Tuesday, July 11, 2006

Hafizullah, Mengapa Salah

Hafizullah, Mengapa salah?

Hafizullah adalah nama blog seorang kawan. Di sini saya akan menerangkan, mengapa tarkib ini adalah salah dan dilarang. Ini mesti ditukar. Saya tidak bermaksud memburukkan sesiapa, tetapi ini adalah perbincangan ilmu. Bukalah dada.

Tarkib hafizullah ini adalah dari jenis idofah. Idofah ada beberapa makna. Dan dalam semua makna yang saya tahu, tarkib ini adalah salah dan dilarang.

Pertama, ia bermakna 'min'. Daripada. Idofah yang bermakna 'min' seperti dalam contoh, thamratu l-Khilaf. Makna lain idofah adalah 'li'. Bagi (untuk). Contoh idofah yang bermakna 'li' seperti dalam contoh, hadiqatu l-hayawan.

Teliti. Thamratun minal khilaf, dan hadiqatun li l-hayawan.

Perlu juga difahami, tarkib idofah juga terdiri daripada lafaz yang mempunyai asal daripada fe'el. Lihat contoh idofah, kholiqu s-samaawaat. Atau, nasrullah. Lafaz khaliq dan lafaz nasr adalah kalimah yang mempunyai asal daripada fe'el.

Sebelum memeningkan anda, sila kumpulkan keempat-empat tarkib idofi ini. Satu, thamratu l-khilaf. Dua, hadiqatu l-hayawan. Tiga, khaliqu s-Samaawaat. Empat, nasrullah.

Lihat mudoofnya. Abaikan mudoofun ilaihi. Pertama adalah thamrah. Dua adalah hadiqah. Tiga adalah khaliq. Dan empat adalah Nasrun.

Dua mudoof pertama adalah isim zat. Isim benda. thamrah dan hadiqah adalah isim zat. Ia tidak mungkin bermakna sifat. Tetapi bagi dua mudoof yang lain, iaitu khaliq dan nasrun, ia adalah isim juga, dengan lafaz khaliq adalah isim sifat, dan nasrun adalah isim masdar. Kekerasan isim masdar adalah menghampiri kekerasan isim zat.

Fokus saya di sini adalah pada lafaz khaliq dan nasrun, kerana kedua-dua lafaz ini berbeza dengan lafaz thamrah dan lafaz hadiqah. Dua lafaz ini mempunyai asal daripada fe'el. Khaliq berasal dari kh-la-qa, dan nasrun berasal dari na-sa-ra.

Sesuatu yang telah dimaklumi oleh kita semua, setiap fe'el ada fa'el, bahkan ada yang ada maf'ul. Tetapi, sesuatu yang dimajhuli oleh kebanyakan kita adalah, setiap isim fa'el ada fa'el, bahkan ada maf'ul, dan setiap isim maf'ul ada naib fa'el. Bahkan juga masdar.

Saya ulang. Setiap ISIM FA'EL ada fa'el, bahkan ada maf'ul, dan setiap ISIM MAF'UL ada naib fa'el.

Mudoof dalam contoh, khaliqu s-samawaat adalah isim fa'el, dan mudoof dalam contoh, nasrullah adalah isim masdar.

Memang. Khaliqu s-samaawaat boleh dimaknakan dengan li. Pencipta bagi langit. Begitu juga dengan nasrullah boleh dimaknakan dengan min. Pertolongan daripada Allah.

Tetapi, apabila lafaz mudoof ini berasal daripada fe'el, ia membawa makna tambahan. Membawa makna tambahan inilah yang selalu kita abaikan. Ia membawa makna fa'el, dan membawa makna maf'ul.

Oleh kerana itu, khaliqus- samaawaat membawa makna maf'ul, yang bererti, pencipta langit, dan langit itu maf'ul. Kita dapat lihat mudoofun ilaihi dalam tarkib idofi ini menjadi maf'ul. Faelnya mana? Fa'elnya tak dinyatakan kerana sudah maklum.

Begitu juga dengan nasrullah. Ia membawa makna tambahan 'fa'el'. Pertolongan Allah ini membawa maksud - Allah menolong, dengan Allah dalam lafaz tersebut adalah fael, dan bukan maf'ul.

Kembali membincangkan lafaz hafizullah, mengapa salah dan perlu ditukar?

Selalunya, apabila kita mendengar perkataan jaga, dan kita mendengar perkataan Allah, lantas kita mengandaikan bahawa - Allah itu penjaga, dengan Allah adalah fa'el. Tetapi, hakikat bahasa adalah lebih daripada itu. Adakah tidak mungkin, dari pandangan bahasa, apabila kita menemukan lafaz jaga, dan lafaz Allah, maka ia bermakna Allah itu dijaga, dengan Allah adalah maf'ul?

Adakah kemungkinan yang saya sebutkan ini, tidak pernah berlaku dalam bahasa, hasil kerana kesilapan tarkib?

Lantas saya perlu menegaskan, bahasa dalam tarkib dua lafaz ini, iaitu jaga dan Allah, Allah mesti di tempat fa'el, dan tidak boleh di tempat maf'ul. Kerana ia dilarang. Allah mesti bermakna fa'el, iaitu penjaga, dan bukan bermakna maf'ul, iaitu dijaga.

Masalahnya, lafaz hafizullah, memaparkan Allah di tempat fa'el atau di tempat maf'ul?

Oleh kerana ia adalah tarkib Idofah, maka perhatikan mudoofnya. Mudoofnya adalah hafiz, isim fa'el. Dan Allah berada di tempat maf'ul. Kita akan memaknakan tarkib ini menjadi - Penjaga Allah. Soalnya, adakah betul dan wajar kita mengatakan bahawa Allah itu ada yang menjaganya?

Perhatikan tarkib khaliqu s-samaawaat, dan lihat mudoofnya - khaliq. Pencipta. Bermakna, pencipta langit. Jadi, dalam lafaz hafizullah - penjaga Allah!

Lihat sedikit perbezaan dalam tarkib - hafizu l-Quran, bermaksud, penghafaz al-Quran, dengan al-Qran adalah maf'ul.

Saya menyatakan begini kerana saya menyedari bahawa, isim fa'el, apabila diidofahkan, ia akan berhajat kepada maf'ul dengan hajat yang sangat kuat. Tetapi tidak berhajat kepada fa'el. Berbeza dengan isim masdar. Isim masdar apabila diidofahkan, ia berhajat kepada sama ada fa'el, atau maf'ul jika ia mempunyai maf'ul.

Lihat contoh nasrullah. Nasrun adalah masdar. Dan Allah dalam tarkib ini berada di tempat fa'el. Cuba tukar kepada Naasirullah. Ia akan bermakna penolong Allah, dengan Allah di tempat maf'ul!

Bukti nasrun kadang-kala berhajat kepada fa'el, dan berhajat kepada maf'ul, adalah contoh berikut. Innallaha nasru l-mukminiin. Nasru l-mukminin, dengan lafaz mukminin berada di tempat maf'ul. Berbeza dengan nasrullah. Ia berbeza kerana lafaz nasrun itu sendiri, bertindak seolah-olah fe'el, dan bukan masdar.

Sekiranya anda faham konsep ini, saya rasa anda akan mengatakan dengan yakin bahawa - lafaz hafizullah adalah sesuatu yang ditolak kerana terlarang!

Bagaimana mahu betulkan? Biar saya berikan cadangan.

Pertama, tukarkan hafizullah kepada - al-Hafizullah. Bezanya cuma menambah 'al'. al-Hafizullah adalah tarkib bukan idofah, sebaliknya adalah tarkib sifat mausuuf. Cuma sifat berada di depan. Atau boleh juga diikrab sebagai badal atau atof bayan, dengan lafaz al-Hafiz adalah nama Allah, dan lafaz Allah menjadi atof bayan atau badal dalam tarkib ini.

Kedua, cadangan pembetulan yang boleh dicadangkan adalah - hifzullah. Kekalkan konsep tarkib idofah, tetapi ubah mudoofnya. Jadikan ia isim masdar. Hafizullah ditukar kepada hifzullah. Hifzullah akan menjadikan lafaz Allah itu sebagai fa'el dalam tarkib ini.

Saya mohon ampun dan maaf, andai apa yang saya sampaikan kurang disenangi. Tetapi demi apa yang saya tahu, ia salah, dan perlu ditukar.

Dengan semua yang sebenarnya sangat 'simple' kerana cuma perbincangan idofah, saya selalu teringat ekstrimis yang masuk ke bidang agama dan sering menimbulkan kekacauan, mentarjih konon ini betul dan salah, sejauh mana pemahaman mereka dalam bahasa Arab, sedangkan perbincangan bahasa sudah begitu dalam, apatah lagi kalau masuk dalam bidang-bidang yang lain. Mereka itu, tahukah ini semua?

No comments: