Sunday, December 05, 2010

Al-Khairu Kulluhu Biyadih | Kebaikan Itu Seluruhnya Adalah Di Dalam Percaturan-Nya

Kebaikan itu semuanya di dalam genggaman Tuhan, bukan di dalam genggaman kita. Kita tidak pernah menguasai suatu apa pun, melainkan apa yang Tuhan perkenankan untuk kita. Lalu kita akur bahawa kita adalah manusia paling lemah, yang bukan saja tidak punya apa-apa, bahkan tidak mampu apa-apa, kerana apabila kita melakukan sesuatu, walau sekecil-kecil perkara, adalah dengan perkenan Tuhan.

Kita selalu menyangka bahawa kekayaan itu adalah kebaikan, tetapi berapa banyak sudah kita perhatikan orang yang binasa kerana kekayaan. Kita kemudian menyangka bahawa kegembiraan itu adalah kebaikan, tetapi kedapatan banyak mereka yang hanyut dengan kegembiraan yang lalai. Kita menyangka bahawa kebijaksanaan itu adalah kebaikan, tetapi betapa banyak yang membuat bencana dengan ilmu yang mereka ada. Kita menyangka itu dan ini adalah kebaikan, tetapi betapa banyak yang kita sangkakan itu diterbalikkan menjadi bencana kepada mereka.

Sebetulnya, kebaikan itu seluruhnya di genggaman Tuhan. Tidak satu pun di capaian kita, melainkan apa yang Dia capaikan untuk kita. Lalu mintalah kepada Maha Pemurah untuk mencapaikannya kepada kita, kerana Dia adalah Maha Pemurah, bukan seperti kita yang maha kedekut. Pintalah apa saja, dan ketahuilah bahawa Dia pasti menunaikan permintaan, atau menunaikan maksud pintaan.

Bukan bererti apabila kita masih dalam kemiskinan walaupun setelah meminta menjadi kaya itu bererti Dia kedekut dan menolak doa, bahkan itulah sebenarnya tanda pemberian, kerana Dia Maha Tahu. Sesetengah kita tidak elok keadaannya setelah kaya, kerana kekayaan membuatkannya sombong dan dosa, takbur dan besar diri, menghinakan orang, lalu dengan rahmat-Nya, Dia menjadikan sesetengah kita itu miskin, hatinya luluh dan penuh rendah diri, menjadi hamba-Nya yang selalu meletakkan harap kepada Pencipta, hingga kemiskinan itu merupakan rahmat dan berkat kerana kekayaan itu tidak membawanya kepada kebaikan.

Kerana kebaikan itu adalah di tangan Tuhan, bukan di tangan kita.

Pernahkah kita berjumpa dengan orang yang belum belajar bercakap, lalu dia banyak terdiam. Tidak pandai bergaul dengan orang. Tetapi setelah belajar bercakap, menjadi seorang yang fasih, lidahnya dia gunakan untuk mencaci orang, bahkan dengan cara yang seni dan indah, menghasut dan menimbulkan permusuhan sesama manusia dengan kesenian lidah dan tutur, lalu apakah kebaikan lebih dari dia mendiamkan diri, dan apakah manfaat lebih dari dia menjadi seorang yang tidak terjebak kepada semua itu?

Kerana kebaikan itu di dalam kekuasaan Tuhan, bukan di dalam capaian kita.

Akuilah kejahilan diri, bahawa kita bukan saja tidak mengetahui dunia apa lagi akhirat, bahkan jahil dengan kebaikan diri dan keburukannya. Lalu kita menjadi seorang yang tahu mengharap kepada Tuhan, meletakkan baik sangka terhadap apa saja yang Dia tetapkan untuk kita, supaya sifat kehambaan itu terpakai kepada diri bahawa kita adalah hamba-Nya yang jahil dan lemah, tidak mampu menguasai sesuatu walau sekecil apa-apa pun hinggalah diperkenankan-Nya. Semakin banyak yang mampu kita lakukan, semakin itulah menjadi tanda kemurahan Tuhan, belas ihsan-Nya, dan kasih sayang-Nya.

Kemudian janganlah menjadi takbur, kerana kita tidak mengetahui di manakah letaknya kebaikan, di mana letaknya keburukan. Kerana kita tidak mampu memutuskan sesuatu. Tetapi pohonlah, supaya Dia menghalakan kita kepada kebaikan, menyabarkan kita di atas ujian, kerana mukmin itu segala-gala mengenainya adalah kebaikan, apabila dia diberi dia bersyukur, apabila dia diuji dia bersabar. Pohonlah agar kita dijauhkan dari istidraj, zahirnya adalah kebaikan, namun intinya adalah bencana.

Tuhan, pandulah kami kepada kebaikan, dan tetapkan kami dalam kebaikan.

Saturday, December 04, 2010

Tiga Buku Dengan Kuantiti Terhad

Saya sudah tiba di tanah air. Membawa bersama saya Antologi Dalam 10 Yang Kugelar Cinta (RM 10), Tasrif Binak Af-'aal (RM 20) dan Kamus Mukjam Arabi Asasi (RM 70). Dengan kuantiti terhad, dengan sebutan harga di atas adalah tidak termasuk kos penghantaran. Bagi yang berminat sila segera hubungi saya di 019-7591984.

Friday, December 03, 2010

Catatan Hujung Kembara 54 | Terima Kasih Yang Terlewat Tetapi Kekal Menjadi Ingatan

Saya terlewat tetapi masih ingin dan ingat untuk mengucapkan sepenuh terima kasih saya kepada semua insan yang membantu terutamanya di tempoh akhir kembara saya di bumi Mesir. Kepada Al-Fadhil Al-Ustaz Nazri Al-Idrisi yang telah banyak menunjukkan jalan sehingga saya menemukan Syeikh Musa di Usfun untuk melengkap bacaan al-Quran saya, menjadi rantai hubung saya kepada Syeikh Mohd Awadh Al-Manquush yang mengajar begitu banyak mengenai ilmu dan hadis. Juga tidak terhingga terima kasih kepada Al-Fadhil Al-Ustaz Afiq Al-Kattaniy yang banyak membantu sehingga dapatlah saya menemui Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattaniy sebelum saya berangkat. Sejambak penuh terima kasih saya juga pada al-Ustaz Luqman al-Ghumari yang banyak berjasa kepada saya dengan menemukan saya pada memori berharga. Tidak dilupakan kepada Fadhilatu l-Ustaz Osman al-Ja'-fariy yang merupakan jalan saya kepada sekian banyak pintu, seorang sahabat yang juga guru.

Juga kepada ramai lagi yang tidak dapat saya sebutkan. Jasa budi baik kalian Tuhan saja dapat membalas dengan berkali-kali ganda. Semoga Dia mengumumi kita dengan rahmat-Nya.

Saturday, November 20, 2010

Catatan Awal Kembara | Mencari Langkah

Suasana Malaysia memang berbeza dan menjanggalkan kalau dibandingkan dengan suasana Mesir. Sama suasananya seperti kali pertama saya pulang dahulu. Semoga Allah memberi jalan kepada saya. Mereka yang mahu menghubungi saya, boleh dail ke nombor ini. +60197591984. Buat seketika ini, pergerakan saya masih agak terbatas. Insya-a -llah, apabila segalanya lancar, mungkin boleh memasang langkah yang lebih jauh.

Wednesday, October 20, 2010

Catatan Hujung Kembara 53 | Hatta Akuuna Ahabba Ilaihi Min Waalidihi Wa Waladihi Wa n-Naasi Ajma-'iin

Perasaan sayang itu sebetulnya aneh. Ia mengikat kuat hati manusia. Manusia sanggup berkorban dari sekecil-kecil harta, kepada sebesar-besar nyawa kerana sayang. Sanggup berusaha menepis secara serangan buruk, dan kalau perlukan kepada perisai, tubuh itu akan sanggup jadi gantian.

Kerana itu, insan yang paling terutama untuk kita sayang adalah Junjungan kita s.a.w. Supaya, hati kita kuat terikat padanya. Supaya kita tidak berasa sayangkan duit semata-mata untuk menziarahinya. Supaya, kita akan bersungguh-sungguh menepis serangan dan kejahilan orang yang ditujukan kepadanya. Kerana kita adalah perisainya, gantinya, tebusannya.

Supaya kita faham, bahawa kalau ada yang perlu kita pertahankan, baginda adalah yang pertama, bukan sebarang tokoh lain. Semoga Allah menyerapkan rasa sayang yang tertinggi ini, kerana seseorang itu tidak sempurna imannya, sehinggalah baginda merupakan orang yang paling dia sayangi, lebih dari ibu bapanya, daripada anak-anaknya, dan manusia seluruhnya.

Tuesday, October 19, 2010

Catatan Hujung Kembara 52 | Semoga Berjumpa Lagi Imaan

Untuk sahabat baik saya, Ustaz Dhiaa-u l-Iimaan, semoga perjalanan ini selamat tiba dan mudah urusannya. Moga dimudahkan lagi kita ketemu di tanah air kelak. Terima kasih atas segala bakti yang tidak ternilai. Semoga Tuhan membalas dengan gandaan kebaikan.

Saturday, October 16, 2010

Catatan Hujung Kembara 51 | Yang Menjadi Sanjungan Setiap Masa

Sebetulnya, saya ada dua perangai yang selalu saya kesalkan setelah terlajak laku. Pertama adalah suka bergurau, hingga apabila tidak berhati-hati, saya kerap menyesali. Walaupun sebetulnya bergurau bukan tabiat asal saya. Ia dibentuk bermula tingkatan empat di sekolah menengah dahulu oleh kawan baik saya, Abdu r-Rahman. Tetapi beliau cekap berhati-hati, itu yang saya tidak sempat belajar darinya.

Namun, dia mengajarkan sikap ini bukan kerana saja-saja, tetapi kerana saya mempunyai sikap yang kedua, iaitu terlalu serius, dan apabila tidak dikawal, ia dituruti bertukar kepada panas baran. Itu barulah sifat sebenarnya saya. Dan kini, saya memiliki kedua-duanya, dan orang yang selalu cuba mendidik sikap panas baran saya adalah ibu, sehingga ketika dia membelikan saya motor dia berkata, supaya saya boleh belajar bersabar.

Kerana itu, saya ingin memohon maaf kepada sesiapa saja kalau-kalau ada laku yang melukakan timbul dari dua kekesalan saya, bahawa saya juga masih dalam peringkat belajar. Kalau dapat, saya tidak mahu memikul rasa bersalah kepada sesiapa ketika pulang ke tanah air kelak. Dan, doakan sama kita akan berjaya menjejaki akhlak kekasih terutama, yang menjadi sanjungan setiap masa.

Friday, October 15, 2010

Catatan Hujung Kembara 50 | Sampai Bila-Bila

Saya sudah tidak ingat berapa banyak atau sedikit usaha saya untuk memajukan dunia penulisan di Mesir. Hanya Tuhan saja yang Maha Tahu apa yang telah saya lakukan, dan apa yang tidak saya lakukan. Pun begitu, saya juga menyedari bahawa, penulisan itu datangnya dari kesedaran dan didasari oleh ilmu. Bahkan, ia juga perlukan perkenan Tuhan. Selalu saya disumbatkan dengan maklumat bahawa penulis itu bukan lahir dari bengkel dan pembentangan, tetapi semua itu adalah perlu juga demi menjayakan matlamat.

Seingat saya, sudah beberapa kali juga saya membina pelapis, dan bilangannya saya kira jejak belasan atau lebih, namun semuanya telah pulang mendahului saya. Barangkali kerana saya tidak sehebat mereka dalam bab pelajaran ini. Dan saya fikir, saya menjalankan tugas yang dipikulkan kepada saya oleh generasi penulis terdahulu, walaupun ia tidak seberjaya yang diharapkan.

Saya tidak tahu, adakah mereka yang saya bina sempat meninggalkan pelapis selepas mereka atau tidak. Namun begitu, saya dapat melihat mereka berusaha membentuk pelapis setelah mereka, dengan bersungguh-sungguh, dan terdetik di kepala, bahawa tidak sia-sia juga usaha saya selama ini. Juga ingin saya tinggalkan pesan bahawa, penulisan itu tidak akan berjalan tanpa bekalan ilmu dan isian di dada. Jangan lupa untuk mengisi, sebelum anda mampu mencurah. Niat yang baik sahaja belum mencukupi untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

Terima kasih kepada semua yang berkumpul di sekeliling saya di medan ini. Saya ungkapkan di akhir ini ungkapan yang diungkapkan oleh Saudara Ubaidillah Alias kepada saya antaranya bermaksud: saya berazam untuk terus menulis, dan tidak meninggalkan lapangan ini sampai bila-bila.

Thursday, October 14, 2010

Catatan Hujung Kembara 49 | Gelegak Dan Reda

Saya tidak nafikan bahawa saya adalah seorang yang keras dahulu. Sangat tegas. Bahkan hampir-hampir tidak ada timbang rasa saya kira. Mungkin boleh diberikan nama syadid. Ketika ayah saya menegur kekerasan dan ketegasan saya, supaya saya lebih berlembut dengan adik beradik, mak saya mencelah dengan kata-kata, begitulah ayah kau dulu.

Tetapi bagi saya, manusia perlu belajar sikap bertimbang rasa dan berlembut. Tentulah ketika dia masih muda, darah masih panas dan menggelegak, dan semua itu terisi di dalam kepala yang mempunyai kefahaman dan ilmu yang masih cetek, tentulah perkara sebegini tidak mudah. Syukur dan puji kepada Tuhan yang membukakan jalan supaya menambahkan ilmu yang diambil dari orangnya, sehingga kini saya menyedari bahawa sebahagian besar ketegasan dulu itu adalah gopoh dan darah muda.

Kerana itu saya berpesan kepada teman-teman akan nasihat ini, supaya anda juga dibukakan jalan untuk melembutkan hati. Supaya mengetahui kebenaran dan menerimanya.

Wednesday, October 13, 2010

Catatan Hujung Kembara 48 | Ahlan Li t-Tahammul

Salah satu daripada cita-cita saya adalah untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Arab pelajar kita, pelajar Melayu. Tahap kefahaman kebanyakan pelajar yang saya jumpa bertahap sederhana, sebahagiannya rendah dan kedapatan juga yang mencapai tahap mengkagumkan. Saya sendiri secara jujur mempunyai banyak lompong di banyak bahagian, walaupun ada satu dua saja yang mencapai tahap sederhana.

Sejak saya sampai ke Mesir, saya sudah membuang neraca timbangan Melayu. Iaitu neraca yang mengukur tahap Melayu sesama Melayu, lalu melupakan betapa jauhnya kita dengan kedudukan tahap kefahaman orang Arab. Mengukur bukan dengan tujuan supaya meninggi kalau mengatasi, tetapi dengan tujuan supaya sentiasa sedar bahawa sasaran masih terlalu jauh, pertama kerana darah yang ajam, darah orang bukan Arab, kedua kerana keupayaan dan persediaan kurang, terlalu banyak lubang di bekas takungan, ketiga kerana keinginan dan cita-cita, setinggi manakah.

Kerana itu, saya selalu melihat betapa ceteknya ilmu saya, bahkan pada fakulti yang saya ambil. Kesedaran ini sebetulnya bukanlah untuk menjadikan diri putus asa, kerana putus asa itu bukan perangai kita. Perangai kita adalah berusaha seberapa mampunya, dialas dengan memohon kepada fa-'el dan pelaku hakiki iaitu Allah, bahawa segala itu adalah kuasa-Nya dan segala itu adalah kehendak-Nya, bahawa manusia itu lemah walau pada perkara yang mereka berasa yakin melakukannya, maka apatah pula pada yang mereka tidak yakin dah berserah harap pada-Nya.

Pun begitu, segala usaha saya selama ini untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Arab pada saya adalah tidak sia-sia. Saya berharap, usaha-usaha saya akan diteruskan di sini oleh mereka yang pernah saya curahkan padanya, dan berharap usaha-usaha ini dan lainnya akan dapat saya mulakan di tanah air nanti. Bagi saya, kalau masalah bahasa teratasi sebelum pelajar ke al-Azhar, jumlah ilmu yang boleh dikutip di bumi Ulamak ini akan melambung tinggi, sekiranya disertai dengan kesedaran dan keinginan diri juga perkenan dari Tuhan. Bagi saya, terlalu banyak ilmu yang tercicir dari faham walaupun setelah gelombangnya ditangkap oleh gegendang kerana tersekat oleh tembok ketidakfahaman.

Bagi saya, setiap siswa dan siswi perlu ada kesedaran mahu meningkatkan tahap penguasaan ilmu juga bahasa Arab dan tidak sekadar berpuas hati dengan keputusan peperiksaan, tidak sekadar berlega diri dengan berjaya melampaui rakan sebangsa sebudaya, dan tidak menamatkan cita-cita menuntut ilmu sekadar ijazah sebaliknya memaparkan keinginan dan usaha kepada lebih dari itu. Semoga kita semua diperkenankan Tuhan dan dibukakan jalan ke arah itu.

Pun begitu, saya teringatkan sebuah doa Syeikh Muhammad Ibrahim 'Abdu l-Baa-'its yang beliau tulis di atas kertas antaranya bermakna, Ya Allah, jadikanlah aku dan mereka ini ahli untuk memikul ilmu dan syariat-Mu. Amiin.

Tuesday, October 12, 2010

Catatan Hujung Kembara 47 | Baina l-Amrain

Mungkin ada beberapa sebab dan alasan mengapa seseorang boleh berasa suka, atau berasa tidak suka untuk berada di Mesir. Sesetengahnya tidak suka kerana tidak tahan dengan perangai sesetengah orang Arab. Itu bagi saya adalah normal kerana kita adalah bangsa yang lemah lembut sesuai dengan peradaban Melayu. Tetapi berada beberapa tahun dan melalui kehidupan yang sebegini sedikit sebanyak menukar cara dan gaya kebanyakan orang. Kelihatan juga mereka yang menyalin penuh perangai sesetengah Arab yang kasar, hingga sudah tidak kelihatan lagi tatacara Melayu yang lemah lembut. Dan kebanyakannya, terkesan dengan sebahagian cara dan muamalat yang kurang enak ini, kerana al-mar-u ibnu bii-atihi, seseorang itu adalah anak kelahiran persekitarannya.

Namun bagi saya, masih terdapat cara dan muamalat yang elok yang patut disalin oleh kita. Sejak dulu, kalam seperti "Arab adalah kasar, tidak boleh dipercayai, suka menipu" dinukilkan dari generasi ke generasi menyebabkan sangkaan menjadi buruk. Ia adalah nukilan tidak wajar. Walaupun ya, berhati-hati adalah perlu, tetapi bersangka buruk bukanlah cara dan akhlak kita. Ia sebetulnya bisikan nafsu dan syaitan yang seharusnya kita jawab dengan bersangka baik, dan bisikan-bisikan itu bukanlah bisikan kita sebetulnya, kerana kita adalah muslimin yang berbaik sangka kepada muslimin, walaupun ya, dari sudut langkah dan cara, berhati-hati adalah amalan kerana tanpa berhati-hati, sangkaan buruk akan lebih mudah menerjah dan menjadikan kita lebih terdedah dengan bisikan tersebut. Kerana itu, sikap berhati-hati, bukan kerana kita bersangka buruk terhadap saudara seislam kita, tetapi demi mengelakkan diri terdedah kepada bisikan sangkaan buruk godaan nafsu.

Namun, menjadikan diri suka berada di Mesir juga mempunyai beberapa takwilan. Adakah kerana sesuatu faedah padanya, seperti rasa lapang dan selesa, atau kerana sumber pendapatan yang memudahkan, atau kerana kebaikan seperti pengajian yang menumbuh banyak lalu dapat diikuti, atau kerana pautan hati pada seseorang atau tokoh tertentu, semua ini mempunyai banyak pandangan orang terhadapnya. Bagi saya, sebab yang baik itu baik, dan sebab yang tidak itu tidak. Namun, bagi saya, menjadikan diri suka kepada Mesir, kerana benci kepada tanahair adalah tidak betul. Tetapi tidak suka kepada tanah air atas sebab yang mendesak seperti peperangan adalah suatu yang fitrah, tetapi lebih sempurna kalau ia ditambah dengan azam mahu mengubahnya. Siapa lagi yang akan mempertahankan tanah air kalau bukan pertiwinya sendiri?

Saya sendiri, ketika pulang tiga tahun lalu, berasa janggal dengan negara sendiri. Bahkan terdetik mahu segera pulang ke Mesir. Barangkali detikan seperti itu bukanlah kerana benci, tetapi kerana suasana yang banyak berbeza. Sebetulnya, saya perlukan masa menyesuaikan diri, walaupun sebetulnya menurut sesetengah orang, saya cepat menyesuaikan diri. Atau mungkin lebih tepat, kehendak menyesuaikan diri. Tetapi kalau perkara ini ditimbang secara akal, neraca akan memberat kepada tanggungjawab dan kewajipan, bukan kerana hati dan perasaan. Dan sekarang, di sebulan terakhir, saya rasa sedih kerana akan meninggalkan bumi yang belum cukup saya mengutip ilmunya, kerana singkatnya peluang disebabkan terlewatnya kesedaran, ceteknya kefahaman disebabkan rendahnya kemampuan. Walaupun ya, kerap juga saya menyatakan secara berselang-seli antara tugas kewajipan yang menanti dengan tugas kewajipan yang masih berbaki.

Sebetulnya, saya berazam untuk belajar lagi di sini kalau dibukakan peluang lagi, dan dalam kemampuan yang mencukupi. Tetapi benar juga, hutang budi perlu saya lunaskan supaya tidak terpundak sesal itu dan ini. Kerana itu, saya akan pulang juga. Insyaallah, saya akan pulang pertengahan November ini, 16 haribulan mengikut cadangan, tetapi tidak pasti kalau dicepatkan seminggu atas perbincangan. Kalau benar ini adalah kunjungan akhir saya ke bumi ini, saya berdoa kepada Tuhan, agar anak cucu cicit keturunan saya (kalau direzekikan) akan melengkapkan cita-cita ini, dan mahu saya mengutip pula dari mereka. Dan kalau ini ada sambungannya, saya berdoa kepada Tuhan, supaya di kali akan datang saya lebih bersedia untuk mengutip peluang, dan semoga dikurniakan yang lebih baik dan sempurna.

Biarlah kalam ini muncul lebih awal. Supaya bila tiba waktunya semua sudah terlupakan. Selamat tinggal. Entah bila akan bertemu lagi.

Monday, October 11, 2010

Catatan Hujung Kembara 46 | Sebulan Baki

Saya dijangka pulang pada pertengahan November ini. Saya berharap, akan dapat menyambung pengajian lagi di Mesir ini, kalau diizinkan Tuhan.

Thursday, October 07, 2010

Catatan Hujung Kembara 45 | Sudah Dikebas Orang

Itulah namanya jodoh. Itupun sudah lima tahun. Namun akhirnya dikebas orang. Leka. Tak Perasan. Tak sangka. Sungguh. Pantang lepa sikit saja. Nak buat macam mana.Mereka tangan panjang.

Memaklumkan, bahawa saya tidak dapat dihubungi melalui telefon buat masa ini. Bahkan yang paling sayang, nombor telefon beberapa orang syeikh yang saya simpan hanya di dalam telefon. Dan, mereka yang berurusan dengan saya boleh tinggalkan nombor telefon di bahagian komen atau hantar ke e-mel.

Sunday, September 19, 2010

Catatan Hujung Kembara 44 | Ketidakserasian Menjadi Bukti Ada Sesuatu Yang Hilang

Antara perkara yang berlegar-legar di kepala saya di sepuluh hari terakhir Ramadan lepas adalah mengenai huruf jar. Barangkali terkesan dengan muhadarah Syeikh Muhammad Ibrahim yang kerap membahaskan mengenai bahasa, dan antaranya mengenai huruf jar, barulah saya terfikirkan mengenainya.

Pertama adalah, huruf jar itu sentiasa berkait dengan fe-'el, adalah sesuatu yang maklum diketahui. Ia kalaupun berkait dengan isim, maka isim itu adalah isim yang membawa makna fe-'el. Atau ditaqdirkan membawa makna fe-'el. Kerana itu hubung kait huruf jar dan fe-'el sangat kuat. Perkara ini kebetulan berlegar di kepala saya lama dulu, tapi baru-baru ini saya dengar sendiri dari pengajian Syeikh Said.

Lanjutan kepada perkara pertama inilah yang saya fikirkan di akhir Ramadan baru ini. Iaitu mengenai huruf jar yang tidak sesuai dengan fe-'el. Kita menyedari bahawa setiap fe-'el mempunyai huruf jar yang sesuai dengannya. Kalau kita kata a-syaa-ra (menunjuk), maka kita padankan dengan huruf jar ila (kepada). Kalau kita kata af-ro-gho (mengosongkan), kita akan sesuaikan dengan min (daripada), dan kalau kita kata khola-'a (mencabut) kita akan kenakan dengan min (daripada). Mengapa kita kata tidak sesuai? Kerana pabila kita berkata mengosongkan, kita akan mengatakan, mengosongkan daripada, bukannya mengosongkan ke atas, atau mengosongkan pada.

Persoalannya, apabila fe-'el itu dipadankan dengan huruf jar yang tidak sesuai dengannya, apakah yang akan berlaku? Inilah yang kerap saya fikirkan dari muhadarah as-syeikh. Lalu saya dibukakan kefahaman ini. Bahawa apabila ia dipadankan dengan huruf jar yang tidak sesuai dengannya, maka sebetulnya, ada fe-'el yang mahzuf (dihilangkan) di antara keduanya.

Kerana itu, apabila kalimah afro-gho (mengosongkan) dipadankan dengan huruf jar 'ala (ke atas), maka setelah ditakdirkan mahzuf (kalimah yang dihilangkan) ia menjadi, afro-gho mina l-inaak, wa sobba 'alaihi (dikosongkan daripada bekas, dan dituangkan ke atasnya). Lafaz dikosongkan dikekalkan, dan dibuangkan kalimah daripada, bekas, dituangkan, dan dikekalkan kalimah ke atasnya. Jadilah afro-gho ala. Maka, af-ro-gho 'ala yang asalnya bermakna (mengosongkan ke atas) bertukar menjadi dituangkan ke atas. Bagaimana boleh berpindah dari makna mengosongkan kepada makna menuang, kalau bukan dengan takdir seperti di atas.

Fe-'el khola-'a (mencabut/melucut) ini apabila dipasangkan bersama huruf jar 'ala (ke atas), sefahamnya  bahawa asal ayat ini adalah, khola-'a minhu, wa kasa alaika (dicabut daripadanya, dan dipakaikan kepadamu), lalu kalimah daripada dibuang, begitu juga kalimah dipakaikan, dan yang tinggal adalah khola-'a 'ala. Khola-'a 'ala yang asalnya bermakna mencabutkan/melucutkan ke atas, bertukar kepada maksud memakaikan ke atasnya (baju dll.) Kalimah melucutkan di dalam ayat ini bertukar menjadi memakaikan, kerana takdir ini.

Kalimah Naala (mencapai) contohnya tidak memerlukan huruf jar, kerana ia adalah ia fe-'el muta-'addiy, namun apabila ia dipasangkan dengan min dan masih dikekalkan fungsinya sebagai muta-'addiy, maka naala ini bererti mencerca. Lalu dengan takdir ini, ia berbunyi, naala 'irda fulaan, wa hattohu minhu (mencapai maruah seseorang, dan menjatuhkan/menggugurkan maruah itu daripadanya). Lafaz mencapai dan daripadanya dikekalkan, manakala baki lafaz di antara keduanya dibuangkan.

Keringkasan ini bererti dua ayat yang digabungkan, lalu dikerat lafaz di antara keduanya, iaitu hujung ayat pertama, dan pangkal ayat kedua, dan hazaf dan buang dalam kalam Arab boleh berlaku dengan syarat ada sesuatu yang menunjukkan bahawa berlaku pembuangan, dan dalil yang menunjukkan sesuatu telah dibuang adalah ketidakserasian huruf jar dengan fe-'el. Begitulah saya menelaahnya.

Semua kefahaman dan percubaan untuk meletakkan takwil ini sebetulnya supaya memudahkan kita sebagai 'ajam memahami bahasa Arab. Apabila kamus dibuka dan maksud dijelaskan pun, masih kedapatan maksud yang tidak difahami, seperti mengapa makna mengosongkan boleh menjadi makna menuang? Seperti mengapa makna melucutkan boleh menjadi makna memakaikan? Dan bagaimana pula kalau kamus belum pernah meletakkan makna bagi pasangan fe-'el dan huruf jar yang tidak sesuai, bagaimana mahu kita memahaminya, tetapi kedapatan dalam kalam Arab.

Begitu juga, apabila semua kefahaman ini hanya berlegar di kepala, tanpa menyampaikannya, terasa sayang kalau ia hilang, setelah dibukakan, setelah dicarikan dalilnya, dan menepati maksudnya. Wallahu a'-lam.

Sunday, August 29, 2010

Natijah Hujung Kembara 43 | Natijah Dan Kembara Hujung

Setelah sebulan berlalu barulah saya pergi melihat sendiri natijah, keputusan peperiksaan. Ia sama seperti yang dikhabarkan kawan. Seperti biasa, saya tidaklah terlalu teruja melihatnya, kerana itu saya tak bergesa-gesa. Walaupun begitu, ia adalah natijah pertama saya kerana selama ini, saya berjaya naik tahun dengan membawa madah, subjek. Dan selama ini ia berbunyi - naik tahun dengan membawa madah. Kerana itu, saya tidak tahu natijah tahun satu saya, juga dua dan tiga.

Sebetulnya, saya sedih setelah lulus, tetapi bukan kerana lulus, tetapi kerana ia bermakna kembara ini sudah hampir ke penghujungnya. Waktu juga sudah semakin sedikit. Peluang untuk menambah ilmu semakin pendek. Terasa sayang mahu meninggalkan Mesir. Masih banyak yang mahu saya pelajari. Tetapi seperti mana kata para muhaddis zaman dulu yang antaranya bermaksud - walaupun kamu tunggu dua puluh tahun lagipun, akan masih ada hadis yang kau belum dengar.

Akur itu saya. Sudah banyak saya menanggungkan beban ke bahu ibu bapa. Mungkin sudah masanya untuk kembali. Beberapa urusan syahadah muaqqatah telah mula dibuat. Urusan syahadah asliah baru di peringkat permulaan. Urusan baru-baru ini lancar. Alhamdulillah. Harap segala-galanya dipermudahkan Tuhan. Pun begitu, puji itu segalanya pada Tuhan. Bahawa ia telah memperkenankan harapan ibu bapa saya.

Saturday, August 28, 2010

Catatan Hujung Kembara 42 | Subbuuhun Qudduus Rabbuna Wa Rabbu Kulli Syaik.

Saya berpesan kepada sesiapa sahaja, supaya berhati-hati apabila anda ingin menulis, atau menyatakan sesuatu mengenai Tuhan. Supaya kita tidak menyandarkan sesuatu yang tidak layak kepada Tuhan. Pilihlah kalimah berhati-hati. Perhatikan maksud berkali-kali.

Sebetulnya, bahasa kita, bahasa manusia, penuh dengan kekurangan. Apatah lagi apabila kita cuba menyatakan sesuatu mengenai Tuhan. Apabila kita mengatakan bahawa Tuhan itu hidup, secara halus ungkapan hidup ini sendiri mengandungi makna kekurangan, sehingga perlu ditaqdiskan dan disucikan dengan menambah bahawa hidupnya Tuhan itu tidak seperti hidupnya kita yang berakhir dengan kematian, hidupnya Tuhan bukan kerana wujudnya nyawa atau alat, dan lain-lain. Bahawa ia hidup bukan kerana wujudnya nyawa, bukan ada permulaan, dan tidak ada pengakhiran.

Tanpa menambah pentaqdisan ini, kalimah hidup semata-mata boleh mengilhamkan suatu maksud yang tidak layak kepada Tuhan bila difahami oleh sesetengah jahil. Maksud-maksud ini perlu dinafikan daripada Tuhan. Bila kita katakan Tuhan itu melihat, jangan sampai terdetik di fikiran atau di pemahaman kita maksud bahawa Tuhan itu mempunyai mata, kerana melihatnya Tuhan tidak seperti kita yang apabila pandangan kita dihadang, kita tidak nampak apa yang di depan, apabila mata kita buta, kita tidak nampak semua, apabila ia rabun, yang jelas jadi kelam. Kerana kalam manusia itu penuh dengan kekurangan. Kerana itu, maksud-maksud tanzih dan penyucian ini perlu wujud di kepala kita saat kita mendengarnya.Tuhan itu melihat bahawa kita tidak mampu menyembunyikan apa saja daripadanya, baik yang zahir seperti tingkah laku, baik yang batin seperti gerak hati dan niat.

Kerana itu, ibadah tanzih dan taqdis merupakan salah satu zikir yang utama dan mempunyai ganjaran yang sangat besar. Kita disuruh bertasbih Subhanallah, kerana kita sedar kita telah banyak menyandarkan kepada Tuhan sesuatu yang tidak layak secara tidak sedar. Bertasbihlah menyucikan Tuhan, kerana Dia Maha Suci dari segala kekurangan. Tidak kira betapa kita memuji Tuhan, pujian itu tidak pernah menunaikan hak pujian kepada Tuhan. Tidak kira betapa banyak kita menyembah-Nya, sembahan kita tidak pernah menunaikan hak yang selayaknya. Bertasbihlah, bahawa Dia Maha Layak dengan segala kesempurnaan, walaupun kita tidak mampu mengungkapkannya dengan lisan. Bertasbihlah menyucikan-Nya, dari segala yang terdetik di fikiran kita yang tidak layak dengan-Nya.

Sungguh kami tidak adalah makhluk-Mu yang penuh dengan kekurangan, ajarkan kami menyucikan-Mu dari segala ketidaklayakan. Ampunkan kami bahawa pujian kami tidak pernah cukup untuk memenuhi hak pujian kepada-Mu. Subhanallah itu ganjarannya memenuhi mizan timbangan, atau memenuhi seluruh langit dan bumi. Subhanallah itu cukuplah andai kita mengetahuinya.

Friday, August 27, 2010

Catatan Hujung Kembara 41 | Memahami Itu Indah

Saya tak punya banyak masa untuk menulis sebuah entri panjang. Tapi enggan juga idea yang berlegar dalam kepala ini hilang. Biarlah saya ringkaskan kepada beberapa poin. Memetik kata-kata Syeikh Yusri, sebaik-baik ketaatan adalah zikir, dan sebaik-baik zikir adalah solat, kerana di dalam solat terhimpun pelbagai ibadah; tasbih, doa, selawat, bacaan al-Quran, sujud, rukuk, istirghfar, itu tidak termasuk ibadah qalbi yang nilainya jauh lebih tinggi dari ibadah anggota. Itu poin pertama.

Poin kedua saya. Keindahan al-Quran itu terletak pada banyak perkara. Memahami juga termasuk dalam keindahan al-Quran. Sejauh pengalaman saya mendengar pengajian daripada beberapa syeikh, saya mendapati hakikat bahawa, memahami satu ayat al-Quran itu indah, tetapi ia akan lebih indah apabila memahami ayat-ayat sebelumnya, dan ayat-ayat selepasnya, memahami hubung kait dan pemilihan makna, memahami maksud di sebalik maksud yang zahir, memahami sasaran khitob dan nasikh mansukh juga yang lain-lain. Memahami ayat al-Quran itu tidak pernah ada penghujungnya, tidak kira berapa kali ia dibaca. Ia adalah sumber mata air yang tidak akan kering, dan kepuasan yang tidak ada penghujung.

Saya memerhatikan bahawa hubung kait antara ayat untuk memahami maksud di sebalik maksud adalah manhaj yang digunakan oleh kibar masyaikh. Allahumma habbib ilaiya l-Quran wa l-Hadis wa s-Sunnah, wa 'allimniihuma, wa fahhimniihuma, wa haffizniihuma. Allahumma aamiin.

Thursday, August 19, 2010

Catatan Hujung Kembara 40 | Menyerahkan Kepada Ahlinya Bukan Bermakna Anda Mengabaikan Akal

Kita memang disuruh menggunakan akal, tetapi bukan bermakna apabila timbul sesuatu yang akal kita tidak dapat mencapai maksudnya, kita disuruh menolaknya. Tidak bermakna apabila akal kita tidak mampu meraih maknanya, kita disuruh menghukum bahawa ia salah. Tidak bermakna apabila kita dalam keadaan itu bertindak menyerahkan kepada ahlinya, dianggap sebagai mengabaikan fungsi akal.

Barangkali perkara itu agak dalam, dan kalau cuba difaham dengan akal yang pendek, kita akan lemas. Dan apabila kita menarik diri dan menyerahkan kepada ahli yang reti merenanginya untuk memahaminya, perbuatan itu patut dan kita tidak digelar sebagai orang yang mensia-siakan fungsi akal. Kerana itu kita disuruh bersangka baik dengan ulamak, dan kita, dengan sebab kerana ilmu yang cetek tidak memahami dalamnya perbahasan, baiklah tidak terjun sama.

Pernah ada satu ketika saya kebetulan menemani kawan saya menemui Syeikh al-Muhaddits Muhammad Ibrahim al-Kattaanii sempat saya meminta wasiat untuk dia berikan kepada saya. Dia berpesan yang antaranya bermaksud, pelajarilah hadis, antara yang paling penting adalah Sohiihain, Riyaa-dhu s-Soolihiin, al-Azkar an-Nawawi dan Muwattok Maalik.

Sekali imbas, nasihat ini bererti belajar hadis, dan beliau menekankan 5 buah kitab yang diberikan keutamaan. Tetapi apabila saya mendengar wasiat dan nasihat ini, saya tidak memahaminya sekadar itu. Sebaliknya saya memahami bahawa dia di sebalik wasiat ini tersiratnya menyuruh supaya saya memperbaiki akhlak, kerana itu beliau mencadangkan kitab Riyaa-dhu s-Soolihiin, supaya saya menjejaki ahli solah dan memperbaiki amalan, kerana itu beliau mencadangkan al-Azkar, supaya saya mempelajari feqh mazhab Syafii dan menjejakinya bermula dari kitab hadis yang dihafal oleh al-Imam, iaitu Muwattok. Pesanannya berkenaan Sohiihain membawakan maksud bahawa supaya saya mempelajari hadis, bermula dari yang paling sohih.

Tetapi, adakah maksud ini terlintas di kepala sesiapa yang mendengarnya? Begitulah, itu tidak bermakna anda tidak menggunakan akal apabila mendengarnya. Begitu juga saya, barangkali maksud yang beliau hendak sampaikan lebih dalam daripada maksud lapis kedua yang saya fahami. Tetapi dari bertemunya, itulah yang saya rasakan ingin beliau sampaikan. Kerana setiap satu wasiat tersebut tepat mengenai batang hidung dan pintu hati saya.

Wednesday, August 18, 2010

Catatan Hujung Kembara 39 | Yang Masih Kurang Dan Belum Bertampal

Terdetik di hati ketika saya mempelajari beberapa bab dalam kitab Riyaa-dhu s-Soolihiin akan betapa masih terlalu banyak akhlak yang masih saya kurang dan cacat, betapa jahilnya saya dalam muaamalat dan pergaulan. Ampunkan aku Tuhan, pandulah aku ke akhlak Nabi-Mu, tampallah yang kurang, tukarkanlah singkatnya kefahaman kepada dalam, yang menyerapkan tahu akal ke lubuk hati. Allahumma -rzuqna tamaama mahabbatihi sollallahu alaihi wasallam, wa -ttibaa-'a sunnatih, wa -tta-adduba bi adaabi syarii-'aatih.

Monday, August 02, 2010

Catatan Hujung Kembara 38 | Kerana Kau Manusia Yang Punya Jiwa

Perkara yang selalu dilupakan orang adalah, al-Quran itu penuh dengan mukjizat, dan di antara mukjizatnya adalah ketinggian bahasa dan keindahannya yang tidak mampu diungkapkan oleh mana-mana manusia, melainkan kita meniru uslubnya, cara pengungkapannya, itupun masih tidak mampu menghampirinya, atau menandinginya. Bahasa al-Quran itu bahkan lebih tinggi daripada mana-mana sastera, sehingga kaum musyrikin tidak mampu menyahut cabaran ini, padahal mereka adalah jaguh sastera dan bahasa ketika itu. Cabaran itu berterusan bahkan sehinggalah hari kiamat. Kerana itu, tidak ada di dalam al-Quran ayat yang tidak indah, atau tidak mencapai kecantikan sastera tertentu, bahkan ia melampauinya.

Kerana itu, terdapat sekian banyak ayat yang mutasyaabihaat, bukan untuk membuatkan manusia menjadi keliru dan selisih, apatah lagi untuk menyifatkan Tuhan dengan sesuatu yang tidak sepatutnya, tidak selayaknya, tetapi untuk memahamkan dan mengilhamkan keindahan makna yang terkandung di sebaliknya. Inilah masalahnya apabila sastera diabaikan dan disisihkan, bahkan dianggap oleh sesetengah orang sebagai sia-sia, padahal ia banyak membantu kita menjiwai keindahan al-Quran. Padahal al-Quran itu adalah contoh sastera tertinggi, dan mengatasinya.

Mari kita bacakan contoh yang mudah, supaya maksud menjadi jelas. Ayat seperti lautan api akan kurenangi bukan bermaksud bahawa lautan api itu sesuatu yang wujud. Itu pertama. Bahkan, ia tidak bermaksud bahawa penutur ini tahu berenang. Boleh jadi ia boleh berenang, boleh jadi dia tidak reti berenang, dan boleh jadi dia tidak boleh berjalan sekalipun. Kerana ada saja orang cuma terlantar tetapi masih jatuh cinta. Itu kedua. Kalimah 'akan' bukan bermaksud ia hanya berlaku di waktu akan datang, kerana sekalipun di waktu akan datang, dia tidak akan berenang merentasi lautan api.

Kerana itu, ayat ini, yang mengandungi beberapa unsur seni tidak boleh sama sekali untuk difahami dari makna zahir, tidak pada kalimah laut, tidak juga pada kalimah api, tidak juga pada kalimah renang, tidak juga pada kalimah akan, dan tidak harus difahami bermakna zahir baik pada satu kalimah, atau pada mana-mana kalimah, kecuali pada kalimah aku (kurenangi). Ia sebetulnya adalah bermaksud sastera yang harus difahami secara keseluruhannya sekaligus.

Katakan kita mentakwil satu kalimah sahaja iaitu lautan api kepada kalimah kesukaran, maka ia akan menjadi, kesukaran itu akan kurenangi, dan maksudnya masih tidak mengena. Kecuali ia ditakwilkan keseluruhannya menjadi kesukaran itu akan kutempuhi. Barulah kefahaman akan jelas dan teratur. Soalannya, kenapa tidak diungkapkan sejak mula ayat kesusahan itu akan kutempuhi, tetapi memilih ayat yang mempunyai maksud di sebalik maksud?

Di situlah nilai keindahan memainkan peranan. Adakah si dia akan merasa perasaan terharu apabila mendengar ayat yang lurus saja maknanya, atau si dia akan lebih terharu apabila mendengar ayat yang mempunyai nilai sastera yang tinggi? Belahlah dadaku, lihatlah hatiku, juga tidak boleh difahami dengan maksud yang sama. Kerana sekalipun setelah bedah dan lihat, hasilnya masih sama, dan cinta yang mahu dicari di dalam hati itu tidak kelihatan setelah dada dibedah, kerana ia maknawi. Jadi, baik kalimah bedah, baik kalimah dada, baik kalimah lihat, baik kalimah hati, semuanya tidak harus difahami satu persatu secara zahir, kecuali kalimah aku.

Al-Quran itu indah. Ia bukan suatu nas yang picis. Ia mengandungi keindahan sastera yang tinggi. Bahkan lebih tinggi dari sastera itu sendiri. Tetapi ungkapan ayat-ayat mutasyabiihat itu tidak seharusnya difahami secara zahir, kerana memahami secara zahir itu akan menjatuhkan nilai makna yang tinggi di sebaliknya, bahkan menyebabkan tasybih dan menyerupakan Tuhan dengan makhluk sedangkan ia suatu yang dilarang dalam agama, sesuai dengan larangan-Nya yang bermaksud, ((Tiada yang serupa dengan-Nya)).

Oleh itu, kembalilah memahami hakikat ini, bahawa ia harus difahami dengan nilai sastera yang tinggi. Sekiranya orang memahami ayat mutasyabihat dengan makna zahir contohnya ayat yang bermaksud (tangan-Nya berada di atas tangan-tangan mereka), bagaimana kalau musuh-musuh Allah itu tidak bertangan, kudung misalnya, adakah pengungkapan ini benar? Adakah ia perlu ditukar kepada tangan Allah itu berada di atas kepala mereka, atau di atas bahu mereka? Tetapi ayat ini tidak boleh difahami secara zahir, bahkan lebih elok tidak ditakwil satu persatu, tidak pada kalimah tangan, tidak pada kalimah atas. Tetapi harus difahami secara keseluruhannya, iaitu kekuasaan Allah itu melampaui mana-mana kekuatan sekalipun, capaian-Nya mengatasi mana-mana capaian pun, kemampuan-Nya mengatasi mana-mana kemampuan pun.

Dakwaan ayat ini harus difahami secara zahir, adalah dakwaan yang tidak didakwa oleh mana-mana orang yang mempunyai kefahaman bahasa yang tepat, baik salaf mahupun khalaf, baik umat terdahulu, mahupun terkemudian. Mahu mengambil jalan selamat, maka golongan salafuna soleh (golongan terdahulu) menyerahkannya kepada Tuhan dengan kata-kata, kami tidak tahu, dan kami pasti bahawa ia bukan bermakna zahir. Itulah makna tafwidh, iaitu menyerahkannya kepada Tuhan. Bagaimana sesetengah orang yang tersilap faham maksud tafwidh ini boleh mengatakan kami menyerahkannya kepada Tuhan, dan dalam masa yang sama tidak menyerahkannya kepada Tuhan apabila memaksakan ia dimaknakan secara zahir. Oh, itu bukan tafwidh cik adik sayang. Itu bukan. Itu keliru.

Dan ya, ungkapan 'cik adik sayang' bukan bermakna anda seorang perempuan. Dan ia bukan bermakna kalam ini ditujukan kepada orang perempuan semata-mata. Dan bukan juga bermakna, ia ditujukan hanya kepada si dara yang disayangi. Semua kalimah itu, baik cik, baik adik, dan baik sayang, semuanya harus difahami secara keseluruhan, kerana kita adalah pemaham bahasa yang baik, memahami keindahan kerana jiwa kita adalah jiwa yang menyerap keindahan bahasa dan sastera juga kerana hati kita hati yang hidup. Akal kita akal yang lurus. Fahamilah bahawa sastera itu indah, dan ayat al-Quran itu bahkan lebih indah dari sastera.

Kita lupa bahawa kita adalah makhluk yang penuh dengan kekurangan. Bukan saja pada jasad, bahkan pada bahasa. Bahasa kita juga penuh dengan kekurangan. Kita bahkan tidak mampu mengungkapkan makna yang terkandung di dalam hati, setelah gagal mengungkapkan makna yang kita dapat lihat dengan mata kepala kita sendiri. Apabila kita tanyakan, apa itu manis, kita tidak boleh menerangkannya, melainkan kita terpaksa menyamakannya dengan gula. Kalau ditanya apa itu masin, kita tidak mampu menerangkannya, melainkan kita terpaksa menyamakannya dengan garam. Oh, bagaimana kalau orang yang bertanya itu tidak pernah merasa gula dan garam, adakah dia boleh memahaminya?

Padahal gula dan garam itu adalah benda yang kita saksikan hari-hari. Tetapi tetap tidak mampu kita terangkan. Ia wujud di depan mata bahkan. Bagaimana pula kalau maksud yang tidak kelihatan di depan mata, dan hanya wujud di kepala dan di dalam hati? Bukankah kita juga akan gagal mengungkapkannya melainkan terpaksa menyamakan dengan sesuatu yang lain? Dari situlah timbulnya idea menyamakan sesuatu dengan sesuatu.

Contohnya kita berasa gembira, tetapi kita tidak mampu menerangkan maksud gembira, melainkan dengan menyamakannya dengan sesuatu, bahkan kita juga dalam banyak keadaan menyamakannya dengan sesuatu yang tidak wujud atau tidak berlaku, dan ia tidak harus difahami secara zahir. Katakan kita gembira, lalu mengatakan, aku gembira seperti gembiranya ibu mendapat anak. Atau gembiranya seperti kalau aku dicampak ke gunung berapi 17 kali pun aku sanggup. Atau gembira sehingga hati aku terbuka sebesar langit, yang kalau diisi dengan segala duka pun ia akan muat, dan gembiraku takkan hilang.

Kerana itu, kita menanggapi ayat mutasyaabihaat, ayat yang penuh dengan perumpamaan, adalah sebagai ayat yang mengandungi nilai sastera yang tinggi, dan tidak seharusnya difahami secara zahir. Memahami secara zahir akan menjadikan kita seperti orang yang tidak faham bahasa, tidak punya akal yang tepat, dan jiwa yang hidup. Tetapi itu bukan bermakna tidak wujud ayat yang zahir di dalam al-Quran. Ayat yang zahir juga punya keindahan yang tersendiri. Tetapi apabila ayat yang mutasyaabihaat ini difahami secara zahir, dan menyebabkan kita melanggar larangan Tuhan bahawa tidak ada yang serupa dengan-Nya, baik sifat, baik zat, baik perlakuan, baik perbuatan, maka memahami secara zahir bukan saja menjatuhkan nilai ayat, bahkan menyalahi perintah Tuhan.

Kita sendiri, apabila mahu menjadikan ayat itu lebih mengesankan, akan memilih jalan tasybih dan menyamakan sesuatu dengan sesuatu. Apabila apabila kita mahu menjadikannya lebih lebih mengesankan lagi, kita akan sembunyikan perkataan yang berbunyi seperti, seakan, dan menyamakannya secara langsung. Kau seperti lilin, tentu tidak setanding dengan ayat kau adalah lilin. Mahu lebih mengesankan, gunakan lakukannya pada kata kerja. Katakan, aku silau dengan terang cahayamu wahai guru. Atau aku hanyut dalam sungai cintamu wahai sayang.

Tidak cukup dengan itu bahkan boleh tinggikan lagi dengan melakukan perumpamaan di dalam perumpamaan di dalam perumpamaan. Telah kuturun singgah ke lautmu untuk mengutip permata yang kau hamburkan dari perutmu. Bila kukutip sebesar depa, masih berbaki seluas padang. Bila kusuluh permata itu dengan cahaya, pantulannya menjadikan matahari itu gerhana, yang silaunya menjadikan mata ini buta, walau setelah bercermin gelap.

Tuhan tidak berada di langit, apatah lagi sehingga perlu turun. Tetapi Tuhan itu mengalu-alukan taubat hambanya, sehingga perumpamaan yang mengandungi maksud ini diungkapkan. Bukankah kita juga mengatakan apabila mengalu-alukan sumbangan, aku akan turun berjumpa kamu untuk mengambilnya, dan aku akan tiba sampai ke depan pintu rumahmu mengetuknya untuk mengutipnya. Walaupun kita tidak ada rumah, dan tidak ada pintu. Terlalu mengalu-alukan sehingga kita sendiri yang akan turun, dan bukan pembantu, pekerja, atau wakil kita. Tetapi hakikatnya sebagai ketua, sekalipun kita sangat mengalu-alukan sumbangan, kita akan menyuruh wakil kita mengutipnya.Sama seperti ketua kita mengatakan, saya akan membina jambatan untuk kemudahan semua, bukan bermaksud ketua kita yang akan mengangkat simen dan besi, tetapi memerintahkannya pekerjanya sahaja.

Apabila kita tampil kepada Allah kadar sejengkal, Tuhan hampir kepada kita kadar sehasta. Apabila kita mendatangi-Nya secara berjalan, Dia akan mendatangi kita dengan berlari-lari anak. Oh, ke arah manakah kita harus berjalan menghampiri Tuhan, ke langitkah? Siapakah yang berjalan ke langit? Begitulah yang akan terjadi apabila kita menjadi robot yang tidak berjiwa dan ber-rasa sehingga mengabaikan keindahan makna di sebaliknya, lalu memahami secara zahir. Sebaliknya maknanya memberi faham bahawa Tuhan itu sangat mengalu-alukan hambanya berusaha melakukan ketaatan, kerana ketaatan itu adalah jalan kita semakin hampir kepada Tuhan, bukan hampir berdasarkan tempat, tetapi kedudukan. Bukankah kita juga menyebutkan, keputusan periksa hampir keluar? Dan hampir itu tidak difahami bermaksud tempat.

Saya menulis panjang kerana tidak tahan dengan kenyataan orang tertentu. Tetapi saya yakin, sekiranya kita belajar, kita akan sedar hakikat sejelas ini. Kita barangkali kerana masih memiliki tahap bahasa yang rendah lalu tidak menyedari keindahannya, walaupun al-Quran itu berkali-kali kita khatamkan, namun kita tidak terpegun membacanya atau terkaku memahaminya atau menusuk jiwa mendengarnya kerana tahap kita bukan saja terlalu jauh dari faham, bahkan terlalu jauh dari memiliki keindahan sasteranya. Kita tidak merasa seperti mana orang Arab zaman jahiliah merasanya saat mendengarnya. Belajarlah kembali, dan pastikanlah daripada ahlinya, dan bukan daripada sesiapa saja.

Wahai Tuhan yang sangat hampir kepada kami, lebih dari hampirnya urat vena ke leher kami, sehingga tidak perlu sehingga kami menjerit-jerit memanggil-Mu, hampir sehingga kami tidak mampu menyembunyikan apa-apa dari-Mu, dekatkanlah kami kepada-Mu kerana kami berada sangat jauh dari-Mu lantaran dosa, ampunilah kami dan terimalah kami. Kau berada bersama-sama kami di mana saja kami berada sehingga kami seharusnya takut bila mengerti pengawasaan-Mu, atau berasa berani berdepan musuh-Mu, kerana keberadaan-Mu seharusnya di dalam hati kami, di dalam cinta kami, di dalam harapan kami, di dalam ingatan kami, sehingga Kau tidak lenyap walau sedetik dari kami. Wahai Tuhan yang Maha Agung, bagaimanakah mereka memahami hampir-Mu itu adalah hampir tempat, sedangkan tempat itu kotor, kami ini kotor dan Kau Maha Suci, tempat itu makhluk dan Engkau itu Tuhan. Wahai Tuhan yang tidak berada pada tempat, saksikanlah bahawa aku sudah menyampaikan pengajaran Nabi-Mu.

Sunday, August 01, 2010

Catatan Hujung Kembara 37 | Madrasah Ramadan Yang Belum Sepenuhnya Kuhayati

Walaupun doa Allahumma Ballirghna Ramadan kerap diucapkan, tapi saya masih belum dapat menyelami jiwanya. Ya Allah, kurniakanlah aku rahsia di sebalik rahsia, dan cahaya di dalam cahaya.

Friday, July 30, 2010

Catatan Hujung Kembara 36 | Inti-khoobaat Dalam Kenangan

Pengalaman bertanding dalam ahli tadbir persatuan mungkin boleh menjadi sesuatu kenang-kenangan bagi saya selama di Mesir. Saya tidak berasa pelik dengan darah saya, kerana saya adalah darah campuran seorang ibu yang berpersatuan hingga ke jawatan ketua, dan darah seorang ayah yang tidak suka dan asyik melepaskan kerusi jawatan walaupun sekecil-kecil pangkat. Pilihanraya kali itu adalah sesuatu yang bermakna kerana ia meyakinkan saya bahawa saya memiliki idea ibu sebagai ketua dan jiwa bapa sebagai pengikut.

Bukan itu sebetulnya pengalaman yang berharga untuk dijadikan kenang-kenangan. Yang berharga bagi saya adalah saya melihat sendiri situasi sebenar pertandingan yang benar-benar panas, sehingga saya sendiri hampir tidak percaya. Mereka yang selama ini mesra dan bergurau senda dengan saya boleh menjadi masam hingga langsung muka saya tidak dipandangnya. Ada yang saya menegurnya setelah duduk di sebelahnya, dia langsung tidak menoleh. Ada yang saya berbicara kepadanya, dia langsung tidak mengangkat kepala menjawab soalan saya sebaliknya diam membisu.

Saya melihat sendiri orang yang selalu akan menyapa saya dan duduk lama berbual menjadi seorang yang tidak banyak cakap dan cepat mahu meminta diri. Orang yang boleh berbalas senda dan sapa menjadi seorang yang langsung tidak mahu membalas percakapan saya padahal saya berdiri di hadapannya dan mengulang ayat yang sama sehingga tiga kali, dan setelah itu pun masih tidak menyahut walau sepatah perkataan saya. Ketika itu, saya sendiri ragu, adakah saya patut ketawa kerana kelakarnya melihat reaksi orang, atau saya patut takut dan kecut perut kerana dilayan sedemikian sekali oleh segelintir orang. Tentulah, mereka yang menyokong saya tidak menyatakan sokongan terang-terang kecuali sedikit.

Barulah saya faham apakah yang berlaku dalam sesebuah pertandingan yang benar-benar. Manusia boleh berubah dan tidak mampu menyembunyikan isi hati mereka. Semuanya jelas terpapar dengan riak muka yang saya sungguh tidak sangka, dan saya menyaksikan dengan mata kepala sendiri. Tentulah. Apabila keputusan keluar dan saya tidak menang kerusi, semua yang masam menjadi manis, yang tidak menjawab pertanyaan walau sepatah bertukar menjadi seorang yang ramah dan bergurau semula, orang yang asyik tunduk sudah mula boleh berbicara dengan saya. Sekelip mata, mereka bertukar menjadi seseorang yang lain, sehingga saya sendiri tidak pasti, yang mana satukah mereka yang sebenarnya.

Ada ketikanya saya jadi buntu mengalami tekanan di pilihanraya, tetapi saya belajar untuk menghadapi bahkan meraih sokongan daripada sebesar-besar tokoh yang menyebelahi pihak lawan. Barulah ayat yang sukar saya lafazkan - iaitu undilah saya - menjadi lafaz yang dilafazkan semudah bergurau senda. Sukar menyebut saya menghantar mesej. Tidak lama setelah itu, semua lafaz-lafaz itu menjadi ringan dan mudah. Bahkan saya berazam untuk mula berhadapan dengan semua pihak lebih awal, kerana lambat laun saya kena juga nanti. Di pilihanraya itu baru saya faham, bagaimana orang boleh sakit perut kerana gementar dan gemuruh. Dan barulah saya faham besarnya erti bersujud dan merayu pada Tuhan. Sungguh bila Tuhan bukakan jalan, pada-Nya syukur yang tak terhingga.

Saya sebetulnya dapat meneka bahawa saya akan kalah hanya pada sehari sebelum pengundian. Ketika itu, orang yang paling saya harapkan menyebelahi saya, dan dia pada awalnya sudah menyebelahi saya, bertukar pihak kepada pihak lawan. Kerana beliau adalah haruman dunia dan keturunan yang tidak akan putus hingga hari kiamat, apabila beliau beralih pihak lantas terdetik saya di sehari sebelum pengundian bahawa saya akan kalah. Begitulah telahan hati saya. Dan apabila tewas, tahulah saya bahawa zaman ini bukan zaman saya. Zaman saya sudah lepas dan berakhir.

Tentulah saya bukan bertanding suka-suka, tetapi kerana memperjuangkan sesuatu yang sebelum ini sudah jenuh saya utarakan tetapi diabaikan lagi dan lagi. Tentulah saya bukan bertanding kerana gilakan pangkat. Kalau benar kerana mahukannya sudah saya masuk sejak dulu lagi, ketika masih ramai yang mengenali saya, bukan ketika di tahun terakhir dan bukan di ketika orang yang mengenali saya cuma tinggal sedikit. Namun, saya bersyukur kerana tewas, kerana setelah itu Tuhan telah bukakan pintu yang lebih baik. Sungguh kurnia Tuhan itu amatlah luas. Anugerahnya itu amat agung. Kalau sekarang ditawarkan semula, sungguh saya akan menolaknya. Haaza hubbun la ya'-diluhu hubbun, wa lau mar-ah fi qimmati l-jamaal.

Sekurang-kurangnya, saya sudah cuba mengubah persatuan ini dengan kedua-dua jalan. Jalan ketika saya cuma bergelar pengikut, dan jalan ketika saya cuba menjadi ketua. Selebihnya saya serahkan kepada Tuhan. Kerana tiada taksir melainkan semua itu di tangan-Nya, di dalam kekuasaan-Nya, dan di bawah kehendak-Nya. Kalaupun saya berjaya dan bergelar ketua, ia tidak pernah menjamin tak-tsir yang pada-Nya sajalah tanpa sebarang pekongsi.

Wednesday, July 28, 2010

Catatan Hujung Kembara 35 | Iza Wa-'adta Fa La Tukhlif

Dulu, saya adalah seorang yang sangat berpegang dengan janji. Dan kadang-kadang saya melebarkan juga kepada kalam-kalam orang, walaupun mereka tidak mengatakan ia sebagai janji. Selagi mana saya melihat keazaman mereka, saya akan bersungguh-sungguh untuk menepatinya. Tetapi apabila melihat dunia kedewasaan ini, saya makin hilang percaya dengan kalam kebanyakan orang, bahkan dengan janji juga. Sesetengah orang ini, janjinya hampir-hampir tidak memberi apa-apa erti bagi saya. Apatah lagi kalam, azam dan perancangannya juga.

Kerana itu, dulu, saya kerap naik darah dan sakit hati apabila berdepan dengan mereka yang mudah dan tanpa rasa bersalah menyalahi janji, menukar perancangan dan membatalkan keazaman. Apabila saya sudah bersedia dengan segala persediaan, mengatur waktu semata-mata untuk mereka, mereka tanpa rasa apa-apa membuat sesuka hati. Saya fikir mereka terlupa bahawa janji itu adalah sesuatu yang mesti ditepati.

Kerana itu, apabila saya cuba memaafkan, saya terpaksa berdepan dengan hakikat, bahawa semua janji mereka itu bukan janji, dan semua azam mereka itu hanyalah kalam kosong, bahkan semua perancangan mereka itu cumalah angan-angan yang belum dipastikan mahu dilaksanakan atau tidak. Saya mengatakan pada diri, mereka sebetulnya tidak merancang apa-apa, dan tidak perlu terlalu serius untuk mencapainya, bahkan anggaplah ia akan batal bila-bila masa sahaja.

Kemudian barulah saya faham mengapa seorang muslim dilarang melanggar janji sehingga digambarkan sebagai memiliki satu cabang nifaq. Kerana melanggar janji akan menghilangkan kepercayaan orang kepada kita. Melanggar janji akan membuatkan semua azam kita menjadi sampah di mata orang lain. Semua kalam kita hanya didengar dengan telinga yang luas dan bolos, yang menembusi kanan telinga ke kirinya. Apabila melanggar janji menjadi sifat kita, tidak ada satu kesungguhan kita akan dipandang serius, bahkan hanyalah khayal dan angan-angan kosong.

Walaupun ya saya tahu, sesiapa saja masih dalam jalan memperbaiki diri. Kekurangan ada saja pada setiap orang, dan sesetengahnya diuji dengan penyakit ini. Walaupun ya, dari sudut hak kita terhadap mereka, mereka dikira bersalah, tapi dari sudut dakwah, mereka belum perlu dijatuhkan hukuman, sebaliknya perlu diberikan peluang menyedari kesilapan diri dan memperbetulkan, diajarkan betapa menyalahi janji adalah sikap yang tidak harus mereka pakai dan perlahan-lahan harus ditinggalkan.

Berdepan dengan janji, kalam dan azam mereka ini, saya kerap kali goyah, antara mahu menyakini atau tidak. Usahlah dikira betapa terkilannya dengan semua ini, tetapi kadang kala kalam guru saya Syeikh Fathi berkumandang di dalam kepala yang maksudnya, "Cukuplah bahawa kamu tidak mengetahui alasan mereka itu sendiri menjadi alasan untuk mereka" lalu ditasamuhi dan di-tak-ambil-kisah-kan.

Sunday, July 25, 2010

Catatan Hujung Kembara 34 | Terima Kasih Tuhan

Tuhan, pada-Mu segala puji dan syukur, kurnia-Mu agung, pemberian-Mu melimpah. Jadikan kami ingat akan pemberian-Mu, berterima kasih di atas kurniaan-Mu. Supaya kami merasai nikmat dan anugerah, memanfaatkannya. Supaya kami bukan tunggangan yang membawa air di atas belakang kami, merentasi padang pasir yang luas, lalu mati kehausan padahal di atas belakang kami itulah airnya.

Wednesday, July 21, 2010

Catatan Hujung Kembara 33 | Ulamak Dan Umarok

Dulu saya juga menyangka bahawa hubungan antara ulamak dan kerajaan itu adalah hubungan permusuhan dan pertembungan, hubungan berlaga dan bertempur, kerana itulah sebahagian realiti yang berlaku dan dikisahkan. Tetapi sejak saya mendengar sendiri jawapan dari Syeikh Usamah Said beberapa tahun lalu mengenai hubungan dua pihak ini, terbaliklah sangkaan, terputar pemikiran, kerana beliau menyatakan dalam muhadaroh yang bertajuk "Manhaj Azhari" (lebih kurang begitu tajuknya), dalam sesi soal jawab antaranya menyebutkan, bahawa hubungan ulamak dan kerajaan itu adalah hubungan kasih sayang dan mahabbah, walaupun kadangkala berlaku perselisihan dan saling tegur menegur dengan hormat dan ihtirom.

Asas pemikiran ini bagi saya dibina adalah pada asas, bahawa tidak ada kebaikan yang boleh dicapai, apabila kita mengambil pendirian bermusuh, berseteru, berlaga. Tidak setuju dari pihak dia bukan bermakna dia adalah musuh, kerana bukankah sudah banyak berlaku dalam kehidupan ini, kita tidak bersetuju hatta pada kawan sebilik, teman sebantal, sahabat sejalan-jalan cari makan. Kerana itu, baik nasihat mahupun cadangan, apabila ia tidak diterima, keadaan ini tidaklah menukarkan orang tersebut menjadi musuh dan wajib diperangi dan disengketai. Kerana nasihat teguran akan semakin susah diterima apabila ia berisi dengan kebencian dan permusuhan.

Maksud yang saya fahami ini semakin jelas apabila saya membaca kalam Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihyaknya, di bahagian mukaddimah (kitabu l-'ilm) bahawa yang terlibat pengislahan dan pembaikpulihan masyarakat itu empat golongan, yang tertinggi adalah para Nabi yang mentadbir golongan khusus dan awam, pada perkara zahir dan batin, diikuti dengan pemerintah yang mentadbir golongan khusus dan awam, pada perkara zahir sahaja, dituruti oleh ulamak yang mentadbir golongan khusus dan awam, pada perkara batin sahaja, dan akhirnya para khatib, penceramah, pendakwah, yang mentadbir golongan awam sahaja pada perkara batin sahaja. Batin itu maksudnya adalah urusan akhlak, jiwa, perangai dan sebagainya.

Di dalam pembahagian ini, Imam al-Ghazali menjadikan pemerintah itu lebih tinggi daripada ulamak, dari sudut zahir, kerana mereka mentadbir urusan kehidupan yang zahiriah, kemudian dalam masa yang sama meletakkan ulamak lebih tinggi daripada pemerintah dari sudut batin, kerana mereka lebih utama dalam bahagian ini. Kerana itu, dari sudut perlaksanaan dan tanfiz, ulamak terpaksa akur dengan pemerintah, tetapi apabila sampai ketika menegur dan menasihati, pemerintah haruslah mendengar dengan rasa hormat.

Sebetulnya terdetik di fikiran saya, mengapakah al-Imam tidak membuatkan satu kelompok yang bernama, ulamak yang memerintah? Kemudian kalam daripada Saidina 'Umar menjelaskan kekeruhan: (maksudnya) bertafaqquhlah (menuntut ilmu) sebelum kamu menjadi ketua. Hakikat kalam ini mudah difahami, bahawa kesibukan seorang pemerintah itu memerlukan masa yang banyak untuk mentadbir, sama seperti seorang ahli ilmu itu juga sibuk dan memerlukan masa yang banyak untuk belajar dan mengajar, juga mendidik.

Pertentangan dua kesibukan ini bukanlah mustahil akli untuk menghimpunkan kedua-duanya, tetapi mustahil 'aadiy. Saya tidak fikir kedua-dua kesibukan ini boleh dilaksanakan sekemuncaknya, dan dengan fokus sepenuhnya. Saya tidak fikir kalau dihimpunkan kedua-duanya, hasilnya adalah maksimum untuk kedua-duanya. Kalaulah seorang perempuan yang bergelar isteri saja sudah digelar oleh sebahagian ulamak sebagai mazbahatu l-'aalim (tempat sembelihan seorang alim), atau dinaqalkan dalam lafaz asal (zubiha l-'ilmu baina fa-khizaiyi l-mar-ah) iaitu ilmu itu disembelih di antara dua peha isteri; apatah kalau menguruskan keluarga sudah menyibukkan dengan tanggungjawab dan banyak perkara rumah tangga, inikan pula sebuah negara?

Kerana itu saya berpegang pada bahawa golongan ini tidak wujud. Mereka yang menghimpunkan kedua-duanya ini akan memilih salah satu. Kerana tumpuan yang berbelah bagi tidak menghasilkan hasil yang maksimum. Mungkin boleh berlaku, tetapi ini separuh jadi, dan itu separuh jadi. Atau kedua-duanya tidak menjadi. Atau satu bahagian menjadi, dan satu bahagian terabai, atau tidak mempunyai hasil yang sangat. Saya tidak fikir bahawa seseorang mempunyai masa yang cukup untuk menumpukan kepada kedua-duanya, dan melaksanakan kedua-duanya. Kerana itu saya fikir, wujudnya khalifah, dan wujudnya ulamak yang menjadi rujukan di zaman khilafah dahulu. Khalifah wujud untuk mentadbir, dan ulamak wujud untuk menasihati.

Bahkan tugas seorang alim bukan terbatas kepada mengislahi, menegur pemerintah, bahkan ia melebar kepada mengislahi masyarakat juga. Saya tidak faham bagaimana persepsi ini boleh timbul. Seolah-olah itulah tugas seorang ulamak dan tiada tugas lain. Tetapi hakikat adalah sebaliknya. Ini saya fahami daripada kalam Syeikh Yusri, ketika beliau mengulas mengenai kemangkatan Syeikhu l-Azhar ar-Rahiil Ila Rahmatillah, bahawa pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat almarhum tidak seharusnya menyerang peribadinya. Kerana dia berada di tahap yang kamu tidak berada. Dia berada di kawasan ijtihad yang kamu tidak duduk di situ, di mustawa dan tahap negara, bukan di kawasan perbatasan daerah atau lingkungan yang kecil.

Kerana itu apabila kamu tidak dapat mencapai gambaran lingkungan posisi ijtihadnya dan kamu tidak setuju, adalah tidak patut kamu menyerang peribadinya. Bahkan boleh jadi dia adalah benar setelah mendapat pendedahan yang jauh lebih luas, dan kamu adalah betul berdasarkan posisi kamu di ruang yang agak terhad. Kerana faqih itu adalah yang hidup bersama zamannya, dan berta-'amul, memberi respon dan reaksi kepada tuntutan zaman, bukan semata-mata menukilkan pendapat ulamak kurun terdahulu semata-mata.

Bukan itu hujah saya, tetapi saya nyatakan juga secara selingan. Syeikh kemudian melebarkan penerangan kepada pemilihan pemerintah pula. Beliau menyatakan antaranya bermaksud; bahawa orang kerap mendakwa mahukan pemerintah seperti Saidina 'Umar al-Farouk, yang memisahkan antara hak dan batil. Tetapi, kalaupun Saidina 'Umar itu sendiri menjadi pemerintah mereka, pasti Saidina 'Umar itu akan digugurkan dari jawatan. Kerana pemerintah itu ditampilkan berdasarkan keadaan rakyat. Apabila rakyat adalah para auliyak dan solihin, para Sahabat ridwanullahi 'alaihim al-kiraam, maka pemerintahnya adalah ketua para wali dan kemuncak para solihin, iaitu Saidina Abu Bakar, kemudian Saidina 'Umar dan seterusnya.

Syeikh mempertikaikan, adakah kita mahu seorang wali menjadi pemerintah dengan rakyatnya adalah masyarakat yang fasid, rosak. Bahkan kalaupun ia dinaikkan, pasti masyarakat yang rosak ini akan menjatuhkannya, kerana tidak tahan. Syeikh menambah lagi, bahawa tugas kita adalah mengislah diri, memperbaik masyarakat, supaya apabila masyarakat menjadi baik, barulah pemimpin yang baik akan terpilih. Terdetik di fikiran saya bagaimana ketidaksenangan orang-orang besar terhadap Khalifah 'Umar bin Abdu l-'Aziz yang terkenal dengan keadilannya hingga Khawarij yang kuat memberontak menjadi senyap dengan keadilannya. Tetapi beliau dibenci, hingga wujud perancangan untuk menggugurkannya.

Saya dapat merasakan bahawa kalam Syeikh Yusri adalah petikan dan kefahaman beliau daripada hadis, tetapi saya tidak dapat mencatatnya kerana ilmu yang masih terlalu kurang. Buat masa ini, anggaplah ia pandangan beliau. Apa yang jelas, bahawa tugas ulamak adalah terlalu banyak, dan tumpuan mereka bukan kepada pemerintah semata-mata. Saya tidak faham mengapa sesetengah orang membataskan tugas kepada ini, hingga menutup mata kepada yang lain. Barulah terdetik di fikiran saya mafhum kalam Nabi s.a.w. tentang dua golongan yang menentukan baik buruknya umat; iaitu umarok, dan ulamak. Baginda s.a.w. sendiri mengasingkan antara kedua-duanya.

Ini bukan menafikan wujudnya ilmu di dada seorang pemerintah kerana mentadbir juga perlukan ilmu, tetapi menafikan keluasan kesempatan mereka untuk ilmu, dan menafikan keluasan kesempatan mereka untuk melaksanakan tugas-tugas ahli ilmu kerana mereka disibukkan dengan urusan mentadbir. Bagi saya adalah satu kesimpulan. Pilihlah jalan yang akan dilalui, dan tumpahkanlah sepenuh usaha kamu untuknya. Wallahu A'-lam.

Catatan Hujung Kembara 32 | Pantun

Beberapa pantun setelah lama tidak mengideakan pantun.

Pantun seorang ayah.

Kamu "cempedak di luar pagar",
Kenalah "berakit-rakit ke hulu",
Ayah kan "pisang emas belayar",
Kenapa "keranjimu" masih "di perahu"?

Pantun kekasih.

"Antara masak" - "menuai padi",
"di tapak tangan" - "anak sembilang",
Dia "tiga kucing berlari",
tawakkalmu masih "sumur di ladang"?

Thursday, July 15, 2010

Catatan Hujung Kembara 31 | Fa -s-alu Ahla z-Zikri, Ta'-lamuu

Banyak pengalaman menarik yang pernah dilalui, namun tak semuanya mampu dikisahkan. Sesetengahnya tidak membanggakan pun. Sesetengahnya membanggakan, tetapi pada orang lain, ia adalah perkara biasa. Atau sebahagiannya membanggakan pada kita, tetapi merupakan aib pada orang lain. Itu belum ambil kira kebarangkalian kita sendiri terlupakan pengalaman tersebut, sehingga apabila diingatkan pun kita masih tidak boleh mengingatinya.

Saya masih ingat ketika saya bertanya dalam satu kelas kepada Syeikh Saiyid yang membacakan Murghni l-Muhtaaj - walaupun saya kerap ponteng, terutamanya hari Khamis - tentang satu soalan yang saya dahulukan dengan sebuah fakta. Saya katakan; waktu solat contohnya Maghrib akan tamat apabila masuk waktu Isyak. Pantas Syeikh membidas dan membetulkan, sampai mengajarkan; adakah fakta itu berdasarkan bahawa waktu Maghrib berkekalan hingga masuk waktu Isyak, atau berdasarkan bahawa waktu Maghrib hanya sehingga kadar sekitar 30 minit dari mula waktu Maghrib mengikut khilaf mazhab berkenaan akhir waktu Maghrib, berdasarkan mazhab qadim dan jadid?

Kemudian Syeikh bersyarah panjang menerangkan maksud sebelum membenarkan saya menyatakan soalan. Saya membetulkan fakta sebelum mula bertanya. Saya tanyakan; waktu solat pertama akan tamat dengan masuknya waktu solat kedua. Pantas Syeikh membetulkan sampai mengajarkan, bahawa fakta itu tidak betul kerana Subuh tamat bukan kerana masuknya waktu Zuhur, tetapi kerana terbitnya matahari. Dua kali kena pancung, dan saya masih belum dapat bertanya soalan. Syeikh kemudian menerangkan maksudnya lagi. Kemudian kerana ingin supaya saya tidak segan barangkali, maka Syeikh membiarkan fakta itu supaya dapat mendengar soalan saya.

Pengalaman bertanya ada banyak. Tetapi soalan yang baik bukanlah dengan maksud untuk menunjukkan diri pandai, atau mahu mendebati guru. Memadai dengan beradab bertanya, membentangkan fakta yang berlegar, dengan suara bukan menentang tetapi mahukan penjelasan, walaupun fakta itu menentang penjelasan guru, tetapi dengan nada bahawa yang bertanya mahukan penjelasan, bukan mahu menunjuk kelebihan. Kalau mahu menunjuk kelebihan, carilah tiang dan bukalah pengajian.

Pernah sekali di dalam kuliah saya bertanya tiga soalan yang sebenarnya merupakan soalan gabungan menjadi satu. Doktor menerangkan tetapi kerana saya kurang pendengaran, saya tidak dapat mendengar dan bila ditanya, adakah kamu faham, lalu saya angguk kerana tidak mahu ia diulang semula dan sekali lagi tidak mendengarnya. Tamat kelas, seorang Arab datang kepada saya bertanya adakah doktor memberikan apa-apa muqarrar atau soalan ramalan, saya dengan yakin menjawab, tentu tidak! Adakah dia ingat saya murid emas?


Tetapi dari soalan, kita dapat mempelajari banyak perkara. Memahami diri, memahami yang ditanyakan kepadanya, menyusun fakta mana yang perlu dinyatakan dahulu, mana dikemudiankan, dan menyedari betapa jahilnya diri tetapi walaupun malu tetapi biarlah, asalkan dapat membuatkan diri kita berasa jahil lalu dapat bertanya. Cuma yang saya jadi serba salah bertanya, kalau-kalau dibidas dengan kata-kata; ini sudah diterangkan kali dulu. Apasal kamu tidak datang?

Wednesday, July 14, 2010

Catatan Hujung Kembara 30 | Ubat

Setiap kali saya rasa sedih kerana tempoh yang berkurang dan penghasilan yang tidak bertambah banyak, apabila saya mendengar dan mendengarkan madih ini yang juga doa, terubatlah rasa dan tertampallah jiwa.ٍSebanyak-banyak selawat untuk Baginda, Seri kewujudan makhluk.


Thursday, June 10, 2010

Catatan Hujung Kembara 28 | Pernikahan Adik Saya Yang Kedua, Mohd Najib

Tahniah untuk adik saya, Mohd Najib M.Noor yang telah melangsungkan pernikahannya dengan Nor 'Ain bt Che Abu, orang Kulim, Kedah, pada hari ini. Barakallahu lakuma wa baraka 'alaikuma, jama-'a bainakuma fi l-khair, wa bi l-khair, wa ma-'a l-khair, wa baina l-khair, qabla l-khair bi l-khair, wa ba-'da l-khair bi l-khair.

Angah tumpang bangga, gembira, tanpa walau secubit rasa cemburu. Angah sentiasa doakan untuk semua, dengan hati yang penuh, tanpa belah dan bahagi, untuk kebaikan, pada kebaikan, dalam kebaikan, bersama kebaikan, kebaikan di antara kebaikan, kebaikan selepas kebaikan.

Dan jangan lupa doakan untuk Angah juga, supaya ditunjukkan jalan, dipandukan hala dan tujuan, ditetapkan hati dan iman, diluruskan yang bengkok dan menyimpang jalan, dibersihkan karat dan kotoran, diberkati sinaran selepas sinaran, di atas sinaran, bersama sinaran, cahaya yang menuju cahaya. Bahkan dibantu oleh Tuhan.

Allahumma alhimni rushdi wa a-'izni min syarri nafsi, wa min syarri kholqika ajma-'iin an yafruto 'alaiya au an yat-gho, 'azza jaaruka, wa jalla tsanaa-uka, wa la ilaaha ghairuka.

Monday, June 07, 2010

Catatan Hujung Kembara 27 | Subhanallah

Subhanallah.

Wednesday, May 26, 2010

Catatan Hujung Kembara 26 | Ma-'a Man Tuhibb

Saya adalah seorang yang berpendapat bahawa cinta, kasih, sayang, suka adalah suatu yang sama. Mungkin kalau digagau dalam falsafah bahasa ia barangkali berbeza. Mungkin ia boleh berbeza kalau dibezakan fa-'el dan pelakunya, atau dibezakan maf-'uul dan yang diperlakukan ke atasnya. Kalau kasih pada adik, tidak akan sampai kita mahu mengahwininya. Kalau sayangkan kepada Rasulullah, kita menjejakinya. Kalau kita mengatakan cinta kepada Tuhan, kita tidak akan mengingkari-Nya.

Tetapi perbezaan itu pada saya adalah perbezaan idofi, perbezaan sampingan. Atau sekurang-kurangnya, begitulah falsafah saya menanggapinya. Kerana manusia itu cuma satu hati. Kerana kalau kasih kepada si gadis A, dan cinta kepada gadis B, kedua-duanya adalah cinta yang kemuncaknya adalah perkahwinan, dan bukanlah kemuncaknya adalah ketaatan tak berbelah bagi seperti kepada Allah, dan bukan hala tujunya adalah menjejaki dan mencontohinya seperti kepada Rasulullah.

Saya tidak tahu siapa sumber kalam - in the end, it's love that matters - tetapi saya setuju dan bahawa di akhirat kelak kita dibangkitkan bersama dengan orang yang kita cinta, kita sayang, kita kasih, kita suka. Al-mar-u ma-'a man ahabb. Jadi benarlah seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Yusri, seorang Muslim itu dapat mencapai darjat yang tinggi dengan perasaannya, iaitu cinta, pada martabat yang tidak dapat dicapai oleh perbuatan zahirnya.

Dan perasaan cinta kasih sayang suka ini yang ajaibnya, adalah antara perasaan paling semula jadi pada diri manusia. Bahkan sesetengahnya menjadi perumpamaan dalam cinta, kasih dan sayang. Seperti Laila Majnun. Tetapi bagi saya, persoalan cinta kasih sayang ini juga persoalan yang sangat penting, hingga menjadi kunci dalam iman. Bahawa, tidak sempurna iman kamu sehinggalah kamu mencintai saudara seagamamu seperti apa yang kamu mencintainya untuk dirimu sendiri. Bahawa tidak sempurna iman kamu sehingga Rasulullah itu lebih dia cintai lebih dari mencintai ayah ibu anak dan manusia seluruhnya.

Tetapi saya bukanlah seorang yang melawan fitrah sehingga menyeru supaya jangan mencintai sesiapa selain Allah dan Rasul, sehingga mengatakan bahawa tidak ada cinta melainkan kepada keduanya. Kerana dari pengajaran Baginda kita memahami bahawa perkara fitrah ini juga adalah ibadah dan kesempurnaan iman. Bahawa kita diajar apabila kita menyayangi saudara kita katakanlah bahawa aku menyayangimu. Dan kita bukanlah si putus cinta yang ekstrimis lalu menutup semua pintu fitrah semata-mata kerana kecewa. Tetapi kita adalah penurut syariat yang mempelajari batas, dan berusaha mentaatinya. Dan kerana kita adalah manusia yang kerap kali tergelincir, tersungkur di atas batang hidung kita sendiri lalu menyedari bahawa darah yang keluar dari hidung kita sama merah. Tetapi saya juga mempercayai bahawa darah semerah itu boleh seharum kasturi kalau ia tumpah di medan jihad.

Persoalan cinta adalah persoalan hati. Dan apakah cinta agung yang menjadi pedoman bagi kita kalau bukan cinta Baginda Nabi kepada para Sahabat, kepada para isteri Baginda, dan kepada kita sebagai umat. Tetapi antara yang paling ajaib, adalah lafaz habib ini, selain ia bererti mahbuub (yang dicintai) ia juga boleh bererti muhibb (yang mencintai) sehingga terdetik di fikiran saya, bahawa ia menuntut maksud 'saling' lalu bererti kesempurnaan, dan boleh jadi satu arah sahaja. Wallahu A'-lam.

Tuesday, May 25, 2010

Catatan Hujung Kembara 25 | Tahniah Untuk Mursyid

Tahniah untuk adik saya, Muhammad Mursyid yang telah menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa.

Saya tinggalkan dengan dua pesanan. Belajarlah kerana Allah. Dan, pemilik himmah (keazaman), itu akan sampai ke qimmah (puncak).

Thursday, May 20, 2010

Catatan Hujung Kembara 24 | Memo Untuk Diri, Andai Kau Terlupa

Mungkin kau dah lupa janjimu sendiri. Bahawa kau mahu menginfaqkan dirimu untuk ilmu dan menjadi jambatan kepada generasi akan datang. Mungkin kau dah lupa bahawa engkau mahu menjadi mata rantai dalam silsilah cahaya yang bersambung ke hujungnya, dan mahu terlibat sama dengan mereka yang memakai nama kurun dan abad ini. Atau terlupa bahawa kau memohon berkali-kali mahu mahu menjadi ahli itu dan ini di depan Tuhan, di depan kekasih kepada kekasih.

Andai kau terlupa kerana digoda dunia dan kesenangannya, dirayu tuntutan dan kehendaknya, bahawa kehidupan ini menagih darimu dan kamu darinya akan bahagia, cinta, rumah tangga, senyum dan tawa, ketahuilah bahawa memo ini untukmu yang hadir untuk mengingatkan, mengejutkan, dan membawamu semula ke tengah jalan, bahawa perjalanan ini belum sampai ke penghujungnya. Andai kau alpa kerana mengejar cinta manusia yang selalunya mengecewakan, nota ini adalah untuk mengingatkan akan cinta sebenar yang membuka sebesar-besar pintu bahagia.

Itulah adat kau ditarik di kanan kiri jalan, membawamu ke penghujung yang bukan kau rancangkan, atau kau pintakan, dan kesenangan-kesenangan yang membungakan di hati dan menerbitkan mentari di muka itu adalah sampingan, sedangkan sasaran sebenar masih belum sampai ke genggaman tangan. Bahagian itu bukanlah bahagianmu, tetapi bahagian orang lain bersamamu.

Kalau betul engkau terlupa, renungkan nota dan memo ini, bahawa aku sudah menjalankan amanahku mengingatkan. Terpulang padamu untuk merenungkan.

Ikhlas dari sahabat yang berkongsi segala.

Wednesday, May 19, 2010

At-Tashiil Li 'Uluumi t-Tanziil

Baru-baru ini saya membeli dan cuba-cuba membaca sebuah kitab yang bernama (At-Tashiil Li 'Uluumi t-Tanziil), sebuah kitab tafsir, karangan al-'Allaamah al-Haafiz al-Mufassir Muhammad bin Ahmad bin Juziy al-Kalbiy al-Ghornaa-thii al-Andaluusiy, yang dilahirkan pada tahun 693 hijrah dan wafat pada 741 hijrah. Atau dikenali dengan nama tafsir ibnu juzziy. Kitab ini kali pertama saya dengar ketika terlihatkan jadual pengajian Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kataaniy.

Kitab ini bagus untuk semua penuntut ilmu, kerana ia mempersembahkan intipati yang sangat penting dipegang bagi mubtadi-iin (pemula) seperti kita. Saya memetik sedikit isi yang dinyatakan oleh pengarang dalam khutbah kitabnya seperti berikut. Beliau memilih manhaj tafsir yang ringkas, namun menghimpunkan banyak seni ilmu, itu setelah dilakukan penapisan dan mengerat yang berjela-jela dan memaparkan hanya yang intipati utama. Beliau meringkas ungkapan, dan mengelakkan pengulangan.

Beliau juga menambah beberapa poin dan isi penting yang tidak didapati dari kitab lain, kerana ia adalah dari beliau sendiri. Juga beliau menjelaskan permasalahan, dan meleraikan simpulan yang mengganggu pemahaman penuntut. Beliau melakukan tahqiq kepada kalam mufassirin, memilih yang sahih selamat daripada yang bermasalah, membezakan yang rajih dan kuat daripada yang marjuh dan lemah.

Di dalam tafsir ini, kita akan mendapati beliau menyusun dua mukaddimah sebelum memasuki kepada tafsir ayat dan surah. Mukaddimah ini bagi saya memaparkan intipati yang sangat penting. Mukaddimah pertama mengandungi 12 bab, setiap bab mewakili satu bidang ilmu yang penting, yang mempunyai kaitan dengan pemahaman kitab al-Quran, iaitu pertama mengenai sejarah penurunan al-Quran, kedua mengenai makkiiyah dan madaniiyah, ketiga mengenai makna dan ilmu yang terkandung dalam al-Quran, keempat mengenai seni ilmu yang berkaitan dengan al-Quran, kelima mengenai sebab khilaf di kalangan mufassiriin, keenam mengenai nama-nama para mufassirin dan tobaqatnya, ketujuh mengenai nasakh dan mansukh, kelapan mengenai qiraat, kesembilan mengenai waqaf dalam bacaan al-Quran, kesepuluh mengenai fasohah, balaghah dan adawat bayan, kesebelas mengenai i'-jaaz al-Quran dan yang keduabelas mengenai kelebihan al-Quran.

Mukaddimah kedua adalah himpunan lafaz terpilih dan dijelaskan maknanya. Ini kerana lafaz-lafaz ini didapati berulang banyak kali di dalam al-Quran, maka ia dikumpulkan dan dinyatakan di dalam mukaddimah kedua ini supaya tidak perlu dinyatakan berkali-kali di dalam tafsir nanti. Bahkan ia memudahkan untuk dirujuk dan dihafal.

Setelah saya membaca kedua-dua mukaddimah dan masuk membaca tafsir surah al-Faatihah juga beberapa ayat awal surah al-Baqarah, saya mendapati kitab ini sangat baik dibaca bagi pemula, kerana ia dikarang oleh seorang mufassir yang juga merupakan seorang al-haafiz, seorang yang mendalami bukan sahaja al-Quran bahkan hadis, dan beliau meneliti sekian banyak kitab tafsir, menekuni dan memilih intipatinya. Ini dinyatakan dalam mukaddimah beliau.

التسهيل لعلوم التنزيل

Sedikit Mengenai Ijazah 1

Saya menerima ijazah bagi himpunan zikir yang disusun oleh Syeikh Muhammad Ibrahim yang bernama al-Hirzu l-Akbar Wa l-Kanzu l-Af-khor, juga Zikir Luzumiy al-Kattaaniy, juga ijazah ammah dari as-syeikh. Saya dan Faiz meminta izin untuk menterjemahkan kitab beliau dan beliau mengizinkan. Itu semua ketika kebetulan saya menemani Faiz berjumpa as-syeikh. Sempat saya meminta wasiat daripada beliau, dan beliau mewasiatkan saya untuk mempelajari hadis, antara yang terpenting adalah Soheh Bukhari dan Sahih Muslim, Muwattok Imam Malik, Azkar dan Riyaa-dhu s-Soolihiin Imam Nawawi. Dalam satu muhadarah mukats-tsafah bersama beliau, beliau membacakan kitab al-Arba-'iin an-Nawawiiyah dan mengijazahkannya.

Childish And Responsibilities

Lately, my parent always ask about marriage. Maybe it was because my age is already 27, or actually they felt ashamed of me marrying late, and my sister and my other two younger brothers will marry earlier before me. For me, i already told them i want to marry since i was 22, but they told me that i should marry when i finish my study.

But now, i think, marriage is something big. It's not only about happiness and love, but also about responsibilities. For someone like me who are still not used to something like this, i think i need much more to learn before i can actually declare that i can. And sometimes, i feel that i am too childish, too sensitive and  immature.

For the time being, my needs are many, and maybe one of it is marriage, but the most suitable thing for me to archive now based on my conditions is studying. Maybe god bless me, and keep guiding me to good cause.

Tuesday, May 18, 2010

Catatan Hujung Kembara 23 | Rumah

Rumah yang besar itu dindingnya lubang. Mana taknya. Simennya tipis. Batu batanya gugur. Bila dipanasi matahari dan dihujani lebat, berulang-ulang, rapuh meratai seluruh permukaan hingga ke celah dalam. Akhirnya, tolakan sepoi-sepoi saja sudah menyamai landaan ribut dan taufan, dan yang seharusnya kebal dari terjahan ribut bolong seperti tisu tipis yang ditujah jari.

Rumah itu tidak kuat. Asasnya lemah. Tapaknya dulu adalah tanah gambut. Kemudian cuba-cuba dikorek buang diganti tanah laterit. Barulah yang peroi itu sedikit kukuh dan padu. Tapi tidak jauh di dalam bumi, goyang-goyang itu ada. Gegar itu wujud. Syukurlah bukan di kawasan gempa dan lingkaran berapi, lalu masih lagi dapat berdiri tegak sedikit condong tapi tidaklah sampai runtuh.

Rumah batu kerana itu tiada tiang. Dinding-dinding yang retak itulah tiangnya. Dinding-dinding yang bolos itulah tiangnya. Kerana tiada rumah tanpa tiang. Rumah tanpa tiang akan runtuh gugur ranap luruh rata. Tapi ini rumah batu. Rumah batu yang tiangnya adalah dinding rekah retak bolos polos bertampal-tampal sana sini.

Kerana itu, kalau terintai dari luar cepat-cepatlah pejam mata atau toleh arah lain. Tolehlah ke langit menduga kukuhnya binaan tujuh petala, atau tolehlah ke bumi meneka tekalnya paduan tujuh lapisan. Kemudian serkaplah seberapa tebal keagungan Tuhan itu ke dalam jurnal fikir, dan seraplah seberapa pekat kekaguman itu ke sungai darah biar masuk terus ke daerah hati. Bila tertoleh ke rumah ini ketahuilah ia binaan manusia yang lemah, berlubang-lubang, bertampal-tampal.

Pejam dan keburukannya lupakanlah. Aib di dalamnya diam-diamkanlah. Kemudian doalah agar yang bolos itu akan ditampal, simennya dibancuh dengan putih telur. Atau kalau dipadukan tapaknya simen itu digaul sama pasir cuci kasar, diisi dengan batu baur kasar dan kelikir supaya menyatu menjadi konkrit yang padu. Atau tanahnya diganti tanah liat. Kemudian terjahan-terjahan hujan itu dialirkan ke longkang batu dibawa jauh dari penempatan. Tanah-tanah sekitar diseluruhi dengan rumput dan pokok akar cengkam bumi.

Kerana rumah itu adalah kita. Dan runtuhnya akan menimpa kita.

Sunday, May 16, 2010

Something To Archive

Maybe it's weird for anyone. But for somebody, it means nothing. For example, my first time eating cocktail was at my seventh year at Egypt, my first time driving car also at my seventh. I haven't go to pyramid that usually people rushing themselves to, and i don't feel it's pity or anything else.

Usually, i make my priority to something i want to archive. But sometimes, i neglect it so much too, and then felt guilty or regret. In these last months, actually i have many to archive, but time is also too short, less than what it should be to archive it normally.

But i still hope i will archive it.

Thursday, May 13, 2010

Zaujatii

Barangkali apabila memiliki banyak blog sesetengah orang mengatakan ia membazir. Tapi bagi saya, tidak semua benda sesuai dimasukkan dalam satu blog, apatah lagi minat dan kecenderungan orang berbeza. Blog ini bagi saya, adalah untuk saya masukkan audio arab, dan mungkin kalau rajin saya masukkan juga penerangan mengenai Bahasa Arab dengan bahasa ibunda kita.




أحبك مثل أنت
أحبك كيف ما كنت
ومهما كان مهما صار
أنت حبيبتي أنت
زوجتي
أنت حبيبتي أنت

حلالي أنت لا أخشى
عذولا همه مقتي
لقد أذن الزمان لنا بوصل غير منبت
سقيت الحب في قلبي بحسن الفعل والسمت
يغيب السعد إن غبت
ويصفو العيش إن جئت
نهاري كادح حتى
إذا ما عدت للبيتي
لقيتك فانجلى عني ضناي إذا تبسمت

تضيق بي الحياة إذا بها يوما تبرمت
فأسعى جاهدا حتى أحقق ما تمنيت
عنائي أنت فلتمني بدفء الحب ما عشت
فروحنا قد ائتلفا كمثل الأرض والنبت

فيا أملي ويا سكني
ويا أنسي وملهمتي
يطيب العيش مهما ضاقت
الأيام إن طبت

Tuesday, May 11, 2010

Asmaak Syuyuu-khii

أسماء شيوخي على اختلاف قدر الأخذ عنهم. منهم

الشيخ فتحي عبد الرحمن أحمد حجازي
الشيخ علي صالح
الشيخ إبراهيم عمر صو
الشيخ يسري رشدي جبر
الشيخ محمد إبراهيم عبد الباعث الكتاني
الشيخ مصطفى الندوي
حبيب عمر زين إبراهيم سميط
الشيخ أحمد الهجين
الشيخ حسام
الشيخ أسامة السيد الأزهري
الشيخ السيد شلتوت
الشيخ عطية عبد الموجود
الشيخ مصطفى عمارة
الشيخ عماد عفت
الشيخ حسن الشافعي
الشيخ محمد عوض المنقوش
الشيخ جمال فاروق
الشيخ طه الدسوقي الحبشي

Monday, May 10, 2010

Catatan Hujung Kembara 22 | Allahumma

Beberapa hari kebelakangan ini tiba-tiba saya berasa malas. Rasa liat. Mungkin kerana periksa sudah dekat agaknya. Allahumma azil 'anna l-hamma wa l-hazan, wa l-'ajza wa l-kasal. Allahumma najjinaa mina n-nifaaq, wa suu-i l-akhlaaq.

Wednesday, May 05, 2010

Catatan Hujung Kembara 21 | Lagi

O Tuhan. Bolehkah untukku jatuh cinta sekali lagi? Seperti saat hati terbuka dan ingatan padanya menerpa masuk, lalu air mata pun bergenang. Bahkan lebih lagi dari itu.

Tuhan. Bilakah mungkin aku jatuh cinta sekali lagi, hingga mengidamkan melihatnya di dalam mimpi, atau menemuinya di depan mata. Bersihkan hati ini Tuhan, supaya aku tidak malu mengaku cinta padanya.Oh aku teringinkan jatuh cinta, hingga saat kudengar namanya bergetarlah hati. Oh aku ingin jatuh cinta, hingga saat membaca kalamnya aku rasa rindu. Jatuh cinta lagi, dan kalau Engkau izinkan, mahu kudengar suaranya.

Ampunkan diri ini Tuhan, bimbing aku ke arah cahaya. Supaya aku akan kerap teringatkan dirinya, supaya selalu aku terkenangkannya, supaya dengan cintanya, aku mengenal cinta-Mu, kerana melalui petunjuk ajarannya, aku mengenali-Mu.

Tuesday, May 04, 2010

Catatan Hujung Kembara 20 | Sedikit Mengenai Ar-Rohiil, Al-‘Arif Billah Saiyidi l-Habiib ‘Abdu l-Qaadir as-Saqqaaf r.a.

Beliau adalah al-‘Allamah, al-Fahhaamah, al-‘Aarif Billah, as-Saiyid al-Habiib, Abdu l-Qaadir bin Ahmad bin Abdu r-Rahmaan bin ‘Ali bin ‘Umar bin Saqqaaf bin Muhammad bin ‘Umar bin Toha bin ‘Umar bin Toha bin ‘Umar as-Soofiy bin Abdu r-Rahmaan bin Muhammad bin ‘Ali bin – [Imam Qutub] Saidina Abdu r-Rahmaan as-Saqqaaf bin Muhammad bin ‘Ali bin ‘Alawiy bin [al-Ustazu l-A’zhom, al-Faqiih al-Muqaddam] Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad [Sohibu l-Mirbaat] bin ‘Ali [Kholi-’u Qasam] bin ‘Alawiy bin Muhammad bin ‘Alawiy bin ‘Ubaidillah bin [al-Imaamu l-Muhaajir] Ahmad bin ‘Isa bin Muhammad bin ‘Ali al-‘Uraidhiy bin al-Imam Ja’far as-Soodiq bin al-Imam Muhammad al-Baaqir bin al-Imam ‘Ali Zaini l-‘Aabidiin as-Sajjaad bin al-Imam Saidina Husain yang merupakan anak kepada Saidina al-Imam ‘Ali bin Abi Toolib juga anak kepada Saidatina Faatimah az-Zahraak binti Saidina Rasulullah s.a.w.

Al-Habiib Saiyidi Abdu l-Qaadir dilahirkan di bandar Sai-un pada bulan Jamadi l-Akhir tahun 1331 hijrah, lahir dalam didikan ibu bapa yang soleh dari keturunan yang soleh. Ayah beliau, al-Habiib Ahmad bin Abdu r-Rahman merupakan seorang ‘alim, ‘amil, dengan perakuan ulamak besar dan para auliyak. Ibu beliau pula, adalah Saiyidah Syarifah ‘Alawiyah binti al-Habiib Ahmad bin Muhammad al-Jufriy. Beginilah cara salafuna s-soleh di mana rumah mereka adalah sekolah pertama untuk mengajar dan membentuk anak-anak.

Al-Habiib Saiyidi Abdu l-Qadir belajar membaca dan menulis dari as-Syeikh al-Mubarak Toha bin Abdullah Baa Hamiid, juga dari ayah beliau sendiri al-Habiib Ahmad bin Abdu r-Rahmaan. Ayah beliau kerap mengikuti perkembangan beliau, dan menghendaki beliau membaca dan belajar darinya. Begitulah hari-hari berlalu dengan pengajian dan pembacaan pengayaan ilmu, sehingga pernah berlaku dalam masa sehari semalam sahaja beliau khatam membaca dan mempelajari sebuah kitab daripada ayahnya.

Beliau menghafaz al-Quran dalam tempoh yang singkat, mempelajari Qiraat yang tujuh dari as-Syeikh ‘Abdullah Baa Rojaak, bahkan beliau menjadi guru di madrosah an-Nahdoh al-‘Ilmiiyah. Antara guru lain beliau adalah; al-Habib ‘Umar bin Hamid bin ‘Umar as-Saqqaf,  al-Habib ‘Umar bin Abdu l-Qaadir bin Ahmad as-Saqqaaf, al-Habib ‘Abdullah bin ‘Idruus  al-‘Idruusi, al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawiy al-Habasyi dan anaknya al-Habib Husain, al-Habib ‘Abdu l-Baarii bin Syeikh al-‘Idruus, al-Habib Muhammad bin Haadii as-Saqqaaf, al-Habib ‘Abdullah bin ‘Umar bin Haamid as-Saqqaaf, al-Habib Hasan bin Ismaa-‘iil bin as-Syeikh Abi Bakar bin Salim, al-Habib Hamid bin ‘Alawiy al-Baar, al-Habib ‘Umar bin Ahmad bin Sumait, al-Habib al-Qudwah ‘Alawiy bin Abdullah bin Syihaabu d-Diin, serta ramai lagi.

Beliau telah kembali ke Rahmatullah pada 19 Rabi-u l-Awwal 1431 hijrah. Semoga Allah melindungi beliau dalam keluasan rahmat dan rahim-Nya, di kedudukan tertinggi bersama para soolihiin dan siddiiqiin.

Saya cuma memetik sebahagian kecil daripada sirah al-Habiib yang diberikan kepada saya oleh al-Habib ‘Umar  bin Zin bin Ibrahim bin Sumait. Semoga usaha kecil dan agak terlewat ini diberkati Tuhan, dan menjadi pemberat di neraca amalan kelak, atau penebus dari api yang panas, atau peninggi darjat di syurga-Nya.

Wednesday, April 28, 2010

Catatan Hujung Kembara 19 | Luka Dan Ubat

Saya menyeru kepada semua sahabat untuk menghentikan perbuatan mengherdik dan menghina saudara seislam kita, tidak kira sesiapa sahaja. Baik orang itu benar-benar melakukan kesalahan mahupun hampir pasti bahawa mereka melakukan kesalahan. Baik mereka menyebelahi parti apa sekalipun. Saya menyeru kita menghentikan tulisan-tulisan yang melukakan maruah saudara-saudara seislam kita. Sejauh yang saya belajar, bukan itu caranya kita berta-'amul dengan mereka. Sejauh yang saya tahu, bukan begitu cara kita melayan mereka.

Saya fikir, kita boleh menyuarakan pendapat mengenai ketidakbenaran perbuatan mereka, tetapi dengan ayat yang selembut mungkin. Saya fikir, ayat-ayat maki tidak hanya memburukkan hati si pendengar, tetapi juga memburukkan hati kita. Saya sedar kemaharahan selalunya membuatkan kita terlepas cakap, terlepas tulis, dan ketidawajaran perbuatan orang tertentu membuatkan kita geram. Tetapi selagi mana mereka adalah saudara seislam kita, kita juga diajar supaya berlembut melayani mereka.

Saya juga pernah melalui perasaan marah yang sama. Perasaan marah yang apabila kalau saya lafaz sepatah saja, tidak ada yang keluar melainkan perkataan maki dan cela, kerana terlalu marahnya. Tetapi kita sesama saudara bukan berperang. Betul. Perbuatan mereka adalah tidak betul. Benar. Perbuatan mereka adalah melampau. Tetapi mengherdik tidak mendatangkan kebaikan melainkan keburukan juga. Kita harus sedar, betapa perbuatan menghina dan memperlekeh hanya akan membuatkan saudara seislam kita lari, atau lebih teruk lagi, mereka juga melancarkan perang terhadap kita. Sikap tanfiir, iaitu membuatkan orang lari, bukanlah matlamat kita.

Dari seluruh yang saya pelajari dari guru-guru saya, bahawa Rasulullah itu sangat 'memejamkan mata' segan untuk menegur kesalahan orang secara peribadi. Apabila Baginda tidak senang dengan sesuatu perbuatan, Baginda akan menyebut secara am; orang yang berbuat salah akan terasa secara sendiri, tanpa namanya disebut secara jelas. Itulah yang saya pelajari dari Syeikh Yusri yang mengajari kita hadis dan bagaimana berta-'amul dalam keadaan ini. Kalau kita dapat mengelakkan menyebut nama, elakkan. Kalau tidak dapat, tegurlah seberapa lembut yang mungkin.

Sesiapa saja akan terasa hati dengan teguran yang terus kena ke hidungnya, walaupun benar mereka melakukan kesalahan. Tetapi mengherdik dan mencaci mereka bukan saja menyebabkan mereka tidak menerima teguran, bahkan membuatkan mereka bertambah benci dengan kita hingga setiap kalam kita di masa akan datang, sekalipun benar, akan ditolak mentah-mentah. Akan menyebabkan setiap kalam kita di masa akan datang, sekalipun benar, akan disia-siakan bahkan dilaksanakan yang bertentangan dengannya.

Sahabat-sahabat. Saya fikir saya pernah melalui kemarahan yang sama dengan ketidakwajaran perbuatan orang tertentu yang akhirnya membuat saya marah dan benci. Tetapi memaki mereka hanya akan menghitamkan hati sendiri. Sehingga sekarang, saya masih merasakan perbuatan-perbuatan itu adalah tidak wajar, dan kalau mengikutkan hati pasti kalam-kalam yang tidak elok akan terlepas juga di lidah. Tetapi janganlah diturutkan kemarahan itu. Kita berta-'amul, bergaul dengan saudara kita yang sama-sama Islam. Dan kesempurnaan Islam itu adalah saudara seislam kita selamat dari lidah dan tangan kita.

Barangkali kita berasa jemu menegur secara lembut, kerana ia tidak menampakkan kesan. Tetapi menegur secara kasar juga tidak menimbulkan kesan yang baik, bahkan menimbulkan sengketa tambahan. Bahkan menyebabkan keburukan mereka makin tersebar. Bahkan menyebabkan mereka menambah api sengketa dan dendam. Bahkan menyebabkan mereka memerangi kita lagi. Bahkan membuatkan mereka semakin jauh dari mendengar kalam dan teguran kita. Bahkan menyebabkan kita dianggap sebagai musuh dan wajar diperangi. Bahkan menyebabkan kita hanya akan dilayan dengan buruk dan semakin teruk.

Kita katakan, bahawa mereka tidak menerima teguran kita secara lembut, maka kita gunakan cara yang kasar. Tetapi kita juga pasti, bahawa ayat yang kasar, cela dan maki hanya akan membuatkan mereka menolak dan tidak akan diterima. Tetapi kita sedar, bahawa kalam-kalam cerca hanya membuatkan mereka semakin marah, dan menjadikan mereka lebih terjebak lagi dalam kesilapan mereka. Oh, adakah kita juga punya saham yang mendorong mereka melakukan kesalahan dan kesalahan lagi.

Saya akui, bahawa perbuatan mereka memang tidak dapat diterima dan melukakan hati kita. Saya akui, bahawa tindakan mereka adalah tidak wajar. Tetapi mereka masih saudara seislam kita dan mereka berada di tubuh yang sama dengan kita. Barangkali anggota itu sakit, dan apabila kita cuba letakkan ubat, ia sedikit melawan dan tidak menerimanya. Barangkali apabila kita cuba memulihkannya, ubat itu tidak berkesan secara terus. Tetapi adakah ia akan pulih kalau kita semakin melukakannya? Adakah ia akan pulih kalau kita semakin menorehnya? Barangkali kita lupa, bahawa kita tidak ada kuasa memulihkan mana-mana anggota, baik dengan ubat atau apa sekalipun, sebaliknya taksir dan kesan itu hanyalah di tangan Tuhan semata-mata.

Ya, sesiapa saja akan tergelincir dan melakukan kesilapan. Saya sendiri sama. Bila terlalu marah, kalam-kalam yang lama saya pendam dulu kadangkala terkeluar juga. Tetapi kita harus menyedari bahawa ia adalah tidak patut.Kita harus faham bahawa orang yang kita lukakan itu adalah saudara seislam kita, tidak kira betapa teruk dan dosa perbuatan itu. Tegurlah secara lembut. Simpanlah semua kemarahan kita. Sesungguhnya menahan kemarahan itu dapat pahala. Itulah yang disebut dalam al-Quran sebagai al-Kaazimiina l-Ghaiz. Bahkan memaafkan itu dapat pahala. Itulah yang disebut dalam al-Quran sebagai al-'Aafiina 'Ani n-Naas. Menegur itu perlu, tetapi berlembutlah supaya mereka menerimanya.

Kemudian, berdoalah. Kerana kita memang tidak mempunyai apa-apa taksir kepada mana-mana manusia dan makhluk Allah yang lain, walau dengan apa cara sekalipun. Taksir dan kesan itu cuma di tangan Tuhan. Tidak kira betapa tepat tindakan kita, tidak kita betapa hebat perancangan kita, tidak kira betapa sempurnanya plan kita dan cukupnya kelengkapan kita, namun taksir itu di bawah kehendak-Nya juga. Sedarilah ketidakmampuan diri.

Catatan Hujung Kembara 18 | Ya Allah, Palingkan Jauh Daripada Kami Segala Keburukan, Bantulah Kami Mengatasi Segala Ujian

Subhanallah. Saya baru membaca pelbagai khabar mengenai pelbagai dugaan yang menimpa pelajar-pelajar di sini. Bermula dari masalah pelajar qiraat yang masih belum muqaiyad kerana masalah borang yang belum tiba, khabar semua pelajar wafidin dipindahkan ke Kaherah dengan tujuan yang saya sendiri kurang pasti apa, juga masalah-masalah lain di ARMA. Saya fikir, ada baik terus menyatakan semua pendapat dan bantahan berkaitan kepada pihak al-Azhar, seperti mana yang dicadangkan oleh Amid Kuliah Dumyat. Juga berdoa agar semua kesusahan dan keburukan dialihkan daripada kita semua.

Allahumma -srif 'anna s-suu-a wa l-balaak.Ya Allah, palingkan jauh daripada kami segala keburukan, bantulah kami mengatasi segala ujian.

Tuesday, April 20, 2010

Catatan Hujung Kembara 17 | Seperti Tidak Pernah Bererti Apa-Apa

Bila ditunjukkan Tuhan betapa jahilnya diri, seperti terduduk dan tidak pernah bererti apa-apa. Ya Allah, kurniakanlah ilmu yang bermanfaat, yang mendekatkan diri kepada-Mu. Sungguh aku tidak berani mengaku tahu.

Thursday, April 15, 2010

Catatan Hujung Kembara 16 | Kitabu l-Arba-'iin An-Nawawiiyah Dan Al-Hirzu l-Akbar Wa l-Kanzu l-Afkhor

Alhamdulillah. Syeikh Muhammad Ibrahim Abdu l-Baa-'its al-Kittaanii sekali lagi mengijazahkan kepada kami. Sempat tadi Syeikh memperdengarkan Arba-'iin Imam Nawawi dan kami mendengarnya, ditemani juga Syeikh Jamal Farouk dan Syeikh Usamah Said al-Azhariy. Bagi saya secara peribadi, ini ijazah ketiga saya dari syeikh, yang pertama adalah ijazah 'ammah serta ijazah al-hirzu l-akbar wa l-kanzu l-afkhor. Atau keempat. Saya hadir mendengar dan membacanya ketika kebetulan saya hadir ke majlis zikir beliau. Tapi al-hirzu l-akbar itu tak sempat saya dhobitkan barisnya. Dan tadi, saya dapat membeli rakaman bacaan tersebut. Oh, lama sudah saya mahukannya. Dan ia adalah sanad tertinggi, terus kepada pengarangnya. Subhanallah. Alhamdulillah. La Ilaaha Illallah. Allahu Akbar.

Wednesday, April 14, 2010

Catatan Hujung Kembara 15 | Kalau Kita Merasainya

Semalam sungguh letih letai, saya berdoa agar tidak pengsan ketika berdiri di dalam bas. Tidak pernah saya pulang jam hampir sepuluh malam dengan bas sesesak itu. Jalan banjir manusia. Saya rasa lima ribu manusia lebih di sepanjang jalan Darrasah-Husain. Itu belum lagi yang sedang berzikir, mahupun bermadih atau berkhutbah di dalam khemah atau di masjid. Baik yang hadir ke Kaherah dengan menyambut ulangtahun maulid Saidina Husain r.a., mahupun orang awam yang bersuka ria memenuhkan jalan, bersiar-siar.

Cuma sedih sebab saya perlu pulang awal sebelum majlis di Mudhoiyafah tamat. Saya sudah tertidur-terjaga hampir 10 kali. Dari Asar saya berada hingga ke jam 9 lebih. Selisih ketika pulang dengan al-'Allamah al-Muhaddits Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kittaniy dipimpin oleh Fadhilatu s-Syeikh Jamal Farouk. Tapi saya terpaksa pulang, meninggalkan majlis yang diserikan dengan beberapa syeikh juga merupakan ahli bait Rasulullah s.a.w., termasuk Syeikh Yusri Jabr dan Syeikh Toha Hibisyi.

Saya teringat kalam seorang kawan yang juga merupakan seorang yang saya anggap guru, yang menceritakan kepada saya dan saya mendengarnya, ketika beliau berkelana ke Tanta berguru beberapa hari, tetapi tidak boleh berlama-lama kerana rindu pada Saidina Husain r.a. langsung berasa ditarik-tarik untuk pulang ke Kaherah. Setiap kali beliau ke Darrasah, beliau akan ke Masjid Husain melahirkan kerinduan kemudian menyatakan dan saya mendengarnya, keinginannya untuk menemui Rasulullah s.a.w., dan semoga jerih perih beliau belajar hadis akan dikurniahkan cinta pada Baginda s.a.w.

Sungguh, betapa saya masih terlalu jauh dari murni dan cahaya. Teringat hadis yang dikisahkan oleh Syeikh Toha malam semalam, mengenai Saidina Husain mengemukakan kepada Ummi Salamah Ummul Mukminiin yang bermaksud - apakah yang melarang aku menemui datukku (Rasulullah) - kerana Ummul Mukminin sudah dilarang oleh Rasulullah dari membenarkan sesiapa saja masuk berjumpa Baginda malam itu. Lalu, dengan ijtihadnya, beliau membenarkan Saidina Husain masuk, lalu Saidina Husain naik ke pangkuan Baginda sedang Jibril dan seorang malaikat lain bersamanya ada di situ. Kegembiraan Nabi s.a.w. menemui salah seorang Raihanatain Baginda s.a.w. Saidina Husain, tiba-tiba perasaan itu bercampur dengan kedukaan apabila Baginda disingkapkan khabar ghaib mengenai pembunuhan cucu Baginda s.a.w.

Oh, apakah rasa seperti itu boleh diungkapkan oleh kita kalau kita merasainya?

Saya terlupa untuk menulis entri khas untuk ar-Rahiil, al-'Aarif Billah, Saiyidi al-Habiib, Allaamah Abdu l-Qaadir as-Saqqaaf r.a. Nanti saya cuba masukkan dalam entri akan datang, semoga diperkenankan.

Sunday, April 11, 2010

Catatan Hujung Kembara 14 | Yang Bukan Kedua-Duanya

Kita akan terasa hati jika dilabel jahil, bodoh, tidak berilmu dan sebagainya. Bahkan sesetengah kita pun boleh terasa berkecil hati apabila seseorang lain dipuji di sisinya. Tetapi kita juga mahu mengelak dari digelar tahu, alim, pandai, bijaksana dan seumpamanya, kerana kesedaran diri tentang maksud kalimah tersebut. Sekurang-kurangnya kita bukanlah si jahil yang menjahili kejahilan diri.

Tetapi dalam keadaan ini, kita enggan digelar kedua-duanya. Pertamanya kerana kita akan berasa marah atau malu, atau gugur keegoan, dan keduanya kerana kita adalah manusia yang diajar mengenali hakikat kekurangan diri. Kerana mengetahui hakikat kejahilan diri itu adalah suatu kealiman. Kerana mengetahui hakikat kejahilan diri itu mengeluarkan diri dari kelompok kejahilan yang paling dahsyat; si jahil yang tidak tahu dia jahil.

Tetapi mengenggani kedua-duanya - sekalipun boleh diterima secara fitrah - tetapi tertolak secara akli yang cetek. Bagaimana kita menjadi seorang yang bukan jahil, dan bukan alim; bukan bodoh dan bukan pandai? Namun secara aklinya, ia adalah hakikat sebenar manusia, yang kewujudannya adalah kekurangan.