Thursday, May 29, 2008

Tak Rugi

Saya tak ingat pernah menulis pasal politik, atau kalau ada, anggaplah saya terlupa. Tetapi saya tidak menulis bukan kerana saya tak mahu masuk campur, atau bersikap penakut untuk menyatakan apa yang saya yakini. Mungkin barangkali kerana saya tak terjun sedalam mereka jadi saya mungkin kekurangan informasi, jadi berjaga-jaga itu lebih baik dari tersilap. Atau barangkali saya sudah jemu menghadap keremehan masalah atau isu yang penyelesaiannya adalah mudah, pada saya. Atau mungkin sebab saya rasa saya masih ada tugasan lain yang saya perlu buat.

Politik ada kaitan mengenai pertubuhan, pentadbiran, kuasa. Janganlah berpandangan pendek dan cetek. Politik bukan saja di dalam negara. Di sini, di tempat saya belajar, dalam pertubuhan yang saya sertai, juga ada politik. Politik macam saya cakap ada kaitan dengan pertubuhan, pentadbiran dan kuasa. Jadi sedikit sebanyak, saya faham juga walaupun mungkin masih jauh dari faham yang sempurna, mengenai politik.

Dan bagi saya, walaupun ada yang mengata Ezam 'jilat' semula, kerana kemasukannya ke dalam *MNO, saya rasa saya boleh faham fikirannya. Walaupun saya tidak pasti sama ada dia boleh berjaya atau akan gagal dalam tujuannya di akhir nanti, itu bagi saya kurang penting, kerana di mata dia menurut kefahaman saya, adalah suatu tujuan yang dia buru. Dan dari luar, zahirnya, dia keluar masuk parti itu ini.

Saya tidak bermaksud membela dia, kalau itu yang kalian faham. Neraca yang dia gunakan untuk membuat keputusan, dan neraca yang saya gunakan untuk menilai dia, saya kira adalah sama. Iaitu menilai berdasarkan hasil. Hasillah yang dia buru. Dan dia menilai, usaha yang akan dilakukan itu akan berhasil sekiranya dia menyertai *MNO. Dan saya tidak pasti, adakah benar dia boleh berhasil atau tidak, itu akan bergantung kepada banyak perkara.

Barangkali, dalam peratusan yang besar, dia menilai dia boleh berjaya, atau berpeluang berjaya. Atau sekurang-kurangya dia merasakan, kekal di titik yang lama kurang berperatus untuk berjaya. Atau boleh menghalang dia dari berjaya. Dari kaca mata pembangkang barangkali dia seorang yang tidak tetap pendirian, atau mudah berubah, atau memburu manfaat, atau sebagainya. Itu kaca mata parti. Ingat pesan saya, cuba memahami dia dari kaca mata 'hasil'.

Mereka yang menilai sesuatu berdasarkan hasil akan menyusun langkah-langkah 'perlu dan mesti' dilakukan, untuk supaya apa yang diburunya 'berhasil'. Di mata mereka, kerja dan usaha adalah perkara pertama yang mesti dilakukan, bukan kata-kata semata-mata. Dan kebiasaannya, mereka mungkin bersikap tutup mata kepada perkara yang tidak berkaitan dengan usaha dan kerja mereka, kerana apa gunanya ambil peduli dengan sesuatu yang tidak berkaitan dengan penghasilan target dan matlamat.

Saya tak mempertahankan dia kerana merasa dia betul atau sebagainya. Saya cuma katakan, saya rasakan saya boleh faham apa fikirannya, kerana dalam beberapa gerak kerja saya juga, saya menjadikan hasil sebagai target pertama saya. Saya buang keluar perkara yang tidak berkaitan dengan penghasilan kerja dan target. Tumpukan perhatian kepada pelaksanaan, dan buang tepi cakap-cakap kosong, atau bela diri yang tak berkaitan. Dan saya tak kata saya sentiasa betul dan tidak ada salah. Mungkin saya dah penat dengan cakap tong kosong, atau bak masal Arab, asma-'u ja'-ja-'atan wa la aro thihnan.

Mereka yang menjadikan hasil sebagai target kerja dan usaha boleh tersilap langkah pada satu titik, kalau dia lupa diri. Iaitu menjadikan matlamat itu menghalalkan cara. Dalam erti kata yang lebih detil, apabila dia memilih untuk melakukan sesuatu yang salah, demi kerana hendak merealisasikan suatu perkara yang betul. Soalnya, adakah masuk semula ke dalam *MNO suatu yang salah, dan adakah ia termasuk dalam matlamat yang menghalalkan cara?

Saya kira agak awal untuk mengatakan ia salah. Walaupun konsep 'mencuci dari dalam' seperti kes bekas TPM kita satu masa dulu sering memberikan gambaran bahawa usaha ini tidak akan berjaya, saya kira kita perlu menilai satu perbezaan keadaan ini dengan keadaan yang dulu. Iaitu kepala negara kita, Perdana Menteri, maksud saya. Perdana Menteri dalam kes bekas TPM bukanlah orang yang sama dengan Perdana Menteri dalam hal ini. Oleh itu, saya kira, sedikit awal untuk kita menghukum, usaha mencuci ini pasti gagal.

Bagi saya, dalam beberapa hal, Perdana Menteri kita sekarang lebih baik daripada bekas Perdana Menteri yang dulu. Walaupun ya, mungkin (barangkali) masih ada juga cacat dan kurang sempurna atau barangkali salah dan tutup mata. Tetapi kalau membandingkan antara keduanya, yang sekarang ini lebih baik bagi saya daripada Perdana Menteri yang dulu. Kalau meminjam kalam Ezam sendiri, ketika ditemuramah TV* setelah menyerahkan borang kemasukannya ke dalam *MNO berkata, wujudnya reform dan pro reform dalam kerajaan sekarang ini, yang memungkinkan kejayaan dalam usahanya membanteras rasuah.

Kerana Ezam pada pandangan saya merasakan peluang untuk reformasi dalam kerajaan boleh berlaku, dan matlamatnya, iaitu membanteras rasuah boleh berjaya, maka kerana itu dia memasuki *MNO. Tentulah, tujuan utamanya bukan supaya parti lamanya menang, atau membantu pembangkang mengambil alih kerajaan, dan bukan juga memperkukuh kerajaan sedia ada, tetapi rasuah, kalau memetik kalam dia sendiri.

Soal adakah perubahan dalam kerajaan boleh berlaku, dan adakah kerajaan memungkinkan ini berlaku, akan banyak berkait dengan keputusan Perdana Menteri. Dengan sangka baik saya terhadap beliau, sejak belanjawan negara yang lepas dalam beberapa perkara terutama mempercumakan pendidikan, sokongan yang kuat terhadap pelajaran, modal insan, menambah kakitangan berpendidikan agama dalam jawatan perguruan sebagai satu usaha menjernihkan sosial generasi muda, walaupun ya, masih terlalu banyak kekurangan dan kesilapan yang mesti diperbaiki, saya berharap perubahan ini benar-benar berlaku dalam kerajaan, dan rasuah dihapuskan.

Ops, dalam sepanjang tulisan ini, saya tidak menyatakan saya menjadi penyokong kerajaan atau pembangkang. Kalau anda penyokong kuat parti kerajaan, dan anda ikhlas, tentunya anda mahukan rasuah ini dihapuskan. Dan kalaupun anda penyokong pembangkang yang mahu mengambil alih kerajaan demi mewujudkan kerajaan yang lebih baik, anda juga akan mahu rasuah ini dihapuskan. Kalau Ezam benar-benar melakukannya, dan kalau benar ia berjaya, tiada antara kita, baik penyokong kerajaan atau penyokong pembangkang, yang akan rugi.

Dan dalam sangka baik saya kepada Ezam, dengan tidak mengetahui isi hati dan tujuannya, saya berharap tujuannya benar, caranya benar, dan berhasil.

Sunday, May 25, 2008

Menukar Kuala

Saya tak pernah ta'lil (give a reason) kepada ibu bapa saya dalam perkara pelajaran, kerana saya mengharapkan mereka percaya atas apa yang saya buat. Memetik kata-kata orang, "never excuse yourself to anybody, because the person who likes you never need it, and the one who dislikes you never believe it," dan sebagai tanda ihtiyat (hati-hati), au kama koola man kool.

Walaupun saya akui, dalam perkara pelajaran saya ada berbuat salah, dan saya tak menjangkakan di-i'fakkan/dima'-zurkan begitu sahaja. Namun saya percaya, saya ada berbuat perkara yang betul juga dalam sekelian banyak perkara, dan tak juga mendugakan kata-kata seperti ini dapat meng-irdokkan semua yang mendengarnya. Dan juga, saya merasakan, berusaha bersungguh-sungguh masih adalah betul, dan tidak berusaha bersungguh-sungguh adalah salah.

Tetapi sejak naik ke tahun tiga dulu, ketika ditemuduga oleh SS Mufti Johor (yang semua orang pun kena) banyak membuka mata saya mengenai hal pelajaran, juga kerana saya mendampingi seorang yang hebat dalam bidang ilmu, walaupun sekejap. Maksud saya, apabila kedua-dua insan ini membuka mata saya untuk menilai kembali cara belajar yang saya gunakan sejak di tingkatan tiga. Tentulah, ia cara yang berkesan untuk lulus cemerlang bagi standard Malaysia, dan cara yang memadai untuk lulus bagi standard Mesir. Dan tentulah, mereka yang tak faham akan bertambah tidak faham, dan saya tak punya keinginan menjelaskan semua perkara.

Sekurang-kurangnya saya rasa bersyukur kerana dicelikkan sebelum terlambat. Walaupun guru yang saya hormati telah menyematkan nasihat ini sejak dari mula dan saya menyimpannya, tetapi siapa tahu kadar pencernaan kita terhadap nasihat yang tepu dengan maslahat ini. Walaupun ia bahasa satu lapis makna, bukan ayat dengan berlapis-lapis makna, barangkali ego saya yang agak tebal dan melambatkan ia diserap masuk.

Mengubah cara belajar yang dipakai sejak bertahun-tahun lamanya bukan mudah. Keterikatan kepada satu manhaj walaupun mempunyai keistimewaan yang tersendiri apabila mahu beralih kepada manhaj yang lain memerlukan masa. Ibarat mengambil jalan lain untuk menuju ke matlamat yang sama. Kebiasaan bertukar, bahkan peribadi juga mungkin perlu disesuai semula.

Pernahkah kita menilai diri? Adakah kita pernah mendugakan bahawa ada kemungkinan, cara kita walaupun selama ini betul tetapi masih banyak kekurangan, dan ya, mengatasinya ada cara? Atau kita terlalu takut mengubah stail demi untuk tidak menjejaskan kebanggaan yang kita bina berturut-turut? Atau mungkin kita merasa sudah terlalu lewat untuk mengambil jalan lain, yang memungkinkan kita bermula semula di tapak mula?

Di sinilah atabahnya. Selagi bendul bidayah ini tidak dilangkah, selagi itulah kita melangkah masuk ke bilik yang sama. Tentulah saya tidak bermaksud anda menggunakan jalan yang salah, serong, sesat, dan yang senazirnya. Tentulah saya tidak bermaksud demikian, saya rasa anda memahaminya. Kefahaman yang sempurnya itu masih jauh dari kita, dan kita perlu berusaha.

Saya seorang yang lambat, kerana itu maafkan saya. Saya percaya saya masih memenuhi impian saya dan target saya. 'Itaabaat dan kritikan membina sentiasa saya alukan. Dan tentulah, ia perlu melalui neraca penilaian saya dahulu.

Friday, May 16, 2008

Ucapkan Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru.

Untuk semua guru saya, juga yang saya nisbahkan guru kepadanya. Saya berdoa kepada Tuhan agar memberkati kalian seluruh hayat, dimudahkan urusan dan dipelihara oleh-Nya.

Dalam hati ini, tanpa kalian, tidak mungkin saya akan sampai kepada tahap saya yang sekarang ini. Tanpa kalian, walau sekecil mana pun usaha itu pada pandangan kalian, tidak dapat saya menapak satu tapak ke hadapan hingga berdiri di depan sini. Tanpa jasa dan usaha bahkan niat dari hati kalian, entah ke mana saya akan tuju pada akhirnya.

Terima kasih, kerana walaupun setelah banyak kali menghampakan, kalian tetap berada di situ, di depan mata saya. Terima kasih, kerana sekalipun telah banyak menyakitkan dan berbuat salah, kalian masih lagi terus berada dalam keadaan sedia untuk berbakti. Terima kasih, walaupun saya mungkin ada yang sudah lupa ajaran kalian, atau nasihat kalian, atau pedoman kalian, tetapi kalian tetap bersangka baik dan mahukan yang terbaik.

Tidak kira sejak bila saya mahu mendahului kalian, tetapi tidak pernah saya berasa berjaya barang sesaat pun. Dalam segala segi, walaupun begitu, saya berasa bertuah kerana mendapat tunjuk ajar, dan dengan ketentuan Tuhan, saya menuju ke arah yang saya berada sekarang ini. Walaupun masih lemah, masih bertatih, dan masih jauh dari faham yang sempurna.

Sempena hari guru, dan sempena aid milad hijriah saya yang ke 26, saya ucapkan Selamat Hari Guru. Semoga jasa dan budi kalian digandakan balasan kebajikan ke atasnya dengan sebanyak-banyak ganda. Terimalah taqdiir dan ihtirom daripada anak muridmu.

Thursday, May 08, 2008

Sangka

Sangkaan yang buruk itu terbit daripada dua asas yang utama, iaitu ketiadaan pembuktian, dan nilai negatif di dalamnya. Kerana, yang dinamakan sangka, adalah dzan, iaitu sesuatu yang belum dipastikan secara yakin. Kedua, kerana yang dinamakan sangka buruk, adalah apabila kenegatifan yang wujud mendominasi perasaan sangka-sangka itu.

Kerana itu, saya merasakan, bukanlah ia dinamakan sangka buruk, kalau kita sudah mempunyai bukti terhadap apa yang kita sangka, dengan keadaan di mana sangkaan itu bertukar menjadi yakin. Walaupun benar, sifat negatif yang wujud dalam sangkaan itu layak digelar pesimis, dan kalau kita memakai sikap positif ia boleh menjadi optimis.

Dan memang benar, sikap optimis dan pesimis bukan terhad kepada semata-mata sangkaan yang belum dibuktikan, bahkan pada sangkaan yang telah dibuktikan. Seperti contoh, sikap berat sebelah pertubuhan, penyelewengan dan ketidakamanahan persatuan, ketidaksedardirian pemimpin, atau kelembapan pengurusan kepimpinan, semua ini adalah sangkaan, dibuktikan atau tidak dibuktikan, akan menuju kepada satu daripada dua tanggapan, optimis atau pesimis.

Dalam banyak keadaan, sebahagian kita lebih mudah untuk pesimis dan sangka buruk yang menghala kepada kemungkinan seperti, 'ini gagal', atau 'tidak berjaya', atau 'lemah', atau yang seerti dengannya, daripada bersikap optimis dan berfikiran positif yang menuju kepada kemungkinan seperti 'ada harapan lagi', atau 'masih sempat', atau 'masih boleh', dan yang sepertinya.

Kerana itu, kita mudah rasa kagum kepada orang yang sangat optimis, barangkali setelah sebahagian kita putus asa untuk berfikiran positif kepada kesegalanegatifan ini, atau kalaupun bukan putus asa, kita barangkali sudah penat berhadapan dengan pe-negatif ini, atau pun kalau bukan penat, kita barangkali enggan lagi mahu mendengar ucapan-ucapan penyelamat diri atau kemintamaafan.

Terpulang pada anda untuk memilih.