Thursday, August 09, 2007

Catatan 1 Dari Malaysia : Menyusuri Laluan, Meredahi Dataran.

Berada di tanah air sendiri setelah empat tahun di rantau orang pasti sedikit menjakunkan pada mulanya. Pada bangunannya, jalannya, dan berita-berita dari keluarga. Apa yang pasti, saya masih begitu mudah terasa segan dan tidak mudah masuk dengan orang lain.

Sebelum pulang, urusan yang terlalu banyak menyebabkan ribut di kepala dan rusuh di hati. Hingga tak terfikirkan Malaysia, kerana semua tumpuan jatuh pada kerja. Termasuk menyiapkan semakan sukej hingga ke minit-minit terakhir sebelum bertolak ke mator. Ribut itu gesa, dan akhirnya, saya terlupa nak mengangkat baju di jemuran.

Namun, sekembali pulang, saya terasa bermacam-macam. Yalah, duit tak ada, mahu meminta ibu rasa segan, mahu meminjam adik takut dia lebih memerlukan. Kemudian, bengkel di Kuala Lumpur menjelang. Bengkel cerpen dan sajak di Dewan Bahasa dan Pustaka. Kemudian Wacana Utusan, yang juga perlukan wang pendaftaran yang agak tinggi.

Dalam diam saya berfikir. Malu menyebabkan hasrat meminta terpenjara di hati, tapi akal mengingatkan akan simpanan saya di bank. Honorarium bagi karya tersiar banyak melegakan ketika ini. Tak sia-sia usaha saya, dan ia dapat dinikmati di saat getir ini.

Seminggu di Kuala Lumpur, saya tak berhasrat berbelanja, tapi buku-buku yang sangat-sangat menarik perhatian membuatkan saya berfikir semula. Di Dawama - kedai jualan buku-buku cetakan DBP - bahkan buku-buku dari Ujana Ilmu yang Kak Nisah bawa, saya hampir-hampir terlupa saya perlu mengawal belanja. Nanti ada Wacana Utusan, bahkan tambang bas perlu juga difikirkan.

Itulah, saya selalu kurang ambil berat pasal diri. Asal hidup, asal selamat, hal-hal yang merunsingkan seperti cukup-cukup atau ala kadar biasa saya tolak tepi. Bukankah kelakar bila digelar zuhud oleh ayah sendiri, tapi sebetulnya saya tak mahu menyusahkan mereka ke peringkat maksimum. Segan pun satu juga.

Tapi alhamdulillah, saya berpeluang menemani Intan ke konvo-nya, melawat Najib di UM dan ke rumahnya, menzirarahi Fahmi di UIA, cuma segan dan malu menyebabkan banyak kalam tersimpan dalam kepala, tak terluah bila bertemu rakan-rakan mereka. 11 haribulan, ada Wacana Utusan, ada Hadiah Sastera Darul Takzim, dan ada Bakti Siswa di BBU. Saya dah memilih yang pertama sejak di Mesir, pilihan kedua ketiga lambat diketahui.

Banyak lagi urusan belum selesai.

2 comments:

Anonymous said...

Nice blog design. Please link up my blog and www.haqislam.org here too

Ummu Hani binti Abu Hassan said...

saya dapat tahu, ustaz ada adik nama najib di um
Rupanya, teman kelas saya, Ustaz Miftah kawan ustaz ya. Dia yang cakp.
Nanti jumpa di Quality Hotel, insya Allah