Sunday, December 30, 2007

Ke Lisaanul Arab, Bila Buntu Di Hujung Jalan

Sehari sebelum raya haji rasanya, saya diminta menterjemah beberapa helai dari Tafsir Ruuhu l-Ma-'aani. Lalu saya kerat dua dengan Hafiz. Dia kuliah usul, pasti lebih aqrab dengan istilah tafsir berbanding saya.

Apa yang menarik, apabila saya teringat saat di mana kena menterjemahkan beberapa bait syair. Mula-mula buka Mukjam Asasi. Tak jumpa. Buka Marbawi, lagilah. Cari dalam internet, mana tahu ada syarah, tak semua perkataan ada syarah. Buntu. Last sekali buka Lisaanu l-Arab. Jumpa pun.

Tentulah, kegembiraan adalah pada saat dan ketika syair yang tak difahami itu menjadi pagi yang disinari mentari. Terang. Jelas. Dapat difahami. Orang sejahil saya tentulah rasa gembira, barangkali yang expert tak segirang ini, rasanya.

Bayangkan, lafaz yang disangka cat bertukar menjadi anak-anak kecil binatang setelah menyelak Lisanu l-Arab. Bait yang disangka menceritakan mengenai perempuan, rupanya menceritakan mengenai sampan, kerana musuuf dibuang, yang tinggal cuma sifat. Apabila kalimah itu banyak makna, dalam Lisanu l-Arab maksud saya, kesalahfahaman kecil ini boleh menterbalikkan gunung menjadi laut, menukarkan siang menjadi malam. Kerana makna ada, banyak. Ia boleh diguna untuk kedua-dua mausuf.

Walaupun ada beberapa muka tak disiapkan kerana masa memang tak cukup kerana saya bukan tenaga pakar, saya rasa gembira juga, cuma berasa maaf kerana tak menyelesaikan kerja. Saya sudah bersungguh, meletakkan perhatian kepada terjemahan di depan mata, dan kitab-kitab periksa di belakang badan, barangkali kerana jelas, bahasa masih terlalu lemah. Sekarang, mereka berdua boleh bertukar tempat.

Allahumma j-'alni arabiiyan fasiihan, za zauqin arabiiyin saliimin.

Friday, December 28, 2007

Mursyid, Tahniah!

Ini adalah ucapan tahniah untuk adik saya yang kedua bungsu, Muhammad Mursyid, atas kejayaannya dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan keputusan 9 A. Teruskan usaha, jalan masih lagi terlalu panjang.

Friday, December 21, 2007

Duit Modal CDRK

Duit modal CDRK telah kembali. Alhamdulillah. Dalam jumlah yang bersih. Setelah ditolakkan segala jenis belanja terdahulu, belanja-belanja tepi, upah dan bayaran.

Walaupun saya bertekad menjualnya dalam harga yang murah dan berpatutan, dan bagi sesetengah orang terlalu murah, saya masih tidak mengabaikan sifat mencari untung. Tetapi untung yang sedang-sedang. Bukan juga menjadikannya murah dengan sifat tak kisah rugi, tetapi dengan sifat mahu memudahkan orang beli. Atau sekurang-kurangnya, mereka boleh memperuntukkan duit yang selebihnya untuk tujuan yang lain. Bukankah kita sama-sama pelajar? Kita hidup dalam situasi bergantung pada bantuan ibu bapa keluarga, dan sama-sama bersifat memerlukan?

Barangkali kalau dalam dunia korporat, kita boleh mensasarkan keuntungan lebih, atau mengkadarkan harga menurut jenis pembeli sesuai dengan status, atau boleh saja menjadikannya beberapa harga. Untuk pelajar harga lain, untuk pekerja harga lain. Atau sebetulnya apakah hadaf kita yang asma dan arko bila kita cuba menerbitkan sebuah buku?

Kalau keuntungan, apakah keuntungan itu tidak boleh dicapai dengan harga yang berpatutan? Kalau nama, apakah tidak boleh ia dimurahkan? Dan kalau kerana ingin menyampaikan tulisan, adakah ia tidak wajar dengan harga yang bersesuaian? Apakah kita ingin menjadi orang-orang yang kita kutuk sebagai - penjual yang tak berperikemanusiaan, cekik darah - tetapi apabila berada di tempat mereka, kita melakukan perkara yang sama dan serupa?

Tidakkah itu menjadikan kita berada di kasut yang kita ludah, lalu ia mengering di tapak kaki kita?

Sebetulnya, saya tidak ada hak untuk berkata begini. Bahkan bukankah dengan izin Tuhan juga modal itu kembali, dan dengan izinnya juga saya boleh merasa lega dan syukur. Akan tetapi, saya kerap memikirkan – siapakah yang kita ingin jadi sebenarnya?

Pernah adik saya membangkitkan, betapa ‘jangan meletakkan harga yang murah sekalipun ia murah’, kerana manusia akan memandang rendah barang jualan kita. Lalu memandang sebelah mata. Lalu diabaikan begitu saja. Ketinggian mutu barang kita akan menjadi rendah kerana kerendahan harga. Walaupun kita berniat membantu, dan memudahkan. Memurahkan.

Tetapi juga bermain dalam fikiran saya, siapakah yang mengajarkan fikrah seperti ini kepada kita? Saya? Awak? Mereka? Si majhul yang tidak kita ketahui namanya? Atau kita diajar oleh ketinggian tamadun untuk bersikap dengan kerendahan budi? Atau lebih tepat lagi, untuk bersikap dan berpandangan bahawa, harga itu penentu tinggi rendah mutu dan kualiti?

Sejak bila fikrah seperti ini mendominasi kita? Tinggi rendah kualiti barang bukan ditandai dengan harga. Mereka yang mempunyai akal yang celik akan mengatakan, kerana jauharnya, zatnya, hakikatnya, isinya. Harga bukan menandakan tinggi rendah kualiti, tetapi menandakan tinggi rendahnya kemampuan beli. Ataupun sebetulnya kita menganggap para pembeli buta kualiti dan jahil nilai zat. Atau kita membutakan mereka, mentakmimkan kepada semua, jamiknya.

Pernah seorang kawan membangkitkan hal yang sama. Kalau mereka akan membeli juga sekalipun mahal, mengapa perlu menjual murah? Logiknya ya, tetapi saya tidak mampu untuk berpandangan seperti itu. Kerana saya juga sedar kemampuan belian sendiri, dan menyedari kemampuan belian orang. Bahkan saya tidak mahu menjadi tembok penghalang di antara pembeli dan barang jualan. Alangkah sayang kalau mereka bercita-cita mahu membacanya, dan kita menjadi satu dari sebab penghalangnya. Tidakkah itu dianggap kerugian dalam jalan mencari untung? Lainlah kalau mereka sendiri tidak mahu membelinya.

Saya tidak pandai membetulkan. Terpulang fikiran anda bagaimana.

Alhamdulillah juga. Setelah 600 unit terjual dan duitnya di tangan saya, modal telah kembali. Kos pengurusan juga telah dijelaskan. Belanja terdahulu telah dibayar. Upah telah diserahkan. Izin terbit telah disempurnakan. Ada 400 unit lagi yang belum dikutip, dan belum dipastikan jumlah jualan. Doakan ia habis. Aamiin.

Wednesday, December 19, 2007

Raya Haji Yang Menarik Dan Meriah

Selamat Hari Raya Aidil Adha. Itulah ucapan lazim untuk antum. Juga saya tujukan khas untuk keluarga, mak ayah, abang adik dan juga kak long.

Waktu-waktu begini, antara yang paling menarik untuk diperhatikan adalah binatang korban. Kelajuan Arab menyelesaikan kambing mahupun lembu, bahkan meminimumkan jumlah tenaga (2 atau 3 sahaja) untuk satu-satu binatang, juga teknik seperti menggunakan salur untuk memasukkan angin hingga menjadikan kambing kembung, lalu memudahkan kulit diceraikan dari daging ketika proses melapah.

Dan, seperti kita juga, sebelum raya, atau lebih tepat, malam raya, akan sibuk mencari daging supaya boleh dimasak untuk makan pagi raya. Jadi, kemeriahan sembelih bukan bermula pada hari pertama raya korban, tapi dua tiga hari sebelumnya. Apa yang sedikit menyedihkan barangkali kerana darah membanjir mengalir di jalan-jalan, mungkin sebab kelemahan sistem perparitan, tak banyak parit, jadi darah mengalir dan menunggu masa untuk menyejat kering.

Kerana itu, antara sebab mengapa raya korban lebih meriah berbanding raya puasa, pertama, adalah kerana raya itu 4 hari, dan selama 4 hari jugalah, pada setiap lepas solat, takbir yang membangkitkan semangat berteriakan. Kedua, kerana hampir pada setiap rumah ada korban. Atau lebih tepat, pada hampir setiap tempat. Ketiga, kerana semua orang mencari daging. Memberikan daging. Atau lebih betul, hampir semua orang. Bukan saja daging, bahkan kulit dan perut.

Mungkin di Malaysia, ia kurang meriah kerana tak semua tempat ada sembelih. Kadang-kadang, ada kampung yang tiada korban. Kerana itu, kurang kemahiran. Dan menyebabkan kurang kemeriahan. Di sini, hampir semua tempat. Lori kecil berkeliaran dengan corong speaker menjerit mencari kulit. Lelaki perempuan menunggu di tempat-tempat sembelih. Kain rentang digantung menyatakan ada tabarru' daging untuk aitaam dan fuqorok. Hingga kita terlupa, dengan kemeriahannya, hampir-hampir membuatkan kita menyangka semua yang ada adalah Islam, padahal ada sahaja yang bukan Islam.

Apa yang menarik juga adalah, pada beberapa hari sebelum raya, saya ternampak seekor kambing gemuk terbungkus dalam plastik, dan tersepah di sebelah tong sampah. Masih baru. Barangkali kalau pegang, masih panas. Dan serasa, kalau diangkat seorang diri, tidak kuat. Gemuk. Sihat. Cuma dah bangkai. Sebetulnya bukan tersepah. Tetapi tong sampah tumbang dan menaburkan isi. Tong sampah besar maksud saya.

Juga menarik, apabila di waktu-waktu seperti inilah, baru berpeluang melihat unta hidup. Yang besar, tinggi. Dua kali kadar tinggi saya. Atau dua setengah kali. Dan kalau teringin, bolehlah cuba-cuba naik. Untuk kenang-kenangan. Bukan untuk ditunggang atau digunakan. Yalah, binatang korban, bukan binatang sembelih saja-saja.

Di waktu ini jugalah merasa sendiri pengalaman bermula dari menumbangkan unta, menyembelihnya, melapahnya, mengeluarkan isi dalamnya, memotong dagingnya. Saya cuma sempat bantu tumbang dan lapah. Atau lebih tepat, belajar-belajar tumbang dan lapah. Ada yang lebih pakar. Yang lebih arif. Orang sejahil saya, mana-mana yang tahu sajalah.

Juga menarik, adalah mengenai penetapan raya. Mesir pada asalnya kedengaran seperti raya hari Khamis. Tapi Saudi raya Rabu. Jadi, kedengaran kemudiannya dan menjadi ketetapan, raya hari Rabu. Ikut Saudi. Sebab sana Arafahnya. Bukan sini. Lagi menarik, ikut kata seorang kawan di Maghribi, sana raya Jumaat. Bagai-bagai. Begitulah menariknya raya ini.

Dalam kemeriahan, imtihan juga makin dekat. Jadual sudah keluar. Kuliah sudah tutup. Kernih sudah ada yang dapat. Selamat Hari Raya semua.

Tuesday, December 18, 2007

Idea Yang Besar

Saya terfikir idea yang besar. Untuk penulis dan penulisan. Di Mesir. Tetapi, sebagai seorang yang memahami bagaimana sesebuah program terjadi, tentulah saya selalu memikirkan banyak perkara, bahkan halangan dan persoalan yang perlu diselesaikan. Kerumitan yang perlu dan kerumitan yang sia-sia. Birokrasi. Campur tangan. Belanjawan. Promosi. Dan lain-lain.

Mari tinggalkan semua itu dan mendengar idea ini dahulu.

Oleh kerana saya seorang yang mudah, maka saya bencikan kelecehan. Fokuskan pada tugasan, dan meminimumkan tenaga kerja. Menolak formaliti sekiranya ia tidak perlu. Terus kepada mauduk dan jauharnya. Lalu saya mencadangkan agar Hari Baca Novel dibuat secara non formal dan santai.

Kemudian, datang bantuan dari tenaga pakar, dari Malaysia. Lalu dengan kerana itu, formaliti menjadi suatu yang mesti. Harus dimajliskan. Perlu ditetapkan putus dan qat-‘ii. Ia dinamakan, Diskusi CDRK, kependekan bagi Antologi Cinta dan Rona Kinanah. Dari dua pendiskusi yang tidak asing dari tanah air, S M Zakir dan Samsudin Othman.

Sebagai seorang yang suka menyumbang idea dan pengalaman bahkan pendapat, walaupun menyedari kekurangan diri dari segala macam aspek, saya terfikirkan mengenai suara kampus yang suram dan sunyi dari luarnya, padahal dunia itu meriah dan galak di dalamnya. Mengenai pengurusan suara kampus, dari hati ke mata. Atau dalam bahasa yang mudah, bermula dari keinginan membuatnya, hinggalah ia siap di depan mata. Ini juga rasmi dan formal. Dan mensasarkan kepada BKAN dan DPM secara khusus, walaupun terbuka kepada umum.

Dan akhirnya, konferens mengenai teknik dan format menembusi media perdana. Barangkali boleh dijadikan program maya, lalu diisi secara elektronik, atau boleh dijadikan rasmi, lalu diisi tenaga amatur, atau boleh digabungkan.

Empat dalam satu, tetapi empat itu bukan seperti air di dalamnya ada sayur, ada garam, ada santan dan ada telur, tetapi empat yang seperti ayam masak merah satu mangkuk, nasi goreng cina satu pinggan, mee goreng basah satu kuali dan tempe sira sambal satu piring, dengan keempat-empat hidangan dalam satu menu.

Bagaimana harus saya carakan idea ini? Terutamanya meminimumkan formaliti dan merealisasikan mauduk. Haruskan ia digabungkan (walaupun akan berbeza manhaj dan imej pelaksanaan) dalam satu minggu bernama Minggu Penulis PMRAM di akhir bulan Januari atau paling lewat, awal bulan Februari, di bawah nama KELAP?

Selepas idea ini dikemaskinikan, nanti saya paparkan kesimpulannya.

Mencari Angin Yang Tak Berderu, Tenang Air Yang Tak Berkocak

Hati kita berpenyakit. Barangkali berasa gelisah lalu menafsirkan diri banyak salah dan dosa. Atau berasa sesak dan sempit lalu terfikir betapa kita jauhnya dari Tuhan. Atau berasa lemah dan tak berdaya lalu merasakan kita kurang amal dan lemah pergantungan pada Tuhan. Atau berasa susah dan asyik bermasalah lalu menafsirkan diri kurang taubat.

Dalam apa hal dan keadaan pun, keadaan seperti ini adalah tidak menyenangkan. Akal dan fikiran banyak terganggu, hati dan perasaan menjadi gusar. Jiwa dan tumpuan menjadi air di tepi pantai, tidak pernah berhenti geloranya dilanda ombak. Diri dan rasa selalu berharap menjadi air di dalam kolam, tenang tak berkocak, reda tak bergelombang.

Tetapi rasa gelisah, rasa sempit dan sesak, rasa lemah dan tak berdaya, rasa susah dan bermasalah, adalah gelora-gelora yang melanda pantai hati. Entah apa sebab sebenar, ia tetap adalah penyakit. Lalu dalam kerunsingan, kita teringat firman Tuhan, ibarat pengembara yang terdengarkan azan ((Ketahuilah, bahawa dengan mengingati/menzikiri Allah akan tenanglah hati))

Ketenangan yang diimpi ibarat hujan di musim kemarau, menjadi hujan di musim tengkujuh, andai kita faham erti ayat ini. Dengan pengertian yang dalam, dan dalam erti yang benar. Taubat dan istighfar, memperbanyak amalan kebajikan, fardu dan mandubah, berzikir dan melazimi kalamullah, berjalan dan berlari kepada Allah. Kerana ketenangan adalah bersama mengingati Allah.

Lalu dengan apa lagi kita merasa gelisah?

Sunday, December 16, 2007

Diskusi CDRK

Diskusi CDRK insya-Allah akan diadakan pada akhir Januari. Dua orang pendiskusi akan mendiskusikannya secara online dari Malaysia. Makluman lanjut akan dimaklumkan kemudian.

Thursday, December 13, 2007

Congratulation Bro!

It had been almost a year since the last entry. Surely, writing something in English always ring the bell. About the memory when I move to Madinet Ahlam, secretly resident there, and learn to improve English in many way. But still, with the bell still ring loudly, my English still not improve a lot.

Actually, I want to write about my friend, Fairuz. Recently, he go to UK to earn some money I think, and secretly plan to get married. I somehow knew who his bride-to-be, even before he went to UK, and surprisingly knew about his plan directly from his brother. And, in this, I want to congrats him to full extend of my heart. Well done brother. You made me proud. Give your all to the future. I know you can handle this at ease, and perfect.

Maybe, when this marriage stuff is over, we'll completely be at different kind of level. But as a friend, so don't forget me as your friend.

So in the end of this entry, but not the end to anything else, I wish you two good luck. May Allah bless you two forever.

Monday, December 03, 2007

Semoga Takziah Ini Memenuhkanmu Dengan Kesabaran

Takziah untuk seorang sahabat yang juga seorang ali bait Tanjung Puteri, atas pemergian bonda tersayang. Untuk Rasul Amat, semoga disabarkan Allah, dikurnia ketenangan dan keredhaan. Semoga pemergiannya dirahmati Allah, lalu ditambahkan rahmat, dan dengan kasih sayang-Nya, digandakan rahmat dengan sebanyak-banyak ganda.

Allahumma abdilhaa daaran khairan min daarihaa, wa ahlan khairan min ahlihaa wa zaujan khairan min zaujihaa...