Thursday, June 28, 2007

Maafkan Saya Kak Azah

Sebetulnya, Puan Azah ada berutusan e-mel dengan saya. Setelah saya mulakan pertanyaan mengenai Wacana Sastera Utusan 2007, via e-mel kepada beliau.

Wacana ini istimewa kerana mengumpulkan panel hakim HSKU dan membuka peluang untuk soal jawab dan berkongsi pengalaman mengenai pengadilan HSKU dan lain-lain. (Saya belum pernah pergi, itu khabar yang saya terima.)

Menurut maklumat paling terkini, diadakan di hotel besar 5 bintang di Kuala Lumpur pada 4 Ogos ini, saya benar-benar mahu pergi, apatahlagi antara sebab tarikh itu dipilih adalah kerana siswa Azhar ini balik lewat, dan peluang ini mahu dibuka kepada mereka.

Dan sebenarnya, saya sudah menyatakan hasrat mahu ikut serta, sungguh-sungguh mahu ikut, tapi 4 haribulan itu adik saya konvo, dan terasa tak enak meninggalkan keluarga untuk ke tempat lain. Lagipula dengan kepulangan kali pertama setelah bermukim 4 tahun di rantau orang, saya meragui kalau mak ayah saya benarkan saya, apatah lagi dengan konvo adik saya, ganda lagi keraguan itu dengan sikap ayah yang tak menyokong minat saya dalam bidang ini.

Saya benar mahu pergi, tapi maafkan saya Kak Azah, sebab terpaksa menguzurkan diri, terasa bersalah sangat bila sayalah yang menyetujui tarikh itu dan kemudian membatalkannya. Saya rasa rakan-rakan penulis yang pulang awal dan mempunyai kelapangan, janganlah lepaskan peluang ini, nanti sampaikan isinya pada saya.

Friday, June 22, 2007

Malam Yang Tak Berpergian

Malam ini sebenarnya saya diajak untuk makan-makan di Restoran Rumah Perlis kalau tak salah saya. Orang nak belanja, saya sendiri kurang pasti atas tujuan apa, imma meraikan berlalunya kursus blog yang dengannya ramai yang berpenat lelah hingga terlantar lepak sehari semalam, (saya sendiri terlantar kepenatan dua hari lamanya), ataupun semata-mata kerana tanda terima kasih untuk ajk-ajk BCC yang selama ini membantu menyelia BCC. Dan sempat makanan ditempah dahulu (katanya) untuk makan-makan malam ini.

Dan sebenarnya, saya rasa tak mahu pergi, dan saya sendiri tidak tahu kenapa. Saya hargai kalau itulah tanda terima kasih dan penghargaan, tapi saya sendiri keliru kenapa saya tak berkeinginan pergi. Mungkin sebab baki penat belum habis lagi, atau sebenarnya kerana ia agak jauh (kalau di Mendi kan lebih dekat, tak pun Asiil) atau kerana saya rasa makanan di sana mahal berbanding kepuasan makan nus firah atau farhah wahidah di kedai Arab dengan harga yang lebih murah. Mungkin juga kerana saya tiba-tiba terasa malas malam ini, atau mungkin kerana mood saya tak berapa baik, atau mungkin kerana sebab-sebab itu semuanya bercampur menjadi satu, atau terkerat sebahagiannya dan bercantum dengan sebahagian yang lain.

Apa yang saya tahu, saya sendiri tak tahu kenapa saya enggan pergi, padahal orang belanja makan. Biasanya saya tak lepaskan peluang ini. Tapi entah, saya sendiri kurang faham dengan diri sendiri. Maafkan saya. Allahu A'lam.

Tuesday, June 19, 2007

Sebetulnya Dalam Kepatutan

Seharusnya, kita patut belajar menghargai hati-hati orang yang selalu berfikir mahu memberi dan membantu meringankan. Kerana bertindak sebaliknya akan memberikan kerugian jangka panjang. Atau sekurang-kurangnya menyebabkan kita terbuat kesalahan yang tidak menyenangkan sesiapa saja. Lagipula kita berdepan dengan individu yang bukan ayah dan bukan ibu, yang dengan sifat penyayang mereka, walau tanpa dibalas, mereka masih boleh bersabar dan terus memberi. Hebatnya kasih ayah dan kasih ibu. Tapi bagaimana dengan insan yang bukan mereka berdua? Adakah kita mengharap mereka boleh bertindak seperti mana ibu dan ayah kita yang tidak putus memberi walau dalam apa keadaan sekalipun?

Sebetulnya, menghargai ayah dan ibu adalah sangat perlu. Menerangkan sebab adalah tidak perlu di sini kerana semua kita memakluminya. Ayah dan ibu adalah pemanjang langkah kita. Pendalam usaha kita. Banyak benda yang tak dapat kita capai tanpa pertolongan mereka, walaupun dalam beberapa hal mereka juga pendek dalam membantu. Kependekan itu mungkin adalah kelemahan, tetapi kepanjangan dan kedalaman itulah yang perlu dihargai. Yang akan menyukarkan langkah dan usaha kalau kekurangannya.

Bagaimana pula dengan orang yang saya sebutkan sebagai orang yang selalu memikirkan mahu memberi? Ada banyak juga perkara yang akan kita kekurangan atas sebab yang sama. Masalahnya, kita tidak cukup celik melihat semua itu. Selalu manusia menjadi buta dan rabun melihat perspektif ini. Ataupun sebenarnya masalah telah bermula sejak awal, sejak kita asyik tercari-cari sebab untuk menghargai orang lain. Atau sebetulnya, kita langsung tak terfikirkan mengenai orang lain melainkan diri kita sendiri semata-mata sehari-hari hingga tak ternampakkan apa-apa yang melayakkan kita memberi penghargaan kepada mana-mana orang.

Untuk adik saya, Fahmi, yang masuk ke hospital akibat ulser perut, semoga disembuhkan Tuhan segera. Lain kali jaga makanan, okey?

Friday, June 15, 2007

Al-Fatiihah

Saya jarang salin dan tampal. Tapi kali ini saya salin dan tampal. Dari blog akhi Salman. Al-Faatihah.

Bumi Mansurah diselubungi kesedihan yang amat apabila seorang pelajar; Muhammad bin Ishak; (Terengganu) meninggal dunia pukul 1 pagi malam di hospital dauli akibat cedera parah. Banyak kesan tikaman di seluruh badan termasuk di leher, mata, peha dan yang paling teruk di kepalanya.

Kejadian berlaku lebih kurang pukul 7 malam hari Rabu 13 Jun di sebuah rumah pelajar Malaysia di pasar di Dirasat, Mansurah, Egypt. Mangsa yang sedang bermain komputer diserang dari belakang dan bergelut sehinggalah ditetak seluruh badan dengan 3 pisau. Antaranya pisau pemotong daging yang baru dibeli. Mangsa yang ditetak bertalu-talu lari ke balakon dalam keadaan berlumuran darah dan dilihat oleh sebahagian arab di pasar. Maka Arab tadi pun naik ke atas dan menjumpai mangsa terbaring berlumuran darah dan ada pelajar Malaysia lain di sisinya berlumuran darah. Maka Arab menangkap suspek dan menghantar mangsa ke hospital dauli.

Mangsa sedar dalam pukul 10 dan ditanya sebab suspek bertindak begitu; dia menjawab; "Dia tu gila", kemudian dia dibawa ke ICU. Pihak Kedutaan tiba dalam pukul 2 pagi dan diberitakan bahawa mangsa sudah menghembuskan nafas yang terakhir. Mangsa adalah pelajar tahun 3 Kuliah Usuluddin Jurusan Tafsir Azhar Mansurah. Suspek juga pelajar Malaysia. Suspek mengenali mangsa. Al-Fatihah.

Sunday, June 03, 2007

PHP, Joomla, WordPress dan Saya

Alhamdulillah. Akhirnya saya berjaya juga membina laman PHP sendiri. Menggunakan Joomla! Sejak dari dulu mahu cuba, tapi asyik tak menjadi, sebab terasa pening dengan bermacam-macam item yang tak difahami. Akhirnya, semalam mencuba di phpnet.us, dan tadi, dengan bantuan Ustaz Ahmad Yusof, ia menjadi. Tapi sebetulnya, saya masih tak faham. Masih jauh lagi rupanya.

Saya cuma tahu bahawa data asas perlu diketahui dahulu seperti url untuk control panel, username dan paswordnya, hostname utk SQL, username dan paswordnya, juga FTP server, utk memudahkan upload modul PHP dari komputer ke internet. Tapi tadi, kebetulan web phpnet.us itu telah siap-siap dengan installer Joomla, Mambo, WordPress dan macam-macam lagi, jadi tak perlu susah-susah upload. O ya. Lagi satu yang penting juga, Database Name, bagi satu alamat URL, mesti ada satu database name.

Saya juga membuat WordPress saya sendiri, dengan database name yang kedua. Untuk mencuba saja. Tapi setting dalam wordpress ini bagi saya lebih mudah difahami dari Joomla, mungkin sebab dah biasa, berbanding Joomla yang inilah kali pertama saya mencubanya. Apapun, saya rasa gembira dengan kejayaan ini, walaupun kecil di mata orang lain. Alhamdulillah.