Saturday, June 20, 2009

Iltizaamiiyah | Juga Yang Benar Dua Atau Lebih

Saya suka bercerita mengenai iltizaamiiyah. Ini mungkin ada kena mengena dengan mantik, tapi perbahasan kali ini adalah mengenai beberapa perkara berkaitan dan maksud di sebalik maksud.

Menerangkan maksud kalimah mungkin lebih mudah begini. Kita baru lepas satu peperiksaan yang agak mencabar kesusahannya, lalu berkata kepada kawan kita , "soalan hari ini aku dapat jawab semuanya."

Adakah kita cuma memaksudkan bahawa soalan itu dapat dijawab (kerana barangkali kita mengajinya), atau kita memaksudkan lebih daripada itu, bahawa 'saya adalah seorang pelajar yang pandai'.

Maksud yang pertama itu kita panggil mutoobaqah iaitu bertepatan lafaz dan maknanya, adapun makna kedua itu kita panggil iltizaamiiyah, iaitu makna bukanlah makna yang terkandang lafaz, tetapi makna luar yang dimaksudkan oleh kalam.

Tidak syak di sini, bahawa dilalah mutoobaqah adalah makna sabit, dan kita tidak boleh lari daripadanya. Dan dilalah iltizaamiyah adalah makna yang boleh disabitkan, sekiranya kita mengakuinya, atau ada qarinah yang mensabitkan tanpa nafi.

Memahami hakikat ini penting, kerana banyak perkara hukum berkaitan lafaz terkandung dalam dua perkara ini. Dalam perbahasan ilmu Islam seperti usul feqh dan qawaid pun ada perbahasan mengenai niat dan lafaz.

Saya menyeru supaya kita belajar untuk bersikap rendah diri dan tidak mengeluarkan kenyataan seperti - yang benar di sisi Allah itu cuma satu - sebaliknya belajar memahami bahawa ilmu kita adalah sangat cetek; untuk dikira layak membandingkan ilmu diri dengan ilmu Tuhan itu mustahil, apatah lagi untuk mendakwa kita tahu maksud Tuhan, bahawa yang benar di sisi-Nya cuma satu. Walaupun ya, 'yang betul cuma satu' itu berlaku pada beberapa kes seperti Tuhan itu satu, Allah itu sajalah Tuhan, tetapi mengatakan ia melebar pada semua perkara adalah tidak beradab.

Serendah-rendah kalam manusia bagi saya boleh boleh memaksudkan dua makna dalam satu kalam, dan kedua-duanya betul, apakah mustahil Tuhan memaksudkan dua atau lebih, lalu keempat-empat mazhab berkemungkinan semuanya betul, bukan hanya salah satu saja yang betul. Lagipula, selepas kalimah betul (sohih) ada kalimah asoh (lebih sohih), ada zahir dan ada azhar.

Saya fikir, kalam sebegini adalah sangat bahaya. Kerana itu saya membantahnya. Fahami maksud ini, dan kita tidak berani untuk mendakwa hanya satu tafsir adalah betul, dan bakinya adalah salah.

Saya pernah mendengar guru saya, Syeikh Dr. Hasan As-Syaafii mengulas mengenai hal ini, dan berkata: kita tidak menghukum perkara yang kita tidak tahu.