Wednesday, October 20, 2010

Catatan Hujung Kembara 53 | Hatta Akuuna Ahabba Ilaihi Min Waalidihi Wa Waladihi Wa n-Naasi Ajma-'iin

Perasaan sayang itu sebetulnya aneh. Ia mengikat kuat hati manusia. Manusia sanggup berkorban dari sekecil-kecil harta, kepada sebesar-besar nyawa kerana sayang. Sanggup berusaha menepis secara serangan buruk, dan kalau perlukan kepada perisai, tubuh itu akan sanggup jadi gantian.

Kerana itu, insan yang paling terutama untuk kita sayang adalah Junjungan kita s.a.w. Supaya, hati kita kuat terikat padanya. Supaya kita tidak berasa sayangkan duit semata-mata untuk menziarahinya. Supaya, kita akan bersungguh-sungguh menepis serangan dan kejahilan orang yang ditujukan kepadanya. Kerana kita adalah perisainya, gantinya, tebusannya.

Supaya kita faham, bahawa kalau ada yang perlu kita pertahankan, baginda adalah yang pertama, bukan sebarang tokoh lain. Semoga Allah menyerapkan rasa sayang yang tertinggi ini, kerana seseorang itu tidak sempurna imannya, sehinggalah baginda merupakan orang yang paling dia sayangi, lebih dari ibu bapanya, daripada anak-anaknya, dan manusia seluruhnya.

Tuesday, October 19, 2010

Catatan Hujung Kembara 52 | Semoga Berjumpa Lagi Imaan

Untuk sahabat baik saya, Ustaz Dhiaa-u l-Iimaan, semoga perjalanan ini selamat tiba dan mudah urusannya. Moga dimudahkan lagi kita ketemu di tanah air kelak. Terima kasih atas segala bakti yang tidak ternilai. Semoga Tuhan membalas dengan gandaan kebaikan.

Saturday, October 16, 2010

Catatan Hujung Kembara 51 | Yang Menjadi Sanjungan Setiap Masa

Sebetulnya, saya ada dua perangai yang selalu saya kesalkan setelah terlajak laku. Pertama adalah suka bergurau, hingga apabila tidak berhati-hati, saya kerap menyesali. Walaupun sebetulnya bergurau bukan tabiat asal saya. Ia dibentuk bermula tingkatan empat di sekolah menengah dahulu oleh kawan baik saya, Abdu r-Rahman. Tetapi beliau cekap berhati-hati, itu yang saya tidak sempat belajar darinya.

Namun, dia mengajarkan sikap ini bukan kerana saja-saja, tetapi kerana saya mempunyai sikap yang kedua, iaitu terlalu serius, dan apabila tidak dikawal, ia dituruti bertukar kepada panas baran. Itu barulah sifat sebenarnya saya. Dan kini, saya memiliki kedua-duanya, dan orang yang selalu cuba mendidik sikap panas baran saya adalah ibu, sehingga ketika dia membelikan saya motor dia berkata, supaya saya boleh belajar bersabar.

Kerana itu, saya ingin memohon maaf kepada sesiapa saja kalau-kalau ada laku yang melukakan timbul dari dua kekesalan saya, bahawa saya juga masih dalam peringkat belajar. Kalau dapat, saya tidak mahu memikul rasa bersalah kepada sesiapa ketika pulang ke tanah air kelak. Dan, doakan sama kita akan berjaya menjejaki akhlak kekasih terutama, yang menjadi sanjungan setiap masa.

Friday, October 15, 2010

Catatan Hujung Kembara 50 | Sampai Bila-Bila

Saya sudah tidak ingat berapa banyak atau sedikit usaha saya untuk memajukan dunia penulisan di Mesir. Hanya Tuhan saja yang Maha Tahu apa yang telah saya lakukan, dan apa yang tidak saya lakukan. Pun begitu, saya juga menyedari bahawa, penulisan itu datangnya dari kesedaran dan didasari oleh ilmu. Bahkan, ia juga perlukan perkenan Tuhan. Selalu saya disumbatkan dengan maklumat bahawa penulis itu bukan lahir dari bengkel dan pembentangan, tetapi semua itu adalah perlu juga demi menjayakan matlamat.

Seingat saya, sudah beberapa kali juga saya membina pelapis, dan bilangannya saya kira jejak belasan atau lebih, namun semuanya telah pulang mendahului saya. Barangkali kerana saya tidak sehebat mereka dalam bab pelajaran ini. Dan saya fikir, saya menjalankan tugas yang dipikulkan kepada saya oleh generasi penulis terdahulu, walaupun ia tidak seberjaya yang diharapkan.

Saya tidak tahu, adakah mereka yang saya bina sempat meninggalkan pelapis selepas mereka atau tidak. Namun begitu, saya dapat melihat mereka berusaha membentuk pelapis setelah mereka, dengan bersungguh-sungguh, dan terdetik di kepala, bahawa tidak sia-sia juga usaha saya selama ini. Juga ingin saya tinggalkan pesan bahawa, penulisan itu tidak akan berjalan tanpa bekalan ilmu dan isian di dada. Jangan lupa untuk mengisi, sebelum anda mampu mencurah. Niat yang baik sahaja belum mencukupi untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

Terima kasih kepada semua yang berkumpul di sekeliling saya di medan ini. Saya ungkapkan di akhir ini ungkapan yang diungkapkan oleh Saudara Ubaidillah Alias kepada saya antaranya bermaksud: saya berazam untuk terus menulis, dan tidak meninggalkan lapangan ini sampai bila-bila.

Thursday, October 14, 2010

Catatan Hujung Kembara 49 | Gelegak Dan Reda

Saya tidak nafikan bahawa saya adalah seorang yang keras dahulu. Sangat tegas. Bahkan hampir-hampir tidak ada timbang rasa saya kira. Mungkin boleh diberikan nama syadid. Ketika ayah saya menegur kekerasan dan ketegasan saya, supaya saya lebih berlembut dengan adik beradik, mak saya mencelah dengan kata-kata, begitulah ayah kau dulu.

Tetapi bagi saya, manusia perlu belajar sikap bertimbang rasa dan berlembut. Tentulah ketika dia masih muda, darah masih panas dan menggelegak, dan semua itu terisi di dalam kepala yang mempunyai kefahaman dan ilmu yang masih cetek, tentulah perkara sebegini tidak mudah. Syukur dan puji kepada Tuhan yang membukakan jalan supaya menambahkan ilmu yang diambil dari orangnya, sehingga kini saya menyedari bahawa sebahagian besar ketegasan dulu itu adalah gopoh dan darah muda.

Kerana itu saya berpesan kepada teman-teman akan nasihat ini, supaya anda juga dibukakan jalan untuk melembutkan hati. Supaya mengetahui kebenaran dan menerimanya.

Wednesday, October 13, 2010

Catatan Hujung Kembara 48 | Ahlan Li t-Tahammul

Salah satu daripada cita-cita saya adalah untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Arab pelajar kita, pelajar Melayu. Tahap kefahaman kebanyakan pelajar yang saya jumpa bertahap sederhana, sebahagiannya rendah dan kedapatan juga yang mencapai tahap mengkagumkan. Saya sendiri secara jujur mempunyai banyak lompong di banyak bahagian, walaupun ada satu dua saja yang mencapai tahap sederhana.

Sejak saya sampai ke Mesir, saya sudah membuang neraca timbangan Melayu. Iaitu neraca yang mengukur tahap Melayu sesama Melayu, lalu melupakan betapa jauhnya kita dengan kedudukan tahap kefahaman orang Arab. Mengukur bukan dengan tujuan supaya meninggi kalau mengatasi, tetapi dengan tujuan supaya sentiasa sedar bahawa sasaran masih terlalu jauh, pertama kerana darah yang ajam, darah orang bukan Arab, kedua kerana keupayaan dan persediaan kurang, terlalu banyak lubang di bekas takungan, ketiga kerana keinginan dan cita-cita, setinggi manakah.

Kerana itu, saya selalu melihat betapa ceteknya ilmu saya, bahkan pada fakulti yang saya ambil. Kesedaran ini sebetulnya bukanlah untuk menjadikan diri putus asa, kerana putus asa itu bukan perangai kita. Perangai kita adalah berusaha seberapa mampunya, dialas dengan memohon kepada fa-'el dan pelaku hakiki iaitu Allah, bahawa segala itu adalah kuasa-Nya dan segala itu adalah kehendak-Nya, bahawa manusia itu lemah walau pada perkara yang mereka berasa yakin melakukannya, maka apatah pula pada yang mereka tidak yakin dah berserah harap pada-Nya.

Pun begitu, segala usaha saya selama ini untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Arab pada saya adalah tidak sia-sia. Saya berharap, usaha-usaha saya akan diteruskan di sini oleh mereka yang pernah saya curahkan padanya, dan berharap usaha-usaha ini dan lainnya akan dapat saya mulakan di tanah air nanti. Bagi saya, kalau masalah bahasa teratasi sebelum pelajar ke al-Azhar, jumlah ilmu yang boleh dikutip di bumi Ulamak ini akan melambung tinggi, sekiranya disertai dengan kesedaran dan keinginan diri juga perkenan dari Tuhan. Bagi saya, terlalu banyak ilmu yang tercicir dari faham walaupun setelah gelombangnya ditangkap oleh gegendang kerana tersekat oleh tembok ketidakfahaman.

Bagi saya, setiap siswa dan siswi perlu ada kesedaran mahu meningkatkan tahap penguasaan ilmu juga bahasa Arab dan tidak sekadar berpuas hati dengan keputusan peperiksaan, tidak sekadar berlega diri dengan berjaya melampaui rakan sebangsa sebudaya, dan tidak menamatkan cita-cita menuntut ilmu sekadar ijazah sebaliknya memaparkan keinginan dan usaha kepada lebih dari itu. Semoga kita semua diperkenankan Tuhan dan dibukakan jalan ke arah itu.

Pun begitu, saya teringatkan sebuah doa Syeikh Muhammad Ibrahim 'Abdu l-Baa-'its yang beliau tulis di atas kertas antaranya bermakna, Ya Allah, jadikanlah aku dan mereka ini ahli untuk memikul ilmu dan syariat-Mu. Amiin.

Tuesday, October 12, 2010

Catatan Hujung Kembara 47 | Baina l-Amrain

Mungkin ada beberapa sebab dan alasan mengapa seseorang boleh berasa suka, atau berasa tidak suka untuk berada di Mesir. Sesetengahnya tidak suka kerana tidak tahan dengan perangai sesetengah orang Arab. Itu bagi saya adalah normal kerana kita adalah bangsa yang lemah lembut sesuai dengan peradaban Melayu. Tetapi berada beberapa tahun dan melalui kehidupan yang sebegini sedikit sebanyak menukar cara dan gaya kebanyakan orang. Kelihatan juga mereka yang menyalin penuh perangai sesetengah Arab yang kasar, hingga sudah tidak kelihatan lagi tatacara Melayu yang lemah lembut. Dan kebanyakannya, terkesan dengan sebahagian cara dan muamalat yang kurang enak ini, kerana al-mar-u ibnu bii-atihi, seseorang itu adalah anak kelahiran persekitarannya.

Namun bagi saya, masih terdapat cara dan muamalat yang elok yang patut disalin oleh kita. Sejak dulu, kalam seperti "Arab adalah kasar, tidak boleh dipercayai, suka menipu" dinukilkan dari generasi ke generasi menyebabkan sangkaan menjadi buruk. Ia adalah nukilan tidak wajar. Walaupun ya, berhati-hati adalah perlu, tetapi bersangka buruk bukanlah cara dan akhlak kita. Ia sebetulnya bisikan nafsu dan syaitan yang seharusnya kita jawab dengan bersangka baik, dan bisikan-bisikan itu bukanlah bisikan kita sebetulnya, kerana kita adalah muslimin yang berbaik sangka kepada muslimin, walaupun ya, dari sudut langkah dan cara, berhati-hati adalah amalan kerana tanpa berhati-hati, sangkaan buruk akan lebih mudah menerjah dan menjadikan kita lebih terdedah dengan bisikan tersebut. Kerana itu, sikap berhati-hati, bukan kerana kita bersangka buruk terhadap saudara seislam kita, tetapi demi mengelakkan diri terdedah kepada bisikan sangkaan buruk godaan nafsu.

Namun, menjadikan diri suka berada di Mesir juga mempunyai beberapa takwilan. Adakah kerana sesuatu faedah padanya, seperti rasa lapang dan selesa, atau kerana sumber pendapatan yang memudahkan, atau kerana kebaikan seperti pengajian yang menumbuh banyak lalu dapat diikuti, atau kerana pautan hati pada seseorang atau tokoh tertentu, semua ini mempunyai banyak pandangan orang terhadapnya. Bagi saya, sebab yang baik itu baik, dan sebab yang tidak itu tidak. Namun, bagi saya, menjadikan diri suka kepada Mesir, kerana benci kepada tanahair adalah tidak betul. Tetapi tidak suka kepada tanah air atas sebab yang mendesak seperti peperangan adalah suatu yang fitrah, tetapi lebih sempurna kalau ia ditambah dengan azam mahu mengubahnya. Siapa lagi yang akan mempertahankan tanah air kalau bukan pertiwinya sendiri?

Saya sendiri, ketika pulang tiga tahun lalu, berasa janggal dengan negara sendiri. Bahkan terdetik mahu segera pulang ke Mesir. Barangkali detikan seperti itu bukanlah kerana benci, tetapi kerana suasana yang banyak berbeza. Sebetulnya, saya perlukan masa menyesuaikan diri, walaupun sebetulnya menurut sesetengah orang, saya cepat menyesuaikan diri. Atau mungkin lebih tepat, kehendak menyesuaikan diri. Tetapi kalau perkara ini ditimbang secara akal, neraca akan memberat kepada tanggungjawab dan kewajipan, bukan kerana hati dan perasaan. Dan sekarang, di sebulan terakhir, saya rasa sedih kerana akan meninggalkan bumi yang belum cukup saya mengutip ilmunya, kerana singkatnya peluang disebabkan terlewatnya kesedaran, ceteknya kefahaman disebabkan rendahnya kemampuan. Walaupun ya, kerap juga saya menyatakan secara berselang-seli antara tugas kewajipan yang menanti dengan tugas kewajipan yang masih berbaki.

Sebetulnya, saya berazam untuk belajar lagi di sini kalau dibukakan peluang lagi, dan dalam kemampuan yang mencukupi. Tetapi benar juga, hutang budi perlu saya lunaskan supaya tidak terpundak sesal itu dan ini. Kerana itu, saya akan pulang juga. Insyaallah, saya akan pulang pertengahan November ini, 16 haribulan mengikut cadangan, tetapi tidak pasti kalau dicepatkan seminggu atas perbincangan. Kalau benar ini adalah kunjungan akhir saya ke bumi ini, saya berdoa kepada Tuhan, agar anak cucu cicit keturunan saya (kalau direzekikan) akan melengkapkan cita-cita ini, dan mahu saya mengutip pula dari mereka. Dan kalau ini ada sambungannya, saya berdoa kepada Tuhan, supaya di kali akan datang saya lebih bersedia untuk mengutip peluang, dan semoga dikurniakan yang lebih baik dan sempurna.

Biarlah kalam ini muncul lebih awal. Supaya bila tiba waktunya semua sudah terlupakan. Selamat tinggal. Entah bila akan bertemu lagi.

Monday, October 11, 2010

Catatan Hujung Kembara 46 | Sebulan Baki

Saya dijangka pulang pada pertengahan November ini. Saya berharap, akan dapat menyambung pengajian lagi di Mesir ini, kalau diizinkan Tuhan.

Thursday, October 07, 2010

Catatan Hujung Kembara 45 | Sudah Dikebas Orang

Itulah namanya jodoh. Itupun sudah lima tahun. Namun akhirnya dikebas orang. Leka. Tak Perasan. Tak sangka. Sungguh. Pantang lepa sikit saja. Nak buat macam mana.Mereka tangan panjang.

Memaklumkan, bahawa saya tidak dapat dihubungi melalui telefon buat masa ini. Bahkan yang paling sayang, nombor telefon beberapa orang syeikh yang saya simpan hanya di dalam telefon. Dan, mereka yang berurusan dengan saya boleh tinggalkan nombor telefon di bahagian komen atau hantar ke e-mel.