Sunday, September 20, 2015

Di Sini Bermulanya: 8: Ruang Yang Kosong

Semalam, seorang anak didik saya bertanyakan soalan mengenai pelajarannya. Seorang yang telah tamat tingkatan lima beberapa tahun lepas dan sudahpun sampai ke menara gading. Daripada soalan itu saya tiba kepada kesimpulan: Alangkah banyaknya kekurangan didikanku, sehingga aku melepaskannya ke arah ketidaksediaan, berperang dengan ketidaklengkapan senjata, menghadapi musuh dengan memerlukan banyak bersiapsiaga.

Walaupun saya sedar, apa yang saya lakukan sejajar dengan tuntutan semasa, kemampuan sedia ada, tahap minat dan kesediaan belajarnya, namun jauh di sudut hati saya, masih ada peluang untuk memperbaiki semua itu, dan tidak mengulangi kesedihan seperti ini di lain-lain kali. Saya percaya, saya mahukan peningkatan dalam hal ini, dan semoga generasi selepas saya lebih baik Bahasa Arabnya berbanding saya.

Allahlah yang mengatur, mentadbir bahkan merancang segala-galanya. Kepada-Nya dipanjatkan segala segala.

Saturday, September 19, 2015

Di Sini Bermulanya : 7 : Mu'allim

Hasbiyallah Wannabiy dilahirkan 16 Mei 2015, bertepatan Hari Guru dan Israk Mikraj. Anakanda kedua saya ini lahir lebih awal daripada tempoh biasa kehamilan, sama seperti abangnya, Muhammad Muriidullah. Mereka berdua kerap memuhasabahkan diri, menampakkan yang lompong dan robek dalam diri. Terasa dalam kasih sayang membesarkan mereka berdua, masih banyak kekurangan diri sebagai ayah yang perlu saya perbaiki. Baik dalam akhlak, pergaulan, ibadat, ilmu, kemahiran dan lain-lain.

Hari ke hari, saya cuba memastikan kasih sayang yang cukup saya berikan kepada mereka berdua, terkadang terlupa untuk ibu mereka, namun saya cukupkan juga untuk semua. Barulah saya mula memahami kasih sayang seorang ayah dan ibu kepada anaknya. Harapannya. Cita-citanya. Namun dalam lembut dan tolak ansur mahu juga memberikan keselesaan, kelapangan, kebahagiaan. Semua ini, tertera secara halus dalam wajah-wajah insan yang menghantar anaknya menimba ilmu.

Lantas kefahaman ini mengingatkan saya pada tanggungjawab saya sebagai seorang guru kepada anak-anak muridnya, yang mahukan bukan sekadar kejayaan bahkan lebih lagi, menjadi insan yang benar-benar memahami ilmu terutamanya Bahasa Arab. Tetapi, selangkah ke arah itu sahaja sudah beribu batu. Saya sedar banyak tanggungjawab yang belum tertunai, dan banyak cita-cita yang belum digapai. Doakan saya tsabat dalam menunaikan amanah dan impian.