dalam penulisan', terlebih dahulu saya ingin menerangkan tentang jenis-jenis kelancaran.

Sepanjang pengamatan saya, kelancaran boleh dibahagi kepada tiga jenis. Pertama, sastera lancar. Kedua, bahasa lancar. Ketiga, bahasa kaku, tidak lancar tetapi boleh difahami. Dan demi tujuan ini, semua penulis baru harus melazimi penulisan berterusan dan konsisten. Kerapkan diri menulis, tidak kira dalam apa skop sekalipun, dan pastikan anda menulis dengan laras bahasa yang betul. Saya ulangi, dengan laras bahasa yang betul. Hattakan dalam e-mel sedapat-dapatnya.

Begitu juga, sekiranya mahu mendapatkan sastera lancar, anda sebagai penulis baru mesti berusaha menulis sesuatu bernafas sastera dan lakukan ia dengan kerap agar sastera bertambah lancar dan segar. Saya suka untuk menyatakan, bahawa setiap penulis baru biasanya terbelenggu dalam ruang lingkup bahasa yang tidak lancar, namun akibat rasa malas dan rasa rendah diri, mereka tidak berusaha melazimi penulisan dan akhirnya, mereka masih gagal membuang 'ketidaklancaran' ini daripada diri mereka.

Itulah kepentingan melazimi penulisan, sehingga lancar, dan dengan istiqamah dan konsisten. Saya ulangi juga, dengan laras yang betul.

Saya membezakan antara 'bahasa lancar' dan 'sastera lancar' kerana bahasa yang lancar lebih serasi dengan penulisan esei (non kreatif), dan sastera lancar lebih mesra cerpen (penulisan kreatif). Anda akan lihat, apabila seorang penulis genre kreatif misalnya menulis sesuatu esei, tulisannya tidak akan lari daripada berbau sastera. Barangkali, penulis-penulis genre kreatif kebiasaannya akan terbawa-bawa nilai 'sastera lancar' ini, dan ia semacam membikin satu nafas baru dalam penulisan esei, supaya lebih selesa dibaca.

Kembali kepada persoalan pokok, mengenai melazimi penulisan dan sastera lancar. Bagaimana mahu melazimi penulisan? Soalan begini sebenarnya sudah tidak perlu ditanyakan kerana yang seharusnya menjawab bukan semata-mata mulut tetapi hati. Jawapan sungguh-sungguh sudah berada di depan mata.

Biar saya cadangkan beberapa cara.

Pertama, sertai Suara Kampus atau Warta dan menulis dalam setiap keluarannya. Tolong jangan kecilkan minda bahawa jika anda menulis artikel, sastera anda akan rosak binasa. Kunci pertama, lazimi penulisan walau dengan apa cara dan jalan. Sementelah anda menulis artikel sekalipun, penghujahan dalam penulisan esei pasti dapat memberi ide kepada ilmu bantu di dalam cerpen.

Kedua, menulis dan menghantar ke media perdana di Malaysia. Ketiga, membina weblog dan melazimi proses kemaskini. Keempat, mencari medan lain yang menawarkan penulisan secara 'sentiasa' dan 'berterusan'.

Penulis baru atau lebih tepat, penulis muda, atau lebih jelas lagi, anda, harus mencuba semua ruang dan menimba pengalaman. Membentuk kelancaran dalam sastera tentu sekali perlu kepada medium contohnya Suara Kampus, Warta, media massa di tanahair, bahkan apa yang paling menarik minat saya adalah, weblog.

Weblog adalah salah satu medium yang amat mudah bagi membentuk sikap 'melazimi penulisan' demi mendapat 'sastera lancar'. Ada beberapa weblog seperti blogdrive, blogspot, livejournal, dan bermacam-macam lagi. Saya amat berharap, penulis lapis baru di Mesir akan membina weblog dan melazimi penulisan dengan laras bahasa yang betul.

Monday, December 26, 2005

5 - Seperti Berharganya Madu

Antara sajak-sajak terawal ketika mula mengarang dulu setelah tiba di bumi Mesir.

Sajak : Seperti Berharganya Madu
Oleh : al_jantanie

Aku ingin menjadi,
Seperti berharganya madu,
Walau sekelumit cuma,
Antara ribuan bunga,
Tetap dikutip tebuan kerana,
Menunjukkan ia ada harga.

Aku ingin menjadi,
Seperti berharganya madu,
Ia dikumpulkan di tempat yang satu,
Kumpulnya itu adalah harga,
Seperti manusia mengumpul harta.

Aku ingin menjadi,
Seperti berharganya madu,
Disimpan lebah di dalam sarangnya,
Simpanan itulah membuktikan harga,
Kalau tidak,
Lebih baik dibuang sahaja.

Aku ingin menjadi,
Seperti berharganya madu,
Menjadi ubat kepada,
Ratusan penyakit,
Bukankah semua orang juga tahu.

Aku ingin menjadi,
Seperti berharganya madu,
Berharga sehingga,
Disebut Allah di dalam firmanNya,
Di tutur Nabi di dalam kalamnya,
Antara yang paling Nabi suka.

Aku ingin menjadi,
Seperti berharganya madu,
Tidak kamu juga mahu?,

Cuma,
Aku TIDAK ingin menjadi,
Seperti berharganya madu,
Kerana harganya,
Manusia datang menzalimi,
Tebuan yang selama ini,
Berpenat lelah mengumpul rezeki,
Hilang makanan,
Hilang tempat pergantungan,
Ada yang hilang nyawa mempertahan.

Dan TIDAK ingin menjadi,
Seperti berharganya madu,
Kerana harganya,
Tebuan mendendami kita,
Semua,
Disengatnya,
Padahal yang menzaliminya cuma,
Seorang pengumpul di antara kita.

Seperti berharganya madu,
Aku ingin menjadi kamu,
Dikutip apabila terbuang,
Dikumpul orang dan bukan orang,
Disimpan di taman terlarang,
Menjadi rebutan manusia dan binatang.

Seperti berharganya madu,
Mampukah aku menjadi kamu?

Memasukkan Ilmu Bantu 2

Majalah : Buletin Keris
Edisi : -
Kolum : Kritikan Sastera
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Memasukkan Ilmu Bantu 2
Oleh Mohd Zaki M.Noor

Sastera di Mesir perlu kepada kesungguhan andai mahu berkembang. Saya terasa arus dan perkembangannya memuncak setahun dahulu, cuma berharap gelombang kebangkitannya kali ini sama diterokai oleh semua pihak, baik lelaki mahupun perempuan. Kalau tidak, kebangkitan penulis Timur Tengah akan melalui tempoh getirnya sekali lagi.

Namun, sepanjang meneliti beberapa karya yang pernah saya terima masih mengabaikan beberapa elemen penting sastera kita antaranya ilmu bantu. Dalam penulisan artikel, ilmu yang dimasukkan ke dalam tulisan merupakan ‘penghujahan’ manakala ilmu yang dimasukkan ke dalam cerpen pula dikira sebagai ‘ilmu bantu’.

Memasukkan ilmu bantu tidak terhad kepada melakarkan suasana dan latar yang berbeza dengan latar tempatan. Ya, latar luar negara juga diklasifikasi sebagai ilmu bantu, tetapi ia bukan semata-mata ilmu bantu yang boleh dimasukkan ke dalam karya. Ilmu-ilmu yang sarat dalam kitab kuliah juga wajar dijadikan ilmu bantu yang berkesan sepanjang penulisan cerpen.

Saya kira, sekarang ini sudah masanya penulis-penulis baru Timur Tengah (baca:anda) melakukan revolusi dalam pemikiran. Sekarang sudah tiba detiknya anda memikirkan dan mengatur langkah – memasukkan ilmu bantu ke dalam karya kreatif anda. Saya tidak menafikan kepentingan unsur ‘perasaan’ dan ‘kejiwaan’ untuk dimasukkan ke dalam karya, tetapi secara total bahkan pasti, ‘perasaan’ dan ‘kejiwaan’ harus disulam berselang seli dengan ‘ilmu’ secara ‘kreatif’. Itulah dia ilmu bantu.

Memahami konsep kemasukan ilmu ke dalam karya patut menjelaskan bahawa sastera kita, sastera Melayu, adalah sastera ilmu.

Barangkali sebagai penulis baru, anda lebih tergerak mahu meluahkan perasaan yang berselirat di kolong hati, tetapi fahamilah, alangkah baik dan cantiknya sastera kita jika anda menumpahkan ilmu ke dalam karya. Ya, secara kreatif. Kemudian sulami ilmu yang anda tumpahkan itu dengan ‘perasaan’ dan ‘kejiwaan’.

Jika rajin dan mahu mulakan usaha, rujuki cerpen-cerpen yang baik antaranya 'Warkah Cinta Di Sebalik Theodosius’ karya fahd razy dan lihat bagaimana beliau memasukkan ilmu sejarah dalam cerpen dan digarap secara mengesan. Iaitu ilmu berkenaan penaklukan kota Constantinople oleh tentera Islam. Anda akan fahami dan lebih awal merasa malu, kerana penuntut Royal College of Surgeon In Ireland, Dublin ini selangkah lebih awal memperkatakan berkenaan penaklukan kota kebesaran itu daripada kita, mahasiswa Al-Azhar.

Apa yang jelas, ilmu itu dinukilkan ke dalam cerpen. Dan apa yang lebih jelas, ia dinukilkan secara kreatif. Itulah saya kata; lakukan garapan ilmu dalam karya kreatif, dan saat itulah kebangkitan penulis Timur Tengah bukan lagi mimpi di malam hari.

Selamat menulis.

Sunday, December 25, 2005

4 - Ternama

Antara sajak terawal yang dikarang setelah tiba di Mesir akhir tahun 2003/2004, dan pernah disiarkan di Suara Kampus Edisi Johor edisi 103 (kalau tak silap) dengan banyak yang dikeratbuang oleh editor.

Sajak : Ternama
Oleh : al_jantanie

Ternama,
Berapa lama engkau akan ternama,
Sepuluh tahun? ,
dua puluh tahun?,
Tak mungkin selama-lamanya.

Ternama,
Sampai bila engkau akan ternama,
Mungkin,
Selagi pemuji masih bernyawa,
Apakah mungkin,
Bila perawi sudah tiada.

Ternama,
Lamakah engkau mungkin ternama,
Bila yang lebih ternama sudah bernama,
Namamu sudah entah ke mana.

Ternama,
Banggakah menjadi ternama,
Bukankah semua juga ada nama.

Ternama,
Semalam engkau tiada nama,
Hari ini engkau sudah bernama,
Mungkinkah esok,
Ada nama seperti tiada.

Ternama,
Sekurang-kurangnya,
Nama yang baik,
Tidak akan kurang,
Dari nama yang kurang baik,
Selebih-lebihnya,
Tidak akan lebih,
Dari nama yang paling baik.

Ternama,
Bukankah nama yang paling ternama,
Hanyalah dimiliki oleh,
Pemilik Nama Yang Ternama,
Semata-mata.

Ternama,
Apalah ada pada nama?

Saturday, December 24, 2005

3 - Adakah Aku Serupa Kita

Antara sajak-sajak terawal, ketika baru mula mengarang dulu di tahun 2003.

Sajak : Adakah aku serupa kita?
Oleh : al_jantanie

Adakah aku terlalu mulia,
Hingga aku terlalu marah dihina?
Bukankah mulia dan hina,
Tuhan yang empunya?

Adakah aku terlalu tinggi,
Hingga aku enggan menziarahi,
Pembawa cahaya pewaris nabi,
Tinggi tidak pernah lebih tinggi,
Daripada cahaya ilahi.

Adakah aku begitu hina,
Hingga hanya layak ditertawa,
Saudara tidak pernah,
Mentertawa saudara.

Adakah aku begitu bodoh
Miskin dan hodoh,
Hingga tidak engkau peduli,
Lalu menangis meminta simpati,
Dari Pemilik langit dan bumi,
Atau lebih bodoh, miskin dan hodoh,
Mereka yang tidak peduli,
Simpati tuhan yang bersimpati.

Adakah aku apabila aku,
Berjalan dan berlari,
Tertinggal jauh lalu terjatuh,
Adakah engkau akan berhenti,
Atau terus tidak peduli.

Adakah 'aku' serupa kita,
Atau kita adalah kita?
Atau kita bagaimana?

Friday, December 23, 2005

2 - Kadangkala

Antara sajak-sajak terawal ketika sedang asyik menulis sajak di tahun 2003 dulu.

Sajak : Kadangkala
Oleh : Mohd Zaki

Kadangkala,
Adalah lebih baik,
Untuk tidak berkata apa-apa,
Sekadar memandang,
Merenung,
dan berfikir selayaknya.

Kadangkala,
Adalah lebih bangga,
Untuk kalah daripada menang,
Menilai di mana letaknya kita.

Kadangkala,
Kita asyik mencari sesuatu,
Sedangkan ia berada,
Betul-betul di depan mata,
Enggan menerima,
Itu bahagian kita.

Kadangkala,
Terlalu sukar memahami,
Mengapakah ia terjadi,
Ada rahsia hikmah tersembunyi,
Menjadi penilai budi pekerti.

Kadangkala,
Apa yang kita mahu tidak kesampaian,
Apa yang kita benci asyik berkunjungan,
Tidak tahu,
Mungkin adanya rahmat tuhan.

Kadangkala,
Kita asyik memandang ke hadapan,
Lupa pada insan di kiri dan kanan,
Kita bukan hidup berseorangan.

Kadangkala,
Ada yang cantik di depan mata,
Ada yang harum dihidu ia,
Ada yang manis di dalam rasa,
Tetapi masih ada,
Yang sunyi sepi,
Menangis di tepi kita,
Didalam hati dilubuk rasa.

Kadangkala,
Sedih itu lebih bahagia,
Redha menerima pemberianNya,
Daripada ketawa dalam derhaka.

Kadangkala,
Tidak semua semudah disangka,
Apa yang perlu,
Berusahalah dengan seluruh tenaga,
Berdoalah dengan seluruh nyawa,
Moga rahmat tuhan memberkati kita,
Selamanya.

Thursday, December 22, 2005

Tahniah

Tahniah untuk Mohd Hanif M.Noor Anep untuk kejayaannya meraih 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR)

Jangan lupa sujud syukur.

al_jantanie
manhumi_ilm

1 - Si Malang

Antara sajak-sajak terawal yang saya tulis sejak tahun 2003

Sajak : Si Malang
Oleh : Mohd Zaki

Si Malang,
Adakah aku begitu bertuah,
Dengan memanggil engkau Si Malang.

Si Malang,
Engkau tunduk mendiamkan diri,
Bisu kaku sunyi sepi,
Pilu sedihmu membuku di hati.

Si Malang,
Bagaimanakah rasanya menjadi Si Malang,
Tentu sedih ditertawa orang,
Apabila menangis engkau keseorangan.

Si Malang,
Dalam hati ada impian,
Berlari mengejar melompat berterbangan,
Namun sudah kehendak tuhan,
Engkau tersungkur di tengah jalan.

Si Malang,
Langkahmu menghala setapak ke hadapan,
Terkadang ada tembok,
Engkau panjat lepasi jua,
Terkadang ada lurah,
Engkau turuni sampai akhirnya,
Namun sudah kehendak Dia,
Engkau terhenti sebelum penghujungnya.

Si Malang,
Terlihat bagai ada airmata,
Datang daripada kesedihan,
Sebuah harapan yang,
Berkecaian.

Si Malang,
Adakah dengan itu,
Kau akan berhenti Si Malang,
Lupakah,
Tuhan tidak berputus asa,
Kepada hambanya yang tidak berputus asa.

Si Malang,
Siapakah sebenarnya Si Malang?
Saya?,
Anda?,
Atau kita semua?,
Apabila asyik mengaku kalah,
Telah kalah sebelum kalah,
Kerana yang menang setelah menang,
Tak pernah berhenti walaupun kalah.

Wednesday, December 21, 2005

Catatan Di Celah-Celah Peperiksaan (3)

Catatan di celah-celah peperiksaan (3)

Seorang kawan datang bertamu soalan. Apa lagi kalau bukan masalah feqh. Dan saya (walaupun kalau tidak diulang, anda tahu juga) adalah mahasiswa Lughah Arabiah.

Sebuah jamaah sedang solat. Imam membaca surah dan tersilap (ataupun terhenti kerana terlupa). Soalannya - bolehkah seseorang yang di luar sembahyang (yang sedang duduk-duduk berehat atau santai-santai) membetulkan bacaan Imam, sedangkan makmum sendiri pun tidak membetulkan?

Saya fikir dua tiga empat lima kali (atau lebih daripada itu).

Pertama saya katakan, saya juga kurang pasti (sebab saya tak pernah jumpa soalan sebegitu dan menerima jawapannya). Kedua saya katakan padanya (apa yang saya pasti) bahawa memang wujud hubungan antara orang yang sedang sembahyang dengan orang yang di luar sembahyang. Contohnya, seorang yang tersalah kiblat boleh ditegur oleh seorang yang di luar sembahyang, bahkan ditunjukkan arah kiblat yang sebenar. Itu menandakan berlakunya interaksi antara orang yang dalam sembahyang dengan orang yang di luar sembahyang.

Dua, seorang yang sedang sembahyang di rumah, kemudian ada tetamu datang memberi salam (dari luar rumah) maka dia dibenarkan membaca tasbih sebagai ganti kepada jawab salam tersebut.

Dua hujah ini, adalah apa yang saya katakan padanya demi menyatakan - wujudnya interaksi antara orang yang dalam sembahyang, dengan orang yang di luar sembahyang.

Soalan itu dibawa kepada ahlinya (seorang mahasiswa Syariah Islamiyah) dan beliau menambah hujah berikut. Baginya (sebagai hujah yang ketiga di pihak saya) adalah boleh kerana berlaku seorang jariah (kalau tidak silap saya) meninggalkan pesan (secara berbisik) di telinga Nabi, sedangkan ketika itu Nabi sedang solat. Jika pesan itu (memang langsung) tiada kaitan dengan solat, maka min bab al-aula - apatah lagi kalau interaksi itu ada kaitan dengan solat (membetulkan bacaan yang salah atau mengingatkan yang lupa).

Tetapi, saya tertarik apabila sahabat saya yang seorang lagi (juga mahasiswa Syariah Islamiyah) mengatakan bahawa ada baiknya tidak ditegur kerana satu - menegur itu sebaik-baiknya adalah orang yang di belakang imam (betul-betul di belakang imam dalam saf pertama), kemudian orang yang di sebelah kanannya, kemudian orang yang di kirinya. Tetapi tidak pula disebut hingga kepada orang yang di luar sembahyang.

Dua, sekiranya teguran (daripada makmum tersebut) tidak bermaksud 'zikir', atau sekiranya tersalah (dia pun sama dengan imam, salah juga), maka solat yang menegur boleh batal. Maka, mana wajarnya orang yang di luar solat menegur Imam.

Apapun, dalam keadaan tidak pasti dengan jawapan sebenarnya saya katakan, saya macam pernah terbaca di mana-mana, (kalau tidak salah, hadis) bahawa Syaitan (atau Iblis) pernah menyatakan bahawa, dia lebih takutkan orang yang sedang tidur di dalam masjid daripada orang yang sedang solat (di dalam masjid yang sama) kerana orang yang sedang solat boleh dilalaikan (diganggu), tetapi orang yang tidur tidak dapat diganggu. Dalam kebimbangan, kalau-kalau orang yang tidur itu tiba-tiba terbangun dan 'membetulkan kesalahan orang yang sedang sembahyang' (yang sedang diganggu.)

Saya minta maaf sebab tidak sempat mentakhrijkan mana-mana hadis yang saya masukkan. Tidak cukup masa.

Akhirnya, saya sendiri kata, saya (dan anda juga) kena tanya orang yang lebih pakar.

al_jantanie
manhumi_ilm

Rasanya, saya telah menulis terlalu panjang kali ini (jika dinisbahkan kepada waktu yang agak suntuk)

Sunday, December 18, 2005

Catatan Di Celah-Celah Peperiksaan (2)

Catatan di celah-celah peperiksaan (2)

Memang idea ini muncul dan sarat tatkala sedang menelaah Kitab al-Lahjat Arabiah wa Al-Qiraat. Bahkan, saya akan katakan, saya tidak dapat menulis panjang kerana masa juga sangat suntuk.

Mengenai satu rad (penolakan) saya terhadap hujah doktor (yang menulis kitab tersebut)

Sebelum itu, perlu diketahui, banyak ulamak Lughah (bahasa) dibantai (atau gantikan dengan istilah yang lebih tepat) dalam madah alias tajuk ini. Lebih-lebih lagi apabila mereka menolak (atau tidak merajihkan) qiraat yang mutawatir sanadnya apabila qiraat-qiraat tersebut melanggar kaedah tatabahasa yang ditetapkan dalam bahasa Arab.

Itu, bagi saya, saya juga tidak menyokong sesiapa juga yang melanggar ke'mutawatiran' sanad, dengan hanya berhujahkan kaedah dan logika akal. (masukkan juga, bahawa saya menentang pendapat Al-Bani apabila dia men'dhoif'kan hadis-hadis sohih dalam Sahih Bukhari.)

Menurut penulis (iaitu doktor yang menulis), kebanyakan ahli Lughah (bahasa) zaman dahulu tidak meneliti dengan ilmu qiraat dan lahjah, sebaliknya menumpukan kritikan hanya berpandukan kaedah-kaedah yang digariskan oleh ulama-ulama Lughah.

Kemudian penulis kitab tersebut menambah, mengenai hujjiatul Quran wa Sunnah Fil Lughah dengan menyatakan antaranya bermaksud - sepatutnya mereka (ahli bahasa) menggunakan Al-Quran dan Sunnah dalam syawahid mereka, kerana Al-Quran dan Sunnah bertahap fasih. Tetapi yang nyata, mereka kurang mengambil dalil daripada Al-Quran dan sunnah, sebaliknya mengambil banyak syair. Apa yang perlu dilakukan oleh para Lughawi adalah kembali mengambil Al-Quran dan Sunnah untuk dijadikan syawahid.

Di sinilah saya menyatakan rad.

Al-Quran turun kepada masyarakat Arab yang memiliki kekuatan 'fasohah' iaitu kefasihan dalam bahasa. Dan Al-Quran melampaui segala kefasihan mereka bahkan didatangkan dengan uslub yang cantik dan memukau hingga fusoha' di zaman itu turut terpinga. Bahkan, Al-Quran dengan kecantikan bahasa itu berani mencabar mereka mendatangkan sesuatu yang setanding Al-Quran dan jelas, mereka gagal mendatangkannya.

Itulah hujah saya.

Kita perlu menyedari tugas ahli bahasa adalah - mencari had betul dan salah dalam bahasa. Sekiranya Al-Quran berada di kedudukan 'sangat cantik, sangat fasih, sangat istimewa' itu bermakna kita perlu menyedari bahawa masih ada lagi (benda-benda lain) yang berada pada kedudukan 'biasa-biasa sahaja, masih lagi fasih, masih betul walaupun tidak istimewa'. Itulah dia kalam Arab, dan kebanyakan berada dalam Syair.

Apabila tugas ahli Lughah adalah mencari sempadan betul dan salah (dan bukan sempadan istimewa dan tidak) maka, kebanyakan syair-syair Arab (yang berada jauh di bawah kedudukan Al-Quran) digunakan dalam Syawahid dalam Lughah.

(Kecuali apabila syahid dalam syair menentang syahid dalam Al-Quran. )

Saya sedar saya bukan bertaraf doktor, tetapi apabila hujah itu saya sangkal, saya juga mendatangkan hujah yang layak diterima pakai. Atau anda boleh rad.

al_jantanie
manhumi_ilm

Thursday, December 08, 2005

Islam Itu Penyelesaian

Catatan di celah-celah peperiksaan (1)

Sebelum mulakan catatan, saya perlu bagitahu. Ia barangkali ringkas memandangkan imtihan.

Saya membaca surat khabar Al-akhbar dua hari lepas. Ada berita mengenai piliharaya Mesir. Saya tertarik untuk memetik kalam seorang penulis di situ antaranya mengulas mengenai tindakan Ikhwan Muslimun menggunakan syiar atau motto (senang cerita) dalam pilihan raya. Mottonya yang berbunyi – Al-Islam Huwa Al-Hillu (Islam adalah penyelesaian)

Menurut penulis, tindakan ikhwan itu telah menyebabkan kejayaan mereka meraih sokongan yang kuat dalam pilihanraya kali ini sambil mempertikaikan – Apa motif ikhwan memakai motto tersebut PADAHAL Mesir memang negara Islam, dan melaksanakannya?

Juga menambah ketidaksenangannya terhadap tindakan Ikhwan dengan menyatakan bahawa – tindakan Ikhwan telah melanggar undang-undang negara yang mana antaranya menyebut – dilarang menggunakan syiar dalam pilihanraya sebegitu.

Bahkan, penulis mengambil kalam daripada pemimpin tinggi ikhwan dan mereka menjelaskan antaranya bermaksud – Apa yang Ikhwan cuba buat adalah sebagai satu kesinambungan kepada apa yang berada selepas pilihanraya. (Barangkali mereka menganggap masih ada yang ‘belum Islam’ dan perlu ‘diislamkan’)

Penulis mengambil kalam daripada Dr Ali Jum’ah, Mufti Mesir yang menyatakan antaranya bermaksud – Islam tidak membenarkan sebarang syiar yang bertentangan dengan syarak dan undang-undang negara, kerana undang-undang dibuat berdasarkan maslahah negara, dan ia perlu dipatuhi (sekaligus merujuk bahawa tindakan Ikhwan bertentangan dengan keadaan yang dinyatakan)

Saya kata dua. Satu – patutlah masa tilik-tilik kain rentang perasan Cuma kain rentang Ikhwan sahaja yang ada motto. Masa itu pelik juga tetapi mengkagumi kerana mereka ada ciri pengenalan diri.

Dua – Kenapa Islam ditekan begini rupa?

al_jantanie
manhumi_ilm

Tuesday, November 15, 2005

Merundum

Baru-baru ini, keinginan saya membuat catatan blog merundum (mungkin) dengan beberapa sebab.

1. Tumpuan bercempera
2. Kesibukan menerbitkan Antologi Kali Kedua @ CDRK, tetapi dirintangi beberapa hal dan ketertangguhan yang tak terelakkan.
3. Banyak membaca weblog orang, dan rasa malu dengan diri sendiri.
4. Periksa semakin hampir
5. Tekanan pihak tertentu, melancarkan tindakan tidak siuman dan mengarut.
6. Perlu memperuntukkan masa untuk perkara lain.

Itu antara sahaja, tetapi kalau anda lihat blog ini mengalami kelembapan kemas kini, saya pohon maaf sahaja.

al_jantanie
manhumi_ilm

HPKP'05

HPKP

Saya mencadangkan Hadiah Pena Karyawan PMRAM 2005 (HPKP'05) adalah bertujuan satu – menggalakkan keinginan menulis di kalangan mahasiswa dan mahasiswi al-Azhar, dua – membuka minda calon penulis mengenai beberapa ciri dan standard penulisan sesuai dengan genrenya, tiga- menjadi tapak pertama kepada usaha penggalakan penulisan di Mesir, empat – mengubah persepsi dan pandangan mereka yang tersalah sangka dengan penulisan bahawa ia bukan sekadar omongan kosong tetapi bicara ilmuan, dan lima – mencari bakat-bakat baru yang belum menyerlah dan belum menjumpai medan penulisan masing-masing.

HPKP'05 adalah ilham Saudara Hafiz Noramli Halimi dan saya. Kami menyedari bahawa sesetengah penulis memang tidak menonjol kerana ketiadaan peluang untuk turut serta dalam program penulisan di sini kerana kesibukan masing-masing. Dan hasilnya, beberapa nama yang tidak pernah didengari dalam semiar penulisan tampil menghantarkan karya mereka.

Barangkali HPKP'05 masih kaya dengan kekurangan dan kesilapan, tetapi ia adalah percubaan sekaligus langkah pertama dalam usaha menggalak keinginan menulis dalam kelompok masyarakat Azhari. Anggaplah kekurangan itu datang daripada kesilapan pengurusan dan bukannya yang lain, dan saya memohon maaf atas segala yang berlaku.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur (PMRAM), pihak pengadil yang terdiri daripada Saudara Zaid Akhtar (hakim cerpen), Saudara Ubaidillah Alias (hakim artikel) dan Saudari Madihah Nabihah (hakim sajak), juga kepada semua yang membantu secara rasmi mahu pun tidak rasmi, daripada pengiklanan, penyediaan hadiah, dan lain-lain. Saya seberapa usaha mengurangkan beban urusetia yang lain sekaligus berharap agar kelicinan pengurusan mencapai tahap semaksimum mungkin.

Pihak pengurusan HPKP'05 menerima sejumlah 7 artikel,13 cerpen dan 21 sajak dengan sebahagian kecil didapati melanggar syarat pertandingan sekalipun memiliki kualiti tertentu. Namun, keputusan hakim adalah muktamad, dan sebarang cadangan membina bolehlah dihantar terus kepada saya.

HPKP perlu kepada pengemaskinian, tetapi demi mengangkat mentaliti Azhari mengenai hakikat sebenar penulisan, usaha ini terpaksa dijalankan juga tanpa sebarang tangguh. Ya, barangkali hasilnya belum memadai dengan target yang disasarkan, tetapi ia bagi saya sudah menepati dan melaksanakan sebahagian fokus yang kita tumpukan. Saya memohon maaf atas segala 'beban' yang saya ciptakan di bahu orang-orang tertentu, juga kelewatan yang terjadi.

Apa juga, terima kasih untuk semua.

Klik di bawah untuk melihat senarai karya dan keputusan.
Keputusan versi pdf atau html

al_jantanie
manhumi_ilm

Friday, November 04, 2005

Sama Juga

Siapa kata Arab tak bagi duit raya? Cuma, bezanya, bagi di masjid. Dan Arab tidak terhad kepada duit, tetapi lebih umum kepada bagi hadiah. Bukan semata-mata duit. Untuk budak-budak sahaja. Siap buat iklan tampal di masjid lagi. Budak-budak kita pula menagih dari rumah ke rumah. Itu adatlah namanya.

Walaupun saya pernah nampak ada Ammu bagi pada Walad duit. Saya rasa, Cuma Ammu yang pemurah sahaja. Dan di sini tiada lah pergi ziarah satu rumah ke satu rumah minta duit raya.

Siapa kata Arab tidak gembira sambut hari raya Aidilfitri? Kalau tidak gembira kenapa sibuk bersihkan rumah, kibas karpet, sapu lantai, basuh tangga, susun sofa. Kalau tidak kenapa sibuk gantung kain rentang atau papan tanda – kami mengucapkan tahniah kepada kamu dengan kedatangan Aidilfitri mubarak. Kalau tidak gembira kenapa sambut hingga membanjiri pantai dan bersorak? Kalau bukan kerana kedatangan raya Aidilfitri juga raya yang besar bagi mereka.

Cuma saya tidak cenderung membesarkan sangat raya ini. Sekadar biasa-biasa sahaja, kemudian hidup juga macam orang lain hidup. Tetapi kalau dijemput ke rumah orang yang buat rumah terbuka, itu kan persoalan biasa? Anda pun boleh jawab.

Ammu – Pakcik
Walad – budak kecil

Thursday, November 03, 2005

Adik Mahu...

Adik pakai baju baru yang Ibu beli petang tadi. Ibu kata pakai saja esok, tetapi Adik nak pakai malam ini. Adik mahu ke masjid. Adik mahu terawih, mahu menghadap Tuhan dengan baju yang baru.

Dalam banyak-banyak hari, baru malam ini ayah bawa adik ke masjid. Semalam adik minta tapi Ayah tak bawa. Kelmarin adik minta juga, tetapi Ibu tak beri. Adik mahu terawih tetapi Ayah macam kedekut mahu bawa. Adik mahu terawih tetapi Ibu macam halang mahu pergi. Tapi terawih malam ini adik akan pergi. Dan, Adik sangat gembira.

Adik ingat cikgu selalu pesan kelebihan terawih. Tentang Ramadhan. Katanya, cuma bulan Ramadhan sahaja ada terawih. Katanya, bulan Ramadhan doa mudah diperkenankan. Katanya lagi, bulan ini lah bulan keampunan, bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Adik sangat gembira dan berazam mahu pergi terawih. Mahu pergi solat terawih di masjid. Lagi dengan baju baru.

Buka puasa tadi adik sudah tidak sabar-sabar pakai baju baru ini. Adik minum seteguk lantas masuk ke bilik dan pakai baju baru. Kemudian merayu pada Ayah yang sedang mengunyak eish - Adik mahu ke masjid malam ini. Ibu pandang Ayah, dan Ayah pandang Adik.

Ayah angguk. Adik gembira. Adik boleh terawih malam ini. Adik mahu solat sebelah Ayah, kemudian kalau Imam baca doa, Adik akan minta sesungguh hati. Adik akan minta, sempena Ramadhan ini, minta agar Allah ampunkan dosa Adik, dosa Ayah, dosa Ibu, dosa semua.
Sempena Ramadhan ini, dalam keberkatannya, dalam keberkatan terawih, Adik mahu minta agar keluarga Adik sejahtera. Itu lah yang cikgu ajar. Cikgu suruh berterawih.

Adik tiba di masjid. Kami solat Isyak. Adik menunggu Imam bangun untuk solat terawih. Sungguh Adik berdebar-debar mahu terawih. Inilah terawih pertama adik. Ini lah waktu Adik mahu minta sesungguh hati. Detik inilah Adik akan mohon agar Tuhan ampunkan dosa Adik, dosa kami semua.

Tetapi Imam tidak bangun. Ayah tidak bangun. Jemaah tidak bangun. Semua tidak bangun. Bahkan, Imam ambil mikrofon dan sebut nama Tuhan berulang kali. Makmum yang sudah habis solat juga ulang sebut nama Tuhan berulang kali. Kuat-kuat. Adik dengar dan Adik tidak faham. Adik goncang tangan Ayah. Adik mahu terawih. Kerana itu Adik datang malam ini.Kerana itu Adik minta sungguh-sungguh mahu ke masjid. Kerana itu Adik pakai baju baru. Kerana Adik mahu terawih.

Ayah pandang Adik. Adik ulang lagi - Adik mahu terawih.

Dalam hati Adik sebut, Adik mahu berdoa dan minta Tuhan perkenankan!

Ayah dengan suara lembut, tetapi terpaksa dikeraskan (kerana makmum semuanya bersuara kuat) - malam ini sudah tidak ada terawih. Malam ini malam eidulfitri. Malam ini malam raya. Malam ini kita bertakbir saja.

Adik, dengan air mata yang gagal ditahan, menangis kerana terlepas mahu terawih dan terlepas bulan Ramadhan.

al_jantanie
manhumi_ilm

Wednesday, November 02, 2005

AKK - Suatu Usaha

Antologi Kali Kedua, AKK, yang kemudian telah diberi nama CDRK (Cinta dan Rona Kinanah) bakal ke pasaran insya-Allah, November ini. Ia adalah projek PMRAM dengan kerjasama Komuniti Adabuna. (Adabuna adalah medan pertemuan penulis-penulis Timur Tengah) Dan saya sebagai mas'ul 2 AKK @ CDRK, sedang dalam proses akhir menyiapkan antologi ini. Nantikan kemunculannya.

al_jantanie
manhumi_ilm

Selamat Hari Raya

Sekian lama tidak menulis untuk jurnal banyak mengingatkan saya pada keluarga, rakan-rakan, sahabat handai, guru-guru, juga para pengunjung. Maaf, Ramadhan ini agak sibuk dan ada ketika tidak sihat. Ramadhan berlalu dan Syawal menjelma. Sebaiknya tidak terlalu membesarkan Syawal, hingga memperkecilkan Ramadhan.

Bagi saya, Syawal tetap sama seperti bulan-bulan lain, sekalipun ada Hari Raya. Minda masyarakat kita sering membesarkan Syawal, hingga kedapatan yang memperkecilkan Ramadhan. Itu salah. Jangan kerana membesarkan sesuatu membuatkan kita memperkecil yang lain. Sedangkan yang lain itu punya kelebihan dari Tuhan, dari Ar-Rahman. Sempena esok, demi meraikan juga semua pengunjung, saya juga mahu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

al_jantanie
manhumi_ilm

Tuesday, October 18, 2005

Iman Yang Sebahagian Lagi + Baru Empat Suku

Iman Yang Sebahagian Lagi + Baru Empat Suku

Iman Yang Sebahagian Lagi (IYSL) adalah karya terbaik saya setakat ini. Tetapi pelik entah mengapa, dalam keyakinan saya yang penuh itu saya dikecewakan entah berapa kali. Saya pernah menghantar ke Tunas Cipta, bahkan Berita Harian. Tunas Cipta saya hantar ke alamat yang salah, setelah sekian lama tidak sedar, hingga kecewa sempat bertunas dan membuahkan hampa. Berita Harian saya kira kesilapan sendiri kerana tidak sesuai dengan masa dan ketika. Dalam bulan Ramadhan cerita pasal iman?

IYSL digaraop secara 'bercerita', walaupun sepanjang apa yang saya terangkan kepada kawan-kawan ia adalah 'imbas balik'. Mendalami watak seorang Ibu juga perempuan bahkan isteri, saya persembahkan dalam kadar seberapa 'feminisme'. Biar kelihatan benar-benar 'perempuan' (harap-harapnya). IYSL adalah kebanggaan saya kerana inilah kali pertama ide sarat dalam kepala minta dicurah. IYSL adalah kebanggaan saya kerana saya merangka segala-galanya di dalam kepala, dari plot, susunan idea, watak, latar masa, latar tempat, rangsangan, teori sebab dan musabbab, peleraian, bahkan dalil! Dan dengan kebanggaan yang sebanyak itu saya kecewa. Dan kali ini, saya mahu menghantarnya ke Dewan Agama Dan Falsafah. Harap-harap ia memuaskan hati editor.

'Baru Empat Suku' (BES) adalah karya terbaru saya setakat ini. BES adalah hasil curahan ilham sewaktu saya bermalam di bumi Iskandariah beberapa bulan yang dulu. Saya menukar gaya penulisan kepada 'tegak dan lurus' daripada gaya yang 'berbunga-bunga'. BES agak perit kerana ia disampaikan secara 'monolog dalaman seorang anak dara', dan saya berusaha bersungguh-sungguh agar segala ilmu bantu akan cair 'secair-cairnya' di dalam karya ini. Apa yang sukar, ketika proses 'peleburan hingga cair itu', saya mengorbankan 'bahan api yang sangat banyak' – masa. Bahkan, kesulitan ternyata lebih jelas apabila, saya kelam-kabut dalam penyusunan isi, hingga sedikit ragu dengan mutu karya di permulaannya. Iaitu, dalam muka pertama. Tetapi, ia menceritakan berkenaan bulan Ramadhan, dan saya harap, editor Utusan menilainya sebagai layak untuk disiarkan.

Salam Ramadhan.

Sunday, October 16, 2005

Hujan Emas

Hujan

Memakai seluar dan baju ala kadar, membawa duit sewa dan terus kedai tuan rumah, saya lakukan tanpa tangguh-tangguh. Angin berderu kuat. Langit gelap. Tetapi saya malas memperdulikan semua itu. Biarlah. Tangga saya langkah berpasang-pasang, dua-dua, dan tangan mengemas saku pastikan duit benar-benar ada di situ.

Kedai tuan rumah berkunci, dan saya lihat langit kekal gelap semacam menyimpan dendamnya zaman berzaman mahu 'membasuh' kota Iskandariah ini. Hujan mula turun renyai dan semakin lebat ketika saya berpaling kanan dan kiri mencari bayang tuan rumah. Kelibatnya. Tidak pun barangkali Muhammad, anaknya yang selalu mengetuk pintu rumah.

Tiada.

Hujan bukan sahaja semakin lebat, bahkan membawa kesejukan dalam setiap deruan angin, memaksa saya kembali ke atas. Semalam janji mahu bayar sewa rumah hari ini, sekali dengan bayaran air.

Barangkali saya patut ketuk pintu rumahnya.

Saya naik ke tingkat tiga. Hujan yang mendendami bumi benar-benar menggila. Turunnya belum reda walau sudah seminit membasuh segala. Ya lah. Mesir bukan senang tengok hujan lebat macam ini. Selalunya renyai sahaja. Itupun dalam 20 saat atau setengah minit lantas berhenti. Macam tidak sudi. Apa nak buat kalau tidak sudi?

Saya menekan loceng. Harap tuan rumah akan buka pintu, sambil tersenyum dan mempelawa saya masuk. Saya menunggu sepuluh saat. Ataupun kalau pun dia tidak ada, anaknya Muhammad ada di situ. Jadi bukti saya sudah ke rumah mahu menjelaskan bayaran. Dan jadi bukti saya bukan langgar janji. Pintu dibuka.

Anak daranya terpacul di depan pintu.

Ayah awak ada?

Dia tiada. Dia keluar. Ada apa-apa hajat?

Bila dia balik? Selepas sejam?

Malam. Ada apa-apa yang boleh ditolong?

Tak mengapa. Terima kasih.

Hujan juga belum kecewa dan berterusan turun. Saya terkena biasnya, bertompok-tompok di baju dan seluar. Saya minta diri, dan anak dara itu menutup pintu.

Saya naik ke tingkat atas, masuk ke rumah lantas teringatkan sesuatu. Hujan! Baju di jemuran belum diangkat!

al_jantanie
manhumi_ilm

Saturday, October 15, 2005

Api Nasuha Dan Tombak Nyawa

Api Nasuha dan Tombak Nyawa

Saya melalui saat yang perit ketika menyiapkan 'Api Nasuha dan Toimbak Nyawa'. Pertama kerana saya berusaha menjelaskan semua keadaan dari semua sudut pandang watak. Paling kurang, apa yang difikirkan oleh watak antagonis, juga apa yang difikirkan oleh watak protagonis. Bahkan, latar masa juga panjang dan dikerat-kerat. Pertama, latar masa malam sebelum tragedi. Kedua, latar masa pagi sebelum tragedi, juga memuatkan imbas balik peristiwa malam tadi. Ketiga, latar masa ketika tragedi, dari sudut pandang watak antagonis. Keempat, latar masa ketika tragedi, dari sudut pandang watak protagonis. Kelima, latar masa ketika tragedi, dari sudut pandang watak sampingan. Keenam, latar masa sesudah tragedi.

Bahkan, kesukaran berganda-ganda apabila saya memasukkan 'terlalu banyak benda' di dalam karya. Berbeza-beza. Pertama, apabila saya cuba menyampaikan mengenai hukum menyeksa dengan api, cuba dicernakan seberapa 'cair' di dalam karya. Biar benar-benar larut. Ia mendominasi penceritaan. Kedua, apabila saya menyampaikan mengenai kekotoran dan idea tikus moden, sambil sedikit berfalsafah mengenai kedayusan 'kucing' sebagai 'polis' dunia. Ketiga, apabila saya menyelitkan sikap ingkar pada nasihat ibu dan degil seorang anak. Bahkan dua. Keempat, dan barangkali (dengan kuat) ia wajar dibuang sahaja dari cerpen ini, gurauan Lokman dan Arif dalam karya yang tidak membantu penceritaan, sekadar menambah kemahiran berdialog.

Saya kira, saya mempersembahkan karya dengan beberapa lapis penceritaan. Pertama, naratif (penceritaan) yang tidak terlalu banyak, semacam berpada-pada agar tidak terlalu lewah. Bermula dengan prolog (engkau). Kedua, dialog yang diungkapkan selari dengan latar masa, dan ia disampaikan dalam pembuka kata dan penutup kata. Ketiga, dialog yang diungkapkan sebelum latar masa (imbas balik) dan ia diungkapkan secara naratif. Keempat, suara hati. Saya membezakan dialog dalam latar masa sekarang dengan dialog dalam latar masa imbas balik demi membezakan keduanya dari sudut masa. Memanglah kedua-duanya orang boleh dengar.
Kemudian saya membezakan antara dialog dan suara hati kerana dialog dapat didengari sedangkan suara hati hanya satu pihak sahaja. Apa yang saya lakukan sebenarnya adalah, mahu memberikan gambaran sebenar kejadian.

Cuma, saya sendiri masih mengesan beberapa kelemahan dalam karya ini, terutama ide utama karya ini. Berkaitan dengan tombak sedikit meragukan walaupun siksaan dengan api itu jelas terlarang. Barangkali ketika memberi gambaran watak seorang yang berilmu sedangkan dalam satu bahagian jelas mengabaikan ilmu. Itu bagaimana? Em, saya perlu banyak belajar lagi.

al_jantanie
manhumi_ilm

Sunday, October 02, 2005

Ramadhan

Ramadhan akan bertamu pada tarikh bermula 4 Oktober ini. Allahumma Ballighna Ramadhan. Selamat Berpuasa, dengan seribu rasa agung pada Tuhan.

(Ramadhan, takut kepenatan sangat hingga kurangdaya untuk kemas kini blog ini seperti selalu, atau asyik sibuk masak untuk berbuka atau sibuk cari masjid yang tawarkan 'Maidah rahman' sempena berbuka)

al_jantanie
manhumi_ilm

ps: gempur usaha mengedit, 173 muka surat word. Tolong aku ya Allah

Friday, September 30, 2005

Srengenge

Srengenge

Saya baru mengkhatamkan 'Srengenge' (Saya tidak tahu dari mana S.N Shahnon Ahmad dapatkan nama ini hingga saya tidak tahu bagaimana mahu menyebutnya, akhirnya saya baca Senggereng)

Biar kita lihat bagaimana generasi baru menilai Srengenge.

Srengenge dicipta dengan kekuatan ilmu bantu berkenaan hutan dan rimbanya, pokok dan tumbuhannya, tanah dan tanihnya, binatang dan haiwannya, bahkan disertakan gambaran dan suasana yang sangat jelas dan mempersona. Barangkali semua jelas dengan kekuatan bahasa S.N ini, penggunaan ayat berulang (tetapi isi yang masih bebeza) menjelaskan kekuatan bahasa paling tidak, memberikan gambaran dengan seratus kalimah. Kalau tidak memiliki kosa kata yang padu apa lagi?

Srengenge dilakarkan juga dengan mempersembahkan ilmu bantu yang sangat kuat mengenai adat orang-orang dulu serta pergaulan mereka, cara hidup mereka, cara berfikir, cara bertindak, cara berinteraksi; apa yang lebih jelas lagi memaparkan corak kehidupan warga kampung. Tetapi, yang mengkagumkan bagi saya, ada cara S.N sendiri berfikir. Atau juga boleh disebut, pengetahuan yang beliau miliki.

Daripada meracik tekukur, menepuk pelanduk, menggetah puling, menjebak landak, hinggalah kepada teknik-teknik khas yang diperlukan semasa semua kemahiran itu dilaksana. Tidak masuk lagi menutuh Srengenge, menebang, membakar, memerun, menajuk…Ah! Anda patut baca kemudian kira berapa banyak yang anda belum tahu.

Tetapi, apabila S.N mula memasukkan falsafah kehidupan, bahawa hidup itu adalah kerja, saya benar-benar kagum. Hidup itu bererti kerja, kata beliau. Walaupun sinopsis cerita ini barangkali pendek( Awang Cik Teh mahu tutuh Srengenge, Imam Hamad bersetuju akhirnya setelah kematian denak, Imam Hamad jatuh sakit, panggil Useng berubat, menjamu, dan akhirnya Imam maninggal dunia), tetapi kejelasan dalam penceritaan bukanlah suatu yang calang-calang. Bahkan menjelaskan 'latar sebenar' suasana dan fe'el (fiil) manusia membuatkan kita akan terfikir sebentar – bahawa Imam Hamad adalah imam ketika di tikar sembahyang, tetapi apabila di hutan meracik tekukur beliau adalah juara tekukur. (menjernihkan kontra dengan kekuatan bahasa) Bahkan terdetik di hati saya, Awang Cik Teh lebih layak lagi jadi Imam. Barangkali kerana tua. Barangkali kerana orang tak suka.

Cerita yang berakhir dengan kematian Imam Hamad sebenarnya bermula dengan keinginan menutuh Srengenge. Dan, antara babak paling panjang adalah proses mengubati Imam Hamad yang dikatakan 'tertegur'. Juga proses berdukun dan 'menjamu'. Tetapi, jangan itu sahaja, pandang juga skop dan pemandangan orang-orang waktu itu bila berhadapan dengan situasi itu, kemudian tekuni masyarakat zaman sekarang. Carilah banding bezanya, dan anda akan lihat bahawa membaca karya-karya lama memang tidak pernah menjadi sia-sia.

al_jantanie
manhumi_ilm

Barang Dapur

Thursday, September 29, 2005

Salju Jabal Musa, Adunan Rencam Yang Pelbagai

Salju Jabal Musa, Adunan Rencam Yang Pelbagai

Biarlah saya mengulas dengan lembut kali ini.

Saya meneliti secara perlahan setiap karya di dalam SJM dan mendapati, setiap pengarang memiliki identiti dan diri. Nimoiz T.Y misalnya (kerana saya membaca dari belakang) menggunakan kekuatan falsafah yang tinggi dalam karyanya. Saya jelaskan bahawa ia satu pembawaan yang tinggi, dan hampir-hampir tidak terbawakan oleh pembaca sederhana.

Barangkali saya mahasiswa Lughah bukan mahasiswa falsafah. Apa yang kelihatan, kekuatan bahasa sedikit sebanyak membantu menjelaskan ketinggian falsafah yang ingin dibawa. Nimoiz tampak tidak kompromi dengan merendahkan nilai falsafah yang dibawa. Baca dan saya yakin anda boleh merasainya.

