Wednesday, May 26, 2010

Catatan Hujung Kembara 26 | Ma-'a Man Tuhibb

Saya adalah seorang yang berpendapat bahawa cinta, kasih, sayang, suka adalah suatu yang sama. Mungkin kalau digagau dalam falsafah bahasa ia barangkali berbeza. Mungkin ia boleh berbeza kalau dibezakan fa-'el dan pelakunya, atau dibezakan maf-'uul dan yang diperlakukan ke atasnya. Kalau kasih pada adik, tidak akan sampai kita mahu mengahwininya. Kalau sayangkan kepada Rasulullah, kita menjejakinya. Kalau kita mengatakan cinta kepada Tuhan, kita tidak akan mengingkari-Nya.

Tetapi perbezaan itu pada saya adalah perbezaan idofi, perbezaan sampingan. Atau sekurang-kurangnya, begitulah falsafah saya menanggapinya. Kerana manusia itu cuma satu hati. Kerana kalau kasih kepada si gadis A, dan cinta kepada gadis B, kedua-duanya adalah cinta yang kemuncaknya adalah perkahwinan, dan bukanlah kemuncaknya adalah ketaatan tak berbelah bagi seperti kepada Allah, dan bukan hala tujunya adalah menjejaki dan mencontohinya seperti kepada Rasulullah.

Saya tidak tahu siapa sumber kalam - in the end, it's love that matters - tetapi saya setuju dan bahawa di akhirat kelak kita dibangkitkan bersama dengan orang yang kita cinta, kita sayang, kita kasih, kita suka. Al-mar-u ma-'a man ahabb. Jadi benarlah seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Yusri, seorang Muslim itu dapat mencapai darjat yang tinggi dengan perasaannya, iaitu cinta, pada martabat yang tidak dapat dicapai oleh perbuatan zahirnya.

Dan perasaan cinta kasih sayang suka ini yang ajaibnya, adalah antara perasaan paling semula jadi pada diri manusia. Bahkan sesetengahnya menjadi perumpamaan dalam cinta, kasih dan sayang. Seperti Laila Majnun. Tetapi bagi saya, persoalan cinta kasih sayang ini juga persoalan yang sangat penting, hingga menjadi kunci dalam iman. Bahawa, tidak sempurna iman kamu sehinggalah kamu mencintai saudara seagamamu seperti apa yang kamu mencintainya untuk dirimu sendiri. Bahawa tidak sempurna iman kamu sehingga Rasulullah itu lebih dia cintai lebih dari mencintai ayah ibu anak dan manusia seluruhnya.

Tetapi saya bukanlah seorang yang melawan fitrah sehingga menyeru supaya jangan mencintai sesiapa selain Allah dan Rasul, sehingga mengatakan bahawa tidak ada cinta melainkan kepada keduanya. Kerana dari pengajaran Baginda kita memahami bahawa perkara fitrah ini juga adalah ibadah dan kesempurnaan iman. Bahawa kita diajar apabila kita menyayangi saudara kita katakanlah bahawa aku menyayangimu. Dan kita bukanlah si putus cinta yang ekstrimis lalu menutup semua pintu fitrah semata-mata kerana kecewa. Tetapi kita adalah penurut syariat yang mempelajari batas, dan berusaha mentaatinya. Dan kerana kita adalah manusia yang kerap kali tergelincir, tersungkur di atas batang hidung kita sendiri lalu menyedari bahawa darah yang keluar dari hidung kita sama merah. Tetapi saya juga mempercayai bahawa darah semerah itu boleh seharum kasturi kalau ia tumpah di medan jihad.

Persoalan cinta adalah persoalan hati. Dan apakah cinta agung yang menjadi pedoman bagi kita kalau bukan cinta Baginda Nabi kepada para Sahabat, kepada para isteri Baginda, dan kepada kita sebagai umat. Tetapi antara yang paling ajaib, adalah lafaz habib ini, selain ia bererti mahbuub (yang dicintai) ia juga boleh bererti muhibb (yang mencintai) sehingga terdetik di fikiran saya, bahawa ia menuntut maksud 'saling' lalu bererti kesempurnaan, dan boleh jadi satu arah sahaja. Wallahu A'-lam.

No comments: