Apabila kita memilih untuk mengkritik orang lain, sebenarnya kita telah menjadikan diri kita sebagai seorang hakim, dan yang dikritik sebagai pesalah, atau yang didakwa. Hakikat pengkritikan ini memberi faham beberapa perkara; antaranya, kita perlu memiliki suatu dustur, perlembagaan atau undang-undang, yang mana dustur inilah digunakan sebagai garis panduan dalam menentukan, adakah orang dikritik ini bersalah, atau tidak. Apabila kita mengkiritik, pasti ada satu garis panduan di dalam fikiran kita, yang menjadi sumber penentuan terhadap suatu kes kritikan yang kita ingin bawa.
Hakikat ini memberi faham suatu hakikat yang lain. Iaitu, orang yang dikritik, mestilah menerima dustur yang kita pegang, sebagai dustur yang juga dia pegang. Kerana sekiranya ia memilih dustur lain sebagai kayu ukur, maka mahkamah kritikan ini tidak akan bererti langsung. Sebagai contoh, kita mengkritik seseorang berkaitan agama, lalu kita mengambil syariah sebagai sumber hukum, atau akhlak sebagai dustur, tetapi yang dikritik adalah seorang yang bukan beragama dengan agama tersebut. Lalu kritikan itu akan sia-sia, kerana dasar pegangan tidak sama.
Begitu juga apabila kita mengkritik sikap, maka tahap dan perlembagaan sikap yang digunapakai sebagai kayu ukur pengkritikan, mestilah dipegang sama oleh yang dikritik, barulah kritikan ini akan dikira berjaya. Contoh, sikap malas. Sekiranya yang dikritik tidak mengambil pakai sikap ini sebagai suatu yang patut dijauhi, kerana mungkin baginya sikap bermalas adalah satu sikap yang ada kebaikan; kerana mengurangkan kadar tekanan jiwa, stress, sakit pening barangkali, maka kritikan yang kita sampaikan hanya menjadi satu kata-kata yang sia-sia pada pandangan mereka, atau barangkali mereka merasa pelik dengan kritikan tersebut.
Seperti, adakah sikap meminjam demi kerana belajar ini baik, atau buruk, lalu kita memegang bahawa ia baik, kemudian mengkritik sesiapa saja yang tidak menyebelahi sistem ini. Kerana barangkali kita merasakan belajar adalah baik, dan usaha-usaha yang membantu kepadanya juga adalah baik. Tetapi kritikan ini akan menjadi pelik, dan sia-sia, bagi mereka yang memegang falsafah dan dustur bahawa meminjam itu sentiasa tidak baik, kerana barangkali bagi mereka ia ada risiko, atau walaupun tiada risiko, tetapi si pemiutang akan memikul beban peminjam, dan memberikan kesan negatif pada pihak penolong. Lalu, mereka yang berpegangan seperti ini akan merasa kelakar dengan kritikan kita, kerana sistem dan dustur pegangan dalam kayu ukur kritikan tidak sama.
Lalu, apabila kita tidak dapat menyamakan dustur, maka kritikan tidak dapat dibina. Ini hakikat di sebalik hakikat yang saya sebutkan tadi. Barangkali, ia tidak wajar digelar kritikan, tetapi pandangan, atau penghujahan, dan dalam pandangan dan penghujahan, pihak yang satu lagi bukan terhukum. Qodiah dan kes ini tidak sama. Kalau mereka memakai dustur yang sama, lalu ia dinamakan kritikan, dan pihak yang dikritik akan terhukum dengan sendirinya. Memahami hakikat ini sebenarnya memberi faham hakikat yang baru, iaitu, dalam mencari satu dustur (bukan agama yang hukumnya telah sabit) seperti dustur psikologi dan kejiwaan, kadangkala akan menemui satu kesusahan.
Dalam psikologi, atau dalam ruang yang lebih kecil; tanggapan; kita mungkin akan menemukan ketidakserasian pegangan dan tanggapan yang dijadikan dustur dan kayu ukur. Sebagai contoh, adakah kita merasakan kejayaan dalam peperiksaan itu suatu yang penting, atau tidak? Atau, adakah mengharapkan kejayaan dalam peperiksaan itu suatu yang agung atau tidak? Lalu, neraca dan kayu ukur yang sama membolehkan orang itu dikritik, dan mereka yang menggunakan kayu ukur yang lain, apabila mendengar kritikan ini akan berasa kelakar dan menggelikan hati, atau barangkali pelik.
Memahami hakikat ini akan mengilhamkan kita suatu hakikat di sebaliknya. Bahawa pensempadanan kita dalam dunia tanggapan akan terbentuk, dan laluan akan menjadi tidak sama. Kerana itu, kadangkala, untuk mengkritik mereka yang memegang tanggapan yang berbeza adalah sukar, kerana ia tidak mempunya titik temu. Bahkan, laluan yang berlainan akan membawa kita ke lain jihat dan sudut, dan barangkali, ke lain matlamat. Adakah kita merasakan kritikan kita itu akan diterima atau akan dibakulsampahkan sahaja?
Maka, dengan hakikat ini, kita memahami satu hakikat lain. Iaitu, kita terpaksa mewujudkan satu dustur, perlembagaan yang merangkumi apa saja jalan dan laluan, supaya mereka yang mempunyai perbezaan tanggapan masih boleh dikritik, dan dihukum. Lantas, kita dalam keterpaksaan, kita mewujudkan garis panduan, dustur, undang-undang yang jauh lebih umum dari perlembagaan kritikan yang kita pegang tadi. Supaya dengan keumuman itu, mereka semua akan termasuk dalam satu ruang yang boleh dkritik.
Apakah kita percaya, dengan kerana supaya kita dapat mengkritik, dan kritikan itu benar-benar kena dan dikira layak dinamakan kritikan, maka ia terpaksa melalui beberapa syarat; kita mempunyai suatu dustur kritikan, kita mengkritik kepada orang yang memegang dustur neraca yang sama; dan sekiranya tidak sama, kita terpaksa meluaskan kayu ukur, barangkali terpaksa bertasamuh dengan beberapa perkara yang bukan menjadi pegangan kita.
Kerana kita cuba menjadi hakim dalam mengkritik pihak lain. Dan, undang-undang kritikan yang kita pakai mestilah sama, atau kritikan itu akan jadi sia-sia, menggelikan hati, atau memelikkan, atau tidak layak dinamakan kritikan, dan harus ditukar kepada nama 'pandangan', 'idea lain', 'ittijah mu-'aakis; atau kita terpaksa melebarkan kayu ukur dan luas neraca timbang, membina semula dustur yang lebih umum dan lebih terbuka. Mewujudkan lebih banyak tasamuh dan timbang rasa.
Jadi, setelah semua ini, apakah pandangan anda terhadap kritikan yang anda berikan pada seseorang, akan ia diterima dan menyedarkan, atau ditolak dan diketawakan, atau didengar dan dipertimbangkan barangkali, kerana ia dianggap sebagai cadangan semata-mata?
2 comments:
adakah saya pernah mengkritik saudara secara tidak sengaja? macam terasa...
cik atthhie. apabila kita menulis kita memang menujukannya kepada seseorang, itu hakikat. atau mungkin tujuan itu akan beralih dari seorang kepada seorang yang lain, menjadikan ia multi-target.
Saya suka tulisan saya multi target, kerana saya mahu ia senang dibaca semua orang. Kalau huruf itu menjadi anak panah,saya mahu anak panah itu berganda di tengah udara dan menuju ke semua arah. Tapi hakikatnya ia sukar, dan kadangkala tak menjadi.
Juga saya suka kalau tulisan saya boleh dibaca dengan beberapa lapis makna. Orang yang boleh memahami satu lapis makna, akan memahami lain dengan orang yang memahami dua lapis makna, begitu juga yang tiga dan empat.
Kerana itu, apabila membaca respon mereka saya akan langsung membaca mereka pula, orang ini berapa lapis dia faham. Atau mereka berada di lapis yang di luar jangkaan saya. So, keperlbagaian pembaca itu satu keunikan, walaupun jarang-jarang kita jumpa.
Tetapi, tak semua perkara boleh ditulis dalam banyak lapis makna. Ada yang satu lapis, dan kadang-kadang berjaya juga ditulis dalam beberapa lapis makna. Cotntohnya, bila saya menulis tentang falsafah dan teori, atthie membacanya seolah-olah saya mengkritik semula kritikan atthie... itu sekurang-kurangnya berada di lapis kedua makna yang saya maksudkan.
Tetapi, terpulang, nak berfikir macam mana. Saya dah lama terfikir tajuk ni, sejak beberapa minggu dulu.
Post a Comment