Wednesday, July 05, 2006

24 - Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta.

Sajak yang dikarang di tahun ketiga di perantauan. Tersiar di Dewan Siswa Julai 2006

Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta.
Oleh :Mohd Zaki M.Noor

Dalam sepuluh yang kugelar Cinta,
Belum ada satu yang kukuh memasak teguh,
Pada bumi hati,
Ada sahaja putusnya, di tengah,
Kemudian di tepi kanan kiri,
Kembali ke titik mula, kemudian tamat lagi,
Kerana cintaku putus,
Terkerat sedetik dari Pencipta.

Kiralah berapa dalam pun,
Hitunglah berapa tinggi pun,
Kemudian ganda dua, kali tiga,
Cinta yang dikumpul dalam takungan diri,
Akhirnya pecah, melimpah,
Kerana kulupa membahagikan hak Cintaku,
Pada empunya Cinta.

Dalam sepuluh Cinta,
Yang kutakrif - ini untuk umat,
Ada sesal paling tirus,
Tetapi agam,
Untukmu,
Yang kugelar Cinta,
Andai bersambung terus pada Tuhan.

8 : 31, 14 Mac 2006,
Madinet Ahlam.

No comments: