Wednesday, August 19, 2009

Istikhlas Dan Istisfaak Dari Inti-khoobaat.

Bismillah.

Saya fikir, ketidakpuasan hati itu adalah tanda kita sayang. Kita ambil berat. Dan tanda kita tak mahu sesuatu yang tidak elok berlaku.

Saya fikir, menyatakan hasrat mengubah apa yang kita rasa tidak elok juga adalah tanda kita sayang. Tanda kita ambil berat. Dan tanda kita tak mahu sesuatu yang kita rasa tidak elok daripada berlaku.

Kerana itu, saya merasakan, kedua-dua pihak patut merasakan perasaan yang sama. Jangan memandang rendah pihak lain, kerana kita berdua mahukan yang baik berlaku. Dan kerana itu, kita tak patut mengeluarkan kenyataan yang menyinggung pihak yang lain. Kerana menyinggung itu hanya akan menyebabkan kita makin membina jurang.

Kenyataan harus dinilai halus. Diperhati dalam ke luar, luar ke dalam. Kita belajar dilalah mutobaqah dan iltizaamiyah dalam kuliah Usuluddin. Kita belajar mafhum muwafaqah dan mafhum mukholafah dalam kuliah Syariah. Kita belajar tasyhbih, istia-'arah dan kinayah dalam kuliah Lughah. Kita bijak mengungkapkan. Tetapi kita juga belajar bahawa Nabi diutuskan untuk menyempurnakan akhlak. Dan tiada ertinya kebijakan kita mengungkapkan, sekiranya ia untuk menyakiti hati saudara yang lain.

Saya juga pernah berasa sakit hati yang amat. Yang sikit-sikit itu banyak kali. Tapi yang paling dahsyat dua kali. Sekali dari persatuan ini, dan sekali dari persatuan penaungnya. Kalaulah mengikutkan hati, sudah saya cemuh dan maki di laman ini. Tetapi ia hanya menghitamkan hati. Saya sudah banyak menghitamkan hati dengan lidah. Saya sendiri berasa sedih. Kita belajar bahawa Muslim itu bersaudara, seperti sebuah bangunan, dan kita belajar bahawa Muslim itu adalah yang cintakan saudaranya seperti cintakan dirinya, bahkan kita belajar bahawa Muslim itu adalah apabila saudaranya selamat dari kejahatan tangan dan mulutnya. Lupakah kita bahawa mencela Muslim itu fasik dan membunuhnya kafir.

Kerana itu saya mendiamkan diri setahun lamanya. Saya tolak semua kerja persatuan. Kerana hati saya terlalu sakit. Saya mahu melupakan semuanya. Mahu memaafkan, walaupun mereka tidak meminta maaf. Akhirnya saya berjumpa dengan firman Tuhan yang berbunyi (walau sudah selalu membacanya): [[Tolaklah kejahatan itu dengan kebaikan. Jika kalian lakukan begitu, lalu secara tiba-tiba saja, orang yang kalian punyai permusuhan dengan mereka akan menjadi seolah-olah sahabat karib.]]

Wallahu a'-lam.

2 comments:

Maryamnour said...

Salam. Akak suka tulisan ini. Jujur wlu tdk diungkap scra jelas isunya. Yg merasa dan pernah merasa spt itu akan sgt cpt merasai.Untuk sembuh mmg sgt sukar.Perlu waktu yg bkn sedikit. Sakit.Ubatnya? Sungguh memaafkan itu sangat menyenangkn bgi air mengalir tp ya...sukar sehingga puncanya dihapuskan dan sglanya jelas.Tp sungguh, memaafkan itu aman...Sangat.

MZP said...

Terima kasih untuk respon.