Tuesday, March 30, 2010

Catatan Hujung Kembara 10 | Membaca Lisaanu l-Arab, Sebagai Ma-'iin dan Ma'-din Bahasa Utama

Saya bukanlah seorang yang pandai, apatah lagi 'alim, atau berperibadi pekerti mulia. Kejahilan yang masih menebal di dalam dada ini membuatkan saya rasa sangat malu, dan rasa tidak layak. Walaupun benar ada maksud hadis yang mengatakan sampaikan daripada Nabi walaupun satu ayat, tetapi susunan menyampaikan itu adalah sepatutnya yang terakhir. Kalam daripada Sufyan (ats-Sauriy kalau tidak silap saya, saya petik daripada kitab Ilmaa' Qadiy 'Iyaadh) menyatakan bahawa: Awal ilmu adalah mendengar (mempelajari dengan mendengar), kemudian barulah diam (memikirkan dan memahaminya, menyerap ke dalam diri) kemudian menghafalnya, barulah mengamalkannya, kemudian barulah menyebarkannya.

Seseorang meminta saya menuliskan sedikit mengenai sejarah mukjam. Saya menulis, dan saya percaya kalau ia silap bolehlah diperbetulkan kerana ia dipelajari ketika di tahun kedua dahulu. Saya mengecilkan tulisan pada mukjam Lisaanu l-Arab sahaja. Karya 'Allamah Ibnu Manzur ini adalah rujukan wajib sesiapa sahaja. Beliau adalah salah seorang ulamak terkemuka kurun ke tujuh hijrah, meninggal dunia pada tahun 711. Sepenelitian saya, kebanyakan mukjam muncul pada kurun ketiga atau kurun keempat, yang saya boleh gelarkan zaman keemasan, di kurun ketiga itu berlaku pertembungan yang sangat kuat di antara dua madrasah bahasa, Basrah dan Kufah. Mungkin kerana itu, perkembangan mukjam juga mendapat suntikan yang sama.

Di akhir kurun ketiga dan di awal kurun keempat hingga ke hujungnya muncul mukjam seperti Jamharatu l-Lughah karangan Ibnu Duraid (321H), al-Baari' karangan Abu 'Ali al-Qaalii (356H), al-Muhkam wa l-Muhiitu l-A'-dzom karangan Ibnu Siidah (358H), Tahziibu l-Lughah karangan al-Azhariy (370H), al-Muhiith Fi l-Lughah karangan as-Soohib Ibnu 'Ibaad (385H), al-Mujmal dan Maqaayiisu l-Lughah karangan Ibnu Faaris (395H), Taaju l-Lughah wa Sihaahu l-Arabiiyah karangan al-Jauhariy (398H). [Tahun hijrah dalam kurungan merujuk tahun wafat penulis mukjam, bukan tahun mukjam itu muncul.]

Saya fikir, di kurun keempat itu adalah waktu paling galak; adapun di waktu selepasnya ia sedikit kurang dan tidak banyak, sehinggalah pada kurun ketujuh munculnya mukjam Lisaanu l-Arab. Mengapakah mukjam Lisaan ini sangat istimewa bagi saya, adalah kerana ia menggabungkan enam mukjam iaitu, Tahziibu l-Lughah, al-Muhkaam Wa l-Muhiitu l-A'-dzom, Jamharatu l-Lughah, Taaju l-Lughah Wa Sihaahu l-'Arobiiyah, Hawaasyi Sihaah dan an-Nihaayah Fi Ghoriibi l-Hadits Wa l-Aa-tsar. Semua mukjam-mukjam tersebut mempunyai pelbagai kelebihan dan menggabungkannya memaksimumkan faedah.

Oleh kerana itu, kalau berjumpa penerangan mengenai hadis di dalam Lisaan ini, maka ketahuilah sumbernya adalah an-Nihaayah karangan Ibnu A-tsiir. Kalau berjumpa nama Abu Mansuur atau Al-Azhariy atau Soohibu t-Tahziib, maka ketahuilah ia adalah pendapat Abu Mansur al-Azhariy pengarang mukjam Tahziibu l-Lughah. Begitu juga kalau bertemu nama al-Jauhariy merujuk kepada tulisan beliau di dalam mukjam Sihah; nama Ibnu Barriy merujuk kepada tambahan beliau di dalam mukjam Hawaasyi Sihah Libni Barriy, atau nama asalnya, at-Tanbiih wa l-Iidooh 'An Ma Waqa-'a Fi s-Sihaah. Begitu juga nama Ibnu Siidah, dan Ibnu Duraid.

Namun, itu adalah nama imam yang mana mukjam mereka menjadi sumber ambilan mukjam Lisaanu l-Arab ini. Namun, kalau diperhatikan, terdapat entah berapa ribu atau lebih lagi nama yang disebutkan di dalam mukjam Lisaanu l-Arab ini. Ini kerana, setiap satu daripada enam mukjam itu juga memetik pendapat ulamak yang boleh dibahagikan kepada dua kelompok besar terutamanya, iaitu ulamak Lughah dan Nahu, dan satu kelompok lagi adalah para penyair daripada pelbagai zaman.

Imam Azhariy contohnya ketika mengarang Tahziibu l-Lughah, beliau bersumberkan lebih daripada 30 ulamak Nahu dan Lughah. Itu belum campur berapa ramai nama penyair disebutkan di dalam mukjam beliau. Kemudian semua nama ini dipindah masuk ke Lisaanu l-Arab dan ketahuilah, jika anda mendapati nama seperti Abu Zaid, Abu 'Ubaidah, al-Lihyaaniy dan sebagainya, ia adalah dipetik oleh Imam Ibnu Manzur daripada Tahziibu l-Lughah. Begitu jugalah baki mukjam yang lain.

Tetapi perlu juga difahami contohnya Imam Azhariy sendiri ketika mengarang Tahziibu l-Lughah juga memetik daripada Mukjamu l-Ain, atau Kitaabu l-'Ain, karangan Imam al-Khaliil bin Ahmad al-Faroohiidiy, tetapi menurut beliau isi kandungan kitab tersebut adalah hasil tangan anak murid Khaliil, iaitu Laits bin Muzoffar. Lalu kalau bertemu nama ini di dalam Lisaanu l-Arab, ketahuilah ia dipetik oleh Imam Ibnu Manzur daripada Tahziibu l-Lughah (Imam Azhariy), dan Imam Azhariy memetiknya daripada Mukjamu l-'Ain.

Kalaulah dihimpunkan semua nama tersebut dan dikenali, alangkah eloknya dan berkesannya membaca karya agung Imam Ibnu Manzuur ini; Lisaanu l-Arab. Dan bagi saya, kalaulah dapat membacanya saja sudah memberikan input yang sangat hebat, apatahlagi dapat memahami isinya.

Monday, March 29, 2010

Catatan Hujung Kembara 9 | Pujian Dan Memuji-Mu Ya Tuhan

Mungkin sesetengah orang akan menyangka kita dengan sangkaan yang baik, elok, kelebihan, atau apa-apa yang berupa keistimewaan atau kebaikan, lalu memuji. Tetapi kita sendiri tahu diri kita sendiri, maka tidak seharusnya kita tertipu dengan pujian orang, kerana kita lebih tahu tentang diri kita sendiri yang sebenarnya. Memetik salah sebuah hikmah daripada Hikam Atoiyah nombor 142 yang bermaksud (Manusia memujimu pada sesuatu yang mereka sangka ada pada dirimu, maka jadilah kamu mengeji dirimu pada sesuatu yang kamu tahu ada pada dirimu).

Dan kita patut rasa malu, apabila pujian itu diberikan, sedangkan kita tahu bahawa ia tidak benar, atau tidak betul, atau tidak tepat. Apatah lagi untuk berasa bangga. Hikam nombor 143 menyebutkan antaranya bermaksud (Seorang mukmin itu bila dipuji, dia malu pada Allah dia dipuji dengan sesuatu sifat yang dia saksikan tidak ada pada dirinya.)

Lalu apakah rasa yang patut kita pakai dalam keadaan ini, dalam keadaan ketidaklayakan dan rasa malu yang menebal pada Tuhan, kerana kita dipuji. Hikam 145 menyebutkan antaranya bermaksud (Bila dituturkan puji pada dirimu sedangkan kau tidak layak, maka pujilah Dia dengan pujian yang layak pada-Nya).

Runtuhlah kenamaan, dan tunduklah keegoan. Tersedar ketidaklayakan. Hikam 146 menyebutkan antaranya bermaksud (Zuhhad - Orang yang Zuhud - itu bila dipuji mereka berasa sempit dada kerana mereka menyaksikan pujian daripada makhluk, akan tetapi Ariffin - orang yang kenal Tuhan - itu bila dipuji mereka berasa lapang, kerana mereka menyaksikan pujian itu daripada Tuhan Raja Yang Hak.)

Lalu kita yang bukan Zuhud apatah lagi belum Arifiin Billah, tidak seharusnya menyabitkan pujian itu pada diri, tetapi pada Tuhan segala diri, yang Menguasai segala-galanya. Ambillah peluang untuk memperbaiki diri.

Sungguh, diri yang tidak punya apa-apa ini, tidak kira betapa cerahnya di mata orang lain, masih banyak titik hitam di dalam. Sangkaan orang yang baik itu tanda mereka mengelokkan dzan mereka, tetapi andai mereka mengetahui hakikatnya, pastilah diri ini tidak pernah bererti apa-apa. Hikmah 134 menyebutkan antaranya bermaksud (Tidak ada yang mendampingimu melainkan dia mendampingimu dalam keadaan dia mengetahui aibmu. Tidak ada yang demikian kecuali Tuhanmu yang Maha Pembelas).

Bersyukurlah kerana Dia menutup cacat celamu, dan membenarkanmu bersinar, walaupun kau tahu betapa buruknya dirimu, dan dalamnya kekuranganmu.

Sunday, March 28, 2010

Catatan Hujung Kembara 8 | Kenangan Yang Namanya Imtihaan

Pengalaman peperiksaan di Mesir ini ada banyak. Seingat saya, antara kenangan paling awal adalah kisah seorang kawan saya yang kehilangan beg, kitab, duit, kad pelajar bahkan seliparnya beberapa jam sebelum peperiksaan bermula. Tamparan sehebat itu sungguh saya tak mampu memikirkannya. Kalau kitab saja yang hilang sudah cukup membuatkan emosi terganggu, apatah lagi kesemuanya.

Tetapi antara pengalaman paling menarik juga adalah, mengajar orang lain kitab di malam periksa. Itu saya ingat ketika saya sendiri belum bersedia, kemudian dipinta menerangkan kitab kuliah lain. Tentulah, dengan sepenuh usaha saya melapangkan hati untuk mengajar, dan tentulah saya sedia mana yang saya sempat saja.

Pengalaman tiba lewat ke dewan peperiksaan mungkin jarang berlaku, kerana ia kurang patut. Tetapi kalau tinggal jauh dan kesukaran mendapatkan bas mungkin masalah ini kerap berlaku. Saya pernah terlewat hampir sejam dan hampir-hampir dihalau keluar, gara-gara terlelap ketika sedang mengulangkaji di waktu pagi sebelum bertolak. Kemudian keesokannya, saya terlewat lagi setengah jam, dan hampir-hampir dimarahi.

Antara yang paling dikenangkan adalah ketika saya melihat arab menghafal baris ke baris, muka ke muka dengan laju, sedang kita pula masih terkial-kial menghafal poin. Sejak dari hari itu, saya bertekad, selagi saya tak boleh melakukan seperti mana yang mereka lakukan, saya tidak akan menganggap diri saya lebih hebat dari mereka. Saya tidak mengambil mukarrar, bahkan soalan ramalan hinggalah nota. Mungkin saya sangat terkesan dengan hal seperti itu, kerana saya baru menyedari kejahilan dan kekurangan diri sendiri. Betapa jauh saya di belakang.

Saya pernah gagal; pernah merasa yang namanya i-'aadah, istisnaak, tetapi peliknya saya tidak berasa sedih. Mungkin saya mula menyedari perlahan-lahan, saya bukanlah seorang yang pandai, apatah lagi mahu mendakwa tahu. Pengalaman seperti kitab keluar dua minggu sebelum peperiksaan bermula pernah sekali saya rasa. Kalau kernih (kad pelajar) dibuat tiga minggu sebelum periksa pun pernah saya rasa. Lalu masuk peperiksaan dengan menggunakan pasport semata-mata.

Masa tidak pernah saya habiskan di dalam dewan, kecuali sekali. Itupun semata-mata nak merasa. Selalunya sejam setengah, atau paling cepat sejam, atau kalau lewat pun dua jam. Itu saya. Lain dengan beberapa kawan yang habis tiga jam mereka melumati jawapan di kertasnya. Meniru? Tidak. Tetapi pernah sekali saya bagi orang meniru di tahun satu dulu. Kemudian menyesal kerana tidak jujur. Kawan saya itu dari negara mana saya sudah lupa. Itulah yang pertama dan terakhir. Sejak itu, saya sudah kurang rapat dengannya.

Setiap kali peperiksaan, saya selalu melapangkan hati. Atau mencubanya. Walaupun kitab tidak habis saya baca, kerana saya tidak mengambil mukarrar. Menyelak helai demi helai membaca ketika masa cuma tinggal setengah jam atau sejam memang sangat merungsingkan, hingga hampir-hampir tidak dapat tumpu. Hingga ke minit-minit terakhir saya masih menyelak lembaran yang belum sempat saya jamah, apatah lagi hafal.

Menjawab seingat saya adalah dengan segala kemampuan saya. Kerap juga saya mencuba ayat-ayat baru dan uslub-uslub baru, dengan menggunakan kalimah-kalimah baru yang saya baru faham. Bertaruh saja kerjanya. Kalau manalah tahu doktor boleh terpegun melihat saya menggunakan ayat, mungkin mana tahu boleh dapat markah lebih. Pun begitu, menjawab dengan penuh keyakinan itu pernah juga saya rasa, dan pernah juga subjek yang yakin ia lulus kerana lancar saya menjawabnya didapati gagal, dan subjek yang tidak yakin lulus boleh memberikan hasil sebaliknya.

Pengalaman ada macam-macam. Ada yang manis, ada yang pahit, tetapi untuk menjadi dijadikan kenangan, semuanya sentiasa manis. Saya abadikan sebahagian kecil daripadanya sebagai kenang-kenangan untuk diri sendiri. Apapun, usaha adalah penting, dan lebih penting lagi, adalah niat yang ikhlas, semata-mata kerana-Mu. Ini bukan jihad atau perjuangan atau apa juga namanya. Ia cuma ujian keikhlasan diri, dan melihat di mana letaknya kami.

Thursday, March 25, 2010

Catatan Hujung Kembara 7 | Seberapa Panjang, Seberapa Luas - Perkenan-Mu

Sejak akhir-akhir ini, saya minat untuk mempelajari hadis. Barangkali kerana itulah wasiat seorang allamah kepada saya. Oh aku memohon peluang yang lebih panjang, Tuhan, serta perkenan-Mu agar dapat menyertainya, memanfaatkannya, memahami hadis Nabi-Mu, menjiwainya dan beramal dengannya.

Saturday, March 20, 2010

Catatan Hujung Kembara 6 | Mempertahankan Kenamaanmu Wahai Kekasih Allah

Kebetulan saya mendengar sendiri rakaman ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNAA) yang menyamakan Baginda s.a.w. ketika Baginda s.a.w. lahir dengan mana-mana saja bayi yang lahir di atas muka bumi ini, baik yang namanya Muhammad, atau mat, atau sesiapa sahaja. Pandangan beliau (TGNAA) ini saya kira adalah lanjutan kepada pandangan beliau sebelum ini, yang menyatakan bahawa menyambut maulid itu tidak salah, cuma yang lebih patut lagi disambut adalah hari Baginda s.a.w. diutuskan pada usia 40 tahun sebagai Rasul.

Sesiapa sahaja yang belajar dan meneliti dalil yang tersangat banyak akan segera mengetahui bahawa pandangan beliau adalah pandangan yang dibentuk daripada logik akal tanpa menimbangnya dengan neraca dalil. Dan sesiapa saja yang belajar dan meneliti dalil yang tersangat banyak akan tahu dengan sekali imbas saja bahawa apa yang beliau sebut adalah salah dan dikira telah mengeluarkan penyataan yang tidak sepatutnya.

Memang adalah patut kalau kita mendengar kalam ini untuk berasa marah. Tetapi, apabila kita marah dan melenting, orang awam memandang kita sebagai emosional. Dan bagi orang awam, orang yang emosional ini adalah salah. Lalu dengan pantas pandangan kita ditolak. Bayangkan anda bersendirian di dalam sebuah bangunan, tiba-tiba datang seorang lelaki memaki-maki dan menghina anda. Kemudian dia senyap. Kemudian orang ramai datang dan melihat anda dengan marah dan emosional memarahi lelaki tersebut.

Orang akan memikirkan, anda yang emosional inilah yang bersalah, dan si lelaki yang menghina-hina anda itulah yang betul. Semata-mata kerana anda bersikap emosional. Walaupun pada hakikatnya anda marah itu betul, dan kerana anda seorang manusia yang mempunyai perasaan, marah itu tidak dapat dielakkan dan akhirnya meletus. Hakikat ini tampak kelakar, tetapi begitulah yang terjadi.

Orang yang belajar dan meneliti dalil yang sangat banyak akan segera menyedari bahawa apa yang diungkapkan oleh TGNAA adalah berdasarkan logik akal. Bagi saya secara peribadi, sekiranya beliau dihadapkan dengan dalil-dalil yang tersangat banyak mengenai kebesaran tokoh Baginda Nabi s.a.w.; sekiranya beliau melapangkan dada, insya-Allah beliau boleh menarik balik ungkapan yang tidak sepatutnya diucapkan.

Dan kalaulah kita mengikuti pengajian daripada Syeikh-Syeikh Al-Azhar dan para ulamak sendiri, hakikat ini tersangatlah jelas bahawa ungkapan beliau itu adalah tidak sepatutnya. Sekiranya beliau meneliti dalil yang tersangat banyak dan mendengar pengajian daripada Syeikh-Syeikh Al-Azhar berkaitan hal ini, saya tidak fikir beliau akan mengeluarkan penyataan seperti itu.

Namun, secara ilmu, adakah penyataan itu serius? Kalau ia dituturkan oleh orang yang mempelajari dalil dan mengetahui hakikat dan mengikuti pengajian, ia adalah sangat serius. Kerana itu, mempelajari itu penting, kerana ia adalah pintu cahaya, dan belajarlah daripada mereka yang berguru, dan gurunya itu mempelajari daripada gurunya.

Saya fikir, ia bukan kali kedua ungkapan TGNAA itu mendapat respon daripada orang banyak, juga daripada para ilmuan. Kali pertama seingat saya adalah ketika beliau menyifatkan Allah samseng kalau tidak salah saya. Namun, sekiranya anda mempelajari akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan meneliti kesepakatan ulamak berkenaan sifat dan nama Allah, pantas sahaja kita akan mendapati jawapan mengenai hal tersebut. Kebetulan saya ada mengikuti pengajian daripada Syeikh Jamal Farouk ketika beliau - hafizahullah - mengajar kami mengenai bab ini daripada kitab Jauharatu t-Tauhiid, yang merupakan silibus Universiti al-Azhar Kuliah Usuluddin dalam mempelajari akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Di dalam kitab Jauharatu t-Tauhid ini juga menyebutkan mengenai sifat dan nama Baginda s.a.w. dan kesepakatan ulamak Ahli Sunnah berkenaannya. Adapun mengenai kelahiran Baginda s.a.w. bukan seperti kita orang biasa ada dinyatakan di dalam al-Quran. ٌRujuklah surah Sof ayat enam, yang bermaksud : (( Dan ketika (Nabi) Isa Ibnu Maryam berkata: Hai Bani Israa-iil, sesungguhnya aku adalah rasul (utusan) Allah kepada kalian, membenarkan kitab Taurat yang turun sebelumku, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang rasul yang akan datang sesudahku, nama beliau adalah Ahmad (Muhammad s.a.w.)....))

Kelahiran Baginda s.a.w. dikhabarkan sejak sebelum Baginda s.a.w. lahir lagi, dan sudah disifatkan bahawa beliau adalah Rasulullah. Nas ini sangat jelas bahawa Baginda s.a.w. bukan dipilih secara tiba-tiba apabila berumur 40 tahun. Nas ini sangat jelas bahawa kemunculan Baginda s.a.w. ke dunia itu sudah diketahui dan sudah menjadi insan pilihan sejak sebelum kelahiran Baginda lagi. Lalu bagaimana kita boleh menolak nas al-Quran yang sangat jelas ini lalu mengatakan bahawa Baginda s.a.w. itu mulia hanya setelah diutuskan ketika berumur 40 tahun, dan bukan menjadi insan mulia sejak dari lahir, bahkan sejak sebelum Baginda dilahirkan.

Adakah terfikir di benak kita, mengapakah Nabi Isa a.s. itu memberitahu kepada Bani Israel tentang kemunculan Nabi s.a.w. ini kalau bukan kerana besarnya ketokohan Baginda s.a.w. sehingga dikhabarkan beratus-ratus tahun sebelum kelahiran Baginda s.a.w sendiri. Kalau sultan mahu datang ke tempat anda, anda diberitahu beberapa hari sebelum, atau beberapa minggu sebelum, atau beberapa bulan sebelum. Tetapi Nabi Isa a.s. mengkhabarkan kepada para pengikut baginda beberapa ratus tahun sebelum Baginda Nabi s.a.w. lahir.

Rujuklah surah Aali 'Imroon ayat 81 yang bermaksud: ((Dan ketika Allah mengambil perjanjian daripada sekelian para Nabi: Sungguh, apabila Aku datangkan kepada kalian kitab dan hikmah, kemudian datang kepada kalian seorang rasul (Nabi Muhammad) yang membenarkan apa yang ada pada kalian; nescaya kalian akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya. Allah berfirman: Apakah kalian berikrar dan menerima perjanjian-Ku terhadap yang demikian itu? Mereka menjawab: Kami berikrar. Allah berfirman: Kalau begitu bersaksilah kalian, dan Aku menjadi saksi bersama-sama kalian.))

Persaksian ini adalah bukti besarnya kedudukan Baginda Nabi s.a.w. di sisi Allah dan para Nabi, sehingga para Nabi diminta membuat persaksian, kemudian Allah menutup persaksian mereka dengan bersama-sama mempersaksikannya. Oh, siapakah rasul yang dimaksudkan kalau bukan junjungan mulia, kekasih Allah, Nabi kita s.a.w. Bagaimanakah mungkin terfikir di benak bahawa Baginda itu hanya mulia setelah berusia 40 tahun.

Sungguh tulisan ini tidak bermaksud yang tidak elok atau menyinggung mana-mana pihak. Tetapi ketahuilah bahawa kalian adalah umat kepada penutup sekelian Nabi, junjungan besar yang wajib dipelihara kenamaannya, disayangi dan dicintai. Pelajarilah mengenai Baginda s.a.w. Mempertahankan Baginda s.a.w. adalah mesti. Itulah yang diajarkan kepada kita.

Friday, March 19, 2010

Catatan Hujung Kembara 5 | Perumpamaan Dan Pesepertian, Kedalaman Dan Pengungkapan

Saya masih ingat ketika saya sangat marah, terkilan dan kecewa kepada beberapa orang kawan kerana perbuatan mereka kepada saya, sehingga saya mengatakan (di dalam hati) bahawa hubungan persahabatan ini sudah putus. Merekalah penyebab saya naik marah, dan apabila melihat ketidakpuasan hati saya lalu mereka memberikan beberapa sebab dan alasan supaya saya boleh kembali reda. Namun apa yang saya fikir, untuk berterusan bersama mereka padahal saya sangat marah hanya akan menyakitkan hati sahaja.

Lalu, saya mengarang sebuah sajak untuk menggambarkan maksud saya. Saya menulis:

Jambatan telah runtuh
setelah kalian merentasinya.

Laut kemudian menjadi petrol
di tangan kalian sumbunya.

Asap hitam menjelma awan
lalu turun hujan palsu.

Bukankah sini dan sana
telah jadi dua benua?

Lautan api kalau direnangi
rentung tak dikenal lagi.

Bukan itu yang hendak saya sampaikan sebenarnya. Kemarahan ini sudah saya maafkan semuanya. Tetapi saya ingin menulis mengenai ta'-biir dan pengungkapan. Perbezaan dan kesan yang terkandung di dalamnya.

Terdapat perbezaan yang jelas, apabila kita membaca ayat hakikat, dan ayat majaz (kiasan). Ayat hakikat adalah perenggan pertama di atas tadi. Ayat majaz adalah sajak yang saya tulis. Kedua-duanya ingin menyampaikan maksud yang sama, tetapi dengan jalan pengungkapan yang berbeza. Manakan sama bila saya mengatakan "hubungan kita sudah putus" berbanding apabila saya menyebut "jambatan telah runtuh, setelah kalian merentasinya".

Adakah memberikan kesan yang kuat bila saya menulis "merekalah penyebab saya naik marah" berbanding apabila saya menulis "laut kemudian menjadi petrol, di tangan kalian sumbunya". Mungkinkah penyataan "memberikan beberapa sebab dan alasan supaya saya boleh kembali reda" boleh menggambarkan dalamnya maksud berbanding ayat "asap hitam menjelma awan, lalu turun hujan palsu".

Adakah kalau saya menulis "berterusan bersama mereka padahal saya sangat marah hanya akan menyakitkan hati sahaja" boleh sebanding dengan kalam "lautan api kalau direnang, rentung tak dikenal lagi".

Menyamakan antara 'hubungan' dengan 'jambatan'; antara 'putus' dengan 'runtuh'; antara 'penyebab' dengan 'sumbu'; antara 'kemarahan' dengan 'api'; antara 'alasan' dengan 'hujan'; adalah sejumlah kiasan untuk menggabungkan semua maksud, mewakili semua perkara.

Sesiapa yang membaca sajak ini akan menyedari, sejak dari mula, tidak ada jambatan yang direntasi. Tidak ada lautan yang menjadi petrol. Tidak ada asap yang menjadi awan. Tiada ada air yang turun dari hujan yang palsu. Dan tidak ada hujan pun. Dan tidak ada yang namanya lautan api. Walaupun ya, jambatan, lautan, asap, hujan dan api adalah benda yang wujud, dan boleh diadakan.

Tetapi, adakah anda sebagai orang yang mempunyai akal dan kefahaman bahasa memahami sajak saya bahawa ia adalah jambatan yang sebenar, yang menyeberang antara dua kawasan tanah. Adakah fikiran anda memahami secara hakikat bahawa laut yang dinyatakan itu menjadi petrol, kemudian ada tangan yang membakarnya. Bagaimanakah mungkin seorang yang berakal seperti kita mengatakan bahawa maksud asap hitam menjelma awan adalah hakikat, padahal jauh di lubuk hati kita memahami maksud di sebalik maksud. Luruskah akal kita kalau memahami penyataan 'kalian merentasi jambatan' sebagai penyataan hakikat dan bukan kiasan?

Mengapakah diungkapkan penyataan ini secara kiasan, dan tidak menggunakan ayat hakikat, adalah satu soalan yang tidak sepatutnya ditanyakan. Mana satukah memberikan kesan yang kuat antara kedua-duanya? Mana satukah yang menggambarkan keindahan makna? Dan mana satukah yang sesuai ditujukan kepada orang 'berakal' seperti kita?

Tentulah kalau ayat kiasan ditujukan kepada pelajar tadika yang tidak memahami apa-apa, adalah satu perbuatan sia-sia. Tetapi ia ditujukan kepada pemilik akal, pemaham bahasa, pempunya jiwa dan rasa yang lurus, lalu maksud ini seharusnya difahami langsung ke sasarannya. Kalau ini adalah fenomena kalam kita sebagai makhluk, yang menyedari betapa besarnya kesan penggunaan majaz dan kiasan di dalam kalam, tentu kita boleh memahami mengapa penggunaan majaz juga boleh berada di dalam ayat-ayat Quran dan tak-bir Nabawii yang ditujukan kepada kita.

Ahli Balaghah sepakat bahawa penggunaan majaz (kiasan) ini lebih menyampaikan maksud berbanding ayat hakikat. Bahkan ayat hakikat dalam beberapa keadaan kurang indah dan tidak mengesankan, bahkan tidak dapat menyampaikan kedalaman maksud. Kalau anda kata "saya sangat marah", adakah kemarahan itu boleh ditentukan sekuat mana, berbanding kalau anda mengatakan "aku bernafas asap, kerana api terbakar di dalam" yang mengilhamkan kemarahan itu membuak-buak pada setiap saat kita hidup dan bernafas.

Di dalam al-Quran dan hadis juga begitu. Sebahagiannya disampaikan dalam bentuk majaz dan kiasan, dan tidak seharusnya difahami secara hakikat, kerana memahami secara hakikat (pada sesetengah ayat) adalah kefahaman yang tidak didakwa oleh mana-mana pemilik akal sekalipun. Atau hanya akan didakwa oleh orang yang mempunyai nilai faham dan rasa yang di bawah paras sepatutnya. Atau hanya akan didakwa oleh orang yang tidak mampu memahami maksud di sebalik maksud.

Bahkan, kita akan menyedari betapa kalam kita sebagai manusia sangatlah bersifat kekurangan. Apabila kita ditanya apakah itu manis, kita tidak mampu memaknakan melainkan kita menyamakan rasanya dengan gula. Apabila kita ditanya apakah itu masin, kita tidak mampu memaksudkannya melainkan menyamakannya dengan garam. Lalu bagaimana apabila seseorang yang tidak pernah melihat gula dan garam, meminta kita menggambarkan bentuknya kepada kita, lalu kita berkata ia sangat halus seperti pasir atau tepung?

Mengapakah kita menggunakan perumpamaan, pesepertian ini, kalau bukan kerana kekurangan yang wujud dalam bahasa kita sebagai makhluk. Lalu bagaimanakah kita sebagai pemilik akal mendakwa sesuatu yang bertentangan dengan akal, lalu meletakkan kita setaraf dengan kanak-kanak kecil di hadapan keindahan makna dan pengungkapan?

Thursday, March 18, 2010

Catatan Hujung Kembara 4 | Timur Dan Barat, Utara Dan Selatan

Baru saja rasanya saya berpesan kepada mereka yang mengikuti penerangan saya di Mansurah sekitar penulisan, antaranya saya menyebutkan tentang peri pentingnya memerhatikan maksud di sebalik maksud. Iaitu memerhatikan ayat yang ditulis dari kaca mata pemerhati. Iaitu memerhatikan kalau-kalau tulisan itu boleh disalahfahami kerana kebarangkalian maksud yang terkandung di dalamnya. Apabila pembaca memerhatikan dari sudut pandang yang lain.

Bagi saya, ia adalah salah penulis kalau pembaca tersalah memahami maksud. Bagi saya, penulis perlu menilai sangat jauh ke dalam tulisannya dan menimbangkan kebarangkalian maksud yang terkandung. Bagi saya, memahami dalam ke luar - luar ke dalam adalah kerja penulis, dan dialah yang mengawal bukan saja isi, idea bahkan perasaan yang timbul dan kesan yang dirasai oleh pembaca.

Tetapi, tak sangka saya sendiri mengabaikannya dalam tulisan saya di blog seorang kawan, kerana menyangkakan maksud saya jelas rupanya keliru. Teringatkan hakikat ini, saya jadi kelakar sendiri. Betapa, ada perkara yang kita sebagai pembaca tersangat boleh tersalah faham, kerana ketidakjelasan tulisan penulis, apatah lagi apabila ada benda yang dia tak nyatakan secara jelas.

Pengajaran ini sangat berharga bagi saya, kerana itu saya abadikan. Kerana, tulisan saya sendiri, bila dibaca berkali-kali, memberi faham yang menuju kedua arah yang bertentangan. Dan kedua-duanya betul dari sudut bahasa, betul dari sudut lafaz, tetapi masih juga memberi faham yang berlainan; timur ke barat, utara ke selatan. Dan untuk setiap arah, mempunyai isyarat masing-masing yang membantu kepada kedua-dua arah.

Sungguh kami ini Tuhan adalah hamba-Mu yang cetek capaian fahamnya, cepat buruk sangkanya, bahkan tergesa-gesa lalu terlalu berani menerjah kepada apa yang kami jahil padanya. Tetapi ampunkanlah, Engkau pemilik segala. Dan kurniakanlah luas makrifah-Mu, dan dalam ilmu-Mu.

Wednesday, March 17, 2010

Catatan Hujung Kembara 3 | Faata, Yudrok Wa Lam

Terlalu banyak yang terlepas untuk dicatatkan. Sesetengahnya kerana tiada kesempatan atau alat. Sesetengahnya kerana sensitif atau peribadi. Sesetengahnya kerana ia adalah ulangan yang pernah dilalui. Sesetengahnya kerana ia membosankan, atau melecehkan, atau mempunyai kesan sampingan.

Tetapi, antara yang paling sukar dicatat dan dirakamkan adalah perasaan. Dalam nilai yang sama dan serupa. Bila masa berlalu, keadaan bertukar, kalaupun kita boleh mengingatnya, kita sudah lupa bagaimanakah rasanya yang serupa. Dan paling-paling, kita mencatatnya dengan lafaz "saya gembira" atau "saya sangat gembira" atau "inilah hari yang paling gembira bagi saya". Namun, nilai dan tingkatan perasaan itu sudah tidak dapat dicam.

Kerana itulah, kita menggunakan perbandingan tertentu untuk mengingatkan semula nilai perasaan yang sama. Kita kata, kerana terlalu gembira lulus contohnya - "kalau gagal lain kali pun aku tak kisah" untuk menunjukkan perasaan gembira itu bukan semata-mata gembira, tetapi disertai kepuasan dan kelapangan hati yang kalau ditimpa sebuah musibah pun hati kita tidak mengecil sehingga terasa sempit dan susah hati.

Perasaan selalunya menggambarkan maksud di sebalik jiwa, dan ia secara zahir hampir sama, tetapi secara batin mempunyai tingkatan nilai yang berbeza. Kadangkala mengingat semula ini sangat penting, dan melupakannya bererti melupakan setengah diri kita.

Tuesday, March 16, 2010

Catatan Hujung Kembara 2 | Primer Yang Bukan Skunder, Adalah Jalan Yang Panjang

Dulu saya ditanya, mengapakah saya memilih kuliah Lughah dan ia adalah kerana sangking sukanya pada Nahu. Tetapi di setengah tahun pertama sudah menyedarkan saya betapa ilmu Nahu ini tidak dapat dicapai tanpa penguasaan Saraf/Dilalah yang mencukupi. Atau menguasai Nahu tanpa kekukuhan penguasaan kalimah hanya boleh sampai ke 60% sahaja. Hakikat itu rupanya benar bila guru saya, Syeikh Fathi menyebutkan bahawa I'-rob itu adalah cabang makna.

Tetapi setelah saya menjejak tahun keenam di Mesir, saya menyedari hakikat baru. Bahawa menguasai Nahu tidak memadai tanpa menguasai ilmu qiraat sekali. Atau barangkali, kita cuma dapat memahami Nahu dari sumber skunder, bukan primer. Para Lughawiyun di zaman dahulu rata-ratanya adalah pakar dalam qiraat, dan mereka beristisyhad dengan dalam ilmu yang mereka miliki. Dan kita, sekadar mempelajari hasil dari penelitian mereka yang dalam.

Seperti mana saya membayangkan bahawa mempelajari Feqh akan lebih berkesan sekiranya kita pernah mendengar seberapa banyak hadis, begitu juga mempelajari hadis akan lebih berkesan sekiranya kita mengetahui ulum hadis sekali. Seperti mana mempelajari akidah akan lebih berkesan apabila kita menguasai ilmu mantiq, begitu juga mempelajari balaghah akan lebih berkesan apabila kita menguasai ilmu adab dan syairnya sekali. Menguasai ilmu Usul Feqh juga sama, akan lebih berkesan bila kita menguasai ilmu dilalah dan ilmu bantu yang lain.

Ringkasnya, sebuah binaan itu supaya benar-benar kukuh dan asli, selain daripada memiliki tapak yang kukuh, ia perlu kepada dokongan dari setiap penjuru.

Monday, March 15, 2010

Catatan Hujung Kembara 1 | Sedikit Yang Sangat Sedikit

Pernah saya terbaca di mukaddimah kitab mana (tapi malangnya bila dicari-cari semula tak jumpa) sebuah kalam yang bermaksud: pengarang kitab mengharapkan karangan mereka dipuji, tetapi pengarang kamus cuma mengharapkan agar kamus mereka selamat dari dikritik. Kalam sebegitu mengilhamkan betapa sukarnya usaha mereka hingga tidak mengharap hasil yang sehingga disanjung, hanya mengharap agar jangan sampai ia ditolak ketepi.

Buktinya jelas. Saya sendiri saja sudah mengkritik entah berapa banyak pemaknaan, walaupun sebetulnya saya sendiri sedar betapa saya sendiri pun belum memahami walau satu perseratus ribu kalimah yang ada. Adakah kerana saya sendiri tajarruk (memberanikan diri tampil) ke pentas ini atau kerana saya diberi peluang untuk meneliti kadar kefahaman yang dibukakan kepada saya; Allah sahaja yang tahu.

Sungguh tidak ada yang lebih menakutkan daripada tersilap memahami, dan tersilap memahamkan yang lain. Kerana itulah kita memohon taufiiq dan sadaad. Namun, waktu yang berbaki makin sikit, kembara ini makin hampir ke hujung. Saya juga sedar saya belum menunaikan tanggungjawab kepada ibu bapa sebagai seorang anak, walaupun saya tahu, saya masih ingin meneruskan musafir ilmu ini. Kalaulah ditanyakan kepada saya apa yang saya mahu, inilah jawapan yang saya pilih.

Bila dikenangkan, sungguh banyak waktu yang saya agihkan untuk perkara lain selama ini, dan kini berbaki sedikit yang sangat sedikit. Benih yang ditanam baru saja bertunas, belum sempat menjadi batang, atau dahan apatah lagi berbunga dan berbuah. Namun, kalaupun esok kiamat, takkan dibiarkan benih di tangan kecuali pasti akan ditanam. Selebihnya pada Tuhan segala-galanya diserahkan.

Sunday, March 14, 2010

Tahniah-Tahniah Yang Berbilang-Bilang

Tahniah untuk adik saya, Intan Faizah M.Noor yang menamatkan zaman bujang pada 13 Mac semalam dengan pasangannya; Zulhairi Mansor. Selamat menjadi isteri, suami, ayah dan ibu yang baik, soleh dan menjadi teladan untuk anak-anak. Banyakkan selawat, semoga semua urusanmu dipermudahkan.

Juga tahniah untuk sahabat saya, Hafiz Noramli Halimi yang juga menamatkan zaman bujangnya 11 Mac lalu.

Tahniah juga untuk adik saya Mohd Mursyid di atas keputusan SPM-nya dengan 9A dan 2B. Maaf lambat tahu, dan lambat ucap. Tiada yang memberitahu. Di sini agak sibuk, jadi terlepas banyak perkara.

Untuk Najib dan Fahmi, perkahwinan itu ibadat, jangan lupa mulakannya dengan niat. Semoga jadi ibadah yang panjang hingga ke akhir hayat.

Friday, March 12, 2010

Toiyaballahu A-tsarah, Wa A'-lallahu Darajatahu Fi l-Jannah

Kembalinya beliau ke Rafiiqi l-A'-la, Syeikhu l-Azhar, al-Imamu l-Akbar, al-Ustaaz ad-Doktor, Muhammad Saiyid Tontoowii - Toiyaballahu A-tsarah. Ya Allah, rahmatilah beliau, berkatilah beliau, tempatkanlah beliau bersama para soodiqiin soolihiin di syurga-Mu yang tertinggi, ampunilah kekurangan dan silap, gantikanlah ia dengan ganjaran dan kebaikan.

Hadiahkan - dari hati yang ikhlas - al-Faatihah, serta dan doa. Pemergiannya adalah kehilangan.