Friday, November 19, 2004

Selamat Hari Raya

Orang kata, raya dan cuti satu sinonim dari segi laksana. Dan saya pula nak 'cuti' sebentar daripada pergi cc. Bukan apa, peperiksaan sudah dekat, dan kitab juga amanah perlu dilangsai sebaiknya. Tidak pasti adakah catatan harian akan dibuat, mungkin tidak.

Jadi bila akan ke cc lagi?

Mungkin pertengahan bulan 1 kot. Sekarang mahu sibukkan diri telaah kitab. Banyak lagi yang belum dihabisi. Tak tahulah kalau saya ke cc juga selepas ini. Cuma ini niat saya sejak akhir-akhir ini.

Mengapa lama tidak mengisi jurnal?

Saya jatuh sakit baru-baru ini. Beberapa hari. Dari pening-pening lalat bertukar menjadi demam, merebak menjadi batuk dan sakit tekak. Semakin melarat sehingga tengkuk sakit dan tidak boleh dipusing. Jadi patung beberapa ketika. Akhirnya, setelah sembuh, asma datang menyerang pula. Dan saya harap dan berdoa agar sembuh semula.

Selamat Hari Raya semua pengunjung 'jurnal al_jantanie'. Saya akan kembali memeriahkan jurnal ini nanti. Dengan izin Allah.

salam sastera ilmu.
al_jantanie

ps: Madah kali ni 8, ada yang sampai 2 kitab tu.

Friday, November 12, 2004

Tarbiah Ramaadhan – Sebuah Catatan 12 Nov

Tarbiah Ramaadhan – sebuah catatan 12 nov

Sebenarnya, saya rasa sedikit sedih sepanjang bulan Ramadhan ini berlangsung. Saya teringin untuk memberi tazkirah, dan peluang itu tidak sekali pun tiba Ramadhan ini. Bukan itu sahaja, tidak disenaraikan menjadi Imam mahupun bilal walaupun sekali, sedangkan ada nama yang berulang kali menjadi imam, berulang kali menjadi bilal, dan berulang kali juga memberi tazkirah.

Bukan maksud saya dipinggirkan dengan keadaan yang semacam rupa, tetapi betapa saya teringin melatih diri dalam bidang pengucapan, dan tazkirah bagai sesuatu lapangan perdana, dan saya tidak menjamahnya. Pelik bukan, setiap kali perkara itu berlaku, dan setiap kali itu jugalah idea berkepuk-kepuk dan menanti limpah ke mikrofon. Tetapi, suara hati itu hanya mampu bertazkirah di dalam benak, dan akhirnya kian padam. Apa yang saya rasa? Rasa tak mahu berucap, dan mendiamkan diri, kalau boleh sepanjang tahun. Sebaliknya mencurahkan ke dalam penulisan yang saya sedang mahiri diri.

Mungkin juga setiap kali saya memegang mikrofon, dan setiap kali itu juga ada muka yang menjadi merah kena tegur, atau hati yang malu kena sindir, tetapi betapa saya teringin membuka pemikiran semua orang daripada asyik mengucapkan perkara yang sama di setiap kali tazkirah Ramadhan, sebaliknya mengubah persepsi mereka bahawa lapangan yang luas ini boleh dipelbagaikan aspek dan focus penyampaiannya. Dan segala perucapan dan ide itu tersekat di hati, dan turun melalui hujung jari ke papan kekunci komputer ini.

Betapa dalam keadaan yang sama, saya belajar menjadi pendengar. Tidak dapat berucap dan dilatih menjadi pendengar, mungkin itulah tarbiah Ramadhan bagi saya. Asyik bercakap tidak menjanjikan sesuatu yang baru, tetapi terpaksa berdiam barulah menjadi satu pengalaman baru dalam dunia pengucapan umum ini. Bak kata saya sebelum ini, seorang ketua haruslah belajar mendengar dan belajar mengurangkan cakap.

Saya kadang-kala takut dengan perangai saya yang semacam itu. Takut satu hari nanti saya diminta membuat pengucapan umum dan seorang lagi yang seperti saya wujud dan memendam perasaan untuk berucap di kala itu. Betapa takdir dan ketentuan Tuhan Maha Luas, terbentang antara langit dan bumi, dan juga melimpah ke segala ciptaanNya. Kita sahaja yang lupa.

Entah. Saya kurang pasti dengan apa yang saya rasa. Sedih atau bernasib baik, saya tidak pasti. Tetapi yang pastinya, saya patut bersyukur melalui tarbiah Ramadhan kali ini – Belajar Mendengar – dan saya teringin bertanya kepada anda semua : Apakah tarbiah Ramadhan kepada anda tahun ini?

al_jantanie
pembaris_kecil

Ps: Ramadhan, saya belum melayanimu dengan begitu baik tahun ini. Maaf. Semoga berjumpa lagi tahun hadapan.

Wednesday, November 10, 2004

Yang Pertama Bukan Ilmu – Sebuah Catatan 10 Nov

Yang pertama bukan ilmu – sebuah catatan 10 nov

Saya ditanya sahabat-sahabat baru : Mengapa mengapa mereka perlu menghadiri Kolokium Ilmuan pada hari rabu ini? Apa yang ada dalam kolokium itu?

Ketika soalan yang sama itu ditanyakan kepada seorang exco, dia menjawab secara tersiratnya - kolokium ilmuan itu adalah lapangan penimbaan ilmu yang tidak mungkin boleh didapati di dada muhadarah kuliah atau di bibir talaki, kerana ia adalah satu medium pembentukan daie. Satu program yang pengisiannya hanya di sini, di program itu. Mungkin itu jugalah jawapan yang saya dengar tahun lepas, dan mungkin juga adalah jawapan yang didengar oleh orang-orang sebelum saya, di tahun-tahun sebelumnya.

Tetapi apa yang saya katakan kepada mahasiswa baru itu? Yang pertama bukan ilmu.
Mereka bertanya : Kalau bukan ilmu, apa dia?

Saya menyedari bahawa kolokium itu adalah satu pembentangan ilmiah, tetapi menghadiri kolokium bagi saya – yang pertama bukan ilmu.

Di dalam kelas dahulu saya kerap tertidur, begitu juga dalam muhadarah di kuliah, hinggakan terbawa-bawa ke majlis yang rasmi. Ilmu? Antara terpaku di dalam kitab atau terlepas naik menyapa gegendang telinga sebelum memantul semula keluar – gagal ditangkap oleh akal yang sedang lena. Beruntunglah akal yang jaga.

Jadi, apa perkara pertama dalam kolokium?

Bagi saya, yang pertama adalah ukhuwah. Dapat berkenalan dengan sahabat-sahabat baru daripada pelbagai negeri dan mengalami keseronokan berukhuwah sesama muslim. Itu semua pengalaman yang tidak dapat disebut, tetapi tersirat di antara fahamnya kita setelah hadir, atau masih kabur kerana menuzurkan diri.

Sekiranya mereka katakan menghadiri kolokium – yang pertama kerana ilmu, sudah tentu saya katakan setelah itu, banyak dan ramai orang yang tidak hadir kerana mereka juga sedang dalam penuntutan ilmu. Malah, ia juga perkara pertama bagi mereka.

Apa pendapat anda?

salam sastera ilmu
al_jantanie

Monday, November 08, 2004

X dan Z - Suatu Catatan Di 8 Nov

Sebuah cerita di suatu masa...

X : Apa urusan awak?

Z : Saya nak cop pengesahan salinan sijil.

X : Untuk apa?

Z : Buat permohonan zakat.

( Sebatang tangan menghulur kepada sebatang tangan yang menyambut )

X : Awak tahu, orang datang Mesir bukan nak belajar. Dia nak kerja. Nak berniaga. Mesir bukan tempat belajar.

( Z senyum sahaja )

X : SPM awak bagus. 7 A. Kenapa datang Mesir?

Z : Saya minat bahasa Arab.

X : Heh.

( X tarik muka perlekeh tiga ribu )

X : Kenapa tak mohon Tibb?

Z : Saya tak ambil Fizik, Kimia, Biologi.

( X pandang matematik tambahan dan sangka Y adalah daripada sekolah Sains.)

X : Awak tahun berapa sekarang?

Z : Baru naik tahun dua.

X : Dua?

( X tarik muka tidak senang.)

X : Bila awak sampai Mesir?

Z : Tahun lepas.

X : Macam mana natijah baru ni?

Z : Bawa dua madah.

X : Tengok tu. Orang pandai-pandai datang Mesir macam ni. Bukan nak belajar.

( Z senyum sahaja sambil hulur tangan menyambut salinan sijil yang selesai dicop sah.)

salam sastera ilmu
al_jantanie

Sunday, November 07, 2004

Ustaz Ahmad Hashim Yang Saya Kenali.

Ustaz Ahmad Hashim yang saya kenali.

Sejenak ketika saya sedang meraikan setahun keberadaan saya di Mesir, di tanah air pula merakamkan pemergian seorang guru yang saya hormati. Al-Marhum Ustaz Ahmad Hashim, tokoh lama SMAKJ.

Beberapa tahun belajar di bawah tunjuk ajar beliau banyak mencelikkan mata. Mata pelajaran Saraf, Insya' menyedarkan saya ilmuan ini bukan orang yang calang-calang. Beliau tekun mengupas beberapa isu berkenaan pelajaran yang memerlukan daya kritis dan kritik atas dasar ilmu. Walaupun sedikit debat dan saling pindah ilmu berlaku, ia tidak memadamkan rasa kagum saya sehingga ke hari ini.

Beliau pernah membincangkan tentang perkataan Allahyarham dan Allahyarhamah. Kata beliau, perkataan itu berasal daripada ayat, dan memuannaskan ayat tidak semudah meletak ta marbutah. Namun setelah perbincangan dibuat, ia boleh terjadi sekiranya ayat itu diiktiraf pula sebagai isim, dan memuannaskan isim memadai dengan meletakkan ta marbutah tadi. Dengan syarat yang saya sebutkan tadi + alif lam.

Mengkritik isu semasa sambil bercerita pengalaman seusia hidupnya sepanjang pengajian berlangsung sering membuatkan kelas segar. Saya juga turut serta membuat penilaian berdasarkan pengetahuan sejagung ilmu bagi membentuk cekal dalam budaya kritik sopan ini. Saya akui, adakalanya selisih pendapat berlaku atas dasar pandangan yang berbeza, namun pandangan beliau tetap saya hormati sebagai tokoh yang mempunyai tahap kepekaan yang tinggi.

Teringat seketika di saat saya tidur di dalam kelas (hingga dinobatkan orang yang paling kuat tidur dalam sekolah) saya disuruh Almarhum supaya berdiri. Saya yang ketika itu duduk di bangku paling hadapan telah mengganggu penglihatan rakan-rakan di belakang kerana denda yang saya jalani itu. Saya diperintah pula ke bangku paling belakang. Mungkin setelah beberapa ketika Almarhum melihat saya berdiri dan beliau berasa kasihan, saya diberi duduk di kerusi belakang itulah. Malu, saya tidur buat kesekian kali.

Yang pasti, SMAKJ telah kehilangan seorang yang paling berbakat dalam dunia masakan.
Berita pemergian beliau lewat saya ketahui. Saya yang pada ketika itu tidak ke cyber café kerana sibuk dengan urusan ketibaan pelajar baru juga urusan kuliah fasa awal tahun 2 tidak mendapat berita ini lebih awal. Namun setelah memeriksa di kantong offline message saya terima perkhabaran itu daripada Ustaz Fuad.

Sekalung Al-Fatehah dihadiahkan buat Al-Marhum, semoga beliau kekal dicucuri rahmat. Al-fatehah…

al_jantanie
pembaris_kecil

ps: tetap dalam ingatan

Saturday, November 06, 2004

Mengapa Terlalu Ramai Pecinta?

Mengapa terlalu ramai pecinta? Sebuah catatan 6 hb nov

Bukan maksud tulisan ini untuk menafikan kepentingan suatu pihak, tetapi mempersoalkan bilangan kewujudan golongan jenis ini. Mengapa terlalu ramai pecinta? Persoalan yang bukan persoalan. (Lebih kepada mempersoal @ menafikan )

Sedar atau tidak, terlalu ramai antara kita yang menjadi pecinta, mengutamakan perasaan diri, lalu bertindak seolah-olah hanya dia sahaja yang mempunyai perasaan di dalam dunia ini. Lupakah bahawa terlalu kurang yang menjadi pemikir yang mencari jalan keluar dalam sesuatu masalah.

Kita berdepan dengan suatu yang menyakitkan hati, lalu menjadi pecinta yang menyatakan ' aku ada perasaan ' dan bertindak berdasarkan perasaan diri semata-mata. Mengapa tidak menjadi pemikir yang menyelesaikan? Mencari sebab? Akhirnya semua lari kerana 'cinta' itu dan yang tinggal ialah permasalahan yang belum dilangsaikan.

Saya pernah melalui pengalaman ini, dan ingin mengongsikan kepada semua. Sekiranya mereka menjadi pemikir, lalu katakan kepada semua yang hadir : Mengapa perkara ini berlaku? – nescaya jalan penyelesaian itu telah bermula. Tetapi apa yang kita lakukan? Komen, kritik dan taklik, semuanya menghentam ketidakpatutan sesuatu perkara, atau sekiranya lebih sopan, diam dan cakap belakang mengkritik juga. Di mana kesudahannya?

Tidak dinafikan, masalah akan timbul dan berkemungkinan akan berterusan. Malangnya orang-orang seperti kita tidak cuba memikirkan mengapa ia berlaku – sebaliknya lebih mengutamakan perasaan kita sendiri, terbawa-bawa menjadi pecinta yang romantik dengan hatinya. Hati-hati.

Mungkin benar seorang yang kita komen itu bersalah, dengan segala hujah dalil dan sebagainya, namun mengapa tidak menjadi pemikir yang menyelesaikan masalah, sebaliknya menjadi pecinta yang mengutamakan hati sendiri. "Ini tidak patut, itu tidak boleh."

Renungkan hal ini dan tanyakan pada diri, ' berapa kali aku menjadi pecinta hari ini?'

al_jantanie
pembaris_kecil

Friday, November 05, 2004

Saya Masih Mencari Puncanya

Catatan malam minggu – 4 okt

Entah mengapa saya merasa tidak berapa senang malam ini. Mengerekot ke sana dan meliut-lintuk ke sini, berguling-guling dan resah semacam. Demam? Minta dijauhkan. Badan tidak panas tidak sejuk, semua selesa. Cuma hati yang rasa itu dan ini tanpa tahu apa puncanya. Mungkin makan banyak hingga perut rasa tidak selesa. Berpeluh-peluh dan badan rasa rimas dan panas. Hendak mandi? Tidak. Cuma hati terasa bagai melonjak-lonjak dan badan tidak mampu berbuat apa-apa.

Mungkin kerana hajat hendak membaca kitab terbantut dek suasana yang membelenggu. Rasa terikat sedang langkah bebas berbuat apa sahaja. Pelik bukan? Dan saya masih tercari-cari mana punca masalahnya. Yang pasti semacam ada pertentangan dalam diri – satu melonjak-lonjak cergas dan memberontak, sedang yang satu lagi bagai lemah layu sayu dan tidak bermaya. Saya bingung, apa dia yang sebenarnya?

Garu kepala dan baring sambil bergolek-golek ke kanan kiri, bergulung-gulung dalam lihaf dan mengkurakan kepala di bawah bantal. Campak semua dan bangkit berdiri, mahu ke mana pula? Apa ini dan itu, saya masih tercari-cari. Hati sungguh rasa lain malam ini. Nafas turun naik tidak sekencang mana, Cuma terasa dalam nafas yang turun naik itu ada beban yang dibawa sama mengikut nafas yang ditarik, kemudian memberatkan nafas yang dihembus. Ah, persetankan semua dan buat tidak tahu sahaja, hati saya berbisik.
Saya masih tercari-cari puncanya.

al_jantanie
pembaris_kecil

Thursday, November 04, 2004

Maidah Rahman

Catatan 4 Okt

Saya bersama Taufiq Sanusi sejak pagi tadi. Pergi ke Arma untuk cop pengesahan salinan sijil di Jabatan Penuntut, terus ke kuliah Lughah membeli beberapa kitab kuliah sebelum ke Masjid Hussin. Empat buah semuanya. Dua kitab maajim, satu kitab adab, dan satu kitab Saraf. Dengan itu, selesailah semua kitab bagi fasa awal telah selamat keluar dan telah dapat saya beli.
Saya mengesahkan salinan sijil bagi urusan permohonan zakat. Nampaknya, segala urusan telah hampir selesai, hanya menanti untuk menyerahkannya kepada mas'ul untuk tindakan selanjutnya. (Dapat atau tidak – doa sahaja pada Tuhan).

Sedikit kepenatan apabila pulang daripada kuliah.( Saya menggunakan perkataan kuliah bukan muhadarah kerana saya tidak masuk muhadarah hari ini @ lughah cuti hari khamis) Ada pemurah yang tabarruq hari ini. Arab dan sekeluarga. Sebungkus makanan setiap seorang. Rubu' Firah , dua keping eiysh, nasi mashwi dan lain-lain lagi yang saya tak berapa pasti namanya. Apapun, saya telah berpakat dengan Taufiq Sanusi hendak berbuka di maidah rahman.

Menjejak ke jam 4, Ustaz Ismail Mustari, lepasan Al-Azhar dengan kepujian dalam Kuliah Dakwah tahun 1993 datang hendak bergambar dengan kami. Katanya hendak dimuatkan dalam Warta Johor. Ramai-ramai turun dan beratur di hadapan dinding pagar Rumah Johor – merakam kewujudan mahasiswa Johor di sini. Giliran ikhwah telah selesai. Sementara menanti akhawat turun untuk bergambar pula, saya telah memulakan langkah bersama Taufiq menuju ke Majid Bulat (Kami menggelarnya masjid bulat kerana bentuknya bulat). Malangnya di situ tiada kain rentang menyatakan adanya maidah rahman disediakan.

Kami menuju ke Masjid Apollo berhampiran Baby ( Orang Arab memanggilnya dengan bacaan 'Babai' ) Saya dan Taufiq solat Tahiyyatul Masjid dan mencari di mana maidah rahman di agih-agihan. Segera ke tempat ambil wuduk mengambil bungkusan Kusyairi dan sebiji limau Abu Surrah. Kami duduk di bahagian belakang menanti Maghrib tiba. Beberapa minit sebelum azan, air susu dan kurma di agih-agihkan pula. Kami beratur mengambil bahagian masing-masing.

Maghrib pun tiba. Selesai buka dan solat Maghrib beserta Awwabinnya, kami mengatur langkah pulang. Tiba di syaqqah, saya membuka bungkusan tabarruq yang dihadiahkan oleh sekeluarga arab petang tadi. Makan hingga kenyang, akhirnya mengantuk ketika sesi tazkirah diadakan. (sesi tazkirah berlangsung selepas salam kedua, sebelum masuk solat tarawih yang seterusnya – sebenarnya bukan mengantuk tetapi tidur lena)

Apapun saya sangat gembira kerana telah berbuka di maidah rahman kali pertama untuk tahun ini. Tahun lepas setakat berbuka di Jamie Azhar . Bukan saya tidak mahu berbuka di Maidah Rahman sebelum ini, tetapi saya terbayang Arab yang berebut-rebut, semuanya faqir dan miskin, sedangkan saya mampu makan di rumah (Tidak elok berebut hak orang yang miskin) Saya membatalkan niat maka di situ sejak dulu, tetapi mengenangkan keinginan mendapat pengalaman berbuka maidah rahman, saya ajak Taufiq, dan segalanya tidak seperti yang saya bayangkan; masing-masing dapat makanan dan berbuka dengan rezeki yang telah Allah tetapkan. Yang pasti, saya sangat kenyang dan mata berasa sangat mengantuk!

al_jantanie
pembaris_kecil

Wednesday, November 03, 2004

Bas Yang Mana Satu?

Saya ke safarah ( Kedutaan ) Malaysia hari ini. Menaiki bas 959 hendak ke simpang luar sabie', berhampiran dengan masjid nuri dan kuliah banat, rupanya bas berkenaan membelok kanan sebaik sahaja tiba di simpang abbas akkad .Firasat saya bas ini akan membelok menuju ke hadiqah dauli. Tetapi sekali lagi sangkaan saya meleset. Bas itu tidak membelok ke hadiqah sebaliknya meneruskan perjalanan ke abbas. (Moral : Ringankan mulut kalau tidak mahu sesat jalan). Saya bertanya Arab hala tuju bas itu. Bas itu akhirnya sampai di simpang syubrawi. Senang hati. Gerak hati saya bas itu akan terus ke simpang luar sabie' berhampiran masjid nuri dan kuliah banat, kawasan matlamat saya sebelum ini. Dan kawasan itu akan dijejak dalam seminit dua lagi. Malangnya sekali lagi gerak hati saya tidak bertepatan dengan apa yang berlaku. Bas itu secara tiba-tiba membalik arah meneruskan perjalanan ke sabie. Saya dengan segera turun mengelakkan tersasar lebih jauh.

Saya menanti di situ bas untuk ke safarah. Bas 359 di syubrawi itulah. 5 minit kemudian bas tersebut tiba dan saya pun naiklah.

Ketika pulang dari Safarah pula saya menanti di tempat biasa sambil memerhati bas yang lalu lalang. Saat itulah bas 600 lalu. Bas 600 itu malalui hadapan Rumah Johor selama ini, dan selama itulah saya hanya memerhati dan membiarkan bas itu lalu dan tidak diketahui arah dan hala tujunya.

Saya mendapati beberapa pengajaran daripada peristiwa ini – ada baiknya mencuba bas yang melalui hadapan kawasan rumah, mana tahu bas itu boleh dimanfaatkan (sebab bas 600 tu tambangnya cuma 75 sen, jauh lebih murah kalau dibandingkan dengan bas 359 yang mengambil tambang 2 genih. Tak masuk belanja untuk ke sabie')

Dan selepas ini bolehlah jimatkan kos ke Safarah Malaysia dengan menaiki bas itu.( itupun kalau mahu sebab bas itu tiada air cond). Tidak hanya mengharap bas 359 semata-mata untuk pulang ke rumah, kerana bas 600 itu akan terus sampai ke hadapan rumah Johor. Dari satu segi lebih baik kerana sampai terus ke rumah tanpa perlu bertukar bas. Juga saya dapat mengetahui arah perjalanan bas 959 yang selama ini pada sangkaan saya menuju terus ke sabie', padahal ia membelok ke abbas sebelum menuju ke syubrawi. Saya juga mendapati, bas 959 ini boleh dimanfaatkan bagi sesiapa yang ingin ke Rumah Perak atau Penang, dan perlu turun di Ezz Al-Arab, nama sebuah kedai kereta.

Saya juga mendapati satu tempat yang selama ini hanya didengar di perkhabaran sahaja. Pusat Bowling Kaherah. Kalau tidak salah. Itu juga didapati dalam tempoh awal perjalanan setelah bas membelok ke kiri berhampiran flight over di kuliah tibb.

salam sastera ilmu
pembaris_kecil

Berehat

Terasa saya ingin berehat sebentar atas sebab peribadi. Nantikan saya dengan hasil catatan yang baru kelak.

salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

ps: ada sedikit urusan, teruskan bersama al_jantanie

Monday, November 01, 2004

Tanggungjawab Warisan Yang Semakin Dilupakan.

Tanggungjawab warisan yang semakin dilupakan.

---Satu taklikan kepada ketibaan mahasiswa baru ---

Buat beberapa ketika saya termenung dan memikirkan keadaan diri. Dilantik menjadi musyrif Syaqqah 8 menyediakan saya berdepan dengan kewajipan warisan. Warisan orang dulu dalam membantu mengurus @ mempermudah kehidupan mahasiswa baru. Warisan yang ditinggalkan kepada mahasiswa sekarang. Daripada barang dapur hinggalah ke urusan kuliah, kepada sayalah semua soalan itu akan ditujukan. Apa yang membuatkan saya termenung bukan apa, tetapi kerjasama daripada rakan seangkatan yang lain, yang telah lama berada di sini, untuk sama-sama membantu memudahkan urusan itu.

Ada waktunya, timbunan permintaan yang menggunung di galaskan secara mendadak ke pundak, lalu lutut terasa lemah dan mahu menolak permintaan mereka itu. Apalagi kalau meminta dengan bahasa yang kurang enak dan seolah-olah mendesak, bertambah berat rasa menanggungnya. Mahu sahaja ucapkan : Buatlah sendiri @ Tanyalah orang lain @ kat depan tu je @ nanti enta tahulah @ benda ini ada mas'ulnya (orang yang bertanggungjawab) – tetapi semua itu tersekat di lubuk hati dan diterjemah ke lidah untuk mengucapkan, insya Allah ana cuba.

Akan tetapi, betapa saya terkadang duduk dan memikirkan, alangkah seronoknya saat saya merenung dan memerhati gelagat mahasiswa baru ini - melonjak gembira apabila nama muqayyad @ dapat pergi ke kuliah dan pengalaman menaiki bas yang semestinya jauh berbeza dengan situasi Malaysia @ dapat keluar (saya bawa keluar atau jalan sendiri) apabila tempoh kuarantin tamat – sudah pastinya ia memerlukan usaha dan kerjasama daripada seorang yang dipertanggungjawabkan menjadi musyrif.

Membawa ke kedai sambil menunjukkan cara membeli barang, pergi ke Kuliah Tibb untuk mencari nama yang sudah diterima masuk ke Universiti, juga menjawab berjuta persoalan melelahkan sedikit hayunan langkah, mencungapkan tarik-hembus nafas, melenguh-sakitkan badan sambil tertanya-tanya; di mana saya akan tidur malam ini? (Bilik terlalu penuh sebelum urusan tauzik pelajar ke muhafazah) Apapun, inilah tanggungjawab warisan yang dibiarkan, kerana pernah beban itu semacam menjadi bara persoalan yang tidak berjawab - memilih sama ada ia akan padam menjadi redha; atau marak menjadi dendam. Saya berazam Ramadhan ini mahu menghilangkan bara itu semuanya.

Tetapi, hakikat yang sebenarnya, tanggungjawab ini buan terhad semata kepada mahasiswa baru sahaja. Apa pula pendapat anda?

al_jantanie
pembaris_kecil

ps: semua kena tolong

Sunday, October 31, 2004

Lughah dan Seorang Teman Baru

Lughah dan saya, suatu pengalaman yang sangat panjang. Bermula daripada keinginan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, enggan ke Madewa semata-mata kerana di sana tiada lughah, mengulang ambil STAM walaupun setelah ada STU, berada di tahun 2 sedang rakan sebaya hampir menjejak Master, dan segala pengalaman yang bercampur gaul dan berpadu di perdu ingatan.

Segalanya telah lama bermula, sejak keinginan dan rasa cinta yang membuak-buka lalu melimpah ke lapangan azam dan tekad, akhirnya membentuk niat untuk ke tanah penuh barakat, Mesir ini.

Azrin Saion, rakan sekuliah di tahun satu, tahun ini saya menjadi musyrifnya. Apapun, saya sangat gembira mendapat rakan selapangan ini pula. Harap selepas ini semakin ramai pakar bahasa yang mempu menguasai segala bidang ilmu.

al_jantanie
pembaris_kecil

ps: rasanya nak buat web arab pula!

Tuesday, October 26, 2004

Stam dah tiba

Catatan 25 Okt 2004.
Semalam, pelajar STAM sudahpun sampai berbondong-bondong. Dua bas. Tidak pasti berapa jumlah mereka. Yang pasti, sebuah lori disewa untuk menguruskan beg sahaja. Dan saya, hanya memandang dari tingkap syaqqah 8 setelah berhempas pulas mengemas bilik di saat-saat akhir.Habis dilapangkan suasana syaqqah 8 daripada segala kesesakan dan keserabutan itu. 'Tongkah pecah' ini sudah saya baiki menjadi satu ruangan yang luas dan selesa. Cuma kepenatan menguruskan segalanya sendirian.

Ketibaan mereka yang membanjir ini sekali lagi menjadikan suasana sedikit tunggang langgang. Hendak buat bagaimana, hampir dua puluh orang dimuatkan dalam syaqqah 8 ini. Hendak kemas bagaimana, dan saya juga memahami keadaan yang sepertinya ini. Tidak pelik, dahulu begitu juga. Penuh dan padat. Bersesak-sesak. Dan beg juga segala barang-barang dilonggok daripada bilik tidur, bilik studi hinggalah ke ruang makan (bukan dapur ye).

Dan kesesakan itu adalah adat. Nama dengarnya sudah naik da mereka sudah sedia untuk ditauzikkan ke muhafazah. Dan kedengaran juga, tiga orang takdim lughah. Ada teman baru. Azrin Saion. Dan kebanyakan mereka minta di kaherah. Sesak lagi bertambah padat Kaherah. Ada juga yang minta di muhafazah, dan segalanya akan jelas beberapa hari lagi (apabila mereka mula ditauzikkan).

Seperti biasa, kalau padat dan berlebih bilangan, ada rumah sewa yang akan menjadi tempat persinggahan entah siapa di antara mereka. Dan pastinya, seorang musyrif juga akan berpindah menemani mereka ke kawasan perumahan baru itu. Saya? Mungkin akan terus berada di Rumah Johor. Sedikit komen untuk mahasiswa baru…Nampak macam masih kebudak-budakan, atau sebenarnya suasana terlalu meriah dan menghangatkan. Baru-baru tiba. Atau mereka menyembunyikan hakikat sebenar perangai yang menugu di dada. Bukankah saya juga begitu dahulu? Dan sekarang bagaimana?

al_jantanie

Chatter

Siapa sangka, saya akhirnya mempunyai chatter block sendiri. (Hai kenapalah susah sangat? Itu tandanya ilmu masih kurang)

Saya ingin merakamkan terima kasih tak terhingga kepada Saudari Norazlin, sahabat saya yang merupakan seorang mahasiswi Malaysia di German. Terima kasih bebanyak kerana bantu sehingga saya ada chatter sendiri.

Dan terima kasih juga kepada kelambu...Walaupun saya tak kenal anda...Teruskan bersama al_jantanie

salam sastera ilmu.

ps: syukur pada Tuhan setinggi itu...masih tidak memadai...Ia sepatutnya lebih tinggi. (pendek je tulis malam ini)

Monday, October 25, 2004

Sejenak

Sejenak Sebelum Kedatangan Mahasiswa Baru.

Betapa kebingungan menjelira lalu membelit diri hingga menerbitkan persoalan, bilakah saya akan mengemaskan Syaqqah 8 ini? Pelajar baru bakal berkunjung tiba beberapa jam lagi dari waktu saya menulis ini, dan Syaqqah masih lagi tunggang langgang dan berselerak dengan sampah di mana-mana. Sebenarnya ia tidaklah sekotor mana, namun tunggang-langgang itu semacam membikin bilik ini tidak kemas dan kotor, lalu sebagai musyrif saya di asak permintaan lembut mengurus segala agar kembali menjadi sopan yang teratur.

Mengapa tidak saya mulakan langkah itu sekarang juga? Mengapa saya seolah-olah mengeluh dan tidak berbuat apa-apa? Apa tidaknya! Masih terlalu ramai penghuni syaqqah 8 ini mendiami bilik ini, dan saya masih tersekat dalam keributan itu. Terfikir juga sejenak, alangkah baiknya sekiranya masing-masing membantu menyelesaikan keributan ini kerana masing-masing tahu, mahasiswa baru akan datang tidak berapa jam lagi!.

Dan saya masih tercari kunci pemulanya, harap dapat ketemu sebelum mereka tiba!

al_jantanie
salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

ps: tunggang langgang lawannya adalah semangat kerajinan tambah kepekaan

Sunday, October 24, 2004

Catatan 23 Oktober

Catatan 23 Oktober 2004
Saya sempat menyeluruhi beberapa cerpen pagi ini. Daripada karya Amiza Khusyri yang saya ambil curi-curi – entah dia tahu atau tidak – hingga ke beberapa karya penulis seangkatan dengan Tok Guru yang saya hormati ini (Ghaffirah Idris, Akhi Masrawy, Al-Marjan Yusof, Ubaidillah Alias, Faisal Tehrani dll). Beberapa ketika terpegun dek keanggunan bahasa juga kekuatan isi penulis-penulis itu, saya seketika bingung dan terus berfikir dan mentafsirkan kedudukan diri yang dirasa terlalu jauh berbatu. Seketika bergelumang dengan karya yang bagi saya sudah dikira mapan, perasaan dikait rasa kagum berjela-jela, dan serasanya bagai mahu dipengaruh pula. Tetapi dengan ragam pelbagai rentak penulis, saya (yang diuliti rasa kagum itu) semacam terpengaruh, dan bagai ditarik-tarik berpuluh orang minta ditiru dan dicontohi – padahal itu cuma jiwa saya yang mudah terpengaruh.

Sempat membuat kesimpulan dengan riak muka yang kepenatan, harus saya lumati satu persatu karya-karya itu, agar perasaan yang membuak itu terkesan satu persatu perlahan-lahan, lalu mampu mengesankan jiwa dan terpengaruh pula. Betapa jiwa penulis-penulis itu (dalam penulisan mereka) sungguh tampak berbeza-beza; ada yang tersangat sungguh usaha pada bahasa yang memukau, ada yang tersangat sungguh pada ide dan isi isu pembawaan, hingga bagai bah banjir yang melanda pantai rasa jiwa sastera saya, hamper menenggelamkan saya hingga bingung sekarang sudah tiba di mana.

Betapa saya sangat menghargai behawa setiap nilai seni dalam jiwa sastera penulis-penulis itu, satu nilai yang tidak boleh diabaikan – perlu dicedok semangat dan keinginan mereka yang membuak-buak dari ide yang melimpah-limpah, bersekali dengan seni bahasa jiwa bangsa yang memukau itu. Saya, dan dalam keinginan itu, tentu sekali rasa gembira dengan penghargaan yang berpukal-pukal pula.

al_jantanie
salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

Saturday, October 23, 2004

Cerpen Baru

Lega sungguh rasanya menyiapkan sebuah cerpen hari ini, namun tajuk belum bernama. Saya letakkan pengakhiran sebuku dendam sebagai tajuk pertamanya, mungkin kekal atau berubah. Lihatlah bagaimana.

Sedang seronok menyelesaikan kerja yang menimbun, melonggok-longgok. Al-Basirah sedang disiapkan, entah selepas ini mahu diteruskan atau tidak. Yang pastinya buat masa ini saya tidak ingin menambah beban - terasa ingin ke kuliah juga.

Khamis lepas ke kuliah dan menghadiri muhadarah buat kali pertama bagi sesi ini. Lama sungguh, rindukan Al-Azhar tercinta, juga Jamie nya. Syukur dengan kitab keluar sehingga lima buah, dan masih tercari-cari mana kehangatan niat melangsaikan kitab seawalnya. (ops- jadual kuliah tak ambil lagi)

Apapun dengan cerepn terbaru ini tentu membuahkan senang kerana dapat juga menghasilkannya. (setelah bertangguh entah berapa lama)

salam sastera ilmu.
pembaris_kecil

ps: masih terbayang keseronokan berbasikal merentas perkampungan Mansurah yang tenang dan mendamaikan.

Monday, October 18, 2004

Perempuan Politikus Melayu

Sepanjang saya menatap novel Faisal Tehrani, Perempuan Politikus Melayu, tidak menyangka novel itu sungguh tidak menggunakan banyak masa bagi melangsaikannya. Tidak seperti Novel Iman Markisa, yang menuntut banyak waktu dan kelapangan. Mungkin kerana garapan bahasa dalam novel Faisal ini tidak seteliti Aminah Mokhtar, atau saya yang terlalu sayang pada Iman Markisa dengan memberikan tumpuan pada hampis setiap baris ayat, atau saya yang kesuntukan memberikan tumpuan yang sama kepada novel Faisal, atau saya merasakan ayat dalam novel Faisal tidak serumit garapan ayat Aminah Mokhtar, atau saya dikinja persoalan kesuntukan waktu kerana tugas lain juga menanti disempurna.

Perempuan Politikus Melayu yang pada saya bukanlah semata-mata berkenaan perempuan itu, tetapi lebih menceritakan berkenaan perjuangan golongan Tani yang sememangnya (dalam cerita tersebut) gagal mempertahankan hak mereka sendiri. Mungkin Faisal cuba merakam apa yang sebenar-benarnya berlaku – Watak Jahat sememangnya selalu menang dalam dunia realiti, dan watak baik selalu menang dalam dunia fantasi. Novel ini juga menceritakan kehidupan seorang pelacur, wartawan, wakil rakyat, polis dan penguasa undang-undang, pejuang pra merdeka, petani, pelukis dan macam-macam, digarap secara padat dan mempersona.

Di pertengahan cerpen, imbas balik dengan aktif dilaksana. Bertubi-tubi. Saya seolah-olah terasa cerita telahpun tamat, tetapi kembali bersambung semula, namun tidak seaktif mula. Faisal gemar menimbulkan banyak persoalan, atau sengaja menceritakan sesuatu luar jangkaan, lalu mengambil masa yang lain untuk menjelaskannya kembali. Cerita disusun aduk kemas, (walaupun pada hemat saya dia hanya menulis dan tiba-tiba melengkapkan bahagian yang belum sempurna sahaja – tetapi nampaknya semua persoalan yang ditinggalkan dijelaskan kembali secara bersahaja). Tema yang seperti dulu juga, tidak lekang daripada cinta, cukup anggun apabila ditamatkan sebegitu rupa – yang jahat terus berkuasa – watak baik terpaksa membawa diri dan lari (tidak sanggup lagi mendepani kekuasaan yang menggila; ataupun terpaksa mengalah setelah kehilangan segala-galanya) – watak jahat lain ceritanya dibenamkan begitu sahaja (mungkin makruf keadaan politik sama sahaja – ia akan terus membusuk dengan musuh-musuh baru) dan watak utama yang membikin kesudahan luar duga, walaupun sudah ada bayangan ke arah itu.

Faisal memang suka membikin kejutan, dan dengan kejutan itu dia cuba mendatangkan rasional dan logik agar ia diterima begitu sahaja. Pada saya, Faisal bukan komplek pada ayatnya semata, tetapi komplek pada ideanya. Pembawakannya kadangkala lambat, dan kadangkala terlalu laju, hingga mencicirkan perlbagai cerita yang akhirnya diselongkar kemudian daripada itu. Saya cuma kurang setuju dengan watak Irfan (kurang setuju dengan watak membawa makna kurang setuju dengan penulis) apabila tidak nampak watak itu menjaga syariat. Tetapi itu yang juga pada pandangan saya mungkin adalah satu rakaman realiti apa yang dilakukan oleh wartawan sebenarnya. Wallahu a’lam.

salam sastera ilmu
al_jantanie

ps: seronok dapat baca...Almarjan, terima kasih.

Saturday, October 16, 2004

Iman Markisa

Melangsaikan karya Aminah Mokhtar, Iman Markisa, kisah perjuangan menyatukan puak rekaan hasil perselisihan ideologi anutan – biar sama islam tetapi berhaluan kiri dan kanan – sedikit membuatkan saya terpegun dengan keindahan bahasa yang memukau. Novel sepanjang 377 muka begitu istimewa; lebih istimewa dengan hampir setiap bab ditutup dengan cara tanda tanya, ataupun setidak-tidaknya disudahi dengan satu gambaran kepada peritiwa yang bakal berlaku, sudah dapat dijangkakan dan diterka. Lebih-lebih lagi ungkapan beberapa ayat yang secara tidak langsung dapat menceritakan apa yang telah berlaku, walaupun tidak digarap secara penuh ketika itu juga – hanya diceritakan semula di bab yang lain.

Latar plot yang jelas, tidak banyak memeningkan. Penulis meninggalkan persoalan yang banyak, dan persoalan-persoalan itu kebanyakannya dijawab, kecuali satu dua tiga yang dibiarkan entah mengapa. Penulis membikin masalah dan klimak yang terlalu banyak dalam cerita, (pembaca tertanya-tanya bagaimana masalah dan klimaks itu diselesaikan) dan penyelesaiannya terlalu mudah, simple dan sederhana, satu pembalasan daripada Tuhan, sakit dan mati, gila dan yang mudah-mudah sahaja. Namun yang pastinya, ia satu kesudahan yang logik, tidak sangka begitu mudah ia diselesaikan. (Moral: Mungkin itu yang hendak disampaikan penulis – Perjuangan Iman dan Islam ini tidak perlu kepada kasar dan keras, kerana kelembutannya akan membuatkan ia secara semula jadi diterima apabila ia memancar sinar kebenarannya.)

Iman Markisa menceritakan liku-liku Rustam bersama Mak Yong dan Markisa sebagai watak yang tidak boleh kekurangan, dibantu watak-watak pratagonis (watak musuh kan?) Jais, Esah, Tiong Nam, Mubarak; sambil watak-watak yang tidak boleh dipandang enteng yang turut sama menghidupkan cerita – Onit, Zain, Ustaz Latif dan Agus Salim. Sebuah cerita yang hebat. Terasa ingin memiliki kerana garapan bahasa yang indah-indah.

Seawal pembacaan terasa penulis semacam terpengaruh gaya penulisan Shahnon Ahmad, gaya penceritaan dengan ayat yang berulang, namun ia cuma mempengaruhi ayat secara lembut, membikin tegas pada ayat-ayat itu. Pengulangan itu sedikit benar, dan tidak ketara penegasan tersebut pada cerita yang lebih mengutamakan tema ini. Ilmu bantu sangat kukuh, dengan melukis latar belakang sangat jelas, sejarahnya, suasananya, hutan rimba dan bakaunya, kampung dan laut serta sungai, tambah seri dengan pelbagai gaya pengucapan daripada pelbagai golongan pengucap – ilmuan, setan bertopeng manusia, mat-mat gian, dialek pelat China yang bertutur Melayu. Namun, dari segi sajak yang dipersembahkan masih pada hemat penulis belum mampu menandingi sajak-sajak yang dihidangkan oleh Atondra dalam Anak Merdeka. Apa pun konklusinya, ‘Iman Markisa’adalah satu karya yang sangat mengkagumkan untuk dimiliki dan di kaji.

salam sastera ilmu
al_jantanie

ps: terima kasih pada Almarjan Yusof...Selamat Berangkat ke Tanahair

Wednesday, October 13, 2004

Genap Setahun Permukiman

Catatan 12 Oktober
Hari ini genaplah setahun aku meninggalkan kampung halaman untuk berada di horizon Nil ini. Apa yang telah berlaku dalam setahun? Terlalu banyak hingga tidak mampu dikisahkan semuanya. Tetapi dalam masa yang setahun itu, terlalu banyak juga yang dapat ditimba, ilmu campur pengalaman campur idea dan campur semuanya, terhasillah aku yang setahun usia di permukiman Anbia’ ini.

Tanggal ini jugalah secara rasmi aku menjejak kaki semula ke Rumah Johor menjadi penghuni buat kesekian kalinya. Sejak keluar dari Rumah Johor pada bulan 6 yang lepas, aku menginap Arma dua bulan lamanya. Kemudian menginap di Mansurah sebulan, dan terbiar tanpa tempat tinggal selama sebulan. Aku mula membuat konklusi. Yang menentukan di mana kita berada adalah rumah. Kita boleh pergi ke mana-mana, tetapi tetap dan pasti akan kembali ke rumah.

Dan buat kedua kalinya, aku tidak tidur sepanjang malam hingga ke subuh. Komputer menghadapi masalah apabila C diformat dengan NTFS. Window gagal ditembusi, akhirnya aku delete semua partition dan setup semula. Itupun setelah kebingungan berjam-jam kerana aku tidak pernah belajar partition, lebih-lebih lagi dalam bios yang tiada apa melainkan kegelapan skrin dan arahan yang tepat. Akhirnya berjaya juga. Satu ilmu baru.

Salam sastera ilmu.
pembaris_kecil

Monday, October 11, 2004

Jatuh Sakit

Akhirnya, saya jatuh sakit. Demam. Mungkin juga kerana saya kurang menjaga kesihatan diri akhir-akhir ini. Tekak terasa kurang enak bila menjamah makanan. Perut yang sesekali berdengung minta diisi tak tertunai kerana tekak rasa mual. Lauk kegemaran hanya mampu diluakkan empat lima suap. Itupun kerana terpaksa. Demam dengan badan yang sengal-sengal. Sakit-sakit. Mungkin kerana tidur tidak bertilam. Tidak berbantal. Masa terlena itu sudah tidak menghiraukan apa-apa. Yang penting mata sudah minta dipejam. Badan sudah minta direhatkan. Akhirnya jaga dengan mengeliat yang kurang selesa.

Pagi Sabtu setelah pulang dari Damanhur saya ke Sabi’ meminjam beberapa novel teman sepenulisan. Teman sepengarangan. Bilangnya dalam surat elektronik mahu pulang 27 ini. 27 Oktober ini. Harus saya pulang lebih awal daripada itu. Redah kesejukan pagi sabtu itu dengan bersin sulong setelah lama tidak melepaskannya bebulan juga. Kepala sudah pening. Menikam-nikam. Mencucuk-cucuk. Rasanya seperti ada besi yang merintangi kanan kepala menembusi ke kirinya. Lalu menarik-narik kelopak mata suruh menjengil ketegangan. Jari telunjuk mula membenamkan hujungnya ke tepi dahi. Moga boleh reda kesakitan itu. Tetapi saya enggan peduli dan teruskan perjalanan juga.

Setibanya di Rumah Johor lantas ke Bilik Sukej menyiapkan beberapa laporan berita untuk Warta. Ambil masa yang agak lama menatap skrin bercahaya yang semakin membenamkan rasa sakit yang tak tertahan itu. Paksa lagi. Kalau tidak diselesaikan sekarang bila lagi. Terus lagi menaip, merakamkan beberapa petikan kata daripada novel Anak Merdeka. Akhirnya badan terlantar petang sabtu itu seketika sementara lenguh yang pagi tadi belum hilang semakin membelit kesegaran tubuh. Berehat.

Hasil segala, pagi Ahad saya bangun dengan huyung-hayang menuju ke bilik air, ambil wuduk dan solat subuh. Minta sahabat baik urut badan, angin yang penuh di badan naik ke kepala. Pening tambah pening dan lambat redanya. Badan terasa tidak bermaya. Mungkin kerana makan yang tidak sempurna. Urutan sahabat seluruh tubuh. Tubuh rasa lega walau kepala rasa bingung dan mencucuk. Terlantar hingga ke tengahari. Sedang berehat yang sungguh membosankan itu, saya bercadang membuat perjalanan ke Arma menyelesaikan kerja yang tertangguh. Mengambil barang-barang milik peribadi. Susuri matahari terik tengahari, kaki lemah longlai dek demam yang belum berapa kebah melangkah masuk ke pintu Arma terus ke bilik tempat tujuan. Barang segera dikemaskan, dan menjelang Maghrib segalanya hampir selesai. Pulang semula dengan teksi ke Rumah Johor.

Dan ketika saya menulis ini, hari isnin, badan sudah kembali segar tetapi selera masih belum pulih. Kepala sudah hilang peningnya. Lenguh juga sudah hilang. Tidaklah terasa terlalu menyesakkan dengan keadaan yang agak kuat ini. Lalu saya timbulkan persoalan kepada diri minta dijawab, mengapa sakit dan apa sebabnya. Mungkin satu kerana dosa dan inilah penebusnya. Mungkin dua kerana abai diri dan inilah akibatnya. Tuhan tentunya lebih pasti.

Wallahu a’lam.

salam sastera ilmu
pembaris_kecil

Sunday, October 10, 2004

Pemerhati Yang Tidak Memerhati

Saya dihalang menjadi pemerhati kepada Mesyuarat Agung BKASM malam ini. Helah diajak makan supaya keluar daripada majlis saya kira memang hikmah, sebelum dilarang memasuki semula sekiranya bukan dari kalangan ahli atau pemerhati negeri. (Moral: MAT peringkat negeri tidak sama dengan MAT peringkat furu'. - Ada cita-cita jadi pemerhati PMRAM).

Saya sedang mencari idea akan apa yang patut ditulis dalam ruangan reaksi Warta Oktober, sambil merancang kalau-kalau dapat ulas tentang MAT selangor yang dilihat banyak menghadapi rintangan. ( Tips: Penat berjalan 20 minit kegelapan malam ini dibalas makan cuma)

Saya mencari Ustaz Nasir kalau-kalau dapat mencari itfak tarikh sesuai. Atau sekurang-kurangnya merancang sesuatu - tengoklah macam mana.

Apa yang boleh saya katakan, Ketua Editor SUKEJ sudah menemui mas-ulnya, dan saya naik pangkat jadi sidang pengarang (Fikirkan: Mungkin akan terus jadi Wartawan sebab tiada orang).

Saya mencemburui rakan penulis yang lain, walaupun sibuk masih dapat menulis dan menghasilkan karya. Kesibukan saya sebagai Wartawan memaksa kaki melangkah demi memastikan satu baris ayat boleh dikutip dari pelbagai tempat yang jarak satu dengan yang lainnya, adalah sejauh 20 minit perjalanan. Ikut hati ingin sahaja meninggalkan kerja wartawan ini, lalu bertarung dengan papan kekunci memastikan, siapa sebenarnya lebih awal menghasilkan karya. Tetapi, itulah kerja yang tidak dapat tidak, tinggal saya dan kesunyian bersendirian dengan kerja yang agak memenatkan.

Saudara Amiza menyebut nama saya dalam tulisan yang dibilangnya artikel terakhir sebelum pulang. ( Saya bagai ternampak dia meluahkan perasaan dari hati yang lembut dengan riak muka yang keras.) Saya amat hormat pada beliau, tidak dinafikan bahawa untuk maju tidak boleh menanti suap. Demi nasihat terakhir semasa dibengkelkan di Rumah Negeri Beradat, - tidak boleh tenggelam dengan cara penulisan sendiri dan perlu membaca karya orang lain- saya bingkas bangun mencari dalam kejahilan internet kalau-kalau ada cerpen contoh yang dapat saya kutip. Saya rasa beliau amat memahami apa yang saya lakukan - mencuba garapan 'dia' dalam cerpen akan datang.

Sebenarnya, sudah banyak rangka yang berjaya saya siapkan, (kehilangan - musuh - cinta kucing - Adi - Dan lain-lain lagi) namun cerpen itu belum berjaya menemu penamatnya. Kenapa? Saya enggan memberikan alasan bimbang dilihat lebih bersalah. Dalam cemburu saya sedih, kerana hak asasi saya belum tertunai, sedang hak orang sedang dan asyik dilangsaikan.

Menyedari banyak perkara dalam banyak keadaan, semua tidak berubah selagi belum memulakan langkah penyelesaian. Oh ya, Saya tidak ke Jawazat untuk menyiapkan Iqamah kali ini, sama ada lupa atau asyik menyiapkan berita untuk Warta PMRAM kali ini.

salam sastera ilmu.
pembaris_kecil

ps: Sedang cuba melangsaikan satu persatu kerja, hingga tertidur di bilik Gerakan SUKEJ malam tadi. Akibatnya belakang badan lenguh dan kepala sedikit pening menghadap cahaya monitor tidak henti-henti.

Saturday, October 09, 2004

Damanhur 2

Saya bercadang berbahasa saya mulai kala ini. tentu lebih sopan bukan? Walaupun sedikit kekok.

Saya akan balik ke kaherah setelah makan angin dua hari di damanhur ini. Malam ini juga. Perjalanan ke sini sudah mencapai maksud pertamanya. Mencari sahabat baru. Namun kepastian perlu pada saling hubung lain kali.

Warta Khas sepatut sudah keluar, namun warta oktober belum dilangsaikan. Kerja saya perlu disudahi, kerana tanggungjawab akan dipertanya dan dipersoal.

Namun, tawaran menjadi Ketua Editor SUKEJ sudah ditawarkan kepada saya, tetapi sama ada menerima atau tidak, tuhan lebih tahu. Mungkin kesibukan yang memburu masa lapang saya tidak mengizinkan, apatah lagi kerja wartawan yang sentiasa memulaukan saya dari bersenang-senang.

Mungkin esok akan melangsaikan Iqamah sebelum bertandang ke rumah Al-Marjan meminjam beberapa novel sebelum keberangkatan beliau ke tanah air tercinta.

Itu sahaja,
salam sastera ilmu.

ps: Perjumpaan Kelap bila akan terlaksana? Harap bantuan semua.

Friday, October 08, 2004

El-Damanhuri

Aku menjejak kaki di bumi Damanhur, menerobos kenangan kali pertama ke sini. Kali terakhir selepas periksa fasa awal tahun sudah.

Perjumpaan Kelap yang aku maksudkan bukan semesti di Damanhur, (seperti telah disalahtafsirkan), terpulang kepada kepada kesanggupan masing-masing.

Rupanya, dalam merealisasikan sebuah rancangan, terlalu banyak yang akan ditempuhi, salah faham, salah orang dan sebagainya, hampir-hampir aku tarik diri sebelum masanya. Namun sebelum mencuba, tiada apa yang boleh dipastikan. Cuma, sekalipun ia telah pasti, tidak salah untuk terus mencuba lagi.

salam sastera ilmu.
al_jantanie

Sunday, October 03, 2004

Seribu Dua Cerita

Aku sudah jumpa rumah untuk didiami, tetapi belum memastikan penghuninya dengan cukup. Sedikit bingung, patut ambil segera, atau tangguh demi sesuatu yang pasti. Ambil sekarang berisiko berseorangan,(duit pun jalan) ambil kemudian bimbang diambil orang dan fikir yang bukan-bukan. (Renungan: Kesilapan orang perlu dimaafkan, kerana kita juga mahu kesilapan kita di maafkan) - Biar aku sahaja lebih faham.

Renungi dakwah fardiah - maksudku, teguran secara hikmah memerlukan sesuatu lebih daripada tahu; praktik dalam erti kata yang sebenar. Bermula dari mencuri atau lebih tapat lagi, merebut masa, lalu menggunakan hikmah dalam kata dan juga laksana. Fahami, ia perlu berlangsung dengan bijaksana. Kata-kata yang baik, penuh rasa hormat dan rendah diri, minta maaf kalau tersinggung, bukan semesti yang benar, sudahi tanpa paksaan. Pastikan, jika ia membawa perbalahan, teguran perlu ditawaqqufkan. (Motif adalah menyampaikan suatu yang boleh diambil pengajaran).

Betapa teguran secara hikmah ini bagai tidak dikaji, sedangkan keperluan semasa sangat berhajat, atau mata kita azhari sudah dilekakan sementara. Apa yang sebenarnya berlaku?

Aku sedikit runsing, mencari ruang merenung hikmah disebalik kejadian. Kadangkala, gopoh bawa bencana. soalnya, kenapa aku dibiar berseorang sahaja. ( Ingatlah maksud ikhlas : Laksana tanpa berhajat dibalas semula )

Tip: Belajar berfikir menghadapi masalah!

Aku berada di Kaherah. Kerja siapkan segera!

salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

Berdepan dengan masalah, jangan lari....
http://www.geocities.com/al_jantanie/kedua
http://www.geocities.com/al_jantanie/ketiga

Thursday, September 30, 2004

Laman Web Baru

Aku sudahi web baru, harap dapat komen pembaca.

Aku sudah mencuba meletak chatter blok, tetapi gagal. Bagaimana ya. Kalau sesiapa dapat bagi tunjuk ajar. (Moral: Hendak Seribu Daya)

Kali ini pendek sahaja. Aku masih menanti Saudari Almarjan bagi pinjam buku.

salam sastera ilmu
pembaris_kecil

http://www.geocities.com/al_jantanie/pertama.htm


ps: sila lawat...tapi tak letak chatter juga...maaf

Terima

Belajar menerima kalau hendak diterima. Terima dengan hati yang redha.

Sekarang, aku sudah menerima tawaran Sukej. Walau tinggal seorang, (yang lain naik exco) aku harap exco itu akan terus sumbang untuk Sukej. Dan seperti nasihat seorang rakan baik, aku kena mencari teman buat galas tugas bersama.

Aku berbakat? Atau tidak, itu tidak menjadi sebab aku menerima pelawaan. Inilah satu lapangan yang tidak boleh disia-siakan.

Kenapa ramai orang salah sangka? Penulisan tidak terhad pada cerpen mahupun ilmiah. Wartawan juga penulis, malah penterjemah juga penulis. Memaksa diri terjun, aku mengahrap bantuan daripada Tuhan. ( Moral: Allah bersama orang-orang yang sabar)

Penulisan sterotaip. Bagi aku, aku memberi ruang yang seluas-luasnya kepada sesiapa yang mahu jadi penulis. Itu adalah tingkat pengalaman yang perlu dilalui. Kalau tidak matang, bagaimana manisnya mampu dicungkil. Teruskan usaha.

Ada banyak kesusahan yang wajib ditempuhi sebelum betul-betul matang. Aku juga dalam proses belajar. Kalau Ubaidillah peringkat 10, aku belum masuk peringkat dua pun agaknya. Memang aku tidak nafikan, penulisan beliau dan Almarjan sangat ekslusif. Lihat pada nota kaki sudah jelas betapa ia sangat berilmiah.

Aku sentiasa berharap, agar dunia penulisan akan terus berkembang pesat. Lain kali aku akan ceritakan siapa itu penulis yang sebenarnya.

salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

ps: jurnal ini kurang cantik, tetapi kelebihannya ada simpanan catatan jurnal dari dulu hingga sekarang. ( Aku menaip sambil belajar menerima- hakikat dan kenyataan-semua ada bahagian)

Tuesday, September 28, 2004

Kaherah

Kaherah kota kesibukan. Aku sudah 3 hari di sini. Kerja secara tiba-tiba menimbun. Warta perlu disiapkan sebelum 7 okt. Dan satu keluaran khas warta perlu terbit sebelum edisi oktober. Itu sudah hampir siap.

Aku dicengkam kesempitan waktu, tambah kurang mampu. Hendak ke cc bagai tiada peluang. Aku cuba juga. Dan, kerja baru perlu siap sebelum MAT. Upgrade web BKPJM. Kerjasama dengan Faiz. (Tip: Minta tolong dengan Tuhan)

Aku ke Kaherah asalnya hendak melawat sahabat yang baru sampai. Tetapi sampai kini, aku belum boleh pulang ke Mansurah (Tanda tanya: Pelajar baru dah sampai, bila nak cari rumah di Kaherah?)

Kuliah sudah bermula agak perlahan, tetapi aku disergah Syuun ditertawa ketika hendak membuat kernih baru. ( Sabar itu separuh daripada Iman). Rupanya aku salah cakap. (Moral: Belajar bercakap arab. Awak tu Azhari)

Saturday, September 25, 2004

Malang

Malang sungguh, malam ini angin pus-pus mengganggu kelancaran idea, tersekat-sekat kerana dinding perut ditikam sana-sini, tujahan bertalu-talu. (tips: makan apa semalam?)

Paksa diri, aku masih terus menaip, walau perut mengerang. (Harap idea masih segar, tidak terganggu walaupun jasad terganggu)

Pelajar baru Johor sudah sampai? Macam mana aku hendak balik ke Kaherah ini? Tidak balik takut disangka buruk, tetapi ada masalah pula di sini? Insya Allah, aku akan selesaikan.( Moral: Orang Islam mesti yakin pada Tuhan)

Aku sudah lama tidak mengisi jurnal ini. Bukan apa, ada masalah sedikit, tambah sesak asyik fikir macam mana hendak mencantikkan jurnal ini (tetapi masih tak berapa cantik juga.) Kekadang fikir, yang penting bukan cantik, tetapi berisi. Kalau cantik tak berisi, tak bernama penulislah aku!

Rindu pada Kaherah, pada kawan-kawan. Lebih-lebih lagi pada komputer yang separuh tersadai di Arma, separuh terbungkus di Rumah Johor. Aduh! Bagaimana ya?

Aku tidak pasti adakah aku dapat ke cc buat beberapa hari akan datang. Tengoklah keadaan. (Moral: Kita merancang, Tuhan menentukan)

Perut diganggu rasa memulas tidak senang hajat tertahan tidak ditunaikan. Aku perlu pulang ke rumah.

salam sastera ilmu, (dengan perut yang kurang selesa)
pembaris_kecil

Wednesday, September 22, 2004

Ubah

Aku cuba melakukan ubah suai sedikit dengan jurnal ini. Masih ada yang silap. Itupun setelah lebih 5 kali mencuba. Hampir-hampir jemu. Insya Allah aku akan cuba letakkan chatter, mudah hendak komen.

Buat beberapa ketika berulang-alik Kaherah-Mansurah, aku rasa seronok campur penat. Teringat juga, Iqamah, tasdiq, kad kernih masih belum dibuat. Insya Allah, akhir bulan 9 ini akan pulang ke Kaherah menyempurnakan semua itu.

Inilah muka baru jurnal aku. Itulah hasil termampu setakat ini.

salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

Sunday, September 19, 2004

Sepilah

Sudah terlalu lama jurnal ini sepi. Aku pulang ke kaherah tempoh hari. (Di Kaherah mahal sikit -cc)

Aku belum bersedia menulis jurnal ini seperti selalu, namun masih perlu menulis.

Malam semalam berhempas pulas mengangkut barang milik sahabat (akhawat) berpindah rumah. Gotong-royong. Ada makan. Namun, aku belajar erti ukhuwah melalui titisan air peluh. Aku belajar makna sahabat dari penat lelah. (Kan seronok kalau aku nak pindah juga ada orang bantu)

Dalam program BKPJM lepas, aku bagai sumbu yang menyalakan mercun. Bergegar dewan diletupkan suara sindiran yang tajam. Tidak bermaksud untuk menyakiti sesiapa, cuma berharap ada yang sedar dan mengambil pelajaran. Betapa kita mengabaikan ukhuwah sesama kita ( Pentingkan diri - aku paling bencikan manusia yang pentingkan diri, walaupun orang itu adalah aku sendiri)

Aku masih ingat, betapa aku sanggup menapak kaki ke rumah Kelantan (ada program penulisan di situ, padahal aku sudah hadiri program itu sepertinya,) namun aku tetap datang juga. Aku katakan kenapa? Kerana aku teringin berjumpa saudara Ubai dan Saudari Al-Marjan di sana. Namun kecewa hasrat aku tak terpenuh. Aku bergegas melawat Saudara Ubai di rumahnya. Aku tanya diri kenapa? kerana aku gembira dapat berjumpa rakan-rakan. Kerana ukhuwah. Bukan kerana program itu aku datang, tetapi kerana orangnya! ( tips: kadang-kadang program yang sangat bermanfaat orang tetap tak mahu datang kerana mereka benci pada orangnya)

salam sastera ilmu,
pembaris-kecil

ps: Sedih kerana seorang rakan menyatakan bahawa dia akan balik.( Dan tak nak datang lagi). Nampaknya aku terlambat!

Saturday, September 18, 2004

Pulang

Tahniah kepada diri yang selamat pulang ke Mansurah, panjat syukur pada Tuhan.
Akhirnya aku pulang, walaupun tersasar tarikh dari waktu jangkaan.
Aku ikuti program BKPJM, walaupun asalnya tak mahu ikut. (Tunaikan permintaan orang, insya-Allah Tuhan perkenan permintaan kamu)

Tak jadi mesyuarat Warta, kecewa kenapa ia ditangguhkan?
Aku sudah begitu lama tidak ke cc, agak-agak adakah aku akan terus mencoret dengan istiqamah?
Doakanlah.

Mengapa takut jadi pemula,
insya-Allah,
ada yang akan meneruskan.

Pemula,
kalau kebaikan,
ada yang mengikuti,
bercucu-cicitlah ganjaran.

salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

ps: Warta Ogos dah keluar.
Blog ini tak berapa lawa. Aku pun tak berapa pandai nak cantikkan

Tuesday, September 14, 2004

Aku Terjepit

Luar sangka, niat mahu singgah bertukar kepada permukiman. Aku sudah di Kaherah beberapa hari, bila pula mahu ke Mansurah? ( Insya Allah lepas mesyuarat Warta.)

Kesempitan waktu menjepit aku daripada ke cc. Atau sebenarnya aku sedang memilih, mahu balik atau terus menginap ( tip: aku juga diperlukan di sini)

Bagai terdengar suara Saudara Ubaidillah mengekek ketawa, sambil Amli tepuk tangan. Aku capai bantal memperisai aku keseganan. ( Itulah, ada tempat lari pula)

Amiza akan ke luar negara (walaupun sekarang ini kira luar negara juga). Cepat-cepat balik Mesir, bawa buah tangan sekali. (perut menyanyi lagu P. Ramli, sumbang bagai kehabisan bateri.)

Omar akan mempengerusikan Kelap, sambil dibantu Siti Aishah (Pahang). Semalam aku terlewat hadir ke Rumah Negeri, dan bengkel sudah lama tamat! (Maaf ya Saudara Amiza, harap memahami)

Aku pulang semula ke Kaherah kerana 3 perkara. Sukej, Warta, dan Adik2 baru. Dan aku akan kembali ke Mansurah kerana 3 perkara. MAT (edar buku), peribadi, dan makanan! (Jangan ketawa)

Dengan rambut baru (cara sikat meniru Ubai), aku rimas diperhatikan.

salam sastera ilmu
pembaris_kecil

ps: Terima kasih kepada yang melayari. Aku akan cuba buat perubahan nanti. Tunggu!

Friday, September 10, 2004

Terima Kasih

Terima kasih kerana ada yang sudah masuk komen. Pandangan anda amat dihargai.

Malam semalam pasang mata kelawar, jaga malam tidur pagi. Celik mata sudah jam sebelas.

Lepas Jumaat ke Salam, bersama Yasir kerana ada jamuan ( orang baru naik jadi kepimpinan di sini). Pulang sebentar ke Dirasat, sebelum ke sana sekali lagi lepas asar, potong kentang dan bawang untuk MAT HEWI esok, sambil berseloroh," kenapa akhawat hendak makan kita pula yang kena masak". ( sambil membuat lelucon juga " Akhawat tu tak pandai masak")

Bergegas maghribnya pula ke Talha , menuju ke kampung Antara. (nama kampung bukan?) Namun kelewatan kami dikejutkan oleh ketidakhadiran Tok Guru menyebabkan kuliah dibatalkan. Dengan perut yang sedikit merungut kata lapar, aku segera pulang memasak ayam masak merah yang tidak seberapa.

Ketika baca al-Quran dengan mata yang mula mengantuk, teringat sahabat yang bakal sampai petang esok. " Ada orang sambut ke?" Benakku mula mengutarakan soalan. Aku sms ustaz Nazar sambil menunggu balasan sebelum mata mula pejam. (Insya Allah, aku akan ke Kaherah esok dan balik semula Mansurah malamnya).

salam sastera ilmu.
dr pambaris_kecil

Aku khatamkan novelet Pertemuan Kekasih Pertama, oleh seorang penulis pra merdeka, betapa penulisan zaman itu banyak berbeda dengan penulisan pasca merdeka, mungkin kerana penggunaan metafora yang belum begitu meluas. Ia sebuah kisah cinta seorang penulis yang mengambil kesudahan secara Tragedi luar sangka. Syabas!

Kita Anak Merdeka

Masa berlalu begitu pantas, dan aku masih berkira-kira, aku sudah tiba di mana? Rasa kesal, suka, bingung silih berganti, sebab fikiran dan hati yang didesak oleh pelbagai perkara. Betapa sukarnya membuat keputusan.

Aku sudah menghabiskan bacaan Novel- Anak Merdeka, tidak selama yang disangka. Bahasanya mudah, menggunakan ayat yang tidak terlalu panjang. Penulis ini, Nordin Abdul Rahman, mengisahkan perihal anak muda lelaki (Wari) dan cintanya yang berbalam-balam hadir silih berganti mencapah pada dua keping hati ( setelah tiba di pertengahan cerita). Latar kemerdekaan dipilih, namun kemerdekaan digarap dalam keadaan redup dan bersahaja.

Mungkin bukan maksud penulis mengobarkan semangat kemerdekaan (kecuali di akhir cerita), untuk menyesuaikan dengan gelojak perasaan 3 anak muda, kisah cinta segar yang memberi kesan pada hati pembaca. Namun permulaan cerita dipersembahkan dengan sangat menarik, pantas dan kejap ( terutama bab pertama) sebelum berubah kepada tempo yang perlahan dan berbunga.

Ilmu bantu sangat kukuh, Atondra (nama singkatan penulis) jelas menguasai sejarah dengan baik, jelas dalam garapan beliau dalam novel tersebut. Penggunaan syair yang indah maknanya (juga bahasanya) menajamkan penulisan beliau kali ini.

Penggunaan ayat naratif (atau lebih berbentuk diskriptif - penjelasan) membawa cerita lebih perlahan berbanding penggunaan dialog yang berbentuk pantas. Tetapi apa yang paling menarik, pelbagai falsafah dipertontonkan kepadapembaca meliputi pelbagai aspek, percintaan, perguruan, kehidupan (dan lain-lain lagi) memukau pembaca. (mungkin terhasil daripada pengalaman sendiri ).

Petikan:
Aku belajar kesetiaan dari ombak,
tidak pernah letih menghempas pantai,
Aku belajar ketegaran pada karang,
tidak pernah hakis digerusi ombak

salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

p/s: aku tegur diri sendiri sambil bertanya, sesuaikah 'aku' dalam penulisan jurnal ini.

Thursday, September 09, 2004

Terima Kasih

Hari ini aku didatangi seorang rakan penulis, menyerahkan budinya. Terima kasih. Akan kuhadamkan semampunya Anak Merdeka itu.

Malam tadi cuba masak mee bandung. Dua kali. Percubaan kali pertama gagal kerana kuah terlalu banyak. Cair. Tabahkan hati. Kali kedua lebih menyerupai mee kuah kacang, atau apa yang selayaknya. Boleh selera juga tekak menelan, walau hasil luar jangkaan. ( moral: siapa suruh lama tidak memasak)

Terdengar semalam bagai Rumah Johor ada program, menyambut ketibaan rombongan MAIJ. Aku harap kerja wartawan langsung digalas Saudara Amli. Aku meyakini kebolehan anda. Cuma perlu disemai dengan azam yang lebih kukuh. Minta uruskan. ( Mungkin aku hendak berehat sementara )

Tertanya-tanya, Warta sudah menjengok keluar atau belum lagi bangkit? Ogos. Dan aku dalam penantian. Dari sini.

Aku masih rasa serba salah kerana menyusahkan orang hingga datang ke rumah aku. Budimu hanya Tuhan ganda selimpah rahmatnya.

salam sastera ilmu,
pembaris_kecil.

ps: terima kasih kepada Saudari Almarjan (tok guru aku) kerana sudi berikan aku cerpen contoh buat tatapan anak murid.

Wednesday, September 08, 2004

Selamat Berperiksa

Assalamualaikum,
Salam sastera ilmu.

Adik aku hendak periksa. ada yang sudah selesai. Teruskan mencuba, aku doakan kejayaan kalian.

Ingat, belajar dan ikhlaskan niat. Ada yang kita tidak tahu, kadangkala ikhlas adalah jawapannya.

Jangan lupa gantung harap pada Tuhan semata-mata.

salam sastera ilmu,
dari pembaris_kecil

ps: adham hodari pecah rekod pelajar baru, exco pertama kita (bagi pelajar-pelajar baru johor)

Tuesday, September 07, 2004

Bagaimana

Jangan sedih, kerana tersisih - petikan lagu dari album hijaz (kawan)

Kesedihan. Ya, itu adalah satu kekuatan (bagi aku). Kerana kesedihan, banyak sajak yang aku cipta. Kerana kesedihan aku menjadi lebih matang. Kerana kesedihan, aku bisa melangkah setapak lagi tanpa menghiraukan apa-apa. Betapa kecewa kadang-kadang, biar luka dalam hati, tetapi aku pura-pura senyum di muka. Sampai tahapnya, aku malas memperdulikan apa-apa.

Betulkah begitu? Sendirian, kadang-kala mempersoal, inikah satu ujian? Atau satu balasan?

Aku terlalu sensitif, lalu mudah bersangka buruk. Atau sebenarnya aku terlalu peka, lalu minda tajamku mudah meneka? mungkin kritikku jauh menyelongkar, atau itu cuma salah duga. Mimpi dalam jaga. ( Moral: Nabi ajar umatnya agar sentiasa berlapang dada)

Betapa aku tidak ingin menyakiti sesiapa. Benci menyakiti, takut disakiti. Kerana aku faham, atau aku mahu difahami.

Kadang kala,
adalah lebih baik,
untuk tidak berkata apa-apa,
sekadar memandang, merenung,
dan berfikir selayaknya.

Kadangkala,
sedih itu lebih bahagia,
merenung di mana letaknya kita.

Kadangkala,
dengan satu kebetulan,
manusia menyangka mampu menentukan,
lupa pada Tuhan,
yang menguasai satu ketetapan.

Salam sastera ilmu,daripada pembaris_kecil
p/s: Mengadu pada Tuhan

Monday, September 06, 2004

Maaf Kerana Menyusahkan

Terlebih dahulu, aku kesal kerana telah menyebabkan orang tercari-cari aku. (orang mansurah) Maaf, tetapi aku tidak merahsiakan di mana aku berada.

Hari ini, tamatlah bayaran kifarahku, aku rasa sedih kerana telah melanggarnya. Tetapi sekali lagi, perkara itu akan aku teruskan. mungkin pada lain kali aku akan melanggarnya hingga terpaksa membayarnya, itu satu taruhan yang mesti aku hadapi.

Seronok baca sajak amli, aku pun ada sajak baru.

KERANA UKHUWAH KURANG
Sedarkah kadang-kadang,
timbulnya kita,
buat orang lain tenggelam,
kerana apa?
kerana ukhuwah kurang,
Kita minyak dia air,
Satu terbit satu terbenam.

Atau celikkah kadang-kadang,
kita tenggelam,
demi orang lain timbul,
kerana apa?,
kerana ukhuwah kurang,
minyak dan air,
bagaimana hendak bercampur.

hingga kadang-kadang,
pilihlah kita,
mahu tenggelam atau,
mahu timbul,
kerana apa?,
kerana ukhuwah kurang,
yang memijak tampak hodoh,
biar timbul,
yang dipijak tampak bodoh,
biar tenggelam.

banggakah kita,
jadi minyak lalu timbul,
memijak air lalu tenggelam,
kerana apa?
kerana ukhuwah kurang,
atau kita lebih rela,
jadi air,
beri peluang orang lain,
timbul.

Mengapa dua-dua ,
tidak mahu jadi minyak,
lalu timbul,
atau dua-dua jadi air,
lalu tiada tenggelam,
kerana apa?
kerana ukhuwah kurang.

Saya belum menamatkan sajak ini dengan rasmi. (ambil masa lagi untuk semak)

Seronok juga minum tebu mansurah yang dicampur limau (kaherah lebih sedap walaupun tak campur limau), sambil petang turun main takraw, balas dendam tak dapat sertai PMHK (padahal baru turun sekali, entah nak turun lagi ke tidak), tetapi aku berdoa, agar tujuan aku dapat dilaksanakan sebaik mungkin, secepat mungkin.

Sahabat baru dari Malaysia akan sampai 11 / 9 ini ( shoubra), bagaimana aku dapat menyambut kalian? Minta maaf ya. Aku ada tugas yang perlu dilaksanakan. Dua malam lepas beras baru sampai, aku tak banyak membantu sebab orang ramai. (Tolong makan. Kan hari-hari aku tolong juga, jaga beras).

Seronok tengok ustaz Salman dan isteri, kan baik kalau aku juga ada teman yang menjaga makan minum . Itulah kelebihan orang yang sudah berumah tangga. Tetapi sedih juga apabila mengenangkan azan yang semakin cepat, nampaknya musim panas akan berlalu, dan musim sejuk akan menjelma, dan yang pastinya, Ramadan akan tiba sekali lagi penuh barakah.

salam sastera ilmu,
dr pembaris_kecil
al_jantanie

ps: sesiapa nak datang lawat, silakan. Aku cuba masak sedap-sedap.

Sunday, September 05, 2004

Aduh

Malam ini aku telah berjumpa 'orang kuat Mansurah', dan aku telah diserang! Dan persoalan yang ditimbulkan adalah merujuk kenapa aku 'lari ke Mansurah'. ( Orang kuat dalam penulisan di sini).

Mungkin itu juga yang cuba dikomen oleh Saudara Amiza, tentang betapa aku asyik mengharap pada suapan kalian. ( Moral: perbaiki diri sebelum dikomen lagi)

Aku tahu betapa orang menentang aku berbuat begini. Tetapi apa yang aku lakukan adalah setelah aku membuat pemerhatian, dan keputusannya (jawapan bagi persoalan itu) adalah di sini. Walaupun yang kelihatan secara zahir tampak aku lari, tetapi hakikat aku sedang menyelesaikan masalah aku. Mungkin waktu ini aku menyepi, tetapi sepiku adalah untuk menjalankan agenda peribadi aku.

Boleh aku katakan, tujuan aku ke Mansurah ( bagi bayang-bayang sahaja ) adalah untuk memperbaiki mutu penulisan aku. Dan boleh aku katakan, aku sedang menguji satu teori yang aku ingin persembahkan. Juga, kalau tidak keberatan aku katakan, beberapa masalah akan selesai dengan pelarian ini.

Aku berdoa, ia berjalan lancar, dan aku akan kembali muncul melaksanakan tugas-tugas yang telah aku tinggalkan. Mungkin dengan kehilangan sebentar al_jantanie menimbulkan pelbagai spekulasi dan andaian (aku tahu ia lebih seolah-olah aku putus asa dan kecewa), tetapi hakikat yang sebenarnya hanya Allah sahaja yang tahu!.

Sekurang-kurangnya, aku dapat makan dengan kenyang setiap kali setiap hari! Dan sekali lagi, aku seolah-olah meninggalkan dunia penulisan semata-mata kerana 'merajuk'. Terbayang dalam fikiran semua (mungkin) bahawa aku seolah-olah meminggirkan sahabat-sahabat penulis (malah mengecewakan sesiapa sahaja), dan aku telah mensia-siakan lapangan yang aku ada. Apa sebenarnya berlaku. Aku boleh katakan ia masalah yang rumit, doakan aku berjaya melalui saat-saat genting ini. Apapun, aku teringin mendengar suara kalian / tulisan kalian, di saat-saat ini.

Betapa aku sangat sayangkan dunia penulisan ini, Allah lebih tahu. Tetapi hendak buat bagaimana, inilah penyelesaian yang aku lihat menjadi kuncinya, walaupun kelihatan seolah-olah aku sedang lari dan berputus asa!.

salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

p/s: aku amat menghargai semua pemerhati yang memerhati. (aku juga sedang memerhati)

Saturday, September 04, 2004

Kepimpinan

Tidak dinafikan, sesiapa sahaja yang menulis mahukan tulisannya dibaca. Tidak salah, malah itulah naluri penulis biasa. (kagum dengan zaid akhtar yang sempat membaca cerpen abd kadir, cemburu pula aku)

Kagumku pada Mansurah, melihat betapa masyarakat di sini amat menjaga solat, mengingatkan aku betapa aku perlu memperbaiki diri. Jika tidak salah, lima minit selepas azan dilaungkan, solat segera didirikan. (mungkin Kaherah juga sama, tetapi tidaklah sepantas itu)

Kagumku pada Mansurah menambah rasa senang dalam hatiku untuk terus berada di sini. ( Orang kata, kalau orang Keherah mari Mansurah itu tandanya sudah dekat hendak kahwin. Itu cuma kata orang). Sekurang-kurangnya aku menikmati makna merdeka dengan makan yang puas (tidak seperti ketika di Kaherah, kerja banyak, makan pun tidak lapang), tidur selesa dan dapat melaksanakan agenda peribadi aku di sini. (Tips: Aku juga rasa runsing tengok badanku makin kurus dengan pipi yang cengkung)

Aku memahami bahawa kepimpinan tidak boleh dibiarkan kosong. (kerana jasa kepimpinan banyak masalah dapat diselesaikan.) Aku? Carilah orang lain. Aku bukan tidak pernah terjun dalam dunia itu, tetapi Qiadiku bagai tidak dapat diterima. Setiap kali aku berada dihadapan, aku telah dibelakangi. Lebih baik cari orang yang terus terang mendapat sokongan. (Tips: Aku akan terus membantu dari belakang)

Lagi pula aku ingin terus menulis, tidak senang rasanya disibukkan dengan hal kepimpinan. Biarkan penulis terus menulis, dan yang memimpin terus memimpin. Teringat pada Amli, Syiba, Salha, Omar, Qadir dll ( sahabat penulis muda), bakat terus berkembang dalam penulisan kreatif. Aku doakan kalian terus berkarya menghasilkan penulisan yang bakal agung.

Lalat mula pasang sayap terbang keliling bilik yang tidak kotor. Mungkin kerana suhu sudah sesuai membangunkan si hurung itu, atau kerana pasar tepi rumah makin membusung busuknya. Kedengaran loceng berdering (betul ke penggunaannya di sini?) tanda ada orang mahu hajatnya dipenuhi (mahu beli beraslah tu!). Bukankah sudah kutampal bahawa beras sudah habis di muka pintu, hatiku merungut. " Ustaz, bila beras akan sampai?" soal si manja itu dengan loghat Kelantan kalau tidak salah. " Malam 5 haribulan, insya Allah."

Seronok bukan, apabila tangan menjinjit plastik hitam yang sudah kenyang membuncit dengan keledek mentah 65 sen sekilo. Pantas aku mandikan ia dalam kolam periuk panas, tambah gula bikin lemak.

salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

Friday, September 03, 2004

Jumaat Pertama

Pelikkan, sudah 7.10 petang aku masih boleh menangkap akhawat kita dari belakang kanta mata di suk ( pasar) seusai menyidai baju di balakon, kali pertama membasuh baju di jumaat pertama di sini (kira aku sudah lima hari di sini). Malam semalam ikut orang baca yasin (macam terpaksa) tetapi gembira juga dapat bertemu kengkawan terutama Ustaz Nazri.

Jam 2 petang tadi aku sepatutnya menghadiri usrah, tetapi aku tidak hadir pula (maaf ye Ustaz Adha, harap memahami aku).

Hebat tak hebat, kerbau Mansurah yang beberapa inci lebih tinggi daripada aku boleh menyusur mencelah di antara keributan manusia di pasar. Dengan badan sebesar 2000 orang yang kenyang (kalau buat kenduri), tidak ragu-ragu tuannya membiarkannya bersendirian di depan. ( moral: kalau kita dipercayai, tak perlukan tali pun kita boleh berjalan lurus. Soalnya, bolehkan kita dipercayai?)

Sedih juga petang tadi aku tidak dapat ke Talha, tidak berpeluang nampaknya menjengah Antara. Hendak buat macam mana, aku keletihan berpuasa kafarah kali kedua. Akhirnya berbuka seorang diri. (hendak buat macam mana, aku seorang sahaja di sini. Ada sesiapa nak temankan?)

Aku dipelawa menjadi ketua editor SUKEJ. Aku? Maaflah, kalau rakan penulis muda tahu ( amli, syiba, salha, omar dll) tentu diragui kebolehanku. Lihat sahaja berapa banyak kesalahan aku dalam penulisan. Aku lebih senang menjadi penulis bebas, bagi sahaja pada Ustaz Zairol, aku pula menolong dari belakang. ( yang pelik, ada yang pandai menulis, tapi tak mahu menulis dalam sukej. biarpun kita dah tahun 4 , siap sedia nak balik, tapi baru sebentar di sini kan?. Muadalah pun boleh juga terjun dalam sukej).

salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

p/s: sangka hendak terjun ke dunia penulisan mansurah, tetapi nampak macam tiada ruang je

Lepaknya

Usai solat subuh, aku terbongkang keletihan lepak tersadai di atas katil kawan ( kerana katil sendiri penuh beg, baju dan buku yang belum dikemaskan) lantaran malam tadi sengkang mata pakat-pakat berjuang tepis lena sebelum subuh tiba, akhirnya celik mata sedar-sedar sudah jam sebelas pagi.

Sekali lagi aku tinggal sendirian kerana kawan-kawan pergi program multaqa ulama'. Aku pula yang baru sahaja jumpa jam malam tadi malu hendak pergi, takut-tajut terserempak Salha (kerana biasanya akhawat kenal ikhwah, cuma kita yang tidak kenal mereka). Atau itu cuma alasan yang mengganti diri yang lena jauh ke alam mimpi sendiri. ( salha adalah salah seorang rakan penulis di Mansurah)

Kafarah puasa sambil niat sunat Isnin-Khamis buat perut yang lapar hantar isyarat pada mata suruh pejam lepas Zuhor jejaki asar setelah puas keliling Audullah cari sabun, gula, mi dan barang dapur. ( Audullah nama pasaraya).

Selepas asar, dari atas balakon tonton akhawat bebaju kurung ungu gelap sepadan dengan tudung ungu muda berjalan lenggang-lenggok di sebelah teman yang berbaju kurung merah gelap dengan tudung warna pich. (betul ke ejanya macam tu?). Si teman tolong sahabatnya tarik tudung yang disingkap angin naik ke atas kepala dedah belakang badan yang gempal, nasib baik tidak nampak leher. ( Astagfirullah, itu pun kira aurat juga).

Hendak buat macam mana, tiada bini buat aku terpaksa dalam rela pegang pisau hiris bawang, kentang, kobis, tetapi lupa pula hendak potong tomato. Sayur goreng ala bujang la katakan yang masin takut disalahsangka tak sabar-sabar nak kahwin, (berdasarkan pepatah orang tua: anak dara kalau masak masin sangat orang kata khayal nak kahwin). Berbuka lewat sebab tak dengar azan (sebab terlalu asyik masak).

Dengar cerita saudari Almarjan berjaya tembus cetakan Tunas Cipta, aku ucap tahniah dari Mansurah. Saudara Amli pula berkobar-kobar setelah pulang daripada KIU ( mungkin dia tegur aku yang tidak ke program itu, maaflah Amli.) Aku tiba-tiba rasa segan hendak ke Adabuna, malu hendak berdepan dengan semua (walaupun cuma dalam tulisan) lebih-lebih lagi aku tidak ikut KIU atas sebab-sebab aku sendiri ( Moral: Alasan hanya akan menyatakan bahawa kita benar-benar bersalah).

Salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

p/s: tahniah sekali lagi untuk saudari Almarjan, walaupun anda tidak membaca jurnal ini.

Thursday, September 02, 2004

so sumpek

Berseorangan pagi tadi buat aku capai kitab telaah mana yang mampu sebelum mata terlelap beberapa kali. Tukar dari kati ke kerusi, kalih kanan kiri dan teman belum pulang lagi. Malam tadi aku dihadang pintu tak dapat masuk kerana kawan sudah belayar di alam mimpi. Menyesal tak minta kunci sebelum keluar, akibatnya tekan loceng ketuk pintu sambil bimbang kalau-kalau rebusan keledek jadi arang ( sebab minta kawan padam api. Aku nak ke cc. takut dia lupa dan terus lena). Hampir-hampir aku bertugas jadi bawwab malam tu, kawan terjaga setelah 30 minit kau mencuba. ( Moral: Gantung harap sentiasa pada Tuhan)

Sebelum Zohor menjengah aku yang tiada jam ini, pintu disapa loceng Hawa Mansurah. Nak beli beras lah tu. Akalku menduga. Kan belum sampai masanya, tetapi suara itu hanya naik ke tekak dan turun semula ke dada tambah getar jantung gerak lebih pantas daripada biasa. Hulur sumpek ambil duit dan kembali ke bilik capai Pijar Kinanah. Saudara Nazmi suka sangat tulis cerpen panjang buat masa overlimit dok syok baca khayal zuhor dah tiba akhirnya.

Petang ini tinjau pasar sebelum beli tomato, bawang, kentang dan kubis. Lobak susah nak jumpa, tetapi akhirnya makan tengahari lauk daging juga ( bukan makan tengahari, sepatutnya makan petang).

Patutnya aku berada di KAHERAH ikuti KIU kali terakhir tetapi aku ponteng sengaja, (maaf ye kalau ada yang tersinggung). Kenapa? Anggaplah yang baik, aku ada kerja (moral: berlatih husnuz zan). Ataupun aku boleh je jumpa Amiza di markaz (kalau ikhwah dibenarkan ikut. Rasanya itu program umum utuk ikhwah akhawat), tetapi aku terpenjara di rumah kerana tiada kunci, kalau keluar nanti siapa pula akan buka pintu bila aku balik.( mungkin itu cuma alasan. Cakap segan kan senang) Moral; Kalau malu segan perut yang lapar akan kebuluran.

Maghrib ikut kawan tengok tv yang baru rancang nak beli (bukan duit aku. Aku bukan berduit sangat). Siap dengan pemain cd, meriahlah rumah baru aku ini nanti. Kata Mansurah ada program pagi esok, multaqa' ulama? Salha mesti tahu, atau dia sudah berada di kaherah jam ini.

Alamak, perut dah lapar. Kalau dapat jamah Khawasyi panas tengah malam buta begini tentu sedap. baiklah kengkawan, salam jumpa lagi.

salam dari pembaris_kecil
ps: Sihat semua?

Wednesday, September 01, 2004

Terlalu Banyak

Dalam sedetik bergelumang dengan kitab-kitab thurath di sini yang agak murah, si tangan yang mengangkat mengadu letih kepada si kaki yang melangkah. Mengapa aku ke sini? Ada hal peribadi yang perlu diselesaikan. Mungkin lebih mudah kalau aku katakan, aku membuat liputan dari sini!

Aku teringin menghirup udara pagi Mansurah di setiap awal pagi beberapa bulan ini. Tidak ke kuliah? Bagaimana aku harus jawab. Insya Allah, mesti, walaupun sedikit.

Dengar berita Mansurah hendak buat Pilihanraya. Sekali dengan Mesyuarat Agung katanya. Dan aku harap, tahun ini ada kempen. Boleh kumuatkan di ruang ekslusif di Warta. Tapi biasanya pelajar kita tidak menjamah kempen. Semua lebih suka merendah diri.

Seronok juga merentas Maghrib tadi ke Tallagah, apabila pulang menyusur kubri. Tambah lagi petang tadi lihat jual beli pasar hari tepi rumah, menonton dari atas. Walau sedikit serabut kemas bilik, susun buku, dan baju aku, masih lagi di dalam beg. Apapun, bila terlihat Pijar Kinanah, aku bergegas buka selak helaian cari tulisan Saudara Nazmi. Dalam selongkar kotak lama jumpa Persediaan Menulis Cerpen, namun sempat baca sedikit sebelum pening mula bertandang.

Aku dengar semalam ' Aku Dan Onn' menang sajak. Teringin juga mendengar sajak dia, sebab aku tidak sempat dengar hari itu. Tetapi aku percaya, 'Aku dan Onn' memang hebat dalam sajak menyajak ini. Aku cuma wartawan yang lepas sajak lari ke rumah Negeri 9 buat liputan pasal tahfiz petang itu. Kemudian ke Pejabat PMRAM selesai temuramah Ustaz Fakherei lepas Maghrib. Kepenatan, lari pulang Rumah Johor gopoh gapah hadiri Muhasabah SUKEJ. Tepat jam 11, aku sudah sampai ke Asyir siap sedia untuk Bazaar esok harinya. Sempatlah berkemas dan angkat dua tong gas malam itu sebelum tersadai kepenatan.

Itu cerita dulu. Apa cerita rakan Abaduna waktu ini. Sedang menulis? Rindu pula pada kalian semua.

salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

Tuesday, August 31, 2004

Mansurah atau Merdeka

Sejejak kaki ke bumi Mansurah, hujung kasut kiriku sudah dijilat lumpur Utubis Gadid, mencari mahmul. Kali ini aku menjejakkan kaki buat ketiga kali. Sepanjang perjalanan entah berapa kenangan menerpa membariskan senyuman di khayalan sendiri. Aku hampir-hampir berkata, aku bagai menemui makna bagi kalimah cerpen.

Sekali lagi, merdeka tidak kusambut. Bukan lupa erti perjuangan, bukan lupa tarikh keramat. Mungkn aku lebih terkesan kata guru, " Terlalu gembira tidak normal, begitu juga terlalu sedih. Orang yang normal adalah orang yang tenang".

Jurnal ini ku isi buat kedua kali. Mungkin tiada apa yang istimewa. Oleh itu jangan dibanding dengan yang pakar. Mungkin untuk mula ini cukup kadar aku melayan kehendak diri yang mahu mencuba.

Apa cerita Kaherah sekarang ini? Aku tidak tahu. Jadualnya semacam penuh dengan nasyid berselangselikan tilawah. Itu pagi tadi. Malam ini? Bacaan doa selamat? Dengarnya ada persembahan sajak daripada johan. Sajak aku tidak mencapai tangga itu nampaknya, tiada markah untuk persembahan yang kaku dan bersahaja. Agakku.

Apapun, aku mula merindu 'isteri' yang ku tinggal di bilik syaqqah satu. Subu'. Amli tahu rasanya. Sudah ku balut ia di dalam kotak, seperti aku membalut kehendak memacu kaki ke bumi yang 'bunganya lebih kuntum daripada kumbangnya' ini.

Mungkin aku akan lama di sini. Melayan beras yang meminta di isi ke dalam syantoh. 3 Kilo? Aku bukan zaki beras, tetapi masih tetap terus adalah al_jantanie.

jumpa lain kali,
salam dari pembaris_kecil

Monday, August 30, 2004

Langkah Pertama

Assalamualaikum, salam sastera ilmu.
Mungkin inilah yang dikatakan percubaan. Mencuba dalam keadaan tidak tahu apa-apa. Tidak tahu hasilnya bagaimana. Langkah pertama. Mungkin langkah pertama inilah tatih, bila pula akan mampu berlari?

Teringat tiba-tiba, nama baru aku. pembaris_kecil. Untuknya kukarang satu sajak yang masih belum sempurna.

Aku Cuma Si Kecil
Yang Entah Bila Akan Besar.

Aku Cuma Si Kecil,
Melangkah tidak jauh,
Melompat tidak tinggi,
Berlari tidak laju,
Tetapi kecilku,
Kecil Tapak Tangan,
Nyiru aku tadahkan.

Esok aku akan menjejak kaki ke bumi Mansurah. Dengar khabar, di sana Saudara Amiza akan bertandang. Tetapi tandangku bukan kerana itu, ada hal peribadi yang harus aku selesaikan. Terasa bagai melarikan diri, kerana PMHK belum tamat. Saudara Amli menarik tanganku, katanya, " Sabarlah sebentar. Tunggu sehingga 1 haribulan". Fahamku tidak menolak kebenaran itu, tetapi jiwaku sudah lama tiba di Mansurah, hanya tinggal batang tubuh yang bakal melangkah.

Apapun, inilah hasil pertama aku.
pembaris_kecil
ibn_nur al_jantanie