Sunday, September 19, 2010

Catatan Hujung Kembara 44 | Ketidakserasian Menjadi Bukti Ada Sesuatu Yang Hilang

Antara perkara yang berlegar-legar di kepala saya di sepuluh hari terakhir Ramadan lepas adalah mengenai huruf jar. Barangkali terkesan dengan muhadarah Syeikh Muhammad Ibrahim yang kerap membahaskan mengenai bahasa, dan antaranya mengenai huruf jar, barulah saya terfikirkan mengenainya.

Pertama adalah, huruf jar itu sentiasa berkait dengan fe-'el, adalah sesuatu yang maklum diketahui. Ia kalaupun berkait dengan isim, maka isim itu adalah isim yang membawa makna fe-'el. Atau ditaqdirkan membawa makna fe-'el. Kerana itu hubung kait huruf jar dan fe-'el sangat kuat. Perkara ini kebetulan berlegar di kepala saya lama dulu, tapi baru-baru ini saya dengar sendiri dari pengajian Syeikh Said.

Lanjutan kepada perkara pertama inilah yang saya fikirkan di akhir Ramadan baru ini. Iaitu mengenai huruf jar yang tidak sesuai dengan fe-'el. Kita menyedari bahawa setiap fe-'el mempunyai huruf jar yang sesuai dengannya. Kalau kita kata a-syaa-ra (menunjuk), maka kita padankan dengan huruf jar ila (kepada). Kalau kita kata af-ro-gho (mengosongkan), kita akan sesuaikan dengan min (daripada), dan kalau kita kata khola-'a (mencabut) kita akan kenakan dengan min (daripada). Mengapa kita kata tidak sesuai? Kerana pabila kita berkata mengosongkan, kita akan mengatakan, mengosongkan daripada, bukannya mengosongkan ke atas, atau mengosongkan pada.

Persoalannya, apabila fe-'el itu dipadankan dengan huruf jar yang tidak sesuai dengannya, apakah yang akan berlaku? Inilah yang kerap saya fikirkan dari muhadarah as-syeikh. Lalu saya dibukakan kefahaman ini. Bahawa apabila ia dipadankan dengan huruf jar yang tidak sesuai dengannya, maka sebetulnya, ada fe-'el yang mahzuf (dihilangkan) di antara keduanya.

Kerana itu, apabila kalimah afro-gho (mengosongkan) dipadankan dengan huruf jar 'ala (ke atas), maka setelah ditakdirkan mahzuf (kalimah yang dihilangkan) ia menjadi, afro-gho mina l-inaak, wa sobba 'alaihi (dikosongkan daripada bekas, dan dituangkan ke atasnya). Lafaz dikosongkan dikekalkan, dan dibuangkan kalimah daripada, bekas, dituangkan, dan dikekalkan kalimah ke atasnya. Jadilah afro-gho ala. Maka, af-ro-gho 'ala yang asalnya bermakna (mengosongkan ke atas) bertukar menjadi dituangkan ke atas. Bagaimana boleh berpindah dari makna mengosongkan kepada makna menuang, kalau bukan dengan takdir seperti di atas.

Fe-'el khola-'a (mencabut/melucut) ini apabila dipasangkan bersama huruf jar 'ala (ke atas), sefahamnya  bahawa asal ayat ini adalah, khola-'a minhu, wa kasa alaika (dicabut daripadanya, dan dipakaikan kepadamu), lalu kalimah daripada dibuang, begitu juga kalimah dipakaikan, dan yang tinggal adalah khola-'a 'ala. Khola-'a 'ala yang asalnya bermakna mencabutkan/melucutkan ke atas, bertukar kepada maksud memakaikan ke atasnya (baju dll.) Kalimah melucutkan di dalam ayat ini bertukar menjadi memakaikan, kerana takdir ini.

Kalimah Naala (mencapai) contohnya tidak memerlukan huruf jar, kerana ia adalah ia fe-'el muta-'addiy, namun apabila ia dipasangkan dengan min dan masih dikekalkan fungsinya sebagai muta-'addiy, maka naala ini bererti mencerca. Lalu dengan takdir ini, ia berbunyi, naala 'irda fulaan, wa hattohu minhu (mencapai maruah seseorang, dan menjatuhkan/menggugurkan maruah itu daripadanya). Lafaz mencapai dan daripadanya dikekalkan, manakala baki lafaz di antara keduanya dibuangkan.

Keringkasan ini bererti dua ayat yang digabungkan, lalu dikerat lafaz di antara keduanya, iaitu hujung ayat pertama, dan pangkal ayat kedua, dan hazaf dan buang dalam kalam Arab boleh berlaku dengan syarat ada sesuatu yang menunjukkan bahawa berlaku pembuangan, dan dalil yang menunjukkan sesuatu telah dibuang adalah ketidakserasian huruf jar dengan fe-'el. Begitulah saya menelaahnya.

Semua kefahaman dan percubaan untuk meletakkan takwil ini sebetulnya supaya memudahkan kita sebagai 'ajam memahami bahasa Arab. Apabila kamus dibuka dan maksud dijelaskan pun, masih kedapatan maksud yang tidak difahami, seperti mengapa makna mengosongkan boleh menjadi makna menuang? Seperti mengapa makna melucutkan boleh menjadi makna memakaikan? Dan bagaimana pula kalau kamus belum pernah meletakkan makna bagi pasangan fe-'el dan huruf jar yang tidak sesuai, bagaimana mahu kita memahaminya, tetapi kedapatan dalam kalam Arab.

Begitu juga, apabila semua kefahaman ini hanya berlegar di kepala, tanpa menyampaikannya, terasa sayang kalau ia hilang, setelah dibukakan, setelah dicarikan dalilnya, dan menepati maksudnya. Wallahu a'-lam.

4 comments:

shafiqelias said...

terima kasih kpd ustaz zaki.
semoga dpt menghasilkan kitab kajian,ulasan, dsb ttg huruf jar dlm versi melayu supaya dimanfaatkan oleh pelajar jurusan agama islam dan bahasa arab,
seterusnya dapat dikongsikan dalam seminar atau diskusi kitab bersama-sama dengan para guru dan pelajar di peringkat sekolah-sekolah arab di negeri johor khususnya.keep it moving.
Amiin.

Anonymous said...

wow luar biasa keren banget artikelnya!!
jadi teringat temen saya yang sedang menimba ilmu di aL ashar mesir.mungkin anda juga kenal.
namanya trio suwoto.


Artikel Terakhir Di BIsry blogg Adalah Daftar Hacker Yang Paling Di Segani Di Dunia 

Maryamnour said...

Jazakallah atas perkongsian. Seronok membacanya. Setuju dgn Syafiq, mg dpt berkongsi dlm btk buku.

Mohd Zaki M Noor said...

terima kasih syafiq, anon dan maryam. itu sebahagian daripada perkara yang saya kaji. cadangan yang baik. akan difikirkan.