Ida Munira punya kekuatan bahasa yang sangat kuat, apatah lagi apabila pembentukan ayat luar duga sering mengalihkan perhatian saya beberapa kali. Memiliki tajam bahasa puisi yang rencam dengan teknik menyebabkan ayat beliau sendiri tampak pelbagai. Kuat berkias juga dalam menjelaskan sesuatu, dan semacam terbawa-bawa menyerapkan kekuatan puisi ke dalam cerpen.

Ghafirah Idris bagi saya punya nilai tarikan perasaan yang lebih mengesankan. Dalam ketiga-tiga karya tersebut beliau suka menarik perasaan pembaca pada satu ton rasa, kemudian diselarasakannya dalam rentak yang sekata sepanjang penceritaan. Ya, menyebabkan perasaan pembaca dibawa dalam satu ritma yang tetap, kemudian permainan bahasa membawanya tanpa putus hingga ke penghujung cerita. Patut saya kata, tiga-tiga cerpennya punya kekuatan perasaan yang mengesankan.

Fahd Razy pula membawa karya dengan langgam yang pelbagai. Pembaca patut rasa senang dengan garapan yang mencambah, disesuaikan dengan tema. Beliau bagi saya memiliki kekuatan penceritaan babakan dan adakalanya menjelaskan suara dalaman (suara hati) yang mendominasi penceritaan. Karyanya segar dibaca lewat SJM ini, memaparkan sudut pandang yang sengaja dilukis berbeza dari sudut pandang biasa, sekaligus menghasilkan kesan pemahaman dari pihak kedua. Saya patut kata, ketiga-tiga karyanya punya kelainan dalam pembawaan, menyebabkan minda sama bangkit berkembang dan bercabang.

Amiza Khusyri, tokoh yang saya kenal benar lantaran acap jumpa membawa tiga karya yang sudah saya lumati sebelum SJM lagi. Namun, dalam pembacaan ulangan sekalipun akan memberikan kesan yang berlainan kepada saya. Barangkali, adunan semua unsur memadat dalam satu karya, dan boleh dikesani lewat pembacaan. Pengarang memiliki kekuatan bahasa yang segar dan bertenaga, meletakkan ilmu bantu secara beransur-ansur. Pengarang memiliki kekuatan babakan dan langgam yang sesekali turun naik di samping bahasa. Patut saya kata, cerita memiliki nilai tinggi rendah dalam plot, lurah dan puncak dalam konflik dan peleraian, bahkan memahami konsep ilmu bantu dan kesudahan.

SJM, satu hasil kesungguhan. Itu lebih tepat.

al_jantanie
manhumi_ilm

Wednesday, September 28, 2005

Aku Memang Marah

Aku Memang Marah

Aku memang marah dengar orang mengaku lemah. Mengaku tidak mampu. Belum apa-apa sudah mengaku kalah. Belum sampai mana-mana sudah mundur. Aku memang geram, dan serasa mahu kutonyoh-tonyoh sahaja kepala yang mengandung fikiran yang semacam itu.

Aku memang tidak boleh tahan dengar orang yang asyik mengalah. Tidak mampu kononnya. Tidak boleh kononnya. Padahal belum apa-apa. Ada yang baru sekali mencuba, baru sekali turun padang, baru sekali rasa susah, baru sekali sesak nafas, baru sekali semput tercungap, baru sekali cuba, baru sekali tersadung, semuanya baru sekali sudah putus asa. Padahal belum sampai ke mana-mana.

Baru sekali belum sampai ke mana-mana.

Aku memang radang kalau orang yang tidak mahu mencuba, terus sahaja lari dan berkata tidak mungkin. Atau yang baru mencuba sekali tiba-tiba disergah, digugah, dikekah, diagah, dikerah; baru sekali dan rasa mahu lari tidak mahu buat lagi. Alahai! Sekali itu banyak mana?

Tapi sebenarnya yang aku marah sangat-sangat, berang amat-amat, radang terlalu bangat, bila teringat bukan kerana apa tetapi sikap malas berusaha dan malas berlelah. Malas bukan kerana tiada bakat, malas bukan kerana tiada guru, malas bukan kerana apa tetapi kerana malas itu sendiri. Padahal kalau dipaksa diri, kalau bukan sekali seribu kali, akan ada hasil juga. Tetapi malas yang bertongkol-tongkol kerjanya asyik mahu rehat. Bila disuruh mahu lari. Bila disergah mahu rajuk. Bila dimarah mahu putus asa. Bila ditegur mahu berhenti.

Ikutlah sesuka hati. Mahu lari, larilah. Mahu rajuk, rajuklah. Mahu putus-asa, mahu berhenti, mahu rehat, mahu apa-apapun, buatlah sesuka hati. Kelak, bila aku sudah tidak ada, barangkali engkau boleh rasa senang hati.

al_jantanie
manhumi_ilm

Mencari Jaguh Si Ayam Jantan

Mencari Jaguh Si Ayam Jantan

Kita mahukan jaguh si ayam jantan. Yang apabila berkokok membingitkan telinga Si Mati Subuh. Yang kokokannya membangunkan matahari dari selimut gunung. Yang berkokok, apabila alam disapa jaga.

Tetapi ayam jantan yang semacam ini sangat kurang di sini. Ayam-ayam jantan semuanya mahu tidur memanaskan badan di dalam reban, atau bersembunyi di belakang rumah dan apabila matahari sudah cukup garang menghalau embun dari dada daun, barulah dia keluar. Ayam jantan yang tidak cukup garang.

Kita bukan mahukan ayam jantan yang seekor. Kita mahukan lebih dari satu. Kita mahukan ayam-ayam jantan yang tidak segan berkokok dengan nyaring dan bersaksikan alam; kokokan itu kokokan yang menyedarkan.

Ayam-ayam jantan tidak boleh tidak. Kokokan ayam betina tidak kuat macam ayam jantan. Kokokan ayam jantan yang jaguh tidak boleh tidak, mesti memateri gah ke alam, ke dunia, ke sekitar, apabila kokokan itu kokokan yang menyedarkan.

Kerana itu perlu pada kejaguhan. Jaguh-jaguh ayam jantan yang bila ayam-ayam betina memandang rasa yakin.Dengar kokokan rasa yakin. Lihat jaguh rasa yakin. Terasa gema kokokannya rasa yakin. Jaguh si ayam jantan yang membina mandiri di setiap urat dan nadi.

Jaguh si ayam jantan, perlu mara ke hadapan dan tonjolkan diri.

al_jantanie
manhumi_ilm

Tuesday, September 27, 2005

Debur Ombak Montaza 3

Kata Atondra:

Aku belajar kesetiaan dari ombak,
tidak jemu memukul pantai.

Kata orang tua-tua:

Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai

Kata Al-Quran:
Apabila mereka dikepungi ombak yang (menghadangi cahaya) seperti bayang-bayang, mereka berdoa (menyeru) kepada Allah dengan seikhlas-ikhlasnya…(Surah Luqman : 32)

Kata hadis:

Diceritakan kepada kami oleh Umar bin Hafs bin ghiath, diceritakan kepada kami Al-Aqmash, diceritakan kepada kami oleh syaqiq, aku mendengar Huzaifah berkata : sedang kami duduk di sisi Umar, dia berkata : Siapa di antara kamu yang menghafaz kata-kata Nabi s.a.w tentang fitnah? Maka (Huzaifah)berkata : Fitnah seseorang pada keluarganya, hartanya, anak-anaknya, jirannya dihapuskan dengan solat dan sedekah, dan menyuruh kepada kebaikan dan menegah dari kemungkaran. Berkata (Umar) : bukan ini yang aku tanyakan kepada kamu, tetapi (aku bertanya) tentang (fitnah) yang bergelora seperti ombak laut. Maka berkata (Huzaifah): tiada masalah wahai amirul mukminin. Sesungguhnya di antara engkau dan (fitnah) itu ada satu pintu yang tertutup. Berkata Umar : Adakah pintu itu dipecahkan atau dibuka? (Huzaifah) berkata : Bahkan dipecahkan. Berkata Umar : Maka, ia tidak akan ditutup selam-lamanya. Aku berkata : Ya. Kami berkata kepada Huzaifah : Adakah Umar mengetahui (siapa) pintu itu? Maka kata (huzaifah): Ya, seperti mana dia mengetahui sesungguhnya pada malam ini sudah tidak ada esok. Itu sesungguhnya aku menceritakan kepadanya satu cerita yang bukan untuk mencari salah. Maka kami ingin bertanya kepadanya siapakah pintu (yang dimaksudkan) maka kami menyuruh Masruq, maka dia bertanya kepada (huzaifah): siapakah pintu itu? Berkata (huzaifah) : Umar

(Hadis 6567, sohih bukhari, kitab Fitan)

(Saya meyakini terjemahan saya, cuma anda sebagai ihtiat perlu semak semula dan tanya pada yang lebih tahu)

Musnahkan ideologi dan sikap 'Kebergantungan Pada Satu Orang'

Musnahkan ideologi dan sikap 'Kebergantungan Pada Satu Orang'

Sengaja saya pilih tajuk yang sebegitu. Saya mahu anda membuka mata dengan akal yang celik dan hati yang jaga. Hapuskan ideologi dan sikap (baca:sikap sahaja) kebergantungan pada satu orang.

Anda sudah besar. Anda sudah patut memiliki diri. Kenapa asyik merasa ingin bergantung pada satu orang? Asyik mahu berada di bawah dan menanti orang menarik anda, membawa anda, menyorong anda, mendorong anda. Anda sudah miliki jiwa tetapi anda memperkecilkannya.

Miliki jiwa yang besar! Dari sekarang bina langkah baru kerana anda bukan si kecil yang baru bertatih. Anda patut sudah mula membesarkan langkah dan mara tanpa takut-takut lagi.
Saya tahu pengalaman anda cetek tetapi dari sekarang perdalamkan! Kalau anda tidak menggali pengalaman dengan usaha sendiri dan berteguh bagaimana pengalaman akan luas dan dalam? Bila anda sedar semua itu, anda akan yakin dan pasti, pergantungan pada orang menemui titik tamatnya.

Oh, tolonglah! Anda patut lupakan orang lain dan renung diri sendiri. Kemudian sebut dalam hati, anda mahu membina diri. Hilangkan sikap kebergantungan kerana sudah tiba masanya anda berdikari. Ya, berdikari. Proses pembinaan jati diri sudah patut dimulakan sekarang. Dengan jatidiri barulah anda yakin boleh membebaskan kebergantungan dengan orang lain.

Siapa kata ia tidak penat? Saat anda bergantung pada orang lain, kepenatan sudah lama wujud, tetapi anda tidak menanggung biasnya. Anda sembunyi. Anda terelak dari semua itu. Tetapi demi menghapuskan sikap dan ideologi ini anda perlu menjadikan diri anda orang pertama menanggungnya. Kepenatan dan memiliki diri, harga yang tidak berugian memiliki.

Apatah lagi sikap kebergantungan pada satu orang! Ia musuh jamaah. Perkumpulan yang dipasakkan padanya akan hancur bila satu orang menjadi kosong. Hancurkan ideologi dan sikap 'satu orang' ini dari minda. Sisihkan jauh-jauh. Dari sekarang, wujudkan seribu orang. Ia asas penting yang tidak boleh diabaikan. Semacam menjadikan ia sukar tetapi demi kemaslahatan jangka panjang, sedarlah bahawa satu orang, sampai bila-bila tidak akan memadai.

Anda patut mula membenarkan prinsip 'pergantungan dengan satu jamaah'. Tidak hanya satu orang. Dengan itu, anda tidak akan rasa senang kalau ia dimahiri oleh satu orang, kerana itu bukan pembentukan pelapis. Itu penghancuran pelapis. Itu salah, dan saya mahu anda betulkan itu dari kepala otak anda.

Binalah kepercayaan kepada diri, dan hancurkan prinsip kebergantungan ini. Anda patut memulakan dengan diri sendiri, dan bina diri. Anda boleh, saya yakin amat-amat.

Doa





Ya Allah,
Sesungguhnya kami jadikan (letakkan) Engkau di leher-leher musuh-musuh-Mu (yang juga merupakan) musuh-musuh kami (yang adalah) musuh-musuh agama, dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka.

Ya Allah,
Cerai-beraikanlah persatuan mereka, pecah-belahkanlah kumpulan mereka, pecah-belahkanlah kalimah (pendapat) mereka, dan goncangkanlah kaki-kaki mereka, dan kuasai ke atas mereka seekor anjing daripada anjing-anjing-Mu, Wahai Tuhan yang bersifat Keras, Yang bersifat Pemaksa, Yang bersifat Membalas.

Ya Allah yang menurunkan kitab, dan yang menggerakkan awan, dan yang menewaskan ahzab (kumpulan-kumpulan), kalahkan mereka dan menangkanlah kami ke atas mereka.

Ya Allah tolonglah agama Islam dan muliakanlah orang muslimin, dan hancurkan syirik dan musyrikin, dan letupkan musuh-musuh-Mu (yang merupakan) musuh-musuh agama. Dan tolonglah kami wahai Tuhan sekelian alam.

al_jantanie
manhumi_ilm

Monday, September 26, 2005

Debur Ombak Montaza 2

Debur Ombak Montaza 2

Harga tadabbur dari debur ombak Montaza mahal kalau dengan telinga. Enam Junaih. Empat untuk payung bulat dan dua untuk kerusi. Kalau tadabbur dengan mata percuma sahaja, sebab anda akan meneliti jauh dari gigi pantai. (hendak santai di tepi pantai kena bayar la.) Ombak langsung tidak akan kedengaran kerana jalanraya di belakang anda akan membingitkan hon dan deru geraknya. Jadi, saya tadabbur dengan mata sahaja. (Kalau mandi percuma. Tetapi saya mahu tadabbur sahaja.)

Setengah jam tadabur saya sudah didera bosan. Serasa mahu pulang dari duduk santai dan tidak buat apa-apa. Saya cuba tahan diri dari balik dengan SJM, membaca karya Ida Munira. Habis dua cerpen barangkali tiga, saya tidak boleh tahan. Saya mesti pulang sekarang juga.

Biarlah cicipan kali ini begini sahaja.

Nota Khulasoh Bukan Khotimah :
Enam junaih dan pantai masih kotor dengan sampah. Berapa junaih perlu bayar baru pantainya bersih?

al_jantanie
manhumi_ilm

Debur Ombak Montaza

Debur Ombak Montaza

Sangka mahu tadabbur dari debur ombak Montaza petang tadi. Mahu membilang keagungan Tuhan yang berulang-ulang di gigi pantainya. Mahu ‘mencicipi’ bayu yang sejuk ditawar bahang mentari asar. Mahu dan tidak tercapai, saya menukar jejak ke Rumah Johor, Iskandariah.

Dari rumah melewati kubri terus berjalan dengan hati yang bolak-balik. Bunga kertas dengan warna merah dan putih diganti patung singa batu barangkali tembaga bersilih mengganti pandangan mata. Saya ralit merenung pasaraya FatahaLlah, pasaraya borong yang menghadang panas sinaran matahari tersergam indah dihiasi landskap hijau rumput dan kerusi rehat.

Teduhan berakhir. Saya dijamah matahari sewaktu menuju ke pantai melepasi Hotel Sheraton, kemudian langkah menyusur jalan pesisiran pantai bengkang-bengkok, angin bertiup kencang menempelkan baju lebih kukuh ke badan. Saya membilang ‘kerusi tinggi’ di pantai, kemudian menganggar bilangan teduhan payung dan tembok juga memerhati pelancong juga warga tempatan yang asyik mandi-manda petang-petang panas buta.

Ah! Sekarang pun musim panas.

Mana Rumah Johor?

Tidak tersesat setelah sesat entah berapa kali, saya membelok ke selekoh yang tepat. Nah! Rumah Johor di depan mata.

Petang ini, dari tadabbur debur ombak ke taarruf pasar Ma’adini lebik akrab. Kenal isi kandungannya. Lorongnya. Harganya. Ah! Lokman yang taarruf, dan saya cuma perhatikan sahaja dia beli belah.

Beli ketam kegemaran isteri kata dia. Mengidam orang mengandung kata saya.

Tadabbur dari debur Montaza lain kali.

al_jantanie
manhumi_ilm

Sunday, September 25, 2005

Demi Udaramu, Asofirah

Deru Udaramu, Asofirah!

Saya salah turun. Saya sangka saya sudah tiba di pasar Ma’adini, Asofirah, jadi saya turun. Tetapi ini bukan pasar Ma’adini. Jadi, di mana pasar itu?

Tramco yang membawa saya tadi meluru ke depan setelah saya tergesa-gesa turun. Itulah padahnya kalau memandai-mandai. Falsafah orang Melayu. Itulah kuncinya kalau mahu segera pandai, sesat dahulu baru pakar jalan. Falsafah orang berilmu.

Saya sangka pasar tadi pasar Ma’adini, kerana itu barulah saya turun. Tetapi setelah berjalan hampir 300 meter dan Carnival yang sepatutnya berada di kanan jalan tidak kelihatan, saya hampir pasti saya turun awal.

Lokman ajar, selepas jumpa Carnival baru melintas landasan keretapi, dan kemudian, setelah beberapa selekoh, saya akan tiba di Rumah Johor. Tetapi, di mana Carnival?

Dalam perjalanan saya toleh kiri kanan, mencari muka yang boleh dipercayai untuk bertanya jalan. Saya bertanya pada dua orang demi memastikan yang benar-benar; saya sudah silap turun.

Pasar Ma’adini di depan sana, beritahu Ammu kedua.

Klinik Montazza di kanan saya. Saya jalan lagi. Kemudian ragu semula apabila bertemu kubri. Seingat saya, dalam perjalanan kali dahulu saya tidak pernah berjumpa kubri ini. Jadi, mahu naik ke atas kubri atau lalu di bawahnya sahaja?

Naik kubri!

Betul ke pasar Ma’adini di depan sana?

Nekad campur risau, saya naik kubri dan meneruskan perjalanan. Saya cari lagi orang buat penunjuk jalan. Jawapan Ammu itu positif. Saya tak silap! Pasar Ma’adini di depan sana!

Saya tiba di pasar Ma’adini, terus ke depan hingga sampai ke Carnival, melintas landasan keretapi dari situ dan....Eh! Arab tengah minum Syai dan hirup Syisha?

Layar ingatan kabur. Seingat saya, dulu Lokman bawa tak pernah lalu kedai ini!

Nekad berganda dua, risau berganda lima. Saya campurkan sahaja di setiap langkah kemudian mata pandang kiri kanan. Betulkah jalan yang saya lalui ini? Jadi...mana Rumah Johor?

Saya mencari petanda yang ditinggalkan Lokman. Cari Vodafone Fahd, masuk lorong itu dan Rumah Johor ada di depan mata.

Bertolak dari situ, saya melangkah mencari tanda yang Lokman pernah berikan. 100 meter, saya belum jumpa. 200 meter, risau berkata saya sesat lagi. 500 meter, saya nekad mahu bertanya.

Di sini banyak vodafone kan?

Ammu itu mengangguk dua kali.

Tetapi ada satu yang tulis, Vodafone fahd. Itu di depan lagi atau di belakang?

Ammu memegang dagu. Mukanya kerut seribu.

Di depan sana, kan?

Ammu angguk separuh.Ragu-ragu.

Saya nekad lagi. Saya rasa yakin vodafone Fahd ada di depan sana.

Untuk 100 meter berikutnya, keyakinan saya bercempera apabila terlihat kubri. Dahulu tak pernah nampak kubri. Ini kubri yang mana satu?

Dah sesat lagi!

Saya melorong ke jihat pantai. Menyusuri jalan pantai pula. Kalau jalan dalam tak jumpa, saya menyusur di laluan pantai pula. Cari penanda dari tepi pantai!

Saudi Arabia Airline...Saudi Arabia Airline...Ah! Itu dia!

Saya masuk lorong Saudi Arabia Airline, terus beberapa meter dan....Ai? Mana Rumah Johor?

Naik bingung campur letih, saya cari mahmul telefon Lokman.

Enta kat mana?

Ana di depan Housny. Rumah Johor kat mana?

Jauhnya! Enta dah terlajak tu. Patah balik.

Oh, ya ke?

Itulah sedikit dugaan jadi warga baru di Iskandariah ini. Lepas pergi Rumah Johor, saya mahu santai dan rehatkan diri di rumah sendiri!

al_jantanie
manhumi_ilm

Saturday, September 24, 2005

Jangan Rasa Kosong

Jumlah Pemikir Ketika Entri Ini Dipersembahkan :: 2437

Jangan rasa nihil walau seorang atau berdua. Jangan rasa kosong biar pantai Asofirah @ Montaza @ Mandarah tidak kau tatap tiap-tiap saat. Udaranya, dinginnya, hamisnya. Dan tolonglah jangan engkau, berputus asa.

al_jantanie
manhumi_ilm

Friday, September 23, 2005

Boikot

Jumlah Pecinta Bahasa Arab Yang Mengunjungi Setakat Entri Ini Dicipta :: 100

قاطعوا منتجات الشركات الداعمة لإسرائيل
Boikot produk syarikat yang mendokong Israel

setakat ini sahaja.

al_jantanie

Thursday, September 22, 2005

Madinah Ahlam

Jumlah Pengunjung Ketika Entri Ini Dipersembahkan :: 2435

Baru dua jam terlena di atas katil (setelah bersungguh dalam malas mengemas bilik) saya dikejutkan deringan mahmul minta perhatian. Daripada tetamu pertama saya setelah perpindahan ke Madinah Ahlam (kata seorang sahabat).

Saya bukan merasa berat mahu menulis, tetapi flashdisk rosak dan saya ragu-ragu, kafe siber yang mana satu membenarkan penggunaan disket. Em. Nampaknya, kalau hendak kerja mudah, saya perlu ada flashdisk.

Saturday, September 17, 2005

Catatan Awal Pagi

Saya tidak boleh kata saya tidak mengantuk, tetapi SUKEJ 108 belum siap edit, edaran buku MAT ke seluruh menanti tengahari esok, desakan kawan suruh segera ke Alex mendesah-desah, perbengkelan cerpen mahu perhatian juga. Jadi, dalam sasaran yang bercabang dari batang tubuh sebatang, saya akur. Saya belum patut tidur lagi malam ini.

al_jantanie
manhumi_ilm

Thursday, September 15, 2005

Hijjaz Dan Saya

Hijjaz Dan Saya

SATU

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

"Enta di mana?"

"Dalam perjalanan ke Kaherah."

"Ana nak minta tolong."

"Ya."

"Esok temuramah Hijjaz."

"Esok? Saya?"

"Jam 10 pagi. Ana ambil enta di Rumah Johor."

"Macam mana, ya. Em, kalau orang lain?"

"Siapa orang lain? Ana tak tahu hendak minta tolong siapa."

"Ana dah pencen, ustaz. Kalau ana cari orang lain?"

"Boleh saja. Nanti telefon ana semula."

DUA

Meninggalkan rumah, saya bertolak ke Kaherah. Bergegas ke Hayyu Asyir kerana janji pulang kereta jam 10. Iskandariah saya tinggalkan begitu sahaja. Tentu Asyir sedang bergegar dengan forum. Jumlah pasti tinggi tambah berganda apabila khitamnya adalah nasyid Hijjaz. Dan saya? Sedang mencari gandingan temuramah esok pagi.

TIGA

Usai temuramah dengan hampir belasan soalan 'tahap mahasiswa universiti' (kata orang, kalau mahasiswa temuramah pun serupa macam akhbar murahan temuramah, apa erti?) saya mahu undur diri tetapi dihadang kawan. Dia mahu saya menemani dia kerana dia diminta menemani Hijjaz. Jadi, pangkat saya bertukar dari penemuramah kepada 'penemujalan'.

Saya dan kawan membawa Hijjaz (lebih tepat, saya cuma teman, sebab tak berbuat apa-apa) pergi mencari sedikit barang makanan (buah tangan), kemudian makan tengahari semeja, beli sedikit di pasaraya, angkat barang, cari barang, temani ke lokasi persembahan dan tulis lirik. (ada lirik dalam bahasa arab)

EMPAT

Itulah, dan hampir satu hari (14/9) saya habiskan dengan Hijjaz. Barangkali itulah harga paling kurang yang sepatutnya saya hadiahkan untuk seorang yang bergelar tetamu.

al_jantanie

manhumi_ilm

ps: saya cuma menemani, itu pun kebetulan. Anda lebih layak temani Hijjaz. Anda kan peminatnya?

Nota Khotimah Bukan Khulasoh:

1. Terima kasih pada Ustaz Azhari sebab bagi pinjam baju.

2. Terima kasih pada Ustaz Nazar sebab tunjukkan Castella.

3. Terima kasih pada Ustaz Lokman dan Ustaz Firdaus Sulaiman sebab bantu saya pindah rumah.

4. Bukankah temuramah dinilai pada isinya?

Tuesday, September 13, 2005

Asofiriey, Iskandariyyi

Asofiriey, Iskandariyyi

"Mana barang-barang kau?"

"Dalam almari."

"Almari kau kosong."

"Almari di sana penuh."

"Sana itu di mana?"

"Montaza."

"Montaza?"

"Asofirah."

"Bila?"
"Apa yang bila?"

"Bila pindah?"

"Tadi."

al_jantanie
manhumi_ilm

Halangan Terbesar Penulis Mesir

Halangan Terbesar Penulis Mesir.

Saya menulis di komputer kawan kali ini.

Sewaktu saya bertanya kepada diri akan sebab pertama, dan dugaan pertama, bahkan pandangan serong yang pertama saya terima mengenai penulisan (dalam bahasa Melayu) (barangkali saya sendiri memberikan pandangan serong seperti itu) adalah; mengapa menulis dalam Bahasa Melayu dan bukan Bahasa Arab?

(Penulisan Bahasa Melayu dalam artikel, cerpen, dan berita adalah bentuk-bentuk penulisan Bahasa Melayu yang pernah saya ceburi di sini.)

Tentu sekali, apabila saya kerap bertanya kepada diri berkenaan soalan ini (apatah lagi saya mahasiswa Lughah Arabiah; kenapa hendak membuang masa menulis dalam Bahasa Melayu? Kalau macam ini bagaimana Bahasa Arab hendak maju?) saya rasa lemah dan kekurangan sebab. Tetapi saya tulis juga, dengan alasan membantu dan mencari ilmu.

Cuba anda bayangkan. Seorang yang bergelar mahasiswa 'Bahasa Arab' terlalu kerap menulis dalam Bahasa Melayu. Apa pandangan pertama yang akan anda berikan padanya?

Inilah halangan terbesar bagi saya, bahkan bagi semua mahasiswa Mesir apabila mahu menulis sesuatu dalam Bahasa Melayu. Lebih-lebih lagi apabila ada antara kami ditohmah tidak mahir berbahasa Arab (padahal kelemahan patut dinilai dari segala sudut dan bukan terhad satu jihat tertentu) , itu semua membikin resah mahu menulis sesuatu dalam bahasa ibunda.

Saya boleh kata, bahawa kesedaran menulis datang dari diri, tetapi apabila diri sendiri mempersoal kewajaran 'menulis dalam Bahasa Melayu' ramai penulis tarik diri. Kerana itu penulis dari bidang agama berkurangan? Menulis dalam Bahasa Melayu boleh 'melemahkan Bahasa Arab?'

Tetapi saya menulis juga. Tetapi kali ini, setelah setahun (lebih sedikit) saya temui sesuatu yang patut saya kongsikan dengan anda semua.

Menulis dalam bahasa ibunda tidak melemahkan Bahasa Arab bahkan semakin menguatkan penguasaan itu SEKIRANYA anda memahami konsep penghujahan dalam artikel, dan SEKIRANYA anda memahami konsep ilmu bantu dalam cerpen. Penghujahan dalam artikel berkehendakkan anda mendatangkan hujah, dan hujah (kalau bagi seorang mahasiswa di Mesir) adalah didapati daripada kitab-kitab ARAB! Bahkan ilmu bantu dalam cerpen (perlukah saya ulang sekali lagi?) juga daripada kitab Bahasa ARAB!

Jadi, mengapa harus berundur dari penulisan berbahasa ibunda, sedangkan kitalah jambatan pemindah ilmu antara dua bahasa!

al_jantanie
manhumi_ilm

Saturday, September 10, 2005

Intikhoobaat Versi Kain Rentang

Semasa pilihanraya Presiden berlangsung di Mesir, saya sempat mencatat beberapa frasa yang terpahat di kain-kain rentang. Mari cicipi dengan mata lughawi.

الإتحاد يؤيد السيد حسني مبارك كرئيسا لمصر الجديدة
Persatuan menyokong Tuan Husni Mubarak sebagai pemerintah Mesir Yang Baru.

نحن ندعمك و نساعدك يا السيد
Kami menyokongmu dan membantumu wahai tuan

مبارك رجل الحرب والسلام
Mubarak, Pemuda (tonggak) dalam peperangan dan keamanan.

من أجل حياة أفضل، نؤيدك رئيسا لجمهورية
Demi kehidupan yang lebih baik, kami menyokongmu menjadi pemerintah untuk republik (ini)

بالقلب والعقل اخترناك
Dengan (sepenuh) hati dan akal, kami memilihmu.

من أجل العبور للمستقبل
Demi merentas masa hadapan

رجل الأمن والأمان
Pemuda keamanan dan keamanan (ketenteraman)

أنت حلم مصر
Engkau impian Mesir

مبارك، القيادة والعبور
Mubarak, pemimpin dan perentas (ke masa hadapan)

Ya, tolong semak dan kalau salah atau ada yang lebih tepat mahupun cadangan, kirim sahaja dalam ruangan komentar.