Monday, March 28, 2011

Macet, Kesibukan Dan Komitmen

Sebetulnya, masa yang tidak sempat-sempat dan halangan-halangan maknawi yang saya redahi dalam tempoh beberapa bulan sedikit menyukarkan saya aktif membuat pos ke blog ini. 9 Januari 2011, setelah dua bulan merancang, akhirnya Al-Husna Arabic Centre selamat dilancarkan, walaupun pada hari bersejarah itu saya tidak dapat datang. Pada pertengahan Februari, kelas kedua dilancarkan. Kedua-dua kelas yang merupakan kelas bahasa Arab untuk orang awam. Kemudian kelas untuk kanak-kanak dirancang, namun sedikit masalah teknikal berlaku. Kini, kelas ketiga untuk orang awam dibuka untuk ambilan Mei, dengan kuantiti terhad, 20 orang sahaja.

Aktiviti Al-Husna separuh rancak secara puratanya. Adakalanya saya hampir tiada rehat dan kepala sentiasa penuh dengan pelbagai tugas untuk dilaksanakan, dan adakalanya saya boleh mengambil nafas dan tidak terkejar-kejar. Yang macet benar, adalah apabila ada projek yang perlu ditunaikan segera. Mungkin kadang-kala sedikit tekanan itu wujud dan ketenangan sudah retak dan berkecai.

Saya cuba untuk memberikan tumpuan tidak berbelah bagi kepada semua komitmen, dan cuba untuk tidak membazirkan walau sepuluh saat. Tetapi minggu yang sudah, apabila menolak diri sendiri sampai ke batasan dan melebihi batasan, saya hampir-hampir tumbang jatuh tergolek sakit. Berselang-seli saya lakukan, antara bersungguh-sungguh, dan bersantai-santai. Pun begitu, tugas yang meminta diselesai segera juga semakin memundak di bahu.

Saya sudah bertugas di Sekolah Menengah Islam Hidayah, mengajar bahasa Arab. Tugas sebagai guru saja sudah menuntut komitmen yang tinggi dan persiapan yang berkesan, supaya saya sendiri boleh berpuas hati dengan pengajaran hari ke hari. Berkali-kali juga saya mengkaji sebab kegagalan pengajaran di dalam kelas dengan kejayaan-kejayaan dalam kelas yang lain, di samping tidak henti-henti merancang sesuatu untuk melakukan pengajaran yang berkesan.

Kini, sebuah projek di bawah Al-Husna menanti untuk dilaksanakan. Targetnya adalah 31 Mac, dan kerjanya pun agak boleh tahan mencabar. Saya berdoa kepada Tuhan, membantu saya melaksanakan, di samping dapat mempersiapkan diri mendepani tugas-tugas dan komitmen lain dengan berkesan dan berkualiti. Walaupun waktu suntuk, saya cuba juga untuk pulang ke kampung halaman, di Ayer Hitam seminggu sekali, walaupun untuk sekejap. Semoga Allah memberkati kita semua.

3 comments:

hanif_m_noor said...

Assalamualaikum tuan, saya adalah peminat Al-Husna Arabic Centre...harap dapat selalu mendengar perkembangannya...hehe..

Mohd Zaki M Noor said...

in sya-a -llah, kita sudah mengusahakan sebuah blog mengenai perkembangan alhusna arabic centre, cuma isinya belum sempat dikemaskini. Tapi kalau nak lawat awal-awal ni, alamatnya adalah alhusna-imtiyaz dot blogspot dot com

nikqilah said...

moga dipermudahkan segala urusan.. amin ^-^