Wednesday, December 31, 2008

Dirosakkan, Merosakkan, Dan Menjadi Rosak; Selangkah Memahami Hakikat Kemakhlukan Diri

Saya melalui iklim yang berbeza dalam tempoh 5 bulan terakhir ini, lantas menukar pelbagai keadaan yang selalu saya rutini dahulu. Iklim tersebut adalah merujuk kepada penginapan, atau jumlah pakaian, atau barang-barang keperluan harian. Termasuk komputer yang dahulunya menjadi antara barang yang kerap digunakan, kini turun ke tahap ‘bila perlu’. Saya masih juga berasa sedih kerana kecelaruan ini kadang kala. Intaha.Noktah.

Jiwa manusia, adalah sama hakikatnya dengan kejadiannya. Ia bersifat baharu, dan benda yang baharu boleh rosak, walau tanpa dirosakkan. Hakikat ini mengajari kita bahawa kita dan jiwa kita boleh rosak dengan pelbagai cara; sama ada dirosakkan oleh sesuatu, kita merosakkannya sendiri, atau ia menjadi rosak secara semula jadi.

Kerana itu kita berdepan dengan hakikat penjagaan. Seperti mana tubuh kita boleh sakit sekiranya disakiti oleh sesuatu, atau kita menyakitkan diri kita sendiri, atau secara semulajadi ia akan sakit, apabila ia berubah semakin tua dan buruk. Dalam konteks yang sama, hati dan jiwa kita juga mengalami proses yang sama, kerana berkongsi hakikat kejadian yang sama, iaitu baharu.

Hakikat penjagaan sangat penting, bukan kerana ia dapat mengelakkan daripada berlaku kerosakan secara mutlak dan sampai bila-bila, tetapi kerana penjagaan adalah pengimbang kepada keberhajatan kita kepadanya. Penjagaan itu perlu juga kepada tiga; dari dirosakkan, dari merosakkan, dan dari menjadi rosak secara semula jadi.

Ketika turun ke bumi Mesir di awal kedatangan ini dahulu, dalam satu liqa’ bersama dengan beberapa orang kawan, nasihat ini diperdengarkan. Untuk membaca al-Quran satu juzuk satu hari, dan bagi hafiz pula sekurang-kurangnya tiga juzuk satu hari. Lalu untuk orang awam, saya kira satu maqrak satu hari, lebih kurang dua hingga tiga muka. Hakikat ini adalah penjagaan ketiga; iaitu dari menjadi rosak secara semula jadi. Penjagaan pertama dan kedua, iaitu dari dirosakkan dan dari merosakkan, adalah dengan menghindari maksiat dan dosa. Dari didedahkan, dan dari mendedahkan diri sendiri kepadanya.

Hakikat dirosakkan, merosakkan dan menjadi rosak, kemudian hakikat penjagaan yang tiga ini; semuanya, mengajarkan hakikat kemakhlukan yang ada dalam hakikat kejadian kita. Kerana kita bukan maksum, penjagaan adalah usaha, dan usaha akan diganjari. Bahkan, kerosakan yang berlaku hatta pada jiwa perlu diperbaiki dengan usaha-usaha ini, bukan kerana ketidaktahanan tanggungan derita dengan kerosakan semata-mata, tetapi kerana pengimbang kepada hakikat kemakhlukan yang kita sifati. Intaha. Noktah.

Saturday, December 06, 2008

Min Hiyazi l-Kartuun, Ila Hiyazi l-Wujuud : Juhuud Dan Himmah

Minggu ini saya menjalani minggu yang meletihkan. Bahkan di tiga hari terakhir di minggu ini, saya tidak tidur dengan sempurna, menyebabkan kadar kecergasan saya sedikit terganggu. Sekalipun begitu, saya rasa puas, senang hati dan lega.

Ini adalah pengalaman pertama saya terlibat dalam penyelarasan semula kitab-kitab di maktabah. Asalnya, saya hanya mahu memastikan semua kitab baru dapat dilabelkan, supaya dapat keluar dari alam 'kotak' ke alam 'rak'. Apalah ertinya kitab itu dicadang, dibeli, tetapi dikotakkan hingga jejak lebih setahun, hanya kerana tidak dilabelkan.

Saya akui juhdu dan usaha pengurusan tahun lepas, Ustaz Najmi dan AJK-nya yang cuba melabel semula semua kitab; ia adalah satu usaha yang mesti dipuji; namun, kesempitan masa dan peluang, atau barangkali permasalahan yang kita dari luar tidak tahu apa dia, telah menyebabkan usaha yang agung ini belum menemui noktahnya. Saya percaya, masing-masing telah berusaha dengan penuh ihtimam dan tumpuan.

Walaubagaimanapun, saya akan tetap berasa tidak selesa selagi kerja ini tidak sampai ke titik selesai. Kerana itu, saya yang bukan AJK memohon untuk dilibatkan sama dengan pelabelan kitab-kitab ini. Saya berharap masalah ini saya lalui sama, dan berharap, kitab-kitab baru yang dihamil berbulan-bulan lamanya di dalam kotak dapat dilahirkan ke alam yang sepatutnya. Kalau kitab itu tidak boleh dikeluarkan, apa ertinya ia dibeli, dan apakah tujuannya kalau bukan untuk ditelaah dan dibaca?

Kerana itulah, saya mengalami keperitan seminggu ini. Mungkin inilah keperitan yang sama dilalui oleh orang terdahulu. Saya kira, sudah 70 peratus kerja ini selesai. Saya berharap amat ia dapat selesai secepat mungkin. Allahumma Aamiin.

Friday, December 05, 2008

Menggeledah Nurani ; Nuuraanii

Saya baru menerima Kumpulan Puisi Fahd Razy yang bertajuk 'Menggeledah Nurani'. Ia adalah terima kasih kepada Lailati yang membeli dan membawakannya dari tanah air.

Ia adalah kumpulan puisi yang berharga untuk dibaca, dan dinikmati. Boleh saja katakan, saya pengagum beliau dalam puisi, seperti mana saya mengagumi Puan Zurinah Hassan. Tetapi entah, saya memang suka mengagumi dari luar, kemudian lebih suka membentuk jatidiri sendiri.

Bagi saya, ciri istimewa Fahd Razy dalam puisi-puisinya adalah pada teori ke-adalah-an-nya. Ia adalah pengkhabaran mengenai hakikat. Seperti kalau kita katakan, air adalah kehidupan, kita menggunakan 'adalah' sebagai pengantara. Itu yang saya selalu kagumi.

Izinkan sedikit masa untuk saya menelaah hasil karya yang kagum ini.

Thursday, November 27, 2008

Jenis-Jenis Manusia; Empat Yang Saya Kenal

Saya pernah berjumpa dengan bermacam-macam jenis orang, walaupun saya percaya, masih banyak lagi jenis orang yang saya belum jumpa. Dalam sekelian banyak jenis orang, mereka yang saya jumpa (termasuk diri saya sendiri) boleh dibahagikan kepada beberapa jenis.

Pertama, mereka yang digerakkan oleh harta. Bermaksud, perlakuan mereka adalah didasarkan harta. Harta akan menyebabkan mereka bergerak untuk melakukan sesuatu. Contohnya, dia mempunyai sebuah rumah, dan kerana sayang pada rumah, dia menjaganya dengan baik, kerana rasa sayang mereka pada harta. Atau mereka dijanjikan upah apabila melakukan suatu kerja, maka kerja yang dilaksanakan, adalah digerakkan kerana harta.

Kedua, mereka digerakkan oleh maruah. Bermaksud, perlakuan mereka adalah didasarkan kepada maruah. Maruah akan menyebabkan mereka bergerak melakukan sesuatu. Kerana mempertahankan maruah, mereka sanggup bersusah payah dan menyempurnakan suatu kerja, kerana bagi mereka, tidak melakukannya bererti mencemarkan maruah. Walaupun dia tidak dibayar dengan sesen pun. Contohnya, dia diberi kepercayaan untuk melakukan satu tanggungjawab, dan tanggungjawab itu mereka selesaikan, kerana mereka ingin mempertahankan maruah mereka dari tercemar.

Ketiga, mereka yang digerakkan oleh niat. Bermaksud, perlakuan mereka adalah didasarkan kepada niat mereka di dalam hati. Niat mereka inilah yang akan menggerakkan mereka melakukan kerja. Ini bermakna, kalau niat mereka berubah, maka perbuatan mereka berubah. Kalau mereka jenis mudah berubah niat, perlakuan mereka juga akan berubah berdasarkan niat, kerana niatlah yang menjadi penyangga perlakuan mereka. Contohnya, dia berniat untuk pergi ke pasar, lalu dia bertolak ke pasar, kemudian kalau di tengah jalan dia berubah niat untuk pergi ke pasar raya, membatalkan perlakuan pergi ke pasar, dan menukarkan kepada pergi ke pasar raya ini.

Keempat, mereka yang digerakkan oleh kenamaan dan kemasyhuran yang terhasil kerananya. Bermaksud, perlakuan mereka adalah didasarkan kepada kemasyhuran yang terhasil sekiranya mereka menyelesaikan kerja ini. Kemasyhuran inilah yang menjadi tenaga penggerak kepada perlakuan mereka. Contohnya, dia diminta menyelesaikan suatu projek mega, dan projek ini akan menyebabkan namanya menjulang naik, lalu ia menjadi penyangga kepada perlakuannya untuk menyelesaikan projek ini.

Inilah empat jenis orang yang saya jumpa. Dan barangkali terdapat jenis-jenis yang lain, atau mempunyai jenis bercampur, tetapi salah satu akan mendominasi jenis yang lain. Mengapa perkara ini ditimbulkan? Kerana penyangga setiap orang selalu saja tidak sama. Apabila kita menyangka bahawa kalau kita memberikan mereka duit dan harta, kerja akan selesai, tetapi kedapatan ia masih juga tidak selesai. Kerana penyangga mereka, atau penyangga utama mereka bukan duit. Kadangkala kita menyangka mereka akan berasa malu kalau tanggungjawab dan kerja mereka tidak selesai, lalu mereka akan bersungguh-sungguh melaksanakan semua tanggungjawab, tetapi masih juga kedapatan mereka yang tebal muka dan seolah-olah tidak berasa malu walaupun tanggungjawab mereka tidak selesai. Kerana penyangga mereka, atau penyangga utama mereka bukanlah maruah, kerana itu mereka boleh berasa senang dan rehat, walau kerja mereka tidak selesai.

Kadangkala kita menyangka, bahawa mereka akan menyelesaikan suatu tugas, yang pada mulanya mereka lakukan, tetapi kedapatan mereka yang separuh jalan, atau berubah fikiran, atau sukar dibaca, kerana tindakan mereka adalah disangga oleh niat, dan kalau mereka berubah niat, mereka berubah tindakan. Dan kadangkala kita menyangka, mereka akan menyempurnakan rancangan dan pelan yang dirasakan begitu lengkap dan sempurna, tetapi rancangan itu tidak selesai, kerana nama mereka tidak akan harum walaupun rancangan itu berhasil, jadi untuk apa mereka menyelesaikan rancangan.

Kadangkala kita menyangka juga tiada apa yang bermasalah, tetapi kerja menjadi terbengkalai juga, kerana kedapatan mereka yang bencikan kenamaan, kedapatan mereka yang bencikan materialis dan bencikan sikap kebendaan, mereka bencikan dikawal niat dan kehendak mereka, maka keterhasilan kebendaan, keterhasilan kemasyhuran, keterhasilan kawalan niat untuk menyelesaikan kerja telah menyebabkan mereka membatalkan usaha dan perlakuan. Kerana keterhasilan perkara tersebut dari perlakuan tersebut. Ada orang yang tidak mahu mereka itu digelar materialis, ada orang tidak mahu kemasyhuran dan mahukan low profile, dan ada orang yang benci dikawal apa yang hendak dia lakukan, dan mahu berbuat sesuka hati.

Saya fikir, saya adalah jenis kedua, tetapi saya suka kalau saya disangga oleh niat yang kukuh dan tetap. Soalnya, dari jenis yang manakah kita ini?

Wednesday, November 12, 2008

YKC, Sejambak Pengenalan

Rupa-rupanya, setelah Antologi YKC dicetak bulan Oktober lepas, masih ramai yang tidak mengetahui mengenai kewujudannya. Barangkali, blog penerbitan saya tidak makluuf, tidak cenderung untuk dilawati, kerana alamatnya url-nya yang kurang mesra didengari.

Antologi YKC, adalah singkatan daripada Antologi "Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta". Menampilkan 15 cerpen daripada 5 penulis; saya sendiri, Ishaq Hanis, Sammaituha Najwa, Mior Khabir Zikri dan Syafiq Zulakifli; masing-masing tiga cerpen. Kemudian dituruti 8 sajak, salah satunya dipilih menjadi tema antologi ini - Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta - dan merupakan hasil tangan saya.

Terdapat pelbagai nama cadangan pada asalnya untuk antologi ini. Secara peribadi, saya yang mencadangkan nama ini, dan beberapa nama lain seperti 4:15, Bumi Hati, Iman Yang Sebahagian Lagi dan lain-lain. Akhirnya, nama YKC yang terpilih (walaupun ada yang menyangka YKC adalah nama cerpen, rupanya sajak). Ada juga yang menyangka YKC menghimpunkan sepuluh cerpen dengan tema Cinta padahal bukan. Kata seorang kawan pula, bila pula nak keluar yang nombor sebelas?

Pada asalnya, bilangan sajak bukan 8, tetapi 10. Bahkan sebelum itu, mungkin lebih. Memandangkan terdapat beberapa cerpen yang agak panjang berbanding cerpen biasa, maka muka surat cepat habis, dan kami terpaksa membatasinya kepada bilangan 192; berdasarkan formula gandaan empat; 4 x 48 = 192; demi memaksimumkan muka dan meminimumkan kos. Apatah lagi kenaikan kos percetakan berpuluh-puluh peratus menyebabkan keputusan ini dibuat. Namun, kami masih menjual dengan harga yang paling berpatutan dan kualiti tertinggi yang mampu - LE 10. Kerana itu, beberapa sajak saya disingkir keluar. Bahkan, sehari sebelum cetak, dua sajak saya disingkir lagi. Maka tinggallah 8 sahaja.

Sekalipun YKC bagi saya memiliki beberapa kelemahan dari pelbagai sudut, terutama warna kulit yang menyimpang dari rekaan asal dan beberapa kelemahan lain, namun saya berbangga kerana ia dapat diterbitkan. Kerana saya memberikan cerpen terbaik saya untuk menjadi tatapan bakal penulis genre kreatif sebagai contoh dan panduan, juga sebagai demonstrasi dan contoh praktikal terhadap kaedah dan formula penulisan kreatif yang saya selalu ulang-ulangi lewat pembentangan. Saya yakin, ia bermanfaat dan banyak membantu. Apatah lagi, penulis bukan lahir dari bengkel, sebaliknya dari usaha dan keinginan diri sendiri.

Juga kerana ada segelintir yang selalu memandang serong terhadap penulisan kreatif kononnya tidak ilmiah, selalu merapu dan berbual soal hati semata-mata; lalu inilah jawapan saya kepada mereka. Kalaulah saya yang cuma memiliki ilmu yang terlalu sedikit boleh menulis IYSL, saya percaya banyak lagi karya yang lebih berkualiti boleh dihasilkan oleh tuan-tuan yang memiliki sebeban ilmu. Saya percaya ruang masih terlalu lebar, cuma perlu mengubah genre, mengubah laras bahasa, dan menyusun idea agar isi tidak kelihatan seperti artikel, atau kurang puitis, atau menampal-nampal. Penulisan kreatif adalah seperti namanya. Ia perlu kepada kekretifan berfikir, bukan semata-mata penceritaan, pengisahan dan perasaan.

Sehingga kini, cerpen saya boleh ditemui di tiga antologi - KKF, CDRK dan YKC. Mungkin ini antologi terakhir saya di bumi Mesir - siapa tahu! - memandangkan saya sudah di tahun akhir pengajian. Bukan kerana tahun akhir itu bererti mesti setahun, tetapi menghabiskan penjualan seribu naskhah kebiasaannya perlu setahun setengah, atau paling cepat setahun. Bahkan menyusun antologi baru perlu masa yang agak lama juga. Saya fikir, tiga antologi itu boleh menjadi wakil dan pengganti diri saya terhadap teori-teori penulisan kreatif yang banyak saya kemukakan.

Dapatkan antologi YKC segera. Untuk simpanan diri. Hadiahkan untuk yang tersayang. Cukuplah entri ini untuk memperkenalkan YKC.

Wednesday, October 22, 2008

Tiga Kalam Yang Mu-tsiir

Saya mahu menulis kalam-kalam yang mu-tsiir (mengesankan) dari sahabat-sahabat saya, yang selalu saya teringatkan kerana maksud yang tinggi di sebalik zahir lafaznya.

Faizul Hadi Montalib berkata; "..mengapa orang boleh beranggapan ilmu itu boleh tanpa adab"; ketika mempersoalkan sikap kita di hadapan ilmu.

Qistaz Mikraj @ Saja berkata; "..makan itu mesti kenyangkah" ketika menegur supaya jangan menurutkan nafsu makan dan mengurangkan tana'-'um dengan kesedapan dunia.

Ellyeen Amineen Mohd Salleh berkata; "..perempuan-perempuan yang cantik itu takkan belum berpunya" ketika mengingatkan kepentingan untuk menundukkan pandangan dan melupakan sebentar niat 'bercinta' bagi yang belum masanya.

Ketiga-tiga mutiara kalam ini adalah sinaran dan teguran yang bernilai, hingga selalu saya teringatkannya. Kalam yang benar, lahir dari kefahaman yang benar.

Dan sempena memperingati FKAMC; kalaulah saya mempunyai kuasa sebesar itu untuk mempromosi sebuah kamus, tentulah saya akan mempromosi Mukjam Asasi atau Wasit, dan mempergalak pembacaannya. Wallahu a'-lam.

Thursday, October 16, 2008

Dua Doa

Ada dua doa yang paling menarik perhatian saya, dan amat dirasakan sangat sesuai untuk kita sebagai penuntut ilmu.

Allahumma alhimni rushdi, wa a-'izni min syarri nafsi
( Ya Allah, ilhamkanlah petunjukku, dan peliharalah daku dari kejahatan diriku sendiri )

Yang memberi ilham dan menahan adalah Tuhan, dan pohonlah ilham petunjuk ke arah kebaikan. Manusia itu terdedah kepada kejahatan, dari luar dan dalam. Kejahatan diri adalah yang selalu kita terlupakan.

Tuesday, October 14, 2008

Tasrif Binaa-i l-Af-'aal - Cetakan Kedua


Tasrif Binaa-i l-Af-'aall ini adalah cetakan kedua, hasil tangan Ustaz Masnur Hamzah bin Sattar. Dicetak oleh Daru l-Fajri l-Islaamiyy, dengan kualiti dipertingkatkan daripada cetakan lepas. Hak cipta terpelihara bukan saja dari sudut isi, tetapi juga dari sudut penyampaian berdasarkan teknik pewarnaan, yang merupakan hasil pertama seumpamanya. Konsep penyampaian dan penjelasan berwarna ini dapat diperhatikan di setiap baris dan muka, hingga lebih daripada 10 jenis warna, mewakili pelbagai makna tertentu. Dapatkan segera, sama ada dari wakil-wakil terlantik, juga di maktabah-maktabah tertentu, seperti Daru s-salam, Maktabah Tirmidzi, Maktabah Mujallad Arabii, Daru l-Alamiah li t-Turath, Daru n-Niil dan maktabah-maktabah lain.

Friday, October 10, 2008

Temuramah Buletin an-Naba'

Majalah: An-Nabaa' - Keris
Edisi: 69 dan 70
Kolum: Temuramah
Genre: Kewartawanan
Terbitan: Julai dan September 2008 [KPKM]

KERIS (K): Assalamualaikum. Buat pembuka bicara, boleh saudara perkenalkan latar belakang diri saudara secara ringkas?


Wa-‘alaikumu s-salam. Bismillah. Ismi Mohd Zaki M.Noor, kelahiran Johor. Anak kedua daripada lapan orang adik beradik. Menuntut di Universiti Al-Azhar, Kuliah Lughah Arabiah, Syu'bah Ammah, Kaherah. Mendapat pendidikan awal di peringkat menengah di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor sehingga tingkatan 5, sebelum ke Sekolah Menengah Ugama Arab Khairiah, Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan, untuk mengambil STU, seterusnya melanjutkan pelajaran ke Mesir menggunakan STAM di Maahad Johor pada tahun 2003.

Mempunyai pelbagai minat dan kecenderungan, dan di antaranya menulis, selain berfikir, mengkaji, dan lain-lain. Memiliki pengalaman dalam penulisan dalam beberapa bidang seperti kewartawanan, penulisan artikel dan suara kampus, juga penulisan cerpen dan sajak. Telah menghasilkan beberapa buah cerpen dan sajak, dan sebahagian kecilnya sudah pernah terbitnya di surat khabar dan majalah. Penglibatan dalam penulisan artikel dalam beberapa medan seperti SUKEJ, SEGA, dan beberapa Buletin seperti Warta, Al-Bashirah dan Buletin Keris. Mempunyai kecenderungan dalam penulisan karya sastera sekalipun bermula dengan penulisan artikel. Pernah terlibat dalam pembikinan dua antologi, iaitu antologi Khali Kota Fustat dan Antologi CDRK.

Saya mengucapkan terima kasih kerana sudi menemuramah saya, walaupun saya kira masih ramai lagi yang lebih layak ditemuramah daripada saya. Saya cuba memberi respon terbaik yang saya mampu sedapat-dapatnya.

K: Sudah berapa lama agaknya saudara bergiat dalam bidang penulisan, dan dari mana pula datangnya minat untuk menulis?

Kalau bercerita tentang asal, saya menulis untuk membantu Suara Kampus Edisi Johor (SUKEJ). Itulah sebab pertama dan mula-mula. Kerana itu saya merasakan, sesiapa yang ingin menjadi penulis haruslah berasa bersungguh untuk menaikkan suara kampus negeri masing-masing. Tetapi, ia akan banyak bergantung pula kepada persatuan yang menguruskan suara kampus. Keazaman kepimpinan dan kesungguhan mereka sebenarnya banyak memberi kesan kepada kewujudan penulis-penulis di Mesir; itu pandangan peribadi saya.

Kerana itu saya sering merasakan, medan penulisan itu adalah antara tapak-tapak pertama yang sangat penting, lebih-lebih lagi kepada orang yang seperti saya, yang pada asalnya tidak terfikir langsung mahu menjadi penulis. Kecuali mereka yang memang jiwanya menulis, barangkali sejak sebelum disogokkan medan ini, mereka sudah mula menulis. Menulis bagi mereka barangkali kerana itulah fitrah. Kembali, kerana keinginan saya membantu BKPJM dalam menerbitkan suara kampus, dan kerana azam senior-senior saya ketika itu telah memupuk pula sedikit demi sedikit rasa sungguh-sungguh saya dalam penulisan ini.

Sudah berapa lama saya bergiat dalam penulisan? Seingat saya, saya pernah cuba-cuba mengarang sajak ketika di sekolah rendah dulu. Itu sekali, dan cuma satu. Ketika di menengah, saya ada mengarang beberapa sajak juga, sekitar 10 barangkali. Tetapi lebih tepat, saya mula menulis ketika di Mesir. Saya diberi peluang untuk terlibat dalam banyak medan, di mana semua medan ini serius dalam kerja. Seperti Warta ketika itu saya menjadi wartawan, kemudian saya terlibat dalam SEGA tahun 2004 kalau saya tidak silap, dengan kebanyakan wakil daripada semua BKAN dan DPM adalah tenaga baru dan tiada pengalaman. Kemudian terlibat dengan beberapa medan lain, dan yang paling lama ada SUKEJ, selama beberapa ketika.

Betul. Kesungguhan anda untuk menulis itu sangat penting, tetapi kewujudan medan juga sangat penting. Saya merasakan dalam peratusan yang sangat besar, andai medan dan ruang menulis ini diabaikan oleh kepimpinan dan usaha-usaha menggalakkannya tidak ada, tidak mustahil kewujudan penulis akan diancam kepupusan dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Dan kerana itu saya merasakan, sikap sungguh-sungguh bukan saja perlu ada pada penulis, tetapi perlu ada dalam diri kepimpinan yang mengawal program dan medan penulisan dalam ruang lingkup tanggungjawab masing-masing.

Kalau berbicara minat menulis, sebetulnya ia agak subjektif. Minat itu perasaan, dan perasaan itu di dalam hati. Saya suka katakan bahawa, torik ta’-bir (medium penyampaian) kita adalah dua; iaitu suara dan tulisan. Saya selalu mendapati bahawa ruang dan peluang untuk bersuara bagi ahli adalah sangat terhad. Kalau anda ingin banyak peluang bersuara, anda perlu bergelar kepimpinan terlebih dahulu. Kerana itu saya secara tidak langsung membuat kesimpulan umum, bahawa bersuara adalah hak milik kepimpinan.

Dan pilihan yang ada untuk ahli biasa seperti saya untuk menyuarakan pendapat kepada umum manusia, adalah dengan menulis. Dari situ, mungkin boleh dikatakan sebagai sebab atau pendorong minat saya menulis. Di awal-awal penulisan saya, saya banyak menulis artikel pendapat, dan barangkali sebab dan puncanya adalah kerana hal ini. Kerana saya sudah jenuh menunggu peluang untuk dapat bercakap dan meluahkan idea saya, maka saya menulis. Itu mungkin boleh dikatakan antara minat-minat pertama ketika awal-awal menulis dulu.

Kerana itu, saya sendiri tidak pasti, adakah saya menulis kerana kesedaran saya mengenai kepentingan penulisan? Ia mungkin lebih kepada keinginan dalaman saya yang sedikit memberontak melihat beberapa perkara yang saya tidak setuju, mengkajinya, dan memberikan penilaian bahkan penyelesaian kalau ada. Tetapi setiap orang tidak sama. Ada yang memang benar-benar ikhlas menulis kerana minat dan kesedaran dalam diri dan kesedaran tentang kepentingannya. Ini adalah sebaik-baiknya. Dan segolongan yang lain, ada yang menulis demi wang, harta, kenamaan, kemasyhuran, dan lain-lain lagi.

K: Jadi boleh juga dikatakan menulis, bagi saudara, bisa dijadikan satu profesion seumur hidup?

Bagi saya, ya. Ia boleh menjadi profesion seumur hidup. Tetapi sebelum ia mampu menjadi profesion seumur hidup, penulis tersebut perlu memahami hakikat dirinya - mengapa ia menulis? Kalau ia menjadikan penulisan sebagai sumber rezeki dan dia irtizak dari situ, maka dia akan menulis untuk hidup. Kalau ia menganggap penulisan adalah untuk mencari kemasyhuran dan kenamaan, ia akan berhenti apabila telah masyhur, atau akan menulis demi mempertahankan kemasyhuran yang dia bina. Kalau ia menulis kerana demi sesuatu matlamat seperti mengubah masyarakat, maka dia tidak akan senang untuk berhenti selagi masyarakat masih kekal dan belum berubah. Kalau dia menulis demi mengubah pemikiran manusia di sekelilingnya, maka dia belum rela berhenti selagi pemikiran ini terus membelenggu manusia. Dan kalau dia memang menulis demi diri sendiri, demi sesuatu yang dia rasakan penting, atau mahu menterjemah seluruh usianya selagi ia hidup kepada tulisan, yang berkemungkinan mampu dipetik generasi akan datang walau entah bila, maka dia akan terus menulis selagi ia masih hidup.

Saya pernah menulis dengan bermacam-macam sebab dan dawaa-'ie. Kadang-kadang tidak dapat lari dari nama, apatah lagi kerana biah mujamalah kita di bumi Mesir itu memang begitu. Tetapi jangan mudah berasa tersilap jalan. Godaan kenamaan itu memang sentiasa ada. Tetapi kalau kita memang bukan memburunya, kita tidak perlu berasa pening dan tidak perlu mengendahkannya. Apa yang penting adalah, adakah kita benar-benar mahu menulis. Saya berasa bangga kerana kesedaran anak-anak Kelantan melalui An-Naba' ini terhadap penulisan dan kepentingannya, sekaligus membayangkan usaha mereka yang tidak padam. Saya yakin, kebangkitan penulis-penulis daripada Kelantan terutamanya akan semakin marak dengan usaha-usaha seperti ini.

Bercakap mengenai profesion seumur hidup, saya lebih suka menganggap penulisan sebagai salah satu kemahiran dalam sekelian banyak kemahiran yang ada di dalam dunia pekerjaan. Bermaksud, bagi saya, memiliki lebih kemahiran bererti memiliki nilai-nilai tambah dalam pekerjaan. Anda mempunyai kemahiran mengajar, kemahiran komputer, kemahiran ICT, kemahiran berbicara, kemahiran menulis dan sekelian banyak kemahiran yang lain lagi, memungkinkan anda mempunyai banyak pilihan kerja. Saya menyedari hal ini beberapa ketika dahulu. Sebagai contoh, anda bekerja di pejabat, dan di waktu luar kerja anda boleh berniaga, boleh menulis, atau boleh berehat begitu saja. Terpulang anda memilihnya.

Bagi saya, kalau anda seorang yang mempunyai idea, atau sekurang-kurangnya membuka mata kepada alam di sekeliling, memerhati masyarakat, atau anda mempunyai suatu matlamat dalam hidup, penulisan adalah antara antara kemahiran yang tak boleh anda abaikan. Kita tidak pernah menafikan kepentingan penulisan dan penulis. Itu hakikat; dan itulah realiti. Kita juga tidak pernah menafikan kehendak jiwa, kehendak akal bahkan kehendak hati untuk menyampaikan sesuatu maksud dalam bentuk penulisan. Tetapi hakikat ini perlu direnung dan diperhatikan, dan akan merujuk kepada diri individu masing-masing.

Bagi saya, cerpenis itu seorang penulis, novelis juga penulis, wartawan juga penulis, penterjemah juga penulis, pengarang kitab dan editor majalah juga seorang penulis; dan kita tak mampu untuk mengangkat dada dan meninggikan hidung sekaligus menafikan kepentingan pihak lain. Saya cukup tidak suka orang yang merasa dirinya lebih, dan menghina yang lain. Siapa boleh merasakan dirinya lebih baik dari wartawan yang mencatat perihal dan kejadian dunia hari-hari? Bukankah sebahagian sejarah akan hilang tanpa diketahui kalau tak dicatat oleh wartawan ini? Dan sejarah adalah pelajaran yang penting bagi manusia yang menilai diri.

Begitu juga dengan cerpenis dan novelis. Siapa berani merasakan golongan ini tidak berguna sedangkan mereka antara yang mempunyai kadar pembaca tertinggi? Siapa boleh menafikan kebaikan yang boleh mereka sampaikan kalau betul caranya, kepada sebegitu besar jumlah pembaca? Kalau demikianlah hakikatnya, jalankanlah kerja masing-masing berdasarkan kecenderungan masing-masing, dan ya, lakukanlah dengan betul dan bermanfaat. Berhentilah kerja menyerang orang, dan memandang rendah pihak yang lain.

K: Kita digembar-gemburkan dengan kebangkitan penulis muda tanahair yang muncul dari kelompok ilmuwan dan agamawan dari Timur Tengah. Bagaimana persepsi saudara terhadap ‘kebangkitan’ ini?

Saya sendiri kurang pasti mengenai hakikat kebangkitan ini. Mungkin kebangkitan itu mempunyai beberapa makna. Mungkin ia merujuk kepada mereka yang telah bergelar penulis, dan itu kita dapat lihat dalam peribadi Amiza, Ubaidillah, Nazmi, Zaid Akhtar dan beberapa orang lain. Mereka ini memang bukti hidup yang bangkit. Atau mungkin kebangkitan itu merujuk kepada kemunculan beberapa karya yang dihantar dari Timur Tengah, yang sebelum ini tidak wujud, atau tidak banyak. Kalau itu maksud mereka dengan kebangkitan, maka itu memang ada berlaku. Atau ketiga, mungkin ia bermaksudkan kemunculan penulis-penulis baru, kita-kita ini, yang masih lagi belajar di sini dan mula menulis.

Kalau ia adalah yang ketiga, bukan pengiktirafan yang penting bagi saya. Saya membakulsampahkan saja pengiktirafan, kalau usaha tidak ada. Kalau mahukan penghormatan, lakukanlah dengan sungguh-sungguh dan capailah dengan usaha yang benar-benar. Bagi saya, pengiktirafan tanpa hak adalah memalukan, dan patut ditolak. Jangan menagih pengiktirafan kalau kita tidak layak. Kita patut beralih kepada usaha dan memperbaiki diri, memperbanyak hasil, dan meningkatkan kualiti. Apabila ini terjadi, kepuasan sebenar adalah lebih membanggakan daripada semua pengiktirafan ini.

Kerana itu, bukan kenamaan yang kita kejar, tetapi matlamat. Bahkan kalaupun usaha kita benar-benar dan sungguh-sungguh, ia tetap adalah kejayaan walaupun tanpa pengiktirafan pihak-pihak tertentu tersebut. Soalnya, apa usaha yang telah kita lakukan selama ini? Saya dapat lihat beberapa suara kampus mula bangkit, dan berharap ia berterusan. Saya dapat lihat kesungguhan beberapa BKAN yang wakilnya datang bertanyakan pendapat, dan saya puji kesungguhan mereka. Mereka inilah yang saya kira layak untuk kita pakaikan pengiktirafan itu.

Namun saya masih kecewa dengan pihak-pihak tertentu. Mereka kelihatan sedikit tidak acuh terhadap perkara ini. Mereka sudah kehilangan kesungguhan, hingga untuk melihat satu hasil kerja juga sangat susah. Kita tidak mahu menjadi pahat yang menunggu diketuk. Tetapi saya berharap hal ini boleh berubah. Itu harapan saya. Saya percaya sikap tidak acuh dan lepas tangan ini bahaya, dan mereka juga sedar ketidakelokannya. Kita masih punya masa sebelum digelar sudah terlambat.

K: Baik, jika seorang yang mahu menjadi penulis, mahu menulis sesuatu yang baik, apakah yang mula-mula perlu dilakukan, supaya kerjanya tidak akan berhenti separa jalan seperti kata orang ‘hangat-hangat tahi ayam’?

Saya susah hendak menjawab persoalan hangat-hangat tahi ayam ini. Kita tidak mengerti kadang-kadang mengapa mereka berhenti separuh jalan. Kalau mereka ditekan hingga terpaksa melepaskan impian dan cita-cita, seperti anak dara dipaksa kawin dan terpaksa melepaskan cintanya dot dot dot, maka kita tak akan mengatakan dia hangat-hangat tahi ayam dalam cinta dan sebagainya. Mungkin dia perlukan masa, sebelum dia boleh menulis semula. Kerana itu, sebab-sebab ini perlulah dikaji, dan dicarikan penyelesaiannya buat pedoman penulis-penulis akan datang.

Ada beberapa sebab yang lazim dalam kes seperti ini. Seperti terlalu sibuk hingga penulisan terbantut. Atau seperti tekanan keluarga yang mahukan kecemerlangan peperiksaan dengan arahan mengurangkan kerja-kerja sampingan seperti kepimpinan, aktiviti sukan dan rehlah, termasuk sama, aktiviti penulisan. Permasalahan seperti ini sebenarnya adalah salah faham. Kesibukan yang menghalang penulisan boleh diatasi dengan mengatur waktu. Kalau mengatur waktu gagal, banyak perkara boleh gagal kerananya. Salah faham keluarga pula adalah kebimbangan dan tanda ambil berat. Jadi, ia perlu ditafsir semula sebagai tanda kasih dan sayang, bukan sekat dan halang.

Kerana itu saya suka mengingatkan kepada semua penulis, dan calon penulis, untuk tidak mengabaikan pelajaran anda. Kerana mengabaikan pelajaran akan menimbulkan fitnah kepada dunia penulisan itu sendiri. Yang menerima nasib ini bukan saja penulis dan penulisan, bahkan kepimpinan yang mengabaikan pelajaran juga akan menimbulkan fitnah yang sama kepada dunia kepimpinan. Kita golongan intelek, atau sedang ke arah itu, bertindaklah dalam keadaan memenuhi tuntutan diri, dan tidak mengabaikan yang lain.

Sesetengah mereka pula terbantut apabila diajarkan nilaian kualiti dan tanggungjawab penulisan. Kadang-kadang saya berasa bersalah apabila ini terjadi. Adakah saya telah memusnahkan keinginan anda untuk menulis; kerana saya menerangkan nilaian tanggungjawab dan kadaran kualiti ini? Sebagai tukang kata, kita sebaris dengan tukang kayu, atau tukang besi. Kemahiran menulis sama seperti kemahiran mengukir. Kita semua memburu kualiti, dan kita suka kepada kualiti.

Kualiti itu bermakna, indah, menjadi pesona, rebutan, penghargaan, dan mempunyai nilaian yang tinggi. Kerana itu menghasilkannya sukar, dan perlu kepada usaha yang lebih, kesabaran yang tinggi, dan penelitian yang dalam. Memahami kualiti bererti anda harus bersikap ingin kepadanya, bukan lari daripadanya. Kajilah kelemahan diri, dari baris ke baris, ayat ke ayat, perenggan ke perenggan, muka ke muka, dan perbaiki. Jangan ulangi kelemahan yang sama, bermula dari baris ke baris, hinggalah karya itu siap. Cuba wujudkan nilai dan kualiti itu dari masa ke semasa, saya percaya ia perlukan masa dan latihan.

Untuk menjadi penulis kata Kak Nisah, anda perlu banyak membaca. Kerana itulah pemetiknya. That’s the trigger. Dan bagi saya, anda juga harus belajar berfikir dan belajar merasa. Kerana itulah pengasahnya. Kita boleh menemukan idea-idea yang hebat, isi-isi yang padu, tetapi kita akan lebih kagum, lebih terasa, lebih terkesan, apabila menemukan isi-isi yang padu dan agam yang disampaikan dengan rasa yang mengesan. Karya-karya yang agung semuanya memiliki ciri ini. Al-Quran sebagai bukti terunggul bukan saja menyampaikan isi dan hikmat terhebat, tetapi juga menyelitkan keindahan rasa yang mengesankan, mengubahkan pembaca kepada sesuatu yang lain.

Pokoknya, jarang-jarang dalam dunia kita menemukan seorang yang baru dalam suatu bidang, tetapi hasilnya sama seperti seorang yang mahir. Kalau ia wujud, kita gelari mereka abqari. Atau naabighoh. Tetapi manusia-manusia biasa seperti saya perlu bermula daripada hasil tulisan yang buruk, sampel-sampel yang tidak berkualiti, dan saya perlu mengkaji keburukan tulisan diri. Kerana keburukan-keburukan ini harus dikeluarkan, dibuang, dengan memperbanyak latihan, sebelum kita mampu menulis sesuatu yang benar-benar baik. Bacalah, kajilah, rasailah keindahan tulisan orang lain; resapinya, hayatinya, fahaminya, dan contohinya. Itulah pandangan saya selama ini.

Karya-karya yang mantap, tak kira apa genrenya, artikel, cerpen, sajak, novel, kajian, terjemahan; semuanya memerlukan latihan demi mengeluarkan keburukan-keburukan diri. Sebelum keburukan-keburukan ini boleh keluar, kita perlu berlatih dan meneliti diri. Cuba lihatkan sudut-sudut berkualiti dalam karya orang lain, dan terapkan pada diri. Ia mungkin memerlukan kekreatifan diri mencipta keindahan tersendiri. Ini jalan yang jauh, dan orang-orang biasa seperti saya perlu melaluinya peringkat demi peringkat.

K: Saudara pernah menyatakan ‘penulis sama seperti pelukis’. Sedikit penjelasan?

Saya sedikit suka membaca soalan ini. Kalau anda selalu mendengar kalam saya, saya selalu meminjam uslub balaghi ini – tashbih. Atau kalau rajin usaha, boleh menukarkannya kepada isti-‘aaroh. Kerana ia adalah kecantikan kalam. Orang Arab sejak zaman berzaman menyedari keindahan bahasa dan nilainya, adakah wajar kita pula berpihak di sebaliknya?

Pelukis maksud saya, adalah orang yang menyampaikan sesuatu maksud dengan berus dan warna. Penulis juga sama, menyampaikan maksud dengan kata dan ibarat. Apabila menulis, anda perlu memiliki suatu maksud yang hendak disampaikan. Kerana itu pelukis dan penulis bersamaan dalam perkara ini. Kerana itu, memikirkan maksud yang hendak anda sampaikan melalui penulisan haruslah menjadi perkara pertama ketika menulis. Atau menjadi perkara utama ketika menulis. Barulah anda memikirkan wasilahnya, caranya, perantaraannya, gayanya.

Menyampaikan maksud ‘hidayah dan petunjuk’ dalam lukisan akan menggambar sesuatu seperti cahaya dan kegelapan, atau jalan dan masjid; tetapi bagaimanakah maksud ‘hidayah dan petunjuk’ ini dapat disampaikan melalui kata dan ta’-bir bi l-kalam? Lalu, penulis-penulis seperti kita memikirkan suatu cara supaya maksud ini boleh sampai kepada pembaca. Cara ada banyak. Cara langsung. Cara tidak langsung. Cara berkias. Dan perlbagai cara lagi. Sebahagian cara penyampaian kelihatan biasa dan membosankan. Atau terlalu tegak dan direct. Sebahagian cara penyampaian pula agak berbelit dan memeningkan. Akhirnya maksud tidak sampai dan pembaca lari. Penulis dalam qodiah ini perlu memikirkan wasilah terbaik dalam menyampaikan maksud yang hendak disampaikan.

Kalau boleh dijayakan, usahakan cara yang menarik dan isi yang mengesankan. Kerap saya pesankan kepada pendengar-pendengar saya berkenaan nilaian fasih. Fasih itu bererti, menyampaikan kepanjangan maksud dalam kependekan kata. Itu yang saya takrifkan selalu. Seperti kawan anda baru mendapat anak, lalu anda katakan padanya, “saya pasti akan datang untuk memberikan nama pada bakal zaujah saya.”

Ayat ini membawa 3 erti. Pertama, saya adalah seorang lelaki. Kedua, anak itu baru saja lahir, dan belum diberi nama. Ketiga, ia adalah anak perempuan. Dan kalau mengikut tuntutan kalam, ia mungkin adalah gurauan secara mubala-ghoh dan melampau-lampau, kerana bukankah bayi itu masih terlalu kecil untuk dikahwini? Kecuali ia dalam maqam kalam adalah serius, maka mungkin ia bukan bermakna gurauan dan sebagainya. Inilah yang cuba selalu saya selitkan dalam setiap penerangan saya kepada penulis-penulis baru. Menyampaikan maksud biarlah dengan usaha berfikir dan merasa, dan jangan terlalu malas membentukkan penyampaian anda supaya ia lebih indah daripada kalam yang terlalu biasa.

Kerana itulah yang dilakukan oleh pelukis yang hebat. Mereka menyampaikan seribu makna dalam satu lukisan; a picture can tell a thousand stories; kerana mereka memikirkan cara bagaimana suatu maksud itu dapat disampaikan. Kerana itu saya menyamakan penulis dengan pelukis. Kerana penulis harus bertindak yang sama, menyampaikan kepanjangan maksud dengan kependekan kata. Kita pula bertindak menyampaikan makna yang jauh dan mendalam hanya dengan beberapa perkataan. Bukankah itu suatu yang menarik?

Sebagai penulis, kita harus berlatih laras ta’-bir yang setingkat lebih tinggi. Saya bukan memaksudkan anda menggunakan kalam yang bombastik, atau penyampaian yang memeningkan, cukuplah dengan kefasihan tadi. Orang Arab sendiri apabila me-rating-kan sesebuah kalam sebagai fasih, ia menetapkan bahawa kalam mestilah bukan ghorib, pelik. Kerana ghorobah dalam kalam hanya menurunkan peringkat kalam ke darjah yang lebih rendah, dan tidak digelar fasih. Laras ta’-bir yang saya maksudkan adalah menukar kebiasaan kalam perbualan dan kalam pasar, kepada kalam yang lebih baligh. Kalam yang lebih menyampaikan maksud.

Orang Arab dalam zaman Jahiliah tidak perlukan syarah, kerana dalam balaghah penyair mereka, umum masyarakat mereka sudah faham dan mengerti makna di sebalik kalam. Tetapi perhatikanlah umum masyarakat kita. Mereka lebih menyukai lawak-lawak yang murahan, kata-kata yang sia-sia, kerana mereka tidak membiasakan ketinggian maksud dalam ketinggian kalam dan penyampaian. Apabila ini berlaku, bukankah itu bererti masyarakat kita berada di tahap yang rendah, dan perlukan suntikan sesuatu yang fasih dari kita?

Ketinggian kalam dan penyampaian adalah sesuatu yang istimewa, sehingga ia menjadi antara mukjizat Nabi kita. Apakah kata-kata seperti ini masih tidak cukup untuk menjadikan anda berkeinginan menjadi penulis yang fasih?

K: Sebagai penulis yang lahir dari kelompok ilmuwan dan agamawan, adakah penting untuk menerapkan sebahagian ilmu yang dipelajari ke dalam penulisan? Mengapa?

Soalan ini tidak perlu sebenarnya. Kerana penulis adalah penterjemah kepada diri sendiri. Atau menterjemahkan ilmu dan pengalaman milik diri. Atau menterjemahkan buah fikiran dan idea, atau sekurang-kurangnya menjadi cermin yang memantulkan persekitaran yang ia lihat kepada pembaca. Semua keadaan ini dalam setiap aspeknya, penulis tidak dapat mengelak daripada menyatakan persepsi diri dan pegangannya terhadap isi yang hendak ia sampaikan. Sama ada secara langsung, atau secara tidak langsung.

K: Penulis muda yang baru berjinak-jinak dengan arena penulisan sekarang tampak lebih sinonim dengan ke‘klise’an mereka. Kebanyakan tulisan mereka nampak sama saja dari segi tema yang dibawa. Komen saudara?

Saya mengira soalan itu sedikit menghujum. Walaupun ya, memang sebahagian mereka menulis sesuatu yang agak klise, dan mengulangi kesalahan penulisan yang sama. Tetapi mengenangkan mereka masih baru berjinak-jinak, saya juga terkenangkan hasil tulisan saya ketika baru berjinak-jinak dulu. Barangkali klise dalam erti kata ini adalah permasalahan pengalaman. Tetapi mereka yang sudah tahu tetapi masih mengulangi klise ini perlu diberikan sedikit taujihat. Atau mereka patut mula menyedari diri, dan berusaha meningkatkan kemampuan masing-masing.

Tetapi dari sudut yang lain, saya tidak terlalu garang dan menyerang siapa-siapa yang hendak menulis, hatta yang klise sekalipun. Lambat laun mereka akan sedar hakikat ini, sekalipun tidak diberitahu. Saya suka mereka menimba maksud dan pengajaran ini melalui pengalaman, dan memperbaik diri. Kecuali mereka datang dan minta dikritik, maka saya sendiri tidak dapat menyembunyikan hakikat ini dari mereka. Janganlah saya digelar garang atau terlalu keras dalam hal ini.

Permasalahan ini bukan saja berlaku dalam cerpen, sajak dan novel, bahkan dalam artikel sekalipun. Klise ini sebetulnya berpunca dari cara berfikir, dan sikap kita sebenarnya. Membetulkan cara berfikir dan mengubah sikap adalah perlu, dan boleh berlaku kalau kita serius menulis. Serius menulis bererti serius menimbang semula hasil tulisan masing-masing. Saya boleh jamin, sebaik saja tulisan tersiar, penulis akan membaca hasil tulisannya berkali-kali. Inilah fitrah - melihat hasil tulisan diri. Tetapi adakah penulis menilai kembali sejauh manakah mutu dan kualiti tulisannya? Kalau mereka mengulangbaca, pasti dapat mengagak satu dua kelemahan dan kekurangan tulisan sendiri.

Saya masih ingat ketika saya di bawah seorang senior dalam satu suara kampus. Artikel yang saya tulis tidak disiarkan. Atau dalam bahasa yang lebih tepat, disingkirkan. Puas saya menyemak lembar demi lembar, dan oleh kerana ia mempunyai tajuk yang sama tetapi isi tulisan yang 100 peratus berlainan, maka saya pasti tulisan saya tidak diterima editor. Melalui hakikat ini sebenarnya sudah cukup menggambarkan betapa lemahnya penulisan saya ketika itu. Tidak tersiar juga mengajar banyak kepada saya, untuk menilai semula karya diri.

Saya juga seorang penulis baru yang masih lemah. Saya sama seperti anda semua. Tetapi klise jarang disukai orang. Klise itu apa? Ia lebih kurang adalah, pengungkapan idea yang sudah basi. Atau sudah banyak kali diulang-ulang. Kerana banyaknya berulang dan sudah terlalu kerap ditulis orang, ia menjadi basi dan tidak istimewa. Tetapi anda boleh cuba menulis dan lihatlah, adakah idea anda klise atau bagaimana.

K: Cadangan saudara supaya hal ini bisa diperbaiki?

Banyakkan membaca, terutama karya yang baik. Kaji semula sudut-sudut berkualiti dalam karya-karya orang, dan kaji juga sudut-sudut kekurangan dalam karya-karya diri. Memikirkan dalam keluar, luar ke dalam dalam menyampaikan sesuatu makna. Cuba sampaikan maksud dalam laras bahasa yang fasih, menyampaikan kepanjangan makna dalam ayat yang memadai. Fikirkan idea-idea yang belum ditulis orang, atau cara penyampaian yang tersendiri. Timba pengetahuan sebanyak-banyaknya.

Saya suka mengungkapkan bahawa, kita sebagai penulis mempunyai objektif. Dan kita menulis dalam memenuhi tuntutan objektif itu. Kalau objektif kita adalah untuk menegur atau mengkritik, maka cara yang boleh digunakan adalah sindiran, kiasan, seperti menyamakan pemerintah yang makan harta rakyat dengan jerung yang membaham, kemudian apabila jerung ini cuba ditangkap, ia terlepas lari, yang berjaya ditangkap cumalah ikan-ikan bilis. Sindiran seperti ini menyampaikan makna, tetapi dengan objektif menyindir. Bayangkan kalau penulis memilih untuk mengkritik dengan cara yang langsung dan terus, seperti mengkiritiknya melalui perbualan dua watak. Maka cara ini kurang menarik dan tidak mengagumkan. Atau mengungkapkannya dalam sebuah artikel kritikan. Semua ini berobjektif, dan kita perlu memikirkannya.

K: Buat akhirnya, sedikit kata-kata nasihat atau penyuntik semangat untuk mereka yang baru memulakan karier sebagai penulis?

Menulis merupakan sebuah aktiviti, dan tiada aktiviti yang tidak memerlukan tenaga dan keringat, bahkan dalam menulis, anda memerlukan kesungguhan, keazaman, dan tumpuan tenaga fikiran yang mencukupi. Bahkan mengawal perasaan diri. Kerana itu menulis bukan kerja main-main atau rehat-rehat. Setiap genre mempunyai kesusahan masing-masing. Itu hanya akan anda fahami bila terjun dan melaluinya sendiri. Dalam penulisan, mereka yang kurang azam akan mudah menyerah kalah, dan tertinggal di belakang.

Kalau buntu, mulakan dengan mengumpulkan bahan. Tulis semua idea. Catatkan nota dan cadangan anda untuk menulis. Lakarkan bagaimana anda merancang mahu menulisnya. Kemudian, cuba menulis, dan cuba paksa diri menulis, berkali-kali, dengan memberikan tumpuan semampunya. Barangkali ia berasa susah untuk menulis, sekiranya bahan belum cukup, atau kefahaman belum lengkap, atau pencairan idea belum memadai. Tetapi semua ini, hanya anda fahami apabila anda melaluinya, dan berusaha mengatasi segala masalahnya. Jadi berazamlah, dan bersungguhlah.

Saya tidak layak memberi apa-apa nasihat kepada anda sebenarnya. Kata-kata ini boleh anda terima atau abaikan, atau dinilai semula dan diterima-tolak sesuai yang anda rasa. Saya sendiri juga sukar menerima kritikan dan pandangan orang terhadap tulisan saya pada mulanya; itu tidak mengapa; kerana suatu hari kelak, kita akan menyedari nilai tulisan kita sendiri, kualiti atau tidaknya, salah dan silapnya. Sebagai warga intelek, saya tak meragukan bahawa anda boleh memikirkannya.

Antologi YKC Sudah Siap Dicetak, Dapatkan Segera

Antologi ketiga; "Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta" (YKC) boleh didapati mulai Sabtu ini, atau terus kepada wakil penjual. Dapatkan segera, jadikan koleksi bahan bacaan atau hadiahkan kepada yang tersayang.

Lawati blog ini untuk makluman lanjut.

Tuesday, October 07, 2008

Entri Campur Aduk | Dari Puasa Ke Raya

Macam-macam terjadi pada bulan Ramadan lepas. Ada yang menyedihkan, dan ada yang menggembirakan. Ada yang baik, ada yang kurang baik. Beberapa orang meninggal dunia, dari yang 'alim hingga pada kaum keluarga. Kemudian jam saya pula hilang. Hari terakhir puasa, ketika berbuka di Maidah Rahman sebuah masjid, selipar saya pula hilang. Itu semua memberi pengajaran yang macam-macam. Sehingga ada yang berkata; hai baru sekejap syaitan lepas, dah ada yang jadi pencuri! Mungkin ada yang pinjam kemudian terlupa.

Tapi yang seronok adalah bersolat Hari Raya di Masjid al-Azhar, melihat duyunan manusia, lelaki perempuan, sehingga Faiz mengingatkan ketika kami mahu keluar dan bersesak-sesak; ha; beginilah lebih kurang masa nak ke Rau-dhah! Malam raya kami bertakbir ramai-ramai beratus-ratus kali; tidak sempat capai target, jadi saya sambung pula di Arma, tidur di sana, kerana keesokkan, pagi-paginya, mahu bertolak awal-awal ke Masjid al-Azhar. Kata Faiz, sunat pergi jalan lain, balik jalan lain. Sunat pergi membanyakkan langkah - kerana itu baik jalan kaki; dan balik mempercepatkan balik - kerana itu kena naik van sewa. Tapi, pergi kami jalan, balik pun sama.

Beberapa hari sebelumnya, Syeikh Dr. Usamah Said al-Azhari dijemput ke dataran Asyir untuk satu muhadarah bertajuk; Manhaj al-Azhar dalam Aqidah dan Syariah. Faiz menambah lagi, Fadhilatu s-Syeikh ini adalah murid mufti Mesir, Syeikh Dr. 'Ali Jum-'ah; dan kalau beliau tiada semasa muhadarah contohnya, Syeikh Usamahlah yang akan mengganti. Logiknya, calon bakal mufti, atau mufti to be.

Ada dua perkara besar yang dibangkitkan dalam muhadarah beliau. Satu; ilmu bukan semata-mata dalil; kerana ilmu adalah himpunan tiga benda - sumber dan dalil; manhaj yang muktamad dan terpelihara dalam memahami dalil; dan kemampuan yang ada pada seorang 'alim yang mempraktikkan manhaj tersebut kepada nas. Dua, mengenai konsep talaqqi bi l-qabuul, iaitu 'menyambut dengan penuh penerimaan'.

Boleh dengar rakaman tersebut di link ini. Atau boleh download. Saya kerat kepada 4. Satu| dua | tiga dan empat. Setelah siap muat turun semua, klik salah satu, dan extract. Pastikan anda ada Winrar dari mana-mana versi.


Wahai Tuhan kami, kami akui - bahawa kami berdosa - dan kami melampau - (hingga) kami dekat dengan nyalaan neraka

Maka terimalah taubat kami - yang membasuh setiap satu dosa - dan tutuplah aurat kami - dan tenangkanlah ketakutan kami

Dan ampunkanlah kedua ibu bapa kami - wahai Tuhan! dan anak-anak kami - juga kaum keluarga kami dan rakan-rakan - juga semua kawan

Serta semua yang mempunyai rasa kasih (kepada kami) - dan jiran dan teman - juga umat Islam seluruhnya - perkenankanlah, Tuhan! Dengarlah!

Sebagai kelebihan, murah hati-Mu dan pemberian-Mu - bukan kerana usaha kami - dengan (berkat) Rasul (Muhammad) - kami capai segala permintaan

Selawat dan Salam dari Tuhanku - ke atas Baginda sebanyak bilangan bijian (di dunia) - juga ke atas kaum keluarga Baginda dan Sahabat - sejumlah (titis) hujan dari awan-awan

Dan segala puji bagi Tuhan - dari mula hingga ke akhirnya.

[kalau ada yang silap terjemah dan bacaan, boleh tegur]
mp3 [bacaan sendiri]

Sunday, October 05, 2008

Dalam Dan Tulen

Selamat Hari Raya.

Pernah tak kita memikirkan walaupun sekali dalam kehidupan; sejauh manakah kasih dan sayang kita sebenarnya? Dalam manakah, dan tulen manakah sebenarnya kasih sayang kita kepada ibu bapa, kepada adik beradik kita, kepada kaum keluarga kita, kepada sahabat dan rakan kita, kepada guru-guru kita, atau sehinggalah kepada kekasih kita?

Adakah kita memang mengasihi dan menyayangi ibu bapa kita kerana merekalah yang akan memperkenankan belanja wang saku, memberikan keinginan dan memenuhi kehendak; kerana mereka memberikan perhatian dan tumpuan, lalu kerana itu kita mengaku kasih dan sayang; tetapi bagaimana pula kalau mereka mengabaikan kita, menafikan semua kemahuan kita, menganggap kewujudan kita sebagai menyusahkan, lalu adakah pula kerana itu kita menarik balik kasih sayang yang kita akui tadi? Adakah yang pertama itu kasih sayang kebendaan, kasih sayang bersebab dan kasih sayang bersyarat, dan kedua itu kebencian yang setaranya?

Adakah kita mengaku sayang pada sahabat dan kawan rapat kerana merekalah yang akan menemani kita, membenarkan kalam dan kehendak kita; kerana mereka peka dengan keinginan dan minat kita, lalu apakah kita masih boleh mengaku dengan pengakuan yang sama apabila mereka meninggalkan kita, membiarkan kita sendirian, tidak memperdulikan kalau-kalau kita dalam kesusahan, mengabaikan kewujudan lalu akhirnya kita menuturkan kata putus yang memutuskan gelaran? Lalu jenis apakah kasih sayang dari pengakuan yang tadi; kasih sayang minta berbalas, atau kasih sayang minta sepadan usaha dan tindakan?

Adakah benar kita mengaku kasih pada guru-guru kita, kerana mereka sentiasa memberikan tunjuk ajar, menuturkan kalam-kalam nasihat; kerana mereka bermuka senyum dan menambahkan semangat ke dalam hati; lalu apakah kalau mereka membatalkan kehendak mencurahkan ilmu, memasamkan muka, memarahi dan berkata kasar, menghancurkan keyakinan dan semangat kita lantas kita membenci dan menarik kembali rasa kasih sayang yang awal-awal tadi kita sangka, dan kemudian kita gantikan dengan kebencian? Jenis kasih sayang apakah yang kita kalungkan tadi untuk mereka; kasih sayang sama rata, atau kasih sayang ‘hanya yang baik-baik sahaja’?

Benarkah kasih sayang tadi, juga kasih sayang kita kepada semua; hingga pada adik beradik dan kekasih sekalipun; adakah kerana mereka berbudi kita berbahasa dan itulah dasar kasih, kemudian apabila mereka sudah kurang mesra dan jauh hubungan lalu kita tarik semula hati dan sayang kita? Lalu akan jadi apakah dengan nama kasih sayang yang kita namakan di awal tadi; kasih sayang ‘yang manis-manis sahaja’ atau kasih sayang ‘memberilah kalau hendak merasa’?

Kerapkah kita memikirkan, atas dasar apakah kasih sayang itu kita bina, dan atas sebab apakah ia akan runtuh tanpanya? Adakah kerana harta benda, kerana budi baik dan jasa; adakah kerana untung yang kita kecapi kerananya, kerana nilai tambah yang kita raih bersamanya; adakah kerana kegembiraan yang kita nikmati bersama, kerana hak sama rata yang kita peroleh dengannya? Lalu apabila ternafi semua alasan dan sebab, kita menarik semula kasih sayang yang kita namakan, lalu kita gantikan dengan kebencian dan dendam pula?

Lalu, kerana hal yang hilang dan ternafi, kita membenci ibu bapa yang pernah kita akukan kasih dan sayang; disebabkan manfaat yang terpadam dan lenyap, kita membenci sahabat yang selalu kita sabitkan kasih dan sayang kepadanya; kerana nilai-nilai positif hilang dan berganti yang ketidaksenangan, kita membenci guru dan mereka yang pernah kita kasihi kerananya? Bolehkah kita kekal dan tetap dengan kasih sayang yang sama, walau bagaimana mereka membalas kepada kita akhirnya?

Kemarahan dan rasa tidak senang adalah rasa yang benar. Semua manusia merasainya. Lalu, adakah kasih dan sayang kita juga benar, tulen, permata, atau dengan sebab-sebab tertentu boleh bertukar palsu, tiruan dan kaca? Kerana kita selalu akan teringatkan Tuhan tatkala Dia menguji dan mendatangkan bala atau bencana, lalu kasih sayang dan cinta yang kita pernah akukan di depan-Nya tidak harus ternafi, tidak harus bertukar hingga kita mempersoalkan qadar dan qadar-Nya, meragukan kasih sayang-Nya, tetapi terus dan terus mempertahankan rasa kasih dan sayang tadi dan menggandanya walau apa jawapan-Nya.

Sunday, September 28, 2008

Ramadan Kali Ini

Ada beberapa macam perkara yang saya cuba ketika Ramadan ini, walaupun ia usaha-usaha yang kecil, dan tidak sebanding mana. Namun bila mengenangkan betapa banyak juga cacat dan lompong yang kedapatan pada puasa dan Ramadan saya, saya jadi malu pada diri sendiri. Saya berdoa kepada Tuhan untuk mengampunkan dosa saya, memperbaiki akhlak saya, dan menerima amal kebaikan saya walau sekecil mana pun.

Satu hakikat yang kerap saya terfikirkan sejak kecil dulu adalah mengenai salah satu tujuan puasa yang selalu diulang-ulang ke pendengaran – adalah untuk menjadikan diri kita merasa susah payah perit lapar dahaga fakir miskin. Tetapi lama kelamaan, saya dapati sebenarnya kita tidak melalui pengalaman kelaparan, kedahagaan, keperitan mereka dalam nisbah yang sebenar. Kita cuma menderitai barangkali satu persepuluh, atau mungkin kurang lagi dari itu.

Imsak dan penahanan diri kita dari makan dan minum adalah penahanan bertempoh, dengan di hujungnya di waktu berbuka kita sudah membayangkan makanan, minuman yang bakal kita jamah. Tetapi kesusahan orang fakir adalah sampai ke tahap mereka sendiri tidak boleh memastikan adalah hari mereka akan berakhir dengan sepinggan nasi, atau sepinggan angin. Derita mereka sudah melali hingga mereka bukan menahan lapar untuk tempoh sehari, barangkali dua hari berturut. Atau barangkali lebih lagi.

Atau sebetulnya Ramadan bagi mereka yang miskin adalah syurga kerana kedermawanan orang, hingga mereka dapat makan sehari sekali di hujung hari ketika berbuka, tatkala kita menanggapi Ramadan adalah perjuangan dan kelaparan yang menguji kesabaran. Kerana itu saya kerap terfikir, bagaimanakah rasanya menahan lapar dua hari berturut, atau bagaimanakah deritanya kaum fakir itu bila mendepani hari tanpa kepastian sepinggan nasi di hujung harinya?

Kemudian, mengenai kelebihan memberi makan dan minum kepada orang yang berpuasa, adalah antara perkara yang patut dicontohi dan direbut. Seperti menyediakan air untuk mereka minum, atau mengajak kawan-kawan berbuka di rumah kita, atau memberikan makanan pengisi perut sekadar yang mampu, walau sedikit. Tidaklah perlu meragukan kebijaksanaan Tuhan untuk mengganjari pahala kepada hambanya.

Saya teringat kalam seorang mufti yang memperbodohkan kita dan mempersendakan Tuhan apabila mengatakan; kalaulah harta si kaya itu dapat menyelamatkannya dengan pengaruh duit itu menggalakkan orang menghadiahi amalan, maka pastilah semua orang kaya itu di dalam syurga dan semua orang miskin di dalam neraka. Apakah Tuhan itu terlalu jahil sehingga tidak tahu mengganjari hamba-Nya, sedangkan Dia Maha Mengetahui betapa banyak rezeki yang Dia agihkan kepada setiap makhluk. Apakah Tuhan itu terlalu bodoh di pandangannya sehingga tidak mampu mengganjari makhluk dengan adil, sesuai dengan tahap kemampuan mereka yang berbeza?

Apakah terlalu pelik sekiranya kita katakan, sepuluh sen dari seorang miskin yang dia sedekahkan barangkali lebih tinggi nilainya dari sepuluh ribu ringgit milik seorang kaya yang dia sedekahkan? Oh, demi kebesaran Tuhan yang Maha Bijaksana, saya tidak redha persendaan terhadap kebijaksanaan Tuhan ini dituturkan. Apakah Tuhan tidak pernah menyatakan bahawa setiap kebaikan itu dibalas sepuluh, dan boleh diganda sehingga 700 ratus bahkan lebih lagi, mengikut iradah dan kehendak-Nya?

Kalaupun si miskin dan si kaya yang bersedekah itu sama saja tahap keikhlasannya sekalipun, adakah patut kita meragukan kemampuan Tuhan untuk memberikan balasan pahala yang sama adil kepada kedua-duanya, dengan nilaian adil yang tidak boleh kita bayangkan kerana kecetekan ilmu kita yang tidak dapat menandingi ketinggian ilmu Tuhan yang Maha Mengetahui? Tidak kira apa hujah kita, panjang mana alasan kita, tapi bukankah Tuhan itu Maha Bijaksana memberi keputusan?

Juga, dalam Ramadan ini saya lalui dengan tiga helai baju dan dua helai seluar, serta beberapa buah kitab, manakala baki baju dan yang lainnya saya simpan di rumah kawan. Saya belum terlalu zuhud sehingga membasuh baju di badan, dan menjemurnya di badan. Saya masih dapat bertukar baju walau dapat kuantiti yang sedikit. Mungkin Ramadan kali ini di musim panas, jadi tiada masalah kalau terpaksa membuka baju seketika untuk dibasuh.

Di akhir tulisan, mari pohonkan keampunan bagi diri dan kepada ibu bapa, kepada anak-anak, kepada kaum keluarga, kepada sahabat handai, kepada semua yang mempunyaikan kasih sayang kepada kita, kepada jiran-jiran kita, kepada kawan-kawan kita, kepada seluruh muslimin; perkenankanlah Tuhan. Kerana ibu bapa itu bersambung hubung kaitnya kepada kita, anak itu bersambung kaitnya dengan kita, kaum keluarga juga bersambung kait dengan kita; orang-orang yang mengasihi kita, mendampingi kita juga kawan-kawan serta jiran juga bersambung kait dengan kita dalam muamalah dan sehari-hari, juga kaum muslimin yang kita punya tanggungjawab dan hak kepada mereka dan mereka juga sama kepada kita; seluruhnya, semuanya, bersambung dan berkait, lalu apakah kalau Tuhan mahu memberikan hukum kepada mereka, maka kita boleh berasa aman dan terlepas diri?

Maka pohonkanlah keselamatan kepada semua, agar rahmat yang turun kepada mereka juga dapat melimpah kepada kita sedikit atau banyak, lalu kalau semua orang yang kita berkaitan dan bersambung itu dicurahi rahmat dan keampunan, maka kita dikelilingi dari setiap sudut orang-orang yang terampun dan terahmat. Kerana itu, adakah pelik untuk mengatakan, mendoakan orang lain turut bererti mendoakan diri?

Tuesday, September 23, 2008

Dalam 10 Yang Kugelar Cinta

Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta.
Akhir Ramadan atau awal Syawal.
LE 10.

Dalam 5 perkataan, majoriti mengatakan fokus kalimah adalah 10.
Kedua majoriti adalah perkataan cinta.
Tapi saya kata, tumpuan saya adalah pada 'yang kugelar'.

Saturday, September 20, 2008

Makna Di Sebalik Kata | Timbul Dan Tenggelam Hukum

Ta'-biir dan pengungkapan ayat kadangkala tidak terhad kepada maksud per kalimah dalam ayat. Ia juga - dalam banyak keadaan, walaupun bukan semua - memberi ilham maksud dan makna tambahan yang lain, yang tidak disebutkan dalam ta'-biir dan pengungkapan itu. Kerana itu, sesuatu hukum bukan saja wujud kerana maksud dan makna yang terlafaz dalam ta'-biir dan pengungkapan itu, bahkan hukum-hukum lain juga terbit kerana dan disebabkan oleh makna yang terkandung di sebalik pengungkapan itu.

Ta'-biir 'saya seorang Muslim' bukan saja memberi faham pemberitahuan jenis agama iaitu Islam, tetapi turut memberi faham bahawa penutur itu turut memperakukan bahawa Nabi Isa dan bondanya adalah manusia biasa, bahkan memperakukan bahawa semua rukun Islam adalah wajib dan hakikat bahawa Tuhan itu tunggal. Mana mungkin kita menerima keadaan penutur yang sama mengaku Muslim tetapi dalam masa yang sama mempercayai bahawa Nabi Isa itu Tuhan. Ia adalah kontradiksi yang nyata.

Itu contoh. Kerana itu kita dilarang mengungkapkan penyataan seperti 'Tuhan itu berada di mana-mana'. Penyataan seperti itu sekalipun sekali imbas cuba untuk mengisbatkan dan menetapkan makna 'seluruh' kepada penguasaan Tuhan, tetapi ia fahaman yang keliru. Bahkan penyataan ini secara tidak langsung telah menghina Tuhan dan menyifatkan-Nya dengan sifat yang tidak layak dengan zat-Nya yang Maha Suci. Mengapa? Kerana penyataan itu sekaligus bermakna Tuhan turut berada tempat-tempat kotor, najis dan keji, hingga ke dubur binatang sekalipun.

Begitu juga dengan pengungkapan 'Tuhan itu bersemayam di atas Arash', adalah penyataan yang melencong dari kebenaran. Kerana penyataan itu memberi maksud bahawa Tuhan berada di suatu tempat, iaitu Arash, dan dalam kepungan masa. Berada di suatu tempat pula bererti zat Tuhan adalah jisim, sama ada jisim kasar atau jisim halus. Mengisbatkan bahawa zat Tuhan itu adalah jisim pula bererti penutur telah menyamakan Tuhan dengan makhluk. Penyamaan Tuhan dan makhluk pula bererti zat Tuhan juga boleh binasa, seperti mana zat makhluk.

Kerana semua makna yang terkandung dalam penyataan ini adalah dilarang dan tidak benar, sesuai dengan firman Tuhan yang bermaksud; tiada yang serupa dengan-Nya; maka penyataan itu adalah tidak dibenarkan. Fahami hakikat ini, dan sedari sebab timbul tenggelam hukum berkaitan dengannya.

Permasalahan ini berpunca dari lafaz istiwak dalam beberapa ayat al-Quran, yang cuba dimaknakan dengan makna bersemayam. Alangkah tingginya tamadun bahasa Arab, lalu ulamak bahasa telah mendapati makna lafaz istiwak bukan mempunyai satu makna, bahkan lebih. Sebagai seorang yang menyedari hakikat ini, mengapakah perlu melencong dari penyataan ulamak sejak zaman berzaman yang sepakat bahawa kalimah ini lebih baik dimaknakan dengan makna lain yang sesuai dengan sifat Allah yang Maha Mulia, seperti makna menguasai. Lalu dari makna Allah itu bersemayam di atas Arash dimaknakan sebagai Allah itu menguasai Arash.

Menjaga keimanan itu penting, dan mengapa perlu mengikut pendapat yang aneh dan ganjil sehingga memungkinkan anda terjerumus ke arah kesesatan?

Tuesday, September 16, 2008

Ausatuhu Margh-firoh

Sempena Ramadan yang pertengahannya adalah margh-firoh dan keampunan, saya ingin memohon maaf kepada kedua Ibu bapa saya di atas segala dosa dan kederhakaan, secara terang atau sembunyi, secara sengaja atau tidak sengaja, sekali atau berulang. Semoga Tuhan memperbaiki akhlak saya dan mengindahinya, juga mengampunkan dosa-dosa saya yang lain.

Hamba yang banyak dosa dan kurang taubat berasa malu untuk meminta lebih padahal sudah diberi banyak, tapi diri masih mahukan lagi dan lagi taufiq perkenan-Mu, Tuhan. Semoga diperkenan mencapai cita-cita dan hajat diri, dan menjadi anak yang soleh. Aamiin.

Tuesday, September 09, 2008

Konferens Karya V.02 Di Pertengahan Ramadan

Konferens Karya V.02 (nama yang saya bagi) adalah konferens dengan tujuan membaca karya-karya yang baik, supaya dapat dijadikan teladan. Konferens jenis ini tidak meletakkan syarat - menghantar karya baru boleh ikut serta - seperti mana yang saya syaratkan dalam konferens jenis pertama.

Tarikhnya, 15 September 2008, jam 9-12 pagi waktu Mesir, bersamaan 3-5 petang waktu Malaysia. Konferens maya ini adalah melalui Yahoo Messenger. Anda perlu menyatakan keinginan anda untuk turut serta. Ini adalah manhaj saya, cara saya, yang saya kira pertengahan, tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut; semoga usaha ini dapat menyumbang kebaikan kepada calon-calon penulis kita.

Ketika awal menulis cerpen dahulu, saya menulis cerita mengenai diri dan kawan-kawan. Setelah mendapat pendedahan, saya ingin menulis sesuatu yang besar, untuk agama. Tetapi memahami hakikat ini saja tidak cukup. Kita perlu bukan saja pengalaman menulis, tetapi memahami bagaimana 'sesuatu kesan atau ilmu boleh dipindahkan kepada pembaca', dengan melalui cara penulisan cerita yang berkesan.

Cerpen yang terpilih untuk konferens ini adalah, Sufiyyah dan Ruhiyyah dalam Ramadan, karya Mohd Nazmi Yaakub. Sila hubungi id ym [ibnuahmad_13] untuk maklumat lanjut. Demi Ramadan yang makin dekat, berkatilah kami Tuhan.

Sunday, September 07, 2008

Kempen Tanpa Langkah Basis Adalah Menanti Gagal | Failing To Prepare Is Prepairing To Fail

Saya sebetulnya tidak bersetuju apabila semua mempergalak kempen bertutur Bahasa Arab - sejak dahulu lagi - tetapi tidak membuat langkah-langkah asas, menyebabkan kempen ini bukan saja tidak berkesan, bahkan dijauhi oleh sesetengah yang bimbang malu diketawakan.

Mari perhatikan satu analogi mudah, sebelum saya menjelaskan maksud saya dengan langkah-langkah asas. Seorang pemuda kampung yang pemalu dan tidak banyak cakap pergi ke bandar, lalu duduk menunggu bas di perhentian. Di sebelahnya ada seorang pemuda, dan dia tidak bercakap langsung kerana malu. Bila ditegur, dia cuma tersenyum. Adakah pemuda ini kita anggap tidak pandai berbahasa Melayu kerana ketidakcakapannya?

Apabila berdepan dengan orang yang tidak kita kenali, apatah lagi berbangsa asing, apatah lagi kalau pemalu, apatah lagi kalau tiada urusan, adakah kita akan bersuara dan berbual, mahupun bercakap? Dan adakah ketidaklatihcakapan dikira sebagai enggan bercakap, dan adakah ketidakbolehcakapan bererti tidak boleh bercakap?

Begitulah kedudukan psikologi yang sangat penting sebelum kita boleh bercakap. Maka, sebelum kempen bercakap dalam Bahasa Arab, kempen membuang sikap malu, dan kempen berbicara perlu ditanamkan dulu. Kalau perlu dijadikan program, jadikan program, kalau perlu jadikan taklimat, jadikan taklimat. Orang yang peramah tentu tidak bermasalah dalam level dan tahap ini, kerana mereka memang akan mudah bercakap.

Kedua, yang menjadi basis paling penting adalah, menanam kalimah. Maksud saya, ke dalam hati dan jiwa juga akal. Apakah kita mahu bercakap tanpa kewujudan kalimah dalam dada, dan apakah yang lebih mengarut lagi dari usaha ini tanpa usaha basis kedua ini? Yang saya maksudkan dengan menanam kalimah, adalah kalimah yang kita fahami maknanya dengan betul, bukan dengan rasa-rasa, agak-agak. Bahkan menanam kalimah dengan mengetahui bukan saja ejaan, bahkan sebutan. Bahkan, sedapat-dapatnya, ia pernah dicubajadikan ayat yang betul maknanya. Kerana itu, kursus dan bimbingan penanaman kata perlu diadakan dulu sebelum kempen bercakap dalam Bahasa Arab ini. Contoh, membaca kamus.

Ketiga, barulah praktikal bercakap. Barulah susur galur sebab dan musabbab bersambung dan membuahkan hasil. Kemudian barulah dikaji sekali lagi, sekiranya masih juga gagal bercakap dalam bahasa Arab dan mengapa.

Ada beberapa perkara penting lagi yang akan turut memberi kesan kepada kempen bercakap Bahasa Arab ini. Pertama, keinginan untuk mendengar kalam Arab, sama ada dari mulut Arab, atau dari mana-mana sumber seperti televisyen dan kaset. Masalah utama, apabila bukan saja enggan bercakap, bahkan enggan mendengar, dan tiada langsung keinginan untuk berbuat demikian.

Kedua, adalah sikap menguji kalimah yang kita rasa kita tahu, dan melihat reaksi dari Arab itu sendiri. Melihat sudut adakah ia betul digunakan, adakah kalimah itu mesra telinga mereka, adakah betul sebutannya, dan adakah ia difahami seperti yang kita fahami. Ketiga, adalah sikap cinta kepada bahasa Arab, dan punya keinginan mempertingkatkan kekualitian penguasaan masa ke semasa.

Itulah pandangan saya mengenai hal ini. Semoga ia memberi faedah kepada semua.

Kehilangan Lagi

Semalam, pagi ketika Mesyuarat Agung BKPJM berlangsung, saya menerima khabar kehilangan seorang ahli keluarga terdekat; nenda saya - Basrah binti Arsyad, yang pulang ke rahmatullah pada pukul 10 pagi (taqriiban) waktu Malaysia. Semoga Allah memberikannya tempat yang baik di sisi-Mu Tuhan, (uslub iltifat) lalu digandakan beberapa kali ganda, diselamatkan dari azab kubur dan neraka, dipermudahkan hisab dan sentiasa dalam rahmat dan rahim-Nya.

Hadiahkan al-Faatihah untuk al-marhuumah. Biarlah Allah sahaja yang menggandakannya, dan membalasnya, aamiin.

Thursday, September 04, 2008

Dalam Kenangan | Kehilangan Yang Besar


Kita kehilangan seorang muhaddits besar abad ini, apabila beliau dipanggil Tuhan, al-'Allamah al-Muhaddits asy-Sheikh Abdullah al-Harari al-Habasyi, pada 2 Ramadan 1429 Hijrah, bersamaan 2 September 2008, hari Selasa. Ia adalah satu kehilangan besar buat seluruh umat Islam.

Saya terlambat tahu merasa dan melahirkan kesedihan ini; semoga beliau ditempatkan di tempat yang tinggi di sisi-Mu Tuhan, dipenuhi dengan rahmat dan kasih sayang-Mu yang tiada batas, dalam syurga yang penuh anugerah. Sempena Ramadan ini yang awalnya adalah rahmat, curahkanlah rahmat sebanyak-banyaknya untuk al-Marhuum.

Mari hadiahkan al-Faatihah kepada beliau, dan kesedihan ini adalah tanda kasih; semoga Allah melahirkan terus dan terus ilmuan yang menjejaki dan meniru usaha beliau dalam ilmu dan agama.

Sunday, August 31, 2008

Overwhelming

Perut manusia adalah elastik. Makin banyak kita makan, makin besar saiz perut, dan makin tinggi seksa lapar. Makanlah sedikit, kurangkan makan, supaya elastik perut mengecil dan seksa lapar berkurangan.

Bertekadlah untuk mengurangkan tana'-'um (bersenang-senang) dengan kesenangan dan nikmat dunia. Nanti bila sekali diuji keputusan, kekurangan, kelaparan, kesempitan, kita akan terasa sangat derita kerana tana'-'um yang berlebih-lebihan. Konsepnya sama dengan elastik perut tadi. Semakin kurang tana'-'um, semakin kurang derita bila diuji.

Kenikmatan bagi perut adalah makanan yang bersederhana, kenikmatan bagi tekak adalah lamanya ia di atas lidah, kenikmatan bagi akal adalah ilmu dan kenikmatan bagi hati adalah apa? Fikir-fikirkan. Selamat berpuasa dan menikmatinya.

Monday, August 25, 2008

Allahumma Balligh-naa Roma-dhoon

Sempena Syaaban, dan Ramadan yang bakal tiba; saya memohon kepada Tuhan agar dikurniakan hati yang lapang untuk mendepani sikap manusia yang meradangkan, membencikan; dikurniakan fikiran yang luas untuk mempositifkan maksud dan makna yang memarahkan, menjengkelkan; juga dikurniakan rasional yang tinggi dan akal yang tajam, agar dapat menafsir semula kecanggungan fikrah dan tindakan, dan memetik hikmah dan penyelesaian. Kerana saya tahu, mereka manusia yang baik dan beriman.

Saya memohon agar lidah dan tangan kaki ini salim dari menyakiti Muslimiin, dapat menahan diri dari meliar dan melukakan; diberikan sifat percaya dan menawarkannya, diberikan fikiran yang optimis kepada orang yang bersungguh-sungguh, tetapi fikiran yang jernih kepada orang yang sebaliknya. Saya memohon dikurniakan sifat pengasih yang dapat mencuci kerak-kerak dendam di dalam hati; lalu disuburkan jiwa tasamuh dan mujahadah, hati yang lembut dan tekad yang kental.

Allahumma balligh-naa Roma-dhoon

Friday, August 22, 2008

Aku Yang Belum Berjiwa Pejuang

Sajak ini adalah antara sajak yang saya paling terkesan ketika menulisnya. Demi memperingat jasa kawan yang membantu, saya ucapkan terima kasih.

Aku Yang Belum Berjiwa Pejuang
Oleh : Mohd Zaki M Noor

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila diuji susah lantas lemah.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila di persimpangan jalan lantas bingung.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila ditimpa bencana lantas sedih.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila dicabar sesuatu lantas ragu.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila diberi nikmat lantas lupa.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila digoda kesenangan lantas hanyut.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bila diherdik cerca lantas pilu.

Aku yang belum berjiwa pejuang
bilakah mahu menafikan semua itu?

Wednesday, August 20, 2008

Ana Rajulun Jauwaab, Jauwaal

Berpindah rumah bagi saya bererti; berpindah dengan kitab dan pakaian, serta menjadikan tempat itu sebagai penginapan tidur dan makan. Tiga ciri ini, adalah asas takrifan saya dalam erti kata berpindah. Dengan tiga asas ini, saya kira sudah dikira tujuh kali pindah, dan barangkali sekejap lagi masuk kali yang kelapan.

Dengan pengalaman sebanyak ini dalam tempoh lima tahun berada di Mesir, saya memahami beberapa hakikat. Pertama; beban mengangkat barang terutamanya kitab yang beratus kilo jumlahnya, adalah sebab pertama mengapa orang enggan berpindah. Kedua, berpindah bererti menukar cara hidup, kebiasaan hidup, dan semua penyesuaian perlu dilakukan semula. Ketiga, rantai, pengongkong, pembatas seorang pengembara adalah perkahwinan, dan juga barang-barang berharga yang tidak mampu dibawa setiap masa ke mana-mana; dan dalam konteks saya, kitab-kitab saya.

Tiga hakikat ini adalah hasil pemerhatian saya. Tiga hakikat ini seterusnya memberi tiga hakikat tambahan. Pertama; langkah pengembara ilmu yang luas akan terbatas, sebaik saja dia berkahwin. Ia ada orang yang harus dijaga, dinafkahkah, dan tidak harus ditinggal lama atau diabaikan. Kedua; walaupun ia belum berkahwin, langkahnya akan terbatas kerana 'barang berharga yang tidak mampu dibawa setiap masa dan ke mana-mana saja' akan berhajat kepada satu tempat dan dijaga, dipelihara dari kecurian dan kehilangan. (Sindir: itulah siapa suruh tak hafal semua kita itu.) Ketiga; keperluan tempat seperti rehat, makan, tidur, adalah di kedudukan sampingan (walaupun masih penting) dan boleh dipinda dari masa ke semasa, tanpa perlu berpindah randah.

Semua hakikat ini selalu mengingatkan saya kepada pengembaraan Imam Syafi-'ii dalam menuntut ilmu. Pergantungan kepada keluarga sudah putus sejak awal, berbeza dengan kita yang masih bergantung, bahkan masih diharap pulang ke tanah air setelah tamat belajar. Lewat balik setahun dua sudah dikecohkan. Bahkan, keberadaannya yang sudah menyimpan ilmu ke dalam hati memberikan langkah yang lebih luas, sedang kita disekat keperluan menjaga harta dan berhajat kepada tempat simpan kitab yang selamat. Juga, memetik kalam sahabat saya Faiz; kalau tawakkal kita cukup dan tinggi, kita tak perlu merisaukan rezeki makan minum; kita akan masih dapat makan minum, sedikit atau banyak, sesuai dengan qadar yang Tuhan telah tulis.

Dengan tiga asas yang mentakrifkan, saya fikir saya mahu mencuba sesuatu yang baru, mengerat yang tiga kepada dua.

Monday, August 18, 2008

Perubahan

Saya mempunyai banyak idea perubahan. Tetapi saya selalu mendapati bahawa idea saya sukar diterima. Jadi saya jadi kurang suka bersuara. Seperti kepimpinan di sini masih mengekalkan sistem pilihanraya yang setiap jawatan ditentukan oleh YDP selepas keputusan pilihanraya keluar. Kenapa tidak menukar sistem supaya setiap jawatan dipertandingkan, supaya yang bertanding memang bertanding jawatan yang mereka memang mampu dan minat?

Bahkan ini membolehkan petanding bersedia dengan target dan perancangan masing-masing, sebelum dari keputusan diumumkan. Menjadi manusia berobjektif dan bermatlamat, dalam bidang dicenderungi dan kemampuan bukankah satu petanda kepimpinan yang berkesan? Atau kalau mahu lebih hebat, jadikan sistem parti dengan ketua sudah siap-siap memilih senarai calon bagi jawatan yang difikirkan layak.

Tetapi idea-idea seperti ini susah diterima orang. Seperti mengurangkan masa mesyuarat agung, dan menukarkan kepada pembentangan sidang kepimpinan yang baru berkenaan rancangan akan datang. Bukankah kita mahu mengetahui rancangan kepimpinan baru, lebih dari berdebat dan bergaduh tapi tak berhasil apa-apa dari kepimpinan lama? Seperti ucap tema yang membahaskan tema, pada saya baik ditukar terus dengan rancangan setiap kepimpinan dengan bidang tugas masing-masing.

Saya dalam keadaan ini suka untuk mendiamkan diri dari bersuara. Kerana saya juga sedar, perubahan tidak semesti menjamin sesuatu kebaikan, walaupun saya juga sedar, mengekalkan di tahap lama juga tidak semestinya menjamin suatu kebaikan. Tapi tajarrub, usaha untuk menguji, tak ramai berani mencubanya. Atau lebih tepat, enggan. Jadi, apa ertinya saya melebihkan masa memikirkan idea-idea perubahan dalam kepimpinan ini?

Dari sudut pendidikan dan keilmuan, perubahan-perubahan perlu diusahakan. Kerana itu, tindakan pertama saya kepada anak buah saya yang belajar, adalah menghancurkan keyakinannya dahulu. Maksud saya, rasa percaya pada diri yang keterlaluan. Saya sendiri mengalami hal ini, dan ia adalah penyakit sikap bangga diri dan yakin dengan kemampuan diri. Keyakinan yang dibina di atas asas yang palsu, adalah hakikat yang palsu yang menipu. Penipuan terhadap diri sendiri adalah bahaya kepada status penuntut ilmu.

Mereka yang berasa pandai, berasa yakin dengan kemampuan diri, berasa cukup ilmu dan hebat, atau berasa mampu mencapai kefahaman dengan mudah, bagi saya, belum mendapat tarbiah al-Azhar lagi, atau mereka ini barangkali abqari, genius yang sukar ditemui. Tarbiyah pertama tentu adalah sikap merendah diri, dan membuka mata kepada alam ilmu yang sangat luas.

Keyakinan palsu yang saya bina semasa di Malaysia melalui kejayaan-kejayaan berdasarkan sijil sudah saya hancurkan di tahun ketiga saya di Mesir. Ia memang lambat, kerana saya terlambat sedar, dan tenggelam dalam keyakinan yang palsu. Kerana itu, berjaya dalam peperiksaan bukan penilai sebenar keyakinan, walaupun lulus periksa sesuatu yang penting juga. Keyakinan palsu kalau diteruskan hanya akan membuahkan kekesalan dan rasa tidak yakin pada diri yang berterusan, berlanjut dan menjangkit ke generasi akan datang.

Walaupun benar, keyakinan palsu di atas kemampuan palsu bukanlah bererti langsung tiada ilmu. Banyak ilmu juga yang saya dapat timba, tetapi ia belum cukup untuk tiba ke tahap yakin dan merasa cukup, lalu mengangkat dada dan meninggi diri. Oh, kalaulah itu keyakinan yang dibina hanya dengan bertapakkan kejayaan periksa dalam sistem peperiksaan Malaysia, lupakanlah, mari cari keyakinan sebenar dalam ilmu ini.

Perubahan ini, kalaupun disekat oleh sistem peperiksaan negara, kalaupun dihadang kemahuan sekolah mempertahankan peratus kelulusan, kalaupun dihadang oleh sistem pelajaran yang mengutamakan nota hafalan dan bukan fahaman yang inti, bukankah kita juga bakal pengisi tempat-tempat itu suatu hari nanti. Apakah yang lebih malang daripada kita, generasi perungut ini, sendiri tidak membentuk perubahan pada generasi akan datang, supaya mereka akan menjadi generasi yang lebih hebat dari generasi kita.

Kalaulah perubahan tidak dilakukan kepada sikap dan cara mencapai jauhar dan inti ilmu, dan mengekalkan kulit dan solek, tidak mustahil, kemampuan generasi ke generasi akan datang akan menurun dan merundum. Dan sejarah bahawa kewujudan anak murid lebih hebat dari guru akan hancur, yang ada cuma guru yang lebih hebat dari anak murid sahaja.

Sunday, August 17, 2008

Hukum Kulliy Dan Hukum Juz-ii

Beza orang Sastera dan Sains dari sudut cara mereka menanggapi sesuatu adalah; orang Sains ihtimam (tumpuan/ambil berat) dia adalah pada hukum kulliy (hukum seluruh/rumusan), dan orang Sastera ihtimam dia pada hukum juz-ii (hukum pecahan, setiap unit). Kerana itu, orang Sains bagi saya selalu dan suka membuat kesimpulan, manakala orang Sastera mengambil setiap unit dan hukumnya secara berasingan, lalu suka menghafal.

Saya adalah basis Sains. Cara berfikir maksud saya. Suka merumus dan memberikan hukum kulliy, setelah menyelidik setiap afrad (unit)-nya. Tapi bidang bahasa Arab yang saya ceburi bukan mengajarkan itu kepada saya, tetapi mendorong supaya saya menuruti jalan Sastera yang ihtimam dia adalah pada hukum juz-ii. Mengubah ini saja, sudah menyesakkan saya; dan hakikat ini siapakah yang faham, hatta keluarga.

Saya mempunyai seorang kawan dengan basis Sastera. Ayahnya juga orang dengan basis Sastera. Cara menanggapi maksud saya. Kerana itu, saya cuba mencontohi ihtimam dia dalam perkara juz-ii, memberikan setiap unit/afrad hukumnya masing-masing. Tapi itulah, kadang-kadang terbawa-bawa juga basis Sains ini (basis Matematik) dalam pemikiran saya, lalu timbullah idea 'perumusan makna' yang dibentuk dari kehampirsamaan lafaz, madah kata dan bunyi. Dan idea-idea lain.

Saya sebetulnya rasa bertuah juga, kerana dengan sikap seperti inilah timbul idea-idea kajian dalam bahasa menurut manhaj yang saya reka, lalu kalau berkesempatan, saya cuba mencari-banding-sepadan dengan pendapat ulamak Bahasa yang lain, kalau teori ini sudah pernah dibuat orang. Apa yang saya tidak setuju dengan pendapat adik saya bahawa, belajar ini kenapa perlu berlama-lama. Imam Syafi-'ii sendiri dalam enam syarat belajar mengatakan perlu pada panjang masa. Bukankah kalau mahu capai hingga ke kunhu sesuatu ilmu, terasnya, mauduknya, intinya, perlukan masa yang panjang.

Dalam usaha untuk meng-istikhlas (mengekstrak) sesuatu kefahaman yang inti, perlu kepada juhdu dan kesungguhan yang dalam. Saya yang masih lemah, tentulah memerlukan masa yang lama. Tetapi betul, dalam bidang Sastera ini, merasa itu lebih kuat dari berfikir, menjiwai itu lebih dalam dari menakkul, kerana bahasa itu diserap ke dalam darah dulu, baru ia dibawa ke dalam otak, lebih banyak dari ia diterima oleh otak dan diserap ke dalam darah. Rasa sayalah. Wallahu a'lam. Tapi saya masih terbawa-bawa dengan dua basis, sekejap condong sini, sekejap condong sana.

Ah, setelah hampir 30 entri saya karang cuma menjadi draft, baru ini menjadi paparan. Allahumma balligrhna Roma-dhoon.

Saturday, August 16, 2008

Berfikiran Besar

Saya memiliki cita-cita yang besar, tetapi selalu berasa susah dengan orang yang berpemikiran kecil, sempit dan terkurung ini. Berjumpa dengan orang seperti ini selalu membuatkan saya berasa enggan berurusan lagi, atau memanjangkan kalam bicara bincang dan sebagainya. Saya kerap merasa benci dan meluat, dan apakah yang lebih malang lagi kalau ia cuma boleh tersimpan di dalam hati.

Menang debat pun tidak bererti banyak, kalau menang pun. Ia ibarat terima telinga kanan, angguk dan idea itu gugur semula ke bumi. Apatah lagi kalau tak menang debat, ia memang kerja sia-sia. Itu kerana orang yang berpemikiran kecil dan sempit ini memang susah mahu dilentur, atau sekurang-kurangnya membukakan fikiran untuk mencuba dulu, lihat hasil kemudian.

Apa yang lebih menyedihkan lagi, mereka bukan saja berfikiran kecil untuk diri, tetapi memaksakan pemikiran kecil untuk orang lain. Ini paling saya benci. Sama juga seperti perangai orang yang tidak membuat kerja diri, tetapi menghalang orang lain membuat kerjanya. Sikap dan pemikiran begini memang saya tentang, dan kalau tentangan itu disia-siakan, saya akan membuat dengan cara saya sendiri.

Memilih untuk berfikiran besar selalu akan membiarkan anda bersendirian barangkali, tetapi ia memberikan pilihan yang besar. Terpulang untuk anda bersungguh melaluinya, atau kembali dan cabut lari.

Friday, August 08, 2008

Keazaman Yang Menghasilkan Iltizam

'Keazaman yang menghasilkan iltizam' itu bukan terhasil hanya dengan memiliki persepsi yang betul sahaja. Keazaman yang menghasilkan iltizam itu memerlukan lebih dari sekadar persepsi yang betul, kerana ia juga memerlukan kepada kepaksaan dan kesungguhan. Kerana itulah kita akan mudah melihat, berapa ramai orang memiliki persepsi dan tanggapan yang betul, tetapi masih tidak berbuat apa-apa, tidak berhasil merealisasikan tanggapan yang mereka pegang.

'Keazaman yang menghasilkan iltizam' ini perlu kepada sikap 'bukan memanjakan diri', sebaliknya memaksa diri. Kerana itulah, keazaman ini akan memenatkan, menyakitkan, menyeksakan; dan kalau tidak kerana sikap paksa ini, maka ia tidak menjadi. Sebagai bangsa yang sudah dibiasakan tradisi memanjakan diri ini, 'keazaman yang menghasilkan iltizam' susah wujud. Kita menjadi pemanja diri yang mahu bersenang-senang, dan menolak semua kesusahan kepada orang lain.

Sikap memaksa diri, yang merupakan asas kepada azam dan iltizam, adalah sikap yang berperaturan. Dan lebih lagi, mematuhinya. Bolehkah kita memaksa diri, memakai keazaman yang menghasilkan iltizam ini?

Wednesday, August 06, 2008

Untuk Adabuna

Ini adalah cadangan projek saya untuk Adabuna.

1- Konferens Karya - menulis, berkongsi dalam konferens.
2- Konferens Karya - membaca karya yang dicadangkan, meneliti nilai contoh.
3- Konferens Karya - menembusi media perdana.

Detail-nya nanti saya jelaskan kemudian, berserta tarikh dan cara pengisiannya.

Tuesday, August 05, 2008

Kelap, Suatu Amanat

Akhirnya saya berjaya mengumpul keberanian mempamerkan tulisan. Rasa sudah sepuluh atau lebih entri saya taip dan kekal menjadi draft.

Saya bangga dapat berkenalan dengan beberapa pelapis generasi penulisan Mesir yang baru. Saya percaya mereka boleh membawa angin baru, menukar biah kepada suasana yang lebih segar. Nama-nama seperti Ishaq Hanis, Lailati, Mior Hanri, Zuhaida, Azlina, Dhia', Fadhilah, Asri, Hanif, dan banyak lagi yang saya tak sebutkan. Walaupun saya percaya, jalan masih lagi jauh dan panjang.

Untuk penulis-penulis Mesir, dan calon-calon penulis.

Kepada yang baru hendak mengenali penulisan.

Kalau anda bersungguh-sungguh, atau berasa berminat mahu menulis, ada baiknya anda mengetahui level-level yang akan anda temui satu masa nanti. Level paling mula adalah dunia Suara Kampus, buletin, dan yang seumpamanya. Peringkat ini adalah kepersatuan. Kepersatuan bererti, majalah dan buku yang anda hasilkan adalah idea persatuan yang mencadangkan. Anda boleh menemui pelbagai pengalaman berharga di dalamnya. Tetapi, jangan pupuskan niat untuk mencabar ke peringkat seterusnya.

Level berikutnya, adalah lebih kecil, iaitu peringkat antologi dan buku. Peringkat ini adalah keperibadian. Keperibadian bererti, majalah, antologi, buku yang anda ingin hasilkan, adalah idea anda sendiri, atau idea anda dan beberapa orang kawan. Saya memisahkan dua level ini kerana tahap kesusahannya, bahkan pengisiannya. Yang mencadangkan isinya adalah anda sendiri.

Level ketiga, adalah media perdana di Malaysia, dan dunia penerbitannya. Peringkat ini adalah ketanahairan. Ketanahairan bererti, karya, tulisan yang anda ingin hasilkan, perlu disesuaikan dengan standard Malaysia.Tulisan-tulisan, karya-karya yang dihantar ke tanah air, ke surat khabar-surat khabar, majalah-majalah, adalah selaras dengan standard perdana. Kerana itu ia dinamakan arus perdana. Menembusi media perdana bererti karya anda mencapai standard selayaknya, juga bererti mencipta nama.

Level keempat, adalah peringkat sayembara dan pertandingan. Peringkat ini adalah peringkat kekualitian. Kekualitian bererti, karya dan tulisan anda akan dipertandingkan bersama-sama dengan penulis-penulis yang hebat-hebat dan mapan, demi menentukan status kualiti karya tersebut. Apabila anda cuba-cuba untuk masuk ke peringkat ini, pasti anda akan banyak memikirkan kualiti karya anda.

Level kelima, akan anda ketahui sendiri satu hari nanti. Ini adalah amanat pertama. Level dan peringkat.

Amanah kedua saya, jangan abaikan pelajaran anda. Kerana mengabaikan pelajaran, akan menimbulkan fitnah kepada dunia penulisan itu sendiri. Mereka akan salah faham bahawa, penulisan telah melalaikan anda dari pelajaran anda, padahal tidak. Amanah ketiga, setiap level dan peringkat yang saya beritahu mempunyai keistimewaan tersendiri. Terutama level pertama. Kalau suara kampus atau buletin persatuan anda hidup, bernyawa dan bernafas, cubalah ikut serta, walaupun untuk tempoh setahun. Dapatkan sebanyak-banyak pengalaman daripadanya, sebelum mencuba level-level yang lain.

Kepada yang telah berada dalam dunia penulisan

Maksud saya, mereka yang masih tidak melepaskan azam penulisan. Ada baiknya anda mendengar beberapa taujihat. Pertama, jangan menunggu dilantik menjadi moderator baru anda mahu bergerak dalam dunia penulisan. Hasilkan karya. Mari langkah ke level-level yang saya khabarkan. Kalau anda dipanggil jadi moderator, maka itu panggilan anda. Kedua, cuba bergerak dalam kumpulan, kalau mampu. Pakat-pakatlah dengan rakan-rakan penulis untuk menghasilkan antologi dan buku, atau menganjurkan aktiviti penulisan. Anggaplah projek-projek ini sebagai sumbangan anda kepada generasi akan datang.

Ketiga, kalau anda menemui masyaqqah dan kesukaran di tengah jalan, buat sementara waktu, bergeraklah secara peribadi, dan cuba level-level yang lain. Kalau ditakdirkan dunia penulisan ini roboh sekalipun kerana siswa siswinya sudah tidak mahu menulis, ia bukan salah anda. Jangan membuang masa dan menambah kerisauan hati, sebaliknya tingkatkan hasil karya anda sendiri. Lupakan orang-orang yang tidak mahu kepada penulisan ini. Keempat, anda adalah generasi pelapis yang saya banggakan.

Kelima, selama bertahun-tahun, saya melalui pelbagai persepsi yang negatif kepada pelbagai persatuan dan orang perseorangan. Ia adalah pengalaman yang memenatkan. Saya berharap mereka yang membaca amanat ini akan dapat terelak dari persepsi ini, bahkan dengan jiwa yang segar dan pandangan yang bercahaya mencabar dunia penulisan yang masih jauh perjalanannya. Jangan harapkan orang untuk memberi semangat kepada anda. Anda patut bermula dengan menanam niat dalam diri sendiri - untuk menulis dengan lebih bersungguh-sungguh.

Monday, July 28, 2008

Keras Dan Lembut

Sesuatu perkara berkaitan manusia dapat dipinda melalui dua cara. Sama ada dengan mengubahkan fikrahnya, atau mengubahkan perlakuannya. Mengubah fikrah, adalah jalan yang paling selalu digunakan oleh kita. Kita berusaha mengubah sesuatu berkaitan manusia, dengan mengubah cara dia berfikir, dan cara dia menanggapi sesuatu. Kita bercakap, kita menulis, kita menerangkan, agar cara berfikir dan cara dia menanggapi sesuatu akan berubah. Apabila perubahan dalam cara dia berfikir berhasil, maka secara tidak langsung, cepat atau lambat, kita akan dapat mengubah perlakuannya.

Cara kedua untuk mengubah sesuatu berkaitan manusia, adalah dengan mengubah perlakuannya. Cara ini agak sukar, kerana manusia itu akan dipaksakan melakukan suatu perlakuan yang bertentangan dengan fikrahnya. Cara ini agak keras, dan dengan paksaan seumpama ini, kita cuba mengubah sesuatu berkaitan manusia, dan ia diterima melalui anggotanya. Apabila anggota, tubuh, badan ini menerima perubahan perlakuan ini, secara tidak langsung, perubahan perlakuan ini akan menyerap masuk ke fikrahnya, lalu mengubah cara dia berfikir dan menganggapi.

Hakikatnya, kedua-dua cara mengubah sesuatu berkaitan manusia ini ada dalam dunia yang kita hidup, bahkan, kita lalui hari-hari tanpa kita sedari. Sama ada kita menyerap pindaan-pindaan ini melalui fikrah yang kita terima, baca, dengar, atau menyerap pindaan-pindaan ini melalui perbuatan, walaupun asalnya fikrah dan hati kita menentang. Walaupun ya, tidak semua usaha ini berjaya. Kedapatan fikrah-fikrah yang cuba disampaikan tidak mampu diterima, sama ada dengan cara mengubah fikrah, atau dengan cara mengubah perlakuannya.

Sebagai contoh mudah, seperti seorang pemandu jalan raya yang diajarkan fikrah bahawa memandu terlebih laju itu merbahaya, lalu menerimanya. Dan seorang pemandu lain yang melawan fikrah ini, menerimanya dengan cara paksaan terhadap perlakuannya, iaitu memandu lebih dari had laju akan dikenakan saman. Contoh ini, dan banyak lagi contoh ada dalam kehidupan kita. Soalnya, kalau anda di pihak pengubah, cara mana satukah yang anda akan pilih? Yang biasa, atau yang keras?

Kalau esok-esok anda menjadi guru, perkara ini akan selalu anda fikirkan. Anak-anak murid yang anda, mahu diserapkan apa dan bagaimana? Mengubah fikrahnya, atau ia perlu diserap melalui mengubahkan perlakuannya? Bahkan, tanpa menjadi guru pun anda berpeluang menemui keadaan ini berkali-kali. Dan, cara yang anda pilih, akan menunjukkan, adakah anda seorang yang lembut atau seorang yang keras.

Tuesday, July 22, 2008

Liqaa-aat | 4 Perjumpaan

Sudah lama saya tak menyesakkan minda begini.

Pertama, adalah KELAP 2008 awal Ogos ini. Saya tak pasti tarikh tepat. Ada yang kata 2, ada kata 3. Tapi yang pasti, saya mahu ini adalah kali terakhir saya muncul dan bercakap di depan. Saya fikir, pelapis moderator harus digesa selepas ini, dan mereka tak mahu ke depan selagi saya belum berundur. Mungkin itulah tawaddu' terhadap seorang yang setua seperti saya. Atau mungkin kerana segan. Tetapi keadaan ini perlu diubah, walau apa pun caranya.

Kedua, adalah liqa' BCC 24 Julai ini, atau nama panjangnya, BKPJM Cyber Cafe. Saya fikir, saya sudah patut menyediakan pelapis ganti, kerana lambat laun, saya akan pulang juga satu hari nanti. Apa yang paling menyedihkan, adalah apabil kurangnya sikap ihtimam pada harta persatuan. Sikap ambil mudah ini telah menyebabkan kerugian yang tinggi, dan saya tak suka ia berlaku. Jadi, dalam pertemuan ini saya perlu melakukan sesuatu demi objektif ini.

Ketiga dan keempat, adalah liqa' yang ada kaitan dengan aktiviti Bahasa Arab. Satu daripadanya bertarikh 30 Julai ini. Biarlah saya simpan detail-nya.

Walaupun empat liqa', yang pada mulanya saya serabut, tetapi alhamdulillah, dengan sedikit penyelarasan, ia menjadi jelas. Bahkan simple. Mungkin saya fikir, setelah berlapang dada menyediakan pelapis, urusan BCC boleh diambil alih oleh yang baru. Janganlah takut. Pengalaman itu guru yang perlu ditemui sendiri.

Sunday, July 20, 2008

Ucap Selamat Dan Terima Kasih

Ucapan selamat ini adalah untuk sahabat saya yang akan pulang hari ini, setelah beberapa tahun di perantauan. Ucapan selamat ini adalah untuk beliau yang telah selesai pengajian dalam perubatan, menutup kembara di dunia luar, demi menyambung kembara di dunia pengalaman. Ucapan selamat ini juga adalah ucapan terima kasih yang tak terhingga, sepanjang saya mengenali beliau, sejak beberapa tahun lalu.

Dan ucapan terima kasih ini adalah untuk semua nasihat, semua dorongan, semua panduan, bahkan terima kasih untuk semua kesabaran; saya beruntung kerana untuk beberapa ketika mempunyai doktor peribadi sendiri. Benarkan saya mengucapkan selamat jalan dan selamat tiba ke destinasi, semoga Allah memberkati setiap jalan dan langkah kaki.

Terima Kasih

Terima kasih ini saya rakamkan untuk sahabat saya; Mohd Nurul Hisyam Muhammad; yang menawarkan idea ketika saya dalam kebingungan, hingga menjernihkan yang keruh, menukarkan bahang kepada dingin di dalam hati. Terima kasih kerana menjadi bintang di waktu malam, atau rumah api di tepi pantai.

Tuesday, July 15, 2008

Media Perdana Dan Pelapis

Rasanya sudah setahun juga saya tidak menghantar karya ke mana-mana penerbitan dalam negara. Mungkin kerana berasa sedikit marah kerana ada karya saya diterbitkan tanpa pengetahuan saya. Walaupun perkara ini pernah dibangkitkan oleh Kak Nisah mengenai sikap sebahagian editor yang tidak memaklumkan kepada penulis berkenaan karyanya diterbitkan.

Penulis-penulis muda sebenarnya sangat-sangat berharap dapat mengetahui jika karya mereka tersiar. Terutama dari editor. Bahkan sekiranya dapat, mahu melihat sendiri helaian terbitan itu di depan matanya. Tetapi saya masih terkilan sehingga sekarang, kerana ada karya saya yang terbit tetapi saya masih tidak pernah melihatnya. Saya cuma boleh ternganga bila orang-orang bercerita mengenainya di depan saya. Mungkin helaian itu sudah jadi sejarah yang entah di mana saya mungkin dapat menatapnya di atas tangan sendiri.

Sebetulnya bukanlah menjadi rungutan sekiranya sasaran terbit bertukar ke majalah lain. Saya boleh terima, cuma rasa terkilan apabila tidak dimaklumkan, bahkan terlepas untuk mengetahui hakikat perkara ini. Apakah yang mengejutkan daripada ia terbit di tempat yang saya tidak pernah hantar, dan tidak dimaklumkan? Bahkan tiada peluang untuk berkirim beli, apatah lagi untuk menatapnya sendiri.

Itu memang membuatkan saya terkilan. Mungkin itulah dugaan menghantar dari luar negara. Dalam masa setahun ini juga saya asyik berfikir, bahawa saya juga mahu meredakan ketegangan salah faham keluarga berkenaan penulisan. Tiada eloknya saya bertengkar dan berdebat. Tetapi itu tidak bermakna saya menukar pendirian saya terhadap penulisan ini. Saya bukan budak kecil yang tidak tahu berfikir, walaupun saya sedar saya kurang pengalaman dalam hidup. Dan saya tidak mahu melepaskan azam penulisan ini, walaupun tanpa sokongan dari sesiapa.

Bercakap mengenai menembusi media arus perdana, selalunya menimbulkan beberapa persepsi dalam minda saya. Terutama mengenai tujuan karya itu sendiri. Juga kualitinya. Bahkan, sejauh mana ia memenuhi objektif saya. Kalau saya yang dulu, menembusi media bererti mencipta nama. Tetapi bagi saya yang sekarang, menembusi media bermakna mencipta imej. Atau menilai keberkesanan objektif.

Apabila bercakap mengenai media juga, saya teringat kepada beberapa calon penulis yang sudah mula menempah nama di zaman saya. Nama-nama seperti Sammaituha Najwa, Zainab Haron, Ishaq Hanis, Syafiq Zulakifli, Lailati Mahat membuatkan saya rasa usaha saya banyak berjaya. Walaupun sebenarnya sumbangan saya juga tidak banyak sebenarnya. Tetapi saya juga berbangga dengan beberapa penulis yang menunjukkan kesungguhan beberapa kali dan berterusan; itu saya dapat kesani melalui penyertaan mereka dalam program-program yang dianjurkan dalam pelbagai medan dan peluang. Malangnya saya tidak kenal, dan mudah lupa, kerana mereka bukan senegeri.

Saya percaya, mereka yang bersungguh-sungguh ini akan berjaya. Walaupun ia bukan kejayaan segera, tetapi langkah-langkah itu tetap ada. Saya percaya mereka akan menjadi pelapis dan penggerak yang boleh diharapkan. Saya ada kesani beberapa orang dari pelbagai negeri, tetapi kebanyakannya malu dan suka untuk tidak dikenali. Atau sebahagiannya tidak menerima pelawaan ke adabuna, lalu hilang tanpa dikesan, hanya muncul kembali apabila program diadakan. Begitu juga dengan beberapa bkan dan dpm yang mula menunjukkan kesungguhan yang boleh dibanggakan.

Untuk dunia yang kalian lalui, saya doakan selamat dan diberkati.