Friday, November 19, 2004

Selamat Hari Raya

Orang kata, raya dan cuti satu sinonim dari segi laksana. Dan saya pula nak 'cuti' sebentar daripada pergi cc. Bukan apa, peperiksaan sudah dekat, dan kitab juga amanah perlu dilangsai sebaiknya. Tidak pasti adakah catatan harian akan dibuat, mungkin tidak.

Jadi bila akan ke cc lagi?

Mungkin pertengahan bulan 1 kot. Sekarang mahu sibukkan diri telaah kitab. Banyak lagi yang belum dihabisi. Tak tahulah kalau saya ke cc juga selepas ini. Cuma ini niat saya sejak akhir-akhir ini.

Mengapa lama tidak mengisi jurnal?

Saya jatuh sakit baru-baru ini. Beberapa hari. Dari pening-pening lalat bertukar menjadi demam, merebak menjadi batuk dan sakit tekak. Semakin melarat sehingga tengkuk sakit dan tidak boleh dipusing. Jadi patung beberapa ketika. Akhirnya, setelah sembuh, asma datang menyerang pula. Dan saya harap dan berdoa agar sembuh semula.

Selamat Hari Raya semua pengunjung 'jurnal al_jantanie'. Saya akan kembali memeriahkan jurnal ini nanti. Dengan izin Allah.

salam sastera ilmu.
al_jantanie

ps: Madah kali ni 8, ada yang sampai 2 kitab tu.

Friday, November 12, 2004

Tarbiah Ramaadhan – Sebuah Catatan 12 Nov

Tarbiah Ramaadhan – sebuah catatan 12 nov

Sebenarnya, saya rasa sedikit sedih sepanjang bulan Ramadhan ini berlangsung. Saya teringin untuk memberi tazkirah, dan peluang itu tidak sekali pun tiba Ramadhan ini. Bukan itu sahaja, tidak disenaraikan menjadi Imam mahupun bilal walaupun sekali, sedangkan ada nama yang berulang kali menjadi imam, berulang kali menjadi bilal, dan berulang kali juga memberi tazkirah.

Bukan maksud saya dipinggirkan dengan keadaan yang semacam rupa, tetapi betapa saya teringin melatih diri dalam bidang pengucapan, dan tazkirah bagai sesuatu lapangan perdana, dan saya tidak menjamahnya. Pelik bukan, setiap kali perkara itu berlaku, dan setiap kali itu jugalah idea berkepuk-kepuk dan menanti limpah ke mikrofon. Tetapi, suara hati itu hanya mampu bertazkirah di dalam benak, dan akhirnya kian padam. Apa yang saya rasa? Rasa tak mahu berucap, dan mendiamkan diri, kalau boleh sepanjang tahun. Sebaliknya mencurahkan ke dalam penulisan yang saya sedang mahiri diri.

Mungkin juga setiap kali saya memegang mikrofon, dan setiap kali itu juga ada muka yang menjadi merah kena tegur, atau hati yang malu kena sindir, tetapi betapa saya teringin membuka pemikiran semua orang daripada asyik mengucapkan perkara yang sama di setiap kali tazkirah Ramadhan, sebaliknya mengubah persepsi mereka bahawa lapangan yang luas ini boleh dipelbagaikan aspek dan focus penyampaiannya. Dan segala perucapan dan ide itu tersekat di hati, dan turun melalui hujung jari ke papan kekunci komputer ini.

Betapa dalam keadaan yang sama, saya belajar menjadi pendengar. Tidak dapat berucap dan dilatih menjadi pendengar, mungkin itulah tarbiah Ramadhan bagi saya. Asyik bercakap tidak menjanjikan sesuatu yang baru, tetapi terpaksa berdiam barulah menjadi satu pengalaman baru dalam dunia pengucapan umum ini. Bak kata saya sebelum ini, seorang ketua haruslah belajar mendengar dan belajar mengurangkan cakap.

Saya kadang-kala takut dengan perangai saya yang semacam itu. Takut satu hari nanti saya diminta membuat pengucapan umum dan seorang lagi yang seperti saya wujud dan memendam perasaan untuk berucap di kala itu. Betapa takdir dan ketentuan Tuhan Maha Luas, terbentang antara langit dan bumi, dan juga melimpah ke segala ciptaanNya. Kita sahaja yang lupa.

Entah. Saya kurang pasti dengan apa yang saya rasa. Sedih atau bernasib baik, saya tidak pasti. Tetapi yang pastinya, saya patut bersyukur melalui tarbiah Ramadhan kali ini – Belajar Mendengar – dan saya teringin bertanya kepada anda semua : Apakah tarbiah Ramadhan kepada anda tahun ini?

al_jantanie
pembaris_kecil

Ps: Ramadhan, saya belum melayanimu dengan begitu baik tahun ini. Maaf. Semoga berjumpa lagi tahun hadapan.

Wednesday, November 10, 2004

Yang Pertama Bukan Ilmu – Sebuah Catatan 10 Nov

Yang pertama bukan ilmu – sebuah catatan 10 nov

Saya ditanya sahabat-sahabat baru : Mengapa mengapa mereka perlu menghadiri Kolokium Ilmuan pada hari rabu ini? Apa yang ada dalam kolokium itu?

Ketika soalan yang sama itu ditanyakan kepada seorang exco, dia menjawab secara tersiratnya - kolokium ilmuan itu adalah lapangan penimbaan ilmu yang tidak mungkin boleh didapati di dada muhadarah kuliah atau di bibir talaki, kerana ia adalah satu medium pembentukan daie. Satu program yang pengisiannya hanya di sini, di program itu. Mungkin itu jugalah jawapan yang saya dengar tahun lepas, dan mungkin juga adalah jawapan yang didengar oleh orang-orang sebelum saya, di tahun-tahun sebelumnya.

Tetapi apa yang saya katakan kepada mahasiswa baru itu? Yang pertama bukan ilmu.
Mereka bertanya : Kalau bukan ilmu, apa dia?

Saya menyedari bahawa kolokium itu adalah satu pembentangan ilmiah, tetapi menghadiri kolokium bagi saya – yang pertama bukan ilmu.

Di dalam kelas dahulu saya kerap tertidur, begitu juga dalam muhadarah di kuliah, hinggakan terbawa-bawa ke majlis yang rasmi. Ilmu? Antara terpaku di dalam kitab atau terlepas naik menyapa gegendang telinga sebelum memantul semula keluar – gagal ditangkap oleh akal yang sedang lena. Beruntunglah akal yang jaga.

Jadi, apa perkara pertama dalam kolokium?

Bagi saya, yang pertama adalah ukhuwah. Dapat berkenalan dengan sahabat-sahabat baru daripada pelbagai negeri dan mengalami keseronokan berukhuwah sesama muslim. Itu semua pengalaman yang tidak dapat disebut, tetapi tersirat di antara fahamnya kita setelah hadir, atau masih kabur kerana menuzurkan diri.

Sekiranya mereka katakan menghadiri kolokium – yang pertama kerana ilmu, sudah tentu saya katakan setelah itu, banyak dan ramai orang yang tidak hadir kerana mereka juga sedang dalam penuntutan ilmu. Malah, ia juga perkara pertama bagi mereka.

Apa pendapat anda?

salam sastera ilmu
al_jantanie

Monday, November 08, 2004

X dan Z - Suatu Catatan Di 8 Nov

Sebuah cerita di suatu masa...

X : Apa urusan awak?

Z : Saya nak cop pengesahan salinan sijil.

X : Untuk apa?

Z : Buat permohonan zakat.

( Sebatang tangan menghulur kepada sebatang tangan yang menyambut )

X : Awak tahu, orang datang Mesir bukan nak belajar. Dia nak kerja. Nak berniaga. Mesir bukan tempat belajar.

( Z senyum sahaja )

X : SPM awak bagus. 7 A. Kenapa datang Mesir?

Z : Saya minat bahasa Arab.

X : Heh.

( X tarik muka perlekeh tiga ribu )

X : Kenapa tak mohon Tibb?

Z : Saya tak ambil Fizik, Kimia, Biologi.

( X pandang matematik tambahan dan sangka Y adalah daripada sekolah Sains.)

X : Awak tahun berapa sekarang?

Z : Baru naik tahun dua.

X : Dua?

( X tarik muka tidak senang.)

X : Bila awak sampai Mesir?

Z : Tahun lepas.

X : Macam mana natijah baru ni?

Z : Bawa dua madah.

X : Tengok tu. Orang pandai-pandai datang Mesir macam ni. Bukan nak belajar.

( Z senyum sahaja sambil hulur tangan menyambut salinan sijil yang selesai dicop sah.)

salam sastera ilmu
al_jantanie

Sunday, November 07, 2004

Ustaz Ahmad Hashim Yang Saya Kenali.

Ustaz Ahmad Hashim yang saya kenali.

Sejenak ketika saya sedang meraikan setahun keberadaan saya di Mesir, di tanah air pula merakamkan pemergian seorang guru yang saya hormati. Al-Marhum Ustaz Ahmad Hashim, tokoh lama SMAKJ.

Beberapa tahun belajar di bawah tunjuk ajar beliau banyak mencelikkan mata. Mata pelajaran Saraf, Insya' menyedarkan saya ilmuan ini bukan orang yang calang-calang. Beliau tekun mengupas beberapa isu berkenaan pelajaran yang memerlukan daya kritis dan kritik atas dasar ilmu. Walaupun sedikit debat dan saling pindah ilmu berlaku, ia tidak memadamkan rasa kagum saya sehingga ke hari ini.

Beliau pernah membincangkan tentang perkataan Allahyarham dan Allahyarhamah. Kata beliau, perkataan itu berasal daripada ayat, dan memuannaskan ayat tidak semudah meletak ta marbutah. Namun setelah perbincangan dibuat, ia boleh terjadi sekiranya ayat itu diiktiraf pula sebagai isim, dan memuannaskan isim memadai dengan meletakkan ta marbutah tadi. Dengan syarat yang saya sebutkan tadi + alif lam.

Mengkritik isu semasa sambil bercerita pengalaman seusia hidupnya sepanjang pengajian berlangsung sering membuatkan kelas segar. Saya juga turut serta membuat penilaian berdasarkan pengetahuan sejagung ilmu bagi membentuk cekal dalam budaya kritik sopan ini. Saya akui, adakalanya selisih pendapat berlaku atas dasar pandangan yang berbeza, namun pandangan beliau tetap saya hormati sebagai tokoh yang mempunyai tahap kepekaan yang tinggi.

Teringat seketika di saat saya tidur di dalam kelas (hingga dinobatkan orang yang paling kuat tidur dalam sekolah) saya disuruh Almarhum supaya berdiri. Saya yang ketika itu duduk di bangku paling hadapan telah mengganggu penglihatan rakan-rakan di belakang kerana denda yang saya jalani itu. Saya diperintah pula ke bangku paling belakang. Mungkin setelah beberapa ketika Almarhum melihat saya berdiri dan beliau berasa kasihan, saya diberi duduk di kerusi belakang itulah. Malu, saya tidur buat kesekian kali.

Yang pasti, SMAKJ telah kehilangan seorang yang paling berbakat dalam dunia masakan.
Berita pemergian beliau lewat saya ketahui. Saya yang pada ketika itu tidak ke cyber café kerana sibuk dengan urusan ketibaan pelajar baru juga urusan kuliah fasa awal tahun 2 tidak mendapat berita ini lebih awal. Namun setelah memeriksa di kantong offline message saya terima perkhabaran itu daripada Ustaz Fuad.

Sekalung Al-Fatehah dihadiahkan buat Al-Marhum, semoga beliau kekal dicucuri rahmat. Al-fatehah…

al_jantanie
pembaris_kecil

ps: tetap dalam ingatan

Saturday, November 06, 2004

Mengapa Terlalu Ramai Pecinta?

Mengapa terlalu ramai pecinta? Sebuah catatan 6 hb nov

Bukan maksud tulisan ini untuk menafikan kepentingan suatu pihak, tetapi mempersoalkan bilangan kewujudan golongan jenis ini. Mengapa terlalu ramai pecinta? Persoalan yang bukan persoalan. (Lebih kepada mempersoal @ menafikan )

Sedar atau tidak, terlalu ramai antara kita yang menjadi pecinta, mengutamakan perasaan diri, lalu bertindak seolah-olah hanya dia sahaja yang mempunyai perasaan di dalam dunia ini. Lupakah bahawa terlalu kurang yang menjadi pemikir yang mencari jalan keluar dalam sesuatu masalah.

Kita berdepan dengan suatu yang menyakitkan hati, lalu menjadi pecinta yang menyatakan ' aku ada perasaan ' dan bertindak berdasarkan perasaan diri semata-mata. Mengapa tidak menjadi pemikir yang menyelesaikan? Mencari sebab? Akhirnya semua lari kerana 'cinta' itu dan yang tinggal ialah permasalahan yang belum dilangsaikan.

Saya pernah melalui pengalaman ini, dan ingin mengongsikan kepada semua. Sekiranya mereka menjadi pemikir, lalu katakan kepada semua yang hadir : Mengapa perkara ini berlaku? – nescaya jalan penyelesaian itu telah bermula. Tetapi apa yang kita lakukan? Komen, kritik dan taklik, semuanya menghentam ketidakpatutan sesuatu perkara, atau sekiranya lebih sopan, diam dan cakap belakang mengkritik juga. Di mana kesudahannya?

Tidak dinafikan, masalah akan timbul dan berkemungkinan akan berterusan. Malangnya orang-orang seperti kita tidak cuba memikirkan mengapa ia berlaku – sebaliknya lebih mengutamakan perasaan kita sendiri, terbawa-bawa menjadi pecinta yang romantik dengan hatinya. Hati-hati.

Mungkin benar seorang yang kita komen itu bersalah, dengan segala hujah dalil dan sebagainya, namun mengapa tidak menjadi pemikir yang menyelesaikan masalah, sebaliknya menjadi pecinta yang mengutamakan hati sendiri. "Ini tidak patut, itu tidak boleh."

Renungkan hal ini dan tanyakan pada diri, ' berapa kali aku menjadi pecinta hari ini?'

al_jantanie
pembaris_kecil

Friday, November 05, 2004

Saya Masih Mencari Puncanya

Catatan malam minggu – 4 okt

Entah mengapa saya merasa tidak berapa senang malam ini. Mengerekot ke sana dan meliut-lintuk ke sini, berguling-guling dan resah semacam. Demam? Minta dijauhkan. Badan tidak panas tidak sejuk, semua selesa. Cuma hati yang rasa itu dan ini tanpa tahu apa puncanya. Mungkin makan banyak hingga perut rasa tidak selesa. Berpeluh-peluh dan badan rasa rimas dan panas. Hendak mandi? Tidak. Cuma hati terasa bagai melonjak-lonjak dan badan tidak mampu berbuat apa-apa.

Mungkin kerana hajat hendak membaca kitab terbantut dek suasana yang membelenggu. Rasa terikat sedang langkah bebas berbuat apa sahaja. Pelik bukan? Dan saya masih tercari-cari mana punca masalahnya. Yang pasti semacam ada pertentangan dalam diri – satu melonjak-lonjak cergas dan memberontak, sedang yang satu lagi bagai lemah layu sayu dan tidak bermaya. Saya bingung, apa dia yang sebenarnya?

Garu kepala dan baring sambil bergolek-golek ke kanan kiri, bergulung-gulung dalam lihaf dan mengkurakan kepala di bawah bantal. Campak semua dan bangkit berdiri, mahu ke mana pula? Apa ini dan itu, saya masih tercari-cari. Hati sungguh rasa lain malam ini. Nafas turun naik tidak sekencang mana, Cuma terasa dalam nafas yang turun naik itu ada beban yang dibawa sama mengikut nafas yang ditarik, kemudian memberatkan nafas yang dihembus. Ah, persetankan semua dan buat tidak tahu sahaja, hati saya berbisik.
Saya masih tercari-cari puncanya.

al_jantanie
pembaris_kecil

Thursday, November 04, 2004

Maidah Rahman

Catatan 4 Okt

Saya bersama Taufiq Sanusi sejak pagi tadi. Pergi ke Arma untuk cop pengesahan salinan sijil di Jabatan Penuntut, terus ke kuliah Lughah membeli beberapa kitab kuliah sebelum ke Masjid Hussin. Empat buah semuanya. Dua kitab maajim, satu kitab adab, dan satu kitab Saraf. Dengan itu, selesailah semua kitab bagi fasa awal telah selamat keluar dan telah dapat saya beli.
Saya mengesahkan salinan sijil bagi urusan permohonan zakat. Nampaknya, segala urusan telah hampir selesai, hanya menanti untuk menyerahkannya kepada mas'ul untuk tindakan selanjutnya. (Dapat atau tidak – doa sahaja pada Tuhan).

Sedikit kepenatan apabila pulang daripada kuliah.( Saya menggunakan perkataan kuliah bukan muhadarah kerana saya tidak masuk muhadarah hari ini @ lughah cuti hari khamis) Ada pemurah yang tabarruq hari ini. Arab dan sekeluarga. Sebungkus makanan setiap seorang. Rubu' Firah , dua keping eiysh, nasi mashwi dan lain-lain lagi yang saya tak berapa pasti namanya. Apapun, saya telah berpakat dengan Taufiq Sanusi hendak berbuka di maidah rahman.

Menjejak ke jam 4, Ustaz Ismail Mustari, lepasan Al-Azhar dengan kepujian dalam Kuliah Dakwah tahun 1993 datang hendak bergambar dengan kami. Katanya hendak dimuatkan dalam Warta Johor. Ramai-ramai turun dan beratur di hadapan dinding pagar Rumah Johor – merakam kewujudan mahasiswa Johor di sini. Giliran ikhwah telah selesai. Sementara menanti akhawat turun untuk bergambar pula, saya telah memulakan langkah bersama Taufiq menuju ke Majid Bulat (Kami menggelarnya masjid bulat kerana bentuknya bulat). Malangnya di situ tiada kain rentang menyatakan adanya maidah rahman disediakan.

Kami menuju ke Masjid Apollo berhampiran Baby ( Orang Arab memanggilnya dengan bacaan 'Babai' ) Saya dan Taufiq solat Tahiyyatul Masjid dan mencari di mana maidah rahman di agih-agihan. Segera ke tempat ambil wuduk mengambil bungkusan Kusyairi dan sebiji limau Abu Surrah. Kami duduk di bahagian belakang menanti Maghrib tiba. Beberapa minit sebelum azan, air susu dan kurma di agih-agihkan pula. Kami beratur mengambil bahagian masing-masing.

Maghrib pun tiba. Selesai buka dan solat Maghrib beserta Awwabinnya, kami mengatur langkah pulang. Tiba di syaqqah, saya membuka bungkusan tabarruq yang dihadiahkan oleh sekeluarga arab petang tadi. Makan hingga kenyang, akhirnya mengantuk ketika sesi tazkirah diadakan. (sesi tazkirah berlangsung selepas salam kedua, sebelum masuk solat tarawih yang seterusnya – sebenarnya bukan mengantuk tetapi tidur lena)

Apapun saya sangat gembira kerana telah berbuka di maidah rahman kali pertama untuk tahun ini. Tahun lepas setakat berbuka di Jamie Azhar . Bukan saya tidak mahu berbuka di Maidah Rahman sebelum ini, tetapi saya terbayang Arab yang berebut-rebut, semuanya faqir dan miskin, sedangkan saya mampu makan di rumah (Tidak elok berebut hak orang yang miskin) Saya membatalkan niat maka di situ sejak dulu, tetapi mengenangkan keinginan mendapat pengalaman berbuka maidah rahman, saya ajak Taufiq, dan segalanya tidak seperti yang saya bayangkan; masing-masing dapat makanan dan berbuka dengan rezeki yang telah Allah tetapkan. Yang pasti, saya sangat kenyang dan mata berasa sangat mengantuk!

al_jantanie
pembaris_kecil

Wednesday, November 03, 2004

Bas Yang Mana Satu?

Saya ke safarah ( Kedutaan ) Malaysia hari ini. Menaiki bas 959 hendak ke simpang luar sabie', berhampiran dengan masjid nuri dan kuliah banat, rupanya bas berkenaan membelok kanan sebaik sahaja tiba di simpang abbas akkad .Firasat saya bas ini akan membelok menuju ke hadiqah dauli. Tetapi sekali lagi sangkaan saya meleset. Bas itu tidak membelok ke hadiqah sebaliknya meneruskan perjalanan ke abbas. (Moral : Ringankan mulut kalau tidak mahu sesat jalan). Saya bertanya Arab hala tuju bas itu. Bas itu akhirnya sampai di simpang syubrawi. Senang hati. Gerak hati saya bas itu akan terus ke simpang luar sabie' berhampiran masjid nuri dan kuliah banat, kawasan matlamat saya sebelum ini. Dan kawasan itu akan dijejak dalam seminit dua lagi. Malangnya sekali lagi gerak hati saya tidak bertepatan dengan apa yang berlaku. Bas itu secara tiba-tiba membalik arah meneruskan perjalanan ke sabie. Saya dengan segera turun mengelakkan tersasar lebih jauh.

Saya menanti di situ bas untuk ke safarah. Bas 359 di syubrawi itulah. 5 minit kemudian bas tersebut tiba dan saya pun naiklah.

Ketika pulang dari Safarah pula saya menanti di tempat biasa sambil memerhati bas yang lalu lalang. Saat itulah bas 600 lalu. Bas 600 itu malalui hadapan Rumah Johor selama ini, dan selama itulah saya hanya memerhati dan membiarkan bas itu lalu dan tidak diketahui arah dan hala tujunya.

Saya mendapati beberapa pengajaran daripada peristiwa ini – ada baiknya mencuba bas yang melalui hadapan kawasan rumah, mana tahu bas itu boleh dimanfaatkan (sebab bas 600 tu tambangnya cuma 75 sen, jauh lebih murah kalau dibandingkan dengan bas 359 yang mengambil tambang 2 genih. Tak masuk belanja untuk ke sabie')

Dan selepas ini bolehlah jimatkan kos ke Safarah Malaysia dengan menaiki bas itu.( itupun kalau mahu sebab bas itu tiada air cond). Tidak hanya mengharap bas 359 semata-mata untuk pulang ke rumah, kerana bas 600 itu akan terus sampai ke hadapan rumah Johor. Dari satu segi lebih baik kerana sampai terus ke rumah tanpa perlu bertukar bas. Juga saya dapat mengetahui arah perjalanan bas 959 yang selama ini pada sangkaan saya menuju terus ke sabie', padahal ia membelok ke abbas sebelum menuju ke syubrawi. Saya juga mendapati, bas 959 ini boleh dimanfaatkan bagi sesiapa yang ingin ke Rumah Perak atau Penang, dan perlu turun di Ezz Al-Arab, nama sebuah kedai kereta.

Saya juga mendapati satu tempat yang selama ini hanya didengar di perkhabaran sahaja. Pusat Bowling Kaherah. Kalau tidak salah. Itu juga didapati dalam tempoh awal perjalanan setelah bas membelok ke kiri berhampiran flight over di kuliah tibb.

salam sastera ilmu
pembaris_kecil

Berehat

Terasa saya ingin berehat sebentar atas sebab peribadi. Nantikan saya dengan hasil catatan yang baru kelak.

salam sastera ilmu,
pembaris_kecil

ps: ada sedikit urusan, teruskan bersama al_jantanie

Monday, November 01, 2004

Tanggungjawab Warisan Yang Semakin Dilupakan.

Tanggungjawab warisan yang semakin dilupakan.

---Satu taklikan kepada ketibaan mahasiswa baru ---

Buat beberapa ketika saya termenung dan memikirkan keadaan diri. Dilantik menjadi musyrif Syaqqah 8 menyediakan saya berdepan dengan kewajipan warisan. Warisan orang dulu dalam membantu mengurus @ mempermudah kehidupan mahasiswa baru. Warisan yang ditinggalkan kepada mahasiswa sekarang. Daripada barang dapur hinggalah ke urusan kuliah, kepada sayalah semua soalan itu akan ditujukan. Apa yang membuatkan saya termenung bukan apa, tetapi kerjasama daripada rakan seangkatan yang lain, yang telah lama berada di sini, untuk sama-sama membantu memudahkan urusan itu.

Ada waktunya, timbunan permintaan yang menggunung di galaskan secara mendadak ke pundak, lalu lutut terasa lemah dan mahu menolak permintaan mereka itu. Apalagi kalau meminta dengan bahasa yang kurang enak dan seolah-olah mendesak, bertambah berat rasa menanggungnya. Mahu sahaja ucapkan : Buatlah sendiri @ Tanyalah orang lain @ kat depan tu je @ nanti enta tahulah @ benda ini ada mas'ulnya (orang yang bertanggungjawab) – tetapi semua itu tersekat di lubuk hati dan diterjemah ke lidah untuk mengucapkan, insya Allah ana cuba.

Akan tetapi, betapa saya terkadang duduk dan memikirkan, alangkah seronoknya saat saya merenung dan memerhati gelagat mahasiswa baru ini - melonjak gembira apabila nama muqayyad @ dapat pergi ke kuliah dan pengalaman menaiki bas yang semestinya jauh berbeza dengan situasi Malaysia @ dapat keluar (saya bawa keluar atau jalan sendiri) apabila tempoh kuarantin tamat – sudah pastinya ia memerlukan usaha dan kerjasama daripada seorang yang dipertanggungjawabkan menjadi musyrif.

Membawa ke kedai sambil menunjukkan cara membeli barang, pergi ke Kuliah Tibb untuk mencari nama yang sudah diterima masuk ke Universiti, juga menjawab berjuta persoalan melelahkan sedikit hayunan langkah, mencungapkan tarik-hembus nafas, melenguh-sakitkan badan sambil tertanya-tanya; di mana saya akan tidur malam ini? (Bilik terlalu penuh sebelum urusan tauzik pelajar ke muhafazah) Apapun, inilah tanggungjawab warisan yang dibiarkan, kerana pernah beban itu semacam menjadi bara persoalan yang tidak berjawab - memilih sama ada ia akan padam menjadi redha; atau marak menjadi dendam. Saya berazam Ramadhan ini mahu menghilangkan bara itu semuanya.

Tetapi, hakikat yang sebenarnya, tanggungjawab ini buan terhad semata kepada mahasiswa baru sahaja. Apa pula pendapat anda?

al_jantanie
pembaris_kecil

ps: semua kena tolong