Jenayah murtad, maksud saya, kes penukaran agama di kalangan orang Islam kepada agama lain, kerana istilah murtad adalah istilah agama Islam, tidak pada istilah agama lain, sudah begitu banyak berlaku.
Kes penubuhan Suruhanjaya Antara Agama yang begitu menggemparkan sebenarnya adalah hasil dan buah tuaian sejak beberapa ratus bahkan ribu kes yang bertunjangkan kemurtadan. Secara peribadi, bila melihatkan kes orang yang hendak murtad, pertama sekali sebelum saya mengutuk orangnya, saya akan mengutuk pemimpinnya.
Mari kita tinjau sedikit sejarah yang berada dalam kantong minda saya. Kalau anda ada dalil penguat yang lebih, boleh cuba tambah. Kalau ada hujah bertentangan, sila kontra.
Ketika Baginda SAW berada di Mekah, dengan penguasa negara adalah di tangan musyrikin, Islam melalui jalan dakwah yang sangat sukar. Ditindas. Dianiaya. Ditekan. Ini kerana kuasa ada di tangan mereka yang menentang Allah, sedangkan mereka tidak sekali mampu menentang-Nya.
Hasilnya? Hanya sebahagian masuk Islam. Lihat pula kisah perkembangan Islam di Madinah. Antara asas kerajaan Islam Madinah adalah - Nabi Muhammad menjadi ketua negara, dan melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya. Cuba nyatakan satu negara yang lebih baik daripada kerajaan Islam Madinah!
Lihat sekali lagi apabila Nabi kembali semula ke Mekah, dan mengambil tampuk kepimpinan negara Mekah. Berduyun-duyun musyrik masuk Islam. Dan pentadbiran Islam menguasai negara Mekah. Lihat secebis sejarah Melaka, dan kepulauan Melayu. Apabila raja masuk Islam, rakyat turut masuk Islam.
Sebenarnya, bagi saya secara peribadi, kes penubuhan suruhanjaya ini adalah hal enteng. Tetapi menjadi sukar, atau seolah-olah sukar. Ayah selalu sebut - kita bawa kereta, bukan kereta bawa kita. Kawan saya sebut - ini undang-undang manusia yang buat. Mana ada yang tak boleh tukar.
Mahukah saya katakan bahawa, tahun 1924 bukanlah tarikh sebenar kerajaan Islam jatuh. 1924, adalah tahun kejatuhan duwailah Islam terakhir di Andalus. Ketika Kerajaan Abbasiyah mengalami perpecahan, Kerajaan Islam Andalus kehilangan ketua. Akhirnya memutuskan hubungan dengan kerajaan pusat Abbasiyah, menjadi kerajaan mustaqil dan bersendiri. Lantas berpecah menjadi beberapa duwailah sendiri. Kemudian, satu demi satu duwailah jatuh ke tangan kafirin. Hinggalah ke kerajaan terakhir di Gharnatoh. Bertahan beberapa lama akhirnya jatuh juga. Tahun 1924 itulah.
Bagi saya, kerajaan ada kuasa penentu jatuh bangunnya agama. Kalau kuasa diguna dengan betul dan salahnya. Pengakhirnya, saya bagi dua istilah ciptaan saya sendiri. Ada kuasa tapi salah guna, dan ada kuasa tapi tak guna.
No comments:
Post a Comment