Tuesday, December 11, 2012

Di Sini Kutemukan 14: Debaran

Debaran menamatkan zaman bujang sangat terasa. Tinggal 4 hari lagi. Mampukah saya memikul tanggungjawab ini dengan baik? Aku mohon petunjuk dan pertolongan-Mu ya Allah. 

Tuesday, December 04, 2012

Di Sini Kutemukan 13: Hak Kita

Kita tidak pernah menafikan setiap orang mempunyai hak. Dan hak itu wajib ditunaikan. Bahkan kita berhak menuntut sesuatu yang merupakan haknya. Bahawa orang yang dinafikan haknya adalah dianggap dizalimi. Bahkan orang yang mengambil alih hak orang lain dianggap zalim. Dan dalam hubungan dua pihak terdapat banyak jenis hak, kerana terdapat pelbagai jenis hubungan.

Namun, adakah kita mesti menuntut hak kita? Adakah jika hak kita dinafikan, kita wajib memprotesnya? Adakah apabila kita tidak menuntut hak kita, kita dianggap lemah, tiada harga diri? Adakah kita boleh membiarkan sesuatu yang merupakan hak kita diambil orang, atau kita mesti mempertahankan hak kita?

Bagaimana tindakan Nabi dalam hak ini? Hak Tuhan Nabi sentiasa pertahankan. Dan Nabi juga menjaga hak orang lain, kerana hak orang lain apabila tidak dijaga akan menyebabkan permusuhan. Tetapi Baginda s.a.w. tidak menuntut hak Baginda s.a.w., tanda luasnya sifat belas kasihan Baginda s.a.w., dan baiknya layanan Baginda s.a.w. terhadap orang di sekeliling Baginda s.a.w.

Bukankah kita kerap mengucapkan atau mendengar kata-kata yang sama. "Tuhanku, aku tidak layak masuk syurga-Mu namun tidak pula aku sanggup ke neraka-Mu". Bahkan, seperti maksud sabda Baginda s.a.w., tiada orang yang layak masuk ke syurga kerana amalannya, tetapi masuk ke syurga adalah kerana belas kasihan Tuhan.

Kalaulah dihitung semua amalan, dan kalaulah Tuhan menuntut semua haknya, maka tidak ada yang sanggup menunaikan haknya. Seperti maksud firman Tuhan, "Tidaklah engkau menyembah Tuhan dengan hak sembah yang sepatutnya". Jadi, adakah kita perlu berkeras menuntut hak kita sekiranya ia terpulang kepada kemurahan hati kita dan hanya membabitkan kita sahaja? Fikirkan. 

Sunday, December 02, 2012

Di Sini Kutemukan 12: Dua Minggu

Tinggal dua minggu lagi untuk saya menamatkan zaman bujang, insyaallah. Tetapi, banyak tugasan berkaitan itu dan berkaitan dengan kerja belum saya lunaskan. Kadang-kadang, terasa diri tidak boleh diharap lalu membuatkan saya rasa sedih. Betul-betul saya mengharapkan Tuhan memperbaiki diri saya dan membantu memudahkan jalan. Wallahu min waro-i l-qasdi, wahuwa yahdi s-sabiil.

Wednesday, November 28, 2012

Di Sini Kutemukan 11: Izaa Tabarromti

Dulu, di awal-awal saya mengenali internet, saya memang kemaruk. Tetapi sekarang, tahap ketagihan itu sudah tidak ada. Sudah kadang-kadang tidak tahu hendak membuka laman apa. Apatah lagi untuk mencari maklumat dari internet. Mungkin kerana saya mempunyai minat yang terhad. Mungkin sebab saya selalu hanyut dalam kerja dan tugas saya, atau kerana sikap saya hanya mengambil tahu perkara yang benar-benar penting, selebihnya saya tangguhkan dahulu. Seperti mana maksud sabda Baginda s.a.w. "Di antara tanda keelokan islam seseorang itu adalah, meninggalkan perkara yang tidak penting baginya." Atau kerana saya tidak punya memori yang cukup untuk menangani semua isu hingga kadang-kadang atau selalu juga, yang penting pun saya terabaikan.


Apatah lagi untuk mencari maklumat. Semacam tidak pernah. Hinggalah tadi, rasanya baru tadi, semacam buat kali pertama saya bingung dan terdesak mencari jawapan dari internet. Memang jawapan ada di sini. Mungkin sikap saya tidak suka bergantung kepada internet untuk mencari jawapan. Mungkin juga kerana saya tidak meyakini tahap kesahihan data yang dipamerkan di internet adalah tinggi. Hinggalah tadi, saya betul-betul bingung untuk mencari jawapan. Dan yang saya cari adalah, cara memujuk wanita.

Sejak kecil hingga besar, saya tidak melatih diri saya memujuk orang lain. Saya kerap bersabar, pasrah, menahan sakit di dalam hati. Memujuk diri sendiri itu ada, tetapi memujuk orang lain tidak. Kalau meminta maaf itu juga boleh dianggap sebagai memujuk, mungkin itulah satu-satunya yang saya lakukan. Mungkin juga kerana sikap saya tidak mahu memaksa orang, saya jadi tidak suka memujuk. Atau kerana saya seorang yang kasar, yang tidak merealisasikan perkaranya dengan pujukan, tetapi gesaan. Atau sebab saya seorang yang teorikal, lalu sentiasa cuba menyelesaikan perkara secara logik, lalu akan berbahas akan benar tidaknya sesuatu, lalu juga akan memberikan peluang kepada pihak lain menimbang perkara secara wajar dan memberikan hujah balas setimpal dalam sesuatu isu.

Saya menemui beberapa jawapan dari pelbagai jenis blog dan web. Syukur Alhamdulillah. Terasa jahil betul akan teknologi maklumat. Ini adalah yang saya temui dari blog cintaimaginasi. Pertama adalah dengan menerangkan perkara yang sebenar dan bercakap benar, berterus terang. Tetapi ia tidak dapat dilakukan sekiranya anda tidak mengetahui sebab mengapa dia merajuk. Apatah lagi sekiranya anda pula tidak dapat mengawal laras bahasa hingga menjadi kasar dan bernada tinggi, bercakap hanya akan memburukkan keadaan. Berdiam dalam keadaan itu adalah lebih baik.

Kedua, bertolak ansur, bijak membuat keputusan, dan mengalah. Ini juga memerlukan anda memahami mengapa dia merajuk. Ketiga, ucapkanlah kata-kata yang manis, panggilan-panggilan sayang, seperti bucuk, comot, manja dan lain-lain. Keempat adalah menyanyikan lagu untuknya. Tetapi janganlah pilih lagu yang tidak membantu seperti lagu rock yang entah apa-apa. Menurut penulis, inilah cara paling ultimate.

Dari web Hazmin pula saya menemukan beberapa jawapan di atas, dan beberapa jawapan tambahan. Pertama, dengan tersenyum tidak kira apa respon yang anda terima. Teruskan tersenyum. Mungkin ia berdasarkan maksud sabda Baginda s.a.w. "Seorang mukmin itu adalah cerminan kepada saudaranya." Mungkin dengan tersenyum, senyuman itu akan menjangkit kepada yang sedang merajuk. Kedua, adalah dengan membuat lawak. Tetapi pastikan mood sesuai, atau ia akan memburukkan keadaan. Pastikan juga ia kelakar dan menggelakkan. Tips ini barangkali sukar sekiranya anda seorang yang serius dan tidak bersikap suka membuat lawak. Seperti pepatah Inggeris, "Laughter is the best medicine."

Ketiga adalah membelikan hadiah. Ia baik, dan perlulah mengeluarkan sedikit kos. Apatah lagi sekiranya ia berupa kejutan, hadiah mengejut, ia akan lebih berkesan. Yang sukarnya jika dia seorang yang materialistik. Tetapi jika dia suka menerima apa saja seadanya, ia lebih mudah. Jangan lupa menulis kata-kata maaf pada hadiah tersebut. Keempat, dengan menghantar sms, mms dan yang seangkatan dengannya. Kelima, iaitu langkah yang tidak dicadangkan, dengan tidak mempedulikan merajuk tersebut dan mengabaikannya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Menurut penulis, ia sama ada berkesan atau hanya akan memburukkan keadaan. Keenam, adalah dengan merajuk semula, dan apabila kedua-dua orang merajuk, salah seorang terpaksa mengalah.

Dari blog Shidarina pula saya menemukan beberapa jawapan di atas dan beberapa lagi cara tambahan. Pertama, adalah memasak untuk dia, dan kalau dah tak reti sangat, mee maggie pun boleh. Tapi cara ini memerlukan anda mengetahui makanan kegemarannya, dan bukannya makanan yang dia tidak suka. Kedua, memberikan ruang dan waktu untuk dia memujuk dirinya sendiri. Tetapi anda perlu bersabar menunggu dan berjarak. Ketiga adalah dengan duduk berbincang dengannya. Tetapi perlu mencari waktu dan mood yang sesuai, bahkan menggunakan ayat yang sopan. Keempat, adalah dengan menghadap Tuhan dan berdoa memohon. Cara ini paling praktikal bagi saya, tetapi perlu kesabaran menunggu dan keyakinan.

Dari blog Tarabassing pula saya menemui beberapa jawapan di atas, dan beberapa jawapan tambahan. Pertama, adalah dengan memohon maaf setelah memberikannya waktu menenangkan diri. Ucapan maaf perlulah ikhlas. Waktu memohon maaf adalah penting, dan bukannya ketika dia dalam keadaan menolak segala cakap anda. Pandai bercakap juga penting, kerana silap bercakap lain padahnya. Berdiam lebih selamat. Kedua, adalah dengan tidak memaksanya menerima penjelasan anda. Berikan penjelasan bila dipinta.

Dari sekelian yang di atas, saya membuat kesimpulan. Pertama, tiada manusia mempunyai dua hati, seperti maksud firman Allah, "tidaklah Allah menjadikan untuk seseorang itu dua hati di dalam dadanya", dan tiada orang boleh mengumpulkan dua perasaan yang bertentangan dalam satu masa. Mungkin marah dan merajuk boleh berkumpul sama, tetapi tidak boleh terhimpun gembira dan merajuk dalam satu masa. Salah satu perasaan akan menang. Kerana itu tips-tips banyak berkaitan menukarkan mood kepada mood terharu, mood gembira ketawa, dan lain-lain. Kedua, kebanyakan tips adalah sekitar memohon maaf dan merendahkan ego. Kalau anda berego tinggi dan enggan mengaku salah atau enggan mengalah, atau tidak mengetahui apakah kesalahan anda, atau enggan memohon maaf selagi tidak mengetahui silap anda, memujuk adalah sukar.

Ketiga, sukar membezakan antara merajuk dan menahan marah. Bagi saya, perempuan selalunya merajuk, dan lelaki selalunya menahan marah. Kedua-dunya seperti sama, iaitu menukarkan seseorang itu menjadi berdiam diri dan hanya memaparkan reaksi kurang senang. Tetapi ramai perempuan menggelar saya merajuk padahal saya menahan marah. Merajuk tidak semestinya kerana sakit hati, kadangkala sekadar untuk mendapatkan perhatian. Keempat, dalam apa-apa takrifan pun, semua ini sangat memenatkan. Kalau tidak sabar ia adalah bahaya. Kerana itu, tidak elok selalu merajuk. Belajarlah redha, menerima, sabar, berlapang dada, berasa cukup dan syukur, akur dengan ketentuan ilahi dan sedarlah bahawa ia adalah ujian Tuhan, bahkan itulah ujaran Tuhan dan menyatakan di manakah sebenarnya letak dirimu.

Baginda s.a.w. tidak pernah merajuk, dan tidak pernah mengambil hati. Tidak pernah melenting apabila hak diri Baginda digugat, dirampas, dinafikan. Baginda hanya marah kerana Allah, dan apabila ia berkaitan dengan hak Allah. Bahkan Baginda boleh ketawa bila menghadapi perkara yang memarahkan, tanda lapangnya hati Baginda, dan matangnya fikiran Baginda. Sollu 'ala n-Nabiy.

Sunday, September 23, 2012

Jijik

Filem Innocence of Muslim yang menggambarkan Nabi kita dengan tuduhan jijik dengan sekali imbas saja sudah seperti mengishtiharkan perang. Fakta diseleweng dengan sesuka hati, dimanipulasi, sungguh memarahkan hati yang menontonnya. Hakikat kemuliaan dan kemurahan hati diputar menjadi kekejian dan kehinaan, bahkan menghina Tuhan dan agama Islam. Sebetulnya ia bukan mencemuh Nabi kita sahaja, tetapi Tuhan dan agama. Bantahan saja tidak mencukupi. Penghinaan ini harus dihakimi oleh pihak yang mendakwa merekalah mahkamah dunia. Kalau Usamah bin Laden yang bersembunyi di gurun boleh ditemui, kalau Saddam Hussien yang bersembunyi di bawah tanah boleh dijejaki, pengarah filem ini yang berkeliaran di Amerika sana sudah pasti lebih mudah dicari, bahkan dengan sekian banyak pelakon yang mukanya terang-terangan terpapar. Bukankah mereka mempunyai perisik bertaraf dunia, yang menguasai teknologi dan penyelidik mahir. Keterlaluan ini mesti dihukum.

Sunday, August 26, 2012

Di Sini Kutemukan :10: Istikhoroh Bukan Tidur Dan Mimpi

Baru-baru ini, saya menemukan sendiri pendapat Imam Nawawi yang dengan jelas (seperti yang saya fahami) langsung tidak mengatakan bahawa jawapan solat Istikhoroh itu adalah melalui mimpi, sama seperti yang diajarkan oleh guru saya, Syeikh Yusri. Kerana menunggu mimpi sebagai jawapan istikhoroh bukan saja popular bagi orang kita Melayu, tetapi pernah saya sendiri mendengarkannya dari seorang Arab bertanya sendiri kepada guru saya mengenai hal ini. Lalu beliau menjawab antaranya bermaksud, bahawa syariat kita tidak dibentuk melalui mimpi, kerana mimpi bukanlah hujah. Lalu beliau menyarankan kami meneliti semula dalil hadis yang menjadi sandaran kepada perlaksanaan solat istikhoroh ini.

Saya petik pangkal hadis ini yang menjadi sumber pengeluaran hukum bahawa intipatinya tidak menyatakan jawapan istikhoroh adalah menunggu mimpi, sebaliknya sesuatu yang lain. "Apabila seseorang daripada kalian hampir-hampir mahu melakukan sesuatu, maka solatlah dua rakaat...."

Ia membawa maksud bahawa solat istikhoroh itu dilakukan betul-betul sebelum kita hampir-hampir hendak melakukan sesuatu. Ia membawa pelbagai maksud. Pertama, ia cuma sekali solat sebelum perkara itu dilakukan. Kedua, solat dilakukan apabila kita sudah tekad untuk melakukan sesuatu. Ketiga, antara solat dengan melakukan perkara itu tidak ada tidur atau lain-lain hal.

Kemudian, saya terjumpa baru-baru ini (padahal ia memang sudah ada lama, cuma malas mencari) dalam kitab al-Majmuk karangan Imam Nawawi, menyatakan dalam fasal pada menyatakan masalah-masalah berkaitan dengan bab solat Tatauwu' (solat sunat) antaranya menyebut, " dan disunatkan baginya untuk membaca pada rakaat pertama selepas Fatihah surah al-Kaafirun dan di rakaat kedua surah al-Ikhlas, kemudian bangkit selepas selesai istikhoroh melaksanakan perkara yang dirasakan lapang dadanya untuk melakukan.

Ia memberi faham bahawa, tiada tidur dan mimpi dalam perbahasan istikhoroh ini. Begitulah yang saya fahami dari guru dan penerangan Imam Nawawi ini. Wabillahittaufiq.

Thursday, August 23, 2012

Di Sini Kutemukan : 9 : Antara Dia Dengan Baginda, Di Mana Kita

"Dia" dalam bahasa Melayu kita diwakili oleh sekelian banyak kalimah. Adalah pelik sekiranya kita tidak menyedari hakikat pertama ini. Sekurang-kurangnya kita pernah mendengar lafaz-lafaz lain yang seangkatan dengannya seperti " ia, beliau, baginda, nya," dan lain-lain. Dan tentulah setiap satu kalimah tersebut mewakilkan sedikit perbezaan maksud dan penggunaan bagi setiap satu, tetapi masih mengisyaratkan kepada kata ganti diri ketiga ini. Itu adalah hakikat kedua yang kita perlu jelas.

Sekiranya kita bercerita mengenai seorang wakil rakyat dan di dalam majlis-majlis rasmi, kita tidak akan menggelar wakil rakyat itu dengan lafaz "dia", sebaliknya kita menggunakan kata ganti diri "beliau". "Kenapa" adalah soalan yang pelik untuk ditanyakan, kerana itulah tanda hormat dan sopan terhadap orang yang mempunyai pangkat dan kedudukan. Begitu juga sekiranya kita berkisah tentang seorang raja, kita tidak memanggilnya dengan lafaz "dia", sebaliknya kita beradab dan berjaga-jaga dalam pertuturan dengan memanggilnya dengan panggilan "tuanku" atau "raja" dan sebagainya.

Tetapi yang masih menjadi kepelikan bagi saya, apabila kita masih tidak berasa janggal mendengar Nabi dipanggil dengan lafaz "dia" atau "nya" di dalam khutbah solat Jumaat, tatkala surah al-Ahzab ayat 56 dibacakan maknanya seperti ini " sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya, dan ucapkanlah salam dengan penghormatan yang sepenuhnya."

Ayat "berselawatlah ke atasnya" patut diganti dengan "berselawatlah ke atas Baginda" atau "berselawatlah ke atas Junjungan" atau lafaz-lafaz lain yang setara dengannya, dengan menunjukkan penghormatan terhadap sebaik-baik makhluk ini. Adalah janggal sekiranya kita mempertahankan penggunaan "nya" yang tidak menampilkan penghormatan selayaknya, tetapi adalah difahami sekiranya ia terlepas pandang, tetapi masih ada sedikit kurang wajar. Saya mengharapkan kawan-kawan saya di Jabatan Agama dapat melakukan sesuatu dalam hal ini, kerana kedudukan Baginda bukan tokoh picisan, tetapi satu teras dalam dua kalimah syahadah kita.

Dan satu hal lagi, berkenaan sekalipun bilal telah berjaya mendiamkan makmum bahawa bercakap ketika khutbah adalah menghilangkan pahala jumaat, tetapi saya fikir, masih cacat Jumaat itu apabila makmum terus menerus berdiam tanpa mengucapkan selawat apabila nama Baginda disebut. Kenapa Jabatan Agama masih enggan menyebarkan tambahan maklumat kepada para jemaah, bahawa selawat itu terkecuali dari bercakap, sebagaimana ucapan tashmit a-thish, iaitu doa kepada yang bersin, tatkala khutbah berlangsung adalah boleh, doa selepas wuduk ketika khutbah adalah boleh, dan sebagaimana seorang sahabat menjawab pertanyaan Nabi tentang kenapa dia tidak solat sebelum duduk tatkala khutbah lalu disuruh solat dua rakaat, bahawa menjawab soalan itu adalah boleh, kerana kita diperintahkan untuk menyahut seruan Allah dan seruan Rasulnya, walaupun ketika solat, apatah lagi ketika di luar solat di dalam khutbah.

Kerana kita berfahaman Imam Syafi-i dalam feqh yang menyatakan bahawa doa di dalam solat dalam bahasa Arab adalah boleh dan tidak membatalkan solat, sekalipun doa itu bukan dari doa-doa yang wujud di dalam ayat al-Quran. Bahawa pengecualian bercakap itu ada penjelasannya, dan berselawat ketika khutbah adalah sunat, bukan haram atau makruh atau membatalkan pahala jumaat. Saya betul mengharapkan rakan-rakan saya di dalam Jabatan Agama melakukan sesuatu, seperti mana yang dilakukan oleh ulamak-ulamak al-Azhar yang bangkit apabila ketokohan Nabi dipandang enteng oleh para juhalak.

Oh ya. Kenapa Tuhan masih digelar dengan ucapan Nya, Dia, dan juga Engkau, tetapi itu tidak menghilangkan rasa takzim kita pada Tuhan? Saya fikir jawapannya ada pada dua hujah. Pertamanya, melalui format tulisan yang membesarkan huruf hanya pada lafaz ini, sekaligus menampakkan perbezaan di antara "nya" dengan "-Nya", antara "engkau" dengan "Engkau". Kedua, ada pada sebab yang sama disyaratkan mukjizat pada mereka yang mengaku Nabi untuk membuktikan dia adalah Nabi yang benar, tetapi tidak disyaratkan apa-apa pada mereka yang mengaku Tuhan.

Ini jelas apabila Nabi itu adalah manusia, dan pembuktian manusia itu sebagai Nabi melalui mukjizat, dan dengan mampu melakukan mukjizat adalah bukti kebenaran bahawa mereka adalah Nabi. Adapun mereka yang mengaku Tuhan adalah dusta, tidak kira walau bagaimana sekalipun dia mampu mendatangkan mukjizat sebesar mana sekalipun. Begitu juga dajjal di pengakhiran alam dunia ini nanti yang mengaku Tuhan, mampu menghidupkan yang mati, mampu membelah orang kepada dua tetapi tidak mati, mampu membuat segala keajaiban dengan mata tetapi, tidak kira walau bagaimana pelik dan mustahilnya kemampuan dan keajaiban itu, dakwaan sebagai Tuhan adalah dusta, kerana Tuhan itu bukanlah manusia, bukan makhluk, dan bukan bersifat dengan sifat makhluk.

Kerana itu, pemisah antara Tuhan dengan makhluk sangat jelas, sehingga ucapan "engkau" pada makhluk, adalah berbeza dengan ucapan "Engkau" pada Tuhan. Ucapan "dia" pada makhluk, adalah berbeza dengan ucapan "Dia" pada Tuhan. Wabillahittaufiq wassadad.

Saturday, August 18, 2012

Di Sini Kutemukan 8: Bukan Sampingan, Bukan Idofiyyan

Sebetulnya, bila kita faham akan hakikat pemahaman setiap individu adalah berlainan tahap, kita akan faham mengapa mereka berselisih. Kerana sesetengah mereka sudah sampai ke level berikutnya, dan sebahagian mereka masih berada di tahap sebelum ini. Dan sebenar, itu bukanlah sumber kita mengangkat dada, kerana Dialah yang membawa kita, menempatkan kita di pelbagai level, kerana agihan-Nya pada setiap orang berbeza. Lihat saja pembahagian harta, kebijaksanaan, hikmah dan lain-lain.

Baru-baru ini seorang kawan mengadu. Mengenai adakah selawat itu amalan sampingan atau amalan utama dalam kehidupan kita. Dia tidak selesa apabila sesetengah individu menganggap ia adalah sampingan. Lantas aduan ini mengingatkan saya kepada kata-kata beberapa alim ulamak seperti Syeikh 'Ali Jum-'ah, Syeikh Yusri, dan saya kira ia juga terdapat dengan banyaknya di kitab-kitab berkenaan bahawa istirgfar itu adalah takholliy (penyucian), dan selawat itu adalah tahalli (penghias, penyeri), dan tahlil itu adalah tajalli.

Seperti mana solat tidak sah di sisi kita pengikut Imam Syafi-i sekiranya selawat tidak dibaca ketika tahiyyat, sehingga terdapat sahabat yang bertanya, bahawa mereka tahu bagaimana memberi salam, tetapi bagaimanakah ucapan selawat itu? Baginda s.a.w lantas mengajar. Sebagaimana kita memahami bahawa selawat itu adalah kemuncak doa, apabila selawat itu datangnya bukan sahaja dari kita sebagai manusia, tetapi datang juga Allah dan Malaikat. Sesungguhnya Allah dan Malaikat berselawat ke atas Nabi, wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Baginda.

Seperti mana setiap amalan yang utama itu mempunyai waktu afdol, selawat juga mempunyai waktu yang afdol, dan waktu terpilih untuk selawat adalah pada sebaik-baik hari dalam seminggu, iaitu hari jumaat. Bahawa doa itu adalah teras ibadah, dan dalam hadis lain pula menyebut, doa itu sendiri adalah ibadah, dan sebaik-baik doa adalah selawat, kita akan faham kedudukan selawat. Bahawa seorang sahabat pernah bertanyakan berapa banyakkah dia harus mendoakan (selawat) untuk Nabi, seperempat dll, apabila Nabi menjawab, sekiranya engkau tambah maka itu adalah lebih baik, pecahan itu semakin besar dan Nabi menjawab sekiranya engkau tambah maka ia lebih baik. Akhirnya sahabat mengatakan, aku akan jadikan seluruh selawatku untuk Engkau ya Rasulullah! Nabi membalas, sekiranya begitu, maka wajiblah syafaat Nabi untuknya.

Selawat bukan ucapan biasa, sebaliknya doa, itu hakikat pertama yang kita perlu faham. Dan untuk memahami bahawa ia bukan doa biasa adalah kerana kita memohon kepada Tuhan supaya berselawat ke atas Nabi, iaitu mencurahkan rahmat-Nya kepada Baginda. Cuba kira sahaja, berapa banyakkah selawat untuk Nabi dalam sehari, sekiranya untuk solat fardu sahaja bagi seorang muslim sudah lima, apatah lagi kalau campur semuanya? Itu saja sudah cukup untuk menunjukkan kedudukan selawat.

Tetapi ya, keutamaan kalamullah berbanding kalam manusia adalah seperti keutamaan Allah berbanding sekelian makhluk. Yang terutama tentulah al-Quran, tetapi tiada orang yang memahami hakikat kedudukan selawat yang akan mengingkari bahawa selawat adalah amalan teras dan bukan sampingan. Sebagaimana kedudukan Nabi adalah semulia-mulia makhluk, begitu juga kedudukan selawat.

Mungkin juga kita terlalu menyempitkan takrifan doa. Doa sebetulnya meluas, sehingga pujian juga dianggap doa, sepertimana yang saya dengari sendiri dari Syeikh Yusri, menerangkan apabila seeorang memanggil, memuji dengan contoh wahai orang kaya, ucapan pujian itu mengandungi permintaan secara halusnya, kalau diteliti akan memahamkan kita bahawa orang itu sedang berkata "berilah saya sesuatu". Bila kita memuji Tuhan dengan kata-kata "wahai yang Maha Pengampun", ucapan itu mengandungi ucapan yang tersembunyi iaitu "ampunilah saya". Begitulah yang berlaku secara tersiratnya dalam pujian-pujian, termasuk juga pujian kepada Nabi.

Sungguh, sesiapa sahaja saya kira akan akur dan menerima apabila mereka faham hakikat ini. Sungguh, kerana Nabi adalah satu daripada dua teras syahadah, sehingga kita memanggilnya dua kalimah syahadah, begitulah besarnya kedudukan selawat, sekiranya kita memahaminya. Sesekali, apakah kita tidak pernah memikirkannya?

Monday, July 23, 2012

Di Sini Kutemukan 7: Rahmah, Mahabbah Dan Mawaddah

Sejak akhir-akhir ini saya selalu berfikir untuk menjadi seorang suami yang baik, seorang bapa yang baik. Yalah, setelah berkahwin nanti. Tetapi selalu juga bermain di fikiran saya persoalan ini, kerana saya sedar, saya bukanlah seorang anak yang baik, bukan seorang anggota masyarakat yang baik, bukan seorang guru yang baik, bukan seorang murid yang baik. Bukan membuka keaiban diri, tetapi sebagai muhasabah dan peringatan.

Sungguh saya tidak ingin memperlakukan orang lain dengan buruk. Teringin hati menjadi bersih dan luka menjadi sembuh, bahkan lebih lagi hingga mampu menyayangi semua orang. Kerana kunci kepada banyak perkara adalah sifat belas kasihan yang umum untuk semua manusia dan makhluk, dan sifat sayang yang khusus kepada yang muslim. Kalau diperincikan, ada satu lagi, iaitu sifat wudd, iaitu cinta tak berbelah bagi kepada orang-orang terdekat, sahabat handai, yang mana cinta itu bukan saja tumpah pada orang tersebut, bahkan melimpah juga mengenai semua sahabat handainya.

Ilmu saja tidak cukup. Itu yang saya rasa sejak dulu. Hendak mempraktikkan sifat belas kasihan saja sudah begitu berat. Bila teringat yang Rasul itu seorang yang sangat belas kasihan, sehingga digelar arrohim, terus jadi malu sendiri bila begitu garang memarahi anak murid. Bila teringat bahawa saya juga pernah nakal cabut kelas, cikgu saya tahu tetapi tidak sepatah marah dia hamburkan kerana faham, tetapi bila saya dibalas Tuhan anak murid cabut kelas, marah terus menjadi gunung berapi (burkan) yang meletus.

Itu sudah agak lama dulu. Bila teringat satu kelas satu masa dulu yang saya sangat berang kerana telatah muridnya yang meledakkan, tetapi tertampal di dinding depan kelas - we love Rasulullah - oh! Patutkah aku bersikap begini berang pada mereka yang menampal tulisan ini, yang mereka tatap hari-hari. Sejak itu mula terfikir, ilmu tidak membawa kita jauh, kalau perangai kita sangat cetek, akhlak kita sangat pipih. Siapakah yang akan mendengar cakap orang yang dia tidak ingin pandang?

Betul. Niat untuk memperbaiki diri itu banyak kali muncul. Dugaan dan cabaran juga sangat banyak. Mudah untuk dirumuskan bahawa banyak kali gagal, dan yang berjaya itu entah iya, entah tidak. Tetapi saya memahami sesuatu. Sifat belas kasihan adalah kunci pertama. Semoga Tuhan bukakan hati saya dan kita semua untuk menyerapnya, juga kunci-kunci yang seterusnya.

Tuesday, May 08, 2012

Di Sini Kutemukan 6: Meluaskannya Kepada Semua

Saya masih teringat di saat-saat hujung saya berada di Mesir, di tempoh-tempoh kami pelajar-pelajar yang bakal pulang berbincang dan berkongsi mengenai apa yang akan kami lakukan setelah pulang. Walaupun kesimpulan umumnya adalah sama, untuk mengongsikan apa yang telah ditimba, tetapi kami juga tiba kepada kesimpulan-kesimpulan lain, pecahan daripada kesimpulan umum pertama tadi.

Walaupun kesedihan dan penuh dengan rasa berat hati dan hati berat untuk menerima hakikat waktu untuk pulang sudah tiba, apatah lagi membayangkan kemungkinan tidak dapat lagi ke Mesir dalam tempoh masa terdekat, tetapi akur juga bahawa hendak atau tidak, lambat atau cepat, saya akan pulang juga ke tanahair. Kerana erti menimba adalah untuk menyampaikan.

Ia tidak semestinya dipindahkan bulat-bulat, dan dalam gaya (uslub) asal; kata seorang kawan saya. Isi boleh dipindahkan melalui inti kefahaman, dan gaya pengungkapan (uslub) boleh diolah semula menjadi sesuatu yang serasi dengan jiwa kita orang Melayu. Saya membidas, tetapi sekiranya itu adalah caranya, maka kita akan membuat sesuatu yang baru, dan ia akan menjadi sesuatu yang skunder dan bukan primer lagi. Ia akan menjadi sebuah intipati yang dipetik dari sumber pertama, dan disampai semula, dan tidak boleh dinisbah lagi kepada penyampai asal.

Saya fikir, isi perlu disampaikan bulat-bulat, dalam gaya bahasa asal, cuma diciptakan suatu teknik dan kaedah supaya membantu orang memahami isi penyampaian. Bilang kawan saya, kalau begitu, ia akan menjadi sukar difahami dan tidak dapat menarik minat orang kepadanya. Bahkan, akan menghilangkan faedah yang dikejar, iaitu menyampaikan isi dan hasil. Walau berat, tetapi saya juga akur bahawa apa yang dituturkan itu benar, dan mungkin cara saya hanya sesuai kepada pelajar dalam bidangnya sahaja, dan tidak melebar kepada orang awam.

Di Malaysia, segala-galanya adalah berbeza. Suasana, keperluan, tuntutan, dorongan. Hampir-hampir saja menghayutkan sesiapa saja. Tujuan mudah berpindah dan berpinda, dan melarikan orang jauh dari sasaran asal mereka. Realiti Malaysia memang mengajarkan itu kepada saya. Tetapi saya menyedari kemudiannya, apabila ditemukan dengan tiga orang kawan yang lain, yang bersama-sama saya menubuhkan Al-Husna, bahawa kesesuaian isi perlu dibahagi semula, dinilai dan ditahapkan, supaya kita menyampaikan yang sesuai dengan tahapnya.

Kerana itu, saya banyak memikirkan teori tersebut untuk diaplikasikan kepada banyak perkara, melalui banyak percubaan, menilai hasil dan melihatkan kesan. Semua itu, setelah melalui pelbagai perkara lain sampingan yang perlu dipersiapkan. Tetapi betul, setelah boleh membahagikan kesesuaian isi, kemampuan teknik penyampaian perlu juga difikirkan. Kerana saya ingin meluaskan pendidikan Bahasa Arab itu kepada semua.

Thursday, March 08, 2012

Di Sini Kutemukan 5: Ahbaar Dan Rabbaniy

Bismillah. Lama sungguh rasanya saya tidak menulis di sini. Mungkin sebab internet tidak ada di hujung jari sejak saya pulang dahulu. Apabila mula bekerja, sempat pakai untuk tiga bulan kemudian seperti rasa membazirkan duit, jadi saya tutup. Sudah setahun tiga bulan rasanya berada di Malaysia, tetapi terasa seperti sudah lima enam tahun. Semangat dan usaha yang bila melonjak naik, saya jadi lupa segala yang lain kerana terlalu fokus dengan apa yang saya lakukan, dan apabila semangat menurun dan tumpuan terganggu, saya akan berehat dan menenangkan diri. Begitulah yang berlaku berulang-ulang kali. Tulisan kebanyakannya adalah tulis curi-curi dan tidak lancar.

Sejak bekerja menjadi guru, banyak juga yang saya fikirkan. Daripada plan mengajar, menurunkan level pengajaran sesuai dengan tahap murid, memudahkan pengajaran, perancangan berfokuskan peperiksaan, dan bermacam-macam perkara berkaitan isi pelajaran, sehinggalah saya berpindah ke sekolah baru, sekolah menengah arab. Tetapi bukan itu saja. Setelah sampai di sini, saya terfikirkan juga mengenai sikap dan perangai yang harus saya pakai dan terap, termasuk inti pendidikan berteraskan ketuhanan atau rabbani hingga mengingatkan saya pada Syeikh Yusri, oh, rasa seperti sudah 10 tahun lamanya saya meninggalkan sana.

Sungguh, baik dalam lapangan ajar mengajar dan membentukkan keilmuan, atau lebih mesra disebut sebagai melahirkan ahbaar (cendikiawan) mahupun dalam lapangan pembentukan sikap dan syahsiah, atau lebih senang disebut sebagai menjadi rabbaniyiin, saya fikir, saya tidak lulus kedua-duanya. Tidak dalam teori, dan tidak dalam praktikal. Tiada rasanya yang boleh saya banggakan setakat ini. Saya masih lagi terperangkap dalam banyak jaring, dan tercari-cari jalan melepaskan diri.

Sungguh, bila terkenangkan kalam ustaz saya, Ustaz Fuad, sungguh jauh ketinggalan rupanya saya dalam apa-apa juga benda. Terasa saya memang tidak memahami psikologi pelajar, terutamanya pelajar menengah rendah yang jiwanya masih mahu bermain, bahkan tidak memahami keutamaan pengajaran, apatah lagi teknik. Kalaulah saya diujiankan, entah apa keputusan saya sebagai seorang guru. Namun, saya mula memahami sedikit demi sedikit perkara yang saya langsung tiada maklumat mengenainya. Bahawa psikologi pelajar perlu difahami, mungkin ada atau kebanyakannya tidak membawa hatinya ke sekolah. Hatinya mungkin tercicir di luar pagar ketika jasadnya didaftarkan masuk sebagai pelajar. Atau jiwanya yang masih muda mentah remaja yang masih mahu bermain dan keanak-anakan.

Saya belajar bahawa antara ahbaar dan rabbanii, walaupun kedua-duanya penting, tetapi saya terlalu berfokus pada yang pertama sehingga terabai yang kedua. Saya lupa pesan guru saya mengenai hal ini, dan banyak hal lain. Oh, kalaulah diujiankan sebagai seorang murid pun mungkin saya tidak lulus juga. Hingga kini, barulah saya nampak kelebihan orang-orang tertentu di sekeliling saya. Banyak rupanya Tuhan mengirimkan contoh untuk diteladani, atau dijadikan sumber rujukan pertanyaan. Banyak rupanya Tuhan mengirimkan orang berpengalaman dan berpandangan jauh di sekitar. Cuma, bila agaknya saya akan boleh menyerap semua kelebihan itu.

Saya selalu memikirkan bahawa kunci kepada semua ini adalah perasaan belas kasihan, atau disebut sebagai rahmah. Kerana bagi saya, itulah kunci pertama kepada pergaulan sesama manusia. Tetapi, teori sangat mudah berbanding praktikal yang banyak kali menggelincirkan hingga termasuk ke lorong lain. Emosi selalu saja tidak dikawal baik, atau tidak diselia kemas sehingga mengganggu perlaksanaan, atau tidak dibalut kemas sehingga kelihatan pada riak dan wajah. Terutama sifat pemarah saya. Hingga kadang-kadang, saya terasa bahawa kepada sayalah ditujukan sabda Nabi yang bermaksud " Janganlah kau marah".

Syukur pada Tuhan yang membukakan jalan, menerangkan laluan, mengirimkan cahaya, dan meletakkan petunjuk arah. Masih banyak pintu belum saya buka, dan masih tercari-cari jalan penyelesaian masalah yang saya hadapi.

Wednesday, February 22, 2012

Di Sini Kutemukan 4: Pembukaan Al-Husna Kluang

Alhamdulillah. Al-Husna Arabic Center (Markaz al-Husna al-Arabiy) sudah dibuka di Kluang. Sedikit mengujakan kerana sudah beribu pejabat, tetapi akan menggerunkan juga kerana berdepan dengan suasana baru. Dengan latar belakang yang saya sendiri tidak pasti. Selama ini, saya yang jahil semua benda ini banyak bergantung kekuatan pada Pengarah-Pengarah Al-Husna yang lain. Sebetulnya saya kagum dan rasa bertuah mempunyai teman-teman berbakat yang boleh saya tumpang berpayung. Dan tanpa mereka, saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan.

20 Februari sepatutnya merupakan pembukaan kelas malam pertama, tetapi saya fikir untuk memulakan pada 26 Februari ini. Saya berdoa, agar Tuhan mengirimkan perkenan dan bantuan, kemudahan untuk semua yang dirancangkan. Juga mengampunkan dosa-dosa saya, dan agar tidak menukarkannya kepada ujian dan dugaan yang melemahkan.

Rasa terima kasih yang tak terhingga juga pada Ustaz Zaidi Mahmud yang sanggup bersusah payah bersama saya merancangkan sesuatu untuk Al-Husna Kluang. Saya amat berharap sempat menyiapkan sesuatu dalam tempoh berbaki ini. Fallahu l-musta-'aan.

Tuesday, January 24, 2012

Di Sini Kutemukan : 3 : Awal 2012

Awal tahun 2012:
Syukur untuk Tuhan yang membukakan jalan, yang menemukan langkah, yang mengirimkan kekuatan, yang merestukan urusan, yang memperkenan harapan. Syukur untuk Tuhan yang mengilhamkan, melorongkan, membangunkan, mengukuhkan, menyampaikan. Alhamdulillah, wa waffiqna 'ala khairin fi d-ddin wa d-dunya wa l-aakhirah.

Tuesday, January 03, 2012

Di Sini Kutemukan : 2 : Lapis-Lapis Di Atas Kita

Bila manusia berada di muka bumi, mereka menyangka yang awan, matahari, bulan, bintang itu berada di satu lapisan yang sama. Dia melihat semuanya berada di atasnya, dan tingkatan itu cuma ada dua. Tetapi apabila dia sampai ke awan, dia menyangka, matahari, bulan dan bintang itu berada di satu lapis yang sama, dan ia tidak menyedari sehinggalah dia tiba di matahari, untuk menyaksikan bintang jauh lagi berada di atas. Ketika di matahari pun, dia menyangka semua bintang itu berada di lapis yang sama, hinggalah dia tiba di bintang terdekat untuk menyedari bahawa terdapat lapis-lapis di atasnya.

Manusia, dengan kejahilannya, menyangka semua tingkatan ilmuan itu satu, dan baginya adalah sama. Dia seperti manusia yang melihat awan, matahari, bulan, dan bintang berada di satu lapis yang sama. Tetapi, apabila dia sudah berilmu lebih sedikit hingga sampai ke awan, barulah dia menyedari hakikat bahawa ilmuan itu ada banyak tingkat, dan dengan keilmuan yang dia ada pun, dia masih tidak dapat memastikan kedudukan tingkatan-tingkatan di atasnya.

Kerana itu, belajar itu bukan saja untuk mengilmukan diri, tetapi juga adalah supaya kita boleh mengetahui lapisan dan tingkatan orang yang lebih berilmu. Tetapi dengan secupak yang kita miliki, kita masih menjahili semua lapisan, dan ia seolah-olah kelihatan sama. Kerana, hanya orang yang berilmu saja tahu kedudukan orang yang berilmu di atasnya. Adapun kita, adalah sama seperti manusia yang berada di atas muka bumi.

Apabila kita dikenalkan nama Imam-imam besar, kerana kejahilan kita barulah kita menyangka mereka itu semuanya berada di satu lapisan, padahal setiap satunya mempunyai tingkat lapisan yang berbeza. Tetapi perkara itu adalah tersembunyi dari kita. Dan kita hanya boleh mengetahui apabila seorang ilmuan memuji ilmuan yang lain, dan hanya pujian ilmuan saja mempunyai nilai kepada ilmuan lain. Adapun kita yang memuji bulan, matahari, bintang dengan tingkatan yang sama, pujian kita itu tidak menunjukkan nilai kedudukan mereka, kerana kejahilan kita tidak menyampaikan kita kepada tahap pemahaman kedudukan yang sebenarnya.

Kerana itu, bersifatlah rendah diri, kerana kita tidak tahu siapakah yang berjalan mundar mandir lalu lalang di depan belakang kita. Barangkali dia adalah bintang yang paling jauh, dan kerana kita baru tiba di awan, kita tidak menyedari nilai sebenarnya.