Monday, July 24, 2006

Neraca Bertentangan

Dalam sepanjang hidup, banyak benda yang boleh kita pelajari. Saya juga mengalami perkara yang sama. Bahkan anda juga.

Sejak beberapa ketika, sejak setahun ini, saya mempelajari erti melihat dunia dua kali, dari dua sudut yang bertentangan. Ketika saya merasa marah kepada seseorang, sebagai contoh kerana bersikap dengan suatu sikap yang tidak saya senangi, saya kembalikan diri menilai sekali lagi, tetapi dari kaca mata yang bertentangan, barulah saya menyingkap beberapa perkara yang sering saya abaikan. Barulah saya menyedari mengapa sikap yang kurang menyenangkan itu bila dinilai sekali lagi menjadi sesuatu yang logik, bahkan barangkali turut saya lakukan bila saya di tempat mereka. Jadi, bila dinilai sekali lagi, kenapa perlu saya marah dan tidak senang?

Menilai diri dengan neraca yang sama banyak menyedarkan saya, betapa banyak penilaian saya adalah tidak tepat. Sebagai contoh, apabila saya merasa hebat dengan satu kelebihan, saya selalu lupa diri. Dan berbangga. Tetapi dengan neraca ini, bila saya menilai diri sekali lagi lantas menyedari banyak lagi yang lebih hebat daripada saya, bahkan dalam kelebihan yang sama, orang yang lebih hebat ada di sisi saya. Lalu, di mana wajarnya kebanggaan tadi?

Kerana itu, sejak setahun kebelakangan ini, saya mula belajar menafi kelebihan diri. Satu persatu. Kerana saya sedar kelebihan yang saya banggakan bukanlah suatu yang wajar, kerana banyak cacat kurangnya, lalu dengan apakah patut saya merasa besar, hebat dan bangga?

Sesaat merasa diri diperhatikan cepat-cepat saya padamkan - bahawa saya ini bukan sesiapa di mata sesiapa pun. Lalu, untuk apa segala kebanggaan itu?

No comments: