Thursday, June 30, 2005

Tahniah Faisal

(Ini catatan lama, saya terabai dan tertinggal untuk diupload. Sebuah catatan belasan jun)

Kalau anda tidak berasa marah, saya tidak tahu. Tetapi, saya terasa betul-betul tercabar. Faisal Tehrani memenangi dua hadiah pertama dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004. Tempat pertama dengan tajuk Advencer Si Peniup Ney, dan tempat kedua dengan tajuk Detektif Indigo.

Saya melangkah pantas ke Rumah Kelantan, mahu talaki novel dengan Saudara Ubaidillah. Dalam hati hajat bersatu dengan azam, saya tidak patut membiarkan dia menang berganda tahun hadapan!

al_jantanie
manhumi_ilm

ps: Tahniah untuk Faisal.

Wednesday, June 29, 2005

Malas

Kalau saya bilang saya rasa penat sekali, anda percaya? Kepala dikunjungi pening. Malas bertamu. Fikiran kusut. Jiwa dibebani tugas berganda. Hati rasa gelisah dan sedikit kecewa sudah agak lama tidak menulis. Barangkali kerana itulah.

3 mesyuarat berderet. Padahal baru dua hari tamat imtihan. Krisis air Rumah Johor meruncing. Air naik malas-malas. Bila naik direbut syaqah bawah. Belum sempat tiba ke sutuh sudah susut surut. Penat kepala menjangkiti badan, menvirus ke semangat merundum dan menjunam.
Saya kelip mata berkali-kali. Kalau tidak mahu rasa beban jangan ambil tugasan tambahan. Siapkan yang sudah menanti di hadapan. Kemudian, siapkan segala-galanya, satu persatu, tanpa tunggu-tunggu dan…tanpa ragu-ragu.

Saya picit kepala. Barangkali air dalam badan tidak cukup. Mata pedih. Bahang musim panas menyejat keselesaan. Badan tambah malas. Jiwa ganda letih. Hati mula merintih. Kemudian mulut sendawa angin. Tangan memicit leher. Bawah lutut gatal. Jari terkeruk-keruk.
Warta kali ini saya cuma ambil satu kolum. Mula rasa malas, tetapi mengenangkan; kalau saya melarikan diri dan boleh sahaja berehat tanpa tugas tetapi apa kesannya? Lari dari dunia penulisan macam lari dari diri sendiri. Saya beranikan diri. Saya tawar diri.

Al-Jauhar lagi. Kali ini dengan beberapa kolum berita minta dilangsai. Saya berjanji mahu selesai segera. Barangkali 8 tugasan berita @ laporan masih sedikit jika dibanding yang dulu-dulu. Ini masih kurang. Kepala geleng. Pening masih menghuni. Saya tekan sisi kepala. Sendawa sudah tidak keluar lagi.

Tetapi bukankah adat? Malas menjadikan yang ringan itu berat, dan rajin menjadikan yang berat itu ringan. Betul juga, kata hati saya. Saya duduk iq’aa’ (sambil menompang dagu di pertemuan dua kepala lutut) Sesekali dagu rasa gatal. Saya gesel dengan tajam kepala lutut. Sesekali rasa sunyi. Saya peluk lutut sendiri kuat-kuat. Rasa macam peluk diri sendiri.
Akademi Karyawan Johor dengan nama Medan Pena berlangsung esok. Saya beberapa hari asyik memikirkan perlaksanaannya. Kemudian pening hadir. Saya gagahi diri. Terlampau rajin, saya cadangkan pertandingan menulis demi merebut ‘Hadiah Pena Karyawan PMRAM 2005’. Menulis Artikel, Cerpen dan Sajak. Oh ya! Untuk yang masih menuntut di Mesir sahaja.
Itu anjuran PMRAM. Pertandingan anjuran Johor pula bakal tamat 7 Julai ini. Tidak merasa puas, saya berbincang mahu adakan program gabungan bersama akademi karyawan di sekitar Kaherah. Semua ketua setuju. PMRAM terima sahaja. Dan saya pula, perlu memikirkan gerak kerjanya pula.

Tidak memadai kalau SUKEJ ditinggal bergitu sahaja. Tengoklah bagaimana saya ‘kerjakan’ semua itu satu persatu. Sungguh-sungguh, supaya malas tidak menambah letih lelah. Ya, rajin-rajin!

al_jantanie
manhumi_ilm

Thursday, June 16, 2005

Fragment Novel

Engkau pandang sahaja air mata yang gugur. Jangan menangis ibu. Saya cuma pergi belajar. Engkau menerangkan. Ibu mengangkat kepala, mengesat air mata yang gugur, kemudian dengan tersekat-sekat, dia menarik nafas. Ibu bimbang kamu merajuk. Jangan kerana pinangan ditolak engkau putus asa, membawa diri, dan tiba-tiba engkau pergi tidak mahu kembali lagi. Ibu menangis lagi.

Engkau tersenyum, dalam tawar, kemudian membongkok sedikit memegang kerusi roda ibu. Saya cuma sambung pengajian Sarjana. Sekarang di Al-Azhar sudah ada biasiswa bagi pelajar sarjana dan doktor. Bukankah saya ditolak kerana itu. Cuma ada sarjana muda. Berilah saya kebenaran untuk sambung lagi. Mata engkau pula mula berkaca.

Ibu mengesat matanya lagi. Abang Long datang dan memegang bahu Ibu, menggosok-gosok dan kemudian memandang engkau. Ibu cuma sedih kerana bimbang, kalau-kalau engkau merajuk dan tidak mahu pulang lagi. Jangan kerana perempuan engkau lari dari keluarga. Jangan kerana perempuan engkau lenyap tidak terlihat lagi. Abang Long memandang lantai. Ibu pula mengangkat kepala.

Ibu tidak marah dan tidak halang. Cuma Ibu terkejut apabila Engkau tiba-tiba mengemas beg dan terus bilang mahu ke Mesir. Bagaimana Ibu boleh tidak merasa bimbang? Ibu takut Engkau buat yang bukan-bukan, sedangkan ketika itu Ibu seharusnya berada di sampingmu, tetapi Ibu tiada. Ibu rasa bersalah juga. Engkau rasa malu ditolak. Tetapi Ibu rasa sedih Engkau pula buat begini.

Engkau angkat tangan dari kerusi roda. Leher terasa lenguh. Engkau usap perlahan dan kemudian mengelip-ngelipkan kelopak mata. Adik bongsu menolak troli berisi beg besar dan sebuah kotak bersampul coklat, terus ke sisi Engkau. Ibu memandangnya, memandang Abang Long, kemudian memulangkan pandang kepada Engkau. Engkau senyum dan minta Ibu bertenang.

Mungkin Ibu lupa. Saya sudah maklumkan sebelum saya pulang dari Mesir dahulu. Masa saya habis sarjana muda. Waktu itu ayah baru meninggal dan Ibu sambil menangis dan teresak-esak menggesa saya pulang. Saya memang terkejut, memang sedih, tetapi harapan menyambung hingga ke peringkat sarjana adalah cita-cita saya. Harapan ayah. Kebanggaan Ibu. Saya pulang juga, pulang tetapi tidak pernah menafikan cita-cita ini. Kalaupun Ibu lupa, apa salahnya saya menunaikan harapan dan wasiat bapa.

Engkau memandang ke sekeliling. Mula menyedari kekecohan balai berlepas itu langsung diabaikan. Dua puluh lima mahasiswa baru dan tiga belas mahasiswi baru, juga akan ke Universiti al-Azhar, bersekali Engkau, bersekali harapan dan cita-cita yang menggunung. Adik bongsu mula meninggalkan Engkau untuk ke kerusi duduk. Abang Long pula dipanggil isteri kerana anak menangis dan merengek-rengek. Kemudian, setelah semua beredar meninggalkan Engkau dan Ibu berdua-duaan, Engkau menyambung kalam.

Ibu tahu Raihana dan saya sudah bercinta lama. Sejak dari sekolah rendah. Sejak dari sebelum ayah mengusahakan restoran lagi, dan sekarang diambil alih oleh Abang Long pula. Ibu tahu kasih kami gagal bersatu di akad hanya kerana semata-mata tiada izin Hj Idris; mungkin persaingan perniagaan arwah ayah dengannya membenih rasa tidak senang yang bercucu-cicit. Hingga pada dua tahun yang dulu restorannya lingkup akibat hutang dan dia tidak mahu dibantu, dia terus menyendiri.

Tetapi Ibu juga perlu tahu. Bukan kerana cinta saya pergi. Saya memang sudah lama mahu ke peringkat yang lebih tinggi. Abang Long sudah berkeluarga, mengusahakan perniagaan peninggalan arwah ayah, menjaga Ibu dan membiaya Fauzan hingga ke tingkatan tiga waktu ini, sungguh-sungguh membuat saya rasa bangga. Lebih-lebih lagi apabila restoran kita sudah maju dan berkembang hingga membuka cawangan di Kluang, Fauzan pula memasuki ke sekolah agama. Ibu faham maksud saya, bukan?

Ibu menggeleng kepala. Sudah tidak menangis lagi. Kali ini terdesak untuk berfikir pula. Dia mengerutkan kedut di muka, kedut seribu berganda tiga. Engkau pula tertawa kecil, sambil menunduk dan kemudian menjerit tiba-tiba. Ibu terkejut dan melatah-latah; beruk, kucing, tikus, sate ayam, sate lembu, tomyam...

(novel baru main-main rangka je)

al_jantanie
manhumi_ilm

Wednesday, June 15, 2005

Derita 'Iman Yang Sebahagian Lagi'

Tuhan lebih tahu, betapa sukarnya.

Saya cuba menyiapkan sebuah cerpen dengan tajuk ‘Iman yang sebahagian lagi’. Ia barangkali sebuah cerpen yang saya lakarkan daripada beberapa hadis yang saya ketahui, atau dalam bahasa yang mudah, memasukkan hadis sebagai ilmu bantu dalam cerpen. Ia berjalan lancar pada permulaannya.

Masalah jadi setajam runcing buluh apabila sampai ke peringkat penghujahan. Atau saya patut kata, apabila saya cuba mentakhrij hadis tersebut. Siapa yang merawikan hadis tersebut? Saya buka hampir sepuluh kitab demi memastikan dari mana hadis itu diriwayatkan. Ia jadi sukar kerana saya belum cukup mahir dalam takhrij hadis. Jadi saya merasa juga membuka Fathul Bari, Sohih Muslim, Subulussalam, Sohih Tirmizi, Mu’jam Mufehris Lil Alfaz Hadis, Tuhfatul Asyraf…Saya patut beruntung kerana dibantu rakan (Taufiq Sanusi) dan berjaya juga mencari hampir kesemua hadis tersebut.

Tetapi kerja belum selesai, dan saya sudah terbaring keletihan kerana sejak jam sepuluh pagi menghadap kitab-kitab hingga ke jam dua petang. Kata taufiq, ini amanah ilmu. Jadi saya cuba berusaha sedaya yang termampu.

Lepas asar, saya dan Taufiq ke Maktabah Darus Salam di Sabie’. Buka dua tiga kitab dan Cuma berjaya menjejaki satu hadis. Alhamdulillah.

‘Iman yang sebahagian lagi’ akan menemui anda. Harap ketika itu, anda sudi membacanya.

al_jantanie
manhumi_ilm

Tuesday, June 14, 2005

Apa Sebenarnya Klimaks Dalam Cerpen?

Tajuk : Apa sebenarnya klimaks dalam cerpen?

Izinkan saya memberikan satu pandangan songsang berkenaan tajuk ini. Bagi saya, cerpen sebenarnya tidak mempunyai klimaks!

Sekiranya anda mahu berhujah dengan saya, pastikan anda membaca dahulu tulisan ini, atau mungkin lebih mudah lagi, anggap sahaja ia satu tulisan yang perlu dibakulsampahkan sahaja.
Mengapa saya kata begitu?

Cerpen adalah satu penulisan yang terdiri secara asasnya daripada tiga komponen sahaja. Atau lebih mudah kalau saya katakan; tulis permulaan cerita, tambah rangsangan sepanjang cerita, kemudian tamatkan sahaja. Memahami bahawa, kita sebenarnya terlalu menyusahkan diri dengan mencipta istilah itu dan ini, seterusnya menyusahkan orang lain pula untuk menulis cerpen.

Klimaks, atau kemuncak, juga kalau kita kumpulkan ia bersama konflik, permasalahan, persoalan; sebenarnya semua itu merujuk kepada satu perkara sahaja. Iaitu ia adalah rangsangan dalam cerita. Jadi, apa yang perlu dilakukan oleh cerpenis atau mereka yang bercita sebegitu hanya perlu memikirkan tiga perkara sepanjang penulisan mereka – Mulakan cerita, tambah seberapa banyak rangsangan dalam cerita, kemudian pilihlah mana-mana peleraian alias penamat yang bersesuaian.

Kedudukan klimaks dalam cerpen seperti yang saya huraikan adalah menyamai rangsangan terkuat dalam cerita. Fikirkan apa sahaja yang boleh merangsang cerita, dan apabila rangsangan itu sangat kuat, ia telahpun secara semulajadi menjadi klimaks seperti dalam cerpen-cerpen biasa. Mengapa perlu berpening-pening?

Saya membuka tingkap. Di hadapan sana, di depan mata, bom-bom gugur bagaikan hujan. Hitam menyemut dan sejurus kemudian, letupan pertama mengegarkan suasana. Saya berpaling dalam panik campur cemas tolak tenang ke tepi sahaja; Ibu apa yang telah berlaku?
Apa pandangan anda? Kalau benar saya silap, ia cuma pandangan dari seorang yang tiada asas pembelajaran sastera.

al_jantanie
manhumi_ilm

Sunday, June 12, 2005

Ha Dalam Surah Muhammad

Ha Dalam Surah Muhammad.

Sudah lama saya tidak menonton cerita yang berbaur cinta, atau boleh saya kata; hampir-hampir saya lupa bagaimana cerita-cerita yang sebegitu. Barangkali kerana sudah lama tidak menonton agaknya.

Sejak bila? Saya sendiri juga kurang pasti. Tetapi malam kelmarin saya curi-curi pandang juga, tonton separuh perhatian dan setengah kurang endah. Rakan-rakan pasang, dan saya yang meneman di sisi terkesan dan menonton juga.

Kalau saya bilang, cerita-cerita cinta yang sebegini biasanya menggetarkan perasaan; pasti anda tidak menafikan kebenarannya. Itu cerita orang. Cerita rekaan. Tetapi kita juga tumpang seronok bila lihat pelakon itu seronok, kita kongsi juga rasa sedih bila aktor itu rasa sedih. Apa yang lebih menarik, kalau ada babak yang kurang adil, kita kadang-kadang lebih ‘marah’ dari pelakon itu sendiri rasa marah.

Kita ‘berlakon’ lebih daripada pelakon itu melakonkan watak mereka.

Kita setelah itu, turut sama menarik nafas dan melepaskan serentak dengan turun naiknya cerita, kemudian setelah cerita tamat kita pula membayangkan cerita cinta kita pula. Di atas pembaringan, sambil merenung siling kita mula berkira-kira. Kita tambah yang baik-baik, kemudian tolak yang tidak sesuai. Agak-agak, sampai bila agaknya?

Saya suka sangat; ketika nadi berdegup irama asing, mahu dengar surah Muhammad sambil baring. Lagi-lagi kalau dibaca Imam Masyari Rasyid. Setiap kali huruf ha di penghujung di setiap ayat diwakafkan mim, nafas turut sama naik dan turun ikut huruf itu. Biar dilepaskan saing makhraj ha.

Anda tahu? Huruf ha yang dilepas kuat, bagai membawa nafas saya sekali keluar, dan membawa semua yang bergetar tidak tentu hala di dalam hati. (Cuba bunyikan ha serentak dengan hembusan nafas.) Lama-lama, saya yang sebelum ini hanyut dengan rentak cerita cinta, kembali tenang dan hanyut semula dengan nada lain yang lebih normal.

Mengapa ya? Kita suka bercerita soal hati dan perasaan, tetapi kita lupakan pula soal akal dan fikiran. Apatah kita lupa ketika Surah Muhammad itu menegur kita di setiap kali ia menjejak ayat 24, setiap kali itulah Tuhan mengingatkan :

Maka apakah mereka tidak memerhatikan (mentadabbur) Al-Quran, atau apakah hati mereka yang terkunci?

Friday, June 10, 2005

Itu Anta Dan Bukan Saya

Itu anta dan bukan saya.

Anta bilang mahu lulus dalam peperiksaan. Sambil memandang muka saya anta kata; selama ini aku lulus, tidak pernah aku gagal. Dan aku tidak mahu menanggung rasa malu kegagalan.

Itu kata anta dan saya hanya memandang anta rata. Anta tambah lagi; kalau anta gagal jatuhlah imej anta sebagai orang yang hebat dan sohor. Anta rasa; tanpa perlu memikir dua kali, kerana itu anta perlu berjaya dan berjaya.

Anta tahu? Saya masih memandang anta tanpa kelip. Saya tidak salahkan anta. Anta ada nama, dan anta ada maruah. Kerana semua orang kenal anta hebat, anta tidak mungkin dapat menerima kegagalan. Anta mahukan kejayaan; dan anta bilang berulang-ulang kali dalam doa; Ya Tuhan, berilah aku kejayaan. Di dunia dan di akhirat.

Saya barangkali tidak setuju dengan cara sebegitu rupa.

Anta mahukan yang baik, tetapi kenapa hanya ketika peperiksaan berlangsung barulah anta dengan tangan berdepa luas memohon sepenuh hati, mohon kerana waktu ini waktu imtihan? Anta kata imtihan itu medan perjuangan. Perlu menang. Demi agama Islam? Kejayaan anta dalam imtihan adalah kejayaan Islam tetapi bila ia tamat, anta hanyut lagi dibawa siapa pula?

Lagi-lagi anta ulang; aku ada nama, dan aku perlu lulus kerananya.

Saya tanpa getar masih bersuara datar. Anta mahu berjaya dengan niat yang sebegini rupa. Anta tidak rasa salah ke? Anta rasa kalau nama anta dan segala kebanggan anta berkumpul sama, kemudian anta ditimbang di neraca keikhlasan, jihat mana mizan itu akan memberat?

Anta marah. Anta jeling saya setajam pedang. Saya tidak lawan. Biar ketajaman mata anta membedah dada saya, menyelongkar hati saya, kemudian anta akan sedar seikhlas mana kata-kata saya. Cara anta salah. Anta perlu berjaya dalam peperiksaan kerana sesuatu yang lebih penting sesudah peperiksaan. Sesudah peperiksaan itulah medan. Lapangan. Dan pertempuran.

Anta berpaling membelakang. Entah. Saya patut menyeru anda atau tidak?

al_jantanie
manhumi_ilm

Wednesday, June 08, 2005

1511 (H) Kombat

1511 H Kombat (bagi saya) tidak sehebat 1515, Karya Faisal Tehrani @ Faisal Musa.(Boleh atau tidak mendahulukan gelaran daripada nama sebenar?)

Faisal kali ini membentangkan latar secara agak tersusun (kronologi) dengan meletakkan latar masa berdasarkan tarikh bagi memudahkan pengecaman latar masa. Barangkali Faisal merasakan peletakan tarikh sama pentingnya seperti beliau melakukannya di 1511 dahulu, kerana kekaburan latar masa yang boleh menjejaskan pemahaman pembaca. Penceritaan yang bersifat futuristik ini boleh membawa pemahaman kepada dua perkara sama ada baik atau buruk, atau kita boleh menganggapnya sebagai karya sastera semata-mata.

Baiknya apabila ia menyedarkan tentang lambang kebesaran Islam dan kebenarannya. Ia satu peringatan dan konsep melahirkan rasa percaya dan iman pada agama, disamping mempersembah bukti-bukti hakiki yang tiada sangkalnya.

Buruknya, apabila ia semacam memberi satu cadangan kepada kuffar agar bertindak seperti yang dilakukan oleh Priseden Amerika dalam cerita tersebut. Mencadangkan kepada si laknat itu supaya menyerang kaabah, dan semacam umat Islam boleh menerima ia untuk berlaku. Walaupun secara logiknya, ide untuk menyerang kaabah sekalipun tiada dalam rancangan mereka (setakat ini) dan barangkali, mungkin sahaja mereka ada merancangnya, siapa tahu, ia adalah ide yang paling berbahaya dalam sejarah Islam kini. Sama bahayanya sekiranya mereka merancang untuk menyerang kiblat ilmu umat Islam, Univerisit Al-Azhar. Buruknya, adalah pada 'cadangan' itu. Wal Iyazubillah.

Faisal menggunakan ilmu bantu yang agak kukuh, namun boleh dikukuhkan dengan meletakkan lagi beberapa perkara seperti, menyebut bahawa bangunan atau peralatan yang sekarang ini ada, dan ia telah berubah menjadi sesuatu yang lain. Saya berpendapat begitu kerana, penceritaan secara futuristik membawa lambang sesuatu yang baru (walaupun ia bukan satu kemestian) tetapi kewujudan sesuatu yang baru perlu kepada kewujudan sesuatu yang telah lama. Katakan pentagon dan rumah putih adalah bangunan yang ada sekarang, maka dalam penceritaan futuristik, sekiranya ada bangunan lain yang menggantikan rumah putih dan pentagon, ia lebih menimbulkn kesan futuristik. Saya tidak bermaksud menafikan kesan yang sedia ada, tetapi bermaksuAApa d menambah kesan kepada futuristik.

Apa yang boleh dibanggakan, adalah keberanian beliau menulis cerita sebegini. Ilmu bantu digarap bersama latar terasa segar, dan menarik. Kisah kemenangan melawan musuh dengan usaha dan pertolongan Tuhan adalah suatu peringatan kepada kaum muslimin.

Penceritaan berjalan dengan tempo sederhana secara keseluruhannya. Barangkali kerana mahu melihatkan kesan ilmu bantu dalam cerita.

Apa yang lebih penting adalah; mengapa (bagi saya) 1511 H Kombat tidak sehebat 1515? Kerana penceritaan futuristik adalah suatu yang kabur, luar bayangan berbanding dengan penceritaan kisah yang pernah berlaku. Ia lebih jelas dan lebih berkesan kepada pembaca. Namun, saya tidak menafikan, kedua-duanya adalah antara karya-karya yang patut dibanggakan.

al_jantanie
manhumi_ilm

(Penulis tidak bermaksud memburukkan sesiapa. Ia hanyalah satu komentar dan kritikan dalam sastera)

Budak Kurus

Kamu mengelilingi dua puluh budak miskin dan menanyakan satu soalan yang sama kepada mereka.

Kamu : Mengapa adik kurus?
Adik 1: Saya belum makan lagi.

Kamu : Mengapa adik kurus?
Adik 2: Kurus sihat lebih baik daripada gemuk sakit.

Kamu : Mengapa adik kurus ?
Adik 3: Abang curi makanan saya!

Kamu : Mengapa adik kurus ?
Adik 4: Saya kurus ke? Abang lagi kurus.

Kamu : Mengapa adik kurus ?
Adik 5 : Mak kata, perut banyak cacing!

Kamu : Mengapa adik kurus ?
Adik 6: Saya puasa hari ini.

Kamu : Mengapa adik kurus ?
Adik 7: Doktor psikologi kata, yang masak tak curah kasih sayang dalam makanan.

Kamu : Mengapa adik kurus ?
Adik 8 : Sudah ketentuan Tuhan. Redhalah.

Kamu : Mengapa adik kurus ?
Adik 9 : (sambil menangis) Dia ambil patung doraemon saya!

Kamu : Mengapa adik kurus ?
Adik 10 : Atuk kata, adik ada jin!

Kamu : Mengapa adik kurus ?
Adik 11 : Dalam perut ni ada ‘adik baru’

Kamu : Mengapa adik kurus?
Adik 12 : Cakap sahaja pandai. Tolong masaklah!

Kamu : Mengapa adik kurus?
Adik 13 : Abang, mak saya hilang!

Kamu : Mengapa adik kurus?
Adik 14 : Ibu! Adik takut. Ada orang jahat!

Kamu : Mengapa adik kurus?
Adik 15 : Adik takda. Adik ikut ayah pergi pasar.

Kamu : Mengapa adik kurus?
Adik 16 : Mana kurus! Dia gemuk. Dia selalu dapat hisap susu. Kita tak dapat!

Kamu : Mengapa adik kurus?
Adik 17 : Abang long kata, kadar metabolisme adik tinggi sangat!

Kamu : Mengapa adik kurus?
Adik 18 : Sebab tak gemuk!

Kamu : Mengapa adik kurus?
Adik 19 : Abang! Belakang ada anjing…Hi hi, kena tipu. Padan muka, kena tipu.

Kamu : Mengapa adik kurus?
Adik 20 : (senyap tanpa jawapan. Barangkali bisu atau sedang berfikir alias malu.)

Sejernih Salsabila

Sejernih Salsabila

Saya usai khtami novellet 'sejernih salsabila' karangan sifu Amiza Khusyri. Tidak lama barangkali, dengan sekali dua tatap saya mampu menghadamkannya segera. Satu hari dan tanpa bertangguh juga. Sekalung tahniah untuk beliau, dengan hanya setahun berada di bumi Mesir mampu menghasilkan novel peribadi pertama.

Saya gemar mengulas mana-mana bacaan yang saya langsaikan, dan saya mengharapkan beliau tidak marah atau terasa dengan kritikan saya kali ini. Saya memberikan penghargaan yang amat tinggi – kerana itu baru saya mengulas dan memberi komen. Itu bukti ihtimam, tanda ambil berat dan karenah menghargai.

Bahasa beliau belum cukup mapan dalam novellet sulung, ( walaupun saya mendapati peningkatan yang jelas ketara dalam cerpen beliau setelah itu) kerana almaklum, hasil pertama. Saya dapati beberapa ayat yang tidak berapa lancar kerana beberapa penggunaan yang sedikit panjang, namun dapat diselarikan sepanjang penceritaan. Bermaksud, gaya bahasa yang selari temponya dari awal hingga akhir.

Kurang rangsangan. Beberapa plot sudah dapat diterka membuatkan kesudahan juga sudah mampu dibaca. Ada beberapa imbas kembali digunakan, dan saya yakin, ada yang agak mengesan kepada pengkaji novel. Meneliti novellet beliau mengingatkan saya betapa pentingnya penguasaan dialog, kerana dua jenis garapan ayat – sama ada cakap ajuk atau cakap pindah – dua kemahiran yang sudah tentu akan digunakan.

Gaya naratif ( penceritaan ) dan dialog perlu dimahiri sekaligus. Kalau tidak, akan pincang pada kesesuaian penceritaan. Bercerita di dalam kamar sesama suami isteri tidak sama laras bahasa dengan bercerita sesama teman. Kemahiran membentuk perbualan yang serasi dengan suasana amat penting dan akan menentukan kelancaran sastera.

Beliau seolah terlalu tergesa-gesa menamatkan novellet ini hingga semacam ada plot yang dikerat dihujung dan membikin semacam jelas di bacaan. Namun teori ' sebab dan akibat' kurang berkesan dalam penceritaan walaupun mampu mencapai logik yang diingini. Adik yang berubah jadi baik setelah dipukul – hanya satu babak dan segalanya selesai.

Namun, (biasalah kalau krtitik, saya biasa mencari yang kurang sahaja) beliau sebenarnya sudah jauh meninggalkan tahap ini dengan pelbagai pencapaian yang mengkagumkan. Tahniah sifu, anda memang hebat.

al_jantanie
manhumi_ilm

Tuesday, June 07, 2005

Dunia Saya

Mungkin ada yang bertanya – Mengapa saya masuk ke arena penulisan. Malah memilih untuk aktif di dalamnya. Izinkan saya menerangkan sebab musabbabnya.

Saya adalah seorang pemikir. Itulah yang pertama, dan sebab yang terutama tentunya. Dalam berfikir, ide janaan perlu disampaikan. Sama ada melalui pertuturan mahupun tulisan. Pernah saya mencari ruang untuk saya menyampaikan apa juga yang saya fikirkan – tetapi almaklum, ruangan ini dikuasai oleh si pemegang mandat alias kuasa pastinya. Dan, itu bukanlah saya.
Pernah saya kecewa tidak diberikan peluang beraksi walaupun sekali. Lalu saya bertekad menceburi penulisan secara aktif.

Sungguh – saya mudah terkesan dengan persekitaran, dan inilah persekitaran saya sekarang. Dunia yang saya bangunkan dengan azam yang saya bina – Mencipta medan untuk hasil pemikiran saya. Anda menulis pula untuk apa?

al_jantanie
manhumi_ilm

Antara Peperiksaan Dan Rasa Gian.

Antara peperiksaan dan rasa gian.(1)

Saya mengunjungi blog Ghafirah Idris (6 Mei) dan meneliti perbualan beliau dan Faisal Tehrani. Faisal melarang Ghafirah tulis novel dengan dua sebab. Perkayakan garapan penulisan cerpen dan bina grass root (cari peminat juga). Dalam hati – Ghafirah yang banyak menembusi media perdana juga dinasihati begitu, sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada guru saya (dalam KELAP 2004), Saudari Faezatul Herda antaranya menyebut : Take your time to be a writer. Mesrai genre cerpen. Sama bukan?

Tetapi apabila saya suarakan hasrat kepada Nisah Hj. Haron dan beliau tidak membalas apa-apa, sekadar membuka laluan kalau benar-benar saya mahu mencuba (menembusi Hadiah Sastera Utusan) dengan memberi tahu : hantarkan manuskrip tersebut ke Utusan Publication Sdn Bhd. Begitu juga apabila saya meminta seorang lagi guru saya (dalam KELAP 2004) Saudara Ubaidillah Alias untuk mengajar saya membikin novel beliau menyambut ( permintaan saya untuk mengajar membuat novel selepas peperiksaan ini) dengan kata-kata : Insya Allah.
Saya tahu, kesimpulan ini bukan satu perkara yang tepat, tetapi sebagai seorang penulis, tidak salah memiliki hasrat yang kadang-kadang menyalahi uruf dan kebiasaan. Malah merealisasikannya pula. Hasrat ini telah bermula, dan saya memasang tekad untuknya. Tulis novel.

Memang, tidak patut meragui nasihat guru-guru saya supaya “Jangan”, tetapi tidak patut juga meragui kedegilan saya supaya “Teruskan”. Melangkah ke hadapan tanpa berpatah ke belakang lagi!

Ps: sebagai pencari alasan atas kedegilan ini, saya nyatakan juga satu dua. Pertama: Nazmi Yaakob dan Zaid Akhtar serta Amiza Khusyri juga pernah menghasilkan novel peribadi mereka – bersiri dan dalam buku. Malah Ubaidillah juga telah memulakan penulisan novelnya sebelum saya menyertai KELAP lagi. Lihat Akhi Masrawi, juga sedang menyelesaikan novel mereka. Itu tanda langkah yang tidak ada undurnya.

Kedua : Di sinilah (Mesir) medan untuk menguji keupayaan, dan saya yakin, ia lebih praktikal untuk dibuktikan. (Jangan risau, saya tidak memadamkan hasrat melazimi cerpen dalam tempoh penulisan novel. Saya rasa ia bukan satu masa yang singkat juga. Kalau berjaya, ia adalah kejayaan yang akan membuka ke pintu yang lebih besar. Kalau gagal, ia tidak pernah merugikan.)

al_jantanie
manhumi_ilm

Saya menulis ini dalam fatrah imtihan, curi-curi masa menaip sebab terasa gian. Ops, saya tak ambil candu, petik popi atau suntik pil khayal.

Catatan Sepanjang Peperiksaan

2 April
Terpaksa buka kembali. Wayar computer disambung terus ke soketnya.“Demi sertai antologi kali ke dua. Dan untuk sedia alat ‘Medan Pena’”

4 April
Si pemalas itu ke kuliah juga buat kali pertama.

5 April Mengkagumkan juga, Ana pergi lagi kali kedua hari ini. 2 kitab baru dibeli. “ Enta jadi bahagian pengumpulan data untuk zikra kita. Tarikh akhir kumpul bahan akhir April, 30.

6 April
Demi cinta, akan kujejak juga walau cuma tulisannya. Tuhan, begitukah? Najib Kilani.

9 – 13 April
Hamba turun ke 3 muhafazah. Damanhur, Mansurah dan Dumyat. Cuma melalui Tanta tika berpusing ke Mansurah. Izinkan patik mengiranya sebagai empat.Kenapa?Maafkan hamba. Hamba pergi mengutip data ZIKRA 2; nama gerangan, tarikh diwulidkan, tempat menghuni ( Tanah Melayu), muhafazah di sini, makam pengajian, nombor alat perhubungan jenis gelombang, nama kantong elektronik, dan wajah yang dipateri ke saiz paspot.

17 April
Kali ketiga buka komputer setelah dibungkus semula. Ini bukan masalah gila mengarang atau gian menulis, tetapi rasa tak senang kalau antologi ini saya tidak sertai.Antologi?Ya, antologi kali kedua – di bawah projek PMRAM.

19 April.
Beta siapkan satu cerpen untuk antologi. Nanti bila sudah terbit, beta mahu semua baca. Siapa enggan, beta sula. Faham?

27 April.
Demi namaMu, Tuhan. Betapa aku asyik menunaikan permintaan orang. Mengapa abaikan diri sendiri?

29 April
Belum ada berita jadual tahalluf atau jadual imtihan mahupun syafawi. Usuluddin mendahului Syariah dalam pengumuman jadual; masih tetap sama; mereka berdua tetap mendahului Lughah dalam penyataan jadual peperiksaan. Ikut kalkulator saya, peperiksaan itu (lebih-lebih lagi peperiksaan tahalluf) akan berlangsung bila-bila masa.

Alamak, kena pergi pasar cari ikan dan sayur. Walaupun malam ini ada kenduri di Zahra’.

7 Mei
Imtihan Tahalluf ditangguhkan. Entah lebih syukur atau sedih; syukur sebab masih ada masa untuk lunasi kitab; sedih sebab tangguh bererti peperiksaan masih lama lagi!

8 Mei
Dari +20103972141 untuk sesiapa sahaja: Dalam bosan walau salah demi kebaikan disampaikan juga. Pesanan untuk orang terasa lebih berkesan pada diri – Tolong, jangan putus asa. Usaha. Masih lagi ada masa. Sungguh-sungguh, demi Tuhan.

15 Mei
Jadual imtihan dicatatkan bermula dari 21 Mei hingga 25 Jun 2005, dengan syafawi pada 17 mei hadapan. Lagi dua hari, atau kurang daripada itu.

17 Mei
Engkau mampu menasihati orang, kenapa tidak menasihati diri? + Sabarlah. Belajar terima keadaan dengan hati yang lapang. Engkau sudah bersungguh.

21 Mei
Sabar.Waktu imtihan sebeginilah baru menguji – Sejauh mana tawakkal Engkau pada Tuhan. Sejauh mana keikhlasan Engkau belajar kerana Allah.Engkau kemudian disapa orang. Kenapa ni?

(Penggunaan lafaz ‘Tuhan’ dan ‘Allah’ masih menunjukkan zat yang satu. Sepertimana lafaz Rabb, Malik, Ilah dalam surah Al-Nas tetap merujuk zat yang Esa.

24 Mei
Sakit pening mencucuk kanan kepala. Angin kemudian keluar bergilir-gilir; sekejap dari mulut (sendawa), sekali dari punggung (kentut). Alahai, makan cukup, tidur cukup. Apa yang kurang? Baca kot!

25 Mei
Dapat maklumat gembira. Tentunya mengenai “ Air Mata Tumpah Lagi”

28 Mei
Mengapa apabila ia datang dan Engkau yang sedang terpinga-pinga terus terngaga, tercengang? Angkat kepala dan menghimpun nafas. Lepaskan perlahan-lahan dan sedutlah kebesaran Tuhan terus ke dalam dadamu, moga nyawa yang disambung dari molekul oksigen memaku keagunganNya ke dalam hatimu.

7 Jun
Peperiksaan Fasa Thani untuk tahun dua telah habis. Separuh merdeka. Saya masih ada dua madah tahalluf pada 21 dan 25 Jun ini untuk tahun satu.

al_jantanie
manhumi_ilm