Wednesday, November 28, 2012

Di Sini Kutemukan 11: Izaa Tabarromti

Dulu, di awal-awal saya mengenali internet, saya memang kemaruk. Tetapi sekarang, tahap ketagihan itu sudah tidak ada. Sudah kadang-kadang tidak tahu hendak membuka laman apa. Apatah lagi untuk mencari maklumat dari internet. Mungkin kerana saya mempunyai minat yang terhad. Mungkin sebab saya selalu hanyut dalam kerja dan tugas saya, atau kerana sikap saya hanya mengambil tahu perkara yang benar-benar penting, selebihnya saya tangguhkan dahulu. Seperti mana maksud sabda Baginda s.a.w. "Di antara tanda keelokan islam seseorang itu adalah, meninggalkan perkara yang tidak penting baginya." Atau kerana saya tidak punya memori yang cukup untuk menangani semua isu hingga kadang-kadang atau selalu juga, yang penting pun saya terabaikan.


Apatah lagi untuk mencari maklumat. Semacam tidak pernah. Hinggalah tadi, rasanya baru tadi, semacam buat kali pertama saya bingung dan terdesak mencari jawapan dari internet. Memang jawapan ada di sini. Mungkin sikap saya tidak suka bergantung kepada internet untuk mencari jawapan. Mungkin juga kerana saya tidak meyakini tahap kesahihan data yang dipamerkan di internet adalah tinggi. Hinggalah tadi, saya betul-betul bingung untuk mencari jawapan. Dan yang saya cari adalah, cara memujuk wanita.

Sejak kecil hingga besar, saya tidak melatih diri saya memujuk orang lain. Saya kerap bersabar, pasrah, menahan sakit di dalam hati. Memujuk diri sendiri itu ada, tetapi memujuk orang lain tidak. Kalau meminta maaf itu juga boleh dianggap sebagai memujuk, mungkin itulah satu-satunya yang saya lakukan. Mungkin juga kerana sikap saya tidak mahu memaksa orang, saya jadi tidak suka memujuk. Atau kerana saya seorang yang kasar, yang tidak merealisasikan perkaranya dengan pujukan, tetapi gesaan. Atau sebab saya seorang yang teorikal, lalu sentiasa cuba menyelesaikan perkara secara logik, lalu akan berbahas akan benar tidaknya sesuatu, lalu juga akan memberikan peluang kepada pihak lain menimbang perkara secara wajar dan memberikan hujah balas setimpal dalam sesuatu isu.

Saya menemui beberapa jawapan dari pelbagai jenis blog dan web. Syukur Alhamdulillah. Terasa jahil betul akan teknologi maklumat. Ini adalah yang saya temui dari blog cintaimaginasi. Pertama adalah dengan menerangkan perkara yang sebenar dan bercakap benar, berterus terang. Tetapi ia tidak dapat dilakukan sekiranya anda tidak mengetahui sebab mengapa dia merajuk. Apatah lagi sekiranya anda pula tidak dapat mengawal laras bahasa hingga menjadi kasar dan bernada tinggi, bercakap hanya akan memburukkan keadaan. Berdiam dalam keadaan itu adalah lebih baik.

Kedua, bertolak ansur, bijak membuat keputusan, dan mengalah. Ini juga memerlukan anda memahami mengapa dia merajuk. Ketiga, ucapkanlah kata-kata yang manis, panggilan-panggilan sayang, seperti bucuk, comot, manja dan lain-lain. Keempat adalah menyanyikan lagu untuknya. Tetapi janganlah pilih lagu yang tidak membantu seperti lagu rock yang entah apa-apa. Menurut penulis, inilah cara paling ultimate.

Dari web Hazmin pula saya menemukan beberapa jawapan di atas, dan beberapa jawapan tambahan. Pertama, dengan tersenyum tidak kira apa respon yang anda terima. Teruskan tersenyum. Mungkin ia berdasarkan maksud sabda Baginda s.a.w. "Seorang mukmin itu adalah cerminan kepada saudaranya." Mungkin dengan tersenyum, senyuman itu akan menjangkit kepada yang sedang merajuk. Kedua, adalah dengan membuat lawak. Tetapi pastikan mood sesuai, atau ia akan memburukkan keadaan. Pastikan juga ia kelakar dan menggelakkan. Tips ini barangkali sukar sekiranya anda seorang yang serius dan tidak bersikap suka membuat lawak. Seperti pepatah Inggeris, "Laughter is the best medicine."

Ketiga adalah membelikan hadiah. Ia baik, dan perlulah mengeluarkan sedikit kos. Apatah lagi sekiranya ia berupa kejutan, hadiah mengejut, ia akan lebih berkesan. Yang sukarnya jika dia seorang yang materialistik. Tetapi jika dia suka menerima apa saja seadanya, ia lebih mudah. Jangan lupa menulis kata-kata maaf pada hadiah tersebut. Keempat, dengan menghantar sms, mms dan yang seangkatan dengannya. Kelima, iaitu langkah yang tidak dicadangkan, dengan tidak mempedulikan merajuk tersebut dan mengabaikannya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Menurut penulis, ia sama ada berkesan atau hanya akan memburukkan keadaan. Keenam, adalah dengan merajuk semula, dan apabila kedua-dua orang merajuk, salah seorang terpaksa mengalah.

Dari blog Shidarina pula saya menemukan beberapa jawapan di atas dan beberapa lagi cara tambahan. Pertama, adalah memasak untuk dia, dan kalau dah tak reti sangat, mee maggie pun boleh. Tapi cara ini memerlukan anda mengetahui makanan kegemarannya, dan bukannya makanan yang dia tidak suka. Kedua, memberikan ruang dan waktu untuk dia memujuk dirinya sendiri. Tetapi anda perlu bersabar menunggu dan berjarak. Ketiga adalah dengan duduk berbincang dengannya. Tetapi perlu mencari waktu dan mood yang sesuai, bahkan menggunakan ayat yang sopan. Keempat, adalah dengan menghadap Tuhan dan berdoa memohon. Cara ini paling praktikal bagi saya, tetapi perlu kesabaran menunggu dan keyakinan.

Dari blog Tarabassing pula saya menemui beberapa jawapan di atas, dan beberapa jawapan tambahan. Pertama, adalah dengan memohon maaf setelah memberikannya waktu menenangkan diri. Ucapan maaf perlulah ikhlas. Waktu memohon maaf adalah penting, dan bukannya ketika dia dalam keadaan menolak segala cakap anda. Pandai bercakap juga penting, kerana silap bercakap lain padahnya. Berdiam lebih selamat. Kedua, adalah dengan tidak memaksanya menerima penjelasan anda. Berikan penjelasan bila dipinta.

Dari sekelian yang di atas, saya membuat kesimpulan. Pertama, tiada manusia mempunyai dua hati, seperti maksud firman Allah, "tidaklah Allah menjadikan untuk seseorang itu dua hati di dalam dadanya", dan tiada orang boleh mengumpulkan dua perasaan yang bertentangan dalam satu masa. Mungkin marah dan merajuk boleh berkumpul sama, tetapi tidak boleh terhimpun gembira dan merajuk dalam satu masa. Salah satu perasaan akan menang. Kerana itu tips-tips banyak berkaitan menukarkan mood kepada mood terharu, mood gembira ketawa, dan lain-lain. Kedua, kebanyakan tips adalah sekitar memohon maaf dan merendahkan ego. Kalau anda berego tinggi dan enggan mengaku salah atau enggan mengalah, atau tidak mengetahui apakah kesalahan anda, atau enggan memohon maaf selagi tidak mengetahui silap anda, memujuk adalah sukar.

Ketiga, sukar membezakan antara merajuk dan menahan marah. Bagi saya, perempuan selalunya merajuk, dan lelaki selalunya menahan marah. Kedua-dunya seperti sama, iaitu menukarkan seseorang itu menjadi berdiam diri dan hanya memaparkan reaksi kurang senang. Tetapi ramai perempuan menggelar saya merajuk padahal saya menahan marah. Merajuk tidak semestinya kerana sakit hati, kadangkala sekadar untuk mendapatkan perhatian. Keempat, dalam apa-apa takrifan pun, semua ini sangat memenatkan. Kalau tidak sabar ia adalah bahaya. Kerana itu, tidak elok selalu merajuk. Belajarlah redha, menerima, sabar, berlapang dada, berasa cukup dan syukur, akur dengan ketentuan ilahi dan sedarlah bahawa ia adalah ujian Tuhan, bahkan itulah ujaran Tuhan dan menyatakan di manakah sebenarnya letak dirimu.

Baginda s.a.w. tidak pernah merajuk, dan tidak pernah mengambil hati. Tidak pernah melenting apabila hak diri Baginda digugat, dirampas, dinafikan. Baginda hanya marah kerana Allah, dan apabila ia berkaitan dengan hak Allah. Bahkan Baginda boleh ketawa bila menghadapi perkara yang memarahkan, tanda lapangnya hati Baginda, dan matangnya fikiran Baginda. Sollu 'ala n-Nabiy